Sunday, September 16, 2012

WILLIAM dan Catherine.
WILLIAM dan Catherine.
LONDON: Isteri Putera William, Catherine semalam berdepan dengan tindakan yang akan memalukannya lagi berhubung gambar separuh bogelnya apabila satu lagi majalah Itali berkata, ia akan menyiarkan gambar berkenaan.
Pasangan diraja Britain itu itu sudahpun memulakan tindakan undang-undang terhadap majalah Closer, selepas ia menyiarkan gambar yang dirakam paparazi menunjukkan Catherine berjemur bersama-sama suaminya dalam keadaan separuh bogel.
Majalah itu adalah sebahagian daripada empayar media bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi.

Pasangan berkenaan berharap untuk mengekang skandal itu dengan menyaman Closer serta-merta tetapi, Chi, sebuah majalah mingguan yang juga diterbitkan oleh Kumpulan Mondadori milik Berlusconi, mengumumkan rancangan menerbitkan isu khas 26 muka esok, khusus mengenai gambar Catherine.


Gambar itu dirakam ketika beliau bercuti bersama William yang menduduki tangga kedua dalam senarai pewaris takhta Britain, di Perancis, baru-baru ini.

Pengarang Closer, Laurence Pieau dipetik oleh majalah The Sun semalam sebagai berkata, pihaknya mempunyai banyak lagi gambar itu tetapi belum menyiarkannya.

“Ada banyak lagi gambar itu yang kami tidak siarkan dan kami tidak akan menyiarkannya. Tetapi akhbar lain mungkin akan menyiarkannya,” kata Laurence.

Versi muka depan Chi menunjukkan beberapa gambar itu dengan tajuk ‘Ratu Berbogel.’

“Hakikat bahawa ia gambar bakal Ratu England menjadikan artikel itu lebih menarik.

“Ia topik yang baik kerana ia menunjukkan secara menyeluruh kehidupan harian pasangan yang amat terkenal dan moden yang sedang bercinta,” kata pengarangnya, Alfonso Signorini.

William dan Catherine, yang berada di Malaysia ketika ini, menyaman Closer kerana menceroboh privasi mereka.

Dalam pada itu, tindakan menyaman Closer dilapor berkesan apabila majalah itu menarik balik beberapa gambar kontroversi itu dari laman webnya, lapor RadarOnline.com. - Agensi

Pengarah porno arah filem hina Nabi Muhammad




         
LOS ANGELES: Filem biadap yang menghina Islam, ‘Innocence of Muslims,’ hingga mencetuskan rusuhan di beberapa negara Islam dilapor diarah oleh seorang pornographer.

Alan Roberts, 65, sebelum ini pernah menerbitkan filem porno seperti ‘Young Lady Chatterley II’, menurut laman web Gawker.


Gawker menemuramah beberapa pelakon ‘Innocence of Muslims,’ yang berkata mereka ditipu untuk muncul dalam filem itu sebelum menyedari ia dialih suara untuk dijadikan propaganda anti-Islam.

Dalam filem asal, menurut pelakon berkenaan, watak utama dikenali sebagai George, Condalisa dan Hillary.


Namun versi akhirnya, skrip filem berkenaan diubah untuk menjadikan mereka Nabi Muhammad (SAW) serta beberapa orang yang namanya disebut dalam al-Quran.


Promosi filem itu dilakukan oleh pelampau Kristian yang mempunyai agenda jahat terhadap Islam, seperti Morris Sadek, warga Amerika keturunan Mesir dan Terry Jones, paderi yang terkenal kerana membakar kitab suci al-Quran. — Agensi

Filem anti-Islam diusaha sejak 2009



LOS ANGELES 15 Sept. - Terdapat rekod menunjukkan pembikinan filemInnocence of Muslims mungkin telahpun dijalankan ketika Nakoula berada dalam tahanan lagi.
Usaha mendapatkan pelakon-pelakon dan krew bagi filem itu yang pada mulanya diberi nama Desert Warrior telah dibuat dalam majalah Backstage yang berpangkalan di Los Angeles dan New York sejak Mei dan Jun 2009.
Iklan dalam majalah itu menyifatkan projek filem itu sebagai satu filem 'sejarah pengembaraan orang Arab di padang pasir" dan menyenaraikan nama "Sam Bassiel" sebagai penerbit.
Satu notis pula mengenal pasti "Pharaoh Voice Inc." merupakan syarikat yang mengeluarkan filem itu.
Rekod negeri California menunjukkan Pharaoh Voice didaftarkan pada September, 2007 oleh "Youssef M. Basseley."
Alamat Pharaoh Voice pula didaftarkan di Hawaiian Gardens, sebuah kediaman di selatan California, lokasi yang sama di mana Nakoula tinggal sejak 2008, menurut rekod negeri California.
Semasa temubual dengan AP, Nakoula menafikan dia adalah Sam Bacile, tetapi mengaku mengenali lelaki itu. - Agensi

Kumpulan Kristian dalangi filem anti-Islam



TIGA pegawai daripada Pejabat Sherif Los Angeles mengiringi seorang lelaki yang tidak dikenal pasti keluar dari rumah Nakoula Besseley Nakoula dekat Loas Angeles, semalam
LOS ANGELES 15 Sept. - Filem anti-Islam yang mencetuskan rusuhan di dunia Islam didakwa diterbitkan oleh kumpulan agama di Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Media for Christ dan dilaporkan diarahkan oleh seorang pengarah filem pornografi.
Pegawai AS semalam berkata, dalang filem bertajuk Innocence of Muslims yang disiarkan di YouTube itu adalah Nakoula Basseley Nakoula, 55, seorang warga Mesir beragama Kristian Koptik dan juga pesalah kes penyelewengan yang mungkin melanggar parol.
Pihak berkuasa telah mengenal pasti Nakoula sebagai penulis filem tersebut dan mungkin melanggar syarat pembebasannya dari penjara.
''Perkara itu kini sedang dinilai,'' kata jurucakap Pejabat Pentadbiran Mahkamah AS.
Menurut laman web gosip, Gawker, filem itu diarahkan oleh Alan Roberts, 65, yang sebelum ini mengarahkan filem-filem lucah.
Gawker yang menemubual pelakon filem itu menyatakan bahawa senarai watak utama dalam filem itu adalah George, Condalisa dan Hillary tetapi dalam versi akhir filem, skrip diubah untuk menjadikan mereka sebagai Nabi Muhammad dan tokoh-tokoh Islam lain. - AFP

Penduduk Palestin cipta kereta elektrik



Munther al-Qassas memandu kereta elektrik ciptaannya di sebatang jalan di Gaza City.- AFP
GAZA CITY 15 Sept. - Gara-gara rakyat Palestin kini menghadapi krisis minyak paling teruk, seorang pemandu teksi di sini mendapat idea untuk mencipta sebuah kereta elektrik.
Munther al-Qassas, 32, berjaya mencipta sebuah kenderaan elektrik dan merancang menggunakannya untuk membawa penumpang di Gaza.
''Kereta yang tidak mempunyai pintu itu mampu membawa dua penumpang di bahagian belakang dan dibina daripada bahan-bahan yang boleh dikitar semula,'' katanya kepada AFP.
Munther berkata, dia mendapat idea itu selepas melihat kesukaran yang dihadapi penduduk Palestin untuk mendapatkan bekalan minyak atau terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membelinya di pasaran gelap.
Munther mengambil masa beberapa bulan untuk membina kereta tersebut di bengkel yang terletak di atas bumbung rumahnya.
Rangka kereta tersebut diperbuat daripada kayu dan mampu mencapai kelajuan 20 kilometer sejam. - AFP

Rusuhan semakin memuncak



PENUNJUK perasaan yang membantah filem anti-Islam Innocence of Muslims bertempur dengan anggota-anggota polis di Sydney, Australia, semalam. - REUTERS
SYDNEY 15 Sept. - Rusuhan membantah filem anti-Islam semakin memuncak dengan kejadian terbaru berlaku di negara ini, hari ini.
Kira-kira 500 penunjuk perasaan melempar botol dan kasut di luar bangunan Konsulat Amerika Syarikat (AS) di bandar raya ini, hari ini.
Mereka melaungkan 'Tumbangkan AS' selain mengibarkan kain rentang tertera ''Potong kepala mereka yang menghina Nabi''.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya lapan orang maut termasuk dua di Sudan, empat di Tunisia, seorang di Mesir dan Lebanon, manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam demonstrasi di lebih 20 negara, semalam.
Pertempuran dilaporkan berlaku di kedutaan-kedutaan Barat di Tunisia dan Sudan, selain sebuah restoran rangkaian makanan segera AS di Lebanon dibakar.
Di Maldives, kira-kira 400 orang mengadakan demonstrasi bantahan di luar bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Male, malam tadi. - Reuters

Ramai berbual sambil memandu



 
London: Lebih dua daripada lima pemandu berbual menggunakan telefon bimbit meskipun perbuatan itu salah di sisi undang-undang, menurut kaji selidik.

Malah, ada yang sempat mengambil gambar ketika lalu di lokasi kemalangan, lapor kaji selidik terbaru. Daripada 42 peratus yang berbual dengan telefon bimbit ketika memandu, 60 peratus pemandu mengakui menyebabkan mereka cuai.
Selain itu, hampir 74 peratus daripada 21,000 pemandu yang terbabit dalam tinjauan, berkata mereka lihat orang lain berbual menggunakan telefon bimbit dalam kebanyakan keadaan.

Lebih mengejutkan, 25 peratus responden mengakui menggunakan telefon bimbit dalam setiap perjalanan, lapor kaji selidik AA/Populus.

Selain itu, kira-kira 20 peratus pula mengakui menggunakan telefon bimbit untuk menghantar teks, empat peratus memeriksa emel, 2 peratus menghantar emel ketika memandu.

Sementara itu, dua peratus membaca Twitter atau Facebook ketika memandu dan satu peratus sempat menghantar tweet ketika memandu.
Rakam kemalangan

Polis di Northamptonshire merekodkan 80 pemandu menggunakan telefon bimbit atau kamera untuk merakam ketika lalu di lokasi kemalangan.

Perbuatan itu disedari ketika anggota penyelamat cuba menyelamat seorang pemandu berusia 21 tahun yang terperangkap dalam traknya bulan lalu di lebuh raya M1.

Presiden AA, Edmund King berkata: “Pemandu perlu beri perhatian kepada pemanduan bukannya cuai disebabkan teknologi digital.

“Penyelidikan kami menunjukkan ada pemandu menggunakan ‘smart phones’ untuk berbual ketika memandu.

“Bagaimanapun, bukan sesuatu yang bijak bagi seseorang itu berbual, menghantar teks atau tweet ketika memandu,” katanya
Agensi

Individu pijak foto kena tahan



 
Kuala Lipis: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengesahkan penahanan beberapa individu yang didakwa memijak dan membuang air kecil ke atas gambar Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katanya, penahanan dilakukan mengikut bidang kuasa polis dan melengkapkan siasatan selepas menerima laporan. “Tangkapan sudah dibuat dan biar PDRM (Polis Diraja Malaysia) siasat perkara berkenaan secara menyeluruh. Tidak ada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang, tidak kira siapa mereka, semua kena akur.
Tidak adil

“Apabila siasatan selesai... terpulang kepada pejabat Peguam Negara untuk mendakwa mereka. Tidak adil jika mahu serang agensi tertentu dan mendakwa mereka melambatkan perkara itu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lipis, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Abd Rahman Mohammad dan timbalannya, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin, berkata polis sedang mengesan sekumpulan remaja lelaki dipercayai terbabit dalam kes kencing ke arah gambar pemimpin pembangkang yang disiarkan laman web sejak dua minggu lalu.
Mengenai tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih ditahan, Hishamuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sebahagian daripada mereka dibebaskan sebelum Aidilfitri lalu.