
-minsider
ADA sebuah ungkapan Inggeris yang berbunyi “he who lives by the sword, dies by the sword.” Dibahasa-Melayukan secara literal, ia bermaksud, sesiapa yang hidup dengan pedang akan mati kerana pedang.
Selama 42 tahun, selepas menjatuhkan Raja Idris dengan kekuatan “pedang” pada bulan September 1969, Kolonel Moammar Gadhafi aka Muammar Gaddafi aka “King of Kings” memerintah dengan kuasa “pedang”. Semalam, pada 20 Oktober, beliau mati di mata “pedang”.
Menurut laporan Associated Press, beliau ditarik keluar cedera daripada lubang persembunyiannya. Beliau merayu kepada penangkapnya: “Jangan bunuh aku anak-anakku.” Tetapi, sudah terlambat. Mereka bukan lagi anak-anak beliau. Mereka adalah anak-anak revolusi musim bunga Arab.
Mereka “meronyeh-ronyeh” dan mencabut rambutnya. Belum jelas sama ada beliau benar-benar mati kerana cedera atau mati dibunuh oleh penangkap-penangkapnya. Ada laporan mengatakan dia tertembak di kepala ketika pasukan yang setia kepadanya berbalas-balas tembak dengan tentera rakyat.
Tetapi apa yang berlaku selepas itu ialah, mayatnya diikat kepada bonet kereta dan diarak di jalan-jalan raya bandar kelahirannya, Sirte.
Selepas Presiden Zine El Abidine Ben Ali, Tunisia dan Presiden Hosni Mubarak, Mesir, Gadhafi adalah pemerintah kuku besi dunia Arab yang ketiga jatuh dalam masa tidak sampai setahun. Yang berbeza hanyalah darah yang mengalir di Libya. Revolusi jalanan Tunisia dan Mesir umumnya aman dan tidak mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.
Soalnya sekarang ialah ke manakah Libya akan menghala selepas ini? Revolusi Tunisia dan Mesir sudah mula menampakkan kesan positif. Keamanan semakin pulih walaupun usaha mengubah kesan pemerintahan kuku besi yang berdekad-dekad lamanya bukanlah mudah dan tentunya memakan masa.
Ke Arah Mana Revolusi Arab?
Dan apa pula akan terjadi di Syria dan Yaman, di mana rakyat jelatanya juga bangun menuntut perubahan, dalam revolusi jalanan yang berdarah?
Bagi memudahkan analisis, kita boleh menuduh kebangkitan musim bunga Arab itu sebagai satu lagi konspirasi Barat.
Tetapi kita juga perlu akui bahawa suasana politik, ekonomi dan hak asasi manusia di negara-negara yang terbabit adalah jauh daripada sempurna.
Libya kaya dengan minyak dan gas – nombor sembilan di dunia dengan rizab dianggarkan 40 bilion tong – dan antara negara Afrika paling maju. Paras kemiskinan mengikut Rancangan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) adalah 7.6 peratus pada tahun 2009 dan pengangguran 10 peratus.
Tetapi rakyat Libya nampaknya mahu lebih daripada hak ekonomi. Mereka mahu hak asasi dan hak politik. Dan dunia, khasnya Barat, mahukan bekalan minyak negara itu.
Apa yang kita saksikan di kebanyakan negara Arab, sama ada yang sedang bergolak atau yang di permukaannya nampak tenang, adalah perubahan aspirasi massa.
Antara Tirani Kuku Besi Dan Anarki
Mereka tidak boleh lagi menerima tirani kuku besi, pemerintahan oleh kelas elit dan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi.
Mereka mahu demokrasi dan ekonomi bebas, walaupun demokrasi dan kapitalisme pasaran sedang mengalami keruntuhan di Amerika Syarikat dan Eropah.
Serentak dengan kematian Gadhafi di Libya, beribu penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Athens, Greece dan di New York, Amerika Syarikat.
Di Athens mereka menentang dasar jimat-cermat Kerajaan Greece yang muflis dan di New York mereka menentang tirani pasaran bebas.
Sedangkan di negara kita sendiri, pelbagai transformasi sedang dipromosikan oleh elit politik dan ekonomi atas nama pasaran bebas, globalisasi, meritokrasi dan pelbagai klise awang-awangan lagi.
Dunia tanpa sempadan dan komunikasi tanpa batasan kini menjadi wadah kepada anarki intelektual dan fizikal. Facebook dan Twitter menyebabkan London terbakar beberapa minggu lalu. Takut-takut, demokrasi yang dicari, anarki menjadi realiti. Barang dijauhkan Allah.
Dipetik daripada blog A Kadir Jasin
IPOH - Pas Perak menyokong kenyataan Presiden Pas yang mahu aqidah umat Islam dipertahankan melalui gerakan dakwah dan penguatkuasaan undang-undang tetapi bukan melalui gerakan yang boleh menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Misbahul Munir Masduki berkata, sejak dulu lagi Pas sememangnya tegas dalam isu yang melibatkan aqidah umat Islam, beberapa badan bertindak ditubuhkan oleh Pas apabila Nor Aisyah dimurtadkan, begitu juga Hartina Kamaruddin dan juga Lina Joy.
Menurutnya, Pas juga pernah menyokong kenyataan Mufti Perak yang mendedahkan ratusan ribu umat Islam telah murtad, UMNO ketika itu diam membisu seribu bahasa, bukan sahaja tidak pernah hadir dalam setiap perjumpaan dan forum isu murtad malahan memperlekeh usaha yang dibuat oleh Pas dan beberapa NGO yang lain.
"Hari ini UMNO cuba tunjuk hero kononnya mereka memperjuangkan isu murtad, walhal mereka hanya mengambil kesempatan untuk meraih sokongan rakyat terhadap UMNO yang semakin hari semakin rapuh.
'Usaha HIMPUN adalah murni dan sememangnya wajar disokong, tetapi usaha HIMPUN cuba dimanipulasi oleh pihak lain dan dibimbangi HIMPUN akan menjadi satu perhimpunan yang menyebabkan hubungan antara agama dan kaum menjadi tegang," katanya dalam satu kenyataan.
Situasi ini mendorong Pas Pusat melalui kenyataan Tuan Guru Presiden mengambil sikap yang cukup cermat dan berhemat. Menyokong agenda mempertahankan aqidah umat Islam dan memberi ingatan HIMPUN tidak menjadi satu perhimpunan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
![]() |
PONTIAN 20 Okt. - Seorang wanita, Alfariza Ab. Aziz (gambar), 38, meminta bantuan orang ramai untuk mengesan dan mencari kakak kandungnya yang terpisah sejak 39 tahun lalu.
Kedua-dua beradik tersebut terpisah sejak dilahirkan setelah mereka diserahkan kepada keluarga angkat Melayu oleh ibunya, Kiew Tai Yen, 79, dan bapanya, Loo Siau Chuan akibat kesempitan hidup.
Alfariza anak kelapan daripada sembilan beradik berkata, maklumat yang ada mengatakan kakaknya itu bekerja sebagai jururawat di Batu Pahat.
''Tetapi, tidak tahu di hospital mana. Kami juga tidak mengetahui nama kakak kerana hingga kini ibu saya tidak pernah berjumpa dengan keluarga angkat kakaknya itu,'' katanya di sini hari ini.
Dia yang kini sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 22 bulan tinggal bersama keluarga angkatnya Ab. Aziz Othman di alamat No. 684, Lorong 3, Taman Merdeka di sini.
"Adik bongsu kami juga diserahkan kepada sebuah keluarga Cina kerana kesempitan hidup," ujarnya.
Menurut Alfariza, bapa mereka yang telah meninggal dunia merupakan seorang tukang besi di Tongkang Pecah, Batu Pahat suatu masa dahulu.
"Walaupun telah beragama Islam, saya tidak melupai ibu yang telah melahirkan dan telah beberapa kali menemuinya di Batu Pahat. Begitu juga dengan adik-beradik yang lain," katanya.
Oleh itu, beliau berharap pihak-pihak yang mengenali kakaknya dapat membantu mempertemukan mereka.
Mereka yang mengetahui di mana kakaknya berada ataupun kakaknya sendiri membaca berita ini boleh menghubunginya di talian 012-3627764 atau 07-6876684 (Ab. Aziz Othman).
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari akan dihadapkan ke tribunal universiti jika surat tunjuk sebab beliau berhubung kenyataannya terhadap titah Sultan Selangor dalam isu serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama, tidak kukuh.
Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, tindakan menggantung khidmat Abdul Aziz bermula kelmarin bertujuan memberi beliau masa dan peluang yang secukupnya untuk membela diri dan bukan sebagai ‘hukuman’ sebagaimana diuar-uarkan oleh sesetengah pihak.
“UIAM dikecam kerana menggantung beliau, tetapi ramai yang tidak tahu maksud ‘gantung’ itu. Kami bukan menghukum Abdul Aziz tetapi memberi peluang kepadanya untuk membela diri.
“Tindakan universiti menggantung beliau tidak bercanggah dengan mana-mana undang- undang universiti mahupun negara. Jadi, mengapa perlu UIAM dikecam dan mengapa tindakan kami menggantung beliau dipersoalkan?” katanya pada sidang akhbar di UIAM hari ini.
Semalam, peguam Abdul Aziz, Dr. Zulqarnain Lukman memberitahu UIAM menggantung khidmat Abdul Aziz bermula kelmarin sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak kerana kenyataan beliau berhubung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Zaleha menegaskan, dalam tempoh penggantungan itu, Abdul Aziz perlu memberi penjelasan berhubung isu tersebut iaitu sama ada beliau telah menjejaskan kepentingan universiti selaras dengan Peraturan 15, Peraturan Tatatertib Kakitangan atau tidak.
“Dalam peraturan tersebut, telah dijelaskan bahawa kebebasan ahli akademik dalam membuat sebarang kenyataan umum hendaklah tidak bercanggah dengan kepentingan universiti.
“Tetapi, tindakan Abdul Aziz itu secara tidak langsung telah menyebabkan nama baik UIAM terjejas,” katanya.
KUALA LUMPUR 21 Okt. - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin (gambar) ditahan pihak keselamatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketika menghadiri satu perhimpunan bagi membantah penggantungan pensyarah undang- undang, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari di universiti itu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, penahanan itu dibuat oleh pihak keselamatan UIAM berikutan kehadirannya dianggap boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan peserta perhimpunan.
"Pihak keselamatan UIAM menganggap bahawa Shamsul Iskandar adalah sangat mencurigakan kerana dia akan membuat suasana menjadi tidak tenteram kerana sikapnya yang keterlaluan terhadap sesuatu isu.
"Pihak polis tidak terlibat secara langsung dalam penahanannya kerana kami cuma memantau perjalanan perhimpunan itu yang tidak menggugat keselamatan warga UIAM," katanya di sini hari ini.
Jelas Abdul Rahim, perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang dipimpin oleh pengerusinya, Shukri Abdul Hadi serta sembilan lagi persatuan yang berada di bawahnya.
Perhimpunan tersebut dihadiri seramai 500 mahasiswa dari seluruh negara bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penggantungan terhadap Abdul Aziz.
Mereka telah menyerahkan memorandum kepada Rektor UIAM untuk menarik balik penggantungan tersebut selepas tamat perhimpunan.