Tuesday, November 10, 2015

Hamtramck catat sejarah AS majoriti ahli majlis orang Islam

ISNIN, 9 NOVEMBER 2015 @ 1:11 PM

WARGA muslim berjalan melepasi pasar Polish di bandar Hamtramck di Michigan, Amerika Syarikat. - Sumber csmonitor.com

HAMTRAMCK: Bandar Hamtramck, di Michigan mencatat sejarah apabila majoriti ahli majlis perbandarannya terdiri daripada orang Islam. Pemilihan ahli majlis yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan 22,000 penduduk Hamtramck yang sejarahnya berasal dari Poland, mengundi empat calon ahli majlis Muslim menganggotai panel terdiri daripada enam anggota. Ini menyaksikan calon ahli majlis Muslim itu menguasai dua pertiga daripada kedudukan majlis bandar Hamtramck. Pemimpin masyarakat Hamtramck, Bill Meyer, berkata calon ahli majlis Muslim telah banyak membantu membawa kestabilan, keselamatan dan ketenangan serta mengurangkan kadar jenayah di bandar itu. "Calon ahli majlis Muslim mendapat lebih 1,000 undi manakala tiga calon lain mendapat kurang daripada 700 undi," katanya. Pada tahun 2004, Hamtramck mendapat perhatian di Amerika Syarikat apabila majlis perbandaran membenarkan masjid menyiarkan azan dari pembesar suara. Penduduk beragama lain ketika itu mendakwa ia adalah satu pencerobohan Islam dalam kehidupan mereka walaupun ketika itu hanya seorang ahli majlis bandar beragama Islam. Ketika ini dianggarkan separuh daripada penduduk di Hamtramck beragama Islam dan kajian yang dijalankan penyelidik dari Universiti Michigan-Dearborn, Prof Sally Howell, menjangkakan Hamtramck mungkin telah menjadi bandar pertama yang mempunyai majoriti Islam di Amerika Syarikat. Bancian penduduk Amerika Syarikat mendapati bahawa Hamtramck kini mempunyai 24 peratus penduduk dari Arab, 19 peratus Afrika Amerika, 15 peratus Bangladesh, 12 peratus Poland, dan 6 peratus Yugoslavia. Empat anggota majlis Muslim yang baru, tiga adalah warga Bangladesh dan satu warga Yaman. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/95610

Wanita Britain bekerja percuma lebih sebulan




AFP - SEKUMPULAN pekerja wanita kilang Ford di Dagenham, England mogok kerana menuntut bayaran gaji saksama pada 1968.


LONDON – Wanita Britain kini bekerja secara percuma hingga hujung tahun ini disebabkan oleh jurang gaji antara mereka dan pekerja lelaki, kata sepasukan penyelidik semalam.
Wanita yang bekerja sepenuh masa dibayar purata kurang AS$7,500 (RM32,688) setahun berbanding pekerja lelaki, menurut laporan pertubuhan promosi hak wanita dalam pasaran buruh, Persatuan Fawcett.
Jurang pendapatan antara pekerja lelaki dan wanita itu berada pada paras 14.2 tahun ini, berkurangan berbanding 15.7 peratus pada tahun lalu.
Satu kaji selidik berkaitan yang disiarkan oleh Yayasan Thomas Reuters dan Yayasan Rockfeller pada bulan lalu mendapati lebih 50 peratus wanita Britain menyatakan kesaksamaan gaji menjadi isu paling utama mereka di tempat kerja.
Namun, perkara itu menjadi kebimbangan paling utama dalam kalangan wanita di Amerika Syarikat, Perancis, Kanada, Brazil dan Australia.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, David Cameron menyifatkan jurang tersebut sebagai satu skandal dan berikrar untuk memaksa syarikat-syarikat besar supaya mendedahkan purata gaji bagi pekerja lelaki dan wanita.
“Sudah tiba masanya untuk berbincang dan bertanya kepada majikan anda jika mereka bersedia untuk keperluan melaporkan jurang gaji,” kata ketua eksekutif Persatuan Fawcett, Sam Smethers.
Pada 2014, Britain merosot dari tangga ke-18 ke tangga ke-26 dalam Laporan Jurang Gender Global.
Iceland, Finland, Norway, Sweden dan Denmark pula tersenarai sebagai negara paling saksama gender di dunia, manakala Yemen pula di tempat tercorot. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3r5CAXS9x 
Hakcipta terpelihara