Wednesday, August 24, 2011

Kerajaan Julia Gillard tergugat



CANBERRA 23 Ogos – Polis Australia hari ini melancarkan siasatan ke atas seorang anggota Parlimen kerajaan berhubung dakwaan beliau menggunakan kad kredit kesatuan untuk membayar khidmat pelacur, kes yang boleh meruntuhkan kerajaan Perdana Menteri Julia Gillard, jika wakil rakyat itu didapati bersalah.
Mengikut tinjauan, Gillard daripada Parti Buruh menjadi Perdana Menteri dengan kelebihan satu kerusi dan atas sokongan seorang anggota Parlimen Parti Hijau serta tiga ahli Parlimen bebas, dijangka tewas jika pilihan raya diadakan sekarang.
Ahli Parlimen Craig Thomson daripada Parti Buruh yang juga merupakan bekas ketua kesatuan kesihatan menafi sekeras-kerasnya menggunakan kad kredit kesatuan untuk membayar khidmat pelacur sebelum beliau dipilih menjadi wakil rakyat.
Menurut beliau, tandatangannya telah dipalsukan oleh seorang teman.
Media tempatan diketuai Sydney Morning Herald melaporkan keterangan penggunaan kad kredit itu untuk mendapatkan perkhidmatan teman sosial tetapi tidak secara langsung mengaitkannya dengan Thomson.
Gillard dalam pada itu memberi sokongan kuat kepada Thomson yang mungkin dikenakan hukuman minimum penjara setahun jika didapati bersalah, sekali gus akan menyebabkan beliau kehilangan kerusi di Parlimen.
Ia juga akan memaksa pilihan raya kecil diadakan dengan Parti Buruh yang tidak popular terpaksa bergelut untuk menang ekoran kecaman terhadap dasar cukai karbon dan lombong.
Menurut polis, mereka kini menyiasat kes itu selepas seorang ahli politik pembangkang memberi maklumat mengenai Thomson.
“Siasatan kini merujuk kepada penilaian dalaman untuk menentukan sama ada berlaku kesalahan jenayah,” kata polis negeri New South Wales dalam satu kenyataan. – REUTERS, utusan

Keputusan anggota polis tembak Aminulrasyid 15 Sept.

SHAH ALAM 23 Ogos - Nasib Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah pada April tahun lalu akan ditentukan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 15 September ini.
Hakim Latifah Mohd. Tahar menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pembelaan dan pihak pendakwaan masing-masing selesai berhujah di akhir kes pembelaan hari ini.
Jenain, 49, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April tahun lalu.
Bapa kepada empat anak itu dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Sepanjang perbicaraan bermula pada 12 Oktober tahun lalu, pihak pendakwaan memanggil 39 saksi untuk memberi keterangan manakala pihak pembelaan menampilkan tiga saksi termasuk tertuduh.
Terdahulu, peguam Salim Basir berhujah bahawa anggapan Jenain adalah orang yang melepaskan tembakan dan menyebabkan kematian Aminulrasyid adalah tidak berasas kerana penembak sebenar tidak pernah dikenal pasti.
Menurut beliau, anak peluru yang dikeluarkan daripada kepala mangsa tidak pernah dikenal pasti ditembak dari senjata api yang mana satu kerana terdapat dua penembak dan dua senjata api digunakan pada malam kejadian.
''Identiti penembak yang sebenar diragui disebabkan siasatan di tempat kejadian yang longgar. Di sini timbulnya keraguan sama ada wujud keterangan yang mencukupi untuk mensabitkan tertuduh dan menjatuhkan hukuman penjara yang agak tinggi,'' hujahnya.
Salim turut mempersoalkan sekiranya kereta yang dipandu Aminulrasyid cuma melakukan kesalahan trafik, mengapa seorang lagi anggota peronda, Konstabel Tambahan Mohd. Izham Mahayadin melepaskan sehingga 10 das tembakan selain lebih daripada satu kereta peronda mengejar mangsa.
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa tembakan itu sengaja dilepaskan untuk membunuh Aminulrasyid kerana semua tembakan dituju pada bahagian bawah kereta kecuali satu pada cermin belakang sedangkan tertuduh boleh menembak ke badan atau cermin kereta.
''Tertuduh hanya menjalankan tugas sebagai anggota peronda untuk menghentikan kereta serta menjaga amanah beliau sebagai anggota polis. Dia bukan orang awam tetapi anggota polis yang sedang menjalankan tugas. Bukan untuk mematikan orang tetapi hanya untuk mengawal keadaan pada masa itu.
''Polis mesti diberi ruang untuk menjalankan tugas lebih-lebih lagi kejadian berlaku pada awal pagi, ketika semua orang sedang tidur. Kalau berlaku pada siang hari mungkin ada asas,'' katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar pula berhujah, keterangan Jenain bahawa dia tidak melepaskan tembakan secara bertubi-tubi ke arah kereta yang dinaiki Aminulrasyid serta tidak berniat menyebabkan kematian mangsa adalah penafian semata-mata.
Katanya, kedua-dua saksi yang dipanggil oleh pihak pembelaan iaitu bekas Ketua Bahagian Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan, Bukit Aman, Datuk Razali Basri juga gagal menyokong pembelaan tertuduh.
Sebaliknya hujah beliau, pendakwaan berjaya membuktikan kesemua intipati dalam pertuduhan termasuk perbuatan tertuduh yang telah menyebabkan kematian mangsa selain ia dilakukan dengan niat.
''Tembakan dengan tujuan untuk memberhentikan dengan cepat dan melakukan pemeriksaan dan menahan pemandu atau perompak dalam kereta itu adalah tidak mempunyai justifikasi dan bertujuan menyebabkan kematian mangsa yang memandu kereta BET 5023,'' hujahnya.
Pendakwaan turut diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Ahmad, manakala Jenain turut diwakili peguam-peguam M. Athimulan dan Halim Asghar Mohd. Helmi.-utusan

Pengakuan bekas doktor Hospital Pusrawi

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Seorang bekas doktor Hospital Pusrawi memberitahu Mahkamah Tinggi yang beliau ada menyediakan satu laporan perubatan selepas membuat pemeriksaan terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan sebelum menyerahkannya kepada seorang pegawai hospital tersebut.
Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid, 60, yang berasal dari Myanmar berkata, laporan tersebut yang disediakan dua hari selepas Mohd. Saiful Bukhari datang menemuinya pada 28 Jun 2008, diserahkan kepada pegawai bernama Azlan walaupun pegawai berkenaan bukan penyelianya.
Beliau yang merupakan doktor perubatan pertama ditemui oleh pengadu dalam kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengaku ada membuat satu akuan bersumpah selepas seorang peguam yang hanya dikenali sebagai Yusri datang menemuinya bersama seorang pesuruhjaya sumpah bernama Anuar.
Menjawab soalan semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, saksi pembelaan kedua itu berkata, akuan bersumpah itu dibuat selepas laporan perubatan Mohd. Saiful Bukhari 'bocor' dan beliau kembali ke Myanmar ekoran sangat takut dengan insiden tersebut.
Mohamad Osman juga menjelaskan, beliau menyediakan akuan bersumpah itu setelah menyangka peguam berkenaan mewakili pihak Hospital Pusrawi dan meyakinkan beliau untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah untuk simpanan fail sulit.
Walaupun bersetuju menyediakan laporan perubatan tersebut sekalipun ia bukan prosedur biasa, beliau menafikan sanggup melakukan apa sahaja meskipun tidak mengetahui siapa yang menyuruhnya berbuat demikian.
Beliau juga berulang kali menyatakan bahawa pihak polis tidak pernah menyuruhnya membuat sebarang akuan bersumpah.
Mohamad Osman yang kini bertugas di Institut Jantung Negara (IJN) dalam keterangannya memberitahu, kemasukan objek plastik ke dalam dubur Mohd. Saiful Bukhari seperti yang dicatatkan dalam laporan perubatannya, dimaklumkan sendiri oleh pemuda tersebut.
Beliau bagaimanapun bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa catatan mengenai 'kemasukan objek plastik' itu ditambah kemudian iaitu hanya selepas pemeriksaan dibuat dan bukannya pada peringkat awal.
''Sekiranya awak bertanyakan mengenai punca kesakitan Mohd. Saiful lebih awal, awak tidak perlu menambah catatan ini? Awak juga tidak pernah bertanya siapa yang memasukkan objek plastik itu?'' tanya Mohd. Yusof yang dijawab 'ya' oleh saksi itu.
Saksi tersebut turut bersetuju bahawa kemasukan objek plastik ke dalam dubur tidak boleh dianggap sebagai liwat seperti ditulis dalam laporan perubatannya.
Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, saksi tersebut berkata, Mohd. Saiful Bukhari datang menemuinya pada 28 Jun 2008 dan mengadu tidak membuang air besar sejak seminggu dan sakit di bahagian dubur.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan dengan menggunakan proktoskop mendapati dubur pengadu dalam keadaan normal dan tiada kesan kecederaan.
''Selepas pemeriksaan tersebut, Mohd. Saiful memberitahu saya bahawa dia telah diliwat oleh seorang VIP (orang kenamaan). Saya sungguh terkejut lalu menasihatinya untuk membuat laporan polis dan mendapatkan pemeriksaan perubatan di hospital kerajaan,'' katanya.
Sementara itu, saksi pembelaan ketiga, pakar forensik, Dr. David Lawrence Wells memberitahu, beliau akan menggunakan alat-alat yang sama digunakan oleh doktor-doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam mengumpulkan sampel-sampel daripada mangsa malah turut menyifatkan alat-alat tersebut memuaskan.
Antara yang ditunjukkan kepadanya contoh putik kapas yang sering digunakan, salah satu bekas plastik yang digunakan untuk menyimpan sampel dan beg plastik yang digunakan untuk menyimpan semua bekas berisi sampel.
Pada 28 Jun 2008, dua orang doktor HKL; pakar bedah am, Dr. Mohd. Razali Ibrahim dan pakar perubatan, Dr. Khairul Nizam Hassan, ditugaskan untuk mengambil sampel daripada tubuh Mohd. Saiful Bukhari manakala pakar patologi forensik HKL, Dr. Siew Sheue Feng bertanggungjawab mengisi borang protokol perubatan (pro-forma).
Menjawab pertanyaan sama ada sesuatu sampel itu boleh disimpan di dalam laci, beliau menyatakan, sampel tersebut boleh dikira 'selamat' selagi ia disimpan secara kedap udara (air dry) atau dibekukan terlebih dahulu.
Wells yang pernah menetap di negara ini sewaktu kanak-kanak kerana bapanya bekerja dengan bekas Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra menyatakan, walaupun 'terkilan' dengan beberapa aspek dalam laporan perubatan HKL dan borang pro-forma, beliau tidak boleh menyatakan individu-individu yang menyediakan dokumen terbabit sebagai tidak cekap.
Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.-utusan

Gadis buntu mungkin diusir




Md. Jais Sarday (dua dari kiri) dan Nahid Sultana (dua dari kanan) bersama Shahabuddin Abdul Quddus dan Suraiya Khatoon pada majlis prapelancaran Larian Antarabangsa Kluang, Johor, semalam.



KLUANG 23 Ogos – Seorang gadis yang menetap di negara ini hampir sepanjang hayatnya berdepan risiko diusir dari Malaysia atas arahan Jabatan Imigresen selepas usahanya mendapatkan kewarganegaraan sejak 10 tahun lalu menemui jalan buntu.
Kini tinggal tiga hari sebelum Nahid Sultana Shahabuddin, 29, diarahkan keluar setelah hampir tiga dekad dibawa masuk oleh ibu bapanya, Shahabuddin Abdul Quddus dan Suraiya Khatoon dari Bakhra, India, sejak berusia tiga bulan.
Apa yang menyedihkan, sambutan Hari Raya Aidilfitri kini tidak sampai seminggu dan dia tidak mahu terpisah daripada ibu bapa dan adik-beradik lain yang telah mendapat taraf kewarganegaraan.
“Saya telah mengikuti persekolahan di Malaysia dengan hanya menggunakan pas pelajar dan menduduki semua peperiksaan penting daripada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehinggalah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Saya sedih kerana Aidilfitri semakin dekat dan harap permohonan warganegara dapat diluluskan sebelum Syawal menjelma,” kata Nahid Sultana ketika ditemui pada majlis prapelancaran Larian Antarabangsa Kluang anjuran Majlis Perbandaran Kluang di sini, hari ini.
Katanya, sebelum ini dia terpaksa memperbaharui visa setiap tiga hingga enam bulan dan yang terbaru satu hingga dua minggu.
Masalah yang dihadapi Nahid mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Md. Jais Sarday yang bertindak mengutarakannya kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim melalui sepucuk surat bertarikh semalam.
Md. Jais yang ditemui pada majlis sama berkata, permohonan Nahid Sultana telah dibuat di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
“Saya memohon agar arahan yang dikeluarkan supaya dia meninggalkan negara ini dibatalkan kerana Nahid Sultana hanya tahu berbahasa Melayu dan menetap di negara ini sejak 29 tahun lalu.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga perlu menyemak semula permohonannya dan memberi taraf kewarganegaraan seperti yang telah diberikan kepada ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain,” katanya.-utusan

Hasrat ibu tunggal tidak kesampaian



Oleh Arifin Salleh

2011/08/24

ALOR GAJAH: Hasrat seorang ibu tunggal untuk menggayakan sepasang baju kurung baru bersama tiga anaknya di pagi raya minggu depan, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, dekat sini, pagi semalam. 

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa, Norlela Noran Kusyairi, 29, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tengah apabila motosikal ditunggangnya dirempuh Perodua Kancil dipandu seorang pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Mohd Helmi Firdaus Hamdan, 20.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Saharuddin, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa menunggang bersendirian motosikal Honda EX5 itu, dipercayai datang dari arah Kuala Sungai Baru.
“Siasatan awal mendapati, ketika mangsa tiba di satu selekoh di Kampung Permatang, kereta Kancil dipandu Mohd Helmi Firdaus yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh motosikal mangsa. 

“Kenderaan dipandu pelajar berkenaan dipercayai hilang kawalan akibat hujan lebat ketika melalui selekoh terbabit. Akibat rempuhan itu, mangsa terhumban ke kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, badan dan paha. 

“Mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah selepas solat Zohor hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Umar Ali berkata, pelajar terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Trafik Alor Gajah. 
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu hingga menyebabkan kematian. bharian

4 beradik bakal peroleh sijil lahir



Oleh Faizul Azlan Razak

2011/08/24

KUALA TERENGGANU: Kegembiraan jelas terpancar di wajah empat daripada lima beradik di Kampung Nibong Atas, Panji Alam di sini, apabila bakal memperoleh sijil kelahiran dan dapat mengikuti persekolahan seperti kanak-kanak seusia mereka.

Empat beradik itu, Norhidayah, 9; Nordiana, 8, Mohd Alif, 7, dan Mohd Syawal Mohammad Zaki, 5, selama ini hidup tanpa mempunyai surat kelahiran selepas kedua ibu bapa mereka dikatakan tidak mempunyai sijil perkahwinan yang sah.
Ibu kanak-kanak malang itu, Rohani Ngah, 33, berkata dia mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Zaki Othman, 38, di Kuala Lumpur pada 2000 walaupun mendapat tentangan keluarga dan tidak mempunyai sijil nikah.
Katanya, selepas mendirikan rumah tangga dan melahirkan empat cahaya mata, baru dia menyedari kesulitan timbul apabila keempat-empat anaknya tidak dapat didaftarkan untuk mendapat sijil kelahiran.

Bagaimanapun, memandangkan permasalahan ini semakin kusut, dia kemudian bernikah semula pada 2005, bersama suaminya, Mohammad Zaki dan dapat mendaftar kelahiran anak bongsunya Nur Fatihah yang kini berusia tiga tahun untuk mendapatkan sijil kelahiran.

Rohani berkata, lebih malang anak ketiganya yang berusia tujuh tahun tidak mempunyai surat perubatan bagi memudahkannya untuk memohon sijil kelahiran.

Beliau berterima kasih kepada Biro Aduan UMNO Kuala Terengganu, yang sudi datang membantu keluarganya selepas mendapat maklumat daripada penduduk kampung mengenai pemasalahan yang dialaminya. 
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki berkata, selepas menerima aduan berhubung perkara berkenaan, pihaknya dengan bantuan Biro Aduan Kuala Terengganu bertindak menjalankan siasatan perkara sebenar.

Katanya, pihaknya segera mengunjungi keluarga terbabit dan meminta dokumen perubatan kanak-kanak berkenaan untuk proses pendaftaran, namun sedikit kesukaran berlaku apabila anak ketiga, Mohd Syawal tidak mempunyai sebarang surat sokongan perubatan.

"Jika nak diikutkan, saya mahu menyelesaikan perkara ini sebelum Aidilfitri, tetapi masa tidak mengizinkan kerana perlu menyelesaikan urusan mendapatkan bukti surat sokongan perubatan Mohd Syawal terlebih dulu.

"Saya berjanji akan menyelesaikan masalah empat beradik ini selewat-lewatnya selepas Aidilfitri bagi urusan pendaftaran dan pihak kami juga melakukan perbincangan dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi menyekolahkan kanak-kanak malang ini," katanya ketika mengunjungi keluarga terbabit dan menghulurkan sumbangan di rumahnya semalam. -kosmo

PM Thai dedah dasar



YINGLUCK SHINAWATRA bercakap kepada Timbalan Perdana Menteri, Kittirat Na-Ranong di Parlimen di Bangkok semalam.


BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menggariskan dasar-dasar kerajaan baharunya semalam.
Beliau yang merupakan adik bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra membuat pendedahan itu dalam satu ucapan di Parlimen.
Yingluck berjanji akan meningkatkan ekonomi dan berusaha untuk melakukan perdamaian selepas Thailand dilanda kemelut politik sejak beberapa tahun.
Pergolakan di Thailand bermula selepas Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006.
Thaksin digulingkan selepas terdapat dakwaan bahawa beliau melakukan salah guna kuasa dan rasuah.
Yingluck yang menceburi bidang politik selama empat tahun berikrar akan menangani masalah dadah dan penyeludupan manusia.
Thaksin kini tinggal dalam buangan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu bagi mengelak hukuman penjara selama dua tahun di Bangkok atas kesalahan rasuah.
Beliau yang turut berdepan dengan dakwaan keganasan di Thailand telah melawat Jepun dalam minggu ini.
Thaksin memberi ucapan kepada media antarabangsa di Jepun semalam selain melawat kawasan dilanda gempa bumi pada 11 Mac lalu. - Agensi, kosmo