Friday, January 21, 2011

‘Tak terganggu komen negatif’


MUSCAT: Datin Seri Rosmah Mansor berkata, beliau tidak terganggu dengan komen negatif yang dilemparkan terhadap beliau berhubung lawatannya ke seberang laut.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu berkata, semua lawatannya diatur selepas beliau menerima jemputan daripada kerajaan atau menteri wanita sesebuah negara yang terbabit.

Bercakap kepada media Malaysia pada akhir kunjungan empat hari ke Oman pada Rabu, Rosmah berkata, beliau akan membuat lawatan itu apabila diperlukan bagi menyampaikan ucaptama di majlis-majlis tertentu.

“Jadi, biar mereka kata apa yang mereka nak kata, tapi saya rasa bahawa lawatan ini sangat berfaedah bukan saja kepada kita, malah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau parti apapun yang mereka wakili,” katanya menyentuh mengenai lawatannya terutama ke Oman.

“Saya berada di sini bukan untuk mewakili seksyen tertentu masyarakat sebaliknya kami di sini mewakili rakyat Malaysia,” kata Rosmah menjelaskan bahawa beliau dan anggota rombongannya diterima baik di sini dan pemerintah Oman, Sultan Qaboos Bin Said, sendiri mengambil berat lawatan itu.

Dalam lawatan itu, Rosmah disertai beberapa anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti). Beliau adalah tetamu kerajaan Oman, kali pertama dalam tempoh 20 tahun, seorang kenamaan Malaysia diberi keistimewaan itu.

Rosmah juga mengulas mengenai lawatannya ke Arab Saudi baru-baru ini di mana beliau memberi ucapan dalam satu persidangan antarabangsa mengenai pengurusan kualiti menyeluruh dalam pendidikan.

“Saya dimaklumkan di Riyadh bahawa saya dijemput bukan hanya kerana saya isteri seorang Perdana Menteri. Apa yang nyata, mereka menyelidik dan mengkaji untuk melihat apa yang saya sudah sumbangkan kepada pendidikan kanak-kanak terutama bagi yang berumur di bawah empat tahun dan begitu juga dengan kanak-kanak yang berbakat.

“Saya sangat gembira di Arab Saudi, mereka mengiktiraf kenyataan sangat penting memberi perhatian kepada pendidikan awal dan jagaan kanak-kanak dan juga kanak-kanak yang berbakat,” katanya.

Kepada pengkritik Rosmah berkata, baginya jika mereka mahu bersungut, beliau tidak ada isu. “Biarkan saja. Saya hanya lakukan ini sebagai isteri seorang pemimpin.

“Ia adalah tugas dan tanggungjawab saya untuk membantu setakat yang saya mampu, terutama yang berhubung usaha untuk memperkasakan wanita dan isu-isu kanak-kanak.” katanya. - Bernama‘Tak terganggu komen negatif’