Thursday, November 20, 2014

3,005 orang sokong hapus Akta Hasutan


Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
KUALA LUMPUR - Seramai 3,005 orang menandatangani petisyen bagi memohon Dewan Rakyat mendesak kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan semua pendakwaan di bawah akta itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, petisyen itu telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Parlimen, hari ini.

Katanya, kandungan petisyen mewakili suara rakyat yang membantah penggunaan berterusan Akta Hasutan yang didakwa zalim, kolonial dan tidak demokratik.

"Akta Hasutan adalah undang-undang zalim yang digubal penjajah British untuk menindas rakyat. Akta ini mempunyai tafsiran terlalu luas dan amat mudah disalahguna.

"Ia boleh dan sedang digunakan untuk menjenayahkan apa-apa ucapan bersifat demokratik termasuk kritikan terhadap kerajaan, pemimpin atau parti politik pemerintah. Adalah memeranjatkan bahawa walaupun janji telah dibuat kepada rakyat untuk memansuhkan Akta Hasutan, namun penggunaannya meningkat secara berleluasa," katanya.

Katanya lagi, turut membimbangkan ialah pendakwaan terpilih di bawah Akta Hasutan dilakukan Peguam Negara dan mensasarkan mereka yang mengkritik kerajaan.

"Oleh itu, kami memohon supaya Dewan Rakyat mendesak Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan Akta Hasutan, menggugurkan semua pendakwaan dan membebaskan mereka yang dipenjara di bawahnya serta memastikan tiada gantian undang-undang yang sama dengan Akta Hasutan," katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, beliau juga telah meminta kebenaran Pandikar Amin untuk membahaskan mengenai pemansuhan Akta Hasutan di Dewan Rakyat, 24 November ini.

Katanya, satu perarakan juga akan diadakan pada hari tersebut dari Padang Merbok ke Parlimen sebagai sebahagian daripada kempen menyokong pemansuhan Akta Hasutan.

Sebab Syaikh Nuruddin Diharamkan Ceramah Di Malaysia

Oh negaraku! Yang penting program maksiat dibenarkan tanpa ada apa-apa halangan.

http://kerabubersuara.blogspot.com/2014/11/sebab-syaikh-nuruddin-diharamkan.html

Tiga anak berpenyakit kronik

Oleh Rosli Mansor Ahmad Razali

am@hmetro.com.my
Ipoh: Hampir setahun masa remajanya dihabiskan di rumah akibat sakit tulang belakang sebelum disahkan mengalami penyakit ketumbuhan dalam kepala, menyebabkan Nur Athirah Ayu Suhardy, 16, kini hanya terlantar di atas katil di kediamannya di Taman Klebang Restu.
Paling menyedihkan apabila dua adiknya turut mengalami nasib hampir sama dan berdepan masalah kesihatan yang kronik.
Nur Ameera Aisyah Suhardy, 10, anak ketiga mengalami penyakit asma yang serius sejak 2012, manakala Muhammad Airel Daniel, lapan tahun iaitu anak keempat, mengalami pelbagai penyakit seperti komplikasi buah pinggang, darah tinggi, saluran jantung dan penyakit saraf (glaukoma) pada mata sebelah kiri.
Bapa tiga beradik terbabit, Suhardy Che Omar, 40, berkata, Athirah iaitu anak pertama daripada lima beradik menjalani pembedahan di bahagian kepala bagi membuang ketumbuhan sebesar lima sentimeter di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 3 Oktober lalu.
““Kesan daripada ketumbuhan itu, Athirah mengalami kesakitan yang kronik. Namun sejak dua bulan yang lalu dia mengalami sakit kepala yang amat teruk, lemah badan dan muntah-muntah,” katanya.
Menurut Suhardy, selepas menjalani pembedahan, keadaan Athirah beransur baik, malah boleh baring tanpa rasa sakit di bahagian belakang badannya, tetapi tangan kirinya tidak dapat digerakkan sepenuhnya.
Dia ditemani isterinya, Zalifah Mustafa, 37, ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Klebang Restu, semalam.
Menurut Suhardy, dia menerima bantuan bulanan dari Majlis Agama Islam Perak (MAIP) RM350 sebulan bagi menampung kos perubatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 sebulan.
Suhardy yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan, diberhentikan kerana tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pekerjaan.
““Saya terpaksa melupakan pekerjaan kerana masa saya banyak dihabiskan untuk menguruskan anak-anak saya yang sakit,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 08100-41-00011038-4.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:22 AM


SUHARDY dan Zalifah bersama tiga anak mereka yang menghidap penyakit kronik.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10402#sthash.eZeNVldq.dpuf

Bayi istimewa dianggap dewa

New Delhi: Ribuan orang berpusu-pusu ke Baruipur di Benggala Barat untuk melihat bayi yang dilahirkan dengan dua pasang tangan serta kaki malah digelar 'God Boy' (Budak Tuhan) kerana nampak seperti dewa Hindu.
Ibu bapanya tidak terkejut malah faham dengan reaksi orang ramai terhadap bayi baru mereka.
"Sudah pasti mereka mahu melihatnya," kata seorang anggota keluarga mereka.
Katanya, mereka sekeluarga terkejut dengan bayi yang dianggap istimewa itu.
"Jururawat berkata dia cacat teruk namun saya dapat melihat kelahirannya satu petanda daripada Tuhan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:01 AM


BAYI yang dilahirkan dengan dua pasang tangan dan dua pasang kaki menjadi tumpuan penduduk India.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10232#sthash.C1753ua0.dpuf

Kenderaan elektrik kuasai Putrajaya

MOHD. HAZLI HASSAN  |  19 November 2014 6:44 PM
Kenderaan elektrik kuasai Putrajaya
PUTRAJAYA 19 NOV. 2014 - Kenderaan berkuasa elektrik (EV), Renault Twizy sedang dipandu uji sekitar Putrajaya selepas majlis penyerahan kenderaan berkenaan oleh CMS Consortium Sdn. Bhd. kepada Perbadanan Putrajaya dan pelancaran produk pelancongan Ecoride@Putrajaya di Perbadanan Putrajaya di sini hari ini. Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat; Pengerusi Eksekutif CMS Consortium Sdn. Bhd., Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif FiaformulaE, Alejandro Agag. - UTUSAN/Zaki Amiruddin

- See more at: http://www.utusan.com.my/galeri-foto/kenderaan-elektrik-kuasai-putrajaya-1.26631#sthash.Ja5iYj0V.dpuf

Kenapa kapal TLDM tidak disentuh dalam laporan audit

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: ‎Kerajaan diminta memberi penjelasan terhadap dua buah kapal latihanTentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sehingga sekarang belum diserahkan kepada TLDM.

‎Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, projek kapal latihan TLDM Gagah Samudera dan Sijangkang Teguh Samudera yang dirasmikan oleh Datin Seri Rosmah Mansur dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali itu turut tidak disentuh dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Kapal latihan itu sepanjang 75.9 meter yang telah direka bentuk dengan kerjasama NGV Tech dan Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering dari Korea Selatan.

‎"Ini adalah kapal latihan pertama TLDM yng bersaiz friget dan mampu memberi latihan lanjut yang efektif, sepatutnya Gagah Samudera kepada TLDM pada Mei 2013 lalu di Lumut tetapi itu tidak berlaku," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat‎

Menurut beliau, kontrak asal bernilai RM296 juta untuk kedua-dua buah kapal itu belum diserahkan kepada TLDM kerana NGV Tech telah mengalami masalah kewangan menyebabkan ia tidak mampu menyiapkan kapal tersebut.‎

"Difahamkan juga pembiaya utama iaitu Maybank sedang dalam proses memungut kembali pinjaman dan menyebabkan kapal tersebut ditahan.‎

"Menurut sumber mengatakan kerajaan dan TLDM sedang dalam proses mengeluarkan tender baru untuk syarikat lain bagi menyiapkan kapal tersebut.

"Persoalan sekarang ada apa terjadi kepada NGV Tech dan apa status kapal latihan itu, kenapa ia tidak disentuh langsung dalam Laporan Ketua Audit Negara," sambung beliau. – HARAKAHDAILY20/11/2014

Tak boleh suruh parti lain keluar Pakatan - Tuan Ibrahim

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS tidak melihat kritikan secara terbuka antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat boleh menyelesaikan perbezaan pendapat yang berlaku.

Sebaliknya kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sebarang perbezaan pendapat terhadap sesuatu perkara itu wajar dilontarkan melalui mesyuarat Pakatan Rakyat.

"Semua parti perlu menjaga batas parti masing-masing. Tidak boleh untuk kritik parti lain apatah lagi secara terbuka.

"Seperti contoh, DAP tak boleh kritik PAS dan PAS juga tidak boleh kritik DAP.

"Sebarang perbezaan pendapat, bawa ke mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Tak boleh suruh keluar PR

Dalam pada itu, beliau turut menafikan laporan sebuah akhbar hari ini kononnya menggambarkan beliau menggesa DAP keluar Pakatan Rakyat.

Menurutnya, laporan itu dipetik di luar konteks sebenar dari apa yang dinyatakan beliau.

"Saya sebut, setiap parti tak boleh suruh parti lain keluar dari PR, tetapi jika parti itu sendiri sudah berasa tidak selesa, maka parti itu sendiri boleh keluar.

"Ini kerana dalam PR tidak ada borang keluar, hanya ada borang masuk. Kecuali parti itu sendiri nak tarik diri, itu hak parti itu. Tak boleh suruh orang keluar," ujar beliau.

Beliau juga menjelaskan, DAP pernah mengambil tindakan menarik diri selepas mereka menyertai Barisan Alternatif sebelum 2004. -HARAKAHDAILY 20/11/2014

Pembinaan kampus tetap KUIN kesilapan Pakatan Rakyat - EXCO Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menyifatkan pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil adalah kesilapan pelaburan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain, berkata rancangan membina kampus yang terlalu besar di Kuala Ketil meninggalkan kesan kewangan yang serius kepada kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri terpaksa membayar pinjaman bank sebanyak RM44,508,000 setahun selama 15 tahun sehingga 2024 bagi menjelaskan kos pembinaan kampus Kuala Ketil yang bernilai RM327,665,000 dan faedah pinjaman sebanyak RM206,428,950, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM534,093,950.
"Walaupun kampus Kuala Ketil siap dibina dengan kos RM327,665,000 tetapi ia tidak termasuk kemudahan asrama. Kerajaan negeri terpaksa menyempurnakan pembinaan asrama dalam kampus yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat tanpa mengikut prosedur dengan kos sebanyak RM12,876,072. Kos ini hanyalah untuk pembinaan lapan blok asrama sahaja tanpa kemudahan surau, kafeteria dan pejabat pentadbiran asrama.
"Kerajaan negeri juga terpaksa menanggung kos emolumen yang tinggi iaitu 85 peratus daripada jumlah pendapatan KUIN kerana pengambilan staf yang tidak terkawal dan tidak mengikut kemampuan kewangan. Sehingga kini, jumlah staf KUIN adalah 539 orang," jelasnya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Peruntukan Tahun 2015 dan Ucapan Bajet Negeri Kedah 2015 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Tajul Urus berkata, kerajaan negeri juga terpaksa menangani beberapa isu berkaitan kewangan setelah mengambil alih KUIN pada 2013 iaitu kedudukan kewangan KUIN yang tidak stabil dan mengalami kerugian RM3,589,681 pada 2013, hutang kepada pembekal, tunggakan bil utiliti dan sewa asrama sebanyak RM3,847,514, hutang Insaniah Holdings dan anak-anak syarikat RM10,661,225.43 selain saman yang perlu dibayar sebanyak RM1,561,571.
"Jumlah keseluruhan hutang yang perlu diselesaikan adalah sebanyak RM16,070,310. Bagi mengurangkan kemelut dan beban kewangan KUIN, kerajaan negeri Kedah pimpinan Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan tindakan-tindakan perlu dan berjaya menghasilkan penjimatan sebanyak RM5,050,947 daripada bayaran gaji staf bagi 2013 berbanding 2012," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak menafikan perbelanjaan untuk pendidikan adalah pelaburan bagi membangunkan generasi pada masa hadapan.
"Kerajaan BN sangat mengambil berat soal pendidikan. Ini terbukti kerana kitalah yang menubuhkan KUIN sejak 1995 daripada sebuah institut/kolej dan seterusnya dinaikkan kepada kolej universiti pada 2006," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim, berkata kerajaan negeri telah melakukan beberapa penambahbaikan kepada Dasar Perumahan Negeri Kedah.
Beliau berkata, antaranya dengan menetap saiz minimum rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kos sederhana selain penjenamaan semula Rumah Mampu Milik di negeri ini.
"Rumah Kos Rendah berharga antara RM35,000 hingga RM45,000 dengan keluasan tanah minimum 1,200 kaki persegi dan keluasan bangunan 700 kaki persegi. Rumah kos sederhana berharga antara RM45,001 hingga RM90,000 dengan keluasan tanah minimum 1,300 kaki persegi dan keluasan bangunan 750 kaki persegi.
"Rumah kos sederhana berharga antara RM90,001 hingga RM200,000, di mana minimum keluasan tanah 1,400 kaki persegi dan keluasan bangunan 800 kaki persegi," katanya.
Selain itu, Rumah Kos Rendah dijenamakan semula sebagai Rumah Kaseh Rakyat, Rumah Kos Sederhana Rendah menjadi Rumah Aman Kedah dan Rumah Kos Sederhana dijenamakan semula sebagai Rumah Makmur Kedah.
- BERNAMA

Dakwaan kemiskinan Melayu Pulau Pinang diwarisi daripada BN tidak berasas - Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Dakwaan kemiskinan masyarakat Melayu di Pulau Pinang diwarisi daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN) adalah satu tuduhan tidak berasas dan bersifat perkauman, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau turut kecewa apabila segala dakwaan kelemahan di Pulau Pinang dikaitkan dengan kepimpinan BN terdahulu, tetapi kejayaan yang dibawa BN tidak pula dinyatakan langsung.
"Kenapa cakap bahawa masalah Melayu di Pulau Pinang diwarisi daripada pemerintahan BN? Kenapa tidak cakap kejayaan Cina di Pulau Pinang adalah kejayaan BN? Ia adalah satu kenyataan yang tidak adil.
"Ia satu kenyataan memperlihatkan kecetekan pemikiran dan beliau bersifat 'bias' (berat sebelah) dan perkauman," katanya ketika diminta mengulas laporan media yang memetik kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, yang mengaitkan kemiskinan masyarakat Melayu Pulau Pinang dengan BN.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Komunikasi Mudah Alih dan Pembangunan Luar Bandar di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata, kenyataan Zairil itu seolah-olah berselindung di sebalik dasar meritokrasi tetapi berfikiran perkauman.
"'Racist without racism' adalah satu perkara yang perlu diteliti kerana ia berlaku di mana-mana sahaja. Dia tak kata dia mengamalkan perkauman tetapi di sebalik kata-kata bahawa saya tak mahu perkauman itu ada unsur perkauman dalam kata-kata dan dasar yang dipelopori," katanya.
- BERNAMA

Defisit RM60 juta bukan isu besar bagi Kedah - Mukhriz

DATUK Seri Mukhriz Mahathir ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Peruntukan Tahun 2015 dan Ucapan Bajet Negeri Kedah 2015 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. - Foto Amran Hamid


DATUK Seri Mukhriz Mahathir ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Peruntukan Tahun 2015 dan Ucapan Bajet Negeri Kedah 2015 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. - Foto Amran Hamid
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tidak melihat defisit kira-kira RM60 juta dalam Bajet Negeri 2015 yang dibentangkan pada Isnin lepas sebagai masalah kepada kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata defisit itu adalah yang terbesar dalam sejarah kewangan negeri Kedah tetapi ia dirangka sedemikian untuk memastikan wang negeri dibelanjakan untuk rakyat seperti pendidikan, kebajikan dan keusahawanan.
Katanya, Bajet 2015 adalah bersifat jangka panjang dan kerajaan negeri tidak melihatnya sebagai perancangan untuk tempoh setahun.
"Itu pendekatan yang kita ambil. Selalunya kita lihat bajet untuk tahunan, hanya untuk setahun, tidak banyak untuk 10, 20 tahun akan datang. Ini semua untuk masa depan yang lebih cerah.
"Langkah ini untuk menyelesaikan masalah yang biasa timbul kerana rancangan untuk jangka pendek. Kita perlu rancangan jangka panjang. Banyak masalah boleh diatasi jika perancangan bersifat jangka panjang," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Peruntukan Tahun 2015 dan Ucapan Bajet Negeri Kedah 2015 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Mukhriz juga berkata, defisit dalam bajet itu lebih mudah dikurangkan jika kerajaan negeri tidak dibebani dengan hutang RM45 juta setahun untuk membayar pinjaman bank bagi pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil oleh kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Katanya, kerajaan negeri menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi supaya ia dapat dibahagi secara adil kepada rakyat kerana agihan tidak boleh berlaku tanpa pertumbuhan.
"Pada peringkat ini, fokus kepada pertumbuhan. Jika tidak, tidak dapat meringankan beban rakyat miskin, berpendapatan rendah. Cabaran sekarang ialah bagaimana untuk menjana pertumbuhan," katanya.
Beliau juga berkata, Kedah berhadapan dengan cabaran besar dalam pertumbuhan ekonomi berikutan sejak dulu ia digelar Negeri Jelapang Padi yang menumpukan kepada sektor pertanian.
"Jika bergantung kepada pertumbuhan dalam bentuk organik dan anggapan ekonomi tumbuh secara organik, walaupun KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara 5.6 peratus, jika Kedah juga 5.6 peratus, sampai bila-bila pun kita ketinggalan berbanding negeri lain.
"(Kita) tidak boleh menjalankan perniagaan seperti biasa. Perlu melonjak dengan mengejar negeri lain...kita lihat kepada projek pemangkin jika Kedah berhasrat menjadi negeri maju dan perlu tumbuh lebih pesat daripada negeri lain," katanya.
Katanya, sudah ada pihak swasta yang berminat untuk terlibat secara langsung dalam enam projek utama yang diumumkan dalam Bajet 2015 untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 walaupun baru pada peringkat perancangan.
"Ini bukti keyakinan terhadap kebolehlaksanaan projek ini. Perlu bersikap positif. Jangan anggap semuanya angan-angan Mat Jenin. Kejayaan projek ini membawa kebaikan kepada semua," katanya.
Dalam soal perumahan, Mukhriz berkata kenaikan harga rumah sudah sampai ke tahap tidak mampu dibeli oleh rakyat dan pemantauan perlu dilakukan supaya ia tidak mencapai tahap harga yang tidak munasabah. - BERNAMA

Pemimpin Kosovo sepakat bentuk kerajaan gabungan

Presiden Atifete Jahjaga. - Foto wikipedia
PRISTINA (Kosovo): Perdana Menteri Kosovo dan pemimpin parti pembangkang utama di negara ini mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan gabungan, sekali gus menamatkan pertikaian politik selama lima bulan, kata Presiden Atifete Jahjaga.
Jahjaga berkata, Parti Demokratik pimpinan Perdana Menteri, Hashim Thaci dan Liga Demokratik pimpinan Isa Mustafa akan berusaha untuk mengatasi kebuntuan politik yang mengancam negara Balkan itu dan menjurus ke arah kemuflisan.
Persetujuan itu mengecewakan parti pembangkang lain yang sebelum ini menyebelahi Mustafa dalam usaha untuk menyingkirkan Thaci, berikutan dakwaan rasuah di peringkat atasan dan penyiasatan antarabangsa berhubung pemerdagangan organ.
Gabungan parti terbesar itu bagaimanapun perlu mendapat mandat Parlimen Kosovo, yang mempunyai 120 kerusi dan setakat ini masih belum bersidang kerana
perbezaan pendapat di antara parti politik mengenai siapa yang patut mentadbir.
Thaci menang dalam pilihan raya pada 8 Jun lalu, tetapi tidak memperoleh majoriti untuk membentuk kabinet.
Selain itu ia juga menghadapi halangan daripada pihak pembangkang yang mahukan sebuah kerajaan baharu ditubuhkan selepas pengunduran Thaci.
Parlimen Kosovo yang akan bersidang dijangka meluluskan bajet dan undang-undang bagi penubuhan sebuah mahkamah khas dipimpin Kesatuan Eropah bagi mengadili Thaci dan rakan seperjuangannya dalam peperangan yang didakwa 'mengorek' organ rakyat Serbia yang ditawan.
Thaci bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Beliau adalah bekas ketua Tentera Pembebasan Kosovo yang mengetuai gerila Albania dalam peperangan pemisah terhadap Serbia pada 1998-1999. - AP

Majlis Keselamatan PBB kenakan sekatan ke atas Ansar al-Sharia di Libya

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan sekatan ke atas kumpulan militan, Ansar al-Sharia yang terbabit dalam serangan di Konsulat Amerika Syarikat di Benghazi pada 2012 dan kaitannya dengan al-Qaeda serta kumpulan pengganas lain.
Majlis itu yang memantau sekatan ke atas al-Qaeda turut menambah dua sayapnya di Libya - Ansar al-Sharia di Benghazi dan Ansar al-Sharia di Derna dalam senarai hitam dan mengarahkan semua negara supaya membekukan aset mereka serta mengenakan larangan perjalanan dan sekatan senjata.
Perancis, Britain dan Amerika Syarikat meminta PBB supaya mengenakan sekatan itu dan tiada anggota majlis membantah apabila tempoh bantahan ditutup semalam.
Kedua-dua sayap al-Qaeda itu juga dikatakan mempunyai kaitan dengan 'Islamic Maghreb' (AQIM) dan kumpulan lain. - AP

Schumacher kini 'lumpuh', 'masalah ingatan dan tidak boleh bercakap'

Michael Schumacher bersama isteri, Corinna. - Foto Reuters
KHAMIS, 20 NOVEMBER 2014 @ 9:15 AM

PERANCIS: Seorang bekas pemandu Formula Satu (F1) mendakwa legenda sukan itu, Michael Schumacher kini 'lumpuh' dan terpaksa menggunakan kerusi roda, 'tidak berupaya bercakap dan mengalami masalah ingatan'.
Bekas pemandu F1, Philippe Streiff yang juga menggunakan kerusi roda sejak nahas di Brazil pada 1989 ketika ujian pra musim berkata, Schumacher tidak berupaya untuk bercakap dan mengalami masalah ingatan.
Streiff, yang juga kawan baik Schumacher berkata: "Dia semakin baik tetapi semuanya agak relatif. Ia amat sukar. Dia tidak boleh bercakap.
"Sama seperti saya, dia guna kerusi roda, lumpuh. Dia mengalami masalah ingatan dan tidak boleh bercakap."
Streiff, 59, melawat Schumacher ketika pemandu Jerman itu dirawat di Hospital Grenoble, Perancis selepas dia terbabit dalam nahas ski pada Disember sehingga mengalami kecederaan di bahagian otak.
Schumacher, 45, dipindahkan ke Hospital Lausanne di Switzerland pada Jun lalu dan kini dirawat di rumahnya di Lake Geneva.
Sehubungan itu, jurucakap Schumacher, Sabine Kehm berkata, komen Streiff adalah "pandangan peribadinya" dan beliau tidak mahu mengulas lanjut.
"Streiff tidak pernah berhubung dengan kami," katanya.
Sementara itu, doktor yang merawat Schumacher pada Oktober lalu berkata, bekas juara F1 itu menunjukkan perkembangan positif tetapi memerlukan masa beberapa tahun untuk sembuh.
Doktor Perancis, Jean-Francois Payen juga memuji isteri Schumacher atas kasih sayang yang ditunjukkan sejak suaminya terbabit dalam nahas berkenaan.
Dr Payen merawat Schumacher di Hospital Grenoble selepas dia dibawa dari lokasi nahas.
"Saya dapati ada sedikit perkembangan tapi kita perlu memberinya masa. Sama seperti pesakit lain, kita perlu beri masa setahun hingga tiga tahun, jadi anda perlu bersabar," katanya.
Dr Payen berkata, beliau masih merawat bekas pemandu berusia 45 tahun itu di hospital Lausanne dan di kediaman Schumacher. - Agensi

Pengantin diarak naik lori

Mohamed Taufik dan Siti Sarah diarak menaiki lori pengangkut jentera berat mengelilingi bandar Kluang, Sabtu lalu.

WARTAWAN SINAR HARIAN

Pengantin tersebut ialah Mohamed Taufik Malek,25, bersama pasangannya, Siti Sarah Ayub, 25, tidak menyangka mereka diberi kejutan seumpama itu oleh bapanya sendiri, Malek Sawin, 53.

Menurut Mohamed Taufik yang bekerja sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Pengangkutan Malek, hadiah diterima itu adalah yang termahal untuk dia dan isterinya.

Jelasnya, dia tidak mengetahui rancangan yang telah diatur bapanya itu sehinggalah pada hari majlis diadakan.

“Saya rasa majlis perkahwinan saya ini hari yang paling bahagia dan tidak dapat dilupakan hingga akhir hayat.

“Terima kasih kepada keluarga yang sanggup bersusah payah membuat kejutan ini untuk saya dan isteri,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Mohamed Taufik itu turut diiringi 40 motosikal berkuasa besar daripada Kelab Kluang Bikerz dan 10 kenderaan pacuan empat roda Persatuan 4x4 Kluang.

Sementara itu, Malek dan isterinya, Haslina Wagiman, 50, melahirkan rasa teruja kerana hasrat yang dipendam selama ini terlaksana dengan jayanya hasil bantuan daripada rakan perniagaan serta semua kakitangan syarikat.

Rela berhenti kerja demi jaga bapa

WARTAWAN SINAR HARIAN

Roslan Ramli, 32, berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain bagi menjaga dan menguruskan bapanya, Ramli Zainal, 58, yang kini lebih banyak terlantar di atas katil.

Menurutnya, dia bergantung dengan pendapatan isteri, Zamzariah Ahmad, 32, sebagai jurujual makanan bagi menampung kehidupan mereka termasuk dua anak lelaki berusia lapan dan 12 tahun.

“Berat ayah sekarang hanya 34 kilogram (kg) berbanding 70 kg sebelum ini.

“Segala keperluan ayah termasuk makan, mandi, buang air besar dan kecil perlu diuruskan kerana ayah sudah tidak berdaya serta semakin lemah,” katanya.

Katanya, pada mulanya, doktor mengesyaki bapanya menghidap kanser ketika membuat pemeriksaan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar selepas menyedari berat badannya turun mendadak.

Katanya, ketika itu doktor minta kebenaran mahu menebuk dada ayahnya untuk mengambil sedikit tisu pada paru-paru bagi ujian saringan kanser, tetapi mereka adik beradik tidak setuju selepas mengetahui risiko sampingannya.

“Tidak lama selepas itu, sekali lagi ayah dimasukkan ke hospital dan doktor mengesahkan dia menghidap penyakit kanser paru-paru tahap empat. Saya bagaikan dihempap batu besar selepas diberitahu perkara tersebut,” katanya.

Roslan berkata, meskipun terkejut dengan perkhabaran itu, namun dia tidak dapat menyembunyikan rasa pelik kerana penyakit dihidapi bapanya berlaku tanpa tanda-tanda seperti sakit atau batuk dan ianya terjadi secara tiba-tiba.

Tambahnya, dua bulan kebelakangan ini, setiap bulan ayahnya akan ditahan dalam wad selama seminggu untuk dimasukkan darah serta hampir 10 botol air.

“Doktor tidak mengalakkan ayah menjalani rawatan kimoterapi kerana boleh mengancam nyawanya,” katanya.

Katanya, bapanya kini perlu bergantung dengan bantuan mesin oksigen sekurang-kurangnya 18 jam sehari disebabkan sebelah paru-parunya sudah rosak bagi mengelakkanya mengalami masalah sesak nafas.

Menurutnya, mesin tersebut dipinjamkan hospital dan dia berusaha memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada untuk menjaga bapa berikutan peluangnya untuk sembuh amat tipis.

“Saya yang tidak bekerja terbeban dengan perbelanjaan keperluan ayah terutama lampin pakai yang kini ditanggung tiga beradik lain.

“Mereka (adik-beradik) kerja biasa saja dan ada komitmen terhadap keluarga masing-masing. Ayah tinggal bersama adik bongsu, Rosli, 23, yang bekerja sebagai penebar roti canai telah berumahtangga serta memiliki seorang cahaya mata,” katanya.

Jelasnya, dia yang tinggal bersebelahan rumah adiknya akan menjaga bapanya apabila Rosli keluar bekerja.

“Ayah pemegang kad OKU kerana hilang penglihatan sebelah mata akibat ditimpa putik kelapa, tetapi tidak mendapat bantuan agensi terlibat.

“Saya harap pihak berkaitan dapat mengambil berat masalah yang dihidapinya sekeluarga untuk mengembirakan diakhir hayatnya ini,”katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Ledang, Ab Gani Ab Bakar berkata, jabatan berkenaan sudah meluluskan bantuan OKU tidak bekerja sebanyak RM150 untuk Ramli dan bantuan kepada penjaga OKU iaitu Roslan berjumlah RM300 sebulan yang akan mereka terima bermula Disember ini.

“JKM sentiasa peka dengan masyarakat di daerah ini dan segera melakukan siasatan apabila terima aduan berkaitan orang susah,” katanya.

Pengakuan suami curang

NOR KHALILAH GUSTI HASSAN

Usah terlalu merasa bahagia, jika anda sendiri belum mempercukupkan diri untuk si dia. Selama ini, dia tidak menyangka sungai rumah tangganya yang beralun lembut, aman damai, tenang di permukaan telah bergolak hebat di dasarnya, tanpa sedar...

Suami seorang yang penyayang dan romantis. Anak anak ketawa ceria... malah sebagai suri rumah tangga dia seorang isteri yang menjaga batas pergaulan termasuk aurat dan akhlak.

Suami selalu membuat kejutan. memberi hadiah dan kata senyuman, namun dia yang selalu berasa hebat dapat menjaga keperluan suami dan anak anak tidak sedar bahawa ada wanita lain yang telah membahagiakan suaminya sekali gus menjadikan lelaki itu amat romantik di rumah untuk menutup kesalahan...

Saya terjumpa kad hari lahir berbaur cinta. Berkali-kali saya mengugut suami untuk berterus terang dan akhirnya tembelang pun pecah.

“Ya, abang sayangkan dia! Dia janda dan abang dah terlanjur banyak kali!”

Ya ALLAH... saya terduduk dengan pengakuan itu... kenapa janda? kenapa bukan anak dara? kenapa mudahnya lupakan pengorbanan saya... apa salah saya? air mata mengalir deras. Saya rasa ingin rebah, suami cuba menongkah tapi saya pantas menepis.

Tiada kekuatan untuk saya teruskan langkah tapi saya gagahi jua sehingga ke bilik air untuk mengambil wuduk. Mak kata, kalau marah baca al-Quran. Kalau sedih solat sunat dan mengadu padaNYA.

Ya... Saya ingin mengadu... air mata saya mengalir laju walaupun sedang solat dan mengaji. Usai solat dan berdoa suami merebahkan kepalanya di ribaan saya. Dia merangkul pinggang saya dan mencium telapak tangan saya berkali-kali.

Dia minta saya ampunkannya kerana menengking saya sebentar tadi. Dia akui terlalu marah kerana saya mendesak dan menjerit kepadanya.

Ya ALLAH, sesungguhnya lebih pada jerit ingin saya lakukan... S-aya ingin menetak suami dengan parang! Tapi saya tiada kekuatan. Hati saya hancur luluh. Saya kuatkan hati untuk bertanya...

“Berapa kali?”

“Banyak...”

“Sejak bila?”

“Sejak Mah mengandung Adan...”

Ya ALLAH... enam tahun lalu... kini Adan dah ada dua adik...

“Tak kahwin?”

“Tidak... abang sayangkan Mah...”

“Sayang?”

“Ya...”

“Ini tanda sayang?”

Soalan saya terbiar tanpa jawapan...

Saya tidak memandang wajah suami di ribaan, tidak juga mengelus rambutnya seperti kebiasaan dia bermanja dengan saya. Mata ini tidak berkedip. Saya melempar pandangan kosong ke dinding. Hati saya bungkam. Air mata tak mahu berhenti...

Minta terus terang

Saya minta suami terus terang kekurangan saya. Jika masih sayangkan perkahwinan kami dan mahu saya terus di sisinya, saya mahu tahu, apa kelebihan perempuan itu dan apa kekurangan saya. Suami menggelengkan kepala sesungguh hati. Mengongoi macam budak kecil. Dia seakan tahu yang saya mahu keluar dari rumahnya.

“Sepuluh tahun abang... sepuluh tahun Mah tertipu dengan permainan abang. Mah sangka rumah tangga kita aman dan bahagia. Rupanya Mah yang berangan-angan di rumah sendiri... abang tak bahagia dengan Mah... Abang cari lain-

“Tak! abang bahagia. Mah jaga abang dan anak-anak dengan baik... tak ada kurang satu pun... Abang tulis. Abang tulis apa yang abang tak suka tentang Mah. Abang tak sanggup nak kata tapi Mah janji jangan tinggalkan abang...”

Saya mengangguk. Saya tolak kepala suami dari ribaan dan melangkah longlai ke bilik anak-anak dengan telekung masih di kepala. Malam itu saya menangis di sisi anak-anak yang enak tidur. Entah bila saya terlelap langsung tak pasti.

Subuh lagi saya sudah bangun sediakan sarapan suami dan anak-anak. Saya kejut suami dan dia bangun seperti tiada apa-apa berlaku. Di hadapan anak-anak kami cuba berlagak biasa.

Menjadi rutin, sebelum dia keluar menghantar anak ke sekolah saya bersalaman dan dia mengucup dahi saya; tapi pagi itu, saat ia hendak berlaku, saya palingkan muka. Saya tak mahu bibir yang pernah mencium wanita lain hinggap di dahi saya yang setia. Air mata melurut lagi.

Surat jadi penyebab

Saya tutup pintu dan saya menapak ke ruang tamu. Ada helaian kertas yang bertindih gelas kaca. Saya tahu itu pengakuan suami. Saya tarikh nafas dalam-dalam mencari kekuatan untuk membacanya.

Dan isi surat suami, betul-betul buat saya rasa tertampar. Saya harap anda semua memahaminya. Jangan sesekali menyalahkan suami saya atau mana-mana lelaki yang pernah mencurangi anda juga. Ia fitrah seorang lelaki. Dan ia juga menjadi sebab untuk saya menerima dan memaafkannya.

Mah isteri abang yang solehah, isteri yang cantik... yang baik... dan ibu yang sempurna kepada Adan, Lili dan Nafisa...

Impian abang yang terakhir agar Mah menjadi sahabat sepanjang hayat... abang merayu sesungguh hati untuk Mah maafkan abang dan menerima abang semula. Sebelum abang tulis surat ini, abang dah hubungi Zulaikha untuk putuskan hubungan.

Abang nekad, apa pun berlaku selepas ini, abang terima sebagai hukuman. Abang reda.. abang berdosa. Abang suami yang terkhilaf...

Mah...

Abang jenguk Mah di bilik anak. Mah tidur dengan air mata yang mengalir. Muka Mah polos tanpa solekan. Mata Mah bengkak dan ada lingkaran hitam. Abang menangis. Mah tak sedar betapa abang cintakan Mah. Tapi Mah lupa, kecantikan Mah yang pudar telah buat cinta abang berpaling.

Sumpah Mah! Sumpah abang rasa bertuah ada isteri sebaik Mah. Mah jaga makan pakai abang, makan minum anak-anak dan rumah tangga. Tapi Mah tak jaga diri Mah untuk abang. Mah tak jaga keperluan batin abang.

Kita kenal sejak sekolah. Sejak Mah jadi pujaan ramai lelaki dan kawan-kawan abang. Mah ramping, tinggi, bermata galak dan menggoda. Tapi sejak Mah lahirkan Adan, Mah biarkan kecantikan Mah hilang.

Mah biarkan kuku Mah kecut.. rambut Mah busuk di sebalik tudung... kaki Mah bengkak dengan lemak... badan Mah berbau bila abang balik kerja. Abang terpaksa hipokrit setiap kali Mah sambut abang balik kerja di muka pintu dengan wajah kusam dan tak bermaya.

Abang lemah tengok Mah lemah... Abang bagi Mah duit untuk Mah bersisir, tapi Mah habiskan dengan perhiasan rumah dan emas. Kenapa Mah tak gunakan untuk merapikan diri?

Mah abang tak pandang pakaian atau tudung cantik yang menutupi Mah, Abang juga tak pandang barang kemas yang berselirat di tangan atau leher Mah, tapi abang pandang tubuh dan wajah Mah.

Kalau Mah sendiri tak menghargai diri bagaimana pula abang? Mana pergi diri Mah yang penuh keyakinan masa Mah bekerja dulu? Mana pergi wanita pujaan abang yang penuh dengan keanggunan masa kita sama-sama belajar dan bekerja dulu?

Abang sungguh malu nak bercakap tentang hal ini, tapi jika ini peluang terakhir untuk abang memperbaiki rumah tangga kita, abang luahkan... dan Mah terimalah dengan lapang hati.

Mah... Zulaikha cantik. Dia janda anak ramai tapi bahasa tubuhnya tidak menggambarkan dia seorang janda. Dia menjaga setiap inci yang ada pada tubuhnya sehingga ke bahagian yang paling sulit.

Abang minta ampun. Abang menyesal... Zulaikha hanya mahu berkawan dengan abang untuk mengisi kekosongan hidupnya. Dia tidak pernah meminta hubungan yang lebih tetapi kerana selalu bersamanya, abang terpesona. Abang rindukan isteri abang yang dulu. Jika Mah ingin berlalu dari hidup abang... abang tidak mampu menghalang.

Abang berdosa dengan Mah. Mah berubahlah. Cari semula kekuatan Mah sebagai seorang perempuan. Ampunkan abang... abang tak pergi kerja hari ini. Abang nak ke rumah ibu bapa Mah untuk akui semua kesilapan abang dan abang akan terima segala hukuman.

Sekali lagi, dari lubuk hati yang paling dalam... abang merayu Mah pulangkan semula isteri abang yang cantik, yang menghargai dirinya luar dan dalam... abang merayu...

Sebutir telur yang memalukan


ABDUL JALIL ALI
20 November 2014
SEKIRANYA semua berlapang dada, terus ketawa dan tidak berbuat apa-apa, dalam masa 10 tahun lagi, kita mungkin terpinggir di negara sendiri. Jangan terkejut jika pendatang asing menjadi tuan di tempat kita.

Juga, sekiranya pihak berkuasa kita tidak bertindak tegas, berkhayal dan asyik lena dalam kealpaan, orang kita sendiri akan hidup dalam ketakutan, menjadi kuli batak, dan diperkotak-katikkan makhluk-makhluk asing. Alangkah ngerinya!

Harap-harap bayangan ngeri ini tidak terjadi. Tetapi kemungkinan untuk terjadi tidak boleh ditolak bulat-bulat. Hakikat di hadapan mata ialah pendatang asing telah melimpah di negara berdaulat ini.

Hendak tahu berapa bilangan pendatang asing yang kini mengasak setiap sudut di negara kita? Menurut Datuk Richard Riot, ada 6.7 juta pendatang asing yang kini mengisi pasaran kerja di tempat kita. Begitulah ramainya!

Satu lagi fakta yang disebut oleh Menteri Sumber Manusia ialah daripada begitu ramai pendatang asing yang masuk ke sini, hanya 2.1 juta mempunyai permit sah. Ertinya kira-kira 5 juta orang duduk di keliling kita, tanpa permit @ Pati.

Setiap saat kita dikelilingi – dan diawasi! – oleh berjuta-juta pendatang tanpa izin. Secara peribadi tiba-tiba sahaja saya berasa hidup dalam bahaya. Tidakkah anda juga berasa yang sama?

Entah di mana silapnya, pintu masuk ke negara kita selalu dibolosi Pati. Pintu masuk rasmi dikatakan dikawal rapi dengan alat pengesan serba canggih, tetapi Pati tetap juga bolos. Setiap hari beribu masuk secara haram. Agaknya alat mereka lebih canggih sehingga pihak berkuasa kita gagal mengesan.

Tambahan pula selain pintu-pintu masuk rasmi seperti lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan, ada sekian banyak pintu-pintu masuk tidak rasmi – lorong tikus, lorong buaya, lorong babi tonyok, lorong depan, lorong belakang – setiap detik berjaya dibolosi makhluk asing.

Ternyata dan telah terbukti, setelah masuk ke negara makmur ini, Pati dan bukan Pati terus ligat mengambil kesempatan yang ada. Mereka ligat macam gasing, sebab pihak berkuasa kita lembap, lambat macam siput babi. Bukti kelembapan boleh dilihat depan mata, antaranya:

Pertama: Kes Cameron Highlands adalah contoh klasik. Setelah sekian lama dibiarkan, baru kita disedarkan ada lebih 10,000 pendatang asing – termasuk Pati – menguasai kawasan tersebut. Setelah keadaan menjadi begitu parah, baru ada tindakan dilakukan oleh pihak berkuasa. Kenapa selama ini semua tidur?

Kedua: Tapak perniagaan di kawasan Chow Kit Kuala Lumpur kini dikuasai oleh pendatang asing. Pihak berkuasa mengeluarkan permit kepada peniaga tempatan – kebanyakannya Melayu – untuk berniaga di kawasan berkenaan.

Tetapi dari begitu banyak permit dikeluarkan, hanya satu dua yang masih diusahakan oleh pemegang permit asal. Sebahagian besar permit disewakan atau dijual kepada pendatang asing. Dulu kawasan tersebut milik Melayu, kini sudah menjadi milik pendatang.

Mengapa tidak ada tindakan pihak berkuasa ke atas mereka yang menyalahgunakan permit? Mengapa biarkan kawasan itu dikuasai pendatang asing? Satu demi satu kawasan kita dirampas, pihak berkuasa kita terus leka!

Ketiga: Banyak kawasan setinggan dikuasai oleh pendatang asing, termasuk Pati. Mereka aktif dan kreatif. Pantang ada tanah kosong mereka dirikan penempatan. Penduduk tempatan kompelin, tetapi pihak berkuasa tidak ambil berat, atau buat-buat tidak nampak.

Malah, pernah terjadi tanah sah milik persendirian dijadikan kawasan setinggan, dan pihak berkuasa tidak berani merobohkan. Setiap kali aduan dibuat, jawapan yang diberikan tetap sama: “Kami sedang menyiasat”. Benda sudah jelas di hadapan mata, apa lagi hendak disiasat? Pemilik sah menderita, pendatang asing ketawa. Di mana pihak berkuasa?

Keempat: Pendatang kulit hitam dari Afrika terlalu biadab. Mereka membuat kacau di banyak kawasan perumahan, mabuk dan memekik waktu malam. Mereka masuk ke pusat hiburan, membuat kacau. Pusat hiburan yang sepatutnya tutup jam 12, terus dibuka hingga ke subuh untuk melayani Pak Hitam.

Mereka berani kencing sambil menunjukkan kemaluan tanpa segan. Aduan selalu dibuat tentang perangai tidak senonoh Awang Hitam. Tetapi mereka tetap keras kepala. Masa sudah tiba untuk penguat kuasa kita bertindak.

Buktikan bahawa kita juga ada telur. Atau, apakah pihak berkuasa kita memang sudah tidak bertelur?

Islamofobia: Sikap Barat pada Islam


CIKGU SIDEK BABA
20 November 2014
ISLAMOFOBIA adalah suatu gambaran kegentaran atau ketakutan terhadap Islam yang sedang berlaku di Barat, malah di dunia. Kebangkitan Islam yang sedang berlaku kini dilihat sebagai suatu ancaman kerana ia tidak selari dengan pendekatan pascamodenisme yang mereka anjurkan.

Barat dikatakan melepasi tempoh modenisme dan berada dalam zaman pascamodenisme. Falsafah modenisme mendukung faham rasionalisme secara mutlak sebagai asas kebenaran. Agama tidak ada peranan dalam proses kemajuan dan perubahan.

Lalu sesuatu yang berlaku dalam kalangan umat Islam dalam memperjuangkan agamanya dianggap memutar kembali jarum jam ke belakang, ketinggalan zaman dan melakukan dogma dan tahyul yang tidak ada asas saintifiknya. Sebab itu label-label fundamentalis, teroris dan ekstremis dilontarkan kepada Islam kerana dikatakan Islam bersikap antagonistic (penentang) terhadap kemajuan Barat.

Barat tahu bahawa Islam dan tamadunnya adalah suatu khazanah. Kemajuan di Barat suatu ketika dulu dicerahkan oleh Islam bila karya-karya besar Islam dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi dan lain-lain diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Hebrew dan Ibrani dan menyebabkan reformasi, renaisans dan revolusi industri terjadi.

Barat juga tahu bahawa di perut bumi negara umat Islam terdapat kekayaan hasil seperti minyak, gas, air bawah tanah, uranium dan thorium sebagai sumber tenaga yang amat diperlukan di Barat. Sekiranya umat Islam bangkit dengan sistem pendidikan yang integratif sumber modal insan akan memanfaatkan sumber hasil bumi yang banyak. Telah sekian lama sumber ini menjadi mangsa eksploitasi kuasa-kuasa Barat untuk keperluan pembangunan ekonomi dan kemajuan negara mereka.

Mereka tahu bahawa Islam bukan sekadar Suatu Sistem Kepercayaan tetapi juga Suatu Cara Hidup. Di Eropah sendiri pengaruh Islam dan kehadiran semakin ramai orang-orang Islam meresahkan mereka. Ada statistik pada tahun 2011 menunjukkan kadar kelahiran orang-orang Islam di bandar-bandar besar di United Kingdom mengatasi jumlah kelahiran orang-orang Kristian. Bayangkan dalam tempoh 50 tahun mendatang umat Islam boleh mengatasi orang Bukan Islam dan ia menyebabkan Islamofobia semakin meningkat.

Kuasa-kuasa Besar sedang melakukan adu domba di Mesir, Syria, Iraq, Libya, Tunisia supaya umat Islam terus lemah dan berpecah. Isu Palestin tidak mampu dileraikan oleh Bangsa-bangsa Bersatu dan Israel terus mengganas dengan kejamnya terhadap umat Islam di sana.

Pada hemat penulis pertembungan tamadun (clash of civilization) ini tidak patut berlaku. Islam bukan agama yang anti kemajuan seperti sains dan teknologi. Islam mengaturkan kehidupan lebih manusiawi. Fitrah kehidupan manusia baik di Barat mahupun di Timur akan mencari kebenaran dan keadilan yang hakiki dalam hidup ini.

Apa makna bangunan pencakar langit sedangkan akhlak manusia mencecah bumi. Apa makna sistem ekonomi kapitalis yang menyebabkan eksploitasi dan monopoli melampau berlaku. Apa makna suatu sistem pendidikan dan ilmu yang hanya bersifat duniawi tetapi tidak mementingkan nilai dan agama.

Hal-hal ini yang menjadi isu umat manusia. Bila Islam menawarkan Suatu Order Baru Dunia iaitu mengembalikan semula manusia secara manusiawi bukannya haiwani ia menimbulkan ketakutan kepada Barat.

Fitrah manusia akan terus mencari sesuatu yang lebih bermakna dalam hidupnya. Hidup lepas bebas dengan budaya LGBT yang membuas bukan jawapan terbaik dalam membina pola hidup. Justeru kedatangan Islam tidak harus ditakuti tetapi harus diraikan kerana ia adalah agama hari depan umat manusia. Integrasi nilai dan etika kepada proses pembangunan manusia dan sistem adalah sesuatu yang ditunggui sekian lama. Kehadiran Islam di Barat harus dilihat secara positif.

Ahok Gabenor Jakarta pertama beragama Kristian


ANGGOTA kumpulan Barisan Pembela Islam (FPI) mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perlantikan orang bukan Islam sebagai Gabenor Jakarta di Jakarta semalam.


JAKARTA – Gabenor Jakarta Kristian pertama dalam tempoh hampir 50 tahun, Basuki Tjahaja Purnama mengangkat sumpah jawatannya semalam walaupun mendapat bantahan ramai penduduk Islam yang menentang orang bukan Islam dipilih menduduki jawatan tersebut.
Kerusi Gabenor Jakarta merupakan antara jawatan politik paling berkuasa di Indonesia. Presiden Joko Widodo menyertai majlis angkat sumpah Basuki yang sebelum ini merupakan Timbalan Gabenor Jakarta di Istana Presiden di sini.
Basuki yang popular dengan gelaran Ahok memangku jawatan Gabenor sejak Widodo berundur pada bulan lalu untuk menjadi Presiden Indonesia.
Dalam perkembangan berkaitan, beratus-ratus orang Islam mengadakan tunjuk perasaan terhadap Ahok sekali gus membayangkan situasi sukar Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi untuk memupuk toleransi agama di Indonesia.
Negara itu memiliki populasi orang Islam paling ramai di dunia.
Ahok berbangsa Cina yang merupakan etnik minoriti di Indonsia. Kaum Cina dibenci penduduk pada masa lalu ekoran mereka dituduh mengawal sebahagian besar perniagaan dan perdagangan di Indonesia.
Terdahulu, beribu-ribu anggota polis dikerahkan ke bandar raya ini pada minggu lalu untuk menghadapi kemungkinan berlakunya keganasan.
Sebelum ini, majlis angkat sumpah Ahok telah ditangguhkan untuk mendapatkan dekri Presiden berhubung perlantikan tersebut.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tjahjo Kumolo berkata, majlis itu akan diadakan pada minggu hadapan manakala akhbar Jakarta Globe melaporkan ia diadakan kelmarin.
Setakat ini, masih tidak jelas punca majlis itu dianjakkan pada semalam.
Indonesia yang memiliki 240 juta penduduk menyaksikan peningkatan dalam serangan terhadap penduduk Kristian, Syiah dan ajaran Ahmadiyah sejak lebih sedekad lalu.
Pentadbiran Jokowi yang mengambil alih tampuk pemerintahan pada bulan lalu bagaimanapun berjanji akan melindungi semua agama minoriti di Indonesia yang mempunyai 90 peratus penduduk Islam. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3JYRTjFtT 
Hakcipta terpelihara 

Puteri cilik Instagram hidup mewah

Breanna duduk di atas riba seorang peminatnya yang merupakan penduduk
20 November 2014 2:48 AM

Breanna duduk di atas riba seorang peminatnya yang merupakan penduduk Arab bergambar bersama ibu dan ayahnya, Junghyun serta abangnya Braxton di sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang di UAE. – AGENSI

SEOUL 19 Nov. - Usianya baru mencecah lima tahun, tetapi Breanna Youn, digelar sebagai Puteri Instagram apabila mempunyai lebih sejuta pengikut dari seluruh dunia dalam laman perkongsian gambar, Instagram, hampir menyamai jumlah pengikut aktres terkemuka, Cameron Diaz.
Malah populariti Breanna yang berasal dari Korea Selatan, telah mengubah kehidupan keluarganya yang sebelum ini hanya mendiami pangsapuri sempit kepada gaya hidup mewah seperti bintang Hollywood, apabila menikmati barangan mahal termasuk beg tangan Louis Vuitton, Chanel dan barangan kemas Tiffany hasil tajaan yang di­terimanya.
Aksi kanak-kanak itu mula dikesan oleh beberapa orang kaya di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) apabila ibunya, Jocelyn, 27, memuat naik gambar anaknya yang comel itu melalui Instagram, dan sejak itu Breanna menjadi tarikan pelayar Internet di Asia Barat dan mempunyai pengikut seramai 1.1 juta orang.
Jocelyn bijak mengambil kesempatan itu dengan mengajar anaknya berbahasa Arab untuk menarik lebih ramai lagi peminat, sehingga golongan yang berada di UAE sanggup menanggung penerbangan kelas business Breanna sekeluarga ke Dubai.
Selain itu, Breanna sekeluarga diberi tempat tinggal percuma se­umur hidup di hotel lima bintang sejak Mei lalu dan menaiki limusin untuk bersiar-siar di UAE.
Menurut Jocelyn, yang kini menganut agama Islam sejak berpindah ke UAE, dia tidak tahu kenapa ramai orang menyukai Breanna kerana anaknya tidak mempunyai sebarang bakat istimewa seperti menari dan hanya pandai berlakon dan bergaya.
“Breanna cuma suka tersenyum dan mungkin ada sesuatu dalam dirinya yang membuatkan orang lain suka padanya dan apabila berada di hadapan kamera, dia akan bergaya secara spontan.
“Di Korea, Breanna mendapat perhatian kerana rupanya yang comel, tetapi di sini, mereka mahu bergambar bersamanya kerana mengenali anak saya melalui Instagram,” kata Jocelyn kepada portal berita Mail Online.
Kini Breanne boleh bertutur dalam empat bahasa iaitu Inggeris, Korea, Tatalog dan Arab.
Dia turut mempunyai beribu-ribu pengikut di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Arab Saudi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/puteri-cilik-instagram-hidup-mewah-1.26783#sthash.QRIbHRtR.dpuf