Thursday, June 27, 2013

Perancis tahan 6 suspek anggota radikal


PARIS 25 Jun - Pihak berkuasa Perancis menahan enam orang yang disyaki anggota kumpulan radikal dalam satu serbuan, di pinggir bandar raya ini, semalam.
Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 22 dan 38 tahun itu ditahan oleh pasukan polis antikeganasan di bandar Levallois kerana dipercayai merancang untuk melakukan serangan keganasan di negara ini.
Seorang daripada anggota kumpulan itu berasal dari Benin, manakala yang lain dari Comoros dan Perancis.
Selain itu, kesemua suspek turut disyaki terlibat dalam rompakan sebuah bank di Seine-te-Marne pada April lalu dan sedang merancang untuk melakukan satu lagi rompakan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130625/lu_12/Perancis-tahan-6-suspek-anggota-radikal#ixzz2XQFRVldO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Derita Amir tiada hempedu


Derita Amir tiada hempedu
Shahnizam menunjukkan kad OKU nya kerana mempunyai tangan yang cacat akibat kemalangan ketika usia lima tahun.
Derita Amir tiada hempedu
Siapa sangka bayi comel ini tidak mempunyai hempedu dan kini menghidap penyakit radang hati.
JALAN PERAK - Senyumannya menyentuh perasaan sesiapa yang melihatnya, namun siapa sangka bayi yang bernama Muhammad Isma Amir Shahnizam ini sudah tidak mempunyai hempedu.

Dia yang baru saja berusia lapan bulan juga menghidap penyakit radang hati akibat demam kuningnya terlalu kuat selepas dilahirkan pada tahun lalu.

Ibu bayi berkenaan, Hasni Mansor, 38, berkata, paling menyedihkannya apabila bayinya itu muntah darah.

Menurutnya, bukan saja muntah, anak ketiganya yang dipanggil Amir itu turut membuang air besar yang mengandungi darah.

“Selepas saya bersalin, Amir mendapat demam kuning namun kami tidak sangka demam kuningnya terlalu kuat sehingga mata putihnya turut berwarna kuning.

“Doktor pada ketika itu sudah mengesahkan hati anak saya turut dijangkiti kuman dan pada masa berkenaan dia terpaksa menjalani pembedahan sehingga menyebabkan hempedunya dibuang dan digantikan dengan saluran baru,” katanya.

Setelah menjalani pembedahan hati buat pertama kalinya pada tahun lepas, bayi berkenaan sekali lagi akan dibedah pada tahun ini.

Pada mulanya pembedahan dijadualkan akan berjalan pada 18 Jun 2013 namun terpaksa ditangguhkan kerana doktor mendapati hati Amir membengkak.

Dipercayai hati bayi kecil ini sudah pun rosak separuh daripadanya dan perutnya turut membesar akibat kesan hati yang membengkak.

Hasni berkata, disebabkan penyakit berkenaan, Amir hanya dibenarkan minum sejenis susu sahaja oleh doktor.

“Namun harga susu berkenaan terlalu mahal untuk kami membelinya, satu tin kecil itu dalam tiga hingga empat hari sudah boleh habis kerana anak saya ini hanya minum susu.

“Dengan duit yang ada ini kami memang tidak mampu untuk menanggung perubatan Amir sepenuhnya,” katanya.

Hasni yang tidak bekerja itu turut mempunyai dua anak lelaki berusia lapan dan lima tahun.

Sementara itu, bapa bayi berkenaan, Shahnizam Md Akhir, 32, pula tidak mampu bekerja kerana menghidap penyakit sawan serta berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Dia juga bekas kakitangan kerajaan namun terpaksa berhenti dari kerja gara-gara penyakitnya, kemudian dia mula menyara keluarga dengan bekerja sebagai pekerja kedai kopi namun masalah tetap timbul.

Menurutnya, penyakit sawan yang kerap berlaku di tempat kerja menyebabkan dia terpaksa berhenti kerja akibat malu dan juga sering kali menyebabkan majikannya susah.

“Sebagai ketua keluarga saya malu kerana tidak dapat menanggung keluarga namun saya tidak mampu, sekarang keadaan lebih buruk apabila saya tidak bekerja dan isteri juga tidak boleh bekerja kerana saya sakit dan anak juga sakit.

“Mana-mana pengasuh tidak mahu menjaga anak saya kerana takut memandangkan dia masih dalam keadaan sakit, saya pula tidak boleh menjaganya kerana sakit sebegini rupa,” katanya.

Tentera Filipina bertempur dengan kumpulan pemisah


Tentera Filipina bertempur dengan kumpulan pemisah
Orang awam mengangkat salah seorang anggota kumpulan pemisah yang terbunuh di sempadan Sultan Kudarat.
COTABOTO - Tentera Filipina dilaporkan bertempur dengan kumpulan pemisah susulan kematian dua penduduk kampung dalam serangan di selatan negara itu, semalam.

Pegawai tentera Kolonel Edmund Pangilinan berkata, anggotanya diserang kira-kira 200 anggota dipercayai dari kumpulan pemisah Pergerakan Kebebasan Islam Bangsamoro di sempadan Sultan Kudarat, wilayah Maguindanao.

“Kami yakin mereka telah pun meninggalkan kawasan terbabit selepas beberapa anggota mereka terbunuh dan parah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perunding Damai Filipina Alexander Padilla meletak jawatan dengan meluahkan kekecewaan terhadap proses rundingan yang sering tertangguh.

“Rundingan sering menemui jalan buntu dan saya harap akan muncul pemimpin baru mampu melaksanakan pelan damai ini,” katanya dipetik dari laporan AP.

Konvoi Hakim Tinggi dibom


Konvoi Hakim Tinggi Pakistan dibom
Beberapa kenderaan yang musnah dalam letupan di sebuah taman berhampiran Mahkamah Tinggi Sindh, Karachi.
KARACHI - PAKISTAN.Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 15 yang lain termasuk Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Sindh serta dan tiga anggota polis cedera dalam letupan di Sindh, Pakistan semalam.

Pegawai polis berkata, bom seberat lapan kilogram itu dilekatkan pada sebuah motosikal yang di parkir berdekatan kawasan taman di ibu pejabat pusat pentadbiran tersebut.

“Bom berkenaan dikawal menggunakan alat kawalan jauh. Kami percaya bom tersebut disasarkan kepada kenderaan Hakim Kanan Sindh Mahkamah Tinggi Keadilan, Maqbool Baqar,” katanya.

Menurutnya, kereta, van polis dan beberapa motosikal serta bangunan berdekatan turut musnah dalam letupan itu.

Sementara itu, Menteri Penerangan Sindh, Sharjeel Memon berkata, Maqbool sedang dirawat di hospital swasta dan makin stabil

“Kami menyediakan keselamatan maksimum kepada beliau namun serangan itu nyaris mengorbankan dirinya,” katanya menurut laporan Reuters.

Menurutnya, ketika kejadian Maqbool dipercayai dalam perjalanan ke mahkamah untuk mengadili satu kes berprofil tinggi.

Mahkamah tolak rayuan Zahid Hamidi


Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengenepikan sama seorang ahli perniagaan ke atasnya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai panel lima orang hakim, mengenepikan permohonan Ahmad Zahid sebelum mendengar hujah dari peguam Zahid, Shamsul Bahrin.

Hakim berkenaan mendapati alasan perundangan yang perlu dikemukakan ke mahkamah tidak dijalankan dengan sebaiknya kerana dibuat melalui hujahan dan bukannya dengan notis usul.

Katanya, pemohon tersebut tidak kehilangan peluang untuk melalui proses rayuan memandangkan kes tersebut masih belum dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Biarlah perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Md Raus.

Tambahnya, kes lain yang sepatutnya berjalan akan terhalang sekiranya mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Dengan keputusan tersebut, perbicaraan kes saman sivil oleh ahli perniagaan Amir Bazli Abdullah ke atas menteri tersebut akan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos.

Saman itu difailkan oleh Amir Bazli terhadap Ahmad Zahid yang dituduh menumbuk mukanya pada 16 Januari 2006 di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang, Selangor.

Beliau mendakwa mengalami patah hidung (kecederaan kekal) dan rosak kekal di bahagian sebelah kiri mata akibat insiden itu.

Keganasan: 29 individu minta dibicarakan



KOTA KINABALU - Sejumlah 29 individu yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
 
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memohon kepada mahkamah supaya semua tertuduh dibicarakan bersama.
 
Lapan peguam yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.
 
Hakim P. Ravinthran menetapkan 15 Julai bagi pengurusan kes.
 
Beliau turut menetapkan 12 Julai untuk merekodkan pengakuan seorang tertuduh, Habil Suhaili, yang tidak hadir kerana sedang menjalani rawatan di Hospital Tawau.

Habil didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas di Jalan Kastam Lama, Lahad Datu, antara 9 Februari dan 4 Mac, kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda.
 
Antara 29 individu yang hadir di mahkamah ialah seorang wanita tempatan yang berdepan kemungkinan penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan, kerana didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas.
 
Norhaida Ibnahi, 46, didakwa melindungi sekumpulan pengganas antara 9 Februari dan 22 Mac di sebuah rumah di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.
 
Dua anak tempatan, Abd Hadi Mawan, 49, dan Abdul Majil Jubin, 41, didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.
 
Abd Hadi didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kampung Perigi, Semporna, antara 9 Feb dan 14 Mac manakala Abdul Majil didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lihak-Lihak, Semporna, antara 9 Februari dan 13 Mac.

Warga Filipina adalah antara tertuduh yang berdepan dua pertuduhan sama seperti Abd Hadi dan Abdul Majil.
 
Datu Amirbahar Hushin Kiram, Rijmal Salleh, Saidili Jaharul, Dani Ismail, Pabblo Alie, Mohamad Ali Ahmad, Basil Samiul dan Rizman Gulan didakwa melakukan kesalahan antara 9 Februari dan 10 April di Kampung Tanduo, Lahad Datu; Kampung Muanad, Beluran dan Jalan Lihak-Lihak, Semporna.
   
Mereka didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, kesalahan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas, satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika disabitkan.
   
Totoh Hismullah didakwa melakukan kesalahan sama antara 9 Feb dan 29 Mac di Kampung Simunul, Semporna.
 
Turut didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ialah Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Masir Aidin, Ismail Yasin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Al Wazir Osman alias Abdul, Tani Lahad Dahi dan Julham Rashid.

Mereka didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas bersama Aiman Radie, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi dan Timhar Hadir.
 
Dua lagi tertuduh, Kadir Uyung dan Lating Tiong, didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas manakala Salib Akhmad berdepan pertuduhan tambahan merekrut anggota bagi kumpulan itu.
   
Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Gani berkata beliau berharap mahkamah akan menetapkan venue yang lebih besar bagi perbicaraan itu memandangkan tahap keselamatan ketat diperlukan dalam memastikan prosiding berjalan lancar.
   
Tertuduh dibawa ke kompleks mahkamah dengan menaiki empat trak polis.
 
Tiga belas daripada individu terbabit, termasuk wanita itu dan seorang tertuduh yang berkerusi roda, memakai 'straight jackets' dan topi hitam yang menutup mata mereka.
 
Mahkamah diletakkan dalam kawalan keselamatan yang ketat sejak awal pagi, dengan dikawal anggota polis bersenjata di dalam dan sekeliling perkarangan mahkamah. - Bernama

ADUN Kuala Besut meninggal dunia

Oleh MANIRAH OTHMAN 

AZIZAH menyiram air mawar ke atas pusara suaminya, A. Rahman di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut semalam.


KUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam akibat kanser paru-paru.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman berkata, A. Rahman, 55, dimasukkan ke HSNZ pada Khamis lepas dan ADUN berkenaan tidak sedarkan diri sepanjang dirawat di hospital tersebut, namun keadaannya stabil sejak beberapa hari lalu.
"Arwah yang diberi bantuan pernafasan sepanjang dirawat, bagaimanapun mula tenat pagi tadi (semalam) sebelum meninggal dunia pada pukul 10.18 pagi," katanya.
Sementara itu, balu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri itu, Azizah Nik Omar, 53, memberitahu, suaminya banyak merahsiakan keadaan kesihatannya daripada keluarga.
Katanya, A. Rahman hanya memberitahu yang dia mengalami masalah paru-paru sejak enam bulan lalu tetapi tidak menyatakan secara jelas mengenai penyakit tersebut.
"Arwah juga sudah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mac lalu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2XScAbywc 
Hakcipta terpelihara 

29 maut rusuhan etnik di China

BEIJING - Rusuhan etnik di Xinjiang telah meragut 27 nyawa dalam insiden keganasan terbaharu di wilayah berkenaan, barat China, lapor media tempatan.

Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan beberapa pegawai tempatan melaporkan, polis melepaskan tembakan ke arah kumpulan lelaki yang menyerang balai polis, sebuah bangunan pemerintah dan tapak pembinaan.
"Sebanyak 17 orang terbunuh sebelum polis melepaskan tembakan dan menembak mati sepuluh penunjuk perasaan," jelas Xinhua.
Akhbar sama memberitahu, kumpulan perusuh turut bertindak ganas dengan menikam orang awam dan membakar kereta polis.
Tambah Xinhua, sembilan anggota polis atau pengawal keselamatan dan lapan orang awam maut dalam kekacauan tersebut sebelum polis mula melepaskan tembakan.
Tiga lagi mangsa dikejarkan ke sebuah hospital tempatan selepas cedera dalam rusuhan itu.
Kekacauan berlaku semalam di kawasan yang terletak sekitar 100 kilometer dari bandar Turpan dan kira-kira 250 kilometer dari ibu kota wilayah Xinjiang, Urumqi.
Punca keganasan itu masih tidak jelas dan pihak polis enggan mengulas lanjut.
Wilayah Xinjiang yang memiliki saiz kira-kira satu kali ganda daripada Turki, kerap dilanda kekacauan.
Rantau berkenaan menjadi tempat tinggal kira-kira sembilan juta penduduk etnik minoriti Uighur beragama Islam.
Sejak beberapa tahun lalu, ramai penduduk Uighur mengadu bahawa mereka menjadi mangsa penindasan agama dan budaya oleh pemerintah China.
Menurut perangkaan rasmi negara itu, 46 peratus penduduk Xinjiang terdiri daripada etnik Uighur. Sementara 39 peratus lagi merupakan orang Cina daripada bangsa Han.
Rusuhan yang berlaku melibatkan pertempuran antara etnik Uighur dengan bangsa Han.
Etnik Uighur bertutur dalam bahasa Turki dan mempunyai hubungan etnik dengan penduduk di beberapa negara jiran China seperti Rusia, Kazakhstan dan Kyrgyzstan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2XMjYnljd 
Hakcipta terpelihara 

Nelson Mandela sedang nazak

SEKUMPULAN penduduk Pretoria menyanyi sambil mendoakan kesihatan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela kelmarin.- AFP


PRETORIA - Anggota keluarga Nelson Mandela berkumpul di sebuah hospital di sini untuk mendengar bacaan doa mengharapkan ikon anti apartheid itu pergi dengan tenang.
Paderi Besar Cape Town, Thabo Makgoba melawat Hospital Jantung Mediclinic di sini bersama isterinya kelmarin untuk mendoakan Mandela yang sedang nazak.
Pernah dipenjara selama 27 tahun kerana menentang pemerintahan minoriti kulit putih di Afrika Selatan, Mandela dimasukkan ke hospital itu pada 8 Jun lalu kerana jangkitan paru-parunya berulang.
Beliau juga merupakan Presiden kulit hitam Afrika Selatan yang pertama.
Semasa 19 hari terlantar di hospital, keluarganya dan masyarakat dunia hanya mampu melihat keadaan kesihatan pemimpin berusia 94 tahun itu semakin merosot.
Dalam pada itu, lebih ramai anggota polis dilihat berkawal di kawasan kejiranan Mandela semalam berbanding hari sebelumnya.
Di luar hospital, orang ramai tidak berhenti menghantar kalungan bunga dan mesej ucap selamat dengan sebahagian mereka menyanyikan lagu pujian kepada Mandela.
"Saya berada di sini kerana Tata (bapa) Mandela," kata penduduk berusia 38 tahun, Tolly Mogane.
"Berkat perjuangan Mandela, hari ini saya bebas, tiada siapa yang akan menghalau saya dari sini," tambahnya.
Selepas dibebaskan dari penjara pada 1990, Mandela melakukan rundingan yang menamatkan pemerintahan apartheid di Afrika Selatan.
Beliau kemudian memenangi pilihan raya pertama di negara itu yang diadakan melalui proses demokrasi sepenuhnya.
Mandela memegang jawatan sebagai Presiden Afrika Selatan selama satu penggal, sebelum mengambil peranan baru sebagai seorang negarawan dan aktivis kempen memerangi AIDS.
Mandela membuat keputusan untuk menjalani kehidupan lebih tenang bersama keluarganya pada 2004.- AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2XMhnJxRB 
Hakcipta terpelihara