Friday, August 20, 2010

Isu Wahabi: Mufti Perlis mahu majalah milenia muslim disiasat

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya hari ini menggesa pihak berwajib di peringkat persekutuan mengambil tindakan terhadap sebuah majalah agama yang didakwa anti perpaduan dan menghasut masyarakat untuk berpecah belah.
Katanya, pada saat kesatuan negara semakin diperkukuh oleh slogan 1Malaysia yang dilaungkan kerajaan persekutuan, namun masih wujud cubaan yang mahu mencetuskan perbalahan isu keagamaan.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini bagi merujuk tulisan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dalam majalah Milenia Muslim keluaran Ogos 2010, bertajuk "Penyelewengan Wahabi" yang antara lainnya menyebut bahawa tindakan negeri Perlis keluar daripada Jemaah dan mengambil jalan sendiri, kononnya mengembangkan Islam tanpa mazhab, adalah salah dan mesti ditentang.

Dua hari lalu, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu tampil membantah siaran artikel itu yang didakwa seolah-olah merupakan satu hasutan terhadap Perlis.

Mereka juga mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghentikan segera perbincangan bersabit isu Wahabi yang mengaitkannya dengan negeri Perlis dan memohon Raja Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mendesak penulis dan penerbit majalah itu menarik balik tuduhan dan memohon maaf secara terbuka.

Juanda berkata, pengamalan agama Islam di Perlis dijamin oleh Perlembagaan Negeri dan Persekutuan yang mana Fasal 5 Perlembagaan Negeri jelas menyatakan bahawa Islam Ahli Sunnah wal Jamaah adalah agama negeri.

"Apa yang menjadi kemusykilan ialah, mengapa penulis artikel itu beriya-iya benar cuba memalitkan negeri Perlis dengan tuduhan yang sering dinafikan sendiri oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Ketua Agama Islam negeri itu," katanya.

Menurut beliau, Perlis menghormati pandangan semua mazhab dan apa yang diamalkan tidak terikat dengan mana-mana mazhab dan memilih amalan yang menepati kehendak al-Quran dan Sunah, tafsiran sahabat serta ulama Salafussoleh. "Lantaran itulah pandangan agama dari negeri ini sering dijadikan rujukan oleh umat Islam seluruh negara dan sebahagian besar amalan negeri ini dapat diterima di tempat lain secara meluas," katanya.-Bernama

Tak hairan orang kafir tak terima hudud yang hairan UMNO tak terima hudud

Hudud bukan jawapan kepada masalah sosial - Karpal

20/08/2010 8:58pm

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pengerusi DAP Karpal Singh berkata hari ini beliau tidak bersetuju dengan cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.
Karpal berkata, partinya tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini.
"Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Karpal mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu semalam bahawa adalah wajar untuk berbalik kepada hudud oleh kerana beliau dakwa undang-undang sivil sekarang gagal mengawal jenayah dan penyakit sosial. - Bernama

Kerajaan PP nafi nama Guan Eng disebut dalam doa khutbah


20/08/2010 9:00pm

GEORGETOWN 20 Ogos - Kerajaan negeri hari ini menafikan dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng digunakan dalam doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Abdul Malik Kassim berkata, siasatan pihaknya mendapati tiada mana-mana masjid melakukan doa dalam khutbah Jumaat yang menyebut nama Guan Eng seperti yang didakwa itu.
Katanya, teks khutbah Jumaat yang dibacakan oleh para khatib disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan tidak pernah menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.
“Kerajaan negeri dan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk tujuan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini. - Bernama

Orang Melayu akan merempat – NGOK


KUALA LUMPUR 19 Ogos – Semua pihak yang telah diamanahkan menjaga kepentingan orang Melayu perlu mengambil serius tindakan meroboh perkampungan Melayu atas alasan pembangunan sehinggakan orang Melayu hilang tempat tinggal dan tanah warisan mereka.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, jika tindakan meroboh perkampungan Melayu terus dibiarkan berlaku, orang Melayu akan merempat di negeri sendiri kerana tiada tanah serta tidak mampu membeli rumah.
Tegasnya, GPMS bersetuju dengan sebarang usaha melindungi perkampungan Melayu di seluruh negara terutamanya di Pulau Pinang tetapi pihak berwajib seperti UDA Holdings Berhad dan yayasan-yayasan bumiputera perlu memainkan peranan mereka.
“Cadangan mewartakan kampung Melayu sebagai kampung tradisi juga boleh diterima tetapi situasi di Pulau Pinang berbeza dengan negeri lain memandangkan status tanah milik swasta sedangkan di negeri lain tanah milik peribadi.
“Bila pihak swasta dan kerajaan negeri pula bersekongkol untuk menghalau orang Melayu, ke mana mereka mahu pergi sedangkan pampasan yang diterima tidak cukup untuk membeli rumah kos rendah sekalipun.
“Jika tidak dipertahankan perkampungan Melayu, hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang untuk ‘mengusir’ orang Melayu akan tercapai dan Pulau Pinang bakal menjadi Singapura kedua,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan mengisytiharkan tapak kesemua kampung Melayu di seluruh negara sebagai zon kampung tradisi bagi mengelakkan perkampungan orang Melayu dirobohkan atas alasan pembangunan.
Semalam, bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pulau Pinang, Syed Amerruddin Syed Ahmad membuat cadangan tersebut bagi melindungi perkampungan Melayu di Pulau Pinang dirobohkan pemaju seperti di Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Tengah di Jelutong dan beberapa kampung lagi di Balik Pulau.
Menurut Jais, UDA dan yayasan bumiputera lain disaran membeli kembali tanah perkampungan Melayu dari pihak swasta dan melindungi penduduknya daripada terus ditipu.
“Ini semua bermula bila penjajah British mengambil tanah orang Melayu dan diberi kepada bukan Melayu serta pihak swasta, sedangkan semua tanah itu asalnya milik orang Melayu.
“Tambahan pula orang Melayu yang berpecah belah memudahkan syarikat swasta mengambil kesempatan, memberi pampasan kecil kemudian membina projek perumahan jutaan ringgit yang tentu sekali tidak mampu dimiliki orang Melayu,” ujarnya.
Tambahnya, orang Melayu, penduduk perkampungan Melayu dan pemimpin Melayu juga perlu bersatu dan kuat mempertahankan tanah warisan bangsa jika tidak mahu hilang hak, negeri dan negara.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar turut menyelar tindakan meroboh perkampungan warisan orang Melayu atas alasan pembangunan.
“Kenapa nak roboh? Lepas roboh rumah kampung orang Melayu, bina pula kondominium berjuta-juta ringgit yang orang Melayu tak mampu beli sedangkan rumah orang Melayu itu merupakan warisan senibina dan budaya kita.
“Saya menyeru semua orang Melayu bersatu supaya tiada lagi pihak berani berbuat sesuka hati atau membuat tuntutan melampau seperti yang berlaku sekarang di kala orang Melayu dilihat lemah kerana berpecah belah,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar mahu perkampungan orang Melayu di seluruh negara dikekalkan sementara peraturan untuk melindunginya diperketatkan.
“Apa juga cadangan untuk perkampungan Melayu, yang penting ia dikekalkan dan penduduknya dilindungi daripada penipuan jual-beli, pindah hak milik dan tukar nama atau status,” katanya.

Anak tidak sah taraf meningkat


- DR AMINUDIN MANSOR 

Siapakah yang harus dipersalahkan apabila peningkatan anak luar nikah di negara ini semakin membimbangkan? Adakah salah ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak dengan iman, amal dan takwa? Jawapannya adalah terletak di atas bahu kita semua terutamanya umat Islam dan kepimpinannya. 

Menurut perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terdapat 81,000 anak luar nikah berdaftar ketika ini dan perkembangan tersebut tentunya menakutkan dan membimbangkan. Anak luar nikah yang didaftar pada tahun 2007 adalah seramai 16,100, pada tahun 2008 seramai 16,541 dan pada 2009 seramai 17,303. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencatatkan dalam tempoh lima tahun sehingga 2009, ialah 74,723 pendaftaran anak luar nikah membabitkan orang Melayu/Islam. 

Angka-angka ini bukan lagi khayalan, tetapi kenyataan yang harus dihadapi dan disedari oleh semua umat Islam. Semua pihak perlu insaf dan memberi tumpuan kepada didikan agama untuk laksanakan usaha mengukuhkan jati diri, iman, akhlak, adab dan menegakkan amar makruf dan nahi mungkar. 

Ingatlah, manusia terutama umat Islam akan diminta bertanggungjawab oleh Allah atas segala perbuatannya. Anak tidak sah taraf adalah disebabkan kepincangan hidup, kebebasan yang melampau, dan tiada asas yang kukuh daripada segi tauhid, ibadah, iman dan akhlak. 

Masalah yang dihadapi apabila anak tidak sah taraf yang meningkat adalah rosak jurai keturunan, nasab dan pertalian darah. Anak-anak ini akan menghadapi masalah dalam hidup apabila tiada ibu bapa yang sah dan tidak dapat menuntut harta kerana tiada bapa yang sah. 

Pendidikan iman mestilah ditekankan dengan lebih berkesan oleh ibu bapa, diri sendiri, institusi masjid, sekolah pondok, madrasah, sekolah agama, setiap lapisan masyarakat dan juga pemerintah. Pendidikan mestilah menekankan pengajaran berterusan bagi manusia agar dapat membentuk keimanan yang sempurna. 

Pelbagai program keagamaan seperti ceramah meningkatkan kesedaran, kefahaman agama, yang menekankan pendidikan keimanan, tauhid, ibadah, akhlak dan budi pekerti mestilah difokuskan kepada golongan remaja dan generasi muda. Usaha ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial dan pergaulan bebas yang melampau. 

Ingatlah kata-kata, anda mendidik anak hanya sehingga umur 10 tahun, selepas itu anda hanya mempengaruhinya. Anak-anak adalah sumber kehidupan yang paling bahagia. Mereka selamanya menerangi rumah tangga. Mereka tidak pernah sirna cahayanya. Oleh itu, didiklah mereka mengikut zamannya dengan iman dan takwa. 

Antara beberapa tanda dunia akhir zaman adalah gejala sosial yang dahsyat, ramainya bilangan anak luar nikah. Ingatlah, kalau sudah terlalu ramai bilangan anak-anak zina atau luar nikah ditakuti akan mendapat azab dan malapetaka yang bermacam-macam seperti pembuangan bayi dan pembunuhan serta malapetaka yang lain. 

Perkahwinan yang sah akan melahirkan anak yang sah dan dapat menjadi warisan kepada kedua-dua pasangan suami isteri. Cintailah anak-anak dan sayangilah mereka kerana mereka adalah pewaris kepada keturunan dan dapat menegakkan agama, bangsa dan negara. Jauhi dosa bagi orang yang mensia-siakan tanggungjawabnya sebagai ayah ke atas anak dan keluarganya. 


* Penulis ialah penyair. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.

Sinar selamat kembali



Konvoi kemanusiaan Misi Ramadan ke Gaza yang dianjurkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 7.30 malam, kelmarin (18 Ogos 2010). 

Pengalaman ke Gaza membuka mata saya serta peserta lain yang mengikuti rombongan ini me�ngenai keadaan sebenar wilayah di negara itu yang aman damai dan satu-satunya ancaman keselamatan yang diterima datangnya dari negara rejim Zionis itu. 

Dari pemerhatian saya, rakyat Palestin memiliki semangat perjuangan yang sangat tinggi untuk mempertahankan negara kelahiran mereka daripada ancaman musuh. 

Penduduk di situ mesra dan sangat menghargai pertolongan orang luar yang menghulurkan dana walaupun tidak mencukupi untuk menanggung kesengsaraan rakyat di situ. 

Gaza berpotensi tinggi menjadi kawasan membangun dari segi industri pelancongan dan sektor pertanian jika tiada sekatan luar. 

Dunia perlu menyokong perjuangan Palestin dan menuntut sekatan ditamatkan bagi membolehkan rakyat Palestin berdikari dan merasai keamanan semula. 

Pengalaman menyertai misi ini adalah satu perkara yang tidak akan dapat saya lupakan sepanjang hidup.

Dua tentera Israel disyaki mencuri



BAITULMAQDIS - Dua tentera rejim Zionis ditahan kerana disyaki mencuri enam komputer dari salah sebuah kapal kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei 2010, Isnin lalu. 

Agensi berita Yediot Aharonot melaporkan, dua tentera Israel itu ditangkap bersama dua lagi tentera Zionis yang membeli barangan curi itu. 

Menurut agensi itu, dua tentera Zionis itu dikatakan masuk ke dalam kapal tersebut selepas ia dibawa ke pelabuhan Ashdod berikutan sekatan di perairan antarabangsa. 

Seorang jurucakap tentera melaporkan polis sedang menjalankan siasatan tetapi masih belum disahkan kecurian itu berlaku dari salah sebuah kapal tersebut.

Empat serangan udara dilancarkan di Genting Gaza



GENTING GAZA - Pesawat udara tentera rejim Zionis melancarkan empat serangan udara ke selatan Genting Gaza, Selasa lalu. 

Serangan disasarkan berdekatan Rafah, utara Khan Yunis, berdekatan sempadan Mesir, Zeitoun di timur Bandar Gaza dan kem pelarian Deir al-Balah. 

Seorang jurucakap wanita tentera Zionis melaporkan pesawat udara itu menyasarkan bengkel senjata dan tiga terowong yang digunakan untuk menyeludup senjata dari Mesir. 

Menurutnya, serangan itu untuk membalas serangan peluru mortar yang dilontar pejuang Hamas kepada tentera Israel dari Genting Gaza.

“Nurul Izzah derhaka”



BAGAN DATOH - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid hamidi menyifatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sebagai menderhaka kepada negara kerana membuat dakwaan palsu mengenai aset pertahanan negara di mata dunia. 

Katanya, semua Ahli Parlimen dan pemimpin politik disaran tidak mempolitikkan isu pertahanan negara dengan membuat kenyataan bercanggah dengan fakta sebenar. 

“Sepatutnya sebagai seorang anggota Parlimen harus mempunyai tataetika mengenai sesuatu yang benar mengenai negara tetapi cara beliau memburukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan perbuatan yang amat jijik,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengulas tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang pada Selasa Nurul Izzah Anwar dan wartawan akhbar Malay Mail, Marhalim Abas berhubung dakwaan kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam. 

Ahmad Zahid berkata, mereka yang membuat dakwaan itu kini terdedah kepada tindakan undang-undang kerana membuat kenyataan palsu. 

“Kenyataan tersebut boleh menyebabkan keselamatan awam tergugat dan boleh menimbulkan prasangka yang tidak baik dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap pentadbiran kerajaan khususnya berkaitan p:erolehan kapal selam, peralatan dan pengoperasiannya. 

:“Jika perlu kita akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Nurul Izzah yang membuat laporan palsu ini tambahan pula ia dibuat di luar negara,” katanya kepada media ketika ditemui melawat Ketua Kampung Sungai Keli, Syed Shabahar Syed Mohamad, 45, yang cedera ditembak baru-baru ini di Kampung Kota, Hutan Melintang, di sini, malam kelmarin. 

:Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shaarani Mohamad. 

:Kenyataan Nurul Izzah yang memburukkan imej pertahanan negara itu dilaporkan akhbar :Kompas :di Indonesia pada 5 Ogos lepas. 

:“Ini kenyataan seorang penderhaka yang membuat kenyataan palsu di luar negara dan ia memburukkan negara. 

:“Sepatutnya seorang Ahli Parlimen di Malaysia harus beretika dan tidak membuat kenyataan seperti ini memburukkan aset pertahanan negara di luar negara,” katanya. 

:Ahmad Zahid berkata, cara Nurul Izzah memburukkan kerajaan Malaysia khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah sesuatu yang amat jijik yang dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen. 

Beliau berkata, pihaknya telah membuat kenyataan beberapa kali bahawa kapal selam itu boleh menyelam kerana boleh sampai dari Perancis ke Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.

Guan Eng ganti Agong


KEPALA BATAS - Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. 

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong. 

Beliau berkata, tindakan menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja. 

“Lazimnya lafaz doa bagi khutbah kedua dibacakan untuk ketua negeri atau ketua agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, di sini semalam. 

"Setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu tetapi segala bukti berhubung perkara berkenaan memang ada," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mempersoalkan tindakan ketua menteri yang hadir pada majlis pengagihan wang zakat yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Islam. 

“Walaupun niat kerajaan negeri adalah untuk menggambarkan bahawa beliau (ketua menteri) seorang yang fleksibel tetapi mungkin ia mempunyai agenda tersembunyi bagi tujuan politik,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata, beliau turut dimaklumkan mengenai tindakan sebuah pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa menyalurkan duit kutipan bazar Ramadan untuk kegunaan pusat khidmat berkenaan. 

Katanya, duit kutipan bazar Ramadan yang dibuka di kawasan tanah rizab masjid itu sepatutnya disalurkan untuk kegunaan masjid dan bukannya menampung kegiatan politik. 

“Kerajaan Pulau Pinang harus lebih sensitif dalam hal ehwal agama Islam, sekiranya mahu mewujudkan kesamarataan perlulah dengan kaedah yang betul,” katanya. 

Ahmad Zahid juga mengucapkan syabas dan terima kasih atas maklumat yang diberikan oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang yang prihatin dengan perkembangan semasa di negeri itu. - Bernama

MCA, UMNO sama sahaja: Anwar



DAMANSARA – Pakatan Rakyat (PR) membidas tindakan MCA yang disifatkan untuk menjaga kepentingan entiti perniagaan kaum Cina dengan mempersoalkan ekuiti Bumiputera baru-baru ini. 

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MCA dilihat bersikap seperti UMNO kerana menjaga kepentingan kekayaan segelintir pihak sahaja. 

“Mereka ini tidak boleh lari dari kerangka pemikiran UMNO kerana hanya memikirkan peratus untuk jaga kepentingan masing-masing. 

“Dalam perdebatan MCA tersebut, isu peratus hanya untuk peniaga-peniaga besar Cina bukan majoriti,” katanya dalam sidang media di ibu Pejabat Parti Keadikan Rakyat di sini, semalam. 

Menurutnya, berbanding dengan PR yang menitiberatkan kepentingan majoriti rakyat kerana isu peratus ekuiti Bumiputera tidak mampu menyelesaikan masalah asas rakyat. 

Beliau turut mengulas berhubung penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham di Kelantan sebagai alternatif kepada kekuatan ekonomi iaitu ‘tangible assets’. 

“Dinar emas memberikan satu alternatif iaitu transaksi melalui dinar ada kekuatannya tersendiri yang mana harus diberi ruang untuk sokongan. 

“Namun apakah ia untuk seluruh sistem sudah tentu tidak, tetapi ia merupakan satu permulaan yang realistik kerana ada satu hujah yang cukup kukuh untuk mempertahankannya,” katanya. 

Menurutnya, penggunaannya perlu di berikan secara bertahap dengan Kelantan memperkenalkannya terlebih dahulu sebelum diperkenalkan secara menyeluruh.

Ezam pertahan dakwaan



SHAH ALAM – Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd Nor bertegas mempertahankan dakwaannya membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah berhubung salah laku bekas Timbalan Perdana Menteri itu. 

Ezam berkata, beliau tidak akan berganjak dari mempertahankan setiap perkataannya membabitkan Anwar dan Wan Azizah sama ada ketika berceramah, melalui laman blog mahupun Twitter. 

“Saya serahkan kepada Jawi sebagai pihak berkuasa untuk membuat tindakan lanjut sesuai dengan peruntukan undang-undang syariah. 

“Saya akan beri sepenuh kerjasama pada Jawi termasuk kesediaan bersumpah di hadapan hakim di Mahkamah Syariah,” katanya kepada :Sinar Harian,: semalam. 

Ezam berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Shamsul Iskandar Md Akin yang membuat laporan terhadapnya ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). 

Laporan itu dibuat Shamsul ekoran tulisan di laman :Twitter: Ezam yang dikatakan membuat tuduhan palsu atau qazaf terhadap Anwar. 

Laporan ke atas Ezam yang juga bekas ketua angkatan muda keadilan dibuat di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997. 

Akta itu menyebut mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu, adalah melakukan suatu kesalahan. 

Dalam pada itu, Ezam berkata, adalah menjadi kewajiban bagi dirinya menunaikan tanggungjawab kepada umat yang dilanda fitnah besar hanya gara-gara kerenah peribadi seorang pemimpin yang memiliki moral yang rendah. 

"Apa yang saya lakukan hari ini adalah demi memperjuangkan agama, bangsa dan negara dari terus ditipu dan dibohongi oleh pemimpin yang memiliki peribadi dan moral yang tidak boleh diterima dalam Islam," katanya.

Hudud cara terbaik



KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Pas Kelantan tidak berputus asa untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri ini walaupun mendapat halangan daripada Kerajaan Pusat. 

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pihaknya sedaya upaya melaksanakan undang-undang tersebut berdasarkan kemampuan yang ada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. 

“Apa yang mampu untuk kita laksanakan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri kita kan buat. Kita membatas penjualan arak, mengharamkan riba, melarang acara tari-menari di majlis-majlis keramaian, menguatkuasakan larangan menghidangkan minuman alkohol di hotel-hotel dan banyak lagi perubahan,”katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan Hari Hudud Negeri Kelantan di sini semalam. 

Kelantan sebelum ini meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) pada tahun 1993 sekali gus menjadi negeri pertama yang meluluskan undang-undang yang berkaitan hudud. 

Dalam pada itu Nik Abdul Aziz berkata, peningkatan gejala sosial yang melanda negara kini adalah kerana undang-undang yang digunakan tidak berjaya mencegah kemungkaran yang berlaku dalam kalangan masyarakat. 

Malah katanya, peningkatan gejala sosial pula kini sampai ke tahap yang sangat membimbangkan, ditambah lagi dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian di negara kita. 

“Kes-kes buang bayi pula semakin membimbangkan di mana ia meningkat 154 peratus dengan 54 kes dari Januari hingga kini, berbanding hanya 42 kes pada tempoh yang sama tahun lalu. Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain,” katanya. 

Nik Abdul Aziz berkata, hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat sering kali tersalah anggap tentang hukuman tersebut.

Pemuda BN hantar memorandum ucapan berbaur perkauman oleh pengetua sekolah


PUTRAJAYA - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini, menghantar memorandum kepada Kementerian Pelajaran berhubung ucapan berbaur perkauman oleh seorang pengetua sekolah di Kulai baru-baru ini.

Memorandum itu dihantar oleh Setiausaha Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan C.

Sivarraajh, diiringi oleh Ketua Kajian Rancangan Strategik Pemuda BN Neil Foo Seck Chyn dan diterima oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pelajaran Ruslan Atan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Sivarraajh berkata, beliau mewakili seluruh masyarakat India dan juga seluruh Pergerakan Pemuda BN mahu kementerian itu mengambil kes itu secara serius.

Katanya, penjelasan Ketua Pengarah Pelajaran bahawa ucapan pengetua tersebut disalah tafsir sebelum ini adalah tidak memadai memandangkan ada laporan polis dibuat mengenainya. 

"Kementerian Pelajaran yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus mengambil tindakan tegas terhadap pengetua terbabit sebelum perkara yang lebih buruk berlaku," katanya.

Indonesia lancar gerabak khusus untuk wanita

JAKARTA: Indonesia melancarkan koc kereta api khusus untuk wanita, semalam, bagi mengekang kejadian mencabul kehormatan dalam sistem pengangkutan awam negara itu.
Koc itu yang dihiasi kerusi berwarna merah jambu itu, ketika ini hanya disediakan bagi laluan Jakarta ke Bogor dan diletakkan di depan dan belakang gerabak biasa.
Pegawai syarikat mengendalikan perkhidmatan itu, Makmur Syaheran, berkata mereka mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan serta melindungi wanita.

“Kami mahu penumpang wanita berasa lebih selamat,” katanya.

Walaupun begitu, kata Makmur, tidak semua wanita dimestikan menaiki koc khas berkenaan.

“Jika mahu menaiki koc biasa, mereka boleh melakukannya tanpa masalah.

“Kami cuma mahu mengekang insiden keganasan seksual dalam pengangkutan awam dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk menjayakannya,” katanya. - AFP

Briged tempur AS berundur


BARISAN konvoi Briged Tempur Stryker bergerak keluar dari Iraq menuju ke Kuwait awal pagi, kelmarin sebagai sebahagian daripada proses pengunduran tentera AS dari Iraq . - REUTERS


WASHINGTON 19 Ogos - Briged tempur terakhir tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari Iraq dan menyeberangi sempadan ke Kuwait malam tadi, hampir tujuh tahun setengah selepas AS melancarkan serangan yang menggulingkan Saddam Hussein.
Siaran televisyen menunjukkan konvoi Briged Stryker ke-4, Divisyen Infantri ke-2 mula menyeberangi sempadan Iraq-Kuwait sekitar tengah malam tadi waktu Iraq.
Kenderaan terakhir menyeberangi sempadan sekitar 3.53 pagi waktu tempatan (8.53 pagi ini waktu Malaysia) sebelum pintu pagar sempadan ditutup.
Briged Stryker ke-4 dilaporkan mempunyai kira-kira 4,000 askar.
Selepas pengunduran Briged Stryker itu, dua lagi briged tempur masih berada di Iraq tetapi kedua-duanya dalam proses peralihan untuk menjadi unit bukan tempur yang akan melatih askar Iraq, lapor CNN.
Namun media AS memetik pegawai pentadbiran sebagai berkata, pengunduran briged tersebut tidak bermakna berakhirnya misi tempur.
Misi tempur tentera AS secara rasminya akan berakhir mengikut jadual pada 31 Ogos ini.
Presiden AS, Barack Obama menetapkan akhir Ogos sebagai sebagai tarikh akhir untuk menamatkan operasi tempur di Iraq.
Washington berkata, kira-kira 50,000 askar AS akan terus berada di Iraq sehingga tahun depan untuk menjalankan misi sokongan dan latihan.
Dalam sepucuk surat yang disiarkan di laman web White House semalam, Obama mengalu-alukan berakhirnya operasi tempur pada bulan ini tetapi tidak menyebut tentang pengunduran briged tempur terakhir dari Iraq. - Bernama