Wednesday, December 8, 2010

Gempar jumpa ikan gergasi




MERSING - Hampir 20 nelayan di Jalan Dato Onn di sini gempar apabila pertama kali terjumpa ikan air tawar seberat 55 kilogram dan sepanjang 1.8 meter dipercayai terdampar di muara Sungai Mersing, kelmarin. 

Ikan berkenaan yang dikenali dengan nama Ara Pama dipercayai mati akibat cedera dan tersadai di muara sungai, dekat jeti Lembaga Ikan Malaysia (LKIM). 

Seorang saksi warga Myanmar, Auti Htay, 33, berkata, dia menjumpai ikan berkenaan semasa hendak ke botnya kira-kira jam sembilan malam. 

Katanya, dia ternampak sesuatu dalam air yang pada mulanya disangkakan buaya. 

“Saya melihat objek besar tersadai di tepi muara sungai. Ingatkan buaya, kemudian rakan-rakan saya datang dan menyuluhnya dan terlihatlah ikan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Auti berkata, ikan itu dijumpai dalam keadaan lemah dan tidak bergerak. 

“Saya dan rakan-rakan mengangkat ikan tersebut ke darat dan meletakkannya dalam bekas air batu,” katanya. 

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kilang air batu tempat ikan tersebut ditempatkan mendapati rata-rata nelayan terkejut dengan penemuan ikan gergasi itu. 

Salah seorang nelayan, Ariffin Jusoh, 46, berkata, sepanjang hayatnya tidak pernah menjumpai ikan Ara Pama sebesar itu. 

“Pertama kali dalam hidup saya melihat ikan sebesar ini. Kalau ikan air masin sudah biasa, tetapi ikan seperti ini belum pernah lagi,” katanya. 

Menurutnya, ikan tersebut yang seberat 55 kilogram dan sepanjang 1.8 meter pertama kali dijumpai di Muara Sungai Mersing. 

“Bagi penduduk Mersing, ini adalah pertama kali bagi kami semua. Kebanyakan nelayan di sini tidak pernah tertangkap atau terjumpa ikan sedemikian,” katanya. 

Menurutnya, ikan itu amat menarik kerana mempunyai kepala berbentuk buaya serta sisik yang cantik. 

“Bentuk ikan seperti kelisa, tetapi kepalanya seperti buaya kerana keras. Sisiknya pula berwarna merah,” katanya. 

Sementara itu, bagi nelayan pukat tunda, Tan Chai Tuan, 51, dia terkejut apabila diberitahu rakannya berkaitan ikan berkenaan. 

“Mula-mula saya tidak percaya, kerana sebelum ini sepanjang saya menjadi nelayan, belum pernah menjumpai ikan air tawar sebesar dan seberat ikan ini. 

“Dalam masyarakat Cina, ikan ini dipanggil ikan naga kerana sisik dan kepalanya berbentuk naga,” katanya.

Nikah adik tidak sah





PANTAI REMIS – Seorang ahli keluarga, menyuarakan rasa tidak puas hati apabila mendakwa keluarganya seperti dipermainkan pihak berkenaan dalam urusan berhubung kes faraq dalam kes pernikahan adik perempuannya 4 Disember tahun lalu. 

Wan Mohd Rosman Wan Hassan, 26, berkata, pada 13 Mei lalu Mahkamah Rendah Syariah Seri Manjung telah memutuskan pernikahan Wan Roszila, 20, di Wilayah Pattani, Selatan Thailand itu sebagai tidak sah mengikut Seksyen 50 (b) (i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2004. 

Menurutnya, mahkamah juga mengeluarkan surat perintah hukuman faraq sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, berserta surat perintah penggantungan sijil nikah berkuat kuasa 6 November lalu. 

“Kami menerima draf surat perintah faraq secara terus pada hari hukuman dijatuhkan dan adik saya menghilangkan diri dari kawasan pekarangan mahkamah sebaik sahaja keputusan itu dibuat, manakala surat perintah penggantungan sijil nikah diterima pada 2 November lalu. 

“Malangnya, sungguhpun kedua-dua surat perintah ini sudah diterima, tiada sebarang tindakan diambil Pejabat Agama Islam Seri Manjung sehingga kini,” katanya ketika ditemui di kedai bapanya, Wan Hassan Wan Ismail, 60, di sini, semalam. 

Wan Mohd Rosman berkata, sejak tarikh hukuman faraq dijatuhkan, sebanyak empat hingga lima laporan polis dibuat, tetapi keadaan sama berlaku iaitu tiada sebarang tindakan dilakukan. 

Katanya, dia dan keluarga kecewa apabila perkara itu seperti tidak diambil berat oleh pihak berkenaan. 

“Sejak awal masalah ini, kami telah membuat 19 laporan polis iaitu bermula dengan laporan kehilangan Wan Roszila pada 21 November 2009. 

“Namun kami kecewa apabila sepanjang kes ini berlangsung, jawapan diterima dari semua pihak yang dirujuk adalah kes ini berada di luar bidang kuasa mereka, sedangkan mereka adalah pihak berwajib dan perintah mahkamah telah dikeluarkan,” katanya. 

Katanya, selama lebih setahun, dia berulang alik ke pejabat pihak berkenaan me�nguruskan masalah itu. 

“Saya mengikut segala prosedur yang diperlukan dan melalui saluran yang betul tanpa membelakangkan perundangan. Namun kami seperti dipermainkan secara berterusan dan tindakan semua pihak terlibat seolah-olah cuba melengahkan masa agar saya sekeluarga berputus asa,” katanya. 

Wan Mohd Rosman berkata, perkara itu sepatutnya telah lama diselesaikan jika semua pihak berwajib melaksanakan tugas mereka. 

“Saya akan terus berusaha menyelesaikan kes ini kerana ia membuka peluang untuk mendedahkan kemungkaran yang berlaku, selain berpeluang memastikan anggota masyarakat lain tidak melalui pengalaman sama. 

“Diharap perkara ini menjadi pengajaran kepada semua dan selepas ini tiada lagi berlaku pernikahan tanpa kehadiran wali yang sah. Bukan kemenangan kes yang dicari, tetapi keadilan dan berharap undang-undang syariah dikuatkuasakan sebaiknya," katanya.

JUSTYNN Cassandra mohon cerai


JUSTYNN Cassandra, 25, selepas mengemukakan permohonan cerai terhadap suaminya Pengerusi Eksekutif SYABAS, Tan Sri Rozali Ismail, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
ISTERI yang masih muda kepada Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Tan Sri Rozali Ismail, memfailkan permohonan untuk bercerai dengan suaminya hari ini.

Justynn Cassandra, 25, mengemukakan permohonan itu ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Tan Sri Rozali dan SYABAS menjadi isu penting dan panas minggu ini apabila ribuan rakyat Selangor berarak mengiringi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, menghantar memorandum dan tandangan ratusan ribu penduduk Selangor kepada DYMM Yang DiPertuan Agong.

Perarakan itu sebagai tanda membantah cadangan kenaikan harga air yang dikatakan akan dikenakan oleh syarikat konsesi bekalan air itu.

nik aziz sihat

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melambaikan tangan ketika beredar untuk membuat rawatan susulan sakit pinggang di Hospital Pakar Perdana hari ini, sekali gus menafikan khabar angin yang disebarkan beberapa laman blog bahawa beliau sedang tenat di hospital. - Foto Zaman Huri Isa

Nik Aziz cuma sakit pinggang bukannya tenat
KOTA BAHARU - Khabar angin kononnya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini tenat di hospital adalah tidak benar dan beliau hanya mengalami sakit di bahagian pinggang, kata anak keduanya, Nik Omar.

"Ayahanda saya sihat, Alhamdulillah...kesan balik Mekah menunaikan haji ayahanda mengadu sakit di bahagian pinggang sahaja.

"Alhamdulillah (beliau) boleh ke masjid dan sembahyang berjemaah (tetapi) dalam keadaan duduk," katanya kepada pemberita di rumah Menteri Besar itu di Pulau Melaka di sini hari ini.

Nik Aziz bagaimanapun tidak menemui pemberita kerana sedang diurut. Pada pukul 12 tengah hari, beliau dibawa ke Hospital Pakar Perdana di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mursyidul Am PAS itu sempat menunjukkan isyarat bagus kepada jurugambar ketika berada dalam kenderaan yang membawanya itu.

Polis Ipoh kutip saman RM1 juta dalam 6 hari

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Trafik Ipoh mengutip RM1 juta bayaran saman daripada pesalah trafik dalam tempoh enam hari sejak tawaran kadar sehingga 50 peratus diberikan berkuatkuasa 1 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata sejak diumumkan kadar diskaun itu, semua balai polis dan Pejabat Pos di daerah Ipoh telah dibanjiri orang ramai yang mahu membayar saman.
Beliau berkata, purata kutipan di kawasan Ipoh ialah RM25,000 hingga
RM35,000 sehari dan dengan kehadiran antara 100 dan 300 orang.

"Ada yang mempunyai 50 keping saman mengambil peluang menjelaskan saman
trafik dengan diskaun 50 peratus ini," katanya. - Bernama

Awas... jika anda lawat laman lucah

ANDA nyaris melakukan jenayah dan mungkin mengundang anasir seperti virus dan sebagainya apabila melakukannya. Dan, ada satu lagi sebab yang mungkin berkesan melarang anda daripada melawat laman lucah apabila berada di Internet.
Pemilik laman lucah adalah antara golongan yang paling banyak mengumpulkan maklumat pengguna yang menyusuri lamannya dengan menggunakan pepijat pelungsur (browser bug) yang mendedahkan sejarah atau penyusuran anda apabila di alam maya.Pepijat adalah sesuatu kesilapan yang terkandung dalam perisian atau perkakasan komputer yang mendedahkan komputer itu pada pencerobohan dari luar.Statistik itu dikumpulkan beberapa pengkaji sains di Universiti San Diego yang mendapati terdapat 485 laman yang menggunakan pepijat itu.Kurangnya perkakasan itu membolehkan, misalnya, pemilik laman melawat semua laman lain yang telah dilawati oleh semua pengguna.Seterusnya, kajian itu juga mendedahkan bahawa banyak pemilik laman web yang menggunakan pepijat untuk menyasarkan iklan mereka dan memantau pergerakan pengguna di Internet.Hasil kajian itu adalah bukti kukuh bahawa ciri pertahanan yang lebih utuh perlu diterapkan dalam sofwe pelungsur web untuk mengawal keperibadian seseorang pengguna.Satu cara mudah untuk menerangkan cara pepijat berfungsi ialah seperti berikut: apabila mengguna pepijat, seseorang yang berkeupayaan dapat mengesan jejak langkah seseorang yang lain di Internet kerana sejenis sofwe pelungsur akan memaparkan alamat web yang telah dilawati seseorang dengan warna yang berlainan.Beliau boleh menulis kod istimewa untuk mencungkil maklumat itu daripada setiap pelungsur yang memaparkan pepijat berikut.Oleh itu, tidak hairanlah apabila kumpulan saintis itu dapat mengenal pasti 485 laman daripada 50,000 laman web yang paling banyak dilawati yang menggunakan kaedah itu untuk mencungkil sejarah melungsur seseorang pelawat.Lagi 63 laman didapati menyalin semua maklumat yang diperolehi sementara 46 laman web didapati merampas sejarah melungsur seseorang.Laman paling popular yang menggunakan teknik itu adalah laman lucah YouPorn. Banyak lagi laman lucah lain yang menggunakan kaedah itu selain daripada laman yang menawarkan berita sukan, dunia, filem dan lain-lain lagi.Selain daripada itu, kumpulan pengkaji itu juga menyelidik cara lain yang sering digunakan untuk memantau pergerakan pengguna di Internet.Laman YouTube, misalnya, didapati memuatkan skrip dalam kod strukturnya yang boleh menjejak pergerakan tetikus seseorang pengguna apabila berada di lamannya.'Kajian kami menunjukkan beberapa aplikasi Web 2.0 yang popular seperti mashup, aggregator dan lain-lain lagi sarat dijangkiti dengan ciri-ciri yang mencerobohi keperibadian pengguna Internet,' katanya. Namun, masih ada jalan keluar.Aplikasi pelungsur lebih moden, seperti Chrome dan Safari, tidak boleh dicerobohi menggunakan cara itu dan versi terkini, Mozilla Firefox, diperkasakan untuk menghalang pencerobohan ini.Pengguna Internet Explorer oleh Microsoft boleh 'melawan' pepijat itu dengan memilih ciri Private Browsing di aplikasi mereka.Walaupun ciri-ciri keselamatan seperti ini wujud, para pengkaji itu berkata 'ada keperluan yang amat sangat untuk mendirikan ciri pengawalan yang khusus dan berkesan' bagi membanteras teknik pencerobohan ini.Mereka sedang melakukan kajian lanjutan yang diharap dapat mewujudkan alat melungsur yang dapat menangani masalah pepijat secara menyeluruh.Pengguna Internet boleh melihat berapa banyak maklumat mereka yang terdedah di Internet di laman ini: http://whattheinternetknowsaboutyou.com. - BBC.

Wanita dakwa sengsara dek mabuk cinta pada bekas 'roker'

KUALA LUMPUR: Disebabkan cintakan seorang bekas anggota kumpulan rok terkenal era '90-an, seorang wanita hidup sengsara selepas menjadi mangsa lelaki terbabit selama hampir empat tahun.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 30-an tahun, yang juga seorang penggiat industri hiburan mendakwa beliau bukan saja dipukul lelaki berusia 38 tahun itu, malah wangnya habis dikikis sepanjang tempoh mereka bercinta.Mas mendakwa duda anak tiga itu juga bijak bermain ayat cinta dengan wanita semata-mata mahu mendapatkan wang atau pekerjaan.'Sebelum ini, dia berbaik dengan saya kerana saya banyak membantunya mengadakan persembahan selain menyara hidupnya.'Saya juga banyak menghabiskan duit termasuk pernah menjaminnya dua kali apabila ditahan polis kerana kes dadah dan pecah rumah.'Walaupun hidup sengsara kerana dipukul sehingga mengalami kecacatan kekal di jari kelengkeng kanan dan wang dikikis sepanjang mengenalinya, saya masih setia kerana dia sentiasa memujuk serta meyakinkan saya kononnya mahu berubah. Dia pandai bermain ayat-ayat cinta,' katanya kelmarin.Beliau kini mengesyaki lelaki itu ada hubungan dengan wanita lain yang turut menjadi mangsanya.Mas mendakwa, baru-baru ini, pemain gitar itu melarikan semua barang miliknya yang ditempatkan di rumah sewanya di Bukit Jalil, di sini.'Saya tidak tinggal di rumah sewa itu dan hanya menempatkan semua barang saya sementara menunggu kuarters kediaman saya yang disediakan majikan.'Saya benarkan dia tinggal di situ sejak dua bulan lalu selepas dia dihalau keluar pemilik rumah sewanya di Damansara kerana gagal membayar sewa, manakala saya tinggal di rumah rakan.'Selepas saya memperoleh kuarters, dia menghubungi saya menawarkan diri mahu membantu memindahkan barang tetapi barangan rumah seperti TV, sofa, meja makan, almari, peti ais dan mesin basuh tidak sampai kepada saya,' katanya.Menurutnya, apabila memeriksa rumah sewa itu, semua barangannya hilang dan lelaki itu berdolak-dalik untuk memulangkannya.Beliau membuat laporan polis malam kelmarin. -- Harian Metro.

Pengantin remaja tidak direstu

CETUSKAN TENGKARAH: Encik Abdul Manan berkahwin dengan Siti Marhman yang baru berusia 14 tahun. -- Foto NSTP


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak bersetuju dengan perkahwinan yang melibatkan remaja bawah umur kerana khuatir kesannya kepada masyarakat.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata remaja bawah umur masih memerlukan perlindungan, bimbingan dan pembelaan daripada keluarga bukannya menggalas tanggungjawab untuk menguruskan rumahtangga.'Perkahwinan merupakan sesuatu yang serius, bukan sekadar mengadakan majlis sahaja. Setidak-tidaknya remaja perempuan tersebut biarlah berusia 16 tahun mengikut undang-undang,' katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.Beliau diminta mengulas perkahwinan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Siti Marham Mahmod, dan pasangannya, Encik Abdul Manan Othman, 23 tahun, yang menyertai 250 pasangan lain dalam perkahwinan 1Malaysia baru-baru ini.Menurut Datuk Seri Shahrizat, perkahwinan gadis bawah umur lebih banyak yang mengundang perkara negatif berbanding positif.'Kita tidak mahu perkahwinan dalam usia yang muda ini menjadi budaya kerana pada masa ini pelbagai cabaran dihadapi oleh institusi keluarga. Kita tidak mahu ia menjadi masalah sosial di kalangan masyarakat kita kelak,' katanya.Sehubungan itu, kementerianya akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung isu tersebut, tambah beliau.Beliau seterusnya berkata, Mahkamah Syariah perlu lebih berhati-hati apabila meluluskan kes seperti itu selepas ini. -- Utusan Malaysia

Jangan pandang remeh budaya kelab ‘gay’




SHAH ALAM - Jangan pandang budaya kelab ‘gay’ atau seks songsang remeh kerana ia boleh mencalarkan imej Malaysia sebagai negara Islam. 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz berkata, ancaman itu sangat berbahaya lebih daripada gejala najis dadah. 

“Budaya seks songsang itu bagaikan virus yang cepat merebak disebabkan didominasi golongan profesional yang kehilangan hala tuju dan jati diri. 

“Mereka sebenarnya menjadi mangsa yang terperangkap dengan pemikiran songsang yang diimport daripada luar negara,” katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam. 

Wan Mohamad berkata, rakyat perlu bersatu dalam menyekat budaya itu daripada terus menular merosakkan akhlak dan jiwa rakyat negara ini.

Ajar seks berasingan lebih baik




PARA pelajar akan dapat belajar pendidikan seks secara sistematik apabila mata pelajaran itu diajar secara berasingan pada 2011. - Gambar hiasan




KUALA LUMPUR – Keputusan mengajar pendidikan seks secara berasingan dan tidak menumpang mata pelajaran lain mulai tahun depan mampu mendedahkan para pelajar mengenai ilmu dalam bidang itu dengan cara yang lebih sistematik.
Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Zakaria Kasa berkata, keputusan mengasingkan pendidikan seks merupakan satu tindakan tepat dan sesuai dengan masa sekarang.
“Biasanya bila sebut pasal seks, pelajar-pelajar sentiasa terbayangkan perkara-perkara yang menghairahkan kerana sumber mereka lebih kepada Internet atau majalah.
“Sedangkan isunya lebih meluas terutama dalam menguruskan aspek keselamatan, kebersihan dan konflik bila berhadapan dengan masalah seks,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Jadi tegas beliau, sudah tiba masanya masyarakat di negara ini didedahkan dengan corak pembelajaran tersebut bagi mengurangkan masalah sosial dalam masyarakat seperti seks rambang, jangkitan HIV dan aids.

Banglo di hujung jalan mati bawa nasib malang



INILAH rumah bekas Menteri Besar Selangor, Mohamad Khir yang terletak di hujung jalan mati di Seksyen 7, Shah Alam.


SHAH ALAM – Apakah ada kaitan sesebuah rumah dengan nasib seseorang?
Dalam kes kedudukan rumah banglo milik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang lokasinya terletak di hujung jalan mati, sekurang-kurangnya ada pakar Feng Shui percaya ia boleh menyebabkan nasib malang sehingga dua generasi.
Menurut seorang pakar Feng Shui, Joe Choo, terdapat masalah aliran medan tenaga magnetik di kawasan jalan mati menyebabkan pemilik sesebuah rumah mengalami pemikiran bercelaru dan gagal membuat keputusan yang baik.
“Kedudukan rumah di hujung jalan mati menyebabkan tiada aliran tenaga. Ia ibarat sebuah kenderaan yang hanya boleh membuat pusingan U.
“Ia membawa makna orang yang tinggal di rumah tersebut berada dalam keadaan tidak tentu arah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terkejut daging ada kalimah Allah


Kalimah Allah yang terdapat pada daging lembu di Kampung Air Tawar, Endau, Mersing, semalam. - utusan/Nor Azman


MERSING 7 Dis. - Seorang suri rumah yang menetap di Kampung Air Tawar dekat sini terkejut apabila mendapati hirisan daging korban yang hendak dimasaknya mengandungi urat lemak yang membentuk kalimah Allah.
Maharom Musa, 58, berkata, daging lembu korban itu diberikan oleh menantunya, Yusuf Embong, 47, yang membawanya dari Chini, Pahang, kira-kira dua minggu.
Dia mula menyedari tanda kebesaran Allah itu semasa hendak memasak daging tersebut, semalam.
"Pada mulanya saya memotong daging itu seperti biasa apabila anak perempuan saya terpandang sesuatu yang aneh terdapat pada daging tersebut.
"Bila diamati betul-betul, memang jelas urat daging berkenaan tertulis kalimah Allah malah bahagian yang tertera kalimah tersebut berbeza daripada yang lain, tidak berlemak dan tidak berbau hanyir," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.
Malah, jelasnya, apabila dimasak, rasanya seolah-olah, cukup dengan perisa dan dagingnya lembut serta sedap berbanding daging lembu biasa walaupun pada mulanya belum dimasukkan garam.
Maharom mengakui sejak cerita tersebut tersebar di kalangan penduduk kampung, ramai yang datang untuk melihat sendiri.
"Sebelum ini saya kurang sihat dan apabila melihat kebesaran Allah ini, saya menjadi kembali bersemangat dan bermuhasabah diri dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana diberikan peluang untuk melihat salah satu kebesaran-Nya dan pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati beberapa penduduk kampung berhampiran datang untuk melihat sendiri dan merakamkan gambar daging itu.

Anwar gagal lagi kali kedua


KUALA LUMPUR 6 Dis. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam percubaan kali keduanya agar seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes liwat yang dihadapinya ke atas bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Ini berikutan keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang menolak permohonan Ketua Pembangkang itu dengan alasan berdasarkan transkrip mahkamah, tidak terdapat bahaya berat sebelah pada pihaknya sehingga menyebabkan beliau perlu menarik diri.
Dalam penghakiman ringkasnya, beliau turut membacakan satu persatu kata-kata yang dituturkan antara peguam Anwar, Karpal Singh dan beliau serta Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden mengikut catatan dalam nota prosiding mahkamah pada 23 November lalu.
"Itu apa yang terjadi pada 23 November lalu dan pada hemat saya, seseorang berfikiran waras yang membaca kata-kata tersebut dalam konteks yang betul, tidak akan mempunyai tanggapan bahawa wujudnya bahaya berat sebelah ketara, hanya kerana terdapat berbalas-balas kata-kata sedemikian antara seorang peguam dan hakim bicara.
"Dengan itu, permohonan ini ditolak," tegas beliau.
Dengan keputusan itu, Hakim Mohamad Zabidin menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan kes liwat berkenaan selepas membenarkan permohonan Anwar menggantung prosiding sementara menunggu rayuan.
Peguam utama Anwar, Karpal Singh sebelum itu memohon penggantungan prosiding tersebut kerana beliau menerima arahan daripada anak guamnya supaya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria yang mengendalikan pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.
Anwar memfailkan permohonan pada 24 November lalu supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar kes itu setelah mendakwa hakim tersebut tidak mematuhi prinsip keputusan Mahkamah Agung pada 1993 semasa menolak permohonannya supaya dibekalkan dengan nota klinikal tiga doktor yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari.
Dalam afidavit bagi menyokong permohonan itu, Anwar melahirkan kebimbangan tidak akan mendapat perbicaraan yang adil kerana mendakwa terdapat bahaya berat sebelah yang ketara apabila hakim tersebut mengeluarkan kenyataan yang dikatakan berbaur ugutan terhadap Karpal.
Ini kali kedua Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengemukakan permohonan agar Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar kes itu.
Kali pertama, permohonan seumpama itu dibuat pada 8 Februari lalu atas dakwaan hakim tersebut bertindak berat sebelah apabila enggan melayan permohonannya mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel disiarkan akhbar berkenaan.
Bagaimanapun, 10 hari kemudian, Hakim Mohamad Zabidin memutuskan menolak permohonan itu setelah mendapati tiada sebab untuk beliau menarik diri daripada mendengar kes tersebut.
Rayuan terhadap keputusan itu sepatutnya didengar di Mahkamah Rayuan pada 19 Mac lalu tetapi tiga hari sebelumnya, Anwar menarik balik rayuannya dengan alasan untuk menyegerakan perbicaraan kes.
Perbicaraan kes itu kini di peringkat soal balas saksi pendakwa ketiga, pakar patologi forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Siew Sheue Feng.
Sejak perbicaraan dimulakan pada 3 Februari lalu, hanya dua saksi pendakwa telah selesai memberi keterangan iaitu Mohd. Saiful Bukhari sebagai pengadu dan pakar bedah am HKL, Dr. Mohd. Razali Ibrahim.
Seorang lagi saksi, iaitu pakar perubatan unit kecemasan, Dr. Khairul Nizam Hassan yang telah selesai pemeriksaan utama pihak pendakwaan, masih belum disoal balas oleh pasukan pembelaan.
Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Beliau yang diikat jamin RM20,000 didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Turut hadir di mahkamah hari ini buat pertama kali ialah anak lelaki tunggal Anwar, Mohd. Ihsan yang baru balik dari New York bersama isterinya.