“SAYA mendapat mandat daripada Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri untuk menjadi calon Presiden Indonesia. Dengan ucapan Bismillah saya sedia melaksanakan tanggungjawab ini,” – Joko Widodo.

Nama Joko Widodo atau lebih mesra disapa Jokowi kini menjadi sebutan untuk bergelar Presiden Indonesia sekali gus menjadi  tokoh paling popular di negara itu.

Namun, adakah beliau bakal terpilih sebagai Presiden bagi menggantikan untuk Susilo Bambang Yudhoyono yang tamat tempoh pemerintahannya selama lima tahun?

Justeru, sejak tahun lalu lagi, desas desus Gabenor Jakarta itu mengumumkan kesediaan menjadi calon Presiden bertiaup kencang.

Terkenal dengan perwatakan ceria dan keperibadiannya berjiwa rakyat, nyata beliau begitu disenangi rakyat. Malah pendekatan secara terus dengan imejnya sebagai rakyat biasa menjadikan Jokowi sebagai calon popular untuk menjadi presiden yang baharu.


Pendidikan dan kerjaya datuk bandar

Jokowi dilahirkan pada 21 Jun 1961, berasal daripada keluarga sederhana dan membesar di perkampungan setinggan di Surakarta atau lebih dikenali sebagai Solo, Jawa Tengah.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar (SD) dan kemudian meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Pertama (SMP) dan Sekolah Menengah Atas (SMA) di Solo.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan mendapat ijazah kejuruteraan di Fakulti Perhutanan dari Universiti Gadjah Mada pada 1985.

Jokowi bertemu isterinya Iriana iaitu kakak kepada kawannya ketika beliau pulang ke rumah semasa menghabiskan cuti semester. Mereka berkahwin selepas Jokowi menamatkan pengajian dan pasangan tersebut dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Pada 2005, Jokowi mula menyertai dunia politik selepas dipilih menjadi Datuk Bandar Solo. Semasa mula memegang jawatan tersebut, ramai yang meragui kewibawaannya kerana beliau sebelum ini hanya bekerja di sebuah syarikat perabot.

Bagaimanapun, selepas setahun berkhidmat Jokowi mengecap banyak kejayaan cemerlang dan mendapat pujian hingga ke peringkat kebangsaan.

Melalui satu penyelidikan akademik, gaya kepimpinan Jokowi termasuk hubungan terus dengan rakyat Solo mampu memberikan kepercayaan rakyat kepadanya.

Selain itu, kerjayanya sebagai seorang ahli perniagaan yang sering ke luar negara secara tidak langsung memberinya peluang untuk mengaplikasikan rangka kerja pembangunan Eropah ke dalam pembangunan bandar di Solo.

Karier politiknya semakin bersinar selepas beliau berjaya mewujudkan sebuah sistem tram dan menempatkan semula penjaja jalanan di bandar itu.

Di bawah pimpinannya, Solo mengalami perubahan positif dan penjenamaan semula bandar itu dengan moto ‘Semangat Jawa’ dilihat sebagai satu langkah yang berjaya.

Susulan penjenamaan terbaharu Solo, beliau turut memohon bandar berkenaan untuk menjadi ahli Pertubuhan Bandar Warisan Dunia dan telah diluluskan pada tahun 2006. Kemudiannya, Solo dipilih menjadi tuan rumah untuk Festival Muzik Dunia pada 2007 yang diadakan di Kompleks Fort Vastenburg.

Kejayaan beliau itu mula mendapat perhatian sekali gus memudahkannya dipilih untuk jawatan tertinggi di Jakarta pada 2012.


Gabenor Jakarta

Jokowi mula dipilih sebagai Gabenor Jakarta pada 20 September 2012 selepas memenangi pilihan raya gabenor pusingan kedua setelah menewaskan penyandang gabenor Fauzi Tunku.

Kemenangan Jokowi untuk memberikan perkhidmatan selama lima tahun sehingga 2017 dilihat sebagai cerminan sokongan untuk pemimpin baru dan bersih daripada gaya politik lama di Indonesia.

Jokowi telah menjadi seorang gabenor yang aktif dan berprofil tinggi di Jakarta. Beliau sangat prihatin terhadap rakyatnya kerana kerap melawat masyarakat tempatan dan sering ke kawasan penduduk miskin di seluruh Jakarta.

Cara sebegitu telah lama diamalkan sejak beliau menjadi Datuk Bandar Solo antara tahun 2005 hingga 2007.


Minat muzik rock

Menurut sebuah majalah The Economist, Joko mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock dan dipercayai pernah memiliki gitar bass yang ditandatangani salah seorang ahli kumpulan rock terkenal Metallica.

Pada Jun tahun lalu, pengarah filem Azhar Lubis mengarahkan filem Jokowi iaitu sebuah filem berkisarkan kehidupan Joko sejak dari kanak-kanak sehingga beliau menjadi seorang gabenor.


Anugerah dan penghormatan

2008- Disenaraikan sebagai salah seorang Top 10 Datuk Bandar Indonesia 2008 oleh majalah Tempo
2010- Menerima Anugerah Bung Hatta untuk kepimpinan dan prestasinya semasa membangunkan bandar Solo
2011- Dianugerahkan Bintang Jasa Utama oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono
2012- Menduduki tempat ketiga untuk Hadiah Datuk Bandar Dunia 2012 dalam mengubah sebuah bandar jenayah kepada sebuah pusat serantau seni dan budaya serta bandar yang menjadi tarikan pelancong
2013- Tersenarai sebagai salah seorang Pelopor Pemikir Global 2013 oleh majalah Foreign Policy
-Tercalon sebagai datuk bandar global pada bulan Februari oleh The City Mayors Foundation yang berpangkalan di London
2014- Tersenarai sebagai salah seorang daripada 50 Pemimpin Terhebat Dunia oleh majalah Fortune


Saingan Jokowi untuk calon presiden

Aburizal Bakrie (Parti Golkar)
Jeneral Wiranto (Parti Hanura)
Yusri Ihza Mahendra (Crescent Star Party)
Suryadharma Ali (United Development Party)