Monday, September 8, 2014

Polis Syariah Jerman mahu cetus polemik


Wuppertal, Jerman: Seorang bekas anggota bomba memperkenalkan kumpulan peronda Polis Syariah untuk meronda pusat hiburan di bandar Wuppertal dan menasihati orang ramai menjauhi amalan berjudi serta mengambil arak.

Namun, dalam klip video disiar di laman sesawangnya, Sven Lau berkata, kumpulan Polis Syariah itu sebenarnya tidak wujud.


Sebaliknya, kata Lau, 33, mereka cuma satu kumpulan lelaki memakai uniform olok-olok selama beberapa jam untuk menarik perhatian ramai.



“Memang tujuan kami mahu meningkatkan kesedaran dan mendorong polemik mengenai undang-undang syariah di Jerman,” katanya. Lau adalah seorang pemimpin kumpulan Salafi di Jerman dan berkhidmat di sebuah masjid di bandar kelahirannya, Mönchengladbach, tidak jauh dari barat Wuppertal.


Dia juga pernah mengetuai kumpulan konservatif Einladung zum Paradies (Seruan Ke Syurga). Bagaimanapun Majlis Pusat Muslim Jerman mengecak aktiviti mereka.


Pengerusinya, Ayman A Mazyek berkata, tindakan Lau dan pengikutnya tidak mewakili umat Islam secara keseluruhan. “Dengan tindakan semberono itu mereka mencemar nama Islam,” katanya. Sementara itu kerajaan Canselor Angela Merkel turut mengkritik kumpulan Lau. Menteri Dalam Negeri Thomas de Maiziere berkata orang awam yang memakai pakaian seragam dengan logo Polis Syariah tidak boleh sewenang-wenangnya berkawal sekitar Jerman.

“Undang-undang Syariah tidak ada tempat di Jerman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

7 dihukum matig


Semua tertuduh didapati bersalah menculik dan merogol empat wanita terbabit ketika mangsa dalam perjalanan ke Kabul selepas menghadiri majlis perkahwinan. 
Presiden Hamid Karzai sebelum ini menggesa semua lelaki terbabit dihukum gantung. 

Dalam perbicaraan yang berlangsung hanya beberapa jam, hukuman mati itu sebenarnya untuk kesalahan rompakan bersenjata.
Foto
Seorang daripada tujuh lelaki yang dihukum mati berdiri dalam kandang tertuduh ketika prosiding mahkamah.

Menurut saksi, semua tertuduh berpakaian seperti polis dan bersenjatakan pistol menghentikan satu konvoi kereta pada awal pagi 23 Ogos lalu.

Empat wanita terbabit diheret keluar dari kereta mereka sebelum disamun, dipukul dan dirogol. Seorang daripada mangsa juga dilaporkan mengandung. 

Seorang mangsa berkata: “Kami menghadiri majlis di Paghman bersama keluarga dan diserang dalam perjalanan pulang. 

“Seorang daripadanya mengacukan pistol ke kepala saya manakala seorang lagi mencuri barang kemas kami. Selebihnya anda tahu apa berlaku selepas itu,” katanya yang memakai burqa ketika memberi keterangan. 

Penunjuk perasaan yang berhimpun di luar menjerit dan mendesak tertuduh dihukum mati dan bersorak selepas Ketua Polis Kabul Zahir Zahir juga membuat ujaran sama. 

“Kami mahu mereka digantung di khalayak ramai supaya menjadi pengajaran untuk semua orang. 

“Ketika ditahan mereka memakai seragam polis dan mengakui perbuatan mereka tidak sampai dua jam selepas ditahan,” katanya. 

Sementara itu, hakim berkata semua tertuduh berhak merayu terhadap hukuman berkenaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Sedekad berlalu teka-teki Munir belum terjawab


Jakarta: Sepuluh tahun berlalu, namun kematian aktivis hak asasi manusia Indonesia Munir Said Thalib masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Seorang juruterbang Garuda Indonesia, Pollycarpus Budihari Priyanto pernah dibicarakan sebagai tertuduh pada Disember 2005, namun pada Oktober 2006 dia didapati tidak bersalah membunuh Munir.


Sebaliknya Pollycarpus cuma dihukum penjara dua tahun kerana menggunakan surat palsu untuk menaiki penerbangan bersama Munir. Isteri Munir, Suciwati, pula terus berkempen bagi membolehkan insiden berkenaan terus diingati sebagai satu daripada tragedi kemanusiaan di negara itu.



Menggunakan slogan Melawan Lupa, kenangan mengenai Munir dapat dilihat di sebuah rumah yang didedikasi untuk tokoh berkenaan di Sidomulyo, Kota Batu di Jawa Timur.


Rumah hijau sederhana itu menyimpan pelbagai barang dikaitkan dengan Munir.


Kata Suciwati, melalui Omah Munir (nama rumah berkenaan), orang ramai perlu terus diberi maklumat mengenai perjuangan hak asasi manusia di Indonesia. “Dengan adanya Omah Munir ini, kita boleh melawan lupa bahawa ada banyak kes belum diselesaikan,” katanya, Munir lahir di Malang, Jawa Timur pada 8 Disember 1965 dan meninggal dunia selepas diracun dengan arsenik ketika dia dalam penerbangan ke Amsterdam, Belanda pada 7 September 2004.

Munir berusia 38 tahun ketika itu.


Ketika hidup, Munir adalah Pengarah Eksekutif Lembaga Pemantau Hak Asasi Manusia Indonesia dan dikenali sebagai tokoh memperjuangkan nasib orang hilang yang diculik ketika itu.

Tanggapan umum ialah, penculikan peguam itu didalangi pihak berkuasa Indonesia, terutama skuad elit dikenali sebagai Tim Mawar dari Komando Pasukan Khusus (Kopassus).


Bekas calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto adalah seorang daripada pegawai tertinggi Tim Mawar. Munir adalah segelintir tokoh yang berani serta lantang mengkritik dasar kerajaan Suharto.


Sejak 2005, aktivis mengenang tarikh 7 September sebagai Hari Pembela Hak Asasi Manusia Indonesia.


Kata Suciwati Omar Munir boleh menjadi tempat lahir pelbagai gagasan baru bagi memperjuangkan isu hak asasi manusia. Di situ juga anak kedua mereka, Diva Suukyi Larasati, lahir pada Julai 2002. Semalam Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry mengeluarkan kenyataan mengenai kematian Munir. “Sehingga hari ini keadilan belum ditegakkan kerana individu yang bertanggungjawab membunuhnya masih bebas.


“AS sentiasa menyokong sebarang usaha membawa pembunuh Munir ke pengadilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Internet New Zealand lumpuh


Wellington: Rangkaian perkhidmatan Internet New Zealand semalam lumpuh selepas warga negara itu berlumba-lumba untuk melihat gambar bogel selebriti melalui pautan yang tersebar tanpa mengetahui ia adalah palsu.

Percaya mereka berpeluang berkongsi melihat gambar lucah selebriti yang dicuri penggodam sebelum ini, tanpa disedari memuat turun perisian hasad (malware) yang menyerang serta melumpuhkan Internet.


Kejadian itu menyebabkan syarikat telekomunikasi gergasi New Zealand mengambil masa hingga semalaman untuk pulih.



Mereka menganggap kejadian itu itu sebagai “serangan siber dinamik dan menjejaskan sehingga 600,000 pengguna.


Minggu lalu orang ramai gempar apabila berita penggodam berjaya mencuri imej intim ramai selebriti tersebar selepas mereka menceroboh akaun peribadi tokoh terkenal itu.


Antara selebriti didakwa menjadi mangsa penggodam itu ialah Jennifer Lawrence, Avril Lavigne dan Rihanna.

Syarikat telekomunikasi Spark menulis di Twitter untuk menerangkan apa yang berlaku di New Zealand: “Jika pengguna Internet menekan pautan diberi, secara tidak disedari anda memuat turun malware dan meningkatkan aliran trafik melampau.” Pakar keselamatan komputer Trend Micro mengeluarkan amaran sejurus sebelum serangan bermula dan menegah pengguna untuk tidak membuka sebarang pautan tertera berkaitan gambar sulit selebriti.


“Atas alasan kukuh, menekan pautan gambar selebriti bogel atau membuka e-mel akan memburukkan keadaan. “Melalui pemerhatian kami, skim palsu ini disasarkan kepada pengguna yang mahu melihat gambar hasil penggodaman berkenaan.

“Ancaman pertama yang kami temui bermula di Twitter mengandungi nama Jennifer Lawrance,” katanya.


Trend Micro berkata pengguna pada awalnya ditawarkan klip video bogel artis dan mereka diminta menekan pautan diberi.


Setakat ini pihak berkuasa New Zealand belum mengetahui siapa dalang di sebalik serangan terbabit yang dilancarkan dari luar New Zealand. - AFP

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

The Independent salah tafsir


Makkah: Jurucakap Sidang Redaksi harian Arab News, Mowafaq Al-Nowaiser bneerkata, mereka sedang mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar harian Inggeris, The Independent yang dianggap menyebar berita fitnah berhubung perancangan memindahkan makam Rasulullah dari Masjid Nabawi.

“Kami membincangkan kemungkinan itu bersama peguam kami,” katanya.


Mowafaq turut menuduh akhbar berkenaan mencuri artikel yang ditulis seorang wartawannya.

Harian Arab News kelmarin menyiarkan kenyataan Mowafaq yang antara lain menyebut The Independent juga keliru dalam menterjemahkan artikel berkenaan.


Arab News juga menyiarkan bantahan Majlis Hal Ehwal Dua Masjid Suci terhadap penyiaran artikel The Independent itu, malah jurucakapnya Ahmed Al-Mansouri berkata, dokumen yang digunakan untuk penulisan artikel berkenaan tidak mencerminkan keputusan pemerintah Arab Saudi.


“Ini sekadar pandangan peribadi seorang penyelidik yang menjelaskannya melalui kajian dilakukannya dan tidak langsung menggambarkan pandangan kerajaan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Krisis Ukraine: Siri letupan bom cetus kebimbangan gencatan senjata berakhir



SEBUAH kenderaan mengalami kerosakan selepas siri letupan kuat di bandar Mariupol, timur Ukraine, hari ini. - Foto AFP
MARIUPOL (Ukraine): Beberapa letupan kuat di timur Ukraine hari ini mencetuskan kebimbangan gencatan senjata antara kerajaan dan kumpulan pemisah akan berakhir bila-bila masa.
Beberapa siri letupan kedengaran dengan asap hitam menjulang ke udara dapat dilihat di Mariupol, bandar pelabuhan kerajaan di timur negara itu.
Sebuah pusat pemeriksaan ang dikuasai tentera yang setia dengan kerajaan dilaporkan terbakar, hari ini dipercayai akibat serangan bom.
Keganasan terbaharu itu tercetus semula beberapa jam selepas panggilan telefon dibuat antara Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dengan rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin, yang bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata pada Jumaat lalu.
Gencatan senjata itu mengandungi 12 syarat untuk kedua-dua pihak iaitu Kiev dan Moscow bagi mengakhiri perang hampir lima bulan yang sudah meragut 2,800 nyawa.
Namun, keganasan terbaharu hari ini dibimbangi turut akan berakhir sama seperti gencatan senjata unilateral yang dipersetujui pada Jun lalu namun ia tamat hanya beberapa hari sahaja. - AFP

Russia akan bertindak jika EU lulus sekatan baharu

SABTU, 6 SEPTEMBER 2014 @ 4:57 PM

 
MOSCOW: Russia hari ini memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas sekiranya Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan ekonomi lebih ketat terhadapnya berhubung situasi di Ukraine.

"Sekiranya senarai baharu sekatan Kesatuan Eropah diluluskan, sudah tentunya akan ada reaksi daripada pihak kami," kata Kementerian Luar Russia. - AFP

Korea Utara lancar peluru berpandu ke Laut Jepun


SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu jarak dekat di luar pesisir pantai timurnya, menyebabkan pihak tentera di selatan terpaksa berada dalam keadaan berjaga-jaga menjelang cuti umum sambutan hari penuaian Isnin ini.

Bendera Korea Sumatera
Panglima Tentera Korea Selatan berkata, peluru berpandu itu yang dilancarkan dari lokasi berdekatan Pelabuhan Wonson awal hari ini, meluru sejauh 210 kilometer sebelum terjatuh ke dalam Laut Jepun.
Ia dipercayai peluru berpandu taktikal baharu yang sedang diuji oleh Korea Utara selama beberapa minggu.
"Berdasarkan jarak dan arah tujunya, peluru berpandu yang ditembak hari ini adalah sama dengan yang ditembak pada 14 Ogos dan 1 September lalu.
"Tindakan Korea Utara itu bertujuan mengeluarkan peluru berpandu baharu dengan jarak lebih jauh berbanding peluru berpandu KN-02 sekarang yang mempunyai keupayaan untuk sampai sehingga 170 kilometer jauh," kata seorang pegawai tentera seperti dilaporkan agensi berita Yonhap.
Korea Selatan sedang memerhati tindakan Korea Utara itu menjelang cuti umum Chuseok yang disambut mulai Isnin hingga Rabu.
Menurut Yonhap, Korea Utara melepaskan sejumlah 111 peluru berpandu, semuanya jarak dekat, dalam 19 pelancaran tahun ini sahaja. - AFP

7 jenama rokok naik RM1


SEORANG lelaki (kiri) membeli sekotak rokok di sebuah kedai di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Para penghisap rokok terpaksa mengeluarkan wang tambahan sebanyak RM1 mulai hari ini jika mereka mahu membeli tujuh jenama rokok keluaran syarikat British American Tobacco (M) Berhad (BAT Malaysia).
Harga baharu untuk setiap sekotak rokok yang mengandungi 20 batang itu diumumkan oleh syarikat BAT Malaysia menerusi satu kenyataan akhbar.
Pengarah Urusan BAT Malaysia, Stefano Clini berkata, kenaikan harga itu adalah disebabkan pihaknya mengalami kerugian yang ketara ekoran jualan rokok haram di negara ini.
Menurutnya, syarikat tersebut terpaksa bersaing dengan penjualan rokok yang diseludup masuk ke dalam negara ini selain menghadapi saingan sengit dengan syarikat rokok yang lain.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3CfbVXiab 
Hakcipta terpelihara 

Pemuda 'kaki gajah' gembira dapat rawatan di hospital



NOH (dua dari kiri) dan Abdul Mutalif (tiga dari kiri) melihat keadaan kaki Ahmad Khalid yang menghidap penyakit 'kaki gajah' di Taman Medan, Selangor semalam.


PETALING JAYA - Selepas dua tahun hanya terbaring di rumah akibat menghidap penyakit untut atau 'kaki gajah', seorang pemuda akhirnya menarik nafas lega apabila dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapat rawatan rapi.
Penderitaan Ahmad Khalid Salleh, 39, itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar dan Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahman yang melawatnya di Taman Medan di sini semalam.
Ahmad Khalid yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik menghidap penyakit itu selepas mengalami demam teruk yang memaksanya dimasukkan ke hospital empat tahun lalu.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Artikel terpelihara  
 

Anak bertindak saman ibu bapa


Kuang Zhengxuan menyaman ibu bapanya yang enggan menyara hidupnya di wilayah Hunan. - AGENSI
HUNAN 7 Sept. - Seorang lelaki di sini menjadi perhatian media sosial apabila dia bertindak menyaman ibu bapanya yang didakwa tidak mahu menyara hidupnya.
Lelaki berkenaan, Kuang Zhengxuan, 29, turut digelar 'man-baby' berikutan perangainya yang terlalu manja dan menganggap tanggungjawab ibu bapanya adalah untuk menjaganya walau pun dia telah dewasa, , lapor sumber, odditycentral.com, baru-baru ini.
Zhengxuan dilaporkan berhenti sekolah pada usia muda dan mendalami kemahiran pertukangan kayu serta dandanan rambut, namun selepas beberapa lama bekerja, dia mendakwa dirinya sering dituduh mencuri dan dipukul.
Oleh itu, dia membuat kesimpulan bahawa dia tidak mempunyai kemahiran yang boleh memberinya peluang pekerjaan.
Menurut laporan media, Zhengxuan merupakan seorang yang pemalas dan banyak menghabiskan masa bermain telefon pintarnya sehingga menyebabkan ibu bapanya menghalau Zhengxuan dari rumah mereka supaya belajar hidup berdikari.
Bapanya berkata, mustahil baginya untuk menyara hidup anaknya itu.
"Setiap kali dia hubungi kami, dia pasti meminta wang," katanya.
Namun, Zhengxuan mendakwa ibu bapanya mempunyai kemahiran dan pekerjaan yang membolehkan mereka menyara dirinya.
Zhengxuan kini bekerja sambilan sebagai model potret di sebuah sekolah seni, namun baginya pekerjaan itu memenatkan dan tidak stabil untuk menyara hidupnya.
Pakar percaya, simptom terlalu manja merupakan kesan polisi China yang hanya membenarkan sebuah keluarga mempunyai seorang anak, menyebabkan generasi muda negara ini enggan berdikari.


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

Gencatan senjata di timur Ukraine dicabul


Dua buah kereta kebal tentera Ukraine menutup laluan menuju ke sempadan Rusia selepas melancarkan tembakan meriam ke arah kedudukan pemberontak pro-Rusia di pinggir pelabuhan Mariupol, semalam. - AFP
DONETSK 7 Sept. - Serangan meriam dan pertempuran dilaporkan meletus dekat sebuah lapangan terbang di timur Ukraine awal hari ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap pencabulan perjanjian gencatan senjata antara kerajaan Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia.
Pergolakan terbaharu itu tercetus hanya beberapa jam selepas Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang berhubung melalui telefon menyatakan pemantauan dijalankan terhadap perjanjian gencatan yang dicapai oleh Kiev dan pemberontak, kelmarin.
Menurut laporan agensi berita Associated Press (AP), beberapa letupan kuat didengari dari kawasan berdekatan lapangan terbang di Donetsk yang dikuasai tentera kerajaan sejak Mei lalu dan sering menghadapi serangan daripada kumpulan pemberontak pro-Rusia.
Agensi berita Agence France-Presse (AFP) pula melaporkan, beberapa letupan kuat menggegarkan kawasan Mariupol, bandar pelabuhan strategik yang dikuasai tentera kerajaan di Laut Azov di tenggara Ukraine, selain serangan meriam dan pertempuran senjata tercetus di kawasan berkenaan sepanjang malam tadi.
AFP yang memetik kenyataan penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Victoria, 46, berkata, ramai penduduk mula melarikan diri sebaik-baik sahaja pertempuran meletus.
"Saya sangat terkejut. Saya mahu suasana yang aman tetapi perjanjian gencatan senjata mungkin telah tamat dan ini merupakan malam ketika saya tidak boleh tidur lena," katanya.
Mariupol menjadi lokasi pertempuran terbaharu apabila kumpulan pemberontak mara jauh ke kawasan selatan untuk mewujudkan penguasaan di lokasi yang bersempadan dengan Rusia dan semenanjung Crimea yang bergabung dengan Moscow pada Mac lalu.
Kumpulan pemberontak pro-Rusia dan kerajaan Ukraine saling menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian gencatan senjata itu yang dimeterai di ibu negara Belarus, Minsk dua hari lalu. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140908/lu_04/Gencatan-senjata-di-timur-Ukraine-dicabul#ixzz3CfQhVY90
© Utusan Melayu (M) Bhd