Sunday, March 10, 2013

126 pelarian Rohingya ditemui tidak bermaya di Teluk Bahang




10 Mac 2013
GEORGETOWN - Seramai 126 pelarian Rohingya, yang dipercayai belayar selama 25 hari dari Myanmar ke negara ini, ditemui dalam keadaan tidak bermaya oleh nelayan pantai selepas bot kargo yang mereka naiki bocor dan hampir tenggelam di kedudukan 2.5 batu nautika dari Muka Head, Teluk Bahang, semalam.
 
Mereka yang terdiri daripada 51 lelaki, 35 wanita dan 40 kanak-kanak serta bayi diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selepas menerima laporan pada 2 petang.
 
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata penemuan pelarian Rohingya itu dimaklumkan krew Bot Kilat dan sepasukan anggota yang dikerah ke lokasi menjumpai mereka sedang berhimpit dalam bot itu.
 
"Kesemua mereka berumur antara dua bulan dan 50 tahun, dan ketika ditemui mereka dalam keadaan keletihan dan amat lapar kerana telah kehabisan bekalan makanan sejak tiga hari lepas dan hanya bergantung kepada air laut sahaja.
   
"APMM mendapati bot yang mereka naiki bocor dan telah menggerakkan kapal Maritim atau KM Nyireh untuk menyelamatkan semua pelarian, termasuk menunda bot mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Tan berkata mereka kemudian dibawa ke jeti Limbungan Batu Maung pada kira-kira 10.30 pagi dan diberi makanan selain menjalani pememeriksaan kesihatan.
 
Beliau berkata pihaknya masih menyiasat dalang yang membawa masuk pelarian itu ke negara ini, dan jumlah bayaran dikenakan kepada mereka.
 
Mereka ditahan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan lanjut sementara menunggu perintah reman dikeluarkan.  - Bernama