Sunday, June 12, 2011

Perairan negara terus diperketat


TAWAU 11 Jun - Kementerian Pertahanan kini memperketatkan kawalan dan pemantauan Ops Pasir di seluruh sempadan negara berikutan situasi tegang yang berlaku antara beberapa buah negara di rantau ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, langkah itu diambil khususnya di Laut China Selatan yang terlibat dengan tuntutan bertindih melibatkan beberapa negara.

"Laut China Selatan sudah mula 'panas' apabila Vietnam dan Filipina mengeluarkan kenyataan seolah-olah mahu mencabar China berhubung penguasaan di perairan berkenaan,'' katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Angkatan Tentera Bersama 2 di Kem Kukusan dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Staf Markas ATB, Mejar Jeneral Datuk Abu Bakar; Panglima 5 Briged, Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal dan Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan.

Ahmad Zahid berkata, usaha peningkatan kawalan juga dilakukan ekoran berlakunya insiden penculikan di Pulau Jolo, selatan Filipina yang melibatkan ahli perniagaan tempatan, Nazaruddin Saidin, 38.

Dalam pada itu, Zahid menyeru agar pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan bekerjasama bagi membanteras isu pemerdagangan manusia.

Jelasnya, meskipun sesuatu pihak itu mungkin tidak mempunyai bidang kuasa di dalam isu yang dibangkitkan, mereka perlu bersiap siaga sekiranya agensi lain memerlukan bantuan mereka.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Agus Salim akan diusir

KUALA LUMPUR 11 Jun - Ejen 'senyap' rangkaian kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI), Agus Salim yang ditahan di Johor Bahru, Isnin lalu, dijangka diusir ke negara asalnya selepas tamat tempoh tahanan selama 60 hari.

Sumber berkata, Agus, 34, berasal dari Medan, Indonesia kini telah dibawa ke ibu negara untuk ditahan mengikut Ordinan Kecemasan (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969.

"Selepas siasatan dan tempoh tahanan selama 60 hari itu selesai baru tindakan pengusiran akan dilakukan oleh Jabatan Imigresen.

"Siasatan mengenai identiti palsu yang digunakan Agus masih dalam siasatan, namun pihak di negara ini tidak mempunyai kuasa untuk menjelaskan lebih lanjut mengenainya kerana pasport itu dibuat di Indonesia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Ryan Giggs rela masuk pusat pemulihan seks



STACEY dan Ryan Giggs.


MANCHESTER - Bintang bola sepak, Ryan Giggs memberitahu isterinya, Stacey bahawa dia akan meminta bantuan profesional untuk merawat ketagihan seks dalam usaha menyelamatkan rumahtangga mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Giggs, 37, yang bermain untuk kelab Manchester United (MU) menawarkan diri memasuki pusat pemulihan untuk membina semula kehidupan bersama keluarganya.

Menurut akhbar The Sun, Stacey, 32 juga bersetuju untuk cuba menyelamatkan perkahwinan mereka.

Stacey memutuskan untuk setia di sisi Giggs setelah dia membuat pelbagai janji untuk berubah di samping mengakui bahawa dia tidak dapat hidup tanpa isterinya.

Reputasi bersih pemain tengah MU itu lebur selepas hubungan sulit lapan tahun dengan adik iparnya, Natasha dan peserta program realiti televisyen Big Brother, Imogen Thomas terbongkar pada minggu lalu.

Stacey yang memiliki dua anak bersama Giggs memberitahu seorang rakan rapatnya: "Giggs sakit (ketagihan seks) dan dia memerlukan bantuan saya. Selagi dia mengotakan janjinya, perkahwinan kami akan terus bertahan,".

"Suami saya tidak pernah mencintai Imogen dan Natasha ialah seorang pembohong. Keluarga kami akan dapat mengatasi kemelut ini," tambahnya.

Kelmarin, bintang bola sepak itu kelab didakwa menawarkan adiknya, Rhodri wang sebanyak AS$406,942 (RM1.2 juta) supaya dia tidak membuat pendedahan yang memalukan keluarga mereka.

Sementara itu, perkahwinan Rhodri dengan Natasha dilihat tidak akan kembali pulih, terutama selepas akhbar The Sun mendedahkan bahawa Natasha turut tidur dengan bekas pemain pasukan MU seperti Danny Simpson, Phil Bardsley dan Dwight Yorke, selain seorang promoter kelab malam. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia