Monday, June 27, 2011

Lapan beranak terpaksa ikat perut



SANTAN – Seorang wanita bersama tujuh anak dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Santan II di sini, terpaksa ikat perut kerana hilang punca pendapatan selepas ditinggalkan suami sejak enam bulan lalu.

Wanita malang itu, Hasmiza Hamdan, 32, berkata, suaminya yang berasal dari Perak itu kadangkala akan bekerja di luar negeri selama beberapa minggu bagaimanapun, dia akan pulang semula ke rumah.

Namun, kini suaminya yang keluar meninggalkannya bersama tujuh anak berusia antara sebulan hingga 15 tahun itu langsung tidak pulang dan tidak diketahui lokasi sebenar dia berada.

“Suami selalu tinggalkan kami dan keluar bekerja hingga ke Kedah dan Pulau Pinang tetapi dalam tempoh beberapa minggu saja dan akan balik selepas itu. Tetapi, kali ini dia sudah menghilangkan diri sejak Januari lalu.

“Sejak suami tiada, kami tiada pendapatan kerana saya tidak bekerja. Malah, makan minum dan perbelanjaan sekolah anak juga mendapat ihsan ahli keluarga dan adik-beradik saya yang terdekat,” katanya ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Sabry Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan.

Hadir sama, Pengerusi KRT Taman Santan II, Shamsudin Mohamad.

Hasmiza berkata, dia berjaya bercakap dengan suami beberapa kali melalui telefon bimbit. Melalui perbualan, dia menceritakan kepada suami tentang masalah yang dihadapi sepanjang ketiadaannya.

“Namun, suami hanya mendiamkan diri dan tidak pula memberitahu di mana dia berada malah, tidak berjanji untuk balik ke sini,” katanya ketika

Sabry selepas pertemuan itu berkata, pihaknya akan memberi bantuan peralatan seperti kereta sorong bagi membolehkan Hasniza berniaga minuman dan makanan secara kecil-kecilan di hadapan rumah.

“Kita akan memikirkan bantuan terbaik untuk Hasniza namun, setakat ini kita lihat bantuan peralatan untuk berniaga di hadapan rumah seperti kereta sorong dan sebagainya bersesuaian.

“Selain itu, kita akan daftarkan Hasniza di bawah program e-kasih bagi membolehkan di mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.

Sebelum itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis hadir ke rumah Hasniza menyampaikan barangan makanan dan membuat siasatan tentang masalah yang dihadapi Hasniza.
SH

Dakwa SPR pernah tipu rakyat



IPOH - Pemuda Pas Pusat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pernah menipu rakyat negara ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) 12 lalu khususnya berhubung pembelian dakwat kekal yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM3 juta.

Naib Ketuanya, Raja Ahmad Al-Hiss berkata, pembelian berkenaan hanya sia-sia apabila dakwat berkenaan tidak digunakan pada PRU 12 berikutan pelbagai alasan daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) serta SPR khususnya apabila mengatakan kabinet tidak bersetuju dengan penggunaan dakwat itu.

Selain itu, menurut Raja Ahmad, SPR juga telah diberi kuasa untuk tidak meneruskan penggunaannya walaupun setelah pembeliannya dilaksanakan.

“Jika disingkap kembali isu pembelian dakwat kekal oleh SPR pada 2008 lalu yang difahamkan akan digunakan pada PRU 12, jelas bahawa SPR pernah menipu rakyat.

“Oleh itu, adakah dengan membatalkan perhimpunan Bersih pada 9 Julai depan dapat menjamin tiada penipuan akan berlaku lagi?

“Adakah janji SPR ini boleh diterima rakyat kerana berdasarkan rekod sedia ada, SPR pernah menipu dan membazirkan wang rakyat?,” katanya.

Sementara itu, Raja Ahmad berkata, pihaknya begitu ragu dengan keikhlasan SPR kerana jelas mereka hanya ingin memastikan BN terus berkuasa di negara ini walaupun dengan cara kotor.

Katanya,perkara berkenaan jelas telah berlaku di Perak hingga telah mencalarkan amalan demokrasi di Malaysia.
SH

AJK Masjid Bandaraya, Likas menghalau pemuda bersolat


Blog Dewan Pemuda Pas kawasan Sepangar dalam entrinya menunjukkan rasa kesal dengan sikap angkuh salah seorang AJK Masjid Bandaraya, Likas, Kota Kinabalu yang menghalau seorang pemuda daripada menunaikan solat di masjid itu semata-mata kerana pemuda tersebut memakai baju BERSIH.

Menurutnya lagi, kejadian itu dapat dilihat oleh seluruh ahli kariah yang turut sama bersolat di masjid
tersebut.

Pemuda yang tidak mahu namanya dikenali itu, sememangnya sering menunaikan solat di masjid tersebut telah dihalau keluar dari masjid selepas selesai menunaikan solat maghrib.


Pemuda itu turut dituduh munafik oleh AJK masjid tersebut yang di kenali sebagai Hj Paiman. Bukan sekadar dilemparkan dengan kata-kata kesat bahkan turut ditolak dengan kasar.

"Situasi yang memalukan ini akhirnya dileraikan oleh salah seorang ahli kariah yang masuk campur. Ahli
kariah itu dengan nada yang tegas telah menegur AJK masjid tersebut kerana sikapnya yang memalukan itu. Beliau membela pemuda tadi, dan memarahi AJK masjid tersebut kerana menghalau anak muda dari
bersolat semata-mata kerana mamakai baju BERSIH.


Menurut Dewan Pemuda Pas kawasan Sepangar, perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Sehubungan dengan itu, DPP Sepangar menggesa agar Jawatankuasa Masjid Bandaraya segera mengambil tindakan terhadap AJK masjid tersebut di atas sikap beliau yang merosakan imej Masjid Bandaraya yang sememangnya terkenal dikalangan para pengunjung dan pelancong.

Manakala mengenai himpunan BERSIH yang akan diadakan pada 9 Julai nanti, DPP Sepangar menyeru
seluruh rakyat Sabah agar berpakaian berwarna kuning dan keluar ke bandar beramai-ramai bersama
keluarga masing-masing, katanya lagi dalam blog tersebut.




Sumber daripada blog Dewan Pemuda Pas SepanggarSH

700 hilang tempat tinggal akibat Israel pergiat musnah rumah penduduk Palestin

TIADA TEMPAT BERTEDUH: Keluarga Badwi Palestin ini memeriksa harta benda mereka selepas tentera Israel memusnahkan rumah mereka di perkampungan Fasa'il di Lembah Jordan, Tebing Barat, Selasa lalu. -- Foto AP

TEL AVIV: Tentera Israel memperhebat pemusnahan kediaman Palestin di Tebing Barat tahun ini, menyebabkan 700 orang kehilangan tempat tinggal.
Kumpulan hak asasi manusianya B'Tselem dalam satu kenyataan berkata tentera Israel memusnahkan 103 kediaman membabitkan 700 penghuni tahun ini.Angka kemusnahan itu lebih tinggi berbanding pada 2010 apabila 86 rumah dimusnahkan, tetapi rejim Zionis mendakwa memusnahkan hanya rumah yang dibina tanpa permit.B'Tselem berkata penduduk Palestin tiada pilihan lain kerana Israel, yang menguasai Tebing Barat, jarang memberi penduduk Palestin kebenran membina rumah.Selasa lalu, jentolak Israel memusnahkan beberapa kediaman Palestin di bandar al-Khalil (Hebron) di selatan Tebing Barat.Israel menawan Tebing Barat bersama wilayah Palestin lain di Al-Quds (Baitulmakdis) pada 1967.Selepas laporan itu disiarkan, pertubuhan hak asasi kemanusiaan Human Rights Watch menghubungi Tel Aviv bagi memintanya berhenti memusnahkan kediaman penduduk.Perkembangan itu berlaku ketika Tel Aviv meneruskan pembinaan bagi kaum Yahudi selain memperhebat penempatan dan perluasan di kawasan yang dicerobohinya.'Pihak berkuasa Israel enggan memberi permit bina rumah kepada penduduk Palestin, sebaliknya terus merobohkannya dan memberi pendatang Yahudi hak membina rumah.'Masyarakat antarabangsa patut mendesak Israel supaya segera menamatkan tindakan diskriminasi itu.'Undang-undang penjajahan, termasuk di Tebing Barat, melarang tentera Israel memusnahkan hartanah awam Palestin dan memindahkan mereka'Lagipun, tentera Israel tidak menuntut tempat itu sebagai miliknya dan hanya berkata memerlukan faktor keselamatan,' kata Human Rights Watch. -- Agensi.Cyberita Online Luar Negara

Gadis dirogol lelaki baru dikenali


MELAKA 26 Jun - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang gadis berusia 17 tahun bukan sahaja hidup sebatang kara akibat dibuang keluarga, malah turut menjadi mangsa seksual seorang lelaki yang baru dikenali.

Peristiwa hitam itu bermula apabila suspek membawa mangsa ke sebuah rumah di Taman Asian Selatan, Jasin, lalu mengurungnya selama seminggu bermula 19 Jun lalu untuk dijadikan pemuas nafsu.

Jurucakap polis memberitahu, sepanjang tempoh itu, mangsa dikatakan bukan sahaja dirogol malah turut dipukul sehingga cedera.

"Mangsa akhirnya dibebaskan semalam sebelum dia membuat laporan polis hari ini. Bertindak berdasarkan maklumat laporan, polis menahan suspek hari ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kini dilaporkan sedang dirawat di sebuah hospital ekoran daripada kecederaan yang dialami.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Ibu bapa murid serang guru dakwa anak mereka ditampar


PASIR MAS 26 Jun - Akibat salah faham, seorang guru lelaki cedera di pipi kiri setelah ditumbuk oleh bapa seorang murid tahun empat, yang mendakwa guru terbabit telah menampar anak lelakinya dalam satu insiden Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, guru terbabit, Azidi Abdullah, 44, juga nyaris dicederakan dengan sebilah parang yang dibawa oleh isteri lelaki berkenaan.

Menurut mangsa, kejadian berlaku ketika dia baru sampai di sekolah rendah berkenaan, apabila tiba-tiba didatangi bapa murid terbabit yang sedang menunggu di pagar sekolah.

Dakwanya, lelaki tersebut bertindak menumbuk pipi kirinya sebanyak dua kali meskipun cuba ditenangkan.

"Tanpa sempat berbuat apa-apa, saya terus ditumbuk oleh bapa murid itu. Selepas kali pertama ditumbuk, saya meminta dia bertenang tetapi tidak dihiraukan apabila sekali lagi menumbuk bahagian pipi kiri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Berikutan kejadian itu, Azidi telah membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas di sini kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

Mengulas tindakan pasangan itu, dia memberitahu, semuanya berpunca akibat salah faham kononnya dia telah menampar anak mereka sehingga murid terbabit cedera beberapa hari lalu.

"Murid terbabit terhantuk di meja dan luka pada Rabu lalu. Ketika bertanyakan hal itu kepada murid terbabit, dia terus menangis dan saya memujuk dengan menyentuh pipinya, bukan menampar," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Sembelih tak ikut syarak


KUALA LUMPUR 26 Jun - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini mendedahkan masih terdapat beberapa pusat penyembelihan yang melakukan proses itu tanpa mengikut hukum syarak.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Kariah Jawi, Hashim Salleh berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan soal halal dan haram sesuatu makanan.

"Kalau kita makan binatang yang disembelih tidak mengikut hukum yang sepatutnya, ia ibarat makan bangkai.

"Saya menasihatkan umat Islam agar lebih berhati-hati ketika membeli ayam dan daging kerana adalah penting ia melalui proses sembelihan yang sempurna," katanya pada Kursus Asas Penyembelihan Perdana, Program Imam Muda Qaryah (IMQ) di sini, hari ini.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Batalkan jika tidak mahu 'perang' - Omardin

KUALA LUMPUR 26 Jun - Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) memberi amaran kepada penganjur perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) supaya membatalkan hasratnya itu jika tidak mahu 'berperang' dengan pengamal seni silat di negara ini.

Mahagurunya, Tan Sri Omardin Mauju berkata, adalah menjadi tanggungjawab pengamal seni silat untuk mempertahankan negara sejak zaman pemerintahan kerajaan Melaka lagi dan mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak keras ke atas golongan yang cuba menimbulkan kekacauan serta huru-hara.

"PSSLM yang mempunyai ratusan ribu ahli juga akan turun pada 9 Julai itu sekiranya Datuk S. Ambiga masih mahu meneruskan perhimpunan haram tersebut. Kami tidak akan biarkan perkara itu berlaku kerana jelas sekali ia perbuatan yang menghina negara.

"Kami sebagai golongan pengamal silat merupakan pelindung kepada negara dan sultan sejak beratus tahun dahulu tidak akan berdiam diri. Sekiranya kami tidak mengambil apa-apa tindakan, kami akan dianggap dayus.

"Saya sendiri akan mengetuai persatuan silat ini walaupun saya berkerusi roda, saya akan turun dan berada di barisan paling hadapan. Kami tidak sanggup lagi melihat keamanan negara dipermainkan untuk tujuan politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Omardin, PSSLM telah lama berdiam diri dan bersabar dengan tindak-tanduk segelintir golongan seperti Ambiga yang cuba menganggu gugat keamanan di negara ini.

Beliau menasihatkan Ambiga supaya membatalkan segera hasrat menganjurkan perhimpunan itu kerana khuatir tidak akan dapat mengawal emosi anak-anak didiknya jika mereka bertembung pada perhimpunan itu nanti.

"Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh beri jaminan bahawa kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut.

"Banyak lagi kaedah lain boleh dilakukan daripada berarak di jalan raya dan menyusahkan banyak pihak seperti polis, peniaga dan rakyat. Perkara ini boleh diselesaikan melalui cara meja bulat, jadi gunakanlah saluran yang betul," jelasnya.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

5j penagih di Indonesia

JAKARTA: Jumlah pengguna dadah di Indonesia meningkat sejak beberapa tahun lalu dan ia dijangka mengatasi lima juta orang tahun ini.

Ketua Agensi Narkotik Kebangsaan, Gories Mere berkata, kajian menunjukkan penagih dadah di negara itu pada 2009 kekal 3.9 juta orang atau 1.99 peratus daripada penduduk berusia antara 10 hingga 59 tahun.


Jumlah itu meningkat kepada 4.02 juta atau 2.21 peratus penduduk dalam kumpulan usia yang sama sementara pada 2011, ia dramalkan meningkat kepada lima juta orang, atau 2.8 peratus penduduk dalam kumpulan usia itu.

Gories berkata, angka itu mungkin kecil berbanding dengan jumlah penduduk Indonesia dan pelajar menjadi kumpulan paling terdedah dalam masyarakat dari segi penyalahgunaan dadah.


Menurutnya, sindiket dadah dari Iran, Nigeria, China dan Malaysia adalah antara mereka yang mengadar dadah di negara itu.


Gories berkata demikian ketika berucap sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Penyeludupan Dadah di Dataran Monas, Jakarta Tengah, semalam.

Acara itu turut dihadiri oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. - Agensi

myMetro | 5j penagih di Indonesia

'Jangan tunggu terlalu lama hingga diri menderita'

KUALA LUMPUR: Pengabaian tanggungjawab sama ada daripada segi nafkah zahir mahupun batin seorang suami terhadap isteri dan keluarganya menyebabkan isteri itu dianiaya dan ditindas haknya.

Naib Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata sebuah keluarga bahagia memerlukan seorang suami yang bertindak sebagai pemimpin tetapi jika berlaku sebaliknya wanita bergelar isteri perlu segera berbuat sesuatu supaya masalah tidak berpanjangan.


“Tujuan sebuah perkahwinan adalah untuk memenuhi keperluan dan kehendak pasangan suami isteri dan sekiranya isteri berasa terabai, dia perlu mendapatkan pembelaan daripada pihak perundangan sepatutnya secepat mungkin.

“Jangan tunggu terlalu lama sehingga diri sendiri menderita walaupun hal itu dikatakan berpunca daripada pihak ketiga atau perbuatan sihir,” katanya.


Beliau berkata, terdapat ramai wanita yang mempunyai masalah seperti ini iaitu mereka tidak mendapat penghormatan selayaknya daripada suami dan berasa terseksa di kemudian hari.


Namun, jika timbulnya masalah dalam rumah tangga seperti kurang komunikasi dan hubungan semakin renggang di antara suami isteri yang disedari sejak awal, isteri perlu turut memainkan peranan mencari punca masalah berkenaan.

Ini kerana, rumah tangga adalah tempat berteduh yang menjanjikan sejuta kedamaian dan kasih sayang harmonis dalam institusi kekeluargaan.

“Isteri tidak boleh menyalahkan pihak ketiga atau perbuatan sihir semata-mata jika berlakunya masalah pengabaian tanggungjawab seperti ini.

“Sekiranya suami benar-benar terkena sihir dan isteri sudah berikhtiar menemui pengamal perubatan tradisional atau sebagainya bagi mengubati suami, mungkin isteri boleh memperbaiki kelemahan dirinya sendiri kerana berkemungkinan kita tidak tahu kesilapan yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

myMetro | 'Jangan tunggu terlalu lama hingga diri menderita'

Kawal elak salah guna

KUALA LUMPUR: Hanya RM10 hingga RM20, orang ramai boleh membeli bahan pencuci marmar atau asid penghakis untuk pelbagai tujuan termasuk kegiatan jenayah dan mampu mencederakan orang ramai.

Lebih bahaya, botol pencuci itu tidak mempunyai senarai bahan kimia digunakan dalam larutan itu serta tiada label syarikat bertanggungjawab mengeluarkan bahan itu.


Tinjauan Harian Metro ke beberapa kedai barang binaan di sekitar bandar raya mendapati hampir semua kedai terbabit menjual produk asid sama iaitu tiada label kelulusan daripada pihak berkuasa.

Selain itu, kedai terbabit tidak mengehadkan penjualan bahan itu kepada syarikat pembinaan saja malah mereka menjual kepada sesiapa saja meminta tanpa sebarang sekatan atau langkah berjaga-jaga dan dikhuatiri digunakan penjenayah untuk niat jahat.


Menurut kontraktor hanya mahu dikenali sebagai Chan, 50, bahan itu sebenarnya digunakan untuk mencuci marmar daripada kekotoran simen selepas semua kerja pembinaan siap dan bahan itu paling murah dan mudah didapati di kebanyakan kedai.


Katanya, dia turut menggunakan bahan itu untuk mencuci marmar tetapi selepas mengetahui keburukannya dia menggantikan bahan itu dan tidak menggunakannya lagi tambahan pula ia tidak mempunyai sebarang label.

“Saya akui bahan pencuci itu paling bagus digunakan kerana semua kekotoran dapat hilang dalam tempoh seminit berbanding pencuci lain memakan masa agak panjang tetapi ia lebih berbahaya.

“Apa yang menjadi persoalan saya, bagaimana kedai terbabit menjual bahan itu sedangkan ia tidak mempunyai sebarang label dan syarikat mengeluarkan produk itu yang boleh memberi kesan serta-merta terhadap kulit manusia,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, satu peraturan khusus perlu diwujudkan bagi mengehadkan penjualan bahan pencuci yang mengandungi asid penghakis mengelakkan penyalahgunaan.


Katanya, Fomca mencadangkan pembelian asid perlu didaftarkan sama seperti penyembur lada supaya dapat mengesan sebarang penyalahgunaan daripada orang ramai sekali gus dapat membendung sebarang masalah.


“Selain itu, ada juga pihak mencadangkan pihak tertentu mewujudkan alternatif menggantikan asid dengan kimia gantian tidak memberi kesan buruk terhadap manusia.


“Asid atau bahan mampu memberi kesan kepada manusia disarankan tidak dijual secara terbuka dan hanya dijual di kedai tertentu supaya masalah penyalahgunaan ini dapat diatasi secara menyeluruh,” katanya.

myMetro | Kawal elak salah guna

Pemimpin PDI-P gesa kerajaan pecat duta di Riyadh

JAKARTA: Setiausaha Agung Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P), Tjahjo Kumolo menggesa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memecat duta besar negara itu di Arab Saudi berhubung pelaksanaan hukuman pancung ke atas wanita rakyat negara itu, Ruyati binti Sapubi di Makkah.

Kementerian Luar Negara Indonesia di Arab Saudi sebelum ini mendakwa tidak mendapat maklumat mengenai pelaksanaan hukuman terhadap pembantu rumah itu.


“Jika ada rakyat Indonesia yang menjalani hukuman mati dan kerajaan tidak mengetahuinya, ini sangat dikesalkan. “Ini menimbulkan persolahan sama ada wujud kerajaan atau tidak?” katanya. - Agensi

myMetro | Pemimpin PDI-P gesa kerajaan pecat duta di Riyadh

Cubaan bunuh diri gagal

NEW YORK: Tindakan pantas anggota polis berjaya menghalang seorang wanita yang cuba membunuh diri dalam operasi menyelamat penuh dramatik di Manhattan, semalam.

Natalia Ramos, 25, dilaporkan tertekan dan kecewa apabila hilang pekerjaan.


Tidak cukup dengan itu, dia juga ditinggalkan kekasihnya.

Keadaan itu mendorong Natalia memanjat hingga ke bumbung sebuah apartmen empat tingkat dan cuba melompat dari situ.


Jurucakap polis berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu kira-kira jam 11 pagi.


Ketika tiba, katanya, Natalia dilihat menangis sambil mengancam untuk melompat.

“Polis meletakkan tilam keselamatan di bawah bangunan berkenaan,” katanya.

Saksi berkata, Natalia berdiri di tebing bumbung apartmen itu kira-kira 30 minit.

Difahamkan, Natalia memberitahu polis, dia kecewa kerana hidupnya tidak lagi bererti.


“Tolong beritahu kawan saya, Rachel, saya minta maaf. Beritahu ibu saya, saya minta maaf. Pesan kepada Rachel, tolong jaga kucing saya,” katanya.


Natalia juga meminta maaf kerana “membazirkan wang pembayar cukai.” Sejurus kemudian, kata sumber, Natalia duduk sambil mula bercakap sendirian dan menarik nafas dalam-dalam menandakan dia bersedia untuk melompat.


Sebaik saja dia menjatuhkan badannya, pegawai polis, Brian Glacken, berada di belakang dan sempat memaut dan bergelut menariknya ke tepi sambil disaksikan orang ramai di bawah.


Ketika Glacken masih bersusah-payah menahan berat badan Natalia, seorang lagi anggota polis, Madelyn McTague, tiba dan membantu menarik kedua-dua mereka ke tempat selamat.


Akhbar New York Post melaporkan, selain Madelyn dan Glacken, Natalia juga lega apabila drama itu berakhir.


Natalia kemudian meminta sebatang rokok sebaik saja dia berjaya diselamatkan. - DM

myMetro | Cubaan bunuh diri gagal

Ketagih hidu gam boleh maut

Gejala semakin berleluasa babitkan remaja seawal umur 14 tahun

KUALA LUMPUR: Kesukaran melakukan tugasan mudah seperti tidak mampu mengikat tali kasut dan memakai sendiri pakaian, gagal dalam pelajaran terutama subjek mengira, seakan-akan mengelamun, percakapan kurang jelas dan keupayaan mendengar terhad adalah antara kesan negatif akibat ketagihan menghidu gam.
Lebih parah lagi, ketagihan menghidu gam juga akan mengehadkan pergerakan fizikal, melemahkan daya pemikiran, membantutkan kebolehan berkomunikasi, menjejaskan pembelajaran serta boleh membawa maut kepada penagihnya.
Sehubungan itu, Pengarah Klinik Cure & Care 1Malaysia Sungai Besi, Hadijah Baba, berkata ketagihan menghidu gam perlu dibendung kerana ia memberi pelbagai kesan amat buruk kepada remaja.

“Amalan menagih gam ini juga menyebabkan kebanyakan penagihnya terjebak dalam gejala sosial lebih serius antaranya menghisap dadah, melakukan seks bebas dan membuat jenayah,” katanya pada sidang media Rawatan dan Pemulihan Penagihan Ubat Sedut (Inhalen) di Klinik Cure & Care, di sini.

Beliau berkata, antara punca menyebabkan gejala itu berleluasa dan berada pada tahap membimbangkan di kalangan remaja seawal usia 14 tahun di negara ini kerana ia mudah diperoleh, harga murah dan mampu memberi kesan khayal dalam tempoh kurang 15 saat disamping tiada akta khas.

Katanya, ini terbukti apabila 54 kes remaja ketagihan menghidu gam didaftarkan di pusat pemulihan itu dalam tempoh hanya empat bulan bermula Februari lalu.
Hadijah berkata, dalam usaha menangani tabiat menghidu gam, semua pihak seperti ibu bapa, sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama.

Beliau turut menasihatkan individu terbabit gejala menghidu gam datang secara sukarela ke cawangan Cure & Care 1Malaysia bagi merawat dan memulihkan tabiat buruk itu.

Mereka boleh menghubungi Cure & Care 1Malaysia berdekatan sama ada di Sungai Besi, Kuala Lumpur melalui talian 03-90562997, Johor Bahru, Johor (07-2361711), Kota Bharu, Kelantan (09-7717350), Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (04-5394835), Papar, Sabah (088-912893) dan Kuching, Sarawak (082-612785).
Berita Harian Online | Ketagih hidu gam boleh maut

KDN digesa pantau media massa

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa memantau media massa, termasuk media cetak dan media baru memastikan mereka tidak melaporkan berita berunsur hasutan atau galakan supaya orang ramai menyertai perhimpunan haram 9 Julai ini.

Ketua Biro Penerangan Media Kebangsaan dan Penulis Melayu, Muhammed Ibrahim, berkata perhimpunan itu tidak sepatutnya diadakan kerana masih banyak saluran boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah.
“Saya minta pihak berkuasa ambil tindakan segera memastikan keamanan tidak diganggu-gugat s pihak membela nasib parti tertentu.
“Begitu juga dengan media, mereka sepatutnya memainkan peranan mendidik rakyat supaya lebih berhemah. Soal perhimpunan ini kita tidak boleh main-main kerana ia boleh mengundang ancaman keselamatan,” katanya semalam.

Muhammed berkata, KDN perlu mengambil tindakan tegas terhadap media yang menggugat keselamatan dan memberi gambaran buruk terhadap kerajaan.
Berita Harian Online | KDN digesa pantau media massa

Khairy terima ugutan bunuh


  KHAIRY   menunjukkan SMS ugutan bunuh yang ditujukan kepada ahli  Pemuda UMNO   berikutan penganjuran perhimpunan haram pada 9 Julai ini.
KHAIRY menunjukkan SMS ugutan bunuh yang ditujukan kepada ahli Pemuda UMNO berikutan penganjuran perhimpunan haram pada 9 Julai ini.
SMS dituju kepada Pemuda UMNO jika teruskan hasrat berhimpun

SEPANG: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh yang ditujukan kepada ahli pergerakan itu jika mengadakan perhimpunan pada hari sama perhimpunan haram anjuran kumpulan diketuai bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan pada 9 Julai ini.
SMS yang diterima jam 12.18 pagi semalam dari nombor yang tidak dikenali itu turut dihantar kepada Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Megat Junid.
SMS itu antara lain mengandungi kata-kata kesat dan mengugut menyembelih ahli Pemuda Umno jika meneruskan hasrat mengadakan perhimpunan pada hari sama.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat oleh Megat Firdouz, di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, jam 12.15 tengahari semalam.

Khairy berkata, SMS ugutan itu satu tindakan berbahaya dan mengancam keselamatan ahlinya yang mahu menyertai perhimpunan anjuran pergerakan itu.

"Saya lihat perkara ini amat bahaya sekali dan mengancam keselamatan dan seolah-olah memberi ancaman terhadap mana-mana ahli Pemuda Umno yang ingin turun pada 9 Julai akan datang. Saya harap polis boleh mengambil tindakan sebab ini perkara serius. Saya tidak memandang remeh ugutan ini sebab ia adalah soal keselamatan," katanya sebelum berlepas menyertai misi kemanusiaan antarabangsa Freedom Flotila II, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Berhubung perhimpunan anjuran Pemuda Umno yang dikenali sebagai Perhimpunan Patriot, beliau berkata pihaknya belum menerima panggilan daripada Bukit Aman untuk memberi keterangan mengenainya.

"Perhimpunan kita bertujuan membawa petisyen kepada Istana Negara untuk menyatakan sokongan terhadap sistem demokrasi yang ada. Kita mahu supaya ada satu dialog dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimana untuk memperbaiki sistem pilihan raya di Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Ambiga menerima ugutan bunuh menerusi SMS. Difahamkan, SMS itu juga mengandungi ugutan bunuh terhadap pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan terbabit pada perhimpunan itu.
Berita Harian Online | Khairy terima ugutan bunuh

ISA jika gugat keselamatan

KDN tak kompromi terhadap penganjur perhimpunan 9 Julai

HULU SELANGOR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan haram 9 Julai ini sekiranya tindakan mereka didapati menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya tidak memilih bulu dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengadakan perhimpunan haram itu.
“Saya tidak memilih bulu... PERKASA atau Pemuda UMNO hendak mengadakan perhimpunan juga kita tidak beri permit dan kita akan memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak jika melanggar peraturan.

“Jika ada huru-hara, saya (sebagai Menteri Dalam Negeri) bertanggungjawab untuk memastikan bahawa tindakan yang sesuai diambil mengikut undang-undang untuk mengawal keadaan. ISA tidak perlu (digunakan buat masa sekarang) tetapi boleh digunakan (jika keadaan memaksa).

“Bagaimanapun, buat masa sekarang, undang-undang lain boleh digunakan. Kita belum sampai ke tahap itu (guna ISA)... kami akan terus memantau situasi ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Hulu Se langor. Hadir sama pada majlis itu Ketua UMNO bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar.
Hishammuddin menjelaskan sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat mengikut ISA terhadap penganjur perhimpunan haram itu.

Ditanya kemungkinan pasukan tentera turut digunakan untuk mengawal keselamatan pada 9 Julai ini, beliau tidak menolak kemungkinan itu jika keadaan tidak dapat dikawal.

Mengulas dakwaan pembangkang bahawa beliau mengarahkan supaya polis menahan pihak yang ingin mengadakan jelajah perhimpunan haram itu, Hishammuddin menafikannya selain mendakwa beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, katanya, semua mereka yang ditahan setakat ini adalah mengikut undang-undang yang tersedia, bukan semata-mata kerana mengadakan jelajah mengenai perhimpunan itu tetapi ada elemen lain.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, kita tidak boleh biarkan perkara yang boleh menjejaskan negara dieksploitasi oleh pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, polis menahan lapan individu semalam kerana mempromosikan perhimpunan haram di Taman Kosas yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Difahamkan, lapan individu terbabit termasuk ahli Dewan Pemuda PAS kawasan Ampang ditahan kira-kira jam 11 pagi kerana turut berhimpun tanpa permit polis selain mengganggu laluan trafik.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk direkodkan keterangan sebelum dibebaskan.
Berita Harian Online | ISA jika gugat keselamatan

Harga melambung ketika Ramadan

KUALA LUMPUR – Trend penurunan harga barang kering, sayur-sayuran dan hasil laut yang ketara di pasaran ketika ini mungkin tidak berpanjangan.

Tinjauan Kosmo! di beberapa negeri mendapati kalangan peniaga berpendapat harga barangan tersebut dijangka kembali mahal menjelang Ramadan pada Ogos depan.

Ketika ini rata-rata harga barangan keperluan harian pengguna mengalami penurunan antara 50 sen sehingga RM5 sekilogram (kg).

Di Kuala Terengganu, seorang peniaga, Mohd. Robby Awang risau harga barangan tersebut akan mengalami kenaikan semula menjelang Ramadan pada Ogos depan.

Menurutnya, trend kenaikan semula harga barangan tersebut adalah biasa dan mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana barang tersebut diperoleh daripada pembekal.

“Jika harga yang kami dapat tinggi jadi kami juga harus jual dengan harga yang tinggi kepada pengguna, justeru pengguna perlu faham,” katanya.

Ketika ini rata-rata harga barang keperluan pengguna di beberapa buah pasar raya di Terengganu mengalami penurunan antara RM1 hingga RM2 per kg. meskipun sesetengah barang mengalami kenaikan.Kosmo! Online - Negara

Barbican masih dijual di pasaran

KUALA LUMPUR - Pengedar minuman malta berperisa buah-buahan jenama Barbican, Suria Wholesaler Sdn. Bhd. tidak akan menarik balik jualan minuman tersebut di pasaran walaupun status minuman itu haram diminum umat Islam buat masa ini.

Pengarah urusannya, Ahmad Alyateem berkata, tindakan menjual minuman itu diteruskan adalah wajar memandangkan Barbican bukannya minuman mengandungi unsur alkohol atau bir seperti yang digembar-gemburkan.

"Kita telah pun menghantar minuman itu ke makmal bagi melakukan ujian terhadap sampel minuman Barbican dan hasilnya ia bebas alkohol," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, syarikatnya telah menghantar sampel minuman itu untuk diuji di beberapa makmal termasuk di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Kosmo! semalam melaporkan, isu minuman 'bir halal' atau Barbican hanya boleh diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan sehinggalah sebarang fatwa rasmi dikeluarkan.

Ekoran itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mat Ali Sarbini memberitahu, minuman tersebut haram diminum oleh umat Islam buat masa ini.Kosmo! Online - Negara

Menteri sedia jumpa keluarga

ALOR SETAR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung sedia berjumpa keluarga bekas pelatih bomba bagi mendengar sendiri kejadian sebenar rambut wanita itu dipotong sehingga botak ketika menjalani latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wakaf Tapai di Marang, Terengganu pada 2 Mei lalu.

Sehubungan itu, beliau akan menetapkan satu tarikh yang sesuai bagi mengatur pertemuan dengan keluarga bekas pelatih bomba tersebut.

“Saya sedia berjumpa keluarga bekas pelatih itu bagi mendengar sendiri insiden yang berlaku seterusnya berbincang dengan baik supaya keadaan dapat dijernihkan semula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Berhubung permohonan maaf, Chee Heung berkata, ia sudah dilakukan secara terbuka menerusi media kelmarin dan berharap agar keluarga bekas pelatih bomba itu dapat menerimanya dengan baik.

“Saya harap keluarga bekas pelatih itu dapat terima permohonan maaf itu kerana ia telah dilakukan secara terbuka dan selepas ini satu pertemuan akan diatur dengan mereka,” ujarnya lagi.Kosmo! Online - Negara

Khairy terima SMS ugutan bunuh

KHAIRY menunjukkan SMS ugutan yang diterimanya di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menerima ugutan bunuh melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tengah malam kelmarin yang ditujukan kepada ahli Pemuda UMNO yang akan menyertai perhimpunan 9 Julai ini.

SMS itu yang diterima pada pukul 12.18 tengah malam dari nombor yang tidak dikenali pemiliknya turut mengandungi kata-kata kesat.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam, Khairy berkata, laporan polis mengenai perkara tersebut akan dibuat oleh setiausaha pergerakan itu, Datuk Megat Firdouz Megat Junid yang turut menerima SMS serupa dari nombor yang sama.

"Saya nampak perkara ini amat bahaya sekali dan mengancam keselamatan dan seolah-olah memberi satu ancaman terhadap mana-mana ahli Pemuda UMNO yang ingin turun pada 9 Julai.

"Saya harap polis boleh mengambil tindakan sebab ini adalah perkara yang serius," tegasnya.Kosmo! Online - Negara

Shahrukh menang aktor terbaik

SHAHRUKH KHAN (kiri) menerima anugerah pelakon lelaki terbaik daripada aktres Hollywood, Hilary Swank (dua dari kiri) dan Anil Kapoor (kanan) dalam anugerah 'Oscar Bollywood' di Toronto kelmarin.


TORONTO - Filem yang menampilkan pelakon Salman Khan, Dabangg menang enam anugerah termasuk filem terbaik dalam 'Oscar Bollywood' lewat kelmarin di sini.

Filem arahan Abhinav Kashyap itu menang beberapa kategori utama seperti pengarahan muzik terbaik dan lakon layar.

Pelakon Sonu Sood juga memenangi kategori pelakon yang memainkan watak jahat terbaik ekoran lakonannya sebagai ketua sebuah parti politik yang jahat dalam filem tersebut.

Filem My Name is Khan menangi kategori filem terbaik, lirik terbaik, pengarahan terbaik yang dibolot oleh Karan Johar.

Pelakon Shahrukh Khan juga memenangi kategori pelakon lelaki terbaik menerusi filem tersebut.

Filem itu mengisahkan mengenai perasaan curiga pihak berkuasa Amerika Syarikat terhadap seorang lelaki Muslim di sebuah lapangan terbang.

Puluhan ribu menyaksikan festival itu yang diadakan di Stadium Rogers' Centre di sini.

Kira-kira 700 juta penonton dianggarkan menonton siaran langsung festival berkenaan menerusi televisyen.

Pelakon Bollywood, Anushka Sharma menang kategori aktres wanita terbaik ekoran peranannya dalam filem Band Baaja Baaraat. - AgensiKosmo! Online - Dunia