Tuesday, November 16, 2010

Husam nafi kata Pas akan terima Zaid


16/11/2010 6:29pm

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa menafikan laporan yang memetiknya sebagai berkata, parti itu akan menerima bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim sebagai anggotanya.
Husam berkata, laporan Bernama yang memetik beliau berkata demikian adalah tidak tepat.
Semalam Zaid mengesahkan bahawa beliau akan keluar daripada PKR kerana tidak yakin dengan kepimpinan parti itu. - Bernama

Saya bukan suka mengalah tapi muak - Zaid


16/11/2010 6:32pm

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Datuk Zaid Ibrahim berkata, tindakannya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan kerana beliau mudah mengalah dan suka melompat parti sebaliknya kerana telah muak dengan masalah dalaman parti itu.
Beliau berkata, tindakan nekad meninggalkan parti yang dianggotainya kira-kira dua tahun lepas juga kerana berpegang kepada prinsip kebenaran.
Dalam kenyataan menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini, Zaid, yang juga bekas penyelaras PKR berkata, tidak wajar bagi sesetengah pihak untuk menyamakan keadaan yang dihadapinya sekarang berbanding ketika beliau berada dalam UMNO.
Menurutnya, semasa dalam UMNO beliau dipecat keahliannya manakala di PKR, beliau secara sukarela menarik diri meninggalkan perjuangan parti yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama

Jemaah haji wukuf di Padang Arafah



RATUSAN ribu jemaah haji berhimpun di Padang Arafah dekat Mekah semalam.


PADANG ARAFAH, Arab Saudi - Dengan memakai ihram, sekitar dua juta umat Islam melakukan wukuf di sini bagi menunaikan rukun kedua ibadat haji.
Ramai jemaah memulakan perjalanan sebelum subuh dalam usaha mereka untuk sampai ke puncak Bukit Arafah yang juga dikenali sebagai Jabal ar-Rahmah, di luar tanah haram iaitu kira-kira 18 kilometer dari kota Mekah.
Bukit tersebut merupakan tempat Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam.
Mereka yang berjaya sampai bukit itu selepas berasak-asak duduk di lereng-lereng bukit sambil berdoa dan membaca al-Quran.
Sejumlah lagi dilihat menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan gambar manakala sebahagian lagi jemaah duduk di atas hamparan tikar di atas batu-batu di bukit berkenaan.
"Sukar untuk saya menggambarkan perasaan saya. Saya seperti berada pada Hari Kebangkitan," kata seorang jemaah dari Syria, Mossaad Mheymeed ketika berdiri di puncak Jabal ar-Rahmah.

SEJUMLAH jemaah haji berdoa di Bukit Jabal ar-Rahmah di Padang Arafah semalam.


"Syukur kepada Tuhan kerana memberikan nikmat ini," kata rakannya, Hussein al-Alawi, 55, juga dari Syria.
Wukuf atau berhimpun di Padang Arafah yang menandakan kemuncak dalam ibadah haji bermula kelmarin apabila lebih dua juta umat Islam beredar dari Mekah untuk menuju ke Mina.
Setakat ini, tiada laporan berhubung sebarang kemalangan besar berlaku di Arafah. - Agensi

Zaid sah tinggalkan PKR

KUALA LUMPUR: Bekas ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan, di sini, semalam, beliau akan meninggalkan parti itu.
Teka-teki mengenai pengundurannya daripada parti itu terjawab apabila beliau membuat penjelasan menerusi blognya.
Dalam pos terbarunya, Zaid menjelaskan pengundurannya daripada parti itu akan dianggap selesai, sebaik saja beliau menyerahkan surat rasmi kepada sekretariat parti.

“Saya merujuk kepada tajuk akhbar berbahasa Inggeris hari ini (semalam). Adalah benar saya akan meninggalkan parti itu tetapi saya belum menyerahkan surat pengunduran rasmi daripada parti.


“Semuanya akan dijelaskan menerusi siaran akhbar Jumaat ini,” katanya.

Akhbar itu melaporkan bahawa Zaid, yang menarik diri daripada bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR, memutuskan keluar parti, atas sebab tidak dapat menerima perkembangan dalam parti itu akhir-akhir ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan pada 8 November lalu bahawa beliau menarik diri dari bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dan meletakkan semua jawatannya dalam parti.

Zaid berkata dalam blognya bahawa kepemimpinan PKR tidak berusaha mengatasi manipulasi dan penyelewengan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung walaupun isu berkenaan beberapa kali ditimbulkan.

Sehari selepas pengumuman itu, Zaid mendesak penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presiden, Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan kerana beliau mendakwa kedua-dua mereka adalah punca segala masalah dalam parti.

Zaid kini dipercayai berada di luar negara dan tidak dapat dihubungi untuk ulasan lanjut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu menghormati keputusan Zaid dan hasratnya menubuhkan sebuah parti politik.
Saifuddin berkata, walaupun PKR kehilangan seorang pejuang reformis, keputusan Zaid tidak akan memberikan impak negatif kepada parti itu.

“Saya doakan dia (Zaid) ‘best of luck’. Kami masih belum lagi terima surat keluar parti daripada beliau,” kata Saifuddin yang enggan mengulas lanjut perkara itu kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Ditanya mengenai penubuhan sebuah ‘parti Keadilan baru’ oleh Zaid, Saifuddin menyifatkan ia perkembangan baik kepada politik negara.

“Ia meriah. Tetapi yang saya tahu, sudah ada parti politik baru ditubuhkan dan ada pemilihan untuk jawatan dalam parti itu...saya tahu Zaid sudahpun meletakkan orang-orangnya dalam parti baru itu,” katanya. - Bernama

Anwar dakwa Zaid ada agenda peribadi




2010/11/16

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim mempunyai agenda di sebalik tindakannya mempersoalkan proses pemilihan dalam parti itu. 

Anwar berkata, ini terbukti apabila Zaid mula meminta pemimpin tertentu PKR supaya meletak jawatan dan berusaha untuk menubuhkan parti baru serta menggunakan media bagi menghentam pembangkang.“Kalau betul ada penyelewengan dalam pemilihan parti seperti didakwanya, dia (Zaid) kena tunjuk buktinya. Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan menilai dan sekiranya perlu cabang itu akan diadakan pemilihan semula... itu tidak ada masalah.
“Tapi saya fikir dia mempunyai agenda yang lebih dari itu. Dia mengajak pemimpin meletak jawatan dan memikirkan usaha untuk menubuhkan parti alternatif dan menggunakan saluran media untuk menyerang pembangkang,” katanya ketika ditemuramah Jim Middleton dalam rancangan Newshour Australia yang disiarkan di Astro, malam tadi. 

Middleton bertanya adakah benar dakwaan Zaid yang bertanding jawatan Timbalan Presiden wujudnya penyelewengan dalam pemilihan jawatankuasa majlis tertinggi PKR sehingga menyebabkannya menarik diri daripada bertanding. 

Anwar yang tidak menjawab pertanyaan itu secara langsung, berkata pihaknya tidak ada masalah untuk mengadakan pemi-lihan semula sekiranya terbukti berlaku penipuan dan penyelewengan. 

16.2 juta rakyat alami kegemukan



Oleh Sharifah Salwa Syed Akil

2010/11/16

Gaya hidup jadi punca: Liow

KUALA LUMPUR: Seramai 16.2 juta atau 60 peratus rakyat di negara ini dikesan mengalami masalah kegemukan seawal usia kanak-kanak lagi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 8.1 juta penduduk atau 30 peratus mengalami masalah berat badan, manakala 30 peratus lagi mengalami masalah kegemukan berlebihan (obesiti).“Masalah berat badan dan obesiti ini menyebabkan penyakit kronik yang tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, barah buah pinggang dan diabetes. Penyakit ini boleh dielak dan dicegah dari semasa ke semasa tetapi kita dapati trend penyakit ini semakin meningkat.
“Masalah ini disebabkan gaya hidup rakyat di negara ini dan kita tiada pilihan, melainkan perlu mengadakan pelbagai kempen dan program kesedaran bagi membolehkan rakyat mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengelak penyakit kronik berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital 2010 di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sementara itu, Liow mengumumkan kementerian akan menyalurkan peruntukan kewangan RM10,000 kepada setiap Lembaga Pelawat Hospital (LPH) di 112 hospital di seluruh negara, pada tahun depan.

“Peruntukan ini disalurkan terus kepada akaun LPH bagi menjalankan aktiviti dan program bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital dan kesejahteraan pesakit,” katanya. 
Liow berkata, bermula tahun depan, mereka juga diberi tanggungjawab dan peranan lebih berat termasuk menganjurkan pelbagai program kesedaran untuk meningkatkan pengetahuian kesihatan rakyat.

Beliau berkata, kementerian juga mewujudkan sistem penarafan bintang bagi semua LPH dan sebagai permulaan, 18 hospital negeri dan utama dibuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria termasuk pengendalian mesyuarat, projek, aktiviti serta lawatan, selain idea dan inovasi diterapkan dalam menambahbaik perkhidmatan hospital dan pesakit.

Katanya, antara LPH mendapat pengiktirafan empat bintang ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Selangor; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu dan Hospital Pulau Pinang.

LPH yang mendapat tiga bintang ialah Hospital Tuanku Fauziah, Kangar; Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star; Hospital Melaka, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya. 

Baca al-Quran mampu tangkis sifat negatif

KUALA LUMPUR: Pembacaan al-Quran sebelum memulakan sesi pembelajaran di setiap sekolah satu usaha tepat menerapkan nilai murni di kalangan pelajar, sekali gus dapat menangkis sifat negatif kian menular dalam diri pelajar Islam.
Pensyarah Kanan Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran, berkata langkah bakal dijalankan di Terengganu mulai tahun depan yang menghendaki sesi persekolahan harian dimulakan dengan 10 minit bacaan al-Quran inisiatif terbaik dan wajar diseragamkan di seluruh negara.

Menurutnya, dengan memulakan sesi pembelajaran dengan bacaan al-Quran dipandu tenaga pengajar yang mempunyai pengetahuan bukan saja dalam bacaan, malah memahami setiap maksud ayat akan memberikan ketenangan emosi dalam menimba ilmu yang menjadi tuntutan agama.

“Apa yang penting pelajar memahami maksud bacaan ayat al-Quran kerana melalui kaedah terbabit akan lahir pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan berpengetahuan tinggi dalam aspek agama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Bekas anggota tentera, isteri dicari


AZLI


KUANTAN – Polis semalam mengedarkan gambar seorang bekas anggota tentera dan isterinya, seorang remaja berusia 17 tahun, bagi membantu siasatan kes serangan ke atas sebuah keluarga di Flat Alor Akar, Lorong Alor Akar di sini Jumaat lalu.
Polis memohon bantuan orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana pasangan itu berada supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5132222 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Lelaki yang dicari itu merupakan seorang bekas anggota tentera, Prebet Azli Che Mat, 30, memegang nombor kad pengenalan 801017-11-5163 atau kad pengenalan tenteranya, T/1128793.
Alamat terakhir bekas anggota tentera itu ialah di No. 143-B, Belukar Sukai, Kuala Terengganu, Terengganu.
Azli dikatakan melarikan diri daripada tugas sebagai anggota tentera pada 14 Januari 2003 ketika bertugas di Kem Sungai Udang, Terendak, Melaka.
Polis bagaimanapun belum dapat mengenal pasti dua lagi rakan kepada bekas anggota tentera itu yang didakwa turut bersama lelaki terbabit ketika serangan di rumah flat itu berlaku.