Thursday, February 24, 2011

18 juta saman kesalahan lalu lintas belum dijelaskan



PUTRAJAYA - Sebanyak 18 juta saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan sejak 2000 hingga 2009, belum dijelaskan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan, berkata semua saman itu dikeluarkan JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Daripada jumlah itu, PDRM mencatat jumlah saman tertunggak paling tinggi iaitu 15.6 juta, DBKL (1.8 juta) dan JPJ (608,070).

Sehubungan itu, Solah menasihati orang ramai supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk menyelesaikan saman tertunggak dan menikmati kelonggaran yang akan berakhir Isnin ini.

“Masalah tempat pembayaran tidak boleh timbul kerana saman polis dan JPJ boleh juga dibayar di lebih 600 pejabat pos di seluruh negara. Jangan hanya tertumpu di ibu pejabat JPJ atau Ibu Pejabat Polis Daerah untuk membayar saman,” katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Beliau turut memaklumkan sepanjang tempoh 11 hingga 17 Februari lalu, sejumlah 1,227 saman JPJ dijelaskan, PDRM (113,447) dan DBKL (35).

Dalam perkembangan berkaitan, Solah berkata, kadar baru kompaun bagi kesalahan lalu lintas yang berkuat kuasa 1 Mac ini akan diseragamkan di ketiga-tiga agensi.

Beliau berkata, kadar itu terpakai bagi kesalahan pada atau selepas 1 Mac dan pesalah yang disaman JPJ serta PDRM akan disenarai hitam daripada memperbaharui cukai jalan dan lesen.

“Mengikut Akta JPJ yang baru, senarai hitam ini hanya untuk JPJ dan polis.

Buat masa ini, mekanisme ini belum ditetapkan untuk DBKL serta jabatan dan agensi penguatkuasaan lain,” katanya yang tidak menolak kemungkinan pesalah trafik akan turut disenaraihitamkan jika saman jabatan dan agensi berkenaan tidak diselesaikan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha mengumumkan kadar baru bagi empat kategori kesalahan dengan kompaun minimum RM40 dan maksimum

RM300 bagi kelas kenderaan jenis motosikal 250cc dan ke bawah, serta kelas semua jenis kenderaan lain. - Bernama
SH

Gaddafi ikrar syahid di Libya


PENUNJUK perasaan melaungkan slogan antikerajaan di Dataran Tobruk di timur Libya, semalam.  Tentera di bandar ini berkata, mereka tidak lagi menyokong Gaddafi dan memberitahu, wilayah timur negara itu kini sudah bebas daripada penguasaan kerajaan.
PENUNJUK perasaan melaungkan slogan antikerajaan di Dataran Tobruk di timur Libya, semalam. Tentera di bandar ini berkata, mereka tidak lagi menyokong Gaddafi dan memberitahu, wilayah timur negara itu kini sudah bebas daripada penguasaan kerajaan.

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menggesa rakyat negara itu berarak sebagai usaha untuk menunjukkan sokongan mereka kepadanya ketika rejim pemerintahannya semakin terpinggir.
Sambil mengumumkan beliau akan mati sebagai syuhada di negara sendiri, Gaddafi mengancam memusnahkan penentangnya dari rumah ke rumah dan ‘inci demi inci,’mendorong rayuan di peringkat antarabangsa supaya keganasan di tamatkan.

Kerajaan Libya berkata, 300 orang, termasuk 111 askar terbunuh dalam tunjuk perasaan yang bermula 15 Februari lalu selepas pemimpin di Tunisia dan Mesir di singkirkan dalam kebangkitan serupa.
China, India, Korea Selatan dan Amerika Syarikat adalah antara negara yang bertindak pantas untuk memindahkan rakyat masing-masing dari negara Afrika Utara itu sementara masyarakat antarabangsa mengecam gerakan ganas kerajaan Gaddafi terhadap penunjuk perasaan.

Sambil berkata beliau mendapat sokongan rakyat, Gaddafi mengerahkan tentera dan polis menangani pemberontakan menentang pemerintahan kuku besinya selama 41 tahun yang sudah meragut ratusan nyawa sepanjang lapan hari lalu.

“Rakyat Libya bersama-sama saya.” katanya sambil menggesa mereka menunjuk perasaan.
“Keluar dari rumah anda dan serbu mereka. Tangkap tikus-tikus itu,” katanya lagi, merujuk kepada penunjuk perasaan antikerajaan Gaddafi, 68, juga tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berundur ketika menyampaikan ucapannya itu.
“Muammar Gaddafi adalah pemimpin revolusi. Muammar Gaddafi tidak mempunyai sebarang kedudukan rasmi untuk membolehkannya meletak jawatan.

“Beliau ialah pemimpin revolusi untuk selama-lamanya,” kata Gaddafi.
Sementara itu, Presiden Parlimen Libya, Mohamed Zwei berkata, keamanan berjaya diwujudkan semula di sebahagian besar bandar.
“Pasukan keselamatan dan tentera sudah berada semula di kedudukan masing-masing,” katanya.

Beliau juga berkata, sebuah suruhanjaya sudah ditubuhkan untuk menyiasat pemberontakan selama sembilan hari itu.

Dalam pada itu, anak Gaddafi, Seif al-Islam dijangka mengadakan sidang akhbar selepas tersebar laporan kononnya keluarga pemimpin itu bertelagah kerana berebut empayar perniagaan. — AFPmyMetro | Gaddafi ikrar syahid di Libya

Seruan terbaru gesa dilancar bantahan gaya Timur Tengah di China

BEIJING: Satu seruan terbaru agar diadakan bantahan gaya Timur Tengah di China kini menggesa rakyat supaya bersiar-siar pada petang hujung minggu di beberapa tempat yang akan ditentukan bagi menuntut pihak berkuasa membebaskan para aktivis yang kelihatan masih ditahan semalam.Surat-surat dalam talian yang disiarkan para penganjur yang tidak dikenali itu berkata langkah berterusan seperti itu akan membuat pemerintah China sedar bahawa rakyat negara itu mahukan kebertanggungjawaban dan ketelusan yang belum wujud dalam sistem satu parti sekarang.'Kami mempelawa setiap peserta bersiar-siar, melihat atau sekadar berpura-pura lalu di situ. Selagi anda ada di situ pemerintah ini akan menggigil ketakutan,' kata surat itu yang disiarkan di laman berita Boxun berbahasa Cina dan berpangkalan di Amerika Syarikat itu. Namun laman itu disekat dalam siaran Internet China.Tidak ramai warga China yang tahu tentang kempen itu kerana China melaksanakan sistem penapisan dan pemerhatian yang meluas.Laman seperti Twitter dan Facebook, yang berperanan besar dalam bantahan di Mesir, disekat di China. Warga China yang mahir teknologi boleh memintasi kawalan itu tetapi tidak ramai pelungsur Internet yang akan mencari bahan subversif.Hanya sebilangan kecil orang yang diketahui bergiat dalam usaha pertama mengadakan perhimpunan di 13 bandar di China Ahad lalu.Pemerintah China yang percaya akan ketaatan sepenuhnya, sentiasa berwaspada akan ketidakpuasan hati rakyat dan menunjukkan kuasanya menghalang pemberontakan.Negara itu telah meningkatkan kehadiran polis di jalan-jalan, memutuskan beberapa khidmat pesanan ringkas dan menapis bahan Internet.Punca kempen dalam talian itu, yang pertama kali diedarkan di laman Boxun, tidak diketahui dan para aktivis juga kurang pasti.Kenyataan itu menyeru diadakan 'Revolusi Melur', gelaran bagi revolusi di Tunisia, dan menggesa orang ramai supaya melaungkan 'Kami mahukan makanan, kami mahukan pekerjaan, kami mahukan tempat tinggal, kami mahukan keadilan', satu slogan yang menyerlahkan aduan-aduan biasa rakyat China.Belum pun bantahan-bantahan yang dirancangkan hujung minggu lalu itu berlaku, kumpulan hak asasi menganggarkan hingga lebih 100 aktivis telah ditahan polis, tidak dibenarkan keluar rumah atau hilang.Masih ada beberapa orang yang masih ditahan semalam, termasuk peguam-peguam aktivis terkemuka, Encik Jiang Tianyong, Encik Teng Biao and Encik Tang Jitian, serta seorang penulis, Encik Gu Chuan. -- AP.Cyberita Online Luar Negara

Penyokong presiden Yaman tembak mati pelajar

SANAA: Para penyokong Presiden Yaman, Encik Ali Abdullah Saleh, telah menembak ke arah sekumpulan pelajar yang membantah dengan mengadakan mogok duduk, di sini, lewat kelmarin, membunuh dua pelajar dan mencederakan 11 lagi, kata para saksi.'Dua pembantah terbunuh dan 11 lagi cedera apabila para penyokong rejim tersebut menembak ke arah mogok duduk itu di hadapan kampus Universiti Sanaa,' kata salah seorang saksi.Serangan tersebut, yang berlaku sekitar tengah malam, mengakibatkan dua korban pertama sejak siri bantahan terhadap Encik Saleh berlaku di ibu kota YamanIa menyusuli beberapa kejadian pertempuran awal dari itu antara kededua pihak.Kira-kira 1,000 pelajar telah menghabiskan waktu malam mereka dengan berkhemah di pekarangan dataran Universiti Sanaa, yang digelarkan sebagai Dataran Al-Huriya (Pembebasan), tempat para pelajar itu mendirikan sebuah khemah besar.Perhimpunan pelajar di tempat itu bertambah kepada kira-kira 4,000 orang pada siang hari dan, sedang para pembantah yang meminta Encik Saleh digulingkan berpindah dari dataran tersebut ke tempat para penyokong Encik Saleh, kumpulan penyokong presiden itu menyerang mereka dengan pisau dan cota.Para pelajar itu, yang mana sesetengahnya juga bersenjatakan cota, bertindak balas.Tiga pelajar dan dua penyokong Encik Saleh tercedera sebelum pihak polis menyuraikan mereka, kata seorang koresponden agensi berita AFP.Para penyokong yang berhimpun untuk menyokong Encik Saleh di tengah-tengah Sanaa hampir setiap hari menentang dan menyuraikan bantahan para pelajar dengan menggunakan cota dan batu, dengan pihak polis turut menggunakan kekerasan terhadap mereka hingga menyebabkan ramai pembantah yang cedera.Parti yang memerintah, Kongres Rakyat Awam, sementara itu telah menggesa diadakan satu 'bantahan berjuta-juta' orang awal hari ini di dataran Al-Sabbine, dekat istana presiden.Ribuan pembantah juga berarak di jalan-jalan raya, kelmarin, di beberapa daerah kejiranan bandar Aden, di selatan Yaman, sambil menggesa Encik Saleh meletakkan jawatannya. -- AFP.Cyberita Online Luar Negara

Pembantah di Bahrain ikrar tidak akan undur

MANAMA (Bahrain): Para pembantah di Bahrain semalam berikrar tidak akan berganjak daripada Dataran Mutiara, pusat bantahan-bantahan antirejim, walaupun beberapa aktivis utama pembangkang Syiah telah dibebaskan dan Raja Hamad bin Issa al-Khalifa mengulangi seruan dialog.
Sehari selepas satu tunjuk perasaan besar-besaran menyesakkan jalan-jalan di Manama, pembantah Syiah sekali lagi berhimpun di Dataran Mutiara sambil melaungkan 'Kami bersaudara, Sunni dan Syiah. Kami tidak akan tinggalkan negara ini.''Kami tidak akan dimalukan,' jerit seorang wanita, mengulangi satu slogan tradisional Syiah yang dilaungkan melalui pembesar suara di dataran itu yang kini dinamakan 'Bulatan Syahid' oleh pembantah bagi memperingati mereka yang maut dalam serbuan berdarah polis Khamis lepas.Sementara itu, raja negara itu mengulangi permintaan agar pembangkang menyahut seruan rundingan, sedang 23 aktivis Syiah dibebaskan selepas satu pengampunan diraja.Raja Hamad berkata keputusan membebaskan tahanan itu sebagai menjawab rayuan-rayuan yang disuarakan semasa perhimpunan propemerintah Isnin lalu.Mereka yang diberi pengampunan beraja itu termasuk setiausaha agung Gerakan Pembebasan Islamik, Encik Said al-Shihabi, yang kini tinggal di London bersama Encik Hassan Mashaima, ketua gerakan pembangkang Haq. Kedua-duanya kini dibicarakan tanpa kehadiran mereka.Haq ialah satu kumpulan radikal Syiah yang enggan berhenti memulaukan pilihan raya, tidak seperti Persatuan Persetujuan Nasional Islamic (Inaa), kumpulan Syiah utama negara itu yang menyertai pilihan raya 2006 dan menduduki 18 daripada 40 kerusi di parlimen.Blok 18 ahli itu keluar daripada parlimen kerana membantah tindakan keras Khamis lalu.Penunjuk perasaan berkata mereka mahu menjatuhkan rejim tetapi kumpulan-kumpulan pembangkang rasmi hanya menuntut peletakan jawatan pemerintah itu, pelaksanaan pembaharuan dan penubuhan satu 'kerajaan benar-benar berperlembagaan'.Perhimpunan kelmarin menandakan bantahan yang pertama diseru secara rasmi oleh persatuan-persatuan politik sejak bantahan bermula 14 Februari lalu.Dalam satu kenyataan lewat kelmarin, imam-imam utama Syiah telah menyeru diadakan banyak lagi tunjuk perasaan Jumaat ini bagi 'meratapi para syahid' dan menggesa penunjuk perasaan agar berarak ke Dataran Mutiara.Pasukan keselamatan sudah diarahkan supaya menjauhi para pembantah, yang telah berharihari berhimpun di Dataran Mutiara menuntut pemerintahan al-Khalifa digulingkan. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

Pengendali dedah identiti jelang pilihan raya


-- foto fail THE STAR

RADIO FREE SARAWAK YANG KRITIKAL TERHADAP KETUA MENTERI

Akhbar tabloid itu mendedahkan bahawa Cik Claire Rewcastle Brown juga penulis Sarawak Report, yang sehingga kini adalah blog tanpa diketahui nama pengendalinya, yang turut mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mencatatkan 18,000 kunjungan setiap hari, menurut satu laman berita The Malaysian Insider, semalam.Menurut London Evening Standard, Cik Rewcastle Brown, dan Encik Peter John Jaban, yang dikenali sebagai 'Papa Orang Utan' oleh pendengar stesen tersebut, telah memutuskan mendedahkan identiti mereka menjelang pilihan raya umum Sarawak, yang dijangka diadakan April ini.Cik Rewcastle Brown, 51 tahun, berkata peranannya ialah memberikan 'peluang kepada 2.5 juta penduduk Sarawak yang ditindas'.Beliau lahir di Sarawak sebelum negeri bekas jajahan British itu diserahkan semula kepada Malaysia, dan beliau tinggal di Sarawak sehingga berusia lapan tahun, kata akhbar di London itu.Program radio itu disiarkan dari sebuah restoran di Covent Garden, yang terletak di tengah-tengah London, ke Sarawak yang jauhnya kira-kira 10,000 kilometer.Tujuan siaran itu ialah mendedahkan dakwaan rasuah dalam kepimpinan Tan Sri Taib, yang telah memimpin Sarawak sejak tiga dekad lalu.Akhbar tabloid itu telah mengunjungi studio Radio Free Sarawak ketika Encik Jaban sedang menemu bual seorang ketua kampung yang telah dipaksa keluar dari tanahnya. Ketua kampung itu bercakap dengan Encik Jaban menerusi telefon bimbitnya dari hutan Borneo.Cik Rewcastle Brown memberikan penerangan kepada Encik Jaban: 'Pastikan anda tanya dia soalan sama ada dia tahu bahawa Ketua Menteri Taib yang telah mencuri tanah mereka? Dan, tanya juga siapa yang dia akan undi nanti!'Menurut akhbar itu, kededua mereka merahsiakan identiti masing-masing kerana bimbang Tan Sri Taib, 74 tahun, dikatakan antara lelaki paling kaya di dunia dan pernah didakwa lebih kaya berbanding Sultan Brunei, akan menjejaki mereka dengan cara apa sekalipun.'Bahasa Inggeris masih merupakan bahasa penyatuan di Sarawak dan saya menggunakan blog dan siaran ini untuk mendedahkan pembersihan hutan secara wewenang, di mana 95 peratus hutan di Sarawak sudah ditebang dan digantikan dengan ladang kelapa sawit yang telah menjadikan Taib dan keluarganya kaya,' kata Cik Rewcastle Brown.'Ada lagi, siasatan saya menunjukkan wang keluarga Taib (juga) ada di sini, di London, dan ini termasuklah hartanah mewah di tengah ibu kota (Britain),' tegasnya lagi.Menurutnya, beliau dan Encik Jaban memutuskan mendedahkan identiti mereka selepas satu ugutan dikirimkan ke Sarawak Report dan kematian misteri ketua pendedah maklumat mereka, yang juga bekas pembantu Tan Sri Taib, di sebuah bilik hotel di Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini.Inkuesnya masih dijalankan, kata Cik Rewcastle Brown kepada London Evening Standard, sambil menambah beliau dan Encik Jaban mungkin menghadapi nasib sama.Cyberita Online Luar Negara

Selamat selepas 26 jam terperangkap




LEGA DAN RIANG: Seorang pekerja penyelamat membantu mengeluarkan seorang mangsa gempa bumi, Cik Anna Bodkin, daripada runtuhan bangunan Pyne Gould Guinness di Christchurch, New Zealand, semalam. Gempa berukuran 6.3 telah melanda bandar itu kelmarin. -- Foto AP

Kejayaan beri harapan ramai lagi mangsa boleh diselamatkanCHRISTCHURCH (New Zealand): Selepas hampir 26 jam terperangkap di dalam runtuhan bangunan pejabat tempat beliau bekerja, Cik Anna Bodkin akhirnya dapat keluar dengan selamat sambil ketawa-ketawa kecil, dalam satu gerakan menyelamat yang 'menakjubkan' semalam.Para pekerja penyelamat veteran bertepuk tangan apabila operasi mencari di bandar utama South Island di New Zealand itu berakhir.Kejayaan mereka itu meningkatkan harapan bahawa ramai lagi boleh diselamatkan daripada kalangan 300 orang yang masih belum diketahui nasib mereka.Sekurang-kurangnya 75 dilaporkan maut dalam gempa bumi yang melanda bandar Christchurch di New Zealand kelmarin.Datuk bandar Christchurch, Encik Bob Parker, menganggap usaha menyelamat itu satu 'keajaiban' dan memberikan 'harapan' bagi mangsa yang masih hilang berikutan gempa 6.3 di skala Richter itu.Suami Cik Bodkin, Encik Graham, berada di situ ketika isterinya itu ditarik keluar daripada runtuhan itu.Setelah Cik Bodkin dikeluarkan daripada runtuhan bangunan Pyne Gould Corporation itu, beliau dibalut dengan selimut dan dihantar ke hospital.'Beliau amat riang dan sihat,' kata seorang pegawai polis yang menyelia gerakan menyelamat itu, Encik Grant Lord. 'Beliau mungkin telah berlindung di bawah sebuah meja dan berupaya bergerak sambil meminta tolong.'Kakitangan mencari dan menyelamat dari New Zealand dan Australia bekerja bergilir-gilir untuk sampai ke tempat Cik Bodkin terperangkap, kerana khuatir bertan-tan serpihan batu di sekeliling Cik Bodkin akan beranjak atau terpelanting dan menyukarkan lagi usaha mereka.Segala-galanya berjalan dalam senyap agar para penyelamat boleh pastikan Cik Bodkin masih hidup.Apabila mereka pertama kali menebuk lubang kecil ke bilik tempat Cik Bodkin berlindung, mereka melekatkan sebotol air pada sebatang galah 1.5 meter panjang dan menghulurkan air itu kepada beliau.Namun mereka terpaksa berusaha dua jam lagi sebelum dapat mengeluarkan Cik Bodkin.'Saya tidak pernah lihat perkara seperti ini di New Zealand. Kami bercakap tentang bangunan-bangunan di negara maju,' kata seorang pemimpin pembangkang, Encik Phil Goff, ketika beliau menyaksikan gerakan menyelamat itu.Beliau hairan apabila melihat tahap kemusnahan di bandar itu yang kini bersepah dengan runtuhan bangunan batu yang bersejarah serta bangunan moden berdinding kaca.Bandar itu mempunyai kanun binaan yang ketat dan pernah berbangga apabila gempa sekuat 7.0 sembilan bulan lalu tidak mengakibatkan kematian. Namun gempa berukuran 6.3 ini pula mencetuskan akibat lebih buruk. -- AFP.
Cyberita Online Luar Negara

Usaha cari mangsa masih diteruskan








MUJUR TERSELAMAT: Mereka yang terselamat di tempatkan di satu tempat perlindungan bencana di Christchurch semalam. -- Foto REUTERS







GEMPA DI NEW ZEALAND
Gerakan mencari dihambat kebimbangan bangunan yang rosak akan runtuh
CHRISTCHURCH (New Zealand): Pasukan penyelamat New Zealand berusaha hingga ke lewat semalam bagi mencari mangsa-mangsa yang masih hidup, selepas satu gempa melanda bandar Christchurch, kelmarin.Namun harapan mencari mereka yang masih hidup semakin tipis dan gerakan mencari di Christchurch itu diganggu oleh kebimbangan bahawa bangunan-bangunan yang rosak akan runtuh.Menurut polis, angka kematian masih 75, walaupun ia dijangka meningkat kerana 300 lagi masih hilang selepas gempa berukuran 6.3 di skala Richter itu meranapkan sebahagian besar bandar itu kelmarin.Pasukan penyelamat telah mengalihkan tumpuan daripada sebuah bangunan televisyen yang turut menempatkan sebuah sekolah bahasa bagi pelajar asing, kebanyakannya dari Jepun. Sebuah bangunan hotel yang berhampirannya juga hampir runtuh.'Jika Hotel Grand Chancellor ini roboh, dan tiga jurutera berkata ia mungkin berlaku, ia akan menimbulkan kesan domino di kawasan tengah bandar ini yang mempunyai banyak bangunan yang tidak stabil. Ia akan jadi satu bencana besar,' kata superintenden polis, Encik Dave Cliff.Bagi mengelakkan banyak lagi kematian dan juga kejadian jenayah, polis telah mengumumkan satu perintah berkurung bagi kawasan perniagaan itu.Pasukan penyelamat terpaksa memotong kaki atau lengan beberapa mangsa daripada 120 yang hidup, bagi mengeluarkan mereka daripada timbunan runtuhan.Ini merupakan bencana alam paling buruk yang dialami New Zealand dalam 80 tahun, dan kerosakan dianggarkan mencapai AS$12 bilion (kira-kira $15 bilion).Pasukan penyelamat telah menghentikan operasi di bangunan Canterbury Television itu bagi menumpukan perhatian kepada bangunan lain yang mempunyai lebih harapan mangsa terselamat.Masih terdapat 10 pelajar bahasa Jepun di sekolah yang terletak dalam bangunan itu yang masih hilang.Encik Cliff berkata kemungkinan terdapat 100 orang yang terperangkap atau mati di bawah timbunan bangunan televisyen itu, sedang berpuluh-puluh lagi mungkin masih berada di dalam runtuhan gereja besar bandar itu dan beberapa bangunan lain.Sebuah rumah mayat sementara telah didirikan di sebuah pangkalan tentera berdekatan bagi menyimpan mayat-mayat hingga boleh dikenal pasti.Di tengah bandar, jalan-jalan raya sudah menjadi bengkang-bengkok dan paip-paip air dan kumbahan yang pecah membanjiri jalan-jalan itu.Negara itu telah mengisytiharkan keadaan darurat dan askar-askar kini mengawal bandar Christchurch.Polis juga telah melaksanakan perintah berkurung dari 6.30 petang waktu setempat.Pasukan penyelamat dari Amerika Syarikat, Britain, Taiwan dan Jepun sedang dalam perjalanan ke New Zealand. -- Reuters.Cyberita Online

‘Bencana kali ini lebih dahsyat’


Oleh Zanariah Abd Mutalib

2011/02/24

Rakyat, pelajar kita terselamat cerita saat cemas gempa di Christchurch

KUALA LUMPUR: Menyorok di bawah meja dan melompat dari basikal antara pengalaman dilalui rakyat Malaysia ketika cuba menyelamatkan diri dalam gempa bumi berukuran 6.3 magnitud yang menggoncang Christchurch, New Zealand, kelmarin.

Mereka menyifatkan bencana kali ini lebih dahsyat berbanding September tahun lalu kerana bukan saja menyebabkan kemusnahan lebih besar, malah mengorbankan nyawa penduduk.
Afida Sohana Awang Soh, 34, doktor di Christchurch Woman Hospital, Lyttleton, berkata kejadian berlaku ketika beliau melakukan kerja pentadbiran dan menyedari bangunan mula bergegar menyebabkan buku di atas rak jatuh menimpanya.
“Saya terus berlindung di bawah meja dan pada masa sama melihat kepulan debu memenuhi ruang udara .

“Selepas gegaran berhenti, saya keluar untuk melihat keadaan pesakit,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Afida berkata, paling menyayat hatinya apabila melihat bayi berusia 10 bulan parah dihempap televisyen akibat gegaran itu, gagal diselamatkan.

“Kami kini menghadapi masalah bekalan air dan elektrik, selain paip kumbahan pecah,” katanya yang menumpang di rumah rakan kerana keadaan dalam rumahnya berselerak disebabkan gempa bumi itu.
Sementara itu, pelajar perubatan, Mohd Faried Anwar, 24, berkata beliau berbasikal pulang ke rumah apabila tiba-tiba melihat tanah ‘beralun’ dan tiang elektrik bergoyang.

“Saya terus melompat dari basikal dan melihat penduduk berdekatan bertempiaran lari keluar rumah.

“Selepas gegaran berhenti kira-kira 15 saat kemudian, saya bergegas pulang dan bersyukur rakan selamat dan rumah tidak mengalami kerosakan teruk,” katanya.
Pelajar geologi, Nazmi Aizat Azizan, 22, berkata beliau yang berada di rumah menunggu sehingga gegaran berhenti sebelum keluar ke tanah lapang.

“Mujur kami diajar langkah keselamatan dan saya memang terkejut dengan gempa bumi ini kerana baru saja memulakan kuliah Isnin lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di New Zealand, Dr Rosli Mohammed, berkata beliau sudah bertemu dengan 15 wakil pelajar dari Universiti Canterbury, Universiti Otago dan Universiti Lincoln di pusat operasi sementara di bangunan konsulat Malaysia di Christchurch, tengah hari semalam.
“Semua pelajar berada di rumah masing-masing dan wakil diminta melakukan kiraan jumlah mereka, selain memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
Berita Harian Online

Pemilihan MPP UPM kecoh


Oleh Norakmah Mat Youb, Nik Sukry Ramli dan Safeek Affendy Razali

2011/02/24

SERDANG: Tiga pelajar dan tiga kakitangan keselamatan Universiti Putra Malaysia (UPM) keselamatan cedera dalam kekecohan ketika bantahan keputusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2010/2011, di universiti itu semalam.

Insiden bermula jam 3.30 petang selepas bekas pengerusi kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M), Mohd Lukman Al Hakim mendakwa dikasari selepas perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP yang juga Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar, Pro Dr Mohd Fauzi Ramlan.
Dalam kejadian itu, lebih 60 pelajar Pro-M dilaporkan merempuh pintu kaca di bangunan pentadbiran universiti itu hingga pecah selepas Mohd Lukman mendakwa dikasari ketika mengadakan perbincangan bersama Dr Mohd Fauzi.
Lukman dikatakan dikerumuni tiga hingga empat kakitangan keselamatan universiti ketika cuba membawa keluar fail yang dipercayai mengandungi bukti penyelewengan yang berlaku pada proses bantahan yang dikemukakan oleh kumpulan pelajar Pro-Aspirasi (Pro-A).

Melihat Lukman ditolak, penyokong Pro-M mula bertindak agresif, namun keadaan dilaporkan berjaya dikawal selepas kehadiran polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Razak Elias, berkata polis berjaya mengarahkan penyokong Pro-M agar bersabar dan mengikut saluran betul untuk membuat bantahan.

“Tiada tangkapan dilakukan, namun polis terpaksa meminta bantuan Unit Forensik Polis bagi menjalankan siasatan di lokasi kejadian, Namun, kami berpuas-hati dengan tindakan penyokong Pro-M dan Pro-A yang mematuhi arahan polis supaya bersurai,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata pihaknya tidak menghalang pelajar yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan mengadakan demonstrasi asalkan tidak melampaui batas.

“Sepatutnya semua yang menjadi calon menghormati keputusan dan boleh membuat rayuan atau bantahan menggunakan saluran disediakan. Mereka memang berhak mengadakan demonstrasi jika mahu, tapi kena ada batasan. Kami tidak berniat menghalang pelajar meluahkan pendapat dan suara mereka sentiasa diambil kira. Bagi saya, apa yang berlaku membuktikan proses demokrasi berjalan lancar,” katanya.
Berita Harian Online | Pemilihan MPP UPM kecoh

Pesawat TUDM sudah ke Libya


Oleh Faiza Zainudin dan Meor Hisham Zulkifli

2011/02/24

PENUNJUK perasaan mengoyak Buku Hijau tulisan Gaddafi di Tobruk, Libya.
PENUNJUK perasaan mengoyak Buku Hijau tulisan Gaddafi di Tobruk, Libya.
Operasi menyelamat, bawa pulang 190 rakyat Malaysia bermula

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah menghantar sebuah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk operasi menyelamat dan membawa pulang 190 rakyat Malaysia di Libya yang kini dilanda kebangkitan rakyatnya mendesak pemimpin mereka, Muammar Gaddafi meletakkan jawatan.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, pesawat itu sudah mendarat di Slovakia sebelum ke Rome, Itali serta ke Lapangan Terbang Tripoli, Libya.
Bagaimanapun, kerajaan belum menerima hak mendarat daripada pihak berkuasa negara berkenaan bagi membawa pulang rakyat ke tanah air.
“Kita faham keadaan di sana agak kelam kabut dengan lapangan terbangnya ditutup. Namun, usaha perlu dilakukan untuk memindahkan rakyat dari pejabat kedutaan di Tripoli ke negara berdekatan seperti Itali atau Dubai yang dijadikan sebagai pusat transit.

“Bila mereka dipindahkan bergantung kepada kebenaran pihak berkuasa negara berkenaan dan mungkin mengambil masa seminggu atau lebih,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Laporan sebelum ini yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, operasi menyelamat rakyat Malaysia di Libya mungkin akan menggunakan laluan darat jika opsyen laluan udara gagal dilaksanakan.

Pertumpahan darah di negara Afrika Utara itu terus meningkat kepada 400 orang apabila Gaddafi mengarahkan tentera menyerang rakyat yang melakukan protes antikerajaan menggesa beliau berundur selepas 42 tahun memerintah.
Tindakan Gaddafi dikecam masyarakat antarabangsa yang mendesak beliau menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan. Keadaan di negara itu dilaporkan semakin bergolak dengan penunjuk perasaan menyerang bangunan kerajaan serta merosakkan lapangan terbang Benghazi ketika ramai warga asing mula meninggalkan negara itu.

Sementara itu, sumber Kementerian Luar dan Kedutaan di Yaman menyatakan, seramai 646 rakyat Malaysia termasuk 550 pelajar dilaporkan selamat walaupun keadaan di negara Teluk itu dilaporkan tidak menentu.

“Sebenarnya keadaan di Sana’a tidak seburuk seperti yang dilaporkan media di sana. Bagaimanapun, kita sudah mengarahkan rakyat Malaysia di sana mengambil langkah berjaga-jaga termasuk segera menghubungi kedutaan jika keselamatan mereka terancam,” katanya.
Berita Harian Online

Pelajar serang pejabat TNC UPM




SEKUMPULAN pelajar merempuh sekatan di pintu masuk bangunan pentadbiran UPM kerana tidak berpuas hati dengan pembatalan kemenangan 11 calon Pro-Mahasiswa di Serdang semalam.


SERDANG - Sekumpulan 200 orang pelajar Pro-Mahasiswa (Pro-M) bertindak merempuh pintu kaca bangunan pentadbiran Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.
Tindakan itu diambil kerana mereka tidak puas hati dengan pembatalan kemenangan 11 calon Pro-M.
Rempuhan itu menyebabkan tiga kakitangan universiti termasuk dua pengawal keselamatan cedera di tangan terkena serpihan kaca.
Seramai 10 pengawal keselamatan berada di pintu masuk berkenaan untuk mengawal keadaan yang kecoh sewaktu insiden itu berlaku.
Sumber universiti memberitahu, kumpulan terbabit yang turut disertai oleh gabungan Pro-M dari universiti lain yang mula berkumpul di sekitar pejabat tersebut sejak pukul 10.30 malam kelmarin bagi menunjukkan protes terhadap keputusan pembatalan kemenangan 11 calon mereka dalam pilihan raya kampus yang diadakan kelmarin.

Orang ramai sibuk kaut beras




AHMAD Rodzlin Ahmad Murad ditemani adiknya, Putra Mohd. Ahmad Murad menunjukkan paha kaki kirinya di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, semalam.


IPOH 23 Feb. – Pemandu treler membawa muatan beras yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori pasir semalam, melalui detik cemas apabila dia terpaksa menahan kesakitan dan dibiarkan terbaring di tengah jalan hampir satu jam tanpa dibantu oleh mana-mana pihak.
Lebih malang lagi apabila kecederaan yang dialami Ahmad Rodzlin Ahmad Murad, 27, tidak diendahkan bahkan dia dituduh memandu laju dalam keadaan mengantuk.
Namun, apa yang lebih dikesalkan mangsa apabila orang ramai yang berhenti untuk melihat kemalangan itu tidak menghulurkan bantuan sebaliknya sibuk mengaut beras yang bertaburan di atas lebuh raya.
“Hampir satu jam saya terbaring di atas lebuh raya dan tiada seorang pun yang menghulurkan bantuan. Malah, mereka kelam kabut mengutip beras yang bertaburan.
“Tidak cukup dengan beras, beg dan telefon bimbit saya juga diambil. Bayangkan dalam keadaan berlumuran darah, mereka hanya memandang tanpa membantu memberikan kain untuk menutup luka saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam menyiarkan gambar muka hadapan kemalangan membabitkan sebuah lori treler muatan beras yang dipandu Ahmad Rodzlin terbalik selepas merempuh sebuah lori muatan pasir.
Kejadian pukul 10 pagi di Kilometer 394.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Tanjung Malim itu turut meragut nyawa kelindan treler berkenaan, Hanafi Mohd. Daud, 22.
Katanya, akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan di bahagian paha dan lengan kiri dan pihak hospital terpaksa menampal kecederaan tersebut dengan kulit di bahagian paha.
Ahmad Rodzlin memberitahu, kejadian itu berlaku apabila dia cuba mengelak daripada terlanggar lori pasir yang tiba-tiba memotong dan memperlahankan kenderaan di bahu jalan tanpa memberikan isyarat lampu.
Katanya, lori tersebut mungkin cuba mengelak daripada melalui sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak jauh dari tempat kejadian.
“Jika lihat daripada gambar dalam akhbar, lori saya memang berada di lorong yang betul, manakala sebahagian badan lori pasir masih berada di atas jalan raya dan bahu jalan.
“Saya tidak sempat mengelak sebab secara tiba-tiba pemandu itu memperlahankan kenderaan dan saya percaya ini ada mengena dengan sekatan jalan raya yang diadakan JPJ,” katanya.
Ahmad Rodzlin yang berpengalaman selama lima tahun membawa lori berkata, kemalangan itu merupakan kali pertama dialaminya dan ketika itu, dia dalam perjalanan ke Puchong, Selangor untuk menghantar ratusan guni beras dari sebuah kilang di Perlis.
Tambahnya, dia kini bimbang dengan penerimaan keluarga Hanafi yang meninggal dunia di Hospital Slim River kerana mengalami kecederaan parah di kepala.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri