KOTA BARU, 22 Jun — Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini dimaklumkan wujudnya satu skuad cegah maksiat swasta yang mengintip dan merakam perlakuan maksiat pasangan bukan muhrim sebelum mengugut pasangan untuk menyiarkan gambar mereka.
Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan) berkata skuad berkenaan dilihat cuba membayangi tugas dan tanggungjawab skuad Amru yang dilantik kerajaan negeri dengan menahan pasangan pelaku maksiat itu tetapi dengan cara melakukan ugutan untuk kepentingan dan tujuan tidak diketahui.
“Apakah kerajaan negeri sedar akhir-akhir ini wujud satu skuad swasta yang pergi tangkap pelaku maksiat, membuat rakaman dan mengugut pasangan itu?” soalnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Menjawab soalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata tiada sebarang laporan rasmi diterima mengenai kewujudan skuad swasta berkenaan.
Beliau berkata pihak berkuasa sentiasa melakukan rondaan di tempat awam yang dikunjungi ramai dan lokasi dikenal pasti sering berlaku maksiat seperti kawasan berkelah, tempat peranginan dan kawasan membeli belah dan pemeriksaan berkala di di rumah-rumah tumpangan bagi mencegah perlakuan mungkar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kerajaan Kelantan menerima baik cadangan supaya diwujudkan kempen “makanlah di kedai-kedai yang pelayannya menutup aurat” tetapi perlu mencari kaedah terbaik jika berhasrat melaksanakannya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS-Kemuning) mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi menangani pelanggaran syarat-syarat menutup aurat oleh penjual makanan dan minuman di premis yang begitu ketara sekarang ini.
Wan Ahmad Lutfi turut mencadangkan supaya satu kempen “makan di kedai-kedai yang pelayannya menutup aurat bagi menyelamatkan rakyat Kelantan daripada dosa kerana melihat pelayan yang tidak menutup aurat”. — Bernama