Tuesday, May 6, 2014

Tentera Ukraine, kumpulan pro-Rusia bertempur



SEKUMPULAN lelaki bersenjata pro-Rusia menaiki dua buah kereta perisai menuju ke bandar Slovyansk selepas berlaku pertempuran dengan tentera Ukraine di bandar itu semalam.- AP


KIEV - Beberapa orang dilaporkan terbunuh dan cedera selepas askar Ukraine bertempur dengan kumpulan bersenjata pro-Rusia di beberapa lokasi di bandar Slovyansk timur negara itu.
Kerajaan juga menghantar satu pasukan pengawal kebangsaan elit untuk memulihkan semula kawalan di bandar Odessa selepas berlaku kekacauan yang menyebabkan berpuluh orang terbunuh.
Langkah itu dilihat sebagai usaha pihak berkuasa untuk mengembalikan semula kawalan di wilayah tersebut yang ditawan kumpulan bersenjata pro-Rusia sejak beberapa minggu lalu.
Wartawan Associated Press melaporkan mereka terdengar bunyi tembakan dan beberapa siri letupan di sekitar bandar Slovyansk yang mempunyai seramai 125,000 orang penduduk.
Bandar itu menjadi fokus kumpulan bersenjata pro-Rusia yang menentang kerajaan sementara di Ukraine.
Menteri Dalam Negeri, Arsen Avakov dalam satu kenyataan memberitahu bahawa, kumpulan pro-Rusia membawa masuk senjata berat dan mortar ke wilayah itu.
"Askar kerajaan berdepan dengan kira-kira 800 pemberontak dan ada yang cedera di kedua-dua pihak akibat pertempuran ini," katanya.
Seorang jurucakap kumpulan pro-Rusia di Slovyansk berkata, terdapat beberapa orang terbunuh dan cedera dalam pertempuran tersebut termasuk seorang gadis berusia 20 tahun yang maut akibat terkena peluru sesat.
Seorang wartawan Associated Press di Slovyansk melihat sekurang-kurangnya empat ambulans membawa mangsa yang cedera ke hospital dan seorang lelaki pro-Rusia cedera. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz30sgNpGvk 
Hakcipta terpelihara