Menurut kenyataan pejabat Presiden Petro Poroshenko, rundingan itu akan diadakan di ibu negara Belarus, Minsk esok dan Jumaat ini selepas pemimpin Rusia, Jerman dan Perancis mahu usaha damai itu dilaksanakan segera.
“Poroshenko bersetuju pusingan baharu rundingan antara tiga pihak terbabit diadakan di Minsk pada minggu ini,” jelas kenyataan tersebut.
Perbincangan itu akan melibatkan wakil daripada Kiev, Moscow dan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) bagi mengukuhkan lagi persetujuan rundingan damai yang dicapai di Minsk pada September lalu.
Perunding kumpulan pemberontak yang melabelkan diri mereka sebagai Republik Rakyat Lugansk dan Donetsk, Denis Pushilin berkata, mereka bersedia untuk hadir pada rundingan minggu ini.
“Kami sedia untuk berkompromi melalui rundingan damai dan bukan menerusi senjata,” katanya.
September lalu, kerajaan Ukraine dan kumpulan pemberontak mencapai persetujuan gencatan senjata untuk menghentikan pertempuran, walaupun lebih 1,300 kematian dicatatkan akibat persengketaan yang masih berterusan.
Pemimpin Jerman, Perancis dan Rusia menggesa supaya proses rundingan kali ini menghasilkan keputusan yang lebih kukuh sekali gus menamatkan konflik di timur Ukraine.
Mereka turut menggesa kedua-dua pihak terlibat menghormati perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui pada September lalu. – AFP