Friday, August 26, 2011

China haramkan lagu Lady Gaga



Lady Gaga


BEIJING 25 Ogos - China mengharamkan laman web daripada memaparkan 100 lagu daripada artis terkemuka seperti Lady Gaga dan Backstreet Boys, kata kenyataan dalam laman web Kementerian Kebudayaan republik komunis itu.
Kementerian itu berkata, ia bertujuan untuk mengawal 'peraturan' pasaran muzik di Internet, dan lagu-lagu 'yang memudaratkan budaya di negara itu mesti dibersihkan serta dikawal di bawah undang-undang'.
Notis tersebut yang diterbitkan pada 19 Ogos lalu dan dipamerkan dalam laman web kementerian, menyenaraikan lagu nyanyian Lady Gada iaitu The Edge of Glory, Hair, Marry the Night dan Bloody Mary.
Kenyataan itu tidak menjelaskan faktor lagu-lagu terbabit diharamkan namun kebiasaannya China menapis sebarang perkara yang dianggap menyentuh sensitiviti politik.
Lirik terakhir lagu Bloody Mary mengandungi ayat 'Oh liberdade, mi amor' (Oh kebebasan, cintaku), dan lagu Hair dengan lirik 'This is my prayer, That I'll die living just as free as my hair'(Ini doaku, Aku akan hidup dan mati dengan bebas seperti rambutku).
Turut disenarai hitamkan oleh kerajaan China ialah lagu daripada kumpulan terkenal Backstreet Boys; penyanyi R&B, Beyonce; kumpulan muzik dari Kanada, Simple Plan dan kumpulan pop Britain, Take That.
Lagu artis Asia yang diharamkan termasuklah penyanyi Taiwan, Zhang Hui-mei yang sebelum ini menghina kerajaan Beijing selepas menyanyikan lagu kebangsaan Taiwan semasa pelantikan bekas Presiden Taiwan, Chen Shui-bian pada 2000.
China, yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, mengharamkan Hui-mei buat sementara waktu daripada membuat persembahan di Tanah Besar dan membatalkan semula iklan produknya.
Pihak berkuasa dilaporkan turut mengharamkan beberapa kumpulan muzik dari luar negara untuk membuat persembahan secara langsung di China, atau meneliti terlebih dahulu senarai lagu bagi mengetepikan lagu yang dianggap sensitif.
Sekatan sedemikian semakin ketat dikenakan terhadap persembahan artis dari luar negara selepas penyanyi Iceland, Bjork menjerit 'Tibet!' ketika selesai menyanyikan lagunya, Declare Independence pada pertunjukan Shanghai 2008.
Sejak 2010, China mengkehendaki semua lagu yang dimasukkan dalam laman web muzik supaya mendapat kelulusan terlebih dahulu, sebagai sebahagian langkah untuk menghapuskan kegiatan cetak rompak. - AFP

Pemimpin gagal pertahan akidah harus 'diperangi'



JOHOR BAHRU 25 Ogos - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menyifatkan pemimpin Melayu Islam yang gagal bersatu mempertahankan akidah sebagai dayus dan harus 'diperangi' habis-habisan.
Presiden PPPMM, A. Rahman Mahadi berkata, akidah adalah perkara paling asas dalam kehidupan umat Islam yang tidak boleh dikompromi.
"Nilai akidah umat Islam tidak boleh dihitung dengan jumlah kertas undi apatah lagi dengan secebis kuasa politik. Sebaliknya, ia harus dipertahankan dengan apa cara sekali pun dan tidak ada istilah toleransi atau rundingan.
"Jika inginkan kuasa janganlah seperti orang kebulur sangat. Mencari kuasa atau ingin berkuasa mestilah ada hadnya. Jangan sampai kita sanggup menggadaikan akidah semata-mata mahu mencari keuntungan politik dan peribadi jangka pendek," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat masih gagal menyelesaikan isu pemeriksaan gereja oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu.
Kelmarin, Abdul Khalid menimbulkan polemik apabila mengumumkan penubuhan majlis penasihat syura yang kononnya dicadangkan oleh Sultan Selangor sedangkan ia tidak mendapat perkenan baginda.
Sebaik sahaja ditegur oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah, Abdul Khalid mengubahnya kepada Jawatankuasa Pendengaran sebelum mengubah lagi semalam kepada gerak kerja pendengaran.
A. Rahman berkata, apa yang berlaku di gereja itu seharusnya membuka mata umat Islam terhadap ancaman yang sedang dihadapi dan perlunya mereka bersatu dalam menangani isu berkenaan.

SPR timbang guna dakwat kekal



KUALA LUMPUR 25 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan semula penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) selain daripada sistem biometrik bagi memastikan tidak berlaku masalah pengundian bertindih.
Sehubungan itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof (gambar) berkata, SPR kini mempunyai beberapa pilihan untuk dilaksanakan sama ada sistem biometrik atau dakwat kekal atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, beliau berkata, hanya satu sistem sahaja akan dipilih dan ia bergantung kepada hasil kajian menyeluruh yang kini sedang dijalankan oleh SPR.
“Tidak dinafikan sistem biometrik yang kita cadangkan sebelum ini baik, tetapi ia tetap mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu antaranya mesin pengimbas tidak boleh membaca ibu jari dan masalah cip kad pengenalan rosak.
“Oleh itu, kita perlu berhati-hati. Kita tidak mahu timbul masalah pada hari pengundian. Jika sistem biometrik berjalan dengan baik, tidak ada masalah, tetapi bagaimana pula sebaliknya?” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan tuntutan lapan perkara oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kepada media di Wisma Bernama di sini hari, ini.
Cadangan penggunaan dakwat kekal adalah salah satu daripada lapan cadangan yang terkandung di dalam tuntutan Bersih dan kini telah diambil perhatian oleh SPR untuk dipertimbangkan.

‘Saya tak takut diugut’

Oleh Hayati Ibrahim ya_t@hmetro.com.my
 PUTRAJAYA: “Saya tidak takut dengan sebarang ugutan. Ia berikan saya semangat dan ini menunjukkan kami berada di landasan yang betul, kalau tidak mereka tidak akan mengugut saya,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Menurutnya, beliau acap kali menerima ugutan sejak bertugas di Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun ugutan terbaru itu kali pertama membabitkan peluru hidup. Katanya, beliau percaya tindakan mereka yang menghantar surat ugutan berkenaan cubaan menakutkannya daripada meneruskan pelbagai agenda ketika ini. “Ini kali pertama terima peluru hidup, tetapi tidak akan melemahkan semangat saya untuk meneruskan agenda yang sudah dirancang. “Saya akan teruskan apa saja agenda yang sudah dirancang untuk meneruskan tanggungjawab yang saya galas ketika ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang, di sini, semalam. Hadir sama, Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman; Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Pendaftaran dan Imigresen, Datuk Alwi Ibrahim. Dalam laporan semalam, Hishammuddin dikatakan menerima dua peluru hidup dan nota ugutan yang dihantar menerusi sampul dan diposkan ke pejabatnya di Putrajaya, Selasa lalu.

Sampel calitan sperma rosak

Oleh Murni Wan Omar murni@hmetro.com.my KUALA LUMPUR: Seorang pakar DNA memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa sampel calitan sperma yang diambil dari dubur bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan, sudah rosak memandangkan ia diambil 56 jam selepas kejadian liwat didakwa berlaku. Saksi keempat pembelaan, Dr Brian Leslie McDonald berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding pembelaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari. Menurutnya, sampel itu tidak akan menunjukkan keputusan yang baik jika ujian profil DNA dilakukan memandangkan ia hanya diambil selepas 56 jam dan 48 jam lagi disimpan di dalam suhu bilik. “Keputusan profil DNA Mohd Saiful Bukhari tidak konsisten dengan sejarah kes. Jarak tempoh masa lama dari kejadian kepada waktu sampel itu diambil sangat lama. “Sampel yang disimpan pada suhu bilik dan berada dalam keadaan lembap boleh menyebabkan berlaku pertumbuhan bakteria serta memusnahkan sampel itu,” katanya. Menjawab soalan peguam bela Ram Karpal, Dr Brian berkata, pengambilan sampel calitan daripada badan Mohd Saiful tidak mengikut pakai amalan standard kerana tiada slaid calitan disediakan sebelum ia dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis. Sementara itu, merujuk kepada kesilapan menandakan label dua botol plastik mengandungi calitan diambil dari beberapa bahagian badan dan sekitar bahagian luar dubur Mohd Saiful, Dr Brian berkata sepatutnya kesilapan itu perlu dibetulkan mengikut prosedur yang ditetapkan. Dua bekas tersebut mengandungi sampel Mohd Saiful Bukhari yang bertarikh 26 Jun 2008 sedangkan Mohd Saiful menjalankan pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008. Dr Brian berpendapat, oleh kerana kesilapan itu, ujian DNA yang dilakukan itu sepatutnya negatif. Pada 16 Mei lalu, Anwar, 64, diarah membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh menyebabkan Anwar dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jka sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung hari ini.

Laporan gereja dibentang hari ini



SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan penganjur majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Komuniti Harapan akan membentangkan laporan terperinci berhubung pemeriksaan Jais kepada Gerak Kerja Pendengaran, di SUK hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, gerak kerja ditubuhkan Kerajaan Negeri itu dianggotai beliau bersama Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar.

Menurutnya, pertemuan secara berasingan itu akan bermula jam 2 petang di mana Jais dan Komuniti Harapan masing-masing akan diberikan satu jam untuk pembentangan laporan mengenai proses dan apa yang berlaku pada malam 3 Ogos lalu.

“Gerak kerja ini bermaksud pendengaran dan hasil pendengaran itu kita akan berbincang dan salah satu daripada tugas kita adalah memberikan laporan kepada Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah),” katanya.

Abdul Khalid berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung apa yang hendak diperjelaskan kedua-dua pihak memandang beliau belum mendengar laporan mereka.

“Kalau kita sudah dengar (penerangan), kita akan ada banyak pilihan dan boleh jadi kita panggil balik sekiranya ada beberapa soalan hendak dikemukakan.

“Sebab itu, saya tidak bercadang mengemukakan tarikh (menghadap Sultan Sharafuddin) tetapi sekurang-kurangnya selepas mendengar kedua-duanya saya boleh menentukan apa yang mesti kita tentukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan Sultan Sharafuddin murka terhadap beliau ketika mengulas titah baginda yang tidak pernah memperkenankan penubuhan Majlis Syura oleh Kerajaan Negeri.

Malah katanya, semalam beliau mengiringi baginda, berbuka puasa dan solat bersama (menunjukkan tidak timbul isu tersebut).

“Dalam pengurusan, kita ada cara dan teknik. Jadi kita betulkan balik sebab tujuan kita adalah mencari penyelesaian dan bukannya hendak menimbulkan beberapa lagi isu,” katanya.

Sementara itu, beliau mewakili barisan Exco dan Kerajaan Negeri mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Ulangtahun Kemerdekaan ke-54 kepada seluruh rakyat Selangor.

“Kerajaan Negeri dan Menteri Besar akan mengadakan rumah terbuka pada raya pertama bertempat di Dataran SUK bermula 11 pagi hingga 3 petang. Saya menjemput seluruh rakyat Selangor untuk hadir di rumah terbuka ini,” katanya.

Lebih 5 murid ditahan di hospital



KUALA TAHAN - Dianggarkan lebih lima murid dari sebuah sekolah dekat sini, berdepan dengan penyakit kuning yang turut dipercayai berkaitan dengan sejenis wabak.

Ibu seorang pesakit, Norazimah Abdullah Sidek, 34, berkata, anaknya, Norafieqah Mohd Ali Saifudin, 12, dimasukkan ke Hospital Jerantut setelah mengalami demam dan kuning di bahagian mata.

Menurutnya, sebelum dimasukkan ke hospital Ahad lalu, Norafieqah yang juga anak sulung daripada empat beradik, mengalami demam panas selama empat hari.

“Selepas sembuh daripada demam, anak saya sihat seperti biasa dan tiada sebarang tanda penyakit, namun saya agak terkejut apabila mendapati mata Norafieqah menjadi kekuningan.

“Disebabkan saya sudah mengetahui lebih awal ada kes anak rakan sebelum ini dimasukkan ke hospital akibat kuning, saya terus merujuk anak saya ke Hospital Jerantut,” katanya kepada Sinar Harian.

Norazimah berkata, tidak diketahui apakah penyakit yang menimpa Noratieqah kerana rakannya yang berdepan penyakit sama telah dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) Temerloh.

“Saya difahamkan doktor, Noratieqah kini semakin pulih, namun masih perlu ditempatkan di wad untuk membolehkan dia menerima antibiotik selain doktor berusaha mengesan punca penyakitnya.

“Apa yang membimbangkan setelah dimaklumkan berkemungkinan penyakit kuning itu antara simptom awal yang turut berkait dengan wabak penyakit,” katanya.

Seorang lagi bapa pesakit, Ridzuan Mazlan, 38, berkata, anaknya mengadu sakit kepala dan muntah, kemudian matanya berwarna kuning sebelum seluruh badannya menjadi kuning.

“Saya hairan mengapa perkara ini berlaku kerana ia turut dialami enam kanak-kanak pada hari yang sama minggu lalu.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Jerantut sebelum dipindahkan ke Hoshas Temerloh termasuk anak saya dan dimasukkan ke wad selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Jerantut, Dr Devaraj Salam ketika dihubungi berkata, penyakit kuning menimpa Noratieqah dan murid lain itu bukan disebabkan oleh wabak, namun ia lebih kepada hepatitis.

“Ini berkemungkinan disebabkan oleh penggunaan air yang tercemar atau kotor. Bagaimanapun, keadaan Noratieqah kini semakin beransur pulih dan baik, namun kita masih menunggu laporan keputusan darahnya,” katanya.

Penjara dan denda kerana cederakan arkitek



KUALA LUMPUR — Seorang penganggur hari ini dihukum penjara dua bulan dan denda RM5,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana mencederakan seorang arkitek tahun lepas.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap T.Saravaen, 31, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Rozilah menolak permohonan tertuduh supaya diberikan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik.
"Mahkamah berpendapat hukuman bon berkelakuan baik tidak dapat diberikan dan mahkamah berpendapat hukuman penjara dan denda adalah setimpal supaya tertuduh dan orang awam memperolehi pengajaran supaya tidak terlibat dengan jenayah seperti ini,” katanya.
Saravaen didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menikam leher Mohammad Effendi Salleh, 42, yang bertugas di Jabatan Kerja Raya (JKR), menggunakan pemutar skru di Jalan Dutamas 1 pada 6.10 petang, 17 Feb, 2010.
Saravaen didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan.
Saravean menjelaskan denda tersebut. — Bernama 

Cemas tayar lori terjerlus



BELUKAR BUKIT - Gara-gara lantai jambatan reput, seorang pemandu lori bersama kelindannya melalui saat mencemaskan dan nyaris mengalami kecederaan apabila kedua-dua tayar hadapan kenderaan yang mereka naiki terangkat selepas tayar belakang sebelah kiri terjerlus ketika melalui jambatan itu, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, pemandu lori, Mohd Nazri Mat Shariff, 30, dan kelindannya dikenali sebagai Mie, 27, baru selesai me-ngambil kelapa sawit untuk dihantar ke kilang.

Menceritakan kembali detik mencemaskan itu, Mohd Nazri berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan situasi cemas itu menyebabkan kelindannya ingin terjun dari lori kerana bimbang sekiranya kenderaan itu terbalik, namun, dia sempat menghalang kerana tindakan sedemikian boleh membahayakan keselamatan.

“Ketika melalui jambatan itu, secara tiba-tiba lantainya reput sehingga menyebabkan tayar belakang sebelah kiri tersangkut dan kerana itu jugalah kedua-dua tayar bahagian hadapan terangkat.

“Saya dan kelindan keluar perlahan-lahan dan selepas keluar, kepala lori masih lagi terangkat,” katanya.

Mohd Nazri berkata, gara-gara jambatan reput, dia terpaksa mengambil masa hampir tiga jam untuk mengeluarkan tayar yang tersangkut.

“Berikutan kejadian ini boleh melibatkan kehila-ngan nyawa, saya berharap pihak berkenaan dapat turun padang.

“Pihak berkenaan juga perlu mengambil tindakan segera dengan menggantikan jambatan kayu ini kepada konkrit supaya ia tidak berulang,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah terdengar ura-ura mengatakan tender bagi pembinaan jambatan konkrit sudah dikeluarkan, namun tidak tahu kebena-ran perkara ini sedangkan keadaan kayu jambatan itu semakin hari semakin reput.

“Bagaimanapun, diharapkan perkara ini dapat perhatian serius apatah lagi jambatan ini digunakan setiap hari untuk ke kawasan pertanian dan ia juga laluan ke tanah perkuburan,” katanya.

Tidak mengaku tikam polis



KUALA TERENGGANU - Seorang buruh kapal tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, semalam atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis dalam kejadian 14 Ogos lalu.

Tertuduh, Syed Hussin Syed Hassan, 31, dari Kampung Jeram, Manir, Kuala Terengganu tidak mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 14 Ogos lalu kira-kira jam 7.45 malam bertempat di belakang rumah tertuduh iaitu beralamat di Kampung Jeram Manir, Kuala Terengganu dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Saiful Bahari Yaacob, 22, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu merah, panjang dari mata ke hulu lebih kurang 18.2 sentimeter.

Dengan itu jika didapati bersalah tertuduh boleh di penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Selepas pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Nor Azizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan Konstabel Mohd Saiful Bahari Yaacob, 22, cedera rusuk sebelah kanan akibat ditikam dengan sebilah pisau ketika menangkap seorang lelaki dalam serbuan Ops Rentap/Tapis di Kampung Jeram, Manir, Kuala Terengganu.

Anggota polis berkenaan, Konstabel Mohd Saiful Bahari Yaacob, 22, berasal dari Kota Bharu, Kelantan mengalami pendarahan di bahagian rusuk sebelah kanan serta kesan kelar di bahagian lengan kanan dipercayai terkena tikaman ketika bergelut untuk menangkap suspek itu dalam kejadian kira-kira jam 7.45 petang.

Gempa bumi kuat gegarkan Washington



WASHINGTON - Gempa bumi kuat menggegarkan Amerika Syarikat (AS), kelmarin dan merosakkan bangunan penting di Washington dengan gegaran boleh dirasai sehingga Kanada.

Gempa itu adalah yang terkuat melanda pantai timur AS sejak 1897 dan rata-rata penduduk kawasan itu menganggap bencana itu mencetuskan kembali ketakutan peristiwa serangan pengganas pada 11 September 2001.

Bangunan Kementerian Pertahanan AS, Pentagon, Rumah Putih dan bangunan Kongres, Capitol di Washington dikosongkan serta-merta dengan ribuan pekerja memenuhi jalan raya.

Gereja Kebangsaan Washington, iaitu lokasi pengebumian dan penghormatan bagi bekas-bekas presiden negara itu turut rosak dengan tiga puncak menaranya pecah.

Namun, tiada laporan kerosakan atau kecederaan serius dilaporkan selepas gempa berkekuatan 5.8 pada skala Richter itu melanda Virginia, iaitu 145 kilometer dari Washington.

Pusat judi siber diserbu



KUANTAN - Gara-gara leka bermain judi ala kasino di dua pusat siber di Jalan Beserah dan Padang Lalang, tujuh lelaki di tahan di dalam Ops Judi oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) manakala 20 komputer disita di sini, malam semalam.

Operasi bersepadu itu dijalankan secara bersepadu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Cawangan Pencegah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah dan Telekom Malaysia Berhad.

Dalam operasi selama tiga jam bermula jam 10.30 malam semalam, dua pusat siber yang tidak berlesen di Jalan Beserah dan di Padang Lalang di serbu pihak berkuasa selepas didapati menyediakan permainan judi ala kasino.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Kemasyarakatan MPK, Haslinda Hassan berkata, operasi bersepadu yang diadakan itu merupakan yang pertama dijalankan bersama agensi kerajaan.

Menurutnya, kerjasama dengan SKMM dijalankan bagi memantapkan lagi penguatkuasaan terhadap pemilik pusat siber yang masih degil.

“Kita mengenal pasti 34 pusat siber yang terlibat dengan mesin judi malah sudah mengambil tindakan seperti memotong bekalan elektrik sebelum ini.

“Bagaimana pun, pemilik premis tersebut masih berdegil malah membuat penyambungan semula. Justeru, MPK bekerjasama dengan SKMM untuk memotong talian internet di premis terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Haslinda berkata, daripada jumlah berkenaan, 26 pusat siber masih beroperasi antaranya di Jalan Air Putih, Jalan Pasar dan Padang Lalang.

Katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan terhadap premis yang dikenal pasti pusat siber yang menyediakan perkhidmatan mesin judi terbabit.

Kesemua yang ditahan di bawa balai bagi membantu siasatan atas kesalahan perjudian komputer.

Pada operasi sama, sebuah pusat hiburan di Jalan Gambut turut dikenakan kompaun oleh MPK atas kesalahan melanggar syarat iaitu menjalankan kaunter juruhebah tanpa kelulusan.

Lelaki kena reman kes tipu



TEMERLOH – Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan seorang penganggur ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan wang tunai berjumlah RM140,000 milik seorang pengurus insurans di Mentakab.

Perintah tahanan reman dikeluarkan di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen Temerloh Sakiah Abdullah terhadap lelaki berusia 20 tahun itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bermula 24 Ogos 2011 hingga 27 Ogos 2011 ini.

Perintah tahanan reman adalah di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, untuk merakam risikan percakapan dan untuk soal siasat lanjut penglibatan suspek dalam kes bersindiket serta untuk mendapat maklum balas pihak bank.

Berdasarkan kejadian itu pegawai insurans terbabit mendakwa dihubungi beberapa lelaki pada 18 Ogos lepas yang mendakwa pegawai kanan polis dari Bukit Aman dan Hong Kong.

Dalam perbualan telefon kesemua suspek meyakinkan mangsa bahawa akaun bank miliknya telah disalah guna beberapa pihak di Hong Kong untuk kegiatan jenayah dan wang milik mangsa telah bercampur dengan wang hasil kegiatan jenayah di Hong Kong.

Mangsa ditawarkan beberapa lelaki terbabit kaedah untuk membersihkan wang yang telah bercampur dengan kegiatan jenayah dengan syarat memasukkan sebahagian wang ke dalam lima akaun milik lima individu berlainan.

Selepas membuat transaksi melalui internet sebanyak RM260,000 termasuk RM140,000 melalui akaun bank milik suspek, mangsa merasakan dirinya tertipu.

Mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan lanjut pihak polis telah menahan seorang penganggur berusia 20 tahun di Batu Pahat ketika sedang cuba membuat pengeluaran wang yang dipindahkan ke dalam akaunnya.

Polis kini sedang dalam siasatan bagi mengenal pasti dalang utama jenayah tersebut dan tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket yang melakukannya. Polis juga sedang menyiasat pemilik empat lagi akaun bank yang terlibat.

Tekong kena denda RM200,000



KUANTAN - Seramai 8 lelaki membabitkan tekong dan awak-awak asing yang dihadapkan ke Mahkamah Trafik di sini semalam mengaku bersalah dan disabitkan selepas menceroboh perairan Malaysia menangkap ikan menggunakan pukat tunda secara haram pada 18 Ogos lalu.

Majistret Riny Triany Muhamad Ali menjatuhkan hukuman denda RM200,000 terhadap tekongnya, Som Kiat, 45 atau penjara 6 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Manakala awak-awaknya, Nak Long, 48, Mhen dan When Nak, 20, Kai, dan Chai, 34 Whan,40 dan Chu, 30 dikenakan denda RM40,000 atau penjara 4 bulan jika gagal membayar.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka ditahan pada jarak lebih kurang 77 batu nautika Timur dari Kuantan pada 18 Ogos lalu kira-kira jam 9.15 pagi di atas vessel penangkapan ikan asing Thailand bernama Poosuwan 3.

Mereka didapati menangkap ikan menggunakan pukat tunda tanpa kebenaran di bawah mana-mana perjanjian antarabangsa dan tapa permit sah yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia di bawah seksyen 19 Akta Perikanan 1985( Akta 317).

Pada hari kejadian berlaku, hasil pemeriksaan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan diri serta permit yang sah .

Kesemua mereka disabitkan melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) di baca bersama seksyen 24 (1) akta sama dan boleh dihukum di bawah seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) yang memperuntukkan hukuman Seksyen 25 (a) iaitu denda maksimum RM1 juta bagi nakhodanya dan denda maksimum RM100,000 bagi setiap awak-awaknya.

Kesemua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) APMM, Mirza Mohamad.

53 premis terjejas akibat ribut



GEDANGSA - Sebanyak 21 kediaman termasuk surau dan sekolah terjejas akibat ribut yang melanda tiga tanah rancangan Felda di Gugusan Sungai Dusun, di sini, kelmarin.

Sementara 32 lagi rumah di lima kampung di Hulu Yam dilaporkan rosak.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu, semua mangsa terlibat sedang berehat dan membuat persiapan berbuka puasa.

Ketua Kampung Felda Gedangsa, Mohd Mansor Sarif berkata, sebanyak lima rumah, sebuah surau dan Sekolah Rendah Agama (SRA) rosak akibat bencana itu.

Bagaimanapun menurutnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

“Terdapat dua rumah rosak teruk akibat diterbangkan angin dan dihempap pokok rambutan, selebihnya, kerosakan di bahagian bumbung, tetapi tiada yang cedera,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, kejadian itu antara yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu, kali terakhir berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, lima lagi perkampungan yang turut terjejas akibat bencana itu berlaku di Hulu Yam.

Ketika lawatannya ke Felda Gedangsa, Nor Hisham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Hulu Selangor berkata, daripada 21 kediaman yang terlibat, 13 daripadanya di Felda Soeharto dan sebuah di Felda Sungai Tengi Selatan.

“Kejadian itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus lebih lapan jam hingga memaksa jemaah mengerjakan solat Terawih dalam keadaan gelap,” katanya.

Nor Hisham berkata, buat masa ini, pihaknya sedang menjalankan siasatan sebelum bantuan baik pulih diberikan.

Bagaimanapun, bantuan segera sudah diberikan.

Turut serta dalam lawatan itu, Penghulu Mukim Hulu Bernam Utara, Mohammad Jamali.

Rampas mercun



SEREMBAN - Pihak polis berjaya merampas 53 kotak mercun pelbagai jenis dalam serbuan Ops Kesan dan Tangkap di sebuah rumah di Taman Nyior Hijau dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, nilai rampasan dianggarkan antara RM40,000 sehingga RM50,000.

“Pihak polis menjalankan operasi ini, hasil maklumat orang ramai di bazar Ramadan Ampangan, kira-kira jam 1 pagi.

“Dalam serbuan berkenaan, seorang wanita berumur 39 tahun dipercayai pembekal kepada penjual mercun dan bunga api di sekitar bazar terbabit ditahan,” katanya pada siang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, semalam.

Menurutnya, susulan tangkapan wanita terbabit, pihak polis berjaya menemui mercun yang belum dijual disimpan dalam sebuah bilik di rumahnya di Taman Nyior Hijau.

Kata Saiful Azly, seorang lelaki berumur 29 tahun dipercayai adik kepada wanita berkenaan berada di rumah itu ketika serbuan.

“Kedua-dua suspek ini dipercayai pengedar utama mercun di sekitar bandar ini dan mereka disyaki beroperasi dengan mengambil tempahan pada waktu malam dan menghantar bekalan keesokannya.

“Mereka ditahan reman mulai hari ini (semalam) sehingga 28 Ogos untuk membantu siasatan di bawah Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Polis masih kesan identiti suspek langgar lari



KOTA BHARU- Polis Kelantan masih bagi berusaha mengesan identiti seorang pemandu kereta Proton Iswara Putih yang dipercayai melanggar dua beradik sehingga maut sebelum melarikan diri di Kampung Hutan Pasir, Pengkalan Chepa dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Assisten Komisioner Azham Othman berkata, tangkapan masih belum dibuat dan pihaknya masih mengumpulkan bukti kukuh berhubung kejadian tersebut.

“Setakat ini maklumat yang kita terima kereta yang melanggar dua beradik tersebut jenis Proton Iswara berwarna putih dan identitinya masih belum di kenal pasti.

”Ketika berlaku kemalangan, pemandu tersebut berjaya melarikan diri sebaik melihat orang kampung mengejarnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Semalam, Sinar Harian, melaporkan hasrat seorang ibu menyediakan kelengkapan buat dua anaknya sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi tidak kesampaian apabila kedua-dua anaknya itu maut dalam nahas di Kampung Hujung Tanjung dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, mangsa Raja Zulkarnain Raja Azhan, 9, dan adiknya Raja Nur Iliya, 6, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mereka dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Iswara ketika menunggang basikal pulang ke rumah dari sekolah. Pemandu kereta itu bagaimanapun melarikan diri.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang mengetahui kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pejabat trafik Kota Bharu di talian 09-755229.

“Kes tersebut di siasatan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957,” katanya.

Lelaki kurang siuman nyaris maut



KOTA BHARU- Seorang lelaki kurang siuman nyaris maut selepas terperangkap dalam tandas sebuah rumah yang tidak berpenghuni dipercayai dibakarnya di Pintu Geng, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dikatakan membakar rumah kosong terbabit sebelum bersembunyi di dalam tandas rumah berkenaan.

Difahamkan sebelum kejadian, lelaki tersebut cuba membakar sebuah rumah lain bagaimanapun ia disedari penghuninya dan berjaya mencegah perlakuan lelaki itu.

Penguasa Bomba Bahagian Operasi Negeri, Shahrin Yusmar Mat Yusoff berkata, anggotanya telah mendengar jeritan lelaki terbabit yang meminta air ketika cuba memadamkan kebakaran.

“Selepas mendengar jeritan itu, anggota bomba dapat mengesan lelaki tersebut dalam tandas, ketika itu asap telah memenuhi seluruh ruang tandas tersebut. Dia kemudian berjaya dikeluarkan walaupun dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, seramai 21 anggota bersama tiga buah jentera dari Balai Bomba Kota Darulnaim dan Kota Bharu dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 7.59 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

“Api berjaya dapat dikawal kira-kira seminit selepas itu dan lima minit kemudian berjaya dipadamkan keseluruhannya. Pihak kami dapat kawal api dengan pantas kerana tekanan air yang baik di kawasan itu,” katanya. Beliau memberitahu, jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM500,000.

Tersepit di tempat duduk



KIJAL – Seorang ahli perniagaan berpangkat datuk yang terkenal di daerah Dungun maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 134 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Pasar Raya Besar Giant Kijal, di sini, pagi semalam.

Datuk Abu Bakar Kamar @ Kamal, 61, berasal dari Jalan Besar, Dungun meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala selain turut tersepit di tempat duduk pemandu apabila pacuan empat roda jenis Mitsubishi yang dipandunya bergesel dengan Proton Wira sebelum bertembung dengan kereta Porshe.



Kenderaan berpusing beberapa kali


Akibat pertembungan itu, pacuan empat roda yang dipandu mangsa berpusing beberapa kali begitu juga Porsche dinaiki tiga lelaki yang salah seorang daripadanya pengurus sebuah syarikat di daerah ini turut berpusing beberapa kali sebelum terperosok ke dalam semak di bahu jalan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pemandu dan penumpang kereta mewah itu tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta mereka remuk di bahagian hadapan sebelah kiri.



Jalan tidak rata punca nahas

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku apabila pacuan empat roda yang dinaiki mangsa memotong sebuah treler sebelum kembali ke laluan asal.

Namun, menurutnya, selepas memotong treler, pacuan empat roda itu secara tiba-tiba melambung disebabkan keadaan jalan yang tidak rata mengakibatkan kenderaan mangsa bergesel dengan sebuah Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita yang datang dari arah bertentangan.

Akibat pergeseran itu kenderaan mangsa masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Porsche yang berada di belakang Proton Wira berkenaan.

“Mayat mangsa dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat balai Kerteh kerana mangsa turut tersepit di tempat duduk pemandu sebelum mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat,” katanya.

Suasana sayu menyelubungi pekarangan Unit Forensik, Hospital Kemaman.

Isteri mangsa, Datin Wan Esah Wan Mamat, 57, bersama empat anaknya, Lina Syamimi, 23, Kamal Fahmi, 21, Lina Mariam, 20, dan Mira Fatimah, 17, kelihatan sugul dan masih terkejut dengan kejadian yang meragut nyawa bapa mereka.

Wan Esah berkata, suaminya itu keluar rumah sejak pagi dan sempat memberitahu mahu ke Kemaman atas urusan perniagaan.

Namun, suri rumah itu tidak menyangka itulah kali terakhir berpeluang bercakap dengan suaminya yang sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.



Syukur terselamat

Sementara itu, penumpang Proton Wira yang duduk di kerusi belakang, Mohd Faridzuan Khamis, 16, dari Kuala Abang, Dungun berkata, walaupun kereta yang dinaiki bersama ibunya, Nor Lida Ba’i, 41, dan dua abang saudaranya turut kemik di bahagian hadapan selepas bergesel dengan pacuan empat roda mangsa tetapi mereka bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami dalam perjalanan pulang ke Dungun selepas menghantar barang di Johor Bahru. Tak sangka pula akan terlibat dalam nahas, tetapi kami sangat bersyukur kerana terselamat,” katanya.

Maut tercampak, rakan koma



KLANG SELATAN - Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di lampu isyarat menghala Bayu Perdana, Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 malam itu, mangsa dikenali A Balu, 38, dari Taman Emas, Kapar meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Sementara, rakannya berusia 24 tahun yang parah di kepala dan mengalami pendarahan dalaman koma dan kini dirawat di wad kecemasan HTAR.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa dirempuh sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki dari arah Banting ke Klang.

Menurutnya, kereta jenis Toyota Vios itu dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal yang dalam perjalanan menghala ke Banting.

“Pertembungan itu menyebabkan penunggang dan pembonceng terpelanting ke atas cermin kereta sebelum tercampak ke jalan raya.

“Kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah dikejarkan ke HTAR, bagaimanapun salah seorang daripadanya disahkan meninggal dunia dalam perjalanan,” katanya.

Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya bahagian hadapan kereta mengalami kesan remuk.

Rosly berkata, setakat ini, polis sudah mengambil keterangan pemandu berkenaan.

Insiden itu, katanya, disifatkan satu siri kemalangan ngeri ketika Ops Sikap baru dilancarkan, kelmarin.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Trafik Klang Selatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Harman Hanif di talian 03-337 22222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dalam pemanduan dengan mematuhi had laju dan peraturan terutama menjelang perayaan ini.

Didatangi mimpi lelaki tua



KOTA – Kesukaran hidup pasangan suami isteri dalam membesarkan anak sehingga hampir berputus asa akhirnya menemui rahmat dari Allah SWT apabila pasangan ini nekad memeluk Islam pertengahan 1980-an.

Pasangan, Mohd Ali Abdullah, 57, dan Kamariah Abdullah, 54, yang kini menetap di Chengkau, sebelum memeluk agama Islam, fikiran serta hati mereka tidak tenteram dan setiap masalah dialami bagai menemui jalan buntu.

Menurut Mohd Ali, sebelum memeluk Islam, salah seorang anak mereka meninggal dunia berkemungkinan kerana masalah dihadapi selain terpaksa tidur merempat di kaki lima selama seminggu sebelum menumpang teduh di rumah sahabatnya di Terachi, Kuala Pilah.

Menurutnya, ketika menetap di rumah sahabatnya, dia sering didatangi mimpi seorang lelaki tua berserban putih datang kepadanya dan menjanjikan kekayaan.

“Lelaki serban itu mengatakan kekayaan bukan wujud dalam bentuk wang ringgit tetapi bakal berada dalam hati dan jiwa saya.

“Mungkin segalanya sudah tertulis buat saya apabila diambil bekerja oleh seorang lelaki dipanggil ‘Pak Haji’ dan menoreh getah di tanah seluas enam hektar di mana selepas dua tahun bekerja, saya sekeluarga terus memeluk Islam,” katanya ketika ditemui pada Program Sumbangan Kepada Warga Miskin India Muslim di Pejabat Dun Kota, kelmarin.

Pada program berkenaan, Adun Kota, Datuk Dr Awaludin Said menyampaikan sumbangan kepada 27 individu di mana 10 daripadanya merupakan mualaf atau saudara baru.

Hadir sama pada program berkenaan, Pengerusi Tetap PPP Negeri Sembilan, Shahrul Hamid Syed Mohaiden; Pengerusi PPP Dun Kota, S Seladorai dan wakil MIC, Arimugam.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, dia amat berharap agar kesemua saudara baru akan dapat menghadiri kelas disediakan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi memantapkan lagi ilmu dan pemahaman agama.

“Jika saudara baru berbuat demikian, mereka tidak akan tersasar dari agama terbesar di dunia ini, bahkan mereka juga tidak akan sesekali melakukan kebiasaan yang salah di sisi agama seperti meminum arak,” katanya.

Ulama bukan ‘penumpang’



SHAH ALAM – Peranan ulama yang terlibat dalam politik perlu diiktiraf agar segala pandangan, teguran dan cadangan diambil kira dalam memastikan pentadbiran parti dan kerajaan berlandaskan hukum syarak.

Ketua Penerangan Pas, Da­tuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ulama yang terlibat dalam politik tidak boleh dianggap sebagai ‘penumpang’ sebaliknya peranannya sebagai ‘peman­du’ kepada kepemimpinan.

Katanya, ulama yang menyartai politik bukan dengan hasrat mencari kepentingan peribadi, sebaliknya berdakwah dengan cara tersendiri.

“Ulama ada tanggungjawab dan amanah tetapi peranan­nya dalam politik perlu diiktiraf kerana dengan peng­iktirafan itu, segala pandang­an dan nasihat akan didengar dan diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 6 bertajuk Ulama Politik, Untuk Dakwah atau Parti di Audi­torium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Dua lagi anggota panel dalam wacana itu Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan ulama muda Umno Fathul Baru Mat Jahya. Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator.

Menurut Tuan Ibrahim pandangan dan nasihat ulama politik tidak harus dipencilkan sebaliknya perlu memainkan peranan penting dalam sesebuah parti politik bagi emastikan perjuangan tidak tersasar dari ajaran Islam.

“Sebelum ini ada pihak menggelar ulama politik tertentu sebagai ‘terompah’ atau ‘periuk nasi elektrik’ yang hanya menjatuhkan kredibiliti ulama berkenaan. Tuduhan itu juga seolah-olah pandangan ulama berkenaan hanya diperlukan apabila terdesak,” katanya.

Menurutnya, ulama di dalam politik mesti berlandaskan syariat Islam bukan mengejar kepentingan tertentu.

“Ulama pada asas maknanya ialah orang yang berilmu, tetapi dari sudut istilah penggunaan ulama dikaitkan dengan sifat takwa kepada ALLAH. Malah ALLAH mengangkat darjat manusia disebabkan dua perkara, iaitu iman dan ilmunya.

“Oleh itu dalam konteks ini, orang berilmu yang diangkat oleh ALLAH ialah golo­ngan beramanah dalam ilmu,” katanya.

Beliau berkata, orang yang melakukan khianat dalam ilmu akan menyebabkan kesan memudaratkan, iaitu boleh menyebabkan masyarakat dan generasi musnah.

Menurutnya, Pas adalah satu-satunya parti politik di negara ini yang memberi peng­iktirafan kepada ulama.