Wednesday, October 29, 2014

Transkrip soal jawab Presiden PAS dengan peguam plaintif

HARAKAHDAILY | 29 Oktober 2014.
KUALA LUMPUR: Dalam PRU13 yang lalu terdapat beberapa pertindihan kerusi antara sesama parti Pakatan Rakyat dan pembangkang. Antara PKR dengan PSM di Dun Semenyih, DAP dengan PSM di Dun Jelapang, dan juga pertindihan calon-calon PAS dengan PKR di beberapa kerusi termasuk di Terengganu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam salah satu ceramahnya telah meberikan penjelasan kenapa berlaku pertembungan calon tersebut. Penjelasan dalam ceramah tersebut telah dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan dan kemudiannya pihak PKR mengambil tindakan menyaman Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi.Yang berikut transkrip soal jawab antara Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam perbicaraan di mahkamah tinggi Kuala Terengganu semalam, Selasa 28 Oktober, dengan peguam plaintif yang dipetik daripada Buletin Online

S1: Sila nyatakan jawatan Datuk Seri (Abdul Hadi Awang) sekarang?
Saya (Abdul Hadi) sekarang adalah seorang Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu iaitu Adun Rhu Rendang. Saya juga merupakan Presien kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Ahli Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

S2: Boleh Datuk Seri jelaskan kenapa hadir ke mahkamah pada hari ini?
Saya hadir ke mahkamah pada hari ini untuk memberikan keterangan bagi menafikan segala dakwaan dan saman fitnah yang dikaitkan pihak plaintif terhadap saya.

S3: Tadi Datuk Seri ada menyatakan sebagai Ahli Majlis PR (Pakatan Rakyat). Boleh jelaskan apakah fungsi ahli majlis PR itu?
Fungsi Ahli Majlis PR ialah untuk menyelaras perkara-perkara politik dan strategi bersama parti-parti kompenan PR.

S4: Sehari selepas hari penamaan calon PRU ke-13, adakah Datuk Seri terlibat dengan sebarang ceramah politik?
Ya, ada terlibat di beberapa tempat ceramah. Pertama, saya dijemput untuk memberikan ceramah sempena PRU13 selepas penamaan ialah di Kampung Tebakang. Dun Alor Limbat juga berada di dalam Parlimen Marang, tempat saya bertanding dalam pilihan raya tersebut sebagai mewakili calon Parlimen Marang.

S5: Boleh Datuk Seri jelaskan siapa lagi yang memberikan ceramah di situ?
Saya berceramah bersama dengan Ustaz Ariffin Deraman yang juga calon Dun Alor Limbat, Ustaz Muda Abdullah yang menggantikan Datuk Mustafa Ali.

S6: Lebih kurang berapa lama Datuk Seri berceramah?
Saya memberikan ceramah lebih kurang 30 minit sahaja kerana selepas itu ada beberapa tempat lagi yang perlu saya pergi.

S7: Boleh Datuk Seri jelaskan secara ringkas kandungan ceramah itu?
Secara umumnya kandungan ceramah saya menyentuh mengenai isu-isu pilihan raya, manifesto Pakatan Rakyat khususnya di negeri Terengganu dan isu pilihan calon.

S8: Apakah yang Datuk Seri maksudkan dengan isu pilihan calon sebagaimana yang Datuk Seri nyatakan tadi?
Terdapat beberapa kerusi Dun di beberapa negeri di Malaysia berlaku pertindihan kerusi antara sesama parti Pakatan Rakyat dan pembangkang. Contohnya, antara PKR dengan PSM di Dun Semenyih, DAP dengan PSM di Dun Jelapang, termsuk juga pertindihan calon PAS dengan PKR di beberapa kerusi di negeri ini. Dengan ini dijadikan isu oleh parti lawan (BN) yang menguasai media. Hal tersebut memerlukan penjelasan kepada saya selaku ketua parti.

S9: Mengapa penjelasan dibuat di Kampung Tebakang dan bukan di tempat lain?
Pertama, kerana ia merupakan ceramah pertama saya selepas penamaan calon, yakni saya dijemput untuk memberikan ceramah. Apabila saya dijemput untuk berceramah maka, saya akan sebut perkara yang sama di situ. Keduanya, ceramah itu dihadiri oleh pihak media.

S10: Sila beritahu mahkamah di manakah kerusi yang berlakunya pertindihan antara calon PAS dengan PKR?
Dun Panti di Johor, Dun Kota Damansara di Selangor, Dun Sungai Aceh di Pulau Pinang. Manakala, di Terengganu di Dun Seberang Takir, Dun Kota Putra dan Dun Bukit Besi.

S11: Adakah persoalan kandungan ceramah tersebut Datuk Seri ada merujuk kepada plaintif?
Tidak. Malah, saya tidak sebut nama sesiapa pun atau nama-nama tempat dan kerusi yang berlaku pertindihan tersebut. Nama calon pun saya tidak sebut.

S12: Adakah Datuk Seri mengenali plaintif sebelum plaintif memfailkan samannya kini kepada Datuk Seri?
Tidak. Saya tidak kenal dan tidak tahu langsung nama dia dan seingat saya, saya tidak pernah berjumpa dengan dia.

S13: Adakah Datuk Seri mempunyai sebarang permusuhan atau pertikaian dengan plaintif?
Dalam keadaan saya tidak kenal dia, tidak munasabah untuk saya mempunyai permusuhan atau pertikaian dengan plaintif.

S14: Adakah Datuk Seri mempunyai niat jahat terhadap plaintif semasa memberikan ceramah tersebut?
Tidak sama sekali. Saya tidak kenal dia (plaintif).

S15: Selain Kampung Tebakang di Alor Limbat. Adakah Datuk Seri memberikan ceramah yang khusus di tempat lain?
Hanya di Alor Limbat sahaja.

S16: Pada Ahli Majlis Presiden PR. Adakah ia juga memberi tanggungjawab kepada Datuk Seri untuk mempastikan bahawa setiap calon yang mewakili dalam parti-parti PR merupakan calon-calon yang berintegriti dan tidak dipertikaikan?
Ya.

S17: Adakah ini bermakna Datuk Seri selaku Presiden PAS berhak menentukan calon daripada parti-parti dalam Pakatan Rakyat?
Tidak. Kerana (integriti) ini ditentukan oleh parti masing-masing. Kami daripada Ahli Majlis Pakatan Rakyat hanya bertanggungjawab menjelaskan kriteria umum yang mesti dimiliki oleh calon Pakatan Rakyat.

S18: Berhubung dengan tindakan saman yang dikaitkan dengan Datuk Seri. Adakah Datuk Seri menerima sebarang surat tuntutan daripada pihak lain yang berkaitan dengan ceramah Datuk Seri sampaikan di Kampung Tebakang tersebut?
Ada daripada Encik Badrul Hisham Syaharin pada 8 Ogos 2014.

S19: Siapa yang menghantar surat tuntutan tersebut kepada Datuk Seri bagi pihak Encik Badrul Hisham?
Surat tuntutan itu dihantar oleh peguam Tetuan Vasudevan A & Co.

S20: Boleh Datuk Seri maklumkan kepada mahkamah siapa Encik Badrul Hisham ini?
Beliau adalah calon daripada PKR bagi Dun N21 Sungai Aceh Pulau Pinang pada Pilihan Raya Rmum ke-13.

S21: Apa yang terpenting daripada kandungan surat tuntutan tersebut?
Beliau mendakwa ucapan saya mengenai pil kuda di Kampung Tebakang merujuk kepada beliau.

S22: Adakah benar seperti yang didakwa oleh kandungan surat itu?
Tidak benar seperti yang saya katakan sebelum ini ucapan saya itu bersifat umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa. –HARAKAHDAILY 29/10/2014

Aibkan Anwar supaya rakyat hilang kepercayaan

Salahuddin bersalaman dengan Anwar sambil disaksikan Mahfuz di kantin Istana Kehakiman, Putrajaya. (Foto Wan Zahari)
MUHAMMAD FAIZAL |PUTRAJAYA:
 PAS menyifatkan pendakwaan fitnah liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai cubaan terakhir untuk menamatkan karier politik ketua pembangkang itu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan juga dilihat untuk mengaibkan Anwar supaya masyarakat hilang kepercayaan terhadapnya.

"Saya tidak boleh menyentuh perjalanan di dalam mahkamah secara langsung tetapi saya yakin apa yang dihadapi Anwar adalah percubaan akhir untuk kerajaan menamatkan karier politik beliau.

"Sama ada memenjara ataupun menghilangkan kredibiliti Ketua Pembangkang itu, tindakan ini secara tidak langsung untuk mengaibkannya supaya masyarakat hilang kepercayaan," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga yakin Anwar tidak akan berganjak dalam menghadapi situasi yang mencabar berhubung tuduhan fitnah tersebut.

Sejarah dan liku-liku kehidupan yang dihadapi Anwar kata Mahfuz, sudah cukup menunjukkan betapa kentalnya pemimpin politik itu.

Mahfuz turut berharap ahli-ahli dan penyokong PAS hadir pada hari esok bagi memberi sokongan moral kepada Anwar dan keluarganya.

"Terlalu banyak perderitaan yang dihadapi Anwar dan keluarganya, sejak dahulu mereka tidak pernah berhenti berhadapan dengan situasi yang cukup pedih dalam kehidupan.
"Saya fikir cara terbaik kita semua hadir memberi sokongan, esok merupakan hari terakhir dan mereka yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat wajar hadir," katanya.
PR perlukan Anwar

Sementara itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula mengharapkan akan ada keadilan ditegakkan dalam kes fitnah Anwar kali ini.

Beliau yang hadir di mahkamah hari ini turut memberitahu selagi doktrin pemisahan kuasa tidak wujud, keadilan di dalam sistem perundangan sukar ditegakkan.

"Saya mengharapkan perbicaraan anwar peringkat terakhir pada hari ini sebelum keputusan akan ada keadilan yang dapat ditegakkan.

"Kita sebenarnya masih dalam suatu perjalanan yang panjang untuk melihat tertegaknya suatu keadilan dalam negara, bila kita bercakap tentang doktrin pemisahan kuasa yang sehingga hari ini menjadi harapan rakyat," katanya.

Naib Presiden PAS itu turut mendoakan agar Anwar dan keluarga diberikan keadilan dalam konspirasi fitnah ini.

"Saya mendoakan dan mengharapkan Anwar serta keluarganya dapat diberikan keadilan dan keputusan yang benar-benar adil.

"Keputusan itu akan memberikan kembali sinar kehidupan kepada beliau sekeluarga, apa yang penting adalah kita masih memerlukan kehadirannya bersama Pakatan Rakyat," ujar beliau lagi.
-HARAKAHDAILY 29/10/2013

Kes Anwar: Dunia sedang memerhati Malaysia

MUHAMMAD FAIZAL|

Foto WAN ZAHARI |
PUTRAJAYA: Sebarang kesilapan khususnya dalam membuat keputusan berhubung kes fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi imej buruk kepada negara ini.Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, kes Anwar telah menarik perhatian peringkat antarabangsa dan mereka sedang mengikuti perjalanan proses perbicaraan.

"Pada hari ini ramai dari kalangan pemerhati daripada negara jiran dan Eropah yang ada di mahkamah, yang secara peribadi memberi pandangan mereka bahawa apa yang berlaku ini sedang diperhati dunia antarabangsa.

"Malaysia menjadi tumpuan utama dalam kes Anwar, mereka ingin melihat perjalanan dan ketelusan tentang keadilan sistem kehakiman negara ini," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui di lobi Istana Kehakiman hari ini.

Bagaimanapun kata Syed Azman, beliau yakin hakim akan membuat keputusan yang terbaik dan Anwar akan mendapat keadilan yang sebenarnya.

"Semua pihak pasti sudah mengetahui tentang impak yang dihadapi jika keputusan itu dibuat melalui campur tangan politik," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa PAS sentiasa memberi sokongan bukan sahaja kepada kes Anwar tetapi semua mereka yang berdepan ketidakadilan di negara ini.

Katanya, apa yang penting adalah memperjuangkan supaya sistem kahakiman negara benar-benar bebas dari campur tangan politik.

Semalam beliau turut turut hadir bersama-sama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu bagi memberi sokongan terhadap Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hari ini beliau, Salahudin dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar antara wakil PAS yang hadir di Mahkamah Persekutuan bagi memberi sokongan moral kepada Anwar.
HARAKAHDAILY 29/10/2014

Pusat hanya kaut hasil negeri tetapi tiada pembangunan

SALMIYAH HARUN
Kerajaan Pusat sepatutnya bersikap federalisme dalam berbelanja agar negeri-negeri yang mengeluarkan sumber alam tidak menjadi negeri termiskin, tegas Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Katanya, walaupun sesetengah negeri yang mengeluarkan sumber alam seperti Terengganu menghasilkan petroleum masih dikategorikan negeri yang miskin.

"Bagaimana kedudukan negeri setelah hasil yang dikutip kerajaan pusat tidak dikembalikan kepada negeri itu. Inilah yang sering kita dengar rintihan rakyat Sabah dan Sarawak. Rintihan ini sering disebut pada tiap kali ucapan," ujarnya ketika membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat petang ini.

Beliau berkata, kawasan Dun di Terengganu iaitu Bukit Besi yang dahulunya menghasilkan sumber utama bijih besi tetapi apabila kehabisan hasil akhirnya tidak ada pembangunan yang dibuat.

"Daripada apa yang berlaku, kita ambil sahaja hasilnya. Bagaimana hasil yang dikutip kerajaan pusat tetapi tidak dikembalikan kepada kawasan itu untuk pembangunan.

"Begitu juga di Rantau Abang, setelah habis pelancongan akhirnya tidak ada apa-apa. Inilah kita harus beri perhatian sumber diambil kenapa tidak dikembalikan," tegas beliau berhubung kawasan yang terkenal dengan pendaratan penyu suatu ketika dahulu.

Katanya, keadaan itu tidak mustahil akan berlaku di Kerteh apabila sumber yang ada iaitu industri petroleum nanti kehabisan, akhirnya pembangunan tidak berlaku. HARAKAHDAILY 29/10/2014

Pelajar mahu rundingan langsung


Hong Kong: Selepas genap sebulan protes prodemokrasi berlangsung di Hong Kong, pemimpin pelajar semalam menggesa rundingan langsung diadakan dengan pegawai Beijing dan ia gesaan pertama dibuat setakat ini.
Dalam perhimpunan di kem utama semalam, ribuan payung dikembangkan bagi memperingati detik permulaan tunjuk perasaan itu September lalu apabila polis melepaskan gas pemedih mata.
Protes berlangsung itu yang paling besar dibuat bagi mencabar Beijing sejak insiden berdarah Medan Tiananmen pada 1989.
Ketika penunjuk perasaan bergerak ke lokasi utama itu, Presiden Persekutuan Pelajar Hong Kong, Alex Chow berkata, dia akan cuba bertemu Perdana Menteri China, Li Keqiang jika Hong Kong gagal memenuhi tuntutan mereka.
“Kami benar-benar berharap pihak berkenaan boleh mengatur pertemuan secara langsung dengan perdana menteri secepat mungkin,” katanya.
Menjadi wilayah separa autonomi, Hong Kong dikenali sebagai hab kewangan Asia sebelum ia lumpuh akibat protes besar-besaran itu.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 8:41 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5030#sthash.ZochqbgQ.dpuf

Chow: Saya tidak kisah

CHOW
Hong Kong: Aktor popular Chow Yun-fat berkata, dia tidak kisah disenarai hitam oleh Beijing dan menyebabkan pendapatannya merosot.
“Apa salahnya? Saya juga akan kekurangan pendapatan,” katanya.
Komen itu dibuat Chow selepas ditanya media mengenai tindakan pihak berkuasa meletakkan namanya serta beberapa selebriti lain dalam senarai hitam.
Kesalahan mereka ialah menyuarakan sokongan kepada gerakan prodemokrasi yang sedang berlangsung di Hong Kong.
Selain Chow, turut menjadi sasaran Beijing ialah penyanyi, Denise Ho, dan dua pelakon, Tony Leung serta Andy Lau.
Awal bulan ini Chow dilaporkan bertemu penduduk dan pelajar Hong Kong untuk menyatakan kekagumannya terhadap keberanian mereka.
Memasuki minggu kelima, protes yang turut digelar sebagai Revolusi Payung itu menuntut kerajaan melakukan reformasi pilihan raya.
Antara kehendak aktivis, seseorang calon yang ingin menyertai pilihan raya tidak perlu mendapat keizinan Beijing.
Kata Chow, dia sangat terharu melihat kesungguhan mereka menuntut ruang demokrasi yang lebih luas daripada kerajaan China.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 8:42 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5032#sthash.TzsvZLdb.dpuf

Sistem pengangkutan di Latin Amerika paling tidak selamat untuk wanita

Sebahagian daripada penumpang bas ketika waktu puncak di Bogota. Kaji selidik Yayasan Thomson Reuters mendapati sistem pengangkutan di Bogota paling tidak selamat untuk wanita. - Foto REUTERS
LONDON: Bandar raya di Latin Amerika mempunyai sistem pengangkutan paling bahaya untuk wanita sementara New York pula paling selamat, demikian menurut kaji selidik Yayasan Thomson Reuters di beberapa bandar raya terbesar dunia.
Kaji selidik itu mendapati di bandar raya Latin Amerika, setiap enam daripada 10 wanita diganggu secara fizikal.
Tinjauan di 15 bandar raya terbesar dunia itu dan New York, bandar raya paling ramai penduduk di Amerika Syarikat, mendapati Bogota di Colombia berada di tangga teratas sebagai mempunyai pengangkutan awam paling tidak selamat, menyebabkan wanita takut untuk melakukan perjalanan pada waktu malam.
Ini diikuti dengan bandaraya Mexico, Lima dan kemudian New Delhi.
Kaji selidik dalam kalangan lebih 6,550 wanita dan pakar gender juga meletakkan Moscow sebagai ibu negara Eropah paling teruk, di tangga kesembilan dalam senarai, menyebabkan wanita tidak yakin pihak berkuasa akan menyiasat gangguan yang berlaku.
Paris berada di tangga ke-11 berikutan perasaan tidak yakin bahawa penumpang lain akan membantu wanita dalam kesusahan.
New York diberi rating terbaik dalam kalangan 16 bandar raya oleh wanita di mana mereka ditanya mengenai keselamatan dalam kereta api dan bas.
Ini diikuti dengan Tokyo, ibu negara terbesar dunia dengan 38 juta penduduk, kemudian Beijing dan London.
Mary Crass, Ketua Dasar Forum Pengangkutan Antarabangsa, sebuah kumpulan pemikir Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), berkata keadaan di mana wanita berasa takut untuk menggunakan pengangkutan awam di beberapa bandar raya utama adalah membimbangkan dan perlu ditangani. - REUTERS

Kg Chubadak: Tragedi Muharam 1436 hilang kemanusiaan

 Kawasan rumah penduduk Kampung Chubadak yang sudah dirobohkan oleh pemaju. (Foto dari fb)
MOHD NOOR MOHAMAD

PAS Wilayah Persekutuan berasa dukacita, sedih, pilu serta terkejut dan memandang serius kejadian perobohan rumah pasangan warga Malaysia berbangsa Melayu di Kampung Chubadak, Kuala Lumpur pada hari semalam, 4hb Muharram 1436 bersamaan 28hb Oktober 2014.

Apatah lagi apabila kami dimaklumkan bahawa rumah tersebut adalah milik pasangan warga emas yang sudah menetap di situ sekitar 45 tahun lamanya.

Apa yang lebih mengejutkan kami juga ialah, operasi perobohan itu dilaksanakan tanpa notis awal. Apatah lagi menurut laporan yang kami terima, sehingga kini pihak pemaju masih gagal melunaskan bayaran pampasan kepada pasangan warga emas tersebut. Mereka datang dan terus roboh!

Ianya merupakan satu kemalangan dan tragedi  kepada isu kemanusian dan kebajikan rakyat Malaysia. Apatah lagi mereka yang menjadi mangsa kezaliman tersebut adalah terdiri daripada golongan yang lemah dan tidak berdaya. Apa yang mereka miliki hanya semangat dan lidah untuk mengungkapkan kata-kata mempertahankan hak mereka. "Tolong jangan roboh rumah kami".  Ungkapan pendek tapi sayang adakah ianya sampai kepada perdengaran Perdana Menteri kita yang terkenal dengan ungkapan 'Rakyat didahulukan'?

Kami PAS Wilayah Persekutuan yakin rintihan itu pasti Allah s.w.t akan mendengarnya. Sekiranya isu Kampung Chubadak pun kerajaan gagal untuk mencari penyelesaian yang baik, apatah lagi rakyat Malaysia boleh harapkan daripada kerajaan ini?

Tanah sekangkang kera yang didiami pasangan warga emas yang berjasa kepada Kota Kuala Lumpur pun diambil dengan sedimikian rupa, inikan pula tanah milik rizab Melayu yang dikatakan agak terancam di tempat-tempat yang lain?

Walaupun pelbagai alasan diberikan oleh pihak DBKL kepada pemilik rumah tersebut, adakah nilai kemanusiaan juga kita tidak boleh bertolak ansur?

Pasangan warga emas yang terdiri daripada 12 ahli keluarga tersebut bukanlah asing kepada kita, mereka berbangsa Melayu dan apa yang lebih penting daripada seorang Melayu iaitu mereka adalah manusia beragama Islam dan banyak berjasa kepada bumi kota raya ini. Tetapi inikah balasannya!

Rasulullah s.a.w bersabda:
ثلاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَاباتٌ لهُنَّ ، لا شَكَّ فيهِنَّ : دَعْوَةُ المَظْلومِ ، و دَعْوَةُ المُسافِرِ ، و دَعْوَةُ الوالدينِ على ولدِهِما
الراوي: أبو هريرة المحدث: المصدر: صحيح الأدب المفرد - الصفحة أو الرقم: 24
خلاصة حكم المحدث: حسن
Maksudnya: Tiga doa yang akan dimustajabkan oleh Allah s.w.t. tanpa ada keraguan baginya: Pertama, doa orang yang dizalimi. Kedua, doa orang yang bermusafir dan yang ketiga, doa kedua-dua ibu bapa ke atas anak mereka. - HARAKAHDAILY 29/10/2014
Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Kes liwat: Petugas media dilempar telur oleh penyokong Anwar

JURUGAMBAR The New Straits Times Press, Mohamad Shahril Badri Saali dibaling telur oleh penyokong Anwar ketika provokasi membabitkan kumpulan itu dengan polis berlaku di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya petang ini.
RABU, 29 OKTOBER 2014 @ 3:35 PM
 PUTRAJAYA: Seorang jurugambar media yang membuat liputan rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Istana Kehakiman di sini, dibaling telur.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.50 petang tadi dipercayai dilakukan segelintir penyokong Anwar ketika insiden provokasi terjadi antara kumpulan berkenaan dengan anggota keselamatan.
Terdahulu, penyokong berkenaan menggesa pihak polis supaya membuka penghadang yang dipasang di sekitar Istana Kehakiman bagi membolehkan mereka memasuki sebahagian kawasan pekarangan bangunan berkenaan.
Mereka juga menggunakan alasan mahu berteduh dan mengelak daripada hujan sekali gus memaksa pihak polis membuka sebahagian penghadang besi itu bagi memberi laluan kumpulan berkenaan berteduh di bawah khemah berbumbung yang dipasang berhampiran lokasi terbabit.
Khemah berbumbung itu dipasang di sepanjang laluan hadapan bangunan Istana Kehakiman untuk program yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.
Sementara itu, ceramah oleh pemimpin pakatan pembangkang di kawasan berkenaan masih diteruskan.
Antara yang menyampaikan ucapan, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail.

DNA 'Lelaki Y' bukan milik Anwar - Peguam

PUTRAJAYA: Profil DNA 'Lelaki Y' yang dijumpai dalam rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan bukan milik pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.
Sangeet Kaur Deo, dalam hujahnya di hadapan lima panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, berkata tiada bukti sama sekali untuk mengaitkan "Lelaki Y" dengan Anwar.
Beliau menjelaskan tiada seorang pegawai polis yang bertugas di lokap melihat Anwar menggunakan tiga barangan - berus gigi, tuala Good Morning dan botol air mineral - yang telah diberikan kepadanya oleh pihak polis ketika beliau ditahan semalaman dari 16 Julai 2008 hingga 17 Julai 2008.
Sangeet berkata, seorang pegawai polis memberitahu mahkamah bahawa dia hanya mendengar bunyi seolah-olah Anwar memberus giginya.
"Dia melihat Anwar menggunakan tandas sel tetapi dia tidak melihat perayu (Anwar) memberus gigi," katanya.
Oleh itu, beliau berkata, adalah tidak mungkin untuk menghubungkan profil DNA 'Lelaki Y' untuk Anwar kerana ia boleh menjadi sesiapa sahaja.
Ketika ditanya Hakim Arifin sama ada terdapat orang lain dalam sel itu, Sangeet berkata Anwar adalah penghuni tunggal.
Beliau berhujah bahawa pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan bahawa Anwar telah menggunakan barangan itu, bagaimanapun, pegawai polis tidak pernah melihat Anwar menggunakannya.
"Keterangan mengikut keadaan biasanya bergantung kepada bila tidak ada keterangan langsung. Tetapi dalam kes ini, kita mempunyai saksi yang melihat perayu tidak menggunakan barang-barang itu," katanya.
Namun, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, menjelaskan bahawa dalam undang-undang, keterangan mengikut keadaan boleh digunakan, tidak semestinya hanya mengarahkan keterangan, ia boleh menjadi kedua-duanya.
- BERNAMA

Nurul Izzah, suami cuba cari penyelesaian terbaik hak penjagaan anak



NURUL Izzah Anwar (kanan) dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berjalan keluar dari Mahkamah Syariah selepas sebutan kes permohonan cerai mereka di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Raja Ahmad Shahir Iskandar Raja Salim dan isterinya, Nurul Izzah Anwar masih cuba mencari penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan isu hak penjagaan anak (hadanah) yang difailkan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada April lalu.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Raja Ahmad Shahrir, ketika ditemui media di luar mahkamah selepas kes itu disebut di dalam kamar Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Amran Mat Zain hari ini.
Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam Normawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah.
Namun, pasangan suami isteri itu tidak menghadiri prosiding berkenaan.
Azmi berkata, pihak plaintif (Nurul Izzah) menghantar draf perjanjian berhubung cadangan hak penjagaan kedua-dua anak mereka menerusi e-mel kepada suaminya minggu lalu.
Azmi yang enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai draf perjanjian berkenaan berkata, Raja Ahmad Shahir Iskandar memerlukan masa untuk meneliti cadangan berkenaan.
"Mahkamah turut mengarahkan defendan (Raja Ahmad Shahir) memasukkan pembelaan sekiranya tiada jalan penyelesaian berhubung isu hak penjagaan anak. 8 Disember ditetapkan untuk sebutan," katanya.
Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, memfailkan permohonan hadanah itu pada 30 April lalu mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Pada awal Januari lalu, Nurul Izzah yang juga anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan cerai terhadap Raja Ahmad Shahir mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.
Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.
- BERNAMA

Perhimpunan di hadapan Istana Kehakiman tiada permit - Polis


PUTRAJAYA: Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai permit untuk mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Kehakiman di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata polis tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan itu.
"Setakat ini, perhimpunan ini aman namun tiada permit yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita di hadapan bangunan itu, di sini, hari ini.
Beliau turut mengulas insiden seorang jurugambar The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Mohamad Shahril Badri terkena sebiji telur yang dipercayai dibaling dari arah penyokong Anwar.
Katanya, polis tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku selain individu serta motif insiden itu.
Sementara itu, polis membuka pagar yang ditempatkan di hadapan Istana Kehakiman kira-kira 3 petang tadi bagi memberi ruang kepada penyokong Anwar berteduh daripada hujan di bawah khemah yang dipasang untuk satu majlis anjuran Perbadanan Putrajaya.
"Mereka minta pagar dibuka sebab hujan dan hendak berteduh di khemah... atas dasar perikemanusiaan, kita membukanya," kata Abdul Razak.
Namun, anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tetap berkawal bagi mengelak penyokong menghampiri pekarangan bangunan itu.
Hari ini adalah hari kedua pendengaran rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di sini.
- BERNAMA

PAS Cadang Malaysia Bina Taman Tema Al-Quran Pertama Di Dunia


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 5:32 PM
Ahmad Marzuk Shaary.

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen PAS mencadangkan agar Malaysia membangunkan sebuah taman tema Al-Quran terbesar yang pertama di dunia yang dipercayai mampu menarik lebih ramai pelancong dan mendatangkan lebih banyak pahala kepada negara.

Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) berkata taman tema tersebut lebih bermanfaat daripada peruntukan bernilai RM30 juta yang dicadangkan untuk membina pusat percetakan kedua terbesar di dunia di Putrajaya.
"Saya mencadangkan peruntukan itu dipinda dan digunakan untuk pembinaan taman tema seperti dicadangkan.

"Di Malaysia, kini sudah ada Legoland, Sunway Lagoon dan Lost World of Tambun.

"Kini sudah tiba masanya seluruh dunia datang ke Malaysia untuk mempelajari Al-Quran di dalam taman tema," katanya ketika membahaskan ucapan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahmad Marzuk turut mencadangkan taman tema itu dibahagikan kepada 114 bahagian untuk melambangkan 114 surah dalam Al-Quran.

Beliau amat yakin kerajaan PAS Kelantan akan menawarkan tanah untuk projek tersebut.

Ketika ditanya oleh Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) mengenai kos projek yang dicadangkan itu, Ahmad Marzuk berkata, ia bukan menjadi kebimbangan pada masa sekarang.

"Kos bukan satu isu. Apa yang penting adalah lampu hijau daripada kerajaan. Sudah tentu ada peruntukan tambahan daripada kerajaan," katanya.

Kes Liwat II: Pembelaan Anwar Dakwa Konspirasi Dan Kekhilafan Dalam Analisis Data


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 12:42 PM

PUTRAJAYA: Perbicaraan rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim disambung pada Rabu dengan peguam-peguam pembelaan terus mengemukakan penghujahan mengapa Mahkamah Persekutuan harus membatalkan sabitan dan hukuman lima tahun penjara terhadap Penasihat PKR itu.    

Selepas penghujahan panjang lebar oleh peguam utama Datuk Seri Gopal Sri Ram pada Selasa, tiga peguam lain pembelaan menyatakan mereka memerlukan sepanjang hari ini untuk membuat penghujahan mereka.    

Peguam N.Surendran meneruskan penghujahannya di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.    

Ia diikuti peguam Sangeet Kaur Deo yang akan berhujah mengenai sampel yang diambil daripada sel di mana Anwar ditahan semalaman di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur susulan laporan polis oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan mengenai dakwaan kejadian itu.

Sementara itu, peguam Ram karpal Singh mungkin berhujah dengan terperinci mengenai analisis DNA di mana beliau akan mempertikaikan integriti sampel yang diambil daripada Mohd Saiful.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan pula dijangka membuat penghujahannya pada Khamis, dan prosiding rayuan kes liwat Anwar mungkin berlanjutan sehingga Jumaat.  

Mahkamah Apex (mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia) dijadual menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusannya kerana pihak pendakwaan dan pembelaan membuat penhujahan secara menyeluruh mengenai kes itu selain membawa isu-isu baharu untuk dipertimbangkan mahkamah.

Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar atas kesalahan meliwat Mohd Saiful atas alasan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti mengenai integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful.

Mahkamah telah memutuskan bahawa sampel itu boleh terjejas sebelum ia tibadi Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan penghakiman MahkamahTinggi dan mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan itu terkhilaf  apabila meragui integriti sampel berdasarkan keterangan dua pakar saksi yang dipanggil oleh pihak pembelaan.   

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan itu yang didakwa dilakukan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.40 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ini kes liwat kedua terhadap Anwar.  Dalam kes pertama, Anwar didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.

Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah setelah disabitkan terhadap empat tuduhan rasuah pada 4 April 1999.   

Anwar dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad meminda sabitan kesalahan itu dan mengetepikan hukuman penjara terhadap dakwaan meliwat Azizan, dalam keputusan majoriti 2-1.   

Anwar dibebaskan apabila Abdul Hamid dan dua lagi hakim Datin Paduka Rahmah Hussain dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud bercanggah dari segi tarikh sebenar kejadian liwat, walaupun pada umumnya, ketiga-tiga hakim itu bersetuju bahawa berlakunya aktiviti liwat antara Anwar, Azizan dan adik angkat Anwar,Sukma Darmawan Sasmitaat Madja. 

11,000 Pemohon Suaka Politik Di Britain Masih Menanti


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 12:17 PM
Bandar raya London.

LONDON: Terdapat sekurang-kurangnya 11,000 pemohon suaka politik masih menanti di Britain sama ada mereka akan diberi perlindungan.
Kebanyakannya sudah menanti lebih dari tujuh tahun.
Kementerian Dalam Negeri yang melakukan proses tapisan dan penentuan terakhir telah meluluskan perlindungan ke atas 29,000 pemohon sejak 2007 tetapi masih terdapat 11,000  lagi permohonan yang belum diselesaikan, demikian menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Rabu.
"Memang ini satu tekanan yang besar tetapi Kementerian Dalam Negeri perlu menyelesaikan masalah ini dengan segera," kata Pengerusi PAC, Margaret Hodge.
Kerajaan Konservatif pimpinan David Cameron, menyalahkan kerajaan Buruh sebagai punca masalah seumpama ini menjadi terjadi.
Kerajaan Buruh memerintah Britain sehingga 2010.
"Sistem imigresen yang kami warisi dari Kerajaan Buruh gagal berfungsi sepenuhnya dengan amalan korup dan penyalahgunaan kuasa dan ketidakupayaan untuk menangani isu seperti permohonan suaka politik, apatah lagi usaha untuk memulihkan kembali sistem yang korup ini memakan masa yang panjang," kata Menteri Imigresen dan Keselamatan James Brokenshire.
Kerajaan Konservatif pada Mac tahun lalu menutup Agensi Sempadan UK kerana kegagalan mereka untuk mengendalikan isu-isu tertunggak melibatkan permohonan suaka politik.
Sejak itu, tiga direktorat utama - Jabatan Imigresen dan Visa UK, Unit Penguatkuasaan dan Persempadanan Imigresen - telah mengambil alih tanggungjawab tersebut.
Bagaimanapun kes tertunggak masih tidak dapat dielakkan apabila 120 pegawai kes yang melibatkan jabatan-jabatan berkaitan terpaksa diberhentikan ekoran pemotongan bajet tahun lalu.
Pada masa yang sama, 175,000 orang pemohon yang kes mereka ditolak kini sedang menanti untuk dihalau keluar dari Britain.
Pada 2012, sejumlah 50,000 pemohon yang permohonan mereka telah ditolak didapati 'hilang' dari senarai dan tidak dapat dihubungi atau dikesan keberadaan mereka.

Kes Liwat II: Anwar Enggan Berucap, Ditemuramah Media


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 6:55 PM
Anwar bersama Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah keluar selepas selesai prosiding hari pertama pendengaran rayuan kes liwanya di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, Selasa.

PUTRAJAYA: Selesai sesi pendengaran rayuan terakhir kes liwatnya pada hari pertama, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar bertemu penyokongnya di pekarangan Istana Kehakiman di sini.

 
Ketua pembangkang itu juga enggam ditemuramah pihak media dan sekadar memberi isyarat tangan untuk 'tidak bercakap' apabila diminta anggota parti dan penyokongnya untuk memberi sepatah dua kata.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bersalaman dan berbual seketika dengan penyokongnya sebaik keluar dari bangunan itu pada pukul 5.50 petang.

Turut mengiringi Anwar adalah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anak perempuannya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Tepat pukul 6 petang, Anwar menaiki kereta bersama Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah dan meninggalkan kompleks mahkamah.

Hari kedua pendengaran rayuan akan bersambung Rabu pada pukul 9.30 pagi yang juga merupakan  hari terakhir pendengaran namun berkemungkinan besar ia akan berlanjutan sehingga Khamis.

Kes Liwat II: Penyokong Saiful Bukhari Naik Mendadak, Nafi 'Dibayar'


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 11:54 AM

PUTRAJAYA: Penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan di Istana Kehakiman pada hari kedua prosiding kes liwat Datuk Anwar Ibrahim yang meningkat mendadak hadir dengan perancangan lebih teratur.

 
Berbanding hari pertama, kehadiran penyokong Saiful dengan poster dan sepanduk menuntut keadilan dilihat bertambah kira-kira pukul 11 pagi, Rabu.

Sambil itu, mereka turut melaungkan slogan 'Tangkap Anwar', 'Dia Mangsa Kezaliman' dan sebagainya.

Namun, rata-rata mereka menafikan dibayar oleh pihak tertentu untuk datang memberikan sokongan terhadap Saiful.

Seorang surirumah, Rogayah,68, berkata, dia hadir di bangunan Mahkamah Persekutuan pada Rabu kerana mahukan keadilan ditegakkan.

Dia yang datang menaiki bas dari Ampang bersama penyokong lain bertolak pada pukul 8 pagi untuk ke Putrajaya.

"Saya tidak sokong siapa-siapa tetapi hanya menuntut keadilan, tetapi dalam kes ini saya yakin Saiful tidak bersalah dan perlu mendapat keadilan.

"Kami datang dengan kerelaan hati, tidak dibayar oleh sesiapa," katanya.

Seorang lagi penyokong Saiful, Abd Rahman, 59,  menyatakan harapannya agar Anwar dihukum penjara, bagaimanapun sebaliknya yang berlaku, dia tetap menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Dia yang menaiki motosikal dari Sepang turut menafikan dibayar oleh pihak tertentu untuk menyokong Saiful.

"Saya datang secara sukarela, tak ada arahan mana-mana pihak atau mendapat bayaran," katanya.

Ramlah, 69, yang datang menaiki bas dari Pandan berkata, dia adalah seorang yang menyokong keamanan dan keadilan.

"Sebab itulah saya berada di sini dan menyokong Saiful.

"Kedatangan saya tak ada kaitan dengan mana-mana pihak kerana saya datang secara sukarela" katanya.

Tatu Tak Halang Kemasukan ATM - Rahim Bakri


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 12:32 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak dakwaan kononnya lukisan tatu di badan menjadi penghalang untuk golongan belia khususnya dari Sarawak menganggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, isu tatu yang menjadi tradisi masyarakat Bumiputera di Sarawak bukan antara kriteria pengambilan masuk ke pasukan keselamatan itu.

"Ramai calon perajurit muda yang dipilih sebagai tentera darat memiliki pelbagai tatu yang berunsurkan tradisi dan etnik.

"Tidak timbul dan tidak benar sama sekali bahawa isu pilih kasih atau menolak calon Bumiputera Sarawak yang bertatu semasa pemilihan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Wiliam Mawan Ikom (BN-Saratok) yang bertanya mengenai dakwaan kemasukan belia Dayak ditolak kerana memiliki tatu.

Bagaimanapun Abdul Rahim berkata, ATM tetap memandang serius jenis tatu terutamanya yang tidak menjurus atau lambang gejala atau aktiviti tidak sihat iaitu bukan tatu biasa yang berunsur tradisi etnik Bumiputera Sarawak.

"Justeru itu tidak timbul sebarang kesangsian bagi penyertaan rakyat Sarawak dalam ATM khususnya dalam perkhidmatan tentera darat.

"Sebagai contoh pada masa kini, penyertaan Bumiputera dari Sarawak menyumbang sebanyak 9.6 peratus kepada keseluruhan kekuatan tentera darat," katanya.

Tambah beliau, bagi setiap siri pengambilan, sebanyak 8.7 peratus perajurit muda adalah terdiri daripada bumiputera Sarawak.