Sunday, October 30, 2016

Lapan lagi laporan polis bantah Bersih 5.0


30 Oktober 2016 3:48 PM
Bersih

Bersih
ABDUL Rahman Nordin (tiga dari kanan), Timbalan Pengerusi Alumni Belia Kota Raja, Muhd. Ali Zakariah (empat dari kiri) bergambar bersama pemimpin NGO selepas membuat laporan polis terhadap penganjur Bersih 5.0 di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan,hari ini.
KLANG 30 Okt. - Lapan laporan polis dibuat hari ini bagi membantah dan menyekat penganjuran perhimpunan Bersih 5.0 yang dijangka diadakan di Dataran Merdeka pada 19 November ini.

Laporan berkenaan dibuat oleh lapan pertubuhan bukan kerajaan di Selangor iaitu Alumni 4B Selangor, Persatuan Perpaduan Sejahtera Kebangsaan (PPSK), Persatuan Kebajikan Hindu dan Sosial Selangor (PKHSS), Majlis Belia Selangor Daerah Klang, Belia 4B Kota Raja, Persatuan Kebajikan Warga Emas Muhibbah Selangor, Alumni 4B Kota Raja dan Persatuan Penduduk Jalan Kota Raja.

Naib Pengerusi Alumni 4B Selangor, Ab Rahman Nordin menyifatkan perhimpunan itu adalah tindakan sia-sia yang tidak memberi kebaikan sebaliknya hanya memporak-perandakan negara.

"Jika Bersih 5.0 ini terus dianjurkan, maka akan ada pula Himpunan Baju Merah... kami tidak menyokong mana-mana pihak sebab yang kami mahu adalah untuk hidup aman damai di negara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini. - BERNAMA

OSA: Polis akan panggil tiga bekas menteri


29 OKTOBER 2016
 Khalid Abu Bakar

 Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR - Polis akan mengambil keterangan tiga bekasanggota kabinet dalam masa terdekat yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan baru-baru ini, kata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Kita telah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini dan kesemua individu terbabit akan dipanggil memberi keterangan dalam tempoh sehari dua lagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dua badan bukan kerajaan iaitu Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan sebelum ini membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat. - Bernama

Polis sahkan Maria Chin ditahan


29 OKTOBER 2016
Maria Chin

Maria Chin Foto Borneo Today
KOTA KINABALU - Polis mengesahkan menahan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, kerana disyaki mengedarkan risalah kepada orang ramai di Pekan Langkon, kira-kira 131 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, Maria ditahan kira-kira 1.45 tengah hari tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu untuk soal siasat.

"Maria Chin ditangkap...kerana disyaki melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Mohd Izaan, Maria dibebaskan dengan ikat jamin polis kira-kira 4.15 petang tadi selepas siasatan ke atas beliau selesai. - Bernama

Orang asli Pos Bihai pula sekat pembalak


29 OKTOBER 2016
BALAK

BALAK Gambar hiasan
GUA MUSANG - Selepas sekatan ke atas lori mengangkut keluar balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah di Kampung Petei, Pos Bering di sini sejak 26 Sept lepas, lebih 600 Orang Asli dari enam kampung di Pos Bihai pula berbuat demikian hari ini.

Penduduk bertindak demikian bagi membantah aktiviti pembalakan selepas mendakwa kerajaan Kelantan membenarkan aktiviti itu dijalankan di kawasan kira-kira 150 hektar sejak beberapa minggu lepas.

Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (Jaringan) Kelantan, Mustafa a/l Along berkata, tempoh seminggu diberi kepada kerajaan negeri untuk mengadakan rundingan dengan Orang Asli berhubung perkara itu atau berdepan sekatan seperti yang dilakukan di Kampung Petei.

"Kami tak halang pembalakan dilakukan namun pada masa sama kerajaan negeri diharap tidak melaksanakan aktiviti tebangan habis," katanya ketika ditemui pemberita di sekatan itu di Kampung Sungai peralong, di sini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pelindung  Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, sekatan hari ini, kali keenam dilakukan penduduk Orang Asli setelah kehidupan mereka terjejas akibat aktiviti pembalakan di jajahan itu.

"Sebelum ini kita mengadakan dua sekatan di Pos Parik, satu di Pos Belau, satu di Pos Gob dan satu di Kampung Petei, dan ini merupakan kali keenam kita mengadakan sekatan pembalakan di jajahan ini.

"Empat daripada sekatan tersebut gagal manakala sekatan di Kampung Petei membuahkan hasil apabila dua syarikat telah menghentikan pembalakan di kawasan tersebut," katanya.

Pada 3 Oktober lepas, kerajaan negeri mengeluarkan arahan menangguhkan aktiviti pembalakan di HSK Balah selepas lebih 200 penduduk Orang Asli membuat sekatan menghalang laluan keluar masuk lori pengangkut  balak di Kampung Petei sejak 26 Sept.

Kumpulan itu menggesa semua aktiviti pembalakan di HKS Balah berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan dengan mendakwa ia merosakkan alam sekitar dan kepupusan hutan hingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Sementara itu, Shariffa Sabrina berkata masyarakat Orang Asli kini semakin berpelajaran dan tahu hak mereka dan menggesa perkara yang dibangkitkan dibawa ke meja rundingan. - Bernama

Khairy: Tutup jalan ke Dataran Merdeka


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 OKTOBER 2016
Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin
HULU TERENGGANU - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyarankan polis menutup semua jalan bakal digunakan peserta Bersih 5 untuk perarakan menuju ke Dataran Merdeka yang dijadualkan 19 November depan.

Menurutnya, tempat-tempat peserta berkumpul sebelum berarak ke Dataran Merdeka juga telah dikenal pasti dan tindakan menutup jalan itu wajar dilaksanakan supaya tiada laluan boleh dilalui peserta apatah lagi Bersih 5 dikhuatiri boleh cetuskan huru-hara.

“Kita tidak mahu kekecohan seperti yang berlaku pada Bersih 3 lalu berulang memandangkan pelbagai tindakan keterlaluan dilakukan waktu itu termasuk terbalikkan kereta polis serta banyak kedai pecah. Perhimpunan Bersih ini boleh cetuskan keadaan huru-hara.

“Jadi kita sarankan supaya PDRM bukan sahaja tidak membenarkan Dataran Merdeka digunakan bagi perhimpunan Bersih 5 tetapi kalau boleh turut mengambil segala tindakan yang diperlukan supaya tiada perarakan bermula dari tempat telah dikenal pasti.

“Kita sudah tahu lokasi berkumpul dan laluan akan digunakan kumpulan Bersih untuk ke Dataran Merdeka, jadi saya harap PDRM tutup jalan tersebut supaya tiada laluan boleh digunakan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung perhimpunan Bersih 5 pada 19 November depan dan terdahulu Khairy hadir ke Retreat Pemuda Umno 2016 di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, perhimpunan kumpulan baju merah pula adalah sebagai tindak balas terhadap Bersih 5 dan beliau yakin sekiranya tiada Bersih maka baju merah juga tidak akan mengadakan demonstrasi mereka.

“(Baju) Merah hanya hendak tunjuk mereka menentang Bersih, kalau Bersih tidak buat-buat apa sudah tentu merah pun tidak akan buat apa-apa, jadi bebannya terletak di atas Bersih. Cara terbaik ialah tidak membenarkan perhimpunan Bersih 5 berlaku.

“Sekiranya didapati mana-mana ahli Pemuda Umno terlibat dalam Bersih juga kita akan ambil tindakan sebab himpunan Bersih menentang kerajaan Umno dan PM (perdana menteri), ini melanggar disiplin parti,” katanya.