Monday, August 2, 2010

Khir Toyo patut malu


HarakahdailySHAH ALAM, 2 Ogos: Kerajaan Pusat bukan sahaja gagal membantu rakyat Selangor mendapatkan kemudahan air yang murah malah gagal mengambil tindakan ke atas Dr Mohd Khir Toyo yang telah memberi konsesi secara cuai kepada syarikat kroni.
Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, Kerajaan Persekutuan harus ingat kemelut air di negeri ini bermula apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dibenarkan menaikkan tarif air tanpa mengambil kira beban tanggungan rakyat yang masih merangkak di dalam kemelut ekonomi global.
Katanya, kerajaan BN yang dipimpin oleh Khir telah menandatangani perjanjian konsesi air dengan Syabas di mana syarikat itu dibenarkan menaikkan tarif sehingga 37% pada 2009, 25% (2012), 20% (2015), 10% (2018) dan 5% (2021).
“Dr Khir sepatutnya merasa malu untuk bercakap soal kepentingan rakyat Selangor dalam apa-apa topik sekalipun, baik air mahupun pasir kerana kecuaiannya telah menghalang hak rakyat Negeri Selangor daripada mendapatkan perkhidmatan air yang terbaik,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Akibatnya, kata beliau Kerajaan Pakatan Rakyat hari ini terpaksa berhadapan dengan syarikat konsesi yang tamak dan berani menuntut jumlah yang terlampau jika kerajaan negeri mahu mengambilalih pengurusan air Selangor yang bertujuan untuk memberi perkhidmatan air yang baik dengan harga yang berpatutan kepada rakyat.
Begitupun, katanya kerajaan negeri sentiasa merai pandangan pelbagai pihak berkaitan pentadbiran dan dasar-dasar termasuk dasar pemberian diskaun, insentif dan sebagainya.
“Apa yang penting bagi kerajaan ialah akhirnya rakyat Selangor yang layak, dapat menikmati hasil dari dasar dan ketetapan tersebut. Ini tidak terkecuali di dalam mencari jalan terbaik mengenai permasalah air di negeri ini,” katanya.
Jelasnya, takyat Selangor berhak untuk mengetahui cerita sebenar dan bagaimana Dr Khir seharusnya dihalang dari segi moral untuk memberi pandangan terutama dalam hal tatacara mentadbir negeri ini.
Oleh itu, ujarnya kerajaan negeri menggesa agar mendeklasifikasikan dokumen perjanjian air dan segala laporan audit yang berkaitan agar rakyat tahu perkara yang sebenar.
“Kerajaan Persekutuan harus melihat perkara ini dengan serius apabila membincangkannya di dalam mesyuarat kabinet Rabu ini,” ujarnya.
Justeru, tegasnya, kerajaan negeri juga langsung tidak gentar dengan ugutan saman mahkamah RM1 bilion yang dilakukan oleh Syabas walaupun mereka mendapat sokongan Kerajaan Pusat.
Sebaliknya, kata beliau kerajaan negeri sentiasa membuka pilihan untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Syabas di atas kegagalannya memenuhi perjanjian konsesi dengan penuh tanggungjawab yang telah mengakibatkan kerugian tidak kurang dari RM8 billion.
Kerajaan negeri, ujarnya lagi akan terus mengambil langkah-langkah wajar untuk memberi kefahaman kepada rakyat Selangor bagaimana kerajaan terdahulu telah menganiaya rakyat melalui pemberian konsesi kepada syarikat kroni.
“Kita yakin rakyat Selangor menyokong penuh usaha kerajaan negeri mempertahankan hak air ini dan sentiasa mendoakan kejayaan kita,” ujarnya lagi.RAKYAT MARHAEN: Khir Toyo patut malu

Polis Kembali Jahat

Oleh Mohd Sayuti Omar
AKHIR-AKHIR ini ada bangkiti semangat dari Polis Di Raja Melayasia (PDRM) untuk bertindak tegas menghalang ceramah Pakatan Rakyat dan juga menghalang orang ramai daripada menghadiri ceramah berkenaan.

Tindakan itu bukan saja setakat minta bersurai dengan lound speaker, tetapi ada yang ditangkap dan disumbatkan ke dalam balck maria. Apakah selepas ini akan ada yang dihadap ke mahkamah atas tuduhan menghadiri perhimpunan haram?
Terbaru kejadian upacara membakar lilin sebagai membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di beberapa tempat malam tadi telah 'diganggu' polis. Polis bertindak tegas menghalang orang ramai menghadirinya.
Di Petaling Jaya 30 orang yang menghadiri majlis itu ditangkap. Begitu juga perhimpunan di Penang, Ipoh dan Kota Bharu juga turut dihalang.

Semalam Himpunan Keluarga Felcra di Pasir Salak, Perak juga dihalang dan diganggu oleh polis. Lebih 30 orang telah ditangkap. Jalan menuju ke tapak himpunan disekat polis. Sebelum daripada itu ceramah membabitkan Anwar Ibrahim di Rengit, Johor juga diganggu polis dan ada yang kena tangkap.

Nampaknya polis sudah kembali jahat semula. Sewaktu Abdullah Ahmad Badawi jadi PM perangai polis nampak elok dan baik sedikit. Abdullah memberi ruang luas kepada pembangkang. Masa itu tidak berlaku polis menyekat orang ramai menghadiri ke tempat ceramah pembangkang.

Perangai polis di zaman Mahathir Mohamad yang dibenci dan dicemuh dulu lenyap seketika bila mana Abdullah jadi PM. Kini setelah Abddullah tidak menjadi PM, polis tiba-tiba jadi naik angin semula kembali kepada perangai lama.

Apakah sikap tegas polis yang kelihatan rakus dan kejam ini menandakan pilihan raya sudah hampir tiba. Ataupun keadaan BN kini benar-benar terdesak. Apakah sokongan rakyat kepada BN sudah berkurangan. Ataupun slogan 1 Malaysia tidak memberi apa-apa bekasan melainkan digunakan oleh para peniaga dan pembodek politik saja bagi mengasyikan Najib semata-mata?

Pada saya tindakan kasar dan tegas polis kepada Pakatan itu tidak memberi untung banyak mana kepada Umno. Tindakan menghalang ceramah Pakatan dan menangkap orang berhimpunan boleh menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan. Ia boleh membukkan imej Najib sebagai PM yang mengutamakan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Di masa dunia mengamalkan langit terbuka, medaulatkan kebebasan bersuara UBN tampaknya mahu terus mahu mengunci mulut rakyat. Mungkin mulut boleh dikunci, tetapi hati rakyat tidak siapa dapat memenjarakan mereka. Tubuh boleh dipenjara tetapi minda mereka tetap akan memperotes kerajaan. Sepatutnya UBN lawan Pakatan Rakyat dengan hujah dan fakta.

Kalau kerajaan (UBN) mahu rakyat menyokong mereka usah buat apa-apa yang menyakit dan menganiyaa rakyat. Menghalang rakyat untuk mendapat maklumat salah satu tindakan menganiyakan mereka.

Kalau UBN rasa rakyat tidak minat dengan majlis ceramah dan penerangan mereka, UBN kena kaji secara rasional. Kenapa rakyat menolak mereka? Cara media massa memuji hingga ke langit pihak UBN dan mencincang lumut Pakatan salah satu punca kenapa rakyat membenci UBN. Cuba UBN bersikap adil dan terbuka mungkin rakyat ada simpati kepada mereka. Dengan cara mereka lakukan kini ia menyebabkan rakyat semakin muak dan terjeluah bila menyebut UBN.


Adakah silap kalau UBN merasakan sikap keras dan tegas polis itu boleh membantu mereka!
RAKYAT MARHAEN: Polis Kembali Jahat

Apabila Hishamuddin sibuk dengan Pakatan Rakyat..



Beberapa hari pada hujung minggu yang lalu Hishamuddin Tun Hussain yang juga Menteri di Kementerian Dalam Negeri nampaknya terlalu sibuk dengan mengarahkan dan menggerakkan Polis untuk menghalang dan menggangu aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat..

Bermula dengan di Johor, seramai 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) serta anggota Polis telah dikerahkan untuk menyerbu pentas Ceramah Pakatan Rakyat di sini sejurus sebelum Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berucap.








Kemudiannya pula pada malam 1 Ogos pula iaitu Malam Mansuhkan ISA dan perhimpunan sempena ulang tahun ke-50 Akta Keselamatan Dalam Negeri digubal.

Kira-kira 200 orang tenaga polis dikerah untuk berdepan dengan 300 hingga 400 orang peserta, dalam perhimpunan yang bertempat di Padang Timur, Dataran MBPJ Selangor.







Dan di Pulau Pinang pula Tiga aktivis dan seorang peguam yang ditahan polis di sudut pidato Pulau Pinang malam tadi kerana menyertai perhimpunan bagi membantah terhadap Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) mendakwa polis berat sebelah dalam melaksanakan tugas mereka dan dianggarkan kira-kira 200 anggota polis yang dikerahkan ke sudut pidato itu..







Di Ipoh.. polis juga dikerah untuk mengagalkan Malam Mansuhkan ISA







Dan di Perak juga, Sepasukan Polis telah digerakkan untuk menahan menahan Enam belas orang awam sewaktu perhimpunan peneroka di Felcra Bandar Seberang Perak (Changkat Lada), Pasir Salak .Menurut anggota jawatankuasa pusat PAS, Mazlan Aliman yang juga pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang menganjurkan perhimpunan tersebut, tiga daripada 16 orang itu masih ditahan dan menunggu untuk direman.

Mungkin kerana memberikan tekanan kepada gerakan yang dilancarkan oleh Rakyat lebih diutamakan oleh Hishamuddin, beliau terlupa Jabatan Imigresen juga dibawah penguasaannya..

Inilah hasilnya..

Tahanan Afghan lari: Hisham berang

PUTRAJAYA, 2 Ogos — Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman akur jika beliau ditukarkan berikutan insiden membabitkan 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi semalam.

Beliau berkata teguran yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung perkara itu adalah berasas kerana insiden itu membabitkan maruah negara.

“Nasib saya... kalau sebagaimana kata Menteri (Dalam Negeri). Kalau sesuatu tidak dilakukan maka Ketua Pengarah perlu ditukarkan. Saya terima hakikat itu.

“Maknanya, saya tidak berperanan atau saya tidak dapat menjalankan tugas dengan baik yang diharapkan oleh menteri dan kerajaan,” katanya.

Abdul Rahman berkata pada masa ini, 20 pegawai dan anggota jabatan berkenaan yang bertugas di depoh tersebut ketika kejadian itu berlaku, telah digantung tugas.

Pada masa sama, beliau meminta sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu supaya mengambil kira semua faktor termasuk kedudukan depoh berkenaan serta mereka yang ditahan di situ.

Beliau berkata warga Afghanistan terbabit telah ditahan pada Disember tahun lepas di Kuala Selangor sebelum diserahkan ke depoh berkenaan pada 18 Februari lepas.

Beliau ditemui pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi semalam, semua tahanan berusia 25 hingga 40 tahun itu, disyaki memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar.

Sebelum ini, pada 27 April lepas, 12 warga Afghanistan dan empat warga Myanmar berusia 22 hingga 48 tahun menyusup keluar melalui ruang jeriji yang dipotong sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar pusat tahanan sama.

Hishammuddin, hari ini memberi kata dua kepada Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Mahmood Adam dan Abdul Rahman berhubung insiden berkenaan.

Beliau mahu Mahmood dan Abdul Rahman mengambil tindakan terhadap pegawai yang bertugas ketika kejadian itu selain memastikan sistem pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan di depot berkenaan.

“Saya langsung tidak puas hati. Apa jua sistem yang kita wujudkan, apa jua penekanan yang kita berikan, apa jua undang-undang yang kita pinda, kalau kerja pegawai saya di Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen tidak sampai kepada tahap yang memuaskan, maka isu-isu sebegini akan berterusan.

“Kalau satu kes, mungkin kita kata ada kesilapan, kita boleh maafkan. Dua tiga kes kita mungkin kata kecuaian.

“Tetapi kalau berulang kali, saya tidak boleh dengar lagi alasan terlalu ramai sangat orang di pusat tahanan,” kata beliau yang turut menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin.

Beliau mahu Mahmood dan Abdul Rahman mengambil tindakan terhadap pegawai yang bertugas ketika kejadian itu selain memastikan sistem pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan di depot berkenaan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin mahu tindakan tegas diambil bagi menyelesaikan masalah itu supaya ia tidak berulang.

Beliau berkata jika ada kekurangan atau kelemahan di depot berkenaan, perkara itu perlu dimaklumkan kepadanya supaya tindakan susulan dapat diambil.

“Saya penat buat pindaan terhadap akta berhubung kait pemerdagangan manusia. Tetapi bila mereka (pesalah) dibawa ke pusat tahanan, kita dengar berulang kali mereka dapat larikan diri.

“Kalau perkara ini tidak dibendung dan diambil serius sama ada di Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan Imigresen, maka isu ini tidak akan selesai.

“Maklumkan kepada saya kalau ada kekurangan. Tetapi kalau mendiamkan diri dan perkara seumpama ini berlaku, mereka kena jawab kepada saya,” katanya.

Hishammuddin tidak menafikan depot tahanan tersebut mempunyai kekurangan namun itu bukannya lagi alasan sehingga tahanan di situ boleh melarikan diri.


Gambar dari pelbagai sumber
RAKYAT MARHAEN: Apabila Hishamuddin sibuk dengan Pakatan Rakyat..

Polis menganas di Vigil sempena 50 tahun ISA di Armcorp Mall, PJ (Bah 1)

Gambar-gambar di bawah ialah ketika perhimpunan mula diadakan dan Polis dari awal lagi telah menganggu. Ini bertempat di hadapan Padang Timur berhadapan dengan Amcopr Mall.

Pegawai Polis di bawah inilah yang beberapa kali jerit supaya orang ditangkap. "tangkap yang pakai merah!!!!"


Ada yang cedera setelah polis dan FRU mula mengejar dan menolak-nolak orang ramai menuju balik ke arah Amcorp Mall. Gambar di atas ialah Sing Yee salah seorang AJK GMI.

Keadaan bertamnah kecoh apabila polis mula MERUSUH!!!. Kelihatan juga Haris Ibrahim.


Orang ramai para peserta Candle Lite Vigil yang aman bergerak dengan aman.....


FRU seperti biasa membuat benteng menghalang orang ramai masuk atau keluar.


Kelihatan Tuan Syed Ibrahim Pengerusi GMI, Arutchelvam, Nalini dan juga Selvam yang mengetuai team negotiator, menjalankan tugas untuk berunding dengan pihak polis agar memberi peluang untuk semua berkumpul untuk tempuh masa hanya 1 jam sahaja. Kelulusan dari pihak berkuasa tempatan pemilik kawasan tersebut, MBPJ sudah pun diperolehi.


Tengok tu pegawai polis yang menjadi Chief Commandat tu.....menghala loud hailer ke arah Arut yang cuba berunding dengan keras berkata "BIAR SAYA YANG BERCAKAP!!!!!"......sungguh berkuasa dia...tiada perundingan lagi.

Selepas episod ini beliau terus mengeluarkan arahan supaya tangkapan dibuat dan FRU dan polis bervest hijau mula mengganas!!!!

Gambar-gambar ini ketika semua yang hadir dengan diketuai oleh sekretariat program dan AJK GMI bergerak dari tempat letak kereta Amcorp Mall menuju ke Padang Timur untuk mulakan program.


Berjalan secara aman tanpa sebarang laungan jauh sekali PROVOKASI!


Cuba lihat semua pun suka hati dan senyum-senyum sebelum majlis bermula:))


YB Tian Chua datang beri sokongan beliau juga bekas tahanan ISA di tahun 2001-2003. Beliau baru sahaja sampai dari Melaka di mana di sana juga telah diadakan satu perhimpunan Reunion bekas-bekas tahanan ISA. Dari update Twitternya katanya hampir 1000 orang berkumpul di sana, bekas tahanan ISA.

Dalang tangkapan ada kepentingan dalam Felcra

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) mendakwa dalang di sebalik penangkapan orang awam pada Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada, Pasir Salak semalam mempunyai kepentingan dalam Felcra.
Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, beliau sangat kecewa dengan penangkapan itu yang disifatkan sebagai mencabuli prinsip kebebasan rakyat untuk berhimpun.
"Saya sebagai Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat yang terlibat secara langsung dalam himpunan semalam sangat dukacita kerana prinsip kebebasan bersuara dan berhimpun telah dicabuli pihak polis yang saya percaya dalangnya orang yang ada kepentingan dalam hal-hal yang berkait dalam soal masyarakat Felcra," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, dekat sini, hari ini.
Beliau memberitahu, seramai 16 orang ditahan ketika mereka cuba memasuki premis tempat perhimpunan berlangsung dan tiga daripada mereka masih menunggu untuk direman.
Mazlan berkata, tindakan pihak polis menggunakan masjid di kawasan sekitar untuk memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan tersebut bersifat keterlaluan dan menyekat oang ramai daripada menyampaikan segala ketidakpuasan hati mereka terhadap pengurusan Felcra.
"Sangat mendukacitakan apabila mereka menggunakan masjid, pihak polis sendiri mengumumkan selepas solat Jumaat di lima buah masjid dalam kawasan Pasir Salak tentang himpunan ini dan memberi kata putus sekiranya orang ramai datang pihak polis akan membuat tangkapan.
"Kemudian timbalan ketua polis negeri Perak membuat kenyataan yang disiarkan di radio Perak bahawa orang ramai yang datang dalam himpunan akan diambil tindakan, kenyataan yang sama dibuat selepas pengumuman di masjid.
"Ini satu tindakan yang sangat keterlaluan dan bagaimana motto kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang bercakap soal rakyat didahulukan?
Tambahnya, himpunan tersebut diadakan adalah untuk membantu kerajaan mendengar masalah warga Felcra bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan daripada resolusi yang dicapai.
Namun, kerajaan langsung tidak memberi peluang kepada mereka untuk meluahkan masalah sebaliknya menggunakan kekerasan kepada peserta himpunan.
"Sebenarnya kita buat perhimpunan ini kita nak membantu kerajaan dengar suara tidak puas hati daripada rakyat. Bila suara ini sampai kepada kita, kita jadikan suatu resolusi dan kita akan serahkan kepada kerajaan.
“Tapi kalau awal-awal lagi sekatan dibuat untuk menghalang orang ramai terutamanya mereka yang terbabit terdiri daripada peserta Felcra ini suatu yang sangat mendukacitakan dan sangat bertentangan dengan apa yang disebutkan oleh perdana menteri," katanya.
Mazlan turut mempertikai kenyataan Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman bahawa Felcra tidak mempunyai masalah sedangkan berpuluh-puluh aduan rasmi diterimanya daripada peserta Felcra.
"Kalau Datuk Tajuddin kata Felcra tak ada masalah dan Felcra telah menyempurnakan visi dan misi mereka untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat, kenapa kita menerima banyak aduan secara rasmi daripada wakil peserta di seluruh negara sejak setahun kebelakangan ini.
"Mereka mengadu kepada saya dan mendesak langkah diambil kerana sudah bosan dengan pihak pengurusan Felcra dan kita ambil jalan buat himpunan untuk dengar aduan mereka," katanya
.
SUMBER
RAKYAT MARHAEN: Dalang tangkapan ada kepentingan dalam Felcra

SIAPA BINI PENYAMUN UMNO BAWAK LARI RM 10 JUTA DUIT RAKYAT SELANGOR ?


Maafkan aku Dr Khir.

Aku tak suka serang Bini Penyamun UMNO (BPU).

Itu bukan style penulisan aku , tapi sebab pencacai penjilat blogger Penyamun UMNO main kasar aku terpaksa la hebahkan sikap tamak Bini Penyamun UMNO yang menyamun duit rakyat.

AKU ADA BUKTI DAN INFO PASAL KETAMAKAN BPU SELANGOR !!!

JANGAN CABAR AKU WAHAI PENCACAI PENYAMUN UMNO !!!

Ini bukti Bini Penyamun UMNO (BPU) bawak lari RM 10 JUTA :

Datin Seri Zaharah Kechik merupakan isteri kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan NegeriSelangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo.

Kontroversi Balkis

Setelah tiga hari kejatuhan kuasa kerajaan negeri Selangor ke atas Pakatan Rakyat, Zaharah Kechik yang merupakan mantan pengerusi Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) memanggil mesyuarat tergempar Balkis untuk membubarkannya dan menutup akaunnya sehari kemudian. Wang kira-kira RM9.9 juta milik Balkis dilapor dipindahkan ke satu akaun lain, sebelum sampai kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti).
Percubaan membubarkan Balkis melalui
Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 13 Mac bagaimanapun berjaya dihalang Menteri Besar baru Selangor, Tan sri Abdul Khalid Ibrahim. Tindakan Zaharah Kechik itu dikatakan tidak sah di sisi undang-undang karena mengikut perlembagaan Balkis, badan itu dipengerusikan oleh isteri Menteri Besar kerajaan semasa, di mana pada hari mesyuarat tergempar tersebut, beliau bukan lagi isteri Menteri Besar negeri Selangor. Isu itu akan dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri pada mesyuarat yang akan datang.

Pembohongan tentang Konsultansi Juruaudit

Zaharah Kechik pernah berkata bahawa sebelum pemindahan dana RM9.9 juta Balkis juruauditnya pernah dirujuk. Namun, pada 28 April 2008, Juruaudit Balkis, Yee Choon Kong & Co menafikan firma itu pernah dirujuk sebelum pemindahan tersebut. Malah, firma itu beberapa kali menghubungi bendahari Balkis, Suraimi Sapuan, agar beliau menyerahkan rekod-rekod kewangan seperti penyata bank, buku resit rasmi, baucer pembayaran, dokumen sokongan, resit deposit tetap, minit mesyuarat, butiran keahlian dan senarai langganan untuk membolehkannya mengaudit kewangan tahunan Balkis bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007. Walau bagaimanapun, panggilan telefon kepada bendahari Balkis tidak dijawab dan juruaudit turut mengesahkan bahawa penyata kewangan Balkis masih kekal tanpa audit dan ia juga tidak pernah mengeluarkan Laporan Audit yang sah berhubung urusan kewangan Balkis bagi tahun berakhir 31 Disember 2007 kepada anggota-anggotanya.
SUMBER
RAKYAT MARHAEN: SIAPA BINI PENYAMUN UMNO BAWAK LARI RM 10 JUTA DUIT RAKYAT SELANGOR ?

pesanan Sheikh Abdullah fahim

Hulurkan bantuan ringankan beban

Kemoterapi penambah derita 

GELANG PATAH – Perubahan sikap yang kelihatan murung dan lebih suka tidur apabila pulang daripada sekolah menimbulkan tanda tanya oleh seluruh keluarga dan yang paling mengejutkan apabila remaja itu disahkan mengidap kanser buah pinggang tahap empat. 

Keadaan itu ternyata berbeza dengan karakter sebenar Muhammad Fitree Mohd Johari, 14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Jaya, di sini, yang aktif dalam menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum di sekolahnya selain seorang yang periang. 

Menurut ibunya, Hafizah Ariffin, 48, sejak Januari lalu Fitree bukan sahaja banyak mengasingkan diri malah anak keempat daripada lima adik-beradik itu juga tidak selera untuk menjamah makanan. 

“Sehinggalah Februari lalu Fitree terjatuh kerana tersadung selain tidak sedarkan diri menyebabkan kami mengambil keputusan membawanya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru,” katanya. 

Katanya, hasil daripada pemeriksaan doktor ternyata memberi perkhabaran yang mengejutkan buat dirinya apabila Fitree disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap keempat selain dikehendaki membuat rawatan kemoterapi. 

“Kami bersetuju asalkan Fitree dapat sembuh seperti sediakala namun kesan daripada rawatan itu telah menjadi punca kepada kerosakan hati sehingga bahagian tubuhnya membengkak kerana mengandungi air berlebihan,” katanya. 

Katanya, semenjak itu juga bahagian perutnya turut membengkak sehingga timbul urat berwarna hijau dengan jelas menyebabkan Fitree tidak mampu untuk berjalan selain itu dia tiada selera makan sehingga berat badannya turun mendadak. 

“Setiap minggu juga kami perlu membawa Fitree untuk menjalani rawatan di hospital bagi mengeluarkan air di dalam badannya itu kerana jika tidak dikeluarkan ia akan ‘menghimpit’ organ dalaman membuatkan dia tidak dapat bernafas dengan selesa,” katanya. 

Hafizah berkata, beliau sekeluarga tidak berputus asa walaupun doktor menjelaskan anaknya tidak mempunyai harapan untuk sembuh dengan turut mencuba rawatan tradisional termasuk membeli ubat tambahan membabitkan kos mencecah ribuan ringgit sebulan. 

“Rakan suami telah memperkenalkan kami dengan tonik hati selain ubatan herba bagi membantu menyembuhkan kerosakan hati dan membunuh sel kanser yang ada di dalam badan Fitree dan kami bersyukur kesihatannya menunjukkan perkembangan positif,” katanya. 

Katanya, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala dirinya yang tidak bekerja kerana perlu menjaga Fitree sepenuh masa ternyata berhadapan dengan masalah kewangan bagi membayar kos rawatan anaknya. 

“Kami telah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lebih sebulan lalu dan diminta untuk menunggu kerana permohonan yang dikemukakan sedang diproses,” katanya. 

Hafizah sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekolah Fitree dan Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Pandak Ahmad, yang sudi melawat anaknya itu. 

Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Fitree sekeluarga, hubungi 013-7144485 (Hafizah).

Anak luar nikah membimbangkan





KUALA TERENGGANU 1 Ogos - Peningkatan jumlah kelahiran anak luar nikah setiap tahun di negeri ini merupakan gejala yang amat membimbangkan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Yahya Khatib Mohamad menegaskan, ia suatu cabaran kepada semua pihak supaya berusaha menanganinya.
Beliau menarik perhatian, berdasarkan rekod yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara sejak 2005 sehingga kini sejumlah 2,314 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini.
''Ia meningkat setiap tahun, daripada 230 kes pada 2005 kepada 251 kes pada tahun berikutnya manakala 2007 mencatatkan 352 kelahiran dan 549 kes pada 2008.
"Sebanyak 611 kes dicatatkan pada 2009 dan sehingga separuh pertama tahun ini mencatatkan 321 kes dan tidak mustahil mencecah 700 hingga akhir tahun ini, " katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Jendela Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sini petang semalam.
Projek ini dianjurkan bersama oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama dot (.) my Domain Registry iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Beliau berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah sebelum ini termasuk melancarkan program 'Ingat Sebelum Kena' yang disasarkan kepada remaja perempuan.
''Ia melibatkan pelajar di 130 buah sekolah seluruh negeri bagi menyedarkan mereka supaya tidak mudah terjerumus ke dalam gejala yang menyimpang itu," katanya.
Di samping itu, katanya, kerajaan negeri telahmenggerakkan program 'Saya Anak Terengganu' dan 'Permata Kasih'.
"Kerajaan negeri juga akan menggembleng tenaga bersama pihak Jabatan Pelajaran negeri, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah program 'Kecemerlangan Hidup'," katanya.
Beliau berkata, ia bagi mencari jalan penyelesaian lebih berkesan bersama pihak sekolah dan ibu bapa serta masyarakat.
Beliau memberitahu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Masjid seluruh negeri akan dilibatkan dalam program 'Kempen Ke Masjid' sempena Ramadan ini sebagai salah satu usaha untuk menyedarkan masyarakat tentang gejala ini.
Yahya mengingatkan perlunya semua pihak bekerjasama dan melihat masalah ini sebagai masalah bersama dan bukannya sekadar menuding kesalahan antara satu sama lain.

Pelabur asing tidak ada wang untuk melabur - Dr. Mahathir



KUALA LUMPUR 1 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini disebabkan pelabur asing seperti dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak mempunyai wang untuk dilaburkan.
Bekas Perdana Menteri memberitahu, pelabur terbabit juga memerlukan wang yang mereka ada untuk dilaburkan di dalam negara sendiri berikutan keadaan ekonomi yang semakin teruk terutama di Eropah dan AS.
''Keadaan ekonomi Eropah dan AS amat terjejas berikutan krisis kewangan yang melanda negara terbabit sehingga ramai rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan.
''Kebanyakan pelabur terpaksa menumpukan kepada pelaburan di dalam negara masing-masing kerana ia amat diperlukan di sana, ini bermakna mereka tidak akan membuat pelaburan besar di negara lain,'' katanya.
Beliau yang merupakan Pengerusi The Loaf berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan cawangan keempat The Loaf di IOI Boulevard di Puchong dekat sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengarah Urusan The Loaf, Jiro Suzuki.
Dr. Mahathir mengulas mengenai Malaysia mencatat kejatuhan FDI sebanyak 81 peratus tahun lalu kepada AS$1.38 bilion (RM4.22 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.39 bilion) pada 2008 yang merupakan rekod terburuk dialami negara sejak 15 tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengkaji bagi meningkatkan pelaburan dalam negeri seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain.
Sementara itu, mengenai The Loaf, Dr. Mahathir memberitahu, kedai roti premium berasaskan resipi Jepun itu menerima banyak permohonan untuk memfrancais jenama kedai tersebut termasuk dari Singapura dan Indonesia.
''Memang menjadi hasrat The Loaf untuk memfrancais perniagaan tetapi masanya belum tiba, memandangkan pihak pengurusan perlu mendapatkan data yang tertentu bagi memastikan ia akan memberi keuntungan mencukupi.
''The Loaf perlu memastikan bahawa jenama ini mampu menarik pelanggan setiap masa dan dapat mencatatkan keuntungan yang maksimum, bagi memastikan setiap kedai francais yang dibuka akan dapat keuntungan sewajarnya,'' katanya.
Beliau memberitahu, usaha untuk memfrancais The Loaf akan dibuat secepat mungkin selepas semua data dan jenama itu mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada pelanggan.
Dr. Mahathir memberitahu, adalah tidak rasional untuk The Loaf mengendalikan semua cawangannya dan cara terbaik ialah melalui francais yang dilakukan pada masa yang sesuai.
The Loaf juga akan membuka cawangan kelima di Bangsar sebelum akhir tahun ini.

Penduduk tagih janji wakil rakyat siapkan jambatan



Abdul Halim Omar (tengah) bersama sebahagian penduduk menyuarakan bantahan berikutan kegagalan wakil rakyat menunaikan janji di Kampung Pengkalan Cina, Bachok, semalam.


BACHOK 1 Ogos - Janji pemimpin Pas yang dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 untuk menyiapkan jambatan yang lebih selamat di Kampung Pengkalan Cina ke pusat bandar di sini kini dituntut penduduk kampung itu dengan mengadakan perhimpunan secara aman, semalam.
Seramai 300 penduduk berhimpun untuk mengingatkan kembali pemimpin tertentu yang dikhuatiri sudah lupa janji-janji yang mereka buat ketika memancing undi rakyat kira-kira tiga tahun lalu.
Ketiadaan kemudahan itu menyebabkan penduduk di kampung berkenaan sukar untuk berulang-alik ke pusat bandar, kecuali menggunakan jambatan rakit yang dibina sendiri oleh penduduk di kampung berdekatan iaitu Kampung Jelujur.
Kini yang kelihatan adalah papan tanda pembinaan jambatan yang tertulis 'siap pada 2010' tetapi hanya terdapat besi dan kerangka di tebing sungai berkenaan.
Penyelia Pembangunan Mukim (PPM), Abdul Halim Omar berkata, wakil rakyat terbabit sepatutnya melawat ke kawasan berkenaan untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk termasuk mengemukakan semula permohonan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, peruntukan bagi pembinaan jambatan itu adalah RM2.5 juta dan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang waktu itu tetapi projek pembinaannya masih terbengkalai.
"Bagaiamanapun yang peliknya, bekas Ahli Parlimen Bachok ketika itu, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin telah meluluskan pembinaan jambatan yang sama bernilai RM250,000 tetapi disekat pula oleh kerajaan negeri," katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, tindakan penduduk mengadakan perhimpunan adalah untuk menagih simpati dan merayu kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan supaya membina semula jambatan itu.
Seorang penduduk, Ali Mahmood, 53, berkata, jambatan itu adalah keperluan utama penduduk termasuk pelajar yang berulang-alik ke sekolah dan ia adalah satu-satunya projek pembangunan bagi masyarakat kampung berkenaan.
"Kalau berjanji biarlah tunai janji itu dan bukannya bertujuan memancing undi ketika pilihan raya. Rakyat ingat setiap janji yang dilafazkan. Papan tanda pembinaan tercacak di situ tetapi projeknya tidak dilaksanakan," katanya kesal.
Azizah Abdul Kadir, 49, pula berkata, ketiadaan jambatan itu menyebabkan ibu bapa terpaksa menggunakan jalan alternatif dalam jarak yang jauh untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
"Ada juga beberapa kemalangan yang berlaku termasuk pengguna jambatan rakit yang terjatuh ke dalam sungai tetapi berjaya diselamatkan. Bagaimana kalau pengguna itu mati lemas dalam kemalangan yang tidak dapat diduga, siapa yang patut dipersalahkan?" soalnya.
Azizah berkata, adalah lebih baik Kerajaan Persekutuan mengambil-alih projek berkenaan demi keselesaan rakyat dan penduduk tidak perlu lagi menunggu dan berharap pada janji manis yang ditaburkan pada waktu tertentu sahaja.
Katanya, sekiranya kerajaan negeri tidak berkemampuan untuk membina jambatan itu, ia perlu diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan memandangkan tempoh siap pembinaannya sudah melebihi tarikh sebenar.
"Hakikatnya, projek pembinaan jambatan itu hanya mampu dilihat dengan mata sahaja tetapi sampai bila ia boleh digunakan. Mungkinkah projek ini akan disambung semula menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya.

Penduduk Taman Melati hairan bukit ditarah





KUALA LUMPUR 1 Ogos - Satu demi satu hutan di negara ini terutama di ibu kota dikorbankan atas nama pembangunan. Tidak terlepas, kawasan bukit dan hutan berhadapan Balai Bomba Taman Melati di sini.
Tinjauan Utusan Malaysiamendapati, kawasan yang dulunya menjanjikan pemandangan 'menghijau' buat para pengguna Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2), kini telah bertukar menjadi kemerahan akibat kerja penebangan pokok dan tarahan bukit yang rancak dijalankan.
Tiada sebarang papan tanda mengenai perjalanan projek didirikan, namun terdapat papan tanda merah dengan tulisan putih menyatakan kawasan itu adalah milik Sime Darby Property Berhad.
Masyarakat setempat dan orang ramai yang sering mengunjungi deretan restoran yang bertentangan dengan bukit itu menyifatkan, pemandangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak menyenangkan.
Bagi peniaga makanan, Mohd. Firdaus Shahid, 28, kesan kerja-kerja tarahan bukit itu mula dirasai apabila kawasan berdekatan didapati semakin berbahang.
"Tidak dinafikan sejak projek ini bermula, bahang panas terutama pada waktu tengah hari kian terasa. Sebelum ini, pokok di kawasan tersebut mungkin sedikit-sebanyak membantu mengurangkan kepanasan.
"Secara peribadi, saya membantah penghapusan hutan seperti ini. Selain mencacatkan pemandangan, saya bimbang jika ia menghasilkan debu yang mencemar kawasan jika cuaca panas berpanjangan," katanya.
Pegawai kerajaan, Wan Mahtar Wan Salleh, 55, meragui tahap keselamatan kerja-kerja yang dijalankan itu kerana tiada penghadang dibina di kawasan terlibat.
"Bukit ini berada betul-betul di tepi jalan. Saya lihat, seakan-akan tiada apa yang menghalang aliran air mengalir laju dari atas bukit sekiranya berlaku hujan lebat," ujarnya.
Operator gudang, Sharifudin Ramuni, 22, yang tinggal di Shah Alam nyata terkejut dengan kerja-kerja penebangan pokok dan tarahan bukit yang disifatkannya berlaku dengan pantas.
"Saya ke sini seminggu sekali untuk menziarahi abang yang tinggal berdekatan. Tidak sangka pula kawasan ini boleh kelihatan 'gondol' seperti ini dalam masa sebulan.
"Cepat benar mereka melakukan kerja menerangkan hutan. Ia benar-benar mencacatkan pemandangan," katanya.
Sementara itu, seorang buruh Indonesia yang terlibat dalam penggondolan bukit terbabit menjelaskan, kerja-kerja tersebut bermula sejak sebulan yang lalu.
"Saya tidak pasti apa yang mahu dibina di sini. Tetapi kalau tidak silap, di sini mahu dibina perumahan dan kedai," katanya.

Boon Hock pertikai pemecatan



SHAH ALAM 1 Ogos - Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Boon Hock mempertikaikan tindakan jawatankuasa disiplin DAP memecat beliau daripada parti itu semalam yang dianggapnya dibuat terlalu awal.
Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk menghukumnya pada peringkat ini memandangkan kerajaan Selangor masih menyiasat tuduhan terhadapnya berhubung dakwaan penyalahgunaan kepala surat seorang anggota Exco kerajaan negeri untuk mendapatkan kontrak bagi keluarga dan kroninya.
"Jawatankuasa disiplin DAP telah bertindak tergesa-gesa dalam membuat keputusan itu yang dibuat terlalu awal. Parti sepatutnya menunggu keputusan siasatan kerajaan negeri berhubung dakwaan itu.
"Masyarakat perlu memahami bahawa dakwaan itu membabitkan majlis tempatan dan siasatan adalah di bawah bidang kuasa jabatan audit negeri. Ia merupakan urusan pentadbiran negeri dan bukan di bawah DAP," katanya.
Dalam surat pemecatan yang dialamatkan kepada Boon Hock, jawatankuasa itu berkata ia telah meneliti dokumen yang diterimanya dan mengesahkan bahawa terdapat asas bagi dakwaan itu.
Selasa lepas, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bahawa seorang ahli majlis perbandaran didakwa menggunakan kepala surat dan cap rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor, Ronnie Liu untuk mengeluarkan surat sokongan kepada kroni dan anggota keluarganya untuk mendapatkan kontrak MPK.
Sungguhpun akhbar itu tidak menyatakan identiti ahli majlis berkenaan, laporan itu menggambarkan ahli majlis itu sebagai veteran DAP berusia lingkungan 50-an, bertanding dua kali bagi kerusi negeri dalam pilihan raya umum lepas dan seorang anggota lembaga tender MPK.
Boon Hock menafikan beliau adalah orang yang dipersoalkan itu tetapi kemudian diarah bercuti oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sementara menunggu siasatan kes berkenaan.
Boon Hock berpendapat ada 'tangan ghaib' di sebalik keputusan untuk memecat beliau.
"Saya percaya ada tangan ghaib dalam pemecatan ini, lebih-lebih lagi menjelang pemilihan parti akan datang. Ia berkemungkinan orang tertentu yang mahukan saya keluar daripada laluan mereka," katanya, sambil menambah beliau masih belum membuat keputusan sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya.
Sementara itu, sekumpulan penyokong yang mendakwa setia kepada Boon Hock, mengadakan demonstrasi 30 minit di luar pejabat DAP Pandamaran di Klang untuk membantah pemecatan beliau daripada parti.
Mereka turut membawa sepanduk yang menyatakan pemecatan itu sebagai tidak adil. - BERNAMA

Perkasa bukan rasis - Ibrahim





Khairy Jamaluddin menunjukkan isyarat bagus kepada Ibrahim Ali semasa sesi perdebatan Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Ogos - Presiden Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali hari ini menyangkal tuduhan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa beliau seorang yang rasis.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, tindakannya mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan Islam hanya semata-mata memastikan ia tidak diganggu-gugat pihak lain.
Katanya, beliau dan Perkasa terpaksa berbuat demikian kerana telah wujud beberapa golongan yang secara terbuka 'berani' membuat permintaan bertentangan dengan semangat serta prinsip Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
"Adakah saya bertindak mempertahankan hak ini saya digelar rasis. Saya bukan rasis. Selama ini pun saya tidak pernah mempersoalkan hak kaum lain seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan malah jika terdapat dasar untuk membantu orang bukan bumiputera saya akan sokong.
"Sebagai contoh, pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar cemerlang untuk semua kaum. Dasar ini saya sokong cuma saya tidak senang jika ada pihak mempersoalkan biasiswa Mara kepada pelajar Melayu. Mara adalah institusi orang Melayu yang wajib dipertahankan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi dialog politik pada Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia 2010 di sini, hari ini.
Selain Ibrahim dan Khairy, sesi dialog tersebut turut disertai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Sesi dialog selama lebih sejam itu panas dengan hujah-hujah daripada ketiga-tiga ahli panel selain soalan daripada para peserta.
Ibrahim berkata, JPA dan Mara adalah dua isu yang berbeza dan seharusnya pihak yang mempertahankan Mara tidak sewenang-wenangnya digelar perkauman.
"1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan seperti Malaysian Malaysia tetapi ia tertakluk kepada semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, sekiranya beliau seorang rasis sudah tentu ada pihak akan membuat laporan polis terhadapnya kerana sengaja membangkitkan isu-isu perkauman.
"Hakikatnya sejak dahulu lagi tiada pihak yang membuat laporan polis terhadap saya. Ini satu fakta dan sekiranya ada pihak kurang percaya mereka boleh periksa di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman," ujarnya.
Ibrahim berkata, sehingga kini beliau masih mempunyai ramai rakan yang terdiri daripada kaum India dan Cina.
Dalam pada itu, beliau mendakwa Pemuda UMNO di bawah kepimpinan Khairy lemah kerana gagal menangani isu-isu besar yang berbangkit secara berkesan.
"Sebagai contoh kes skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) serta beberapa isu berkaitan dengan kepentingan umum. Di mana suara Pemuda?" soalnya.
Sementara itu, Khairy dalam sesi selepas itu berkata, tiada laporan polis tidak semestinya Ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak boleh dilabel sebagai rasis.
"Bukan bermakna tiada laporan polis Ahli Parlimen Pasir Mas tidak boleh dikatakan rasis," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, keistimewaan Melayu bukan disebabkan hak-hak istimewa yang dinikmati seperti mana peruntukan Perlembagaan.
Sebaliknya, beliau berkata, kehebatan Melayu adalah bergantung kepada kemampuan mereka bersaing dalam semua bidang.
"Inilah keistimewaan Melayu pada kaca mata saya. Keistimewaan Melayu terletak kepada kemampuan untuk bersaing dan mencapai kejayaan dan bukannya disebabkan hak-hak istimewa yang dinikmati," katanya.