Wednesday, December 16, 2015

1MDB: Polis Selesai Ambil Keterangan Justo


Diterbitkan: Rabu, 16 Disember 2015 2:26 PM

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu mengesahkan polis telah selesai merakam keterangan warga Switzerland, Xavier Andre Justo berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di penjara di Bangkok pada Selasa.
Menurutnya, Justo ketika ditemu bual telah memberi kerjasama yang amat baik kepada Polis Diraja Malaysia(PDRM).
"Pegawai saya akan pulang hari ini.. nanti mereka akan membentangkan hasil temu bual mereka dengan Justo," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis PDRM 'Green Day Programme' di sini.
Bagaimanapun, Khalid enggan mendedahkan perkara-perkara yang dibangkitkan ketika temu bual dengan bekas pekerja PetroSaudi International tersebut.
Tambah beliau, kes berkaitan Justo dijangka selesai selepas polis menerima dokumen-dokumen berkaitan kes terbabit daripada pihak berkuasa Thailand.
Pada Selasa, pasukan PDRM yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman(Siasatan/Perundangan) Datuk Amar Singh Ishar Singh ditugaskan untuk mengambil kenyataan daripada Justo.
Justo dijatuhi hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan pada 17 Ogos lalu selepas mengaku mencuri 90 gigabait data termasuk e-mel, dokumen dan bahan lain daripada PetroSaudi International sebagai cubaannya untuk memeras ugut.
PDRM cuba mendapatkan keterangan daripadanya sejak beberapa bulan lalu.

Isu RM2.6b: Anina tak ada hak saman Najib


Anina Saaduddin

KUALA LUMPUR - Bekas ahli Umno Langkawi, Anina Saadudin tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk memfailkan saman terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja, Datuk Ab Rauf Yusoh berhubung isu derma RM2.6 bilion, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.  
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Ab Rauf, berkata Anina bukan seorang pegawai awam Umno dan oleh itu tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.
"Plaintif bukan pegawai awam Umno yang telah diisytiharkan (sedemikian) dan didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan dan oleh itu tidak kompeten untuk memulakan tindakan ini terhadap defendan," hujah Mohd Hafarizam dalam permohonan Najib dan Ab Rauf untuk membatalkan saman Anina.
[ARTIKEL BERKAITAN: Anina fail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi]
Beliau juga berhujah, Anina tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mengekalkan saman itu kerana keahliannya dalam Umno telah gugur apabila memfailkan saman mengikut Perkara 20.7 Perlembagaan parti.
Sambil merujuk kepada keputusan hakim Mahkamah Tinggi minggu lepas, dalam satu lagi saman oleh Anina, bahawa keputusan untuk menggugurkan keahlian Anina dalam Umno adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah mengikut Seksyen 18C Akta sama, Mohd Hafarizam berkata mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman yang difailkan oleh Anina berkaitan hal ehwal parti.
"Saman ini juga tidak menyatakan sebarang sebab munasabah untuk tindakan terhadap defendan, dan oleh itu ia mendedahkan defendan kepada skandal, bersifat remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah yang harus dibatalkan oleh mahkamah ini," kata Mohd Hafarizam ketika berhujah di   hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Anina pula berhujah bahawa anak guamnya telah memfailkan tindakan derivatif terhadap defendan atas nama Umno, untuk dan bagi pihak Umno dan ahli-ahlinya, seperti dibenarkan di bawah undang-undang.   
"Justeru, walaupun jika keahliannya dalam Umno telah ditamatkan, ia tidak menghalang tindakan yang telahpun difailkan oleh Anina. Saman ini adalah khusus untuk menangani salah laku defendan pertama, seperti dinyatakan dalam pernyataan tuntutan.   
"Pada peringkat ini, adalah jelas bahawa ini bukan kes biasa dan jelas untuk terus dibatalkan," kata beliau.
Mahkamah menetapkan 31 Disember untuk keputusan terhadap permohonan Najib dan  Ab Rauf.  
Pada 28 Ogos, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Ab Rauf, antara lain, bagi menuntut sebahagian daripada derma RM2.6 bilion (AS$650 juta) yang dikatakan dimasukkan oleh presiden parti ke dalam akaun peribadinya di Singapura. - Bernam
a

Hakim New York angkat sumpah guna al-Quran‎


Carolyn Walker-Diallo (tengah)

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Berbeza dengan hakim lain yang bersumpah dengan memegang Bible di Amerika Syarikat, seorang hakim di New York mengangkat sumpah menggunakan al-Quran, Khamis lepas.
Menurut Morocco World News, Carolyn Walker-Diallo merupakan wanita berkulit hitam yang beragama Islam, dilantik selepas memenangi pilihanraya yang diadakan bulan lepas.
Carolyn akan bertugas sebagai hakim mahkamah sivil 7th Municipal District di Brooklyn Burough Hall yang terletak di New York.
Perkara tersebut disambut baik oleh orang ramai walaupun masih terdapat sebilangan kecil pendapat anti-Islam.
"Baguslah. Tak kisah Bible atau al-Quran, yang penting janji anda untuk menjadi hakim terbaik yang telah bersumpah kepada kebenaran," kata seorang pelayar laman Facebook.
"Amerika bukanlah negara agama Kristian. Amerika menerima setiap lapisan agama, tidak kira warna kulit atau bangsa. Kalau kita tidak benarkan hak sama rata diberikan, kita bukanlah orang Amerika," kata pelayar tersebut lagi
.