Tuesday, December 31, 2013

Gelandangan bersihkan loji nuklear

Gelandangan bersihkan  loji nuklearIKLAN tawaran kerja di asrama pekerja di Tome, wilayah Miyagi Jepun, mendorong gelandangan memohon untuk bekerja di loji pembersihan bahan radioaktif, manakala (gambar kecil) penunjuk perasaan memakai sut khas membawa tong sisa nuklear olok-olok bagi membantah rancangan kerajaan Jepun untuk memulakan kembali operasi loji nuklear negara itu, baru-baru ini. - Foto REUTERS/AFP Tindakan kontraktor cetus bantahan, langgar hak asasi manusia

Tokyo: Satu siasatan mendedahkan bahawa kontraktor di loji jana kuasa nuklear Jepun di Fukushima Daiichi, yang musnah akibat gempa bumi mengambil penduduk gelandangan untuk bekerja di dalam operasi pembersihan bahan radioaktif.

Siasatan mendapati bahawa kontraktor terbabit menggunakan gelandangan untuk bekerja dalam projek berbahaya nyah cemar dengan gaji di bawah paras minimum kira-kira AS$6.50 (RM21.41) sejam.

“Kami adalah sasaran mudah untuk perekrut,” kata Shizuya Nishiyama, 57, gelandangan yang diambil untuk membersihkan kawasan radioaktif di Fukushima.


Tak terima gaji

Katanya, sebilangan broker buruh berkata kepada kami, “Adakah anda mencari kerja? Adakah anda lapar? Dan jika kami tidak makan apa-apa, mereka kemudian menawarkan kami pekerjaan.”

Seorang paderi Baptist dan pemimpin kumpulan sokongan gelandangan Sendai Night Patrol Group, Yasuhiro Aoki, berkata tanpa sebarang maklumat mengenai bahaya potensi, ramai penduduk gelandangan diletakkan di dalam asrama, manakala bayaran untuk tempat tidur dan makanan secara automatik ditolak daripada gaji mereka.
“Kemudian, pada akhir bulan, mereka tidak dibayar gaji sama sekali,” katanya.

Satu undang-undang pada 2011 yang mengawal selia nyah cemar meletakkan Kementerian Alam Sekitar Jepun bertanggungjawab untuk menguruskan misi pembersihan.

Bagaimanapun, undang-undang sama mengawal kontraktor secara longgar, menjadikannya mudah bagi mereka mendapat kontrak mengeluarkan bahan radiasi tanpa mematuhi hak asasi untuk pekerja.

Kontraktor atasan, termasuk Kajima Corp, Taisei Corp dan Shimizu Corp bertanggungjawab untuk memantau pengambilan pekerja, rekod keselamatan dan kelayakan ratusan firma kecil terbabit dalam proses nyah cemar di Fukushima.


Operasi perlahan

Pihak berkuasa berkata, operasi pembersihan di loji Fukushima agak perlahan disebabkan kekurangan pekerja.

Loji berkenaan membocorkan radiasi ke udara, tanah dan Lautan Pasifik sejak ia dilanda satu gempa bumi dan tsunami magnitud 9 pada 11 Mac 2011.

Gegaran itu mencetuskan satu krisis nuklear dengan memutuskan bekalan kuasa kepada sistem penyejukan dan peleburan reaktor di loji yang terletak di pantai timur laut Jepun. - AGENSI

Berpengaruh dan kontroversi



EDWARD SNOWDEN
EDWARD SNOWDEN
LELAKI Amerika Syarikat (AS) berusia 30 tahun ini mula mendapat perhatian dunia awal tahun ini selepas mendedahkan kerja-kerja pengintipan yang dilakukan oleh agensi risikan negaranya ke atas e-mel peribadi rakyatnya sendiri atas alasan mengekang aktiviti pengganas.
Pendedahan bekas kontraktor Agensi Keselamatan Negara (NSA) itu mencetuskan kemarahan rakyat AS ke atas kerajaan Presiden Barack Obama yang dianggap menceroboh peribadi mereka. Namun impak lebih besar ekoran pendedahan itu adalah apabila tercetus `perang diplomasi’ antara AS dengan pemimpin negara-negara lain yang turut menjadi mangsa intipan negara Uncle Sam itu.
Presiden Brazil Dilma Roussef menangguhkan lawatan kerja ke AS selepas mendapat tahu yang dirinya, anggota parti dan rakyat negaranya termasuk dalam senarai orang yang diintip NSA.
Di rantau sebelah sini termasuk Malaysia, nama Snowden mula menjadi sebutan apabila akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan pendedahan beliau bahawa Kedutaan AS dan Suruhanjaya Tinggi Australia di negara ini melakukan pengintipan dengan memintas maklumat radio, telekomunikasi dan Internet rakyat negara ini.
Snowden mendedahkan perkara sama berlaku di Indonesia, Jerman dan beberapa negara lagi.
Akibat tindakannya mendedahkan operasi sulit itu, Snowden terpaksa menjadi pelarian apabila White House dan jawatankuasa perisikan Kongres AS menolak rayuan pengampunan yang dikemukakannya menerusi surat yang diberikan kepada ahli politik Jerman sebelum disiarkan kepada umum.
Jawatankuasa Perisikan Senat AS berpendapat jika benar Snowden mempunyai maklumat itu, beliau sepatutnya melaporkan perkara tersebut kepada jawatankuasa itu terlebih dahulu, bukan mendedahkannya kepada umum. Jawatankuasa itu melihat pengampunan kepada Snowden sebagai 'satu idea yang teruk'.
Sesungguhnya pembongkaran oleh Snowden ini telah membuka mata dunia tentang keikhlasan AS dalam mencari kawan yang sememangnya telah lama diragui. Pendedahan Snowden telah membuka pekung AS di kalangan sekutunya.
Agak ironik apabila kuasa besar yang sibuk mengintip rahsia orang lain, melangkaui sempadan negara asing, gagal mengesan gerakan yang berlaku di bawah bumbungnya sendiri.
Pembocoran maklumat sulit NSA oleh Snowden ini sebenarnya bermula sejak penghujung 2012 apabila beliau mendedahkannya kepada wartawan akhbar The Guardian, Glenn Greenwald.
Sehingga Mei 2013, pihak NSA masih tidak mengetahuinya sehinggalah wawancara secara online bersama akhbar Der Spiegel disiarkan namun ketika itu Snowden telah pun melarikan diri ke Hong Kong.
Sejak itu akhbar The Guardian (Britain), Der Spiegel (Jerman), The Washington Post dan The New York Times (AS), O Globo (Brazil), Le Monde (France) dan beberapa lagi, terus menyiarkan pendedahan tentang kerja-kerja pengintipan AS secara konsisten.
Menurut Snowden yang kini berlindung di Rusia, NSA didakwa mula mengumpul data komunikasi secara meluas sejak insiden serangan 11 September 2001.
Bagi Snowden, misinya tercapai selepas enam bulan mendedahkan rahsia NSA apabila AS terpaksa mengkaji semula dasar pengintipan negara itu.
Dalam wawancara bersama The Washington Post, Snowden berkata, beliau berpuas hati kerana masyarakat umum kini mengetahui kerajaan AS melakukan pengintipan secara meluas melalui Internet dan rekod panggilan telefon.
"Saya telah menang dan secara peribadi, misi ini telah mencapai matlamatnya. Saya tidak mahu mengubah masyarakat, tetapi saya mahu orang ramai diberi peluang sama ada mahu berubah dengan sendiri atau tidak," katanya.
Menurut Snowden, beliau tidak berniat mengkhianati NSA, sebaliknya mahu memperbaiki kelemahan agensi berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131229/lu_03/Berpengaruh-dan-kontroversi#ixzz2p2rvHkXb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perarakan pembangkang lumpuhkan Dhaka



DHAKA, 31 Dis - Ibu negara Bangladesh terputus hubungan dengan bahagian-bahagian lain di negara ini, semalam dengan perkhidmatan pengangkutan ke Dhaka terhenti masuk hari kedua, berikutan perarakan yang diadakan sebagai protes terhadap pilihan raya yang akan diadakan pada minggu depan.
Dengan ketua pembangkang, Khaleda Zia dikenakan tahanan di rumah sejak Rabu lalu, Persuruhjaya Tinggi Britain ke Bangladesh menjadi diplomat pertama bertemu dengan beliau, sehari selepas polis menghalang beliau meninggalkan kediamannya untuk berucap pada satu perhimpunan.
"Robert Gibson menemui Zia di kediamannya di Gulshan," kata seorang jurucakap Kedutaan Britain kepada AFP, dengan anggota polis berkawal di luar kediaman Zia di Dhaka.
Dengan keganasan tercetus di beberapa tempat di negara ini mengakibatkan seorang terbunuh, perkhidmatan bas, feri dan kereta api sekali lagi digantung, dan sekatan jalan diadakan di ibu negara bagi menghalang penyokong pembangkang memasuki Dhaka untuk menyertai perarakan itu.
Pembangkang dan sekutu mereka telah melancarkan perarakan itu dengan harapan dapat menarik penyertaan sejuta penduduk menuju ke tengah Dhaka, sebagai percubaan terakhir mereka untuk mendesak Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletakkan jawatan dan membatalkan pilihan raya yang dijadual diadakan pada 5 Januari ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131231/lu_01/Perarakan-pembangkang-lumpuhkan-Dhaka#ixzz2p2nzvHHJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis Thai lancar tunjuk perasaan




BEBERAPA anggota polis melancarkan tunjuk perasaan di Royal Plaza, Bangkok semalam.


BANGKOK - Polis Thailand semalam melancarkan tunjuk perasaan bagi menyuarakan perasaan tidak puas hati kerana terpaksa menangani tunjuk perasaan antikerajaan sejak bulan lalu.
Kira-kira 500 anggota polis datang bersama keluarga mereka untuk berhimpun di sebuah dataran awam dekat kem para penunjuk perasaan bagi menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka.
Seorang anggota polis mati akibat ditembak lima hari lalu ketika bertempur dengan para penunjuk perasaan yang cuba menghalang calon-calon pilihan raya mendaftar diri untuk bertanding pada pilihan raya umum pada Februari depan.
Anggota-anggota polis itu yang berhimpun itu diketuai oleh seorang pegawai kanan polis, Niwat Puenguthaisri.
Sejak bulan lalu, para penunjuk perasaan berhimpun di Bangkok bagi menuntut Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra meletakkan jawatan selepas beliau dituduh menjadi boneka abangnya, Thaksin Shinawatra.
Thaksin kini hidup dalam buangan selepas digulingkan tentera kerana kerajaannya dicemari penyalahgunaan kuasa pada tahun 2006. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2p0MeqfS4 
Hakcipta terpelihara