Wednesday, May 12, 2010

Mohd. Saiful jumpa Ezam sebelum buat laporan polis



12/05/2010 3:19pm

KUALA LUMPUR 12 Mei — Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau ada berjumpa dengan bekas Setiausaha Politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd Noor pada 27 Jun 2008 untuk mengadu tentang penganiayaan yang berlaku kepadanya.
Mohd Saiful, 25, saksi utama pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu berkata beliau dibawa oleh rakannya bernama Rahimi dan juga pakciknya bernama Tuah Mohamad untuk berjumpa Mohamad Ezam di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, sama ada beliau mengenali Mohamad Ezam sebelum itu, Mohd Saiful berkata beliau hanya kenal Mohamad Ezam begitu sahaja sebagai kawan.
Bekas pembantu kepada Anwar itu berkata pertemuan dengan Mohamad Ezam pada lewat malam 27 Jun itu hanya berakhir keesokan paginya. - Bernama

Tokoh Temberang


Zainuddin Maidin Terima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang menerima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang sempena ulang tahun ke-64 Umno, menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau selama 40 tahun dalam dunia kewartawanan dan dunia politik yang singkat.

Beliau berkata kepimpinan Umno telah menjadikan hidupnya lebih berharga kerana memberi sesuatu yang tidak pernah dicita-citakan sebelum ini.

Zainuddin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu daripada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis sambutan ulang tahun ke-64 Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam Selasa.

"Saya sekali lagi dilimpahi rahmat Allah untuk mendapat apa yang tidak merupakan cita-cita saya dalam hidup saya daripada awal saya jadi wartawan. Kemudian saya tidak ingat nak menjadi ketua pengarang... saya menjadi ketua pengarang.

"Kemudian jadi senator. Setakat itulah saya ingat. Kemudian Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) melantik saya menjadi Setiausaha Parlimen. Setiap tahun saya naik pangkat. Kemudian jadi timbalan menteri dan seterusnya Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) melantik saya menjadi menteri penuh. Semua ini adalah di luar buku kehidupan saya," katanya penuh kesyukuran.

Zainuddin, 71, berkata anugerah itu juga adalah pengiktirafan kepada Utusan Melayu yang dianggap sebagai universiti beliau.

Ditanya tentang perancangannya selepas ini, Zainuddin berkata beliau tidak mempunyai sebarang perancangan.

"Bagaimanapun saya sedang ditugaskan oleh Utusan Melayu untuk menulis sejarah Utusan Melayu yang perlu disiapkan dalam masa 18 bulan. Saya juga kini menjadi Karyawan Tamu di Institut Tun Dr Mahathir di Universiti Utara Malaysia," katanya.

Zainuddin yang dilahirkan di Kota Kuala Muda Kedah pada tahun 1939, memperoleh Diploma Kewartawanan dari Institute Journalism, Jerman pada tahun 1969 dan Fellowship Kewartawanan Profesional dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat pada tahun 1981.

Beliau juga pernah menjadi ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu sebelum dilantik sebagai senator, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan Menteri Penerangan.

Zainuddin terkenal secara provokatif menerusi ruangan pojok "Awang Selamat" dalam Mingguan Malaysia selain turut menentang puak pelampau Melayu dan bukan Melayu.

Beliau turut menulis beberapa buah buku termasuk "Yang Pertama dan Terakhir", "Mahathir Di Sebalik Tabir", "Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot" dan "Wira Tidak Didendang."

Nur Amnie perlu bantuan segera





NUR Amnie menderita jantung berlubang bersama ibu bapanya, Bakar Kuinin dan Norali Basri di Kuching, Sarawak, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD ZAID ADNAN


KUCHING 11 Mei - Pertama kali bertemu dengan Nur Amnie Bakar dari Kampung Malaysia Jaya di sini, dia kelihatan seperti kanak-kanak normal lain yang ceria dan mudah didekati.
Namun di sebalik riak ceria kanak- kanak berusia empat tahun itu, dia sebenarnya menanggung penderitaan akibat penyakit jantung berlubang dan saluran darah sempit sejak dilahirkan.
Akibat penyakitnya itu, badan Amnie selalu kebiru-biruan dan pergerakan anak bongsu daripada empat beradik berkenaan terbatas bagi mengelak dia mudah diserang lelah sekiranya terlalu aktif bergerak.
Selain itu, anak kepada pasangan Bakar Kuinin, 50, dan Norali Basri, 38, itu juga mudah diserang demam selesema yang berlarutan jika terdedah pada keadaan cuaca melampau yang mengambil masa selama dua minggu untuk pulih.
Bagaimana setelah empat tahun menanggung derita, tibalah masa bagi Amnie menjalani pembedahan kerana doktor pakar yang merawatnya selama ini memberitahu lubang jantungnya semakin membesar dan saluran darahnya semakin mengecil.
Justeru, Amnie dijadualkan mengalami pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada penghujung bulan ini bagi menutup lubang jantung itu dan membesarkan saluran darahnya.
Namun bagi ibu bapa Amnie, kos pembedahan yang dianggarkan melebihi RM30,000 itu ibarat tembok penghalang bagi mereka untuk melihat anaknya kembali sihat seperti kanak-kanak lain
Menurut Norali, dia dan suaminya hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM700 sebulan sedangkan pada masa yang sama mereka juga perlu menyara tiga lagi anak yang masih bersekolah.
Katanya, suaminya terpaksa berhenti kerja sejak tiga bulan lalu bagi menjaga anaknya itu yang masih bergantung pada ubat 'propranolol' yang perlu dimakan tiga kali setiap hari bagi mengelak warna badannya bertukar menjadi kebiru-biruan.
''Justeru saya amat berharap keprihatinan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan anak dan kos penginapan serta makan minum kami berdua sepanjang berada di Kuala Lumpur.
''Saya tidak mempunyai saudara di Kuala Lumpur untuk menumpang walaupun pihak kebajikan sosial Hospital Umum Sarawak (HUS) sedia membantu kami dua beranak terbang ke Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Norali memberitahu, setakat ini dia hanya menerima bantuan RM624 daripada Tabung Baitulmal Sarawak namun jumlah itu tidak mencukupi.
Katanya, pendapatannya sebagai pembantu restoran yang bekerja dari pukul 7 pagi hingga 3 petang juga tidak mencukupi bagi membiayai kos pembedahan Amnie.
''Saya harap dengan sumbangan itu akan membantu menyelesaikan masalah Amnie kerana apa yang saya dan suami mahu hanyalah untuk melihat dia dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Norali di talian 012-8767324 atau 082-447817.

20 tahun menanti, akhirnya 257 dapat kunci



Idris Haron menyampaikan replika kunci kepada sebahagian pembeli rumah pada majlis Penyerahan Kunci Rumah Penduduk Taman Pelangi, Sikamat, semalam.


SEREMBAN 11 Mei - Kira-kira 257 pembeli rumah kos rendah dan sederhana di Taman Pelangi, Sikamat di sini mampu menarik nafas lega apabila menerima kunci rumah masing-masing hari ini sekali gus mengakhiri penantian mereka selama 20 tahun.
Projek berkenaan telah terbengkalai pada tahun 1990 ketika pembinaan baru siap pada tahap 55 hingga 80 peratus, sebelum diambil alih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 2007.
Sehubungan itu, SPNB telah mengambil inisiatif untuk membaik pulih projek tersebut dengan menyiapkan 320 rumah jenis kos rendah dan sederhana di taman berkenaan seluas 11.3 hektar yang menelan kos sebanyak RM9.8 juta.
Seorang pembeli, Rojeah Abdullah, 46, berkata, dia berasa gembira dan bersyukur kerana penantian 20 tahun untuk memiliki rumah berkenaan akhirnya menjadi realiti.
''Saya rasa lega sangat kerana rumah yang saya beli 20 tahun lalu sudah siap dan sudah boleh didiami.
''Tempoh 20 tahun terlalu lama. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya SPNB kerana mengambil berat terhadap nasib rakyat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis Penyerahan Kunci Rumah Penduduk Taman Pelangi, Sikamat di sini hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan dan disempurnakan oleh Pengerusi SPNB, Datuk Ir. Idris Haron.
Menurut seorang lagi pembeli, Chong Ying Fong, 26, sukar untuk dia menggambarkan perasaan sebaik dimaklumkan rumah yang dibeli bapanya 20 tahun lalu kini sudah siap.
''Mungkin gembira dan juga sedikit sedih. Ini kerana, rumah ini dibeli oleh bapa saya pada tahun 1990 ketika saya berusia enam tahun.
''Tetapi apa yang menyedihkan, bapa saya tidak sempat untuk tinggal di rumah ini kerana dia telah meninggal dunia," jelasnya.
Seorang lagi pembeli, P. Selvam, 53, berkata, dia tidak sangka berpeluang untuk memiliki rumah berkenaan selepas ditinggalkan terbengkalai untuk satu tempoh yang lama.
''Buat masa ini, saya masih menetap di Kuala Lumpur dan akan berpindah ke sini sebaik sahaja bersara dalam tempoh dua tahun lagi.
''Saya berasa amat lega dan gembira setelah dimaklumkan rumah ini telah siap dibina dan sedia untuk didiami," jelasnya.