Tuesday, September 17, 2013

Sembilan tangki minyak Nato musnah

Sembilan tangki minyak Nato musnahKebakaran besar di bandar Hub, wilayah Balochistan.

QUETTA -PAKISTAN - Sekurang-kurangnya sembilan kapal tangki membawa bahan api untuk tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Afghanistan musnah menyebabkan kebakaran besar-besaran di barat daya Pakistan, kelmarin.
Pegawai kanan polis, Ahmad Nawaz Cheema berkata, kejadian itu berlaku di bandar Hub di wilayah Balochistan, kira-kira 45 kilometer dari bandar pelabuhan Karachi.

“Satu letupan menyebabkan sembilan kapal tangki minyak terbakar. Pihak kami tidak menolak kejadian itu dipercayai angkara tindakan ganas kumpulan militan,” katanya dalam laporan dipetik AFP

SENYUM....

Bakar rumah taktik halau setinggan Batu Sapi?


Teks dan foto: Azamin Amin,17 Sep 2013
PADANG JARAK...lebih 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

SANDAKAN: Setiap kali penduduk setinggan atau tanah teroka diarah berpindah akan berlaku insiden kebakaran misteri yang menyebabkan kehilangan harta benda dan nyawa.

Kejadian ini lazimnya terjadi selepas keengganan penduduk menuruti arahan kerana tidak berpuas hati dengan tempat tinggal baru yang disediakan termasuk pampasan rendah yang dijanjikan.

Demikian kata pengasas PAS Sabah yang juga Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Hamzah Abdullah, 7 September lalu kepada  kami -- saya dan Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman -- ketika berkunjung ke tempat kejadian, dekat Sandakan baru-baru ini.

Harakah dibawa melihat sebahagian rumah atas air Kampung Cenderamata, Batu Sapi, yang musnah dijilat api pada hari pertama Syawal lalu. Rombongan kami, yang kebetulan lewat tiba, ketika azan Maghrib hampir berkumandang, disambut penuh harapan.

Jelas sekali impian besar mereka mahu masalah yang menghimpit dapat diberi liputan meluas oleh pihak media, khususnya Harakah, agar penyelesaian tuntas dapaty disegerakan.

Seorang maut susulan kebakaran besar itu manakala lebih 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menetap di khemah sementara dan garaj kereta yang dibina berhampiran tempat kejadian.

Kata Hamzah, beberapa kes sama telah berlaku membabitkan setinggan, namun sehingga kini masih tidak ada tindakan daripada pihak berkuasa dan agensi kerajaan.

Bagi seorang penduduk, Edi Sumardi Jaffar, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.

Pada hari kejadian katanya, sepasang suami isteri dilaporkan bergaduh dan si suami dikatakan bertindak membakar rumahnya sendiri.

Namun yang menimbulkan kemusykilan lelaki yang dipercayai suami pasangan, telah mengeluarrkan seluruh isi barang dalam rumah terlebih dahulu, kemudian bertindak membakar menyebabkan api marak, melibatkan rumah kejiranan yang lain.

"Saya lihat percikan api yang jatuh ke dalam air disambar dengan cepat ... seolah-olah ada minyak yang telah disimbah di seluruh kawasan air dan sekitar rumah.

"Kita telah buat tiga laporan polis dibuat di Balai Polis Sandakan tetapi tiada dimaklumakan hasilnya.Ini termasuk siasatan pasukan bomba yang tidak mendedahkan punca kebakaran," kata Edi kepada Harakah.

Beliau memberitahu bahawa sebilangan besar penduduk yang menjadi mangsa sudah sebulan tinggal di dalam khemah dan garaj kereta sejak Aidilfitri lepas.

"Lebih sedih, dalam susah begini, mereka suruh kami pindah ke Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan membayar deposit...mana kami ada duit," katanya.

Wakil Rakyat kawasan Sekong Dato' Samsudin Yahya pernah dilaporkan berkata beliau bersama Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen akan berbincang dengan Ketua Menteri, Dato' Seri Panglima Musa Haji Aman mengenai cadangan pembinaan PPRT itu.

Dalam bencana itu, dengan segera PAS Sabah bersama anggota Jabatan Amal Malaysia, berusaha membantu meringan beban mereka, jelas Hamzah.

"Antara sumbangan yang disalurkan ialah berupa keperluan harian seperti beras, roti, baldi dan sebagainya serta pakaian terpakai dan duit raya kepada kanak-kanak," katanya.

Rata-rata mangsa kebakaran, termasuk Edi, melahirkan rasa kecewa sehingga sebulan lebih, insiden yang menimpa masih belum mendapat perhatian serius serta bantuan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Edi berkata penduduk sebelum kejadian itu telah lama mencuba untuk mengemukakan permohonan kepada pihak kerajaan untuk mendapatkan status kampung bagi mewujudkan perkampungan.

Keputusannya ialah arahan berpindah dan ianya dibuat sebelum kejadian kebakaran menimpa.

Selepas kebakaran, pihak Barisan Nasional telah meminjamkan dua buah khemah sebagai tempat teduh sementara, bagi lebih 98 keluarga.

"Tiba-tiba tanpa penjelasan BN telah mengambil dua khemah itu semula.

"Kami terpaksa tidur di garaj kereta beratap zing tapi malam tak boleh, panas," luahnya.

Salurkan sumbangan terus ke dalam akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM 5640 7000 0336. Bantuan akan diagihkan melalui PAS Kawasan Batu Sapi.

Keadaan penginapan mangsa di dalam khemah.

Tentera Filipina lancar serangan udara



SEORANG askar kerajaan membedil peluru mortar di bandar raya Zamboanga, selatan Filipina semalam.- REUTERS


ZAMBOANGA - Beberapa buah helikopter tentera membedil roket ke arah kawasan persembunyian gerila Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di sini semalam dalam usaha menamatkan konfrontasi selama lapan hari yang meragut berpuluh-puluh nyawa di selatan Filipina.
Tentera Filipina menyatakan, pihaknya semakin hampir menghapuskan kumpulan bersenjata MNLF yang menceroboh bandar raya ini untuk menggagalkan perjanjian damai antara kerajaan dengan seterunya, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
"Kami tahu mereka cuba melarikan diri," kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala sejurus sebelum serangan helikopter itu dilancarkan.
Dua buah helikopter membedil roket ke arah sejumlah gerila MNLF yang bersembunyi di dalam dan sekitar dua buah perkampungan tepi pantai semalam.
Ia merupakan serangan udara pertama sejak pihak tentera memulakan operasi menggempur anggota-anggota bersenjata MNLF pada Jumaat lalu.
Pada awal konfrontasi tersebut, kira-kira 200 gerila MNLF menawan berpuluh-puluh tebusan dan membakar ratusan kediaman sekali gus menyebabkan bandar raya ini lumpuh.
Seramai satu juta penduduk tinggal di sini yang merupakan pusat komersial utama di selatan Filipina.
"Kini tinggal cuma sekitar 100 gerila MNLF selepas berpuluh-puluh dibunuh dan ditangkap, manakala kubu mereka juga ditawan semula," ujar Zagala.
Namun, saki-baki anggota bersenjata MNLF itu katanya, masih bersembunyi dan menyamar sebagai orang awam.
Sebanyak 51 gerila MNLF dan enam anggota tentera serta empat orang awam terbunuh dalam pertempuran berkenaan.
Gerila Islam telah berjuang sejak tahun 1970-an untuk mendapatkan kemerdekaan atau status wilayah autonomi di selatan Filipina.
Dianggarkan seramai 150,000 orang terbunuh dalam kebangkitan tersebut.
Kerajaan Filipina masih berunding dengan MILF bagi mengembalikan keamanan di Pulau Mindanao, selatan Filipina dengan menjanjikan wilayah autonomi lebih luas kepada mereka.
Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan MNLF pimpinan Nur Misuari yang bimbang mereka akan dipinggirkan.
MILF yang mempunyai 12,000 anggota bersenjata merupakan kumpulan penentang terbesar di Mindanao. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2f68gWAHV 
Hakcipta terpelihara