Saturday, October 3, 2015

Ling Liong Sik Gesa Najib Letak Jawatan


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 3:51 PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Ling Liong Sik secara terbuka menggesa Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Apabila bekas Presiden MCA itu ditanya sama ada beliau menyokong gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Najib berundur, beliau menjawab "Saya bersetuju".

"Saya pergi ke demonstrasi Bersih di Perth. Matlamat saya adalah untuk menggesa supaya undi tidak percaya dibuat terhadap Najib," katanya selepas menghadiri Festival Minda Malaysia di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman Universiti di Setapak.

Tun M Kongsi Strategi Guling Najib


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 7:57 PM

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali memberi tekanan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kali ini berkongsi strategi bagi memastikan matlamatnya itu menjadi kenyataan.
Tegas Dr Mahathir, matlamat untuk menggulingkan Najib hanya akan berjaya jika ia dimulakan di peringkat kerusi Parlimen Pekan yang diwakili perdana menteri itu.
"Walaupun dia tak mahu undur, kalau datang pilihan raya, jangan undi. Di (Parlimen) Pekan jangan undi (Najib). Bagi kalah Najib, tapi jangan bagi kalah Umno.
"Kalau orang Melayu bijak, tentukan Najib kalah di Pekan. Kalau kita berpakat sesama kita, pergi ke Pekan beritahu kepada orang sana bagi dia kalah tapi, bagi Umno menang.
"Kita jangan terbawa dengan emosi, kena rancang dengan strategi dan strategi kita ialah untuk mengalahkan Najib," katanya.
Beliau berucap ketika menghadiir Majlis Hi-Tea bicara politik bertajuk 'Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa' anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan.
Selaian itu, Dr Mahathir menggesa supaya orang Melayu mencontohi masyarakat Cina yang meletakkan kepentingan bangsa mereka mendahului parti dan fahaman politik.
"Kita orang Melayu tak berapa bijak. Kita patuh dengan tidak memikir tentang kepentingan kita.
"Saya lihat orang Cina walaupun dia MCA atau DAP, tapi kalau kepentingan Cina terancam, mereka lupakan parti mereka.
"Tapi orang Melayu tak begitu. Inilah yang menjadi masalah. Sekarang ini ramai dah keluar daripada Umno walaupun tak secara rasmi, tapi mereka tak menyokong Umno.
"Kalau mereka mengalahkan Umno, kita akan rugi. Yang nak dikalahkan hanya Najib sahaja. Umno tak salah," katanya.
Berucap pada majlis sama, Dr Mahathir mengakui beliau sememangnya berniat untuk menghasut supaya Najib meletak jawatan.
"Saya datang memang nak hasut semua orang.
"Dalam perjuangan perlu ambil risiko, kalau tak berani macam mana nak berubah, macam mana nak tebus maruah kita," katanya.

Najib Turun, Ringgit Naik - Tun M


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 7:02 PM
Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin penyusutan nilai Ringgit yang dihadapi Malaysia pada masa ini mempunyai kaitan dengan prestasi pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat berkenaan sekali lagi menggesa Najib berundur daripada kedudukannya demi memulihkan ekonomi Malaysia.
"Saya nak lihat Najib letak jawatan. Kalau Najib turun, nilai mata wang akan naik sekelip mata," katanya di sini, Sabtu.
Beliau berucap ketika menghadiri Majlis Hi-Tea bicara politik bertajuk 'Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa' anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan.
Ketika sidang media selepas majlis itu, Dr Mahathir berkata, beliau turut bersetuju dengan pandangan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang mengaitkan kejatuhan nilai Ringgit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Kita dengar Zeti kata selagi masalah 1MDB dan derma RM2.6 billion tidak diselesaikan, nilai mata wang tidak akan pulih.
"Zeti cakap dan saya pun berpendapat macam tu.
"Semua mata wang jatuh tapi mata wang kita jatuh lebih teruk daripada yang lain, saya kaji jugak itu (kaitan isu 1MDB)," katanya.

PAS Tak Tolak Kemungkinan DAP, PKR Tak Beri Kerusi Kepada Amanah - Mohd Amar


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 7:32 PM
Mohd Amar Nik Abdullah.

PASIR MAS: PAS tidak menolak kemungkinan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan melepaskan kerusi yang ditandingi mereka kepada Parti Amanah Negara (Amanah) pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, secara teorinya, beliau menganggap kemungkinan itu akan berlaku dan menyebabkan Amanah akan bertanding di kerusi PAS.
"Secara teorinya, Amanah nak letak calon kat kerusi mana? Saya tak percaya DAP akan beri kerusi, PKR pun tak akan beri kerusi (kepada Amanah). Jadi akhirnya dia (Amanah) akan bertanding di kerusi PAS," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Istiqamah di Markas PAS Rantau Panjang di sini, Sabtu.
Sebelum ini, PAS dilaporkan tidak akan menyertai Pakatan Harapan yang ditubuhkan DAP, PKR dan Amanah, namun parti itu masih mengekalkan hubungan dengan PKR dalam Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa dakwaan Amanah yang ditubuhkan untuk membantu pembangkang menumbangkan Barisan Nasional (BN) adalah palsu semata-mata.
"Kalau Amanah bertanding di Kelantan, kita tak tahu dia akan dapat berapa undi... tapi dari segi teorinya peluang menang ialah BN sebab undi mereka solid.
"Sebab itu pada pandangan kita kenyataan Amanah untuk bantu pakatan pembangkang nak menjatuhkan BN itu tak betul kalau dia bertanding dan berlawan dengan kita," katanya.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi dengan sekutunya PKR, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, sehingga kini tiada sebarang perubahan berlaku.
"Setakat ini, kerusi seperti di Kelantan ini, kita kekalkan dengan pembahagian yang ada, belum ada apa-apa perubahan," katanya. - Bernama