Tuesday, July 26, 2011

Menyamar tangkap ulat sampah

KOTA BAHARU - Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) membentuk skuad penyamaran berpakaian preman bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kekotoran dan membuang sampah di kawasan bandar berkuat kuasa serta merta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, anggota skuad penyamaran yang dilantik itu diberi kuasa menyaman orang ramai dan peniaga yang membuang sampah di merata tempat di sekitar bandar.
"Pembentukan skuad ini perlu bagi menjaga kebersihan bandar, terutama di kawasan MPKB yang menjadi pintu masuk pelancong ke negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Gotong-royong Perdana di sini hari ini.
Pada program itu, hampir 1,000 orang yang terdiri kakitangan jabatan kerajaan, termasuk Jabatan Kesihatan, polis dan peniaga menyertainya sempena menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.
Takiyuddin berkata mereka yang didapati bersalah membuang sampah boleh dikenakan kompaun serta merta atau denda di mahkamah sehingga RM500 di bawah Undang-Undang Kecil PBT. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

6 jawatankuasa ditubuh siasat kezaliman polis

Orang ramai diminta bekerjasama dengan polis bagi menyerahkan rakaman video berkaitan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu untuk dijadikan bukti sama ada terdapat dakwaan polis bertindak ganas semasa menyuraikan perhimpunan itu.

NONETimbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata kerjasama itu perlu bagi membolehkan polis mendapat gambaran sebenar kejadian yang berlaku setelah banyak pihak mendakwa kekasaran polis semasa menangani perhimpunan itu.

"Kita akan siasat secara telus, terperinci dan polis tidak akan sembunyikan apa-apa fakta yang benar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Banteras Kecurian Kenderaaan di Malaysia di Genting Highlands, hari ini.

NONESehubungan itu, beliau berkata polis menubuhkan enam jawatankuasa yang diketuai seorang pegawai kanan bagi menyiasat enam dakwaan kezaliman polis ketika bertugas menangani perhimpunan tersebut.

"Siasatan akan diselesaikan secepat mungkin dan polis telah panggil beberapa saksi untuk siasat enam tohmahan itu.

Bawa ke mahkamah

"Polis ingin tahu tohmahan itu benar ataupun tidak. Bagaimanapun tohmahan yang disiasat itu tidak termasuk kejadian di Hospital Tung Shin," katanya.

NONEKhalid berkata sekiranya perlu polis bersedia menayangkan video mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada perhimpunan itu.
"Sekiranya perlu kita akan siarkan video itu selepas jawatankuasa yang ditubuhkan selesai menyiapkan laporan berhubung perhimpunan itu," katanya.

Mengulas mengenai tangkapan yang dilakukan ketika perhimpunan itu, Khalid berkata tangkapan yang dilakukan adalah mengikut undang-undang, jika mereka yang ditahan tidak berpuas hati dengan tugas polis, perkara itu boleh dibawa ke mahkamah.

baharudin ahmad in bersih rally 1"Tangkapan yang dilakukan kebanyakannya kerana memakai baju BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil)...sebahagian besar tangkapan telah dibebaskan tanpa syarat dan sebahagian lagi kita siasat sebab ajak orang berhimpun.

Sementara itu, Khalid turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti dakwaan kematian pemandu teksi Baharudin Ahmad, 59, akibat gas pemedih mata ketika menyertai perhimpunan itu supaya menyerahkan bukti itu kepada polis.

bersih rally petaling street 090711"Kalau ada bukti tunjukkanlah...jangan sebarkan dakwaan itu tanpa ada kesahihan," katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan kematian Baharudin itu yang menyertai perhimpunan di kawasan KLCC pada 9 Julai adalah akibat komplikasi jantung dan bukan berpunca daripada gas pemedih mata seperti didakwa pihak tertentu.

- Bernama
6 jawatankuasa ditubuh siasat kezaliman polis - Malaysiakini

Suaram: Pengusiran 'cabuli kuasa eksekutif'



NGO hak asasai manusia Suaram membidas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerna “mencabuli kuasa eksekutif” ketika mengusir peguam Perancis, William Bourdon, Jumaat lalu.

ops scorpene dinner 220711 cynthia gabrielPengarahnya, Cynthia Gabriel (kiri) berkata pengusiran Bourdon itu adalah kesilapan terbesar kerajaan kerana ia tidakan yang menghina diplomasi, undang-undang antarabangsa dan adab kesopanan.

Kebiadapan cara Bourdon ditangkap dan diusir adalah “tindakan arbitari” oleh Kementerian Dalam Negeri dan pencabulan kuasa eksekutif oleh pentadbiran Najib, kata Cynthia.

Jabatan Imigresyen pula memberikan justifikasi tindakan mereka dengan mendakwa peguam itu diusir kerana melanggar syarat pas lawatan sosial ke Malaysia yang diberikan itu.

Cynthia berkata Bourdon mewakili Suaram dalam siasatan di Perancis berhubung 'perkara yang tidak kena' membabitkan kerajaan Malaysia berhubung pembelian tiga kapal selam jenis Scorpene RM7.3 bilion daripada firma pertahanan gergasi Perancis DCNS pada 2002.

ops scorpene dinner 220711 crowdMalam Khamis lalu, ketika di Pulau Pinang, Bourdon yang memberi taklimat kepada 600 orang hadirin pada majlis amal yang dinamakan 'Ops Scorpene' anjuran Suaram.

Teras ucapannya adalah mengenai mereka yang mendapat manfaat akibat rasuah dalam urusniaga berkenaan yang bakal didedahkan di mahkamah terbuka di Paris pada September ini.

[Baca berita penuh]

Hanya RTM setuju siar video himpunan BERSIH polis

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan video perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu untuk ditayangkan stesen televisyen di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata setakat ini hanya RTM bersetuju menerima tawaran ini dan sudah menayangkannya.

NONE"Jika ada stesen televisyen lain yang ingin menayangkan video itu, kita sedia menyerahkan video ini untuk ditayangkan. Sebenarnya, klip video ini juga kini boleh dilihat di laman web PDRM.

"Kita berterima kasih kepada RTM kerana sudah menyiarkan klip video sebenar apa yang berlaku pada perhimpunan 9 Julai lalu.

"Kita mengharapkan dengan ditayangkan klip video ini masyarakat mendapat maklumat yang tepat dan sebenar apa yang berlaku pada hari tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh perbarisan tamat latihan perdana perajurit muda dan konstabel polis siri 1/2011 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson hari ini.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat Datuk Zulkifli Zainal Abidin.

Khalid berharap dengan penayangan klip video itu tidak ada lagi pihak yang membuat tuduhan, tomahan dan andaian bahawa polis berlaku ganas dan zalim kepada mereka yang berhimpun secara di ibu negara pada 9 Julai lalu.

- Bernama
Hanya RTM setuju siar video himpunan BERSIH polis - Malaysiakini

Polis didesak siasat James Murdoch

LONDON 25 Julai - Eksekutif News Corp., James Murdoch menghadapi tekanan hari ini berhubung keterangan yang diberikannya mengenai skandal penggodaman telefon yang melanda empayar media keluarga Murdoch dan boleh mengancam kedudukannya sendiri dalam syarikat itu.
Polis Britain sedang menimbangkan permintaan ahli politik pembangkang Parti Buruh, Tom Watson supaya mereka menyiasat dakwaan anak lelaki kepada ketua News Corp., Rupert Murdoch itu memberi keterangan 'salah' pada sesi berprofil tinggi di Parlimen pada minggu lalu.
Dalam perkembangan berasingan, seorang ahli Parlimen Buruh, Chris Bryant telah menulis surat kepada para pengarah bebas News Corp. untuk menggesa mereka menggantung James, 38, dan bapanya kerana gagal melaksanakan kawalan korporat yang sewajarnya.
James dan Rupert, 80, menghadapi jawatankuasa media di Parlimen pada Selasa lalu untuk menjawab soalan mengenai skandal penggodaman telefon di akhbar News of the World.
Syarikat induk News of the World, News International sebelum ini mendakwa insiden penggodaman di akhbar tabloid tersebut hanya melibatkan seorang pemberita yang bertindak sendirian.
Bagaimanapun dua bekas pegawai kanan News of the World pada Jumaat lalu mempertikaikan dakwaan James semasa memberi keterangan di Parlimen bahawa beliau tidak mengetahui satu e-mel pada 2008 yang menunjukkan salah laku tersebut berlaku secara lebih meluas. - Reuters
E-mel itu berkaitan dengan penyelesaian di luar mahkamah membabitkan wang berjumlah 700,000 pound (RM3.3 juta) yang dibayar kepada ketua kesatuan sekerja pemain bola sepak England dan ditandatangani oleh James pada 2008, sejurus selepas beliau mengambil alih peranan sebagai ketua operasi News Corp. di Eropah.
James dalam surat kepada pengerusi jawatankuasa media Parlimen berkata, beliau telah menjawab soalan di Parlimen dengan jujur.
Namun ahli Parlimen dijangka menghubungi dua orang yang mempertikaikan keterangan beliau itu, bekas editor News of the World, Colin Myler dan ketua pegawai undang-undang kumpulan akhbar itu, Tom Crone untuk mendengar keterangan mereka sendiri.
"James Murdoch dalam kedudukan berbahaya, kerana jika beliau didapati mengetahui butir-butir penyelesaian yang ditandatanganinya, beliau menghadapi masalah besar.
"Bagaimanapun jika beliau langsung tidak mengetahui mengapa beliau meluluskan pembayaran wang sebegitu banyak, timbul pula persoalan lain, sama ada beliau cekap untuk mengendalikan syarikat dan sama ada beliau layak untuk menggantikan bapanya," kata penganalisis media, Steve Hewlett. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Jet pejuang China kejar pesawat pengintip AS

TAIPEI 25 Julai - Dua jet pejuang China menceroboh ruang udara Taiwan ketika cuba mengusir pesawat pengintip Amerika Syarikat (AS) dalam satu insiden hujung bulan lepas, lapor media Taiwan yang memetik Kementerian Pertahanan hari ini.
Menurut akhbar United Daily News, dalam insiden tersebut, sebuah daripada jet China tidak meninggalkan ruang udara Taiwan, memaksa dua jet negara ini diterbangkan untuk memintasnya.
Katanya, insiden tersebut berlaku pada hujung bulan lepas apabila dua jet SU-27 tentera China cuba mengusir pesawat pengintip U2 milik AS.
Tambahnya, Pesawat UA dilaporkan terbang di persisiran Selat Taiwan untuk mengumpul maklumat mengenai Tanah Besar China.
Satu daripada jet China melintasi ruang udara Selat Taiwan yang dianggap sebagai sempadan di antara ruang udara Taiwan dan China.
"Penceroboh (jet China) tidak berpusing semula sehingga dua jet F-16 milik Tentera Udara Taiwan dihantar untuk memintasnya," kata sumber tentera yang tidak mahu dinamakan.
Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, dua jet SU-27 China secara terang-terangan terbang ke tengah kawasan Selat Taiwan pada 29 Jun lalu.
Menurutnya, kejadian tersebut bukan sebagai provokasi namun menimbulkan kebimbangan.
"Tentera China perlu berlatih supaya tidak melanggar batasan, atau insiden yang tidak diingini boleh berlaku," kata Shuai Hua-min, penggubal undang-undang yang berkhidmat dengan parti pemerintah, Kuomintang.
Kejadian tersebut meningkatkan kebimbangan terhadap kepercayaan antara kedua-dua negara, walaupun hubungan tersebut dijalinkan sejak Presiden Ma Ying-jeou dari Parti Koumintang yang mesra dengan China, mengambil tampuk perintahan pada 2008. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Anjing korek kubur tiada pagar


JAAFAR menunjukkan kubur yang dikorek anjing liar  di kawasan tanah perkuburan Islam Putra Perdana, Puchong.
JAAFAR menunjukkan kubur yang dikorek anjing liar di kawasan tanah perkuburan Islam Putra Perdana, Puchong.


Pihak masjid, MDS digesa pantau Perkuburan Islam Taman Putra Perdana

PUCHONG: Anjing korek kubur! Itulah yang berlaku di tanah perkuburan Islam Taman Putra Perdana, di sini apabila tanah kubur yang baru dibuka dua bulan itu, dikorek lebih 10 anjing liar tanpa sebarang tindakan diambil pihak dipertanggungjawabkan menyelenggara kubur berkenaan.

Lebih malang lagi, tanah perkuburan bersebelahan Surau As-Sakinah itu tidak berpagar hingga memudahkan anjing liar berkenaan datang setiap pagi dan tengah hari serta menjadikannya tempat tidur mereka waktu malam hingga membimbangkan penduduk setempat serta jemaah surau.
Penduduk juga melahirkan perasaan kesal kerana pihak pengurusan masjid yang diberi tanggungjawab memantau kawasan perkuburan itu dilihat mengambil sikap tidak endah, bahkan hanya muncul ketika ada kematian saja.
Penduduk, Jaafar Abdul Tahib, berkata ada enam kubur di lokasi itu sejak dibuka, tetapi ketiadaan kawasan berpagar menyebabkan ia menjadi tempat anjing liar berteduh hingga menakutkan penduduk kerana kumpulan haiwan itu bertindak ganas dengan mengejar individu yang menghalau mereka.

Beliau berkata, aduan sudah dibuat kepada Majlis Daerah Sepang (MDS) lebih seminggu lalu, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil, malahan panggilannya tidak dilayan apabila sering disambungkan kepada pelbagai jabatan berbeza hingga menyukarkan beliau menceritakan keadaan sebenar.

“Sikap tidak bertanggungjawab kontraktor di kawasan pembinaan berdekatan yang melepaskan haiwan itu sebaik kerja mereka disiapkan menjadi faktor utama masalah ini. Pihak MDS dan masjid perlu datang ke sini dan memantau keadaan serta menyelesaikannya dengan segera kerana najis anjing berkenaan mencemar kawasan ini.

“Ada kalanya, haiwan itu tidak mahu beredar dari kawasan kubur walaupun sudah dihalau berkali-kali hingga kami sendiri risau melihat keadaan ini. Penggali kubur juga harus peka dengan menutup kembali tanah yang digali jika tidak digunakan kerana jika tidak, ia boleh menjadi lokasi anjing membuang najis mereka atau mati di dalamnya,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Aminah Mat Taha mendakwa kubur cucunya yang baru meninggal dunia dua minggu lalu menjadi mangsa anjing liar berkenaan apabila dikorek dan keadaan itu amat menyedihkan keluarga serta meminta pihak yang dipertanggungjawabkan mengambil tindakan segera.

“Saya sedih kerana keadaan ini kerap berlaku dan berharap masalah akan diselesaikan segera dengan menangkap anjing ini bagi mengelak masalah lain pula,” katanya. Berita Harian Online | Anjing korek kubur tiada pagar

5 lagi kedai palsu Apple dikesan

BEIJING: Pihak berkuasa China mengesan lima lagi kedai menjual produk Apple palsu di bandar barat daya Kunming dan menggantung perniagaan dua daripadanya ketika siasatan ke atas pengusahanya dilakukan, kata satu laman web kerajaan tempatan semalam.

Pihak berkuasa tidak dapat berbuat apa-apa dengan tiga lagi kedai yang memaparkan dengan jelas tanda dan logo Apple kerana mereka tidak menemui sebarang produk palsu Apple yang dijual, menurut laporan akhbar tempatan yang dihantar dalam laman web kerajaan bandar Kunming.

Siasatan mengenai kesai palsu Apple dilancarkan selepas satu tulisan dalam blog minggu lalu oleh seorang wanita Amerika yang tinggal di Kunming dalam wilayah Yunnan.
Wanita itu melaporkan dia terserempak dengan tiga kedai palsu menyamar sebagai kedai sah Apple di bandar itu. Beliau mengambil gambar dan menghantarnya dalam blog BirdAbroad miliknya.

Beliau berkata, ia mencontohi kedai ikon syarikat itu sehinggalah keadaan tangga yang berpusing dan kakitangan memakai baju-T biasa berwarna biru.

Selepas blog itu membuat pendedahan Rabu lalu, Biro Perdagangan dan Industri Kunming memeriksa lebih 300 kedai elektronik di Kunming dan menemui lima kedai palsu Apple, kata laman web kerajaan bandar.

Panggilan kepada pejabat Biro Perdagangan dan Industri Kunming tidak dijawab semalam.
Pembuat iPhone dan peralatan terkenal lain memiliki empat kedai syarikat di China, dua di Beijing dan dua di Shanghai, serta pelbagai penjual rasmi.

Pertumbuhan kedai palsu menunjukkan tindakan balas lambat dilakukan kerajaan China dalam membendung satu budaya cetak rompak berleluasa dan pengeluaran meluas barangan palsu menjadi punca kemarahan utama negara lain yang dianggap rakan dagang. – AP
Berita Harian Online | 5 lagi kedai palsu Apple dikesan

Militan gantung budak 8 tahun

Bapa enggan serah kenderaan polis

KABUL: Pemberontak di selatan Afghanistan menggantung budak lelaki berusia lapan tahun, enam hari selepas mereka menculiknya, kata pihak berkuasa di sini kelmarin.

Penculik budak lelaki terbabit menuntut bapa mangsa, seorang pegawai polis memberi mereka kenderaan polis tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Penjelasan kejadian itu diberikan pejabat Presiden Afghanistan, Hamid Karzai. Militan menggantung budak lelaki itu di daerah Gereshk, wilayah Helmand, Jumaat lalu.
“Presiden Karzai mengutuk keras tindakan itu dan menganggapnya sebagai satu jenayah kejam serta perbuatan pengecut yang tidak diterima dalam mana-mana agama atau budaya,” kata kenyataan dikeluarkan pejabat Karzai.

Ia merujuk pembunuh itu sebagai ‘pengganas’ namun tidak mengatakan jika mereka anggota Taliban atau pergerakan pemberontak yang berjuang menentang tentera asing dan sekutu Afghanistan.

Kejadian menculik adalah perkara biasa di Afghanistan. Kumpulan penjenayah menuntut wang tebusan manakala pemberontak pula membuat kenyataan politik.

Kebanyakan penculikan diselesaikan secara rahsia menerusi rundingan manakala bayaran biasanya membabitkan wang tunai.
Dalam satu lagi kejadian berasingan, pihak berkuasa Afghanistan berkata tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menentang pemberontak di sepanjang lebuh raya timur secara tidak sengaja membunuh tiga orang awam yang terperangkap dalam pertempuran itu. – AP
Berita Harian Online | Militan gantung budak 8 tahun

Menteri China mohon maaf


PEKERJA membersihkan kawasan  gerabak  yang terjatuh dari jejambat dalam nahas  dengan sebuah lagi kereta api  Sabtu lalu.
PEKERJA membersihkan kawasan gerabak yang terjatuh dari jejambat dalam nahas dengan sebuah lagi kereta api Sabtu lalu.


Nahas kereta api laju jejas rancangan perluas sistem ke seluruh negara

BEIJING: Menteri Kereta Api China, Sheng Guangzu, semalam memohon maaf kepada mangsa pelanggaran kereta api dan keluarga mereka, ketika siasatan awal nahas semakin menjurus kepada kesilapan manusia sebagai punca utama.

Kementerian Kereta Api dan pegawai kanan kerajaan tidak membuat penjelasan mengapa kereta api kedua tidak diberi amaran bahawa ada sebuah lagi kereta api sedang berhenti di laluannya sebelum rempuhan berlaku.
Dalam kejadian Sabtu lalu, sebuah kereta api laju dari Hangzhou, terputus bekalan elektrik akibat disambar petir lalu merempuh bahagian belakang sebuah kereta api dari bandar raya Wenzhou, menyebabkan enam gerabak tergelincir dan empat daripadanya terhumban kira-kira 30 meter dari jejambat. Seramai 38 orang termasuk dua warga Amerika terbunuh, manakala lebih 190 lagi cedera.
Tiga pegawai Biro Kereta Api Shanghai dipecat selepas kejadian itu, manakala media milik kerajaan menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan sistem kereta api China yang menarik minat berjuta-juta penduduk setiap tahun.

Nahas kereta api terburuk sejak 2008 itu juga menimbulkan kebimbangan, ia mungkin menjejaskan rancangan China meningkatkan sistem perkhidmatan kereta api laju ke seluruh negara.

Seorang pakar berpendapat kecuaian manusia berkemungkinan menjadi punca nahas terbabit.

“Saya rasa masalahnya mungkin berpunca daripada kesilapan pengurusan perjalanan berbanding kegagalan teknologi. Sistem yang ada sepatutnya berupaya mengeluarkan amaran secara automatik atau menghentikan kereta api dalam keadaan tertentu,” kata profesor di Institut Penyelidikan Pengangkutan Universiti Teknologi Beijing, Qi Qixin.
Kemalangan ini adalah tamparan terbaru dalam usaha China mempertingkatkan perkhidmatan kereta api laju yang direka bagi menunjukkan kemajuan dan kehebatan teknologi pengangkutannya sebagai negara maju, seiring program angkasa lepas negara itu.

Beijing merancang memperluaskan rangkaian pengangkutan kereta api laju, untuk menghubungkan wilayah terpencil di China selain cuba menjual kereta apinya ke Amerika Latin dan Asia Barat.

Bagaimanapun pengkritik berkata, harga tiket terlalu mahal manakala, perkhidmatannya tidak memenuhi keperluan rakyat biasa dan golongan bawahan pelbagai wilayah.

Bulan lalu, China melancarkan rangkaian landasan kereta api laju dari Shanghai ke Beijing, di mana kereta apinya mampu bergerak dengan kepantasan 300 kilometer sejam. Kelajuan itu dikurangkan daripada 350 kilometer sejam yang dijangkakan sebelum itu, selepas persoalan mengenai keselamatannya ditimbulkan. – APBerita Harian Online | Menteri China mohon maaf

Pasukan tentera laut Iran semakin kukuh: Teheran

TEHERAN: Komander tertinggi tentera laut Iran menegaskan mengenai peranan angkatan pasukan itu, menekankan perkembangan berterusan negara itu dalam mereka dan membina kapal selam.

Kehadiran tentera laut Iran di mana saja seharusnya digeruni pihak musuh yang berhasrat melakukan tindakan agresif terhadap kepentingan negara itu, kata Timbalan Komander Tentera Laut Iran, Laksamana Muda Gholam Reza Khadem Bigham, semalam.


Beliau menambah pakar negara itu sudah memperoleh kepakaran teknikal bagaimana untuk membina pelbagai jenis kapal selam dan menyatakan proses itu akan berterusan pada masa depan, lapor agensi berita kerajaan, Irna.

myMetro | Pasukan tentera laut Iran semakin kukuh: Teheran

Media terus tuding umat Islam tanpa bukti

KETIKA Norway bersedih dengan pembunuhan 93 orang yang dilakukan pelampau Kristian, media di seluruh dunia berdepan dengan soalan sukar mengenai tindakan melulu mereka menuding jari ke arah umat Islam berhubung kejadian itu.

Penulis blog menyelar akhbar ‘aliran utama’ menerusi Internet, wartawan profesional saling tuduh-menuduh mengenai siapa yang paling cepat dalam membuat keputusan melulu, atau kegagalan mereka untuk membuat analisis lebih seimbang. Dalam pada itu, masyarakat Islam, khususnya yang menetap di Barat, dibiarkan untuk terus berfikir sama ada ketidakpercayaan terhadap mereka yang begitu meluas akan berkurangan.


“Hari yang tragik bagi Nor- way, hari yang memalukan untuk dunia kewartawanan,” adalah cara bagaimana pakar sejarah Universiti Brown, Shiva Balaghi menyifatkan liputan kejadian itu di laman web jadaliyya.com. “Menerusi pusingan berita 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, didorong kegilaan pakar keganasan yang menjalankan kajian menggunakan Google dan menulis dalam Twitter, wartawan sepatutnya berhati-hati,” katanya. Ketika media online dan penyiar beralih secara berperingkat-peringkat mengalihkan fokus mereka terhadap suspek, daripada Islam kepada militan tempatan berhaluan kanan, akhbar, khususnya di Eropah, dimalukan dengan perubahan berita ketika ia dicetak malam Jumaat lalu.

Sebahagiannya berkeras menyatakan suspek militan Islam. ‘Kekejaman Al-Qaeda: 9/11 Norway,’ terpampang di muka depan akhbar paling laris Britain, The Sun.


Meskipun berkata suspek sudah dicam, lelaki berambut perang dengan berpakaian seragam polis, laporan ringkas muka depan akhbar itu mendakwa, pegawai mengesyaki suspek ialah fanatik Islam dan pembunuh itu mungkin warga tempatan yang memeluk Islam dan anggota al-Qaeda.


“Tidak bersalah sehingga dibukti bersalah’ bertukar menjadi ‘bersalah sehingga dibukti tidak bersalah’ apabila ia membabitkan orang Islam,” kata pengulas berita warga Britain kelahiran Iraq, Adnan Al-Daini dalam www.huffingtonpost.com. “Media bertanggungjawab mesti bertindak lebih baik. Nyawa orang tidak berdosa mungkin bergantung pada laporan mereka,” katanya.

Profesor Kewartawanan Politik di Universiti City, London, Ivor Gaber melihat campuran ‘malas’ dan ‘niat jahat’ di kalangan media dengan kesediaan untuk dipengaruhi agenda yang sudah ditetapkan menerusi kejadian lama dan juga, bagi sesetengah pihak, untuk menanamkan perasaan bimbang di kalangan pembaca mereka.

“Kita mewujudkan budaya panik kerana media popular menyebarkan perasaan takut. Hari ini, yang popular ialah militan Islam. Kerana itu, setiap kejadian buruk, tumpuan ialah pada mereka,” katanya.

Jika penulis tajuk akhbar diselar kerana tidak berhati-hati dalam melaporkan keadaan yang jauh belum jelas, tidak seperti pegawai Norway yang bertindak lebih berwaspada dalam membuat tuduhan, pakar pengulas dan penulis pojok juga menjadi sasaran kecaman pada hujung minggu, Peter Knoope, Pengarah Pusat Memerangi Keganasan Antarabangsa yang berpusat di Belanda berkata, wartawan melakukan apa yang pakar penganalisis berkata selama ini: “Meskipun sebahagian reaksi dalam media semalam bertindak secara berhati-hati, namun ramai yang menggambarkan ketaksuban Barat mengenai keganasan dalam Islam.


“Seorang pakar semalam mendakwa ‘pembunuh tinggi lampai dan berambut perang itu mungkin mualaf.’ Ini menggambarkan pemikiran bahawa semua yang buruk berpunca daripada satu sumber - aktivis Islam.” Antara pakar berfikiran singkat seperti itu ialah Will McCants, bekas penasihat Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai perang menentang keganasan yang kini berkhidmat di Universiti John Hopkins.


Dia menarik perhatian menerusi Twitter dengan menuding jari terhadap aktivis Islam, sejurus selepas pengeboman di Oslo. Antara kesan menonjol dalam ulasan sebahagian media terhadap kenyataan McCant yang disiarkan dalam laman web New York Times ialah dia menjadi sasaran blogger lain.


Laman web Palestin electronicintifada.net mengecam McCant dengan tajuk akhbarnya berbunyi “Bagaimana dungunya seorang ‘pakar keganasan’ - menetapkan agenda media yang membenci orang Islam.” Perasaan perkauman jelas dilihat di Amerika Syarikat dengan wartawan berhaluan kiri dan kanan membuat kenyataan jahat, bukan saja dalam laporan mereka tetapi juga ulasan, mengenai pengajaran yang perlu diambil akibat daripada pembunuhan beramai-ramai di Norway itu.


“Washington Post perlu mohon maaf kepada dunia,” kata James Fallods menerusi laman web Atlantic Monthly. Beliau membidas penulis blog akhbar itu, Jennifer Rubin, yang tulisannya masih terpapar pada laman web akhbar itu, yang menggesa perlunya tindakan untuk memerangi ancaman Islam.


“Ini peringatan kepada mereka yang beranggapan ia terlalu mahal untuk melancarkan perang terhadap mujahid Islam,” kata Jennifer dalam tulisannya itu.


“Ia bukan orang lain, malah kita juga terbayang serangan di Norway itu ada kaitan dengan Islam,” kata Basharaf Nazir, jurucakap Badan Islam Ahmadiyya di Britain yang mengadakan perhimpunan tahunan minggu lalu untuk mempromosi keamanan.


Menurutnya, apabila mengetahui pembunuh di Nor- way itu pelampau Kristian tempatan, ia melegakan masyarakat Islam lebih-lebih lagi kumpulan itu baru saja menjalankan kajian seminggu lalu yang menunjukkan hampir sepertiga rakyat Britain berpendapat media perlu disalahkan kerana meningkatkan kebencian terhadap Islam.


“Sebahagian besar pendapat menyalahkan media kerana memberi tumpuan terhadap aspek negatif. Apa saja yang negatif, orang ramai akan menyangka ia dilakukan oleh orang Islam.” katanya. - Reuters

myMetro | Media terus tuding umat Islam tanpa bukti

Polis siasat tujuh laporan berhubung perhimpunan 9 Julai

KUALA LUMPUR: Susulan pelbagai tohmahan berkenaan keganasan dan kekerasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menyuraikan perhimpunan haram 9 Julai lalu, polis kini menyiasat tujuh laporan polis berkaitan isu berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima tujuh laporan polis berhubung tindakan anggota dan pegawai polis semasa perhimpunan terbabit diadakan.


Menurutnya, semua laporan itu kini disiasat secara profesional dan telus, termasuk berhubung dakwaan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang mengalami kecederaan di lutut akibat dirempuh kenderaan polis.

Beliau turut menegaskan, sekiranya siasatan mendapati semua laporan dibuat itu palsu mereka akan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


“Sekiranya siasatan mendapati perkara diadukan dalam laporan polis tidak benar dan dibuat dengan niat buruk, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.


“Kami akan cadangkan tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada seseorang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Acryl berkata, laporan lain turut disiasat berhubung kenyataan akhbar seorang peguam mendakwa terdapat cubaan membunuh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

myMetro | Polis siasat tujuh laporan berhubung perhimpunan 9 Julai

2 keterangan bercanggah

SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas didapati bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, memberi dua keterangan bercanggah berhubung hukuman penjara dijalaninya.

U Suresh, 27, yang sedang menjalani hukuman itu di Penjara Sungai Udang, Melaka, memberi jawapan demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, pada perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi, semalam.

Suresh turut memberitahu, tandatangan pada kenyataan beramaran kepada polis bukan tandatangannya.

Selain Ishak, pihak pendakwaan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.

ISHAK: Kamu kata kamu menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka. Kenapa kamu dipenjarakan?

SURESH: Saya berada dalam penjara kerana polis arahkan saya kerana bagi keterangan palsu.

ISHAK: Di mana kamu membuat pengakuan bersalah terhadap tuduhan yang kamu sedang jalani hukuman itu?

SURESH: Di mahkamah Banting, Selangor.

ISHAK: (Sekali lagi bertanya) Kenapa kamu dipenjarakan?

SURESH: Sebab polis beri keterangan palsu.


Terdahulu, Suresh berkata, dia ditahan bersama-sama tertuduh kedua, ketiga dan keempat, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, bersama dua lagi wanita di sebuah ladang di Banting pada 9 September tahun lalu.

Saksi itu berkata, seramai 40 anggota polis berada di ladang itu ketika mereka semua ditangkap.

Pada keterangan lain, Suresh mengakui dia memberi kenyataan kepada polis di Penjara Sungai Udang dan menandatanganinya.

Bagaimanapun apabila Ishak mengemukakan satu kenyataan di mahkamah, saksi itu menafikan tandatangan itu miliknya.

“Ini bukan tandatangan saya. Tandatangan saya berbeza,” katanya.

Menjawab satu soalan Ishak, Suresh berkata, dia tidak berada di ladang tempatnya bekerja jam 7 malam, 30 Ogos tahun lalu kerana berada di rumah pakciknya di Cheras.

Saksi itu berkata, dia juga tidak pernah melihat kenderaan dengan nombor pendaftaran WTL 11.

(WTL 11 adalah nombor pendaftaran BMW milik Sosilawati yang ditemui di parkir Flat Angsana, Subang Jaya pada 6 September 2010)

Saksi sama juga menafikan mengenali seorang lelaki bernama V Selvapandian.

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi meminda hukuman penjara tujuh kepada 20 tahun terhadap Suresh, 27, dan rakan sekerjanya, K Sarawanan, 20, mengaku bersalah atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti Sosilawati, 47, dan tiga individu lain.

Akhtar Tahir menetapkan kedua-dua pihak berhujah berhubung isu itu apabila prosiding bersambung pagi hari ini.

myMetro | 2 keterangan bercanggah

Cerai atau kekal

SAAT BAHAGIA...Jimmy dan Nursuhaila ketika majlis perkahwinan mereka tahun lalu.
SAAT BAHAGIA...Jimmy dan Nursuhaila ketika majlis perkahwinan mereka tahun lalu.

KESABARAN Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, terhadap sikap suami yang juga pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, sudah sampai ke penghujung.

Ia hilang apabila Jimmy menghebahkan dalam media kononnya majlis cukur jambul anak mereka dibatalkan sekali gus turut menimbulkan kemarahan bapa isterinya yang juga ahli perniagaan, Datuk Suhaimy Othman.

Pasangan itu berkahwin pada 1 Oktober 2010, namun selepas 20 hari bernikah, mereka tinggal berasingan dan pelbagai berita timbul sehinggalah kes dibawa ke mahkamah apabila Jimmy memfailkan tuntutan kembali taat, pada 3 Januari lalu.

Ikuti luahan Nursuhaila menerusi video dan kenyataan balas Jimmy yang masih berkeras enggan melepaskan isterinya.

APA KATA NURSUHAILA

SAYA tidak akan kembali semula kepada Jimmy walaupun dia sudah berubah. Tetapi, saya maafkan kesalahan dia.

Saya tetap mahu menuntut cerai dan mendapatkan hak penjagaan anak berusia 32 hari walaupun sebelum ini Jimmy mendakwa akan menarik balik kes nusyuz terhadap saya.

Saya bercakap pada sidang media yang diadakan ini (semalam) untuk menjawab segala kontroversi hubungan kami, termasuk yang terbaru membabitkan majlis cukur jambul bayi kami.

Saya sudah tidak tahan dengan sikap Jimmy yang meraih simpati mengenai krisis rumah tangga kami di media.

Bagi saya, dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan baik. Dia hanya memberikan wang nafkah kepada saya ketika saya mengandung, itupun hanya RM300 sebulan dan tidak cukup untuk menampung ubat dan pemeriksaan lain.

Selain itu, antara faktor lain saya enggan kembali kepada Jimmy ialah kerana dia sering memukul dan menampar pipi saya hanya kerana pergaduhan kecil.

Malah, sebelum malam perkahwinan pun saya ditampar apabila meminta izin untuk keluar berjumpa rakan.

Selain itu, saya turut dikasari ketika berbulan madu di Koh Samui, Thailand, hanya kerana pergaduhan kecil.

Tapi, saya mengakui saya seorang yang bersifat kasar dan sudah menjelaskan kepada Jimmy sebelum berkahwin tetapi dia sudi menerima saya seadanya.

Bagaimanapun, tindakan Jimmy mengasari saya menyebabkan saya tidak mampu bertahan, apalagi apabila saya dikongkong dan disuruh tidur jam 9 malam dan tidak boleh melayari laman sembang sosial.


APA KATA JIMMY

SAYA tidak akan sewenang-wenang menceraikan dia kerana apa yang saya lakukan selama ini adalah tanggung jawab sebagai suami dan talak terletak di tangan lelaki.

Sebagai isteri, Nursuhaila harus patuh pada perintah dan arahan saya dan jika ingkar, dia tidak akan mencium bau syurga.

Selepas berkahwin apa yang saya harapkan ialah selepas seharian penat bekerja, dapat meluangkan masa bersama isteri dan mahu diberikan layanan sebaiknya dari seorang wanita bergelar isteri.

Tanpa alasan munasabah, saya tidak akan sesekali menceraikan isteri saya dan sekiranya saya gagal dalam prosiding mahkamah pada kali ini, saya akan berusaha mendapatkan hak penjagaan anak.

Saya mengakui tidak membenarkan dia menemui rakan sebelum malam perkahwinan dan meminta Nursuhaila hanya berehat di rumah, namun dia tetap berdegil.

Tindakannya ingin bertemu rakan menyebabkan saya hilang kawalan dan menamparnya.

Begitu juga sewaktu di Koh Samui tetapi selepas itu saya tidak melakukannya lagi. Saya juga berjanji untuk menjaganya selepas kahwin dan dia juga pernah berjanji kepada saya untuk berubah.

Selain itu, saya berpendapat, ibu bapa seharusnya tidak campur tangan dalam masalah rumah tangga anak-anak kerana campur tangan itu akan menyebabkan keadaan semakin tegang.

Saya cuba berkomunikasi secara baik dengan Nursuhaila, malangnya dia hanya berdiam diri dan tidak mahu menjawab SMS atau panggilan telefon.

Saya cuba bertanya kepada ibu keadaannya dan memberitahu ibunya bahawa saya cuba berbincang mengenai masalah yang dihadapi, itu saja.

myMetro | Cerai atau kekal

Duta baharu AS ke Afghan angkat sumpah

RYAN CROCKER (kiri) mengangkat sumpah jawatan sebagai Duta Amerika Syarikat ke Afghanistan di Kabul, semalam.


KABUL - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Afghanistan, Ryan Crocker (gambar kecil) secara rasminya dilantik memegang jawatan berkenaan semalam. Pelantikan beliau dibuat ketika tentera Barat di Afghanistan diketuai AS mula memindahkan tanggungjawab kawalan keselamatan kepada tentera Afghanistan. Ini berikutan AS akan melakukan pengunduran tentera secara berperingkat dari negara bergolak itu.

"Kita dalam proses transisi Afghanistan. Sudah tiba masanya, AS melangkah ke belakang dan Afghanistan maju melangkah ke hadapan. Tiada bukti yang jelas daripada kejayaan transisi keselamatan yang berlaku pada minggu lalu," jelas Crocker selepas majlis mengangkat sumpah jawatan yang diadakan di Kedutaan AS di Kabul. Crocker mengambil alih jawatan daripada Karl Eikenberry. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Denda RM3,000 ponteng puasa


Sikap segelintir umat Islam enggan berpuasa pada bulan Ramadan boleh dituduh hina Islam. - Gambar hiasan.


KUANTAN - Umat Islam yang ditangkap oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) atas kesalahan tidak berpuasa pada Ramadan ini boleh dituduh hina Islam dan bakal berhadapan dengan hukuman lebih berat. Ketua Bahagian Penguat Kuasa JAIP, Raffli Abdul Malek berkata, mengikut kesalahan di bawah Seksyen 170 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, mereka yang ditangkap kerana tidak berpuasa boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali kerana menghina Islam.

Katanya, hukuman melalui Seksyen 137 dan Seksyen 170 terhadap kaki ponteng puasa itu perlu untuk memastikan kesalahan tersebut tidak dilakukan sesuka hati kerana ia mencemar maruah kesucian Islam. "Tindakan lebih berat berbanding sebelum ini turut dikenakan terhadap peniaga yang menjual makanan kepada mereka yang tidak puasa," katanya di sini semalam. Tambah beliau, sebelum ini orang Islam yang disabit kesalahan tidak berpuasa Ramadan didenda maksimum RM500 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali, manakala penjual makanan pula berdepan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-dua mengikut Seksyen 137 enakmen sama.

Kosmo! Online - Negara

Enam bulan untuk patuhi peraturan pasang beg udara

SEMUA kenderaan baharu perlu dilengkapi dengan beg udara mulai 1 Januari 2012.


SHAH ALAM - Kerajaan bersedia menawarkan tempoh enam bulan untuk pekilang dan pemasang kenderaan di negara ini yang tidak mampu mematuhi peraturan baharu untuk memasang beg udara dalam kenderaan mereka pada 1 Januari tahun depan. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kementerian itu bersedia berbincang dengan dua pihak berkenaan dan menawarkan tempoh lanjutan itu secara kes demi kes. "Kita sedia berikan kelonggaran masa, mungkin enam bulan untuk mereka mematuhi peraturan tersebut.

"Kita bukan tidak memikirkan yang wajar, jika anda ada masalah untuk mematuhi, datang untuk bincang dengan kita," katanya selepas melancarkan cawangan baharu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di sini semalam. Beliau berkata, semua kenderaan kecuali pacuan empat roda akan dikehendaki dipasang dengan beg udara mulai tahun depan sebagai salah satu usaha mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Katanya, kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) menunjukkan bahawa beg udara dan tali pinggang keledar boleh membantu untuk menyelamatkan nyawa semasa kemalangan jalan raya. Cho Ha memberitahu, dua syarikat pengeluar kereta nasional iaitu Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) telah memberikan jaminan untuk memastikan mereka mematuhi peraturan baharu itu.

Kosmo! Online - Negara