Thursday, July 9, 2015

Sekarang Rosmah pula didakwa terima RM2 juta dalam akaun peribadi

 Blog pembocor rahsia Sarawak Report hari ini mendakwa isteri perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menerima deposit dengan jumlah keseluruhan RM2 juta, di antara 10 Februari dan 23 April tahun ini.
 Menurut Sarawak Report, jumlah itu didakwa didepositkan seorang “pembantu peribadi” Datin Seri Rosmah Mansor bernama Roslan Sohari menerusi 8 transaksi ke dalam akaun Affin Bank milik “Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)” di cawangan Bangunan Getah Asli Kuala Lumpur.
 "Sarawak Report mempunyai salinan urus niaga ini dan dimaklumkan Roslan hadir di bank itu dengan wang tunai dalam sebuah beg. "Menurut rekod, deposit-deposit ke dalam akaun itu dibuat 'pembantu peribadi' pemilik akaun," dipetik laporan Sarawak Report. Dalam laporannya, Sarawak Report mendakwa 8 deposit itu setiap satunya berjumlah di antara RM150,000 sehingga RM300,000.
 Bagaimanapun, ia mendakwa deposit dalam jumlah yang besar sebegitu biasanya perlu dilaporkan ke Bank Negara Malaysia tetapi tidak dilaporkan kerana salah seorang ahli lembaga pengarah bank itu merupakan pengerusi firma sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).  "Sarawak Report boleh mengesahkan akaun bank ini diletakkan di bawah siasatan, kerana ia berkait dengan kemungkinan wang yang digelapkan berkait dengan 1MDB," laporan itu dipetik.

 Panggilan telefon yang dibuat The Malaysian Insider ke nombor tertera di dokumen berkenaan dan didakwa sebagai milik Roslan tidak berjawab dan masuk ke peti simpanan suara. Portal berita Malaysiakini, bagaimanapun berkata ia berjaya menghubungi Roslan yang berkata dia tidak tahu mengenai deposit wang yang didakwa dilakukan olehnya. “Tidak, saya tidak tahu,” katanya dipetik oleh Malaysiakini. Beliau turut memberitahu portal itu tidak pernah bekerja untuk Jabatan Perdana Menteri, atau pun ada kaitan dengan Rosmah. Sarawak Report berkata akaun bank berkenaan yang dikatakan milik Rosmah kini turut disiasat kerana ia boleh dikaitkan dengan syarikat sarat hutang 1MDB.

Dakwaan ini timbul tepat seminggu selepas The Wall Street Journal mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima wang RM2.3 bilion bersumber asal daripada dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun peribadinya.

Terkini, peguam negara baru saja mengesahkan 2 akaun Najib yang disebut dalam dakwaan itu sudah ditutup sebelum dakwaan itu dibuat pada 2 Julai lalu. Kenyataan ini mengesahkan laporan WSJ yang menyebut perkara sama tentang status akaun Najib.

sumber

Web pro-BN tarik laporan tentang akaun PM



MYKMU menarik balik laporan bahawa Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Nik Othman Ariff Kamil membersihkan nama Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dakwaan dana 1MDB disalur ke akaunnya.

Laman pro-BN itu menjelaskan keputusan itu dibuat susulan permintaan beberapa pihak, termasuk sumber yang rapat dengan Faisal sendiri.

“Atas permintaan beberapa pihak termasuk sumber rapat dengan Nik Faisal sendiri, kami menarik balik artikel sebelum sehingga siasatan task force (pasukan petugas) selesai.

“Harap maklum,” demikian nota editorial yang dikemaskini sebentar tadi.

MYKMU sebelum itu dalam laporan eksklusifnya (gambar)berkata Faizal menafikan akaun-akaun yang terdapat dalam suratnya kepada AmBank merupakan akaun peribadi Najib, seperti didakwa media antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ).

MYKMU turut mencabar WSJ menunjukkan sebarang bukti bahawa Nik Faisal bertindak bagi pihak Najib Razak.

“Ini kerana berdasarkan surat yang disiarkan ia langsung tidak menyebut nama Najib Razak,” laporan itu dipetik.

SRC International sebelum ini anak syarikat 1MDB.

Menurut jawapan parlimen, ia diletakkan langsung bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Memetik sumber, MYKMU pagi tadi melaporkan bahawa Faisal kelihatan kecewa dan marah kerana perniagaan beliau, SRC International, dilibatkan dalam “pergaduhan politik” Najib dengan Tun Mahathir Mohamad, lapor MYKMU lagi.

“Ini semua akaun saya dan SRC International. Tiada kena mengena dengan perdana menteri mahu pun 1MDB,” beliau dipetik sebagai berkata.

Faisal juga dikatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membocorkan suratnya kepada AmBank dan akaunnya kepada umum.

Faisal juga, menurut sumber, berkata perniagaan mereka selepas keluar daripada 1MDB dibuat atas kepentingan perniagaan tersendiri.

Pancaroba


Pancaroba


Pancaroba


Pancaroba


Pancaroba


Pancaroba


Perah keringat rakyat......


Transformasi


Pancaroba


bapak penyamun


Money trail, exposed by WSJ - sumber Malaysiakini


Pekak badak


YANG EXPOSE SIKIT SAJA!...


Doktor, petugas kesihatan luah perasaan di FB

Doktor, petugas kesihatan luah perasaan di FB
Salinan paparan perkongsian Mahyuddin Mohamed di laman sosial Facebook.

SUSULAN sebuah kemalangan maut yang melibatkan seorang pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh semalam, seorang pelayar laman sosial bangkit meluahkan perasaan dan pendapat terhadap situasi yang dialami oleh kebanyakan doktor-doktor dan petugas keselamatan di Malaysia.

"Kami para doktor dan petugas kesihatan dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian seorang pegawai Perubatan Bius dari Hospital Sungai Buloh petang semalam.

"Mengikut siasatan awal jabatan beliau, beliau memandu pulang setelah Oncall hari sebelumnya. Dimaklumkan bahawa Oncall beliau agak sibuk dengan pelbagai kes kecemasan.

"Kami bukan sahaja berkongsi kesedihan dgn keluarga arwah, namun dihati kami turut terpendam rasa geram dan marah dengan sistem perkhidmatan kesihatan di Malaysia sejak sekian lama," kata Mahyuddin Mohamed di laman sosial Facebook.

Menurut Mahyuddin, kebanyakan doktor-doktor di Malaysia sudah merasa terlelap ketika memandu.

"Keluarga saya sendiri ada lapan orang doktor, semuanya pernah terlelap.

Isteri saya pernah terbabas ke bahu jalan, dua adik ipar saya terlelap dan tersondol kereta di depan ketika mereka beratur nak bayar tol dan saya sendiri pernah melanggar pembahagi jalan ketika memandu. Alhamdulillah kami masih bernyawa.

"Pakar yang dikejutkan beberapa kali oleh Pegawai Perubatan kerana konsultasi kes pun akan mengantuk akibat tidur terganggu, apatah lagi Pegawai Perubatan yang langsung tidak tidur pada malam harinya?

"Tahun lepas sahaja, dua orang Pegawai Perubatan saya di Temerloh terbabas, kedua-duanya post call. Seorang di Karak ketika menghala ke KL manakala seorang lagi di Maran ketika beliau hendak ke Kuantan. Kereta mereka 'total loss', namun umur mereka masih panjang.

"Insiden kemalangan akibat terlalu mengantuk & keletihan akibat post call semakin meningkat. Perlukah kita tunggu lebih ramai doktor meninggal sebelum langkah konkrit diambil bagi mengubah sistem kerja kita sekarang?" tegas Mahyuddin.

Selain itu, Mahyuddin juga memberikan beberapa cadangan untuk penambahbaikan.
"Setiap doktor yang post call bagi semua jabatan perlu diberi post call day off selepas pass over jam 8 pagi.

"Ataupun, kita juga boleh menggunakan sistem syif houseman sekarang bagi menggantikan sistem on call Pegawai Perubatan bagi mengurangkan tempoh mereka bekerja dan membolehkan mereka mendapat rehat yang mencukupi.

Ini sudah pasti ada pro dan kontra dan pastinya akan ada pihak yang tidak akan bersetuju.


"Bagi adik-adik saya Pegawai Perubatan sekalian, pastikan anda tidur dahulu sebelum pulang. Pastikan anda tidak mengantuk.

Sekiranya mengantuk, berhenti dan take a nap (tidur sebentar). Ataupun dapatkan pasangan atau ibu bapa anda bagi membawa anda pulang.

Saya tahu anda rindukan anak-anak anda yang menunggu di rumah, mungkin juga anda perlu mengambil anak anda di taska, memasak dan sebagainya, namun, apa sahaja alasan anda nyawa dan keselamatan anda adalah lebih utama.

"Pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang tip-top. Sebaiknya kenderaan yang kukuh dengan airbag dan sistem keselamatan yang terbaik. Ini pastinya memerlukan pelaburan duit namun ianya berbaloi. Nyawa kita tiada galang gantinya.

"Bagi rakan-rakan pakar sekalian, juga peringkat pengurusan tertinggi, sudah tiba masanya kita buang sifat "Masa I dulu tak tidur 2 hari pun okey aje!", "masa I dulu kalau on call, elaun RM25 aje sehari, on call 10 kali sebulan baru RM250, aku tak komplen pun!" Sekiranya kita boleh menjadikan kerjaya kita lebih baik bagi adik-adik kita, doktor-doktor baharu apa salahnya kita berubah. Ubah sistem ke arah yang lebih baik.

Doktor yang cukup rehat Insya-ALLAH akan dapat berkhidmat dengan lebih Mesra dan cemerlang kepada pesakit. Risiko berlakunya kesilapan (medical error) juga InsyaALLAH akan dapat dielakkan.

"Semoga pemergian arwah menjadi titik tolak ke arah penambahbaikan bagi para doktor dan petugas kesihatan yang lain di Malaysia.

Kita sama2 berdoa agar tiada lagi kemalangan dan kematian akibat keletihan atau mengantuk selepas bekerja malam.

"Takziah buat keluarga Arwah Dr. Afifah. Semoga beliau ditempatkan dikalangan hamba-hambanya yang bertakwa. Al-Fatihah," akhiri beliau.

Audit tidak akan siasat dakwaan WSJ

Tan Sri Ambrin Buang
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang

KUALA LUMPUR - Jabatan Audit Negara tidak ada kuasa untuk  menyiasat dakwaan yang dilaporkan portal antarabangsa Wall Street Journal ( WSJ) berhubung syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, apa yang didedahkan portal tersebut di luar bidang kuasanya.

Bagaimanapun,  menurutnya, Pasukan Petugas Khas yang dianggotai Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mampu menyiasat hal yang dibangkitkan pihak terbabit.

"Kita tidak boleh tengok akaun orang lain, kita tiada kuasa. Bank Negara boleh, mereka sudah ada dalam Pasukan Petugas Khas itu, jadi biarlah mereka lakukan tugas mereka," katanya ketika ditemui media selepas membentangkan Laporan Interim terhadap 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen semalam.

Minggu lalu, WSJ mendedahkan terdapat penyaluran dana daripada syarikat berkaitan 1MDB ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM2.6 bilion. Menerusi kenyataan bersama semalam, Pasukan Petugas Khas memaklumkan enam akaun bank yang dibekukan sebelum ini tidak termasuk milik perdana menteri.

Polis siasat amaran demo besar anti-Najib



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan arahan siasat terhadap pemula mesej  amaran demonstrasi besar jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak meletakkan jawatan.

Arahan kepada Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) itu dibuat di Twitter beliau semalam.

“PCIRC @PDRMsia sila siasat originator message ini yang merupakan satu ugutan, hasutan dan mengancam ketenteraman Awam,” tulis Khalid.
Amaran itu antaranya berbunyi “Berita Semasa: Demo besar jika Najib tak letak jawatan” dengan gambar muka anggota parlimen DAP Anthony Loke.

Selasa lalu, Loke, yang juga setiausaha penganjur DAP, tidak menolak kemungkinan mengadakan perhimpunan besar susulan dakwaan AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana daripada syarikat dikaitkan dengan 1MDB disalurkan ke akaun peribadi Najib,

Najib menafikan dakwaan yang dilaporkan oleh media antarabangsa The Wall Street Journal minggu lepas, serta tidak mengendahkan desakan bercuti ketika siasatan dijalankan.

Mengulas perkara itu, Loke berkata Khalid tidak patut beralih daripada isu asas.

“Saya menjawab soalan pemberita, dia tanya saya sama ada akan ada demonstrasi terhadap Najib, jadi saya cakap saya tidak tolak kemungkinan itu.

“Saya tidak kata akan ada demonstrasi,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga melihat amaran Khalid sebagai tidak masuk akal kerana mencadangkan perhimpunan juga dianggap hasutan.

“Malah jika kita ada perhimpunan aman untuk mendesak Najib berundur apa salahnya? Ini hak kita,” katanya.

Anggota parlimen Seremban itu juga meminta polis menumpukan siasatan mereka terhadap perdana menteri dan dakwaan-dakwaan terhadapnya.

PAS Perlis tak halang ahli sertai himpunan G18


PAS Perlis tidak akan menghalang ahlinya untuk menghadiri perhimpunan kumpulan progresif yang digelar Gerakan Harapan Baru di negeri itu pada hari raya ketiga nanti.

Pesuruhjayanya Mohd Shukri Ramli(kanan) berkata, beliau terbuka menerima kehadiran kumpulan tersebut dan tidak menghalang sekiranya terdapat ahlinya yang ingin menghadiri perhimpunan itu.

"Kita terbuka. Ini demokrasi. Kita tak akan halang, ahli boleh pergi. Tak ada masalah.

"Buatlah (perhimpunan), kita tak ada halangan dan tak akan larang ahli untuk hadir," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya sama ada beliau tidak bimbang sekiranya terdapat ahli yang mungkin akan mengikut gerakan itu, ADUN Sangkang itu berkata, perkara itu tidak menjadi masalah memandangkan rakyat kini cerdik dan boleh berfikir.

"Rakyat sekarang dah cerdik, mereka boleh fikir," katanya ringkas.

Ditanya sama ada beliau akan hadir pada perhimpunan itu, Shukri berkata: "Tengok keadaan," katanya sambil ketawa kecil.

Semalam, kumpulan Gerakan Harapan Baru bersama rakan dalam DAP dan PKR merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran di Perlis pada hari raya ketiga untuk memulakan momentum ke arah entiti pembangkang baru.

Perhimpunan tersebut dijangka menampilkan bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan pemimpin progresif lain yang tewas dalam pemilihan muktamar parti itu di Selangor awal Jun lalu.

Kumpulan itu turut dikenali sebagai G18.

Gerakan gabungan baru itu akan bermula di utara semenanjung selepas Pakatan Rakyat dianggap terkubur dengan terputusnya hubungan antara PAS dan DAP.

Perhimpunan itu merupakan yang pertama daripada siri yang dirancang bermula selepas Aidilfitri nanti dan akan mengadakan jelajah ke setiap negeri untuk menjelaskan kepada rakyat tentang keperluan dan kepentingan gabungan itu.

MARA sedia jual hartanah kontroversi



Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menimbang menjual hartanahnya di luar negara jika ia memberi keuntungan, kata Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata hartanah kontroversi di Australia boleh dijual jika ia tidak digunakan sebagai asrama untuk menempatkan pelajar tajaannya.

Mengapa tidak, katanya, jika ia menguntungkan dan ada pembeli yang berminat.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, Annuar memberi contoh mengenai sebuah pangsapuri perkhidmatan di London milik MARA yang dijual baru-baru ini.

Di atas kertas, katanya, dengan menjualnya sekarang, pihaknya akan mendapat keuntungan.

"Tetapi ingat, jika anda membeli ikut prosedur, maka anda mesti menjualnya ikut prosedur juga," katanya.

Kebocoran maklumat dalaman bimbangkan AG


Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menyatakan beberapa kebimbangan terhadap siasatan mengenai isu pengaliran dana 1MDB ke akaun didakwa milik persendirian perdana menteri.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, Abdul Gani berkata, isu yang diberi perhatian bukanlah mengenai pembocor maklumat, sebaliknya dakwaan dokumen itu dibocorkan dari dalam siasatan sendiri.

Abdul Gani turut menyatakan kebimbangannya tentang sindiran dibuat yang mengaitkan Peguam Negara dengan agenda politik tertentu.

"Tujuan Pasukan Petugas Khas antara agensi penguatkuasa itu ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini adalah untuk memastikan bahawa tidak timbul sebarang salah guna mekanisme siasatan," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai lalu tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai oleh perdana menteri.

Berikut adalah kenyataan penuh dikeluarkan Abdul Gani:

BERHUBUNG SIASATAN PASUKAN PETUGAS KHAS BERKENAAN DAKWAAN DANA DISALURKAN KE AKAUN PERDANA MENTERI

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menekankan kebimbangannya berhubung pembocoran dokumen berkaitan dengan suatu siasatan jenayah yang sedang dijalankan dan meminta supaya siasatan penuh dibuat ke dalam perkara itu. Kebimbangan itu turut disokong oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Peguam Negara mengambil maklum bahawa dokumen yang didedahkan dalam artikel Wall Street Journal, “Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib” bertarikh 7 Julai 2015 merupakan hal perkara suatu siasatan dan menekankan kepentingan menjaga integriti siasatan itu agar tidak timbul kemusykilan di kalangan orang awam.

Peguam Negara menekankan bahawa ini bukan persoalan “whistle-blowing” kerana perkara yang berkenaan sudah dalam siasatan. Suatu lagi isu yang membimbangkan adalah bahawa dokumen itu dikatakan telah dibocorkan dari dalam siasatan itu sendiri.

Peguam Negara juga memperjelas bahawa perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai 2015 tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai oleh Perdana Menteri.

Peguam Negara turut menyatakan kebimbangannya tentang sindiran dan pengataan yang telah dibuat yang mengaitkan Peguam Negara dengan agenda politik tertentu. Peguam Negara menekankan bahawa tujuan Pasukan Petugas Khas antara agensi itu ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini adalah untuk memastikan bahawa tidak timbul sebarang salah guna mekanisme siasatan.

Peguam Negara menekankan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mana-mana orang yang didapati telah membocorkan maklumat sulit yang berkaitan siasatan kerana adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah masing-masing seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mana-mana orang yang mempunyai akses kepada apa-apa dokumen atau maklumat yang berhubungan dengan hal ehwal atau akaun mana-mana pelanggan suatu institusi kewangan, termasuk institusi kewangan itu atau mana-mana orang yang ialah atau pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan itu, untuk mendedahkan kepada seorang lain apa-apa dokumen atau maklumat yang berhubungan dengan hal ehwal atau akaun mana-mana pelanggan institusi kewangan itu.

Adalah juga menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah seksyen 203A Kanun Keseksaan untuk mana-mana orang menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehinya pada melaksanakan tugasnya atau menjalankan fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan untuk mana-mana orang yang mempunyai apa-apa maklumat atau perkara yang dia tahu telah dizahirkan dengan melanggar undang-undang untuk selanjutnya menzahirkan maklumat atau perkara itu kepada mana-mana orang lain.

TAN SRI ABDUL GANI PATAIL
Peguam Negara Malaysia

8 Julai 2015

'Saya tidak akan tembak jika tahu dia budak'

Aminulrasyid Amzah
Aminulrasyid Amzah

SHAH ALAM - "Saya tidak akan lepaskan tembakan jika‎ mengetahui pemandu kereta Iswara Putih ialah seorang budak," kata seorang anggota polis pada perbicaraan kes saman keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang maut ditembak di kepala kira-kira lima tahun lepas.
  
Konstabel Tambahan Mohd Izham Mahayadin, 31, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau juga tidak akan melepaskan tembakan jika mengetahui bahawa kereta itu dipandu oleh Aminulrasyid, 15.
  
Mohd Izham yang bertugas di cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Zulkifly Omar yang mewakili defendan pertama dalam kes saman itu, Koperal Jenain Subi.
  
Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, 66, dan kakak sulung Aminulrasyid, Nor Azura, 45, selaku plaintif menamakan Jenain, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku defendan.
  
Saman sivil itu difailkan bagi menuntut ganti rugi hampir RM50 juta atas dakwaan kematian Aminulrasyid, akibat luka tembakan di kepala berpunca daripada kecuaian Jenain.
  
Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepaskan dan membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid ketika mengejarnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.
  
Ketika membebaskan Jenain pada 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa anggota polis itu tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid, tetapi menembak kereta yang dipandu remaja itu dengan tujuan menghentikannya.
  
Dalam pernyataan saksinya, Mohd Izham berkata pada hari kejadian, ketika di Persiaran Dato' Menteri, kereta peronda yang dinaikinya telah dipintas oleh kereta dipandu Aminulrasyid dalam keadaan laju serta mencurigakan dan beliau turut dimaklumkan oleh pemandu kereta peronda, Koperal Azhar Hashim bahawa kereta Iswara tersebut telah melanggar lampu isyarat merah.
  
"Koperal Azhar terus mengejar kenderaan tersebut dengan membuka beacon light (suar) dan membunyikan siren dan saya telah memberikan arahan beberapa kali kepada kenderaan tersebut supaya berhenti di tepi jalan menggunakan mikrofon dalam kereta peronda tersebut, namun kenderaan tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti malahan semakin laju.
  
"Kereta peronda kami cuba memintas tetapi gagal dan kenderaan itu juga telah beberapa kali menghimpit kereta peronda kami. Saya kemudian telah buat hebahan untuk meminta bantuan daripada kereta peronda berhampiran untuk menahan kenderaan tersebut," katanya.

Mohd Izham yang merupakan saksi empat defendan lain berkata, selepas membuat hebahan kereta peronda mereka masih mengekori kereta dipandu Aminulrasyid sehingga di hadapan Hotel Concorde dan kemudian beliau melihat sebuah lagi kereta peronda dinaiki Jenain turut mengejar kereta remaja berkenaan sehingga memasuki Bulatan Kayangan.
  
Saksi itu berkata semasa di Bulatan Kayangan beliau telah melepaskan tembakan ke arah tayar kanan belakang kereta Iswara itu dengan niat untuk memberhentikan kenderaan tersebut yang dipandu dengan laju dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
  
"Pada masa itu, cara pemanduan kenderaan tersebut yang agak agresif juga telah menimbulkan rasa syak terhadap pemandu kenderaan tersebut," katanya.  
Seterusnya, Mohd Izham berkata apabila kereta peronda dinaikinya memasuki Jalan Tarian 11/2 beliau terdengar beberapa das tembakan dilepaskan dan beliau melihat kereta Iswara itu masih terus bergerak sebelum kemudian naik ke bahu jalan dan melanggar tembok rumah.
  
"Selepas kereta Iswara itu terbabas, saya dan Koperal Azhar lihat seorang lelaki di belakang kenderaan itu cuba melarikan diri dan Koperal Azhar cuba menangkap lelaki itu namun tidak berjaya. Kami cuba mengejarnya tetapi lelaki itu berjaya melarikan diri dan apabila berpatah balik ke tempat kereta Iswara terbabas saya lihat seorang lelaki tidak sedarkan diri tertiarap dengan separuh kakinya terkeluar dari kenderaan itu," katanya.
  
Ketika disoal balas peguam N.Surendran yang mewakili keluarga Aminulrasyid, anggota polis itu bersetuju bahawa ketika mengejar kereta Iswara berkenaan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada pemandu dan penumpang dalam kenderaan itu telah melakukan jenayah.

Mohd Izham bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Surendran bahawa tindakan beliau menembak kereta Iswara itu kerana syak kononnya pemandu kenderaan itu seorang penjenayah adalah alasan yang tidak boleh diterima.
  
"Maksudnya kalau rasa syak pada mana-mana kereta membolehkan awak melepaskan tembakan," soal Surendran.
  
"Bukan syak sahaja tetapi syak disebabkan perbuatan kenderaan itu dan tembakan dilepaskan hanya untuk berhentikan kenderaan," jawab saksi itu.
  
"Bukankah awak telah diberi latihan tentang bagaimana hendak memberhentikan kereta," soal Surendran.
  
"Latihan membabitkan pemanduan biasa sahaja bukan membabitkan high pursuit (mengejar dengan hebat) seperti ketika kejadian," jawabnya.
  
Ketika pemeriksaan semula oleh Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub mengenai perkara yang bermain di fikirannya ketika mengejar kereta dipandu Aminulrasyid, Mohd Izham menjawab ketika itu yang terlintas di fikirannya ialah pemandu kereta Iswara tersebut ialah seorang penjenayah yang baru selesai melakukan jenayah.
  
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung pada 14 dan 19 Ogos ini. - Bernama

'Kes bunuh Najadi tiada kaitan dengan 1MDB'


Polis meredakan khabar angin bahawa pengasas Ambank Hussein Ahmad Najadi dibunuh kerana beliau mahu mendedahkan mengenai skandal firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan pembunuhan Hussein itu tiada ada kaitan dengan kes 1MDB.

"Saya mengesahkan tidak ada laporan polis kononnya dibuat oleh Hussein Najadi pada hari sebelum dia dibunuh berkenaan kemasukan sejumlah wang.

"Tidak ada kaitan pembunuhan Hussein Najadi ddengan siasatan 1MDB. Tidak ada sama sekali," katanya.

Bercakap kepada pemberita di KL Sentral hari ini, Khalid berkata polis sudah mengetahui motif di sebalik pembunuhan tersebut dan pembunuhnya telahpun dijatuhi hukuman tahun lalu.

Beliau berkata dakwaan tersebut berasal daripada sebuah blog dan mendorong anak Hussain, Pascal, untuk membuat dakwaan yang sama.

Menurutnya lagi, polis telah menyiasat sumber khabar angin tersebut dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu.

Kerajaan sedia kaji kewajaran tutup Facebook - Ahmad Shabery

Kerajaan sedia kaji kewajaran tutup Facebook - Ahmad ShaberyKUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mengkaji kewajaran menutup laman sosial Facebook ekoran pelbagai penyalahgunaan di laman itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kementerian akan menjalankan kajian bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung perkara itu.

"Sekiranya orang ramai berpendapat Facebook harus ditutup, kita bersedia untuk melihat (perkara itu) tetapi ia satu pendekatan yang radikal", katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Cheras malam tadi.

Turut hadir Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dan Ketua Wanita Umno Cheras Datuk Hajah Zurainah Musa.

Namun, Ahmad Shabery yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata adalah mustahil untuk menutup laman sosial itu memandangkan jumlah akaun pengguna tempatan adalah 15 juta berbanding hanya 2,000 laporan penyalahgunaan yang diterima.

"Ramai orang berniaga guna Facebook, jalin hubungan kekeluargaan dan tak ada kena mengena dengan politik pun...aduan kita terima sekitar 2,000 sahaja. Apakah dengan 2,000 laporan itu kita nak tutup sepenuhnya,  itu kita perlu tengok balik", katanya.

Mengulas mengenai tindakan individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di laman Facebook, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang bekerjasama dengan polis bagi menjejaki individu itu.

Salah satu pencapaian terbesar Malaysia adalah dalam kutipan cukai

Artikel Tun Terbaru: CUKAI
1. Salah satu pencapaian terbesar Malaysia adalah dalam kutipan cukai. Rakyat Malaysia dengan rela hati membayar cukai. Mereka takut tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Mereka lebih takut lagi jika serbuan dibuat ke atas perniagaan dan kediaman mereka oleh pihak berkuasa cukai pendapatan. Saya tahu ini kerana saya diserbu apabila saya dipecat daripada parti dan bekerja sebagai seorang pengamal perubatan.
2. Mereka dapatkan potongan buku cek saya dan tiada apa yang saya katakan dapat meyakinkan mereka bahawa wang dalam akaun saya bukan semuanya milik saya. Akhirnya saya terpaksa membayar lebih daripada dua kali ganda apa yang mereka mendakwa saya tidak isytiharkan.
3. Orang-orang cukai pendapatan sentiasa mencari-cari orang-orang yang hidup di luar kemampuan mereka. Mereka akan membuat penyerbuan atas orang-orang ini dan akan memaksa mereka membayar cukai tambahan jika sekiranya mereka rasakan bahawa pelakunya tidak membayar penuh mengikut kekayaan mereka.
4. Tetapi akhir-akhir ini kita lihat sikap memilih dalam tumpuan orang-orang cukai pendapatan.
5. Sebagai contoh, anak tiri Perdana Menteri dilaporkan telah membelanjakan beratus-ratus juta USD atau Ringgit membeli kediaman mewah di London, New York dan Hollywood. Beliau juga membelanjakan berjuta-juta membiayai pengeluaran filem “The Wall Street Wolf”.
6. Apabila Pejabat Perdana Menteri mendakwa inilah wang yang diwarisi, saudara-saudara Najib membantah. Bapa mereka tidak kaya dan tidak meninggalkan beratus-ratus juta Ringgit untuk keluarga. Malah Najib terpaksa mengakui bahawa Tun Razak tidak mempunyai wang sebanyak itu yang ditinggalkan kepada keluarganya. Jadi dari manakah wang ini datang?
7. Adalah didakwa bahawa wang itu adalah daripada perniagaan. Jika dia telah membuat begitu banyak wang daripada perniagaan pasti beliau akan membayar cukai pendapatan. Sudahkah orang-orang cukai pendapatan siasat beliau mengenai keuntungan perniagaannya? Berapa banyak cukai telah dia bayar? Sudah tentuIah ini adalah rahsia. Tetapi saya berharap ini bukan satu penyelindungan (cover-up).
8. Kemudian ada pula Jho Low. Dia membeli sebuah bank dengan harga US$260 juta. Dari mana beliau dapat wang ini? Adakah ia dipinjam? Adakah dia telah menjual bank ini dan membayar cukai ke atas keuntungan.
9. Beliau juga telah membeli rumah-rumah pangsa mewah di New York dan Hollywood. Dari mana datangnya beratus-ratus juta wang yang diguna untuk membayar semua ini? Adakah dia telah membayar cukai atas mereka?
10. Saya percaya eksekutif-eksekutif 1MDB dan anak-anak syarikatnya dibayar gaji yang tinggi. Ada mereka membayar cukai ke atas pendapatan mereka?
11. Saya difaham bahawa Perdana Menteri, sebagai penasihat kepada 1MDB, tidak dibayar apa-apa. Dia dibayar gaji Perdana Menteri, yang saya tahu adalah jauh lebih kecil daripada apa yang eksekutif perniagaan dapat. Tetapi Kerajaan membayar elaun-elaun, bil elektrik dan air, pengangkutan, tempat tinggal dan lain-lain. Oleh itu, gaji semua boleh disimpan dan dibelanjakan.
12. Masih, gaya hidup yang mewah pasti melibatkan kos yang tinggi. Pasti lebih daripada apa yang saya simpan selepas 29 tahun di dalam Kerajaan.
13. Sudah tentu ini adalah rahsia. Tetapi saya ingin bertanya, sudahkah orang-orang cukai pendapatan menyiasat sumber wang dan cukai yang dibayar?
14. Kita bercakap mengenai kesamarataan di sisi undang-undang. Di negara ini raja-raja pun tertakluk kepada undang-undang tertentu. Ia adalah intipati keadilan. Kita mesti sama rata di sisi undang-undang dan kita perlu dilihat sama rata. Setiap orang yang perlu disiasat oleh agensi-agensi Kerajaan mesti disiasat. Tidak boleh ada diskriminasi.

WSJ KATA AKAUN YANG DIBEKUKAN BERBEZA DENGAN YANG DILAPORKAN

Rabu, Julai 08, 2015




Akaun-akaun dibekukan pasukan petugas khas menyiasat dakwaan wang sebanyak AS$700 juta daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke dalam akaun-akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak bukan akaun yang sama dilaporkan eksklusif Wall Street Journal (WSJ).

WSJ melaporkan pembekuan 6 akaun hari ini, memetik sumber rapat dengan siasatan yang akaun-akaun terlibat " berbeza daripada dinyatakan di dalam laporan Journal minggu lepas".

Selain 6 akaun dibekukan, dokumen dikaitkan dengan 17 akaun bank di dua bank turut dirampas pasukan petugas yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pasukan petugas dalam satu kenyataan hari ini, bagaimanapun tidak menamakan bank di mana akaun dibekukan, juga tidak mengatakan sama ada ia milik Najib.
Bagaimanapun, sumber lewat hari ini mengesahkan kepada The Malaysian Insider yang 3 daripada akaun dibekukan adalah milik Najib, bersama AmBank dan Affin Bank.

Tindakan pasukan petugas menyiasat berikutan laporan WSJ pada Jumaat lepas yang AS$700 juta (RM 2.6 bilion) berlegar melalui syarikat berbeza dikaitkan dengan 1MDB sebelum ia didepositkan dalam 2 akaun dimiliki oleh Najib di AmPrivate Bank di Kuala Lumpur.

Jumlah terbesar AS$681 juta didakwa dipindahkan ke akaun Najib pada Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.

WSJ hari ini juga mengeluarkan dokumen yang menunjukkan aliran pemindahan dana kepada akaun Najib bagi menyokong laporannya.

Dokumen-dokumen ini termasuk arahan pindahan telegraf, carta yang menunjukkan aliran yang dikatakan wang, bentuk kiriman wang dan surat kuasa deposit tunai oleh Nik Faisal Ariff Kamil, pengarah syarikat milik Kementerian Kewangan, SRC International Sdn Bhd, kepada pengurus cawangan AmIslamic Bank Bhd.

SRC juga merupakan satu daripada syarikat-syarikat yang terlibat dalam aliran wang katakan WSJ, yang dilaporkan berdasarkan dokumen diperoleh daripada siasatan kerajaan Malaysia.

Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dan kini menghadapi cabaran paling sukar sebagai perdana menteri berhubung 1MDB dikritik kerana urusan mencurigakan dan jumlah besar RM42 bilion hutang yang ditanggung dalam masa 6 tahun operasi.

Najib menafikan mengambil sebarang dana untuk kepentingan peribadi tetapi sebaliknya tidak memberi sebarang penjelasan terhadap pemindahan wang yang didakwa. – 7 Julai, 2015.

TMI

Petua Hasmah: Jangan bersaing dengan suami


Sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja disanjung sebagai negarawan tetapi juga turut mengumpul pelbagai kritikan sepanjang pentadbirannya.

Tetapi keadaan sebaliknya berlaku kepada isterinya Tun Siti Hasmah Mohamad Ali yang disegani kawan dan lawan kerana sikap lemah lembut dan keibuannya.

Hasmah juga tidak pernah mencetuskan sebarang kontroversi.

Beliau sebaliknya lebih dikenali dengan kerja-kerja kebajikan melalui badan isteri menteri-menteri BAKTI, minat mendalam pada sukan badminton serta menjadi inspirasi sebagai doktor wanita Melayu pertama.

Ramai tertanya-tanya apa sebenarnya rahsia untuk menjadi seorang isteri kepada pemimpin tertinggi negara ini.

Dengan meminta tidak membandingkan dengan sesiapa, Hasmah berkongsi 'resipinya' dengan Malaysiakini: Jangan bersaing dengan suami anda.

“Sebagai isteri PM, jangan bandingkan (dengan sesiapa)... secara umumnya kamu mesti sokong suami, kamu mesti berpengetahuan, kamu mesti tahu apa yang berlaku di sekeliling dan kamu mesti pastikan bersama dengan suami apabila bertemu rakyat.

“Orang ramai hendak tahu bahawa ini isteri PM dan mereka bersama-sama, mereka mementingkan kekeluargaan.

“Jadi kamu mesti sokong tetapi jangan sesekali bersaing dengan suami kamu,” begitu pesan Hasmah.

'Jangan pandai-pandai janji'

Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia yang keempat dan paling lama dalam sejarah Malaysia bermula pada tahun 1981.

Setelah bersara pada 2003, beliau bagaimanapun terus memainkan peranan penting mempengaruhi perjalanan politik negara dan dilihat penyumbang penting terhadap kejatuhan penggantinya sendiri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Malah, Mahathir kini giat mengasak pentadbiran Najib yang terpalit kontroversi sekitar dana pelaburan negara yang terbeban hutang, 1MDB.

Sementara itu, diwawancara Malaysiakini di Putrajaya pada Isnin lepas, Hasmah juga berkata seorang isteri perdana menteri harus menjadi orang tengah antara suami dan rakyat biasa, tetapi jangan mudah membuat janji.

“Mereka (rakyat) tidak dapat jumpa suami, mereka jumpa isterinya. Dan adalah minta apa-apa, jangan janji sesuatu. Cuma cakap kamu akan sampaikan kepada suami kamu untuk pertimbang.

“Bukan kerja kamu beritahu orang ramai, 'ya, saya akan pastikan kamu dapat itu ini, kontrak itu ini'.

“Tidak, sebagai PM, beliau (Mahathir) tidak akan benarkan perkara ini, malah anak-anaknya sendiri tidak dibenarkan masuk politik. Saya anggota Umno tetapi tiada jawatan dalam Umno,” katanya.

Ketika bercampur dengan orang ramai juga, Hasmah berkata seorang suami harus dihormati “bukan sahaja kerana beliau suami kamu tetapi juga perdana menteri kamu, seperti juga orang lain”.

Pengajaran dari orang miskin

Dengan perwatakan lemah lembut dan penampilan sederhana berbaju kurung motif batik, Hasmah juga mengingatkan isteri pemimpin negeri supaya sentiasa merendah diri dan tidak menyombong.

“Kamu mungkin doktor atau mungkin juga isteri MP (anggota parlimen), tetapi jika kamu sombong, mereka (rakyat) tidak akan terima kamu,” kata Hasmah.

Beliau sendiri ,kata Hasmah, belajar semua itu ketika ditugaskan sebagai doktor pertama wanita Melayu di Kedah, di mana beliau bercampur gaul dengan rakyat biasa yang rata-ratanya miskin.

“Tetapi mereka ajar saya bagaimana untuk merendah diri, bagaimana buat baik dan bercakap sopan dengan orang,” katanya mengimbau pengalaman berkhidmat di Kedah ketika Mahathir masih dikenali sebagai “Doktor Umno” di Alor Setar dan belum mempunyai jawatan dalam kerajaan.

Kini, di usia sembilan dekad, Hasmah tetap setia menemani suaminya ke mana-mana.

Malah, walaupun sudah bersara 12 tahun, Mahathir masih dianggap sebagai faktor penting perubahan politik dalam negara ini.

Di usia 90 tahun, siapa sangka Mahathir masih bertenaga mengharungi pelbagai cabaran dunia politik. Semua ini pastinya tidak mudah tanpa seorang Siti Hasmah di sisi.

Siti Hasmah diwawancara oleh JIMADIE SHAH OTHMAN, NORMAN GOH dan YAP JIA HEE.

Akaun PM tak dibeku kerana sudah tutup



Pasukan petugas khas berkaitan isu 1MDB menjelaskan bahawa enam akaun bank yang dibekukan mereka tidak termasuk milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Berkaitan arahan pembekuan pada 6 Julai 2015 terhadap enam akaun bank, tiada akaun-akaun bank di AmBank Islamic dipegang oleh perdana menteri pada tarikh dibekukan itu kerana akaun-akaun bank itu sudah ditutup pada 30 Ogos 2013 dan 9 Mac 2015,” kata pasukan itu.

Pasukan petugas juga mengumumkan memperoleh dokumen bank berkaitan akaun-akaun itu.

Pasukan itu juga menyebut bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menegaskan bahawa semua dokumen siasatan diterimanya disediakan oleh pasukan khas.

“Justeru, tiada isu peguam negara menggunakan dokumen yang disiarkan oleh Wall Street Journal (WSJ) atau pihak lain,” kata pasukan itu lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Gani bersama Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Gani semalam sudah menjelaskan bahawa perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai Najib, tanpa menghuraikan lanjut.

WSJ melaporkan dakwaan terdapat pengaliran dana daripada syarikat berkaitan 1MDB ke akaun Najib bernilai AS$700 juta (RM2.6 bilion).

Najib menafikan dan memulakan tindakan undang-undang terhadap media antarabangsa berpengaruh itu.

Rosmah hanya mampu doa hadapi fitnah




Isteri perdana menteri Rosmah Mansor berkata, beliau hanya mampu berdoa kepada Allah berhubung dakwaan dan fitnah yang dilemparkan terhadap suaminya Datuk Seri Najib Razak.

Malah, beliau juga menasihatkan semua pihak supaya tidak memfitnah antara satu sama lain di bulan Ramadan yang mulia ini.

"Kita serah pada Allah SWT. Itu yang paling mustahak.

"Hari baik, bulan baik jangan kita fitnah satu sama lain. (Jangan memfitnah) itu adalah ajaran al-Quran.

"Kita serah pada Allah. Kita hanya mampu berdoa," kata Rosmah ketika ditanya mengenai perasaannya berhubung pelbagai dakwaan terhadap Najib baru-baru ini kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan hari raya kepada para pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Ayer Keroh, Melaka.

Ditanya apakah yang dilakukannya sebagai isteri kepada Najib ketika menghadapi situasi begini , beliau dengan ringkas berkata:

"Sebagai isteri saya pun berdoa juga."

Najib sebelum ini berdepan tekanan dan digesa meletakkan jawatan berhubung dakwaan "kehilangan" wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tekanan semakin serius apabila pendedahan Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang mendakwa sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri itu.

WSJ dan Sarawak Report mendakwa hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) wang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib di AmBank, sebelum pilihan raya umum 2013.

Bagaimanapun, Najib menafikan dakwaan tersebut. Malah, Presiden Umno itu turut menuduh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai orang yang bertanggungjawab di sebalik dakwaan itu.

Sehubungan itu, Najib memulakan tindakan undang-undang terhadap WSJ berkaitan laporannya yang mendakwa wang dari dana 1MDB itu telah didepositkan ke dalam akaun peribadinya.

Bagaimanapun, ia bukan surat tuntutan seperti kebiasaannya, sebaliknya pasukan peguam Najib menghantar emel kepada Dow Jones, pemilik WSJ, meminta penerbitan itu mengesahkan sama ada ia mempertahankan laporannya dan memberi tempoh 14 hari kepada penerbitan itu untuk menjawab. 

Dokumen pelaburan 1MDB antara yang dirampas



Pasukan khas menyiasat kontroversi sekitar 1MDB hari ini mengumumkan senarai dokumen yang dirampas mereka dalam serbuan kira-kira enam jam di pejabatnya di Kuala Lumpur semalam.

Antara rampasan itu termasuk minit mesyuarat lembaga pengarah, buku minit, penyata dan maklumat terperinci bank, penyata penyesuaian dan buku lejar.

Turut dirampas perjanjian perniagaan, rundingan dan fail pelaburan syarikat berkaitan aktiviti tanggungjawab sosial 1MDB.

“Pasukan itu turut merampas beberapa komputer notebook,” kata kenyataan pasukan khas empat badan meliputi Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) itu.

Serbuan itu, menurut pasukan itu, dibuat pada jam 9.40 pagi dan pencarian selesai pada jam 6.45 petang di Menara IMC di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

1MDB semalam berkata mereka sedia memberi kerjasama dalam siasatan tersebut di samping menegaskan tindakan perlu diambil mengikut undang-undang jika terdapat kesalahan dilakukan.

Pasukan itu pada Jumaat lalu turut menyerbu premis syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tiga syarikat yang diserbu itu ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd, and Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Rasuah hancurkan k'jaan, tegas Najib... pada 1997



Sejak menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia pada 2009, pelbagai dakwaan rasuah telah dilempar terhadap Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Terbaru, dakwaan pemindahan wang 1MDB bernilai RM 2.6 billion ke dalam akaun bank peribadinya oleh akhbar antarabangsa The Wall Street Journal.

Bagaimanapun, Najib telah menafikan dakwaan tersebut.

Imbau kembali.

Ketika Seminar Muafakat Memerangi Rasuah pada 19 Julai 1997 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Najib, yang ketika itu menteri pendidikan menyampaikan ucapan bagaimana rasuah mampu menghancurkan negara.

Ketika ini, Perdana Menteri ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini didakwa Najib sebagai dalang di sebalik serangan 'fitnah' terhadapnya.

"Empayar Rom, Empayar Uthmaniah, Dinasti Ming, yang tidak terurus pentadbirannya menyebabkan tentera dan kakitangan awamnya terpaksa mengamalkan rasuah sehingga akhirnya hancur. Demikian juga dengan kisah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka akibat berlakunya amalan rasuah di kalangan raja dan pembesarnya.

"Kerajaan Nasionalis China (Chiang) Kai Shek di China, Richard Nixon di Amerika, (Ferdinand) Marcos di Filipina dan akhimya Presiden Mobuto (Sese Seko) di Zaire tumbang kerana gejala yang sama," kata beliau mengikut teks ucapannya.

Persoalan paling penting, mengikut Najib ialah apakah rasuah ini telah menjadi suatu budaya yang meresapi dan membudayai kehidupan masyarakat negara ini.

"Pada pandangan saya, walaupun gejala ini diakui wujud dan sedang merampas hak dan kepentingan rakyat, namun ianya masih boleh dikawal dan masanya masih belum terlewat.

"Kita masih bernasib baik kerana amalan ini belum lagi dianggap "halal". la dilakukan di tempat yang "gelap"; di bawah meja tetapi bukan di atas meja

"Sudah barang tentu dengan kesedaran terhadap nilai-nilai Islam, takut hukuman, malu kepada masyarakat umum, dipecat dari jawatan... maka amalan ini masih boleh dibendung," katanya dalam ucapan tersebut.

Beliau bagaimanapun mengakui amalan rasuah di Malaysia telah meningkat jika dibandingkan dari dekad 70-an dan 80-an, tetapi menegaskan ia bukanlah menjadi satu cara hidup yang diterima oleh masyarakat.

Dalam hal ini Najib mengesyorkan pendekatan 'Mencegah lebih baik dari mengubati" dengan menekankan kepentingan pendidikan dan memasukkan konsep takut kepada Tuhan untuk melakukan perbuatan jahat.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan perjuangan beliau adalah untuk "keadilan" selaras dengan kepimpinan Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sebenarya, kita berkumpul pada hari ini memerangi rasuah adalah juga bermakna kita sedang beduang menegakkan 'keadilan'.

"Permuafakatan memerangi rasuah hari ini merupakan satu perjalanan yang jauh. YAB. Perdana Menteri dan Timbalannya telah menunjukkan sikap yang tegas terhadap usaha membendung amalan rasuah. Ini terbukti dari kenyataan YAB. Perdana Menteri 'Percayalah, penyalahgunaan kuasa dan rasuah akan menghancurkan parti kita, menghancurkan agama, bangsa dan negara kita'," tegas beliau mengulangi kenyataan terdahulu bekas 'bos' beliau.

Dalam ucapannya itu, Najib turut memetik hadis Nabi Muhammad SAW bahawa "Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah dan "Masuk n
eraka si pemberi dan si penerima rasuah."

Beliau turut menyatakan betapa rasuah itu bukan hanya terhad kepada perniagaan sahaja, bahkan kepada segala urusan politik.

Pada penutup ucapan itu, Najib turut mengungkap kata-kata Anwar Ibrahim dalam buku beliau Asian Rennaisance yang bertulis :

"No excuse for not making a serious commitment to fight it, the issue may be a moral one, but effective measures against corruption must go beyond mere moralising to encompass comprehensive societal and legal reform. There must be the political will to wage war against this insidious blight of mankind."

("Tiada alasan untuk tidak memberikan komitmen berat memperjuangkannya, isunya mungkin adalah isu moral tetapi langkah-langkah berkesan menangani rasuah perlu lebih dari sekadar pendekatan moral semata tetapi tetap merangkumi pembaharuan sosial dan undang-undang yang menyeluruh. Perlu ada kemahuan politik untuk memerangi wabak berbahaya ini kepada manusia.")