• Unit Amal merampas mikrofon Ridzuan Abu Bakar. - Foto Sinar HarianUnit Amal merampas mikrofon Ridzuan Abu Bakar. - Foto Sinar Harian

BATU PAHAT - Seorang p
emerhati Muktamar Pas kali ke-60 dari Kuala Kedah, Ridzuan Abu Bakar dihalau keluar dewan ketika sesi perbahasan sedang berlangsung, hari ini.

Insiden itu ekoran daripada tindakannya yang merampas mikrofon dan mengkritik perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Azhari Ariffin yang baru selesai membahaskan Ucapan Dasar Presiden.

Ridzuan meminta Pengerusi Tetap Muktamar Pas Pusat, Abu Kassim Abdullah menggariskan peraturan agar pembahas tidak menggunakan agama untuk berhujah.

"Saya minta Datuk Pengerusi Tetap di bawah aturan dan peraturan muktamar untuk buat satu peraturan, (larangan) menggunakan agama, menggunakan doa, dan menghentam orang tertentu dalam doa.

"Apakah ini akhlak dalam jemaah Islam? Tolong buat peraturan ini. Dan kawan-kawan wartawan kita yang bukan Islam, masing-masing tertanya-tanya, apakah ini yang diajar?

"Kenapa kita perlu mempergunakan agama? Datang dan berhujah yang sepatutnya," katanya yang meluru ke arah rosrtum yang terletak di tepi pentas.

Sejurus itu, Unit Amal bertindak merampas mikrofon yang digunakannya.

Pihak media cuba mendapatkan Ridzuan namun selepas beberapa ketika, kami dihalang dan Ridzuan dihalau keluar dewan.

Sebelum itu, Azhari menyampaikan perbahasan yang antara kandungannya mengkritik Langkah Kajang, mengecam pemimpin Pas dan tindakan dua Adun Pas yang menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Melalui perbahasannya itu, Azhari beberapa kali ditegur Pengerusi Tetap gara-gara mengambil masa terlalu lama.

Beliau juga mengambil peluang dalam ucapannya untuk membacakan doa yang mengutuk pemimpin parti termasuk Timbalan Presiden Mohamad Sabu.