Wednesday, July 21, 2010

SULTAN Kelantan, Tengku Ismail Petra selamat pulang


SULTAN Kelantan, Tengku Ismail Petra diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra selepas menerima rawatan di Singapura, di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, 21 Julai. - Utusan

Khidmat guaman percuma




MEDAN ISTANA – Pakatan Rakyat (PR) menawarkan khidmat nasihat guaman percuma kepada rakyat tanpa mengira sentimen politik yang ingin membawa isu saman ekor ke mahkamah bagi menuntut keadilan. 

Pengarah Pilihan Raya Pas Perak, Asmuni Awi berkata, tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang enggan memperbaharui cukai jalan kepada pesalah sama ekor adalah bertentangan undang-undang. 

Asmuni yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, pesalah saman ekor seperti dianiaya kerana mereka tidak pernah dibuktikan bersalah sama ada melalui pengakuan ataupun pihak pendakwa. 

“Justeru, ia kelihatan seperti satu penganiayaan kepada pengguna jalan raya kerana mereka sendiri tidak tahu apa sebenarnya kesalahan yang dilakukan,” katanya pada sidang media di Pejabat Pas Perak di sini, semalam. 

Beliau berkata, kegagalan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan seolah-olah sudah terbukti bersalah oleh mahkamah dan ini bercanggah dengan prinsip keadilan. 

“Justeru, pengguna jalan raya mesti dibuktikan bersalah terlebih dahulu dan diberi peluang membela diri di mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman ke atas mereka,” katanya. 

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Timbalan Pesuruhjaya Pas I, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau akan membangkitkan isu saman ekor dalam Dewan Rakyat kerana telah menimbulkan banyak masalah kepada orang ramai. 

Menurutnya, tindakan polis menguatkuasakan saman ekor bercanggah dengan undang-undang kerana pemilik kenderaan hanya boleh didakwa dan didapati bersalah di mahkamah dan bukannya diminta terus membayar saman. 

“Sejak 10 tahun lalu kira-kira 10 juta saman ekor dikeluarkan di seluruh negara dan disebabkan pengeluaran saman itu agak samar saya akan menegakkan keadilan dengan membawa perkara itu ke Dewan Negara supaya rakyat tidak akan teraniaya pada masa hadapan. 

“Jika dihitung jumlahnya mencecah RM2 bilion dan saman ekor ini seolah-olah untuk mendapatkan hasil kutipan cukai dengan cara paling mudah,” katanya. 

Mohammad Nizar berkata, rakyat yang berhadapan dengan masalah itu boleh hadir ke Pejabat PR untuk mendapatkan khidmat nasihat guaman percuma daripada peguam mereka.

Bangang bin Bahlol

Tidak kisah harga gula, petrol naik 


BERA – Beberapa orang awam yang ditemui Sinar Harian di sini, rata-rata tidak membantah dengan kenaikan harga gula dan petrol yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini. 

:Mereka beranggapan, tindakan kerajaan itu wajar kerana ia sebagai langkah menjaga kebajikan rakyat untuk jangka masa panjang dan bukannya membebankan rakyat sebagaimana diandaikan segelintir pihak. 

Ketua Blok 8 Felda Tembangau 2, Ismail Shafie berkata, kenaikan harga petrol sebanyak lima sen tidak memberi sebarang kesan kepada pengguna, lebih-lebih lagi ia sememangnya menjadi keperluan seharian. 

Menurutnya, sehingga kini, tiada pengguna yang merungut mengenai perkara itu kerana masing-masing memahami keperluan kerajaan berbuat demikian. 

“Kenaikan itu langsung tidak dirasai kerana kadar kenaikan yang rendah. Lagipun, tiada sebab pengguna memberontak atau membantah kerana ia membantu kita tidak terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan selama-lamanya,” katanya kepada Sinar Harian. 

Ismail berkata, bagi pengguna yang bijak, mereka wajar berfikir secara rasional di sebalik tindakan kerajaan mengurangkan subsidi. 

Katanya, sebelum ini kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang tinggi bagi barang-barang kawalan, malah rakyat terlalu dimanjakan dengan kaedah itu. 

“Sekarang ini kita telah berdaya maju, subsidi ini seharusnya ditarik sedikit demi sedikit supaya wang tersebut dapat disalurkan kepada hal-hal berkaitan kebajikan dan kemiskinan di negara ini,” katanya. 

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Safie Abdullah berkata, pengguna tidak perlu berterusan menyalahkan kerajaan mengenai kenaikan harga barang kawalan terutamanya gula. 

Menurutnya, kenaikan harga petrol juga tidak boleh dijadikan alasan kepada peniaga untuk menaikkan harga barangan lain. 

Katanya, tindakan kerajaan menaikkan harga gula seharusnya dipandang dari sudut positif dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan dalam kalangan pengguna. 

“Berdasarkan statistik, kita boleh lihat ramai kalangan orang muda mengidap pelbagai penyakit kerana pengambilan gula secara berlebihan. 

“Secara tidak langsung, kenaikan harga gula ini mampu mengawal pengguna menjaga kesihatan mereka,” katanya. 

Safie berkata, walaupun harga gula naik, peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan terutamanya pada Ramadan ini hanya kerana mahu mengaut keuntungan berikutan kenaikan harga barang kawalan itu.

Mengapa bersama pemimpin UMNO



GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mempertikaikan tindakan Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Mat Yunus mengadakan sidang media bersama pemimpin UMNO untuk membalasnya kenyataannya kelmarin. 

Guan Eng berkata, sebagai penjawat awam, Nik Ali melanggar etika kerana mengadakan sidang media bersama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Farid Saad. 

“Saya rasa dia lupa penjawat awam perlu bersikap neutral dan bukannya mengheret mana-mana parti untuk masuk campur dalam hal ini. 

“Nik Ali sepatutnya letak jawatan sebagai penjawat awam, masuk politik dan bertanding dalam pilihan raya kerana dia dilihat cenderung ke arah politik sehingga mengadakan sidang media bersama Azhar dan Farid,” katanya. 

Menurutnya, isu perlombongan pasir yang dipercayai beroperasi secara haram di tanah milik Kerajaan Persekutuan di Kampung Sungai Burung, Balik Pulau bermula sejak 2002 iaitu ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Pulau Pinang. 

“ Ini cerita lama, bukan baru seperti yang dikatakan Farid. Dia ingat saya tidak biasa dengan keadaan di negeri ini, dia boleh buat sesuka hati? Dia kena ingat, walaupun saya baru di sini, saya masih ada pegawai yang merekod segala yang berlaku dan pegawai saya bukan macam pegawai yang BN ada dulu,” katanya. 

Guan Eng turut memberi amaran kepada Nik Ali supaya tidak mengheret Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zainal Rahim Seman dalam isu itu kerana beliau bertanggungjawab sepenuhnya sebagai Ketua Menteri. 

“ Kalau nak serang, serang saya. Jangan serang pegawai saya yang selama ini sangat bertanggungjawab menjalankan amanah yang diberikan kerana saya yang bertanggungjawab atas kredibiliti pegawai saya selaras dengan prinsip akauntabiliti yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri. 

“ Saya rasa mungkin Nik Ali dengki dan tidak rasa senang dengan SUK, sebab itu dia heret SUK masuk ke dalam isu ini sedangkan terang-terang salah dia sendiri seperti yang berlaku pada pintu gerbang Taman Botani,” katanya. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri disabotaj dengan cara ‘senyap’ oleh masalah seperti itu apabila cuba mengheret Kerajaan Negeri untuk bertanggungjawab sedangkan yang terlibat adalah tanah milik Kerajaan Persekutuan.

Rundingan tidak mungkin diadakan




SHAH ALAM - Rundingan melibatkan Pas dan UMNO tidak mungkin diadakan selagi parti pemerintah tidak mengetepikan kepentingan politik mereka dan meletakkan pelbagai syarat. 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sekiranya perkara itu menjadi tumpuan, Pas bersedia mengadakan pertemuan dengan UMNO demi memperkukuh perpaduan dalam kalangan orang Melayu. 

Katanya, kerjasama haruslah telus kerana kata sepakat yang diperoleh dalam perbincangan itu akan menjadi kekuatan sebenar Melayu. 

“Saya bagaimanapun tidak akan memberi sebarang komen kerana sudah sedia maklum UMNO tidak akan berganjak daripada keputusannya mengubah dasar parti, menjadi mustahil bagi kami untuk berbincang. 

“Jujur dengan nawaitu asal perjumpaan dibuat atas dasar perpaduan, penting bagi mewujudkan penyatuan itu dalam usaha menyatupadukan umat islam adalah keutamaan kami,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Mustafa berkata, isu perpaduan mungkin tidak menjadi akan realiti apabila kepentingan politik dan agenda dicampuradukan kedua-dua pihak.

Tidak mungkin kerjasama



SHAH ALAM – Tidak wujud persamaan antara UMNO dan Pas yang membolehkan kedua-dua parti tersebut mengadakan kerjasama. 

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas, Hu Pang Chaw berkata, perjuangan UMNO adalah untuk kaum Melayu semata-mata dan berbeza dengan perjuangan Pas yang lebih global apabila meletakkan Islam sebagai teras dan membela semua kaum. 

“Saya tidak merasakan kerjasama antara Pas dan UMNO akan berlaku kerana tiada titik persamaan untuk dibincangkan. Ini memandang perjuangan UMNO lebih sempit skopnya iaitu tertumpu kepada orang Melayu sahaja. 

“Saya tidak melihat perpecahan dalam kalangan orang Melayu kecuali berbeza fahaman politik. Pada saya, tiada apa yang perlu dibincangkan (mengenai perpaduan) sebaliknya UMNO perlu belajar daripada Pas dalam usaha menyatukan kaum-kaum lain dalam parti itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi, N Balasubramaniam berkata, UMNO sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk menerima dasar Islam yang diperjuangkan Pas memandangkan parti itu terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam. 

“Tentulah kita suka jika UMNO dan Pas dapat bersatu lebih-lebih lagi jika UMNO boleh mengikut dasar Pas. Ahli Pas dan UMNO masing-masing adalah daripada kalangan orang Melayu, jadi apa salahnya jika UMNO mengikut dasar Pas demi kebaikan orang Melayu sendiri. 

“Jika kami sendiri dapat menerima dasar Pas yang memperjuangkan Islam walaupun ahlinya bukan daripada kaum Melayu,kenapa tidak UMNO melakukan perkara yang sama? Malah, di dalam al-Quran pun ada menyebut bahawa Islam itu akan membawa kebaikan kepada seluruh alam,” katanya.

Depot tahanan PATI penuh, operasi besar-besaran tergendala


SEREMBAN 20 Julai - Jabatan Imigresen negeri terpaksa mengehadkan operasi mengesan pendatang asing ekoran depot tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara yang telah penuh.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Pisal Mustafa berkata, masalah itu juga menyumbang terhadap pelbagai permasalahan di kalangan PATI apabila mereka semakin 'naik tocang' dan bebas bergerak di seluruh negara.
"Operasi besar-besaran untuk menahan PATI di negeri ini tergendala dan terpaksa dihadkan kerana buat masa ini depot tahanan di Lenggeng sudah penuh.
"Depot berkenaan yang hanya mampu menampung 1,500 tahanan dalam satu-satu masa turut menempatkan warga asing yang ditahan di Kuala Lumpur dan Selangor," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu disebabkan oleh Depot Tahanan PATI di Semenyih yang sebelum ini menjadi lokasi untuk menempatkan warga asing yang ditahan sekitar Lembah Klang ditutup sementara waktu.
Pisal memberitahu, operasi penguatkuasaan untuk menahan warga asing yang melanggar undang-undang di sekitar negeri ini hanya akan dijalankan sekiranya terdapat kekosongan dan ruang di depot tahanan berkenaan.
''Depot tahanan di Lenggeng sentiasa berada di paras yang penuh dan kita hanya boleh menjalankan operasi apabila terdapat warga asing yang telah dihantar pulang," jelasnya.
Menurutnya, kebanyakan depot tahanan lain di negara ini turut mengalami masalah yang sama.
''Operasi itu turut dipengaruhi oleh masalah penanggungan kos yang tinggi bagi menghantar mereka pulang ke negara asal.
''Kalau warga Indonesia mungkin sedikit murah kerana kita boleh menghantar mereka menggunakan bot, berbanding warga asing dari Bangladesh atau negara lain yang jauh, kerana ia membabitkan kos penerbangan," jelasnya.
Bagaimanapun tegas Pisal, pihaknya tetap menjalankan operasi berdasarkan maklumat atau sebarang aduan yang diterima.
Ketika ini katanya, dianggarkan 45 peratus tahanan di depot Lenggeng merupakan warga Indonesia diikuti 25 peratus Myanmar dan selebihnya lain-lain negara.

Bakti sumbang RM50,000 kepada Adibah Amin


ROSMAH Mansor bertanya sesuatu kepada Khalidah Adibah Amin dan diperhatikan Noorainee Abdul Rahman (dua dari kiri) di Bangunan Bakti Siti Hasmah, semalam.


KUALA LUMPUR 20 Julai - Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) menyumbang RM50,000 kepada ahli akademik dan penulis terkenal, Adibah Amin yang kini diserang angin ahmar tiga tahun lalu.
Isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sumbangan itu merupakan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (MDB) yang sudi memberi kerjasama dalam menjayakan usaha membantu Adibah.
Kata beliau, ia khusus untuk membantu Adibah atau nama sebenarnya, Khalidah Adibah Amin menampung kos rawatan dan ubat-ubatan.
Beliau berkata, sejak mengetahui Adibah diserang sakit itu, Bakti terus membuat keputusan untuk membantunya memandangkan penulis tersebut banyak memberi sumbangan kepada negara menerusi penulisan dan ilmu yang dicurahkannya.
"Kita sedia maklum bahawa untuk menampung kos rawatan penyakit strok itu bukannya murah. Justeru Bakti bersedia membantu bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh keluarga beliau.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada MDB dan ahli-ahli Bakti yang telah bertungkus-lumus menjayakan usaha ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada Adibah di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Sementara itu, adik Adibah, Fadzillah Amin, yang turut hadir berterima kasih kepada Bakti.
"Pada masa ini, Adibah hanya perlu mengambil ubat dan menjalani rawatan fisioterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana kesihatannya tidak seteruk tiga tahun lalu.
"Adibah mula belajar untuk berjalan semula, sudah boleh bercakap walaupun perlahan dan sentiasa menunjukkan tahap kesihatan yang positif," katanya.
Menceritakan detik Adibah diserang strok, Fadzillah berkata, pada awalnya Adibah diserang penyakit kayap tetapi beliau tidak mengendahkan penyakit itu dan terus bekerja menghasilkan karya-karyanya walaupun usianya ketika itu mencecah 71 tahun.
Bagaimanapun, ujar Fadzillah, lama-kelamaan penyakit kayap itu menjadi teruk sehingga memberi kesan pada saraf Adibah dan berikutan itu Adibah terus diserang strok.
Adibah yang kini berumur 74 tahun bukan sahaja terkenal di kalangan pendidik dan peminat sastera malah pernah dinobat sebagai Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Adik Manjasetelah menjayakan watak Cikgu Bedah dalam filem tersebut.
Anak sulung Tan Sri Zainon Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain itu juga pernah menerima Anugerah Penulisan SEA, Anugerah Pengembangan Sastera Esso-Gapena dan Anugerah Wartawan Cemerlang Negara oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia.

Bekas Duta Amerika, Malott bodoh - Ibrahim


KUALA LUMPUR 20 Julai - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menempelak bekas Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, John R. Malott yang disifatkannya bodoh kerana menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya tanpa fakta kukuh.
Selain itu, kata Ibrahim, Malott juga jelas menunjukkan kebodohannya kerana menggelar Perkasa sebagai organisasi militan sedangkan ia merupakan sebuah badan sah yang tidak mempunyai sayap bersenjata.
''Dakwaan-dakwaan Malott itu merupakan jenaka, saya rasa dia bodoh, dan sebagai seorang bekas diplomat, sudah tentu dia memalukan negaranya (AS).
''Dia adalah seorang bekas diplomat yang berada pada tahap terendah dan Perkasa serta orang-orang Malaysia adalah lebih bertamadun daripada Malott," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ibrahim mengulas tulisan Malott berjudul What Anwar's Trial Means For Malaysia yang disiarkan oleh akhbar The Wall Street Journal semalam.
Dalam artikel itu, Malott antaranya mendakwa Anwar akan disabitkan bersalah oleh hakim yang mengadili kes liwat beliau buat kali kedua ini kerana negara ini tidak menggunakan konsep juri dalam sistem perundangannya.
''Bimbang dengan risiko kehilangan sokongan politik, kerajaan memerintah (Malaysia) telah bertindak balas dengan cuba mendapatkan sokongan Melayu Islam apabila melarang penganut Kristian menggunakan Allah untuk merujuk tuhan mereka.
''Sebuah kumpulan militan baru dipanggil Perkasa pula kini mendakwa hak-hak Melayu digugat oleh kaum Cina serta India dan ia (Perkasa) juga mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad serta pihak pemerintah," tulisnya.
Malott merupakan bekas Duta AS yang berkhidmat di sini mulai 1995 sehingga 1998 iaitu ketika Anwar menghadapi pertuduhan liwatnya yang pertama.

Kampung Baru milik Melayu


KUALA LUMPUR 20 Julai – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menegaskan hak milik tanah di Kampung Baru akan kekal 100 peratus di tangan orang Melayu.
Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, cadangan membangunkan hartanah di Kampung Baru berdasarkan nisbah 60:40 bagi bumiputera dan bukan bumiputera hanyalah cadangan awal untuk sewaan, pajakan dan pemilikan unit di pembangunan bertingkat sahaja.
Jelasnya, cadangan nisbah berkenaan bukan pemilikan tanah golongan bukan Melayu di Kampung Baru.
“Memang benar bahawa pada suatu ketika dahulu tanah-tanah di Kampung Baru tertakluk kepada Enakmen Penempatan Pertanian Melayu (MAS) 1950 yang membolehkan golongan bukan Melayu menghuni dan memiliki hartanah di kawasan itu.
“Bagaimanapun, kini hampir semua tanah di MAS telah dikeluarkan hak milik iaitu menjadi tanah beri milik di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
‘‘Justeru segala urusan hak milik tanah Kampung Baru perlu dibuat mengikut peruntukan KTN 1965 yang ditadbir oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL).
“Selain itu, walaupun tanah di Kampung Baru bukanlah Tanah Rizab Melayu tetapi ia mempunyai sekatan kepentingan yang hampir sama dengannya iaitu tanah yang diberi milik ini tidak boleh diduduki atau dipindah milik kepada golongan bukan Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahim pada sidang Dewan Negara hari ini.
Pada Mei lalu, cadangan hak pemilikan tanah orang Melayu di kawasan Kampung Baru akan diberikan kuota 40 peratus kepada masyarakat bukan Melayu untuk memiliki hartanah di kawasan berkenaan apabila projek Pembangunan Kampung Baru dilaksanakan kelak.
Cadangan itu bertujuan memaksimumkan potensi pembangunan di kawasan tersebut dan ia tidak terhad kepada kaum bukan Melayu di negara ini tetapi mungkin juga pelabur-pelabur asing yang berminat.
Bagaimanapun, ia secara tidak langsung menjadi satu dilema dalam isu-isu tanah di kawasan berkenaan selain disifatkan akan mengehadkan potensi pembangunan Kampung Baru, sekiranya sekatan itu dikekalkan.
Sementara itu, mengulas lanjut pembangunan di Kampung Baru, Raja Nong Chik berkata, kerajaan merancang untuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru di bawah satu akta Parlimen yang bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pembangunan di Kampung Baru.
“Kerajaan turut mempelawa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) untuk bersama-sama menjayakan pembangunan berkenaan.
“Bagaimanapun, kerajaan masih memerlukan lebih masa untuk mengadakan perundingan dengan seramai 4,500 pemilik tanah di Kampung Baru bagi mendapat persetujuan terhadap pembangunan berkenaan sebelum menetapkan tarikh untuk memulakan projek berkenaan,” katanya.
Kata Raja Nong Chik, beliau berharap projek pembangunan Kampung Baru dimulakan tahun depan

Pak Ya pangku tugas Pak Mat

Yahya pangku tugas Mat Taib sejak April 2009

KUALA LUMPUR 20 Julai – Tan Sri Muhammad Muhd. Taib tidak lagi menjalankan tugasnya selaku Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya sejak April tahun lalu dan tanggungjawab itu kini dipangku, Datuk Yahya Bujang.
Yahya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya ketika mengesahkan perkara itu berkata, ‘peralihan’ kuasa tersebut telah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Perhubungan UMNO Selangor.
“Saya telah diberi mandat sepenuhnya oleh beliau dan perkara ini telah dimaklumkan kepada semua ahli jawatankuasa bahagian. Selama memangku jawatan tersebut, saya langsung tidak menghadapi masalah dan mendapat sokongan penuh daripada semua pihak.
“Jadi, tidak timbul soal UMNO Bahagian Kelana Jaya pincang tanpa ketua kerana banyak program dan aktiviti parti dilaksanakan walaupun tanpa campur tangan Muhammad,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan pelbagai pihak supaya bekas Menteri Besar Selangor itu melepaskan jawatannya selaku ketua bahagian jika sudah tidak berminat untuk melaksanakan tanggungjawab.
Mengulas lanjut mengenai gesaan itu, Yahya menyifatkan gesaan yang dilemparkan oleh perwakilan dan beberapa beberapa tokoh veteran UMNO supaya Muhammad meletak jawatan adalah pandangan peribadi.
“Muhammad adalah seorang ahli politik yang matang dan berpengalaman luas. Saya kira beliau lebih arif dan memahami kehendak ahli parti, apatah lagi rakyat tahu mengenai jasanya membangunkan Selangor.
“Oleh itu, saya menggesa agar desakan terhadap Muhammad dihentikan kerana saya langsung tidak menghadapi masalah untuk menjalankan tugas yang diserahkan oleh beliau,” katanya.

Tak hairan DAP tolak negara islam yang hairan UMNO tolak hukum islam

Nik Abduh bimbang DAP tolak negara Islam

KOTA BHARU 20 Julai – Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz bimbang sekiranya DAP masih menolak dasar Pas untuk membentuk sebuah negara Islam seperti mana kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh baru-baru ini.
Beliau berkata, tidak siapa tahu sama ada DAP menolak atau menerima cita-cita Pas itu kerana tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan parti tersebut sehingga hari ini.
Katanya, kenyataan Karpal juga telah melanggar etika persahabatan dalam pakatan pembangkang disebabkan kepimpinan ketiga-tiga parti berkenaan bersetuju untuk tidak mengkritik secara terbuka antara satu sama lain.
“Apa pun, Karpal, siapa boleh menyekatnya? Maka hendaklah dan hendaknya suara Karpal itu adalah suaranya sahaja, bukan suara arus bawah di dalam DAP. Jika tidak, saya bimbang. Sebabnya walaupun tiada pemimpin DAP yang menyokongnya, tiada juga yang menyangkal.
“Suara Karpal itu melanggar etika persahabatan di dalam pakatan pembangkang. Tiada siapa (yang) tidak tahu bahawa DAP masih tidak menerima cita-cita Pas untuk menegakkan negara Islam. Samalah semua tahu bahawa Pas juga tidak menerima konsep negara demokrasi liberal DAP,” katanya.
Nik Abduh berkata demikian dalam blognya, http://nikabduh.wordpress.com di sini hari ini.
Sebelum ini, Karpal meminta Pas supaya menghormati DAP berhubung pendiriannya yang menolak konsep negara Islam.
Kenyataan tersebut dibuat Karpal selepas beliau dibidas oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menolak dasar perjuangan Pas.
Justeru, Nik Abduh berharap Karpal akan berhenti untuk mengeluarkan kenyataan terbuka secara berulang-ulang kerana ia akan mencetuskan tindak balas daripada kepimpinan Pas.
“Berikan masa untuk Pas mengenali DAP pada isu-isu yang belum dijernihkan. Begitulah sebaliknya, berikan DAP masa untuk mengenali Pas. Inilah roh persahabatan yang memberi kebaikan di kemudian hari.
“Justeru Karpal janganlah lantang dan mengulang-ulang. Ia akan mencetus tindak balas yang menjauhkan. Tentunya Pas bertindak balas menjawab kerana ia adalah kewajipan demi mengelak kekeliruan dan menegakkan hujah mempertahankan matlamat penubuhan Pas,” katanya.
Tambahnya, ia akan memberikan kesan yang tidak baik kepada pakatan pembangkang yang mempunyai agenda yang sama untuk menegakkan keadilan sekiranya kenyataan terbuka terus dibuat oleh pemimpin parti terbabit seperti yang dilakukan oleh Karpal.

Penduduk tuntut hak ladang getah


Sebahagian daripada 47 peneroka yamg mengusahakan tanaman getah di kawasan Air Piau dan Air Piau2 berhimpun secara aman di Ladang Air Piau , Tanah Merah semalam. –utusan/Rosni Masri


TANAH MERAH 20 Julai - Seramai 47 penduduk di Ulu Kusial menuntut kerajaan negeri memberikan hak kepada mereka terhadap ladang getah seluas kira-kira 80 hektar di Air Piau di sini.
Kumpulan tersebut yang mendakwa merupakan peneroka tanah di kawasan itu mendesak Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang kini menguruskan ladang berkenaan memulangkannya kepada mereka.
Seorang peneroka, Zakaria Yusof, 70 mendakwa, dia merupakan antara penduduk awal yang membuka kawasan seluas lima hektar di situ sekitar tahun 1970-an sebelum disertai penduduk lain.
Katanya, mereka telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa ketika itu bahawa tanah tersebut akan menjadi milik mereka selepas ia berjaya dibuka.
Beliau berkata, hasil tanaman mereka kurang berjaya kerana dirosakkan binatang liar termasuk gajah menyebabkan mereka menaruh harapan kepada agensi kerajaan untuk membangunkannya.
“Kami menerima cadangan untuk menyerahkan tanah tersebut kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) untuk diusahakan.
“Perjanjian tersebut telah dipersetujui oleh kesemua peneroka dan diuruskan oleh orang tengah termasuk wakil rakyat kawasan kami ketika itu kerana para peneroka tidak begitu arif dengan prosedur berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, mengikut perjanjian yang dimeterai sekitar tahun 1980-an, tanah tersebut akan diserahkan kepada Felcra selama tiga tahun untuk dibangunkan dan akan dipulangkan balik kepada peneroka selepas kos pembangunan dibayar.
Bagaimanapun katanya, baru-baru ini mereka dimaklumkan bahawa tanah tersebut tidak lagi diuruskan oleh Felcra sebaliknya diserahkan kepada PMBK sejak 2007.
Seorang lagi penduduk, Hanafi Mat Amin, 55, berkata, peneroka asal kawasan tersebut berhak untuk menjadi pemilik tanah itu memandangkan apa yang telah dilakukan mereka sejak tiga dekad lalu.
“Kami bersedia membayar jumlah premium yang dikenakan kerana ini adalah tanah yang kami usahakan.
“Kami tidak akan teragak-agak menyekat pekerja ladang untuk melakukan kerja mereka sekiranya permintaan ini tidak ditunaikan,” tegasnya.

Rumah kedai berusia 100 tahun bakal diroboh


RUMAH kedai berusia 100 tahun di Jalan Pekan Lama, Bayan Lepas ini bakal dirobohkan bila-bila masa.


PULAU PINANG 20 Julai - Rumah kedai dengan reka bentuk seni warisan sejarah silam di sepanjang Jalan Pekan Lama, Bayan Lepas di sini telah wujud sejak 100 tahun lalu.
Pembinaannya yang menepati konsep persekitaran hijau dan perkampungan pelbagai kaum itu ternyata telah memberi impak besar kepada para peniaga dan penduduk di kawasan berkenaan.
Namun keunikan deretan rumah kedai itu hanya akan tinggal kenangan kepada pemiliknya dan penduduk kawasan itu tidak lama lagi.
Ini kerana ia bakal dirobohkan pada bila-bila masa bagi memberi peluang projek pembangunan dijalankan di kawasan itu.
Projek kerajaan negeri itu telah mencetuskan kebimbangan kepada para peniaga di kawasan berkenaan.
Seorang peniaga, Koi Hak Seng, 50, yang telah berniaga sejak lebih 20 tahun lalu berkata, biarpun berat untuk meninggalkan kedai seluas 297.3 meter persegi (3,200 kaki persegi) itu, dia terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat kerajaan negeri.
"Saya harap pihak kerajaan negeri datang berjumpa dengan para peniaga dan berbincang mengenai cadangan yang akan diputuskan nanti.
"Jangan senyap sahaja sehingga membuat kami tertanya-tanya tentang nasib kami selepas ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tinjauan di kawasan berkenaan menunjukkan hampir 50 premis dan kedai persendirian terletak di sepanjang jalan yang menghubungkan pekan itu dengan pusat bandar dan berkedudukan agak rapat dengan jalan raya.
Sementara itu, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng berkata, deretan rumah kedai tersebut akan dirobohkan bagi membolehkan pelaksanaan projek pelebaran jalan dari Jalan Persekutuan Bayan Lepas sehingga ke Teluk Kumbar.
Menurutnya, bagi mengelak kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, kerajaan negeri memohon projek pelebaran sepanjang 7.2 kilometer di bawah Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10) daripada Kerajaan Pusat.
"Bagi menyelesaikan isu ini, kita telah mengenal pasti kos pelaksanaannya yang menelan belanja RM240 juta dan keputusannya akan diketahui pada Oktober ini.
"Peluang untuk kita mendapatkan projek ini amat cerah kerana kewujudan Jambatan Kedua Pulau Pinang pada 2013 dan lapangan terbang yang menjadikan laluan itu sebagai laluan darat utama bagi keluar dari arah barat daya dan timur laut," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Lampu Isyarat di Jalan Dato' Ismail Hashim ke Simpang Batu Maung di sini hari ini, Hock Seng berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pampasan yang sesuai kepada pemilik premis yang dirobohkan.
"Sekiranya diluluskan, kita perlu mengkaji reka bentuk jalan yang akan dilebarkan kepada empat laluan dan memberi pampasan munasabah kepada pemilik kedai.
"Setakat ini, kita belum memutuskan lagi bentuk pampasan. Bagaimanapun ia hanya melibatkan perobohan rumah kedai manakala Balai Polis sedia ada di kawasan itu akan terus dikekalkan," katanya.

Bersihkan kerajaan pakatan dari rasuah biarkan kerajaan barisan dalam rasuah

UMNO serah bukti dakwaan salah laku

Pemuda UMNO Selangor berhimpun di hadapan bangunan yang menempatkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor untuk menyerahkan bukti tambahan penyelewengan pasir di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 20 Julai - Pemuda UMNO Selangor menyerahkan bukti tambahan salah laku yang didakwa melibatkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) berhubung kegiatan melombong dan menjual pasir di negeri ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Tindakan itu sebagai langkah yang diputuskan oleh Sekretariat Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) semalam.
Dokumen setebal 1.27 sentimeter yang diserahkan di pejabat SPRM Selangor itu bagi membantu agensi berkenaan melakukan penyiasatan terhadap penyelewengan dalam KSSB.
Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan dokumen tersebut, Exco Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, apa yang dilakukan itu adalah sebagai amaran awal.
Oleh itu, katanya, kerajaan negeri perlu memandang serius aduan tersebut.
"Jika kerajaan negeri terus berdiam diri dan tidak mahu menjalankan siasatan rapi lebih banyak pendedahan akan dilakukan oleh Pemuda UMNO bagi memastikan kegiatan mencuri pasir itu dihentikan," katanya.
Beliau berkata, Pemuda UMNO mendesak supaya kerajaan negeri melakukan siasatan terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira siapa.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Safarizul Mustafa berkata, bukti yang diserahkan adalah dalam bentuk royalti, resit dan doket setelah laporan pertama dibuat kepada agensi itu kira-kira dua bulan lalu.

Saya tak bohong, saya cuma tipu saja

Saya mufti, takkan saya berbohong - Harussani

PUTRAJAYA 20 Julai - Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebagai mufti yang menyeru umat Islam supaya sentiasa ke jalan Allah, takkan beliau sanggup berbohong bahawa dirinya pernah didatangi pemimpin Pas dan UMNO untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan kedua-dua parti itu.
Menurut Mufti Perak itu, semasa kunjungan kedua-dua pihak yang disertai pemimpin berjawatan tinggi kedua-dua parti yang berlaku 'dalam sebulan dua ini' itu, beliau telah diminta untuk menjadi wakil supaya usaha penyatuan itu dapat dijayakan.
''Saya seorang mufti, takkanlah saya nak membohong, cuma saya tak nak sebut nama orang yang bertemu dengan saya itu, jadi saya tidak berbohong.
''Orang Islam ni kalau terjadi dua puak yang bertentangan, maka hendaklah didamaikan.
''Depa nak tuduh saya berbohong, itu depa punya pasal, saya tak nak masuk neraka (jika tidak mengusahakan soal penyatuan dan perpaduan umat Islam ini)," katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, kedua-dua Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar menuduh Harussani membuat fitnah serta melakukan pembohongan bahawa terdapat pemimpin Pas dan UMNO menemuinya untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan UMNO dan Pas.
Menurut Harussani, pertemuan itu memang berlaku walaupun wakil yang datang bertemu dengannya itu bukan dihantar oleh Pas secara rasmi.
''Pertemuan ini semata-mata untuk pertahankan Islam dan orang Melayu. Saya baru sahaja menyarankan soal pentingnya perpaduan orang Melayu yang hanya 55 peratus di negara ini, itu pun sudah 'ribut'. Saya hairan mengapa 'ribut' sangat ni," katanya.
Dalam pada itu Harussani turut menyifatkan pemimpin Pas sebagai keras kepala dan degil kerana enggan bersatu sesama Islam walaupun ia adalah untuk kebaikan.
''Pas yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap perpecahan umat Islam di negara ini sehingga orang bukan Islam semakin berani mempertikaikan Islam sekarang.
''Ini kerana mereka begitu degil dan walaupun berjuang atas nama Islam tetapi apabila disuruh kembali bersatu kerana Islam, mereka tidak mahu," tegasnya.
Beliau juga secara sinis membidas pihak yang menuduh beliau sebagai pengkhianat ekoran kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Perak.
''Saya khianat apa? Kerajaan DAP Perak jatuh, saya tiada kena mengena. Mereka bawa ke mahkamah dan apabila keputusan pertama berpihak kepada mereka, mereka seronok tetapi apabila kalah, saya pula dituduh sebagai pengkhianat," kata Harussani.
Beliau turut menegaskan bahawa melompat parti tiada kena mengena dengan Islam kerana ia adalah hal kepartian.
''Kalau mereka keluar Islam, maka mereka murtad tetapi kalau keluar parti bukan murtad.
''Merata-rata orang melompat. Ikut suka mereka hendak meloncat ke hendak merangkak ke hendak duduk," katanya.

Penyakit gila meroyan dah berjangkit

UMNO, Pas perlu pelan damai

KUALA LUMPUR 20 Julai – UMNO dan Pas perlu mempunyai satu pelan damai atas nama Islam supaya persengketaan yang panjang antara kedua-dua parti tersebut berjaya ditamatkan.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, hasrat itu wajar disegerakan kerana UMNO dan Pas tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menyelesaikan masalah yang telah dihadapi oleh dua parti berkenaan sejak berdekad-dekad lalu.
Tambahan pula, katanya, umat Islam ketika ini terlalu bosan dengan pertelagahan tersebut terutama gelagat pemimpin tertentu yang memburu kepentingan politik dengan mengeksploitasi sentimen kebencian antara UMNO dan Pas.
‘‘Kita juga tidak mempunyai banyak masa. Untuk menjayakan pelan damai yang saya cadangkan ini, semua pihak mesti berlapang dada. Korbankan perasaan dan kemahuan (masing-masing), bertolak ansur mencari noktah damai atau gencatan senjata.
‘‘Laksana kaum Aus dan Khazraj yang bersengketa ratusan tahun akhirnya dengan tali Allah (Islam) yang dibawa oleh Nabi Muhammad (SAW) hati mereka diikat dan ditambat kukuh untuk menjadi ‘satu’ di bawah kanopi Islam,’’ katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam blognya http://episodeperjuangan.blogspot.com dalam artikel yang bertajuk ‘Pelan Damai Untuk UMNO dan Pas’ hari ini
Nasrudin mengakui akibat persengketaan yang panjang itu banyak agenda pembangunan masyarakat dan negara tergendala.
‘‘Banyak agenda membangunkan ilmu pendidikan, pentarbiyahan diri dan masyarakat, tamadun dan peradaban negara serta pertumbuhan ekonomi dan zon sosial yang harmoni tergendala akibat pergeseran dan pertelagahan yang begitu lama tempohnya,’’ katanya.
Kata beliau, selain tidak memberi kebaikan, persengketaan itu turut memberi kelebihan kepada musuh-musuh Islam untuk meneruskan usaha memporak-perandakan perpaduan ummah.
‘‘Masing-masing enggan mengaku kalah dan bertolak ansur. Saling tuding menuding jari antara satu sama lain sementara musuh-musuh Islam tentu sahaja tersenyum lebar melihat persengketaan yang kelihatan seperti tiada tepinya ini.
‘‘Musuh tentunya galak menyuburkan benih persengketaan dan menyalakan api permusuhan sesama kita umat Melayu Islam,’’ katanya.
Beliau di dalam blognya itu turut menyentuh mengenai hubungan UMNO dan Pas dalam konteks hidup berkeluarga.
‘‘Ahli UMNO rata-ratanya Melayu dan beragama Islam dan demikian juga ahli Pas yang sudah pasti berbangsa Melayu dan beragama Islam. Malah seorang ahli UMNO pasti sahaja memiliki ahli keluarganya yang menjadi ahli Pas .
‘‘Demikian sebaliknya yang mana ahli Pas juga mempunyai ahli keluarganya dari kalangan UMNO. Persoalannya sampai bila Melayu UMNO dan Pas ini mahu bertelagah sehingga menjejaskan keharmonian berkeluarga,’’ katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pengalaman penyatuan Melayu Islam pernah tercatat dalam sejarah politik tanah air apabila Pas menyertai Perikatan.
‘‘Namun 1,001 masalah lampau telah menjadi sejarah apabila akhirnya penyatuan itu gagal dan akhirnya Pas ditolak keluar dari Perikatan pada masa itu.
‘‘Tidak mengapalah pada sejarah lampau. Demi sebuah penyatuan Melayu yang hari ini yang dicanang sendiri oleh para pemimpin UMNO, kita sedia membina sejarah baru khasnya generasi muda hari ini,’’ katanya.
Beliau berkata, Pas boleh melupakan segalanya walaupun parti itu pernah melalui sejarah perit seperti ditolak daripada Perikatan, peristiwa Memali dan pemimpin-pemimpin Pas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), demi penyatuan ummah.
‘‘Sebagaimana Pas boleh melupakan kenyataan serta tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Sebagaimana Pas boleh melupakan kenyataan serta tindakan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah terhadap Pas sebelum ini apabila beliau mendesak royalti dikembalikan kepada kerajaan Kelantan,” jelasnya.
Maka, tegas Nasrudin, apalah salahnya jika kini UMNO pula mengambil giliran dan langkah serupa seperti dulunya Pas pernah menyertai Perikatan di era Tun Abdul Razak.
‘‘Kini giliran UMNO di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan tangan dan sedia bersama Pas menyertai pakatan pembangkang memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu Islam.
‘‘Agar kita dapat membina sebuah negara yang aman, makmur, sejahtera, adil, telus, saksama tanpa sebarang pertelagahan atau persengketaan yang merugikan umat Islam dan bangsa Melayu itu sendiri,’’ katanya.