Sunday, August 12, 2012

OIC perlu tangani pergolakan di Syria - Abdullah



KEPALA BATAS 11 Ogos - Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mencari jalan penyelesaian untuk menangani pergolakan di Syria.
Bekas Perdana Menteri berkata, tindakan itu perlu bagi membolehkan negara berkenaan kembali aman.
"Saya berharap pemimpin OIC yang akan bermesyuarat di Mekah minggu depan akan membincangkan perkara ini bagi mewujudkan semula keamanan di negara Islam itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri kepada 460 anak yatim kawasan Parlimen Kepala Batas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Keladi dekat sini, hari ini.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, kejadian di Syria membuktikan perbuatan pemimpin yang rakus untuk berkuasa boleh menghancurkan sesebuah negara.
"Syria adalah satu contoh negara yang tidak aman kerana pemimpin tidak mampu untuk mengawal dan membuat sesuatu supaya keamanan itu wujud dan dinikmati rakyat," katanya.