Sunday, June 20, 2010

Lepas ni ada budak Universiti kena tangkap atas tuduhan anggota JI

Jangan Terpengaruh Dakyah Pembangkang Mengenai Jemaah Islamiah - Najib
BAGAN DATOH, 20 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat meletakkan kepercayaan mereka kepada pihak berkuasa daripada terpengaruh dengan dakyah pembangkang berhubung isu militan Jemaah Islamiah (JI).

Beliau berkata perkara itu adalah sesuatu yang benar dan bukanlah perkara yang diada-adakan untuk mengalih perhatian rakyat seperti dakwaan sesetengah pihak.

"Isu itu (militan JI) merupakan soal keselamatan negara dan sememangnya kerajaan mengetahui mengenai adanya penglibatan daripada kalangan pensyarah kanan di universiti tempatan dalam kegiatan militan tersebut.

"Jadi sebab itulah kita mesti percaya dan yakin bahawa ini satu ancaman dan kita serah kepada pihak berkuasa sebab pihak berkuasa kita terutama sekali pihak polis dan anggota perisik memang mempunyai banyak pengalaman dalam menangani ancaman JI dan kumpulan militan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pembinaan Limbungan Kapal NGV Tech Sdn Bhd sempena lawatan kerja beliau ke kawasan Parlimen Bagan Datoh di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tahap keselamatan negara ekoran pendedahan mengenai ancaman JI.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Najib berkata berdasarkan keberkesanan tugas yang dilakukan pihak keselamatan dalam menangani isu-isu keganasan, kerajaan dapat menghindarkan sebarang insiden yang meragut nyawa dan kerosakan harta benda seperti yang berlaku di negara-negara lain.

Beliau berkata, segala tindakan yang dilakukan adalah untuk tujuan pencegahan kerana tidak mahu menyesal nanti dan kerajaan dipersalahkan kononnya tidak mengambil langkah pencegahan.

"Jadi kita mesti ada kepercayaan kepada anggota polis dan pihak berkuasa yang terlibat menjaga keselamatan negara bahawa mereka mampu menghindar negara kita daripada sesuatu yang berlaku.

"Kalau kita meragui perkara ini dan kalau sesuatu berlaku (nanti) kita akan menyesal dan bila berlaku kerajaan pula akan dipersalahkan kononnya kita tidak mengambil tindakan pencegahan tapi bila kita ambil tindakan pencegahan mereka kata pula kita ada-adakan isu ini," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan yang dimainkan pembangkang kerana mereka hanya cuba mengeksploitasi sesuatu isu tanpa memikirkan fakta demi keuntungan politik.

"Jadi ini sengaja dimainkan parti pembangkang. Biasalah...kita buat pun mereka kata kita tak betul, kita tak buat pun dia kata kita tak betul. Jadi rakyat mesti faham ini politik," kata Najib.

Khamis lepas, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata isu mengenai JI hanya helah Barisan Nasional (BN) untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu besar lain yang timbul ketika ini.

-- BERNAMA

Lebih Banyak Kamera Dipasang Untuk Pertingkat Keselamatan Dubai


Oleh Muin Abdul Majid

DUBAI, 20 Jun (Bernama) -- Dubai, tempat berlakunya pembunuhan seorang agen Hamas awal tahun ini, akan dilengkapi dengan lebih banyak kamera pemantau bagi meningkatkan keselamatan, demikian menurut seorang pegawai polis.

Ketua Polis Dubai Lt Jen Dahi Khalfan Tamim berkata langkah itu perlu, selaras dengan sebuah bandaraya yang berkembang pesat.

"Kita akan mempunyai kamera di serata tempat," katanya kepada harian The National.

Harian itu menyatakan terdapat 25,000 kamera keselamatan di Dubai, salah sebuah negara bandaraya di Emiriah Arab Bersatu.

Jumlah itu dijangka meningkat dengan pemasangan kamera berkalih yang boleh meliputi "sudut tersembunyi".

Tamim berkata pasukan polis akan bertugas mengikut pelan strategik yang dikaji dengan baik dan tidak setakat bertindak balas terhadap peristiwa tertentu.

Kira-kira 500 juta dirham akan dibelanjakan untuk mempertingkat keselamatan Dubai, lapor harian itu.

-- BERNAMA

Parlimen Tidak Perlu Putuskan Kedudukan Tian Chua, Kata Nazri Aziz


PADANG RENGAS, 20 Jun (Bernama) -- Parlimen tidak perlu memutuskan sama ada Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berikutan denda RM2,000 yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau sebaliknya berkata semua pihak perlu berpegang kepada keputusan Hakim Ghazali Cha bahawa keputusannya mengurangkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 kepada denda RM2,000 adalah bagi mengelak berlakunya pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu yang diwakili Tian Chua.

"Dalam soal Tian Chua, yang berhak untuk mengintepretasi undang-undang ialah hakim. Jadi kepada saya tidak perlu Parlimen memutuskan.

Hakim telah memutuskan bahawa dia mendenda Tian Chua RM2,000 kerana dia tidak mahu Tian Chua hilang kelayakan. Kita kena ikut dia (hakim) punya intepretasilah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Umno Bahagian Padang Rengas di sini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu mengulas laporan akhbar The Star hari ini bahawa Parlimen perlu membuat keputusan berhubung status Tian Chua dan keputusan Parlimen itu kelak adalah muktamad.

Di bawah Artikel 48 (1)(e) Perlembagaan, seorang ahli Parlimen hilang kelayakan jika dikenakan hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000, dan tidak mendapat pengampunan.

Sementara itu Mohamed Nazri berkata cadangan untuk membina bangunan Parlimen baru seperti yang dinyatakan beliau sebelum ini masih dalam peringkat pertimbangan dan semua pihak khususnya Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) boleh mengemukakan pandangan masing-masing berhubung perkara itu.

-- BERNAMA

Kerajaan Selangor Serah Kepada Polis Untuk Siasat Kes Ugutan Bunuh


SHAH ALAM, 20 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes seorang lelaki yang didakwa menerima ugutan bunuh berikutan pendedahan mengenai masalah kerosakan lif di pangsapuri Taman Permai Indah, Pelabuhan Klang, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad, berkata hanya siasatan polis yang boleh menentukan kesahihan dakwaan itu.

"Saya tidak tahu sama ada ugutan itu benar atau untuk menagih simpati atau kerana beliau kepanasan disebabkan rasa bersalah. Saya juga tidak tahu siapa yang begitu marah kepada penduduk tersebut sehingga mahu membunuhnya," katanya.

Dalam kenyataan di sini pada Ahad, katanya beliau telah mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa penyiasat bagi menentukan sama ada kecurian dan kerosakan kepada alat ganti lif berkenaan adalah satu tindakan sabotaj.

Semalam, Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM) A.Prakash mendakwa menerima dua ugutan bunuh dalam dua hari berturut-turut daripada seorang lelaki yang menghubunginya melalui telefon bimbit.

Prakash, yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Indah, mendakwa ugutan bunuh itu dipercayai ada kaitan dengan pendedahan yang dibuatnya mengenai kegagalan kerajaan Selangor melaksanakan kerja baik pulih lapan lif di empat blok kediaman itu yang rosak sejak 10 bulan lepas.

Prakash telah membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh itu di Balai Polis Pandamaran semalam.

-- BERNAMA

Kerajaan Kelantan Lantik 13 Timbalan Exco Kerajaan Negeri



KOTA BAHARU, 20 Jun (Bernama) -- Kerajaan PAS Kelantan melantik 13 Timbalan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk meringankan beban tugas anggota Exco biarpun ia akan menambahkan defisit kewangan kerajaan negeri berikutan pertambahan jawatan itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata jawatan timbalan exco baru itu yang diwujudkan berkuatkuasa 1 Jan lepas.

Pelantikan timbalan exco itu juga kerana Exco yang ada bukan sahaja bertanggungjawab mentadbir kerajaan negeri tetapi perlu juga menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing, kata beliau.

"Menyedari hakikat inilah kerajaan negeri terpaksa mewujudkan jawatan Timbalan Exco terdiri daripada wakil rakyat bagi membantu tugas Exco yang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah jawatan Timbalan-timbalan EXCO itu di sini.

Pada 25 Okt tahun lalu, ketika pembentangan bajet negeri, Kerajaan Negeri Kelantan dianggar mengalami bajet defisit sebanyak RM29.50 juta pada tahun ini dengan perbelanjaan mengurusnya dianggarkan berjumlah RM416.88 juta berbanding hasil yang dianggar berjumlah RM387.38 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata defisit bagi tahun 2010 dijangka berjumlah RM29.50 juta berbanding defisit bajet 2009 berjumlah RM20.20 juta.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata Kelantan akan terus mengalami defisit belanjawan selagi negeri itu gagal mencari punca hasil baru bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat.

Nik Abdul Aziz berkata tiga Exco mempunyai dua timbalan memandangkan skop portfolio yang disandangnnya besar dan luas iaitu Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, yang dipergerusikan Exco Kanan, Datuk Husam Musa; Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, yang dipengerusikan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan.

Exco lain yang mempunyai seorang timbalan ialah Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri dipengerusikan Dr Mohd Fadzli Hassan; Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Datuk Anuar Tan Abdullah.

Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Desa dan Bioteknologi Che Abdullah Mat Nawi; Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Wan Ubaidah Wan Omar, Jawatankuasa Perumahan, Kerja raya, Utiliti dan Alam Sekitar Mohd Anizam Abdul Rahman serta Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Belia dan Sukan Negeri Abdul Fatah Mahmood.

Nik Abdul Aziz berharap dengan pelantikan jawatan timbalan itu akan melincinkan lagi pentadbiran negeri di samping dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih cekap.

-- BERNAMA

Lelaki sakit jantung kemungkinan mati pucuk - pakar


20/06/2010 3:52pm

KUALA LUMPUR — Tujuh daripada 10 pesakit lelaki yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini untuk rawatan sakit jantung, didapati mengalami mati pucuk (ED), demikian menurut pakar kardiologi hospital berkenaan, Dr. Ramesh Singh Veeriah.
Jelasnya, dalam kajian yang dilakukan tahun lepas ke atas 111 pesakit lelaki yang pada mulanya aktif seks dan selepas mereka dimasukan ke PPUM untuk rawatan sakit jantung, 75.7 peratus daripada mereka didapati sudah mengalami ED.
"ED ini dikesan berlaku enam bulan sebelum mereka dimasukkan ke PPUM,” katanya.
Data berkenaan dimuatkan dalam kertas kerja beliau yang dibentangkan pada Kongres Kardiologi Sedunia di Beijing, China hari ini.
Dr. Ramesh berkata, 219 pesakit jantung lelaki dimasukkan ke unit penjagaan kardiologi hospital berkenaan dari April 2008 hingga Februari tahun lalu dan daripada jumlah itu, 192 telah diperiksa dan hanya 111 pesakit yang aktif seks sejak enam bulan sebelum itu yang diuji untuk ED.
Beliau juga berkata, ED dan Penyakit Arteri Koronari (CAD) mempunyai faktor risiko persamaan yang banyak dan saling berhubung rapat. — Bernama

Duta Israel beri amaran kepada konvoi baru


NEW YORK 19 Jun - Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa kerajaan Lebanon dan masyarakat antarabangsa supaya mencegah sekumpulan kapal kecil daripada cuba mencabar sekatan terhadap Gaza, dengan memberi amaran untuk menggunakan 'semua tindakan yang perlu' bagi menghentikan konvoi tersebut.
Gabriela Shalev melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, memberi amaran cubaan penganjur untuk belayar dari Lebanon bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, boleh meningkatkan ketegangan dan memberi kesan kepada keamanan serta keselamatan di rantau itu.
Surat Shalev diserahkan tidak lama selepas Ki-moon mendesak rejim Zionis bersetuju dengan satu siasatan antarabangsa berikutan serangan maut komando Israel ke atas kapal Turki yang membawa bantuan ke Gaza pada 31 Mei lalu dan berbuat 'lebih tindakan' bagi memenuhi keperluan rakyat Palestin yang hidup di bawah sekatan tiga tahun mereka.
"Situasi ini mengambil kira konflik berterusan Israel dengan Hamas yang mengawal Gaza, tujuan kapal-kapal itu untuk mencabar sekatan dan pelayaran mereka dari Lebanon, yang masih dianggap sebagai sebuah negara yang bermusuhan dengan Israel.
"Israel mempunyai hak di bawah undang-undang antarabangsa untuk melakukan apa sahaja tindakan bagi mencegah kapal-kapal itu daripada mencabul sekatan laut sedia ada yang dikenakan terhadap Genting Gaza," kata duta itu melalui suratnya.
Rejim Yahudi itu menguatkuasakan sekatan pada 2007 selepas Hamas memerintah Gaza.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak desakan menarik balik sekatan, dengan menegaskan ia boleh menghalang serangan peluru berpandu terhadap Israel.
Shalez berkata, niat sebenar penganjur flotila dari Lebanon 'mencurigakan', berdasarkan kenyataan sukarelawan dalam media yang mengatakan mereka berhasrat untuk 'mati syahid'.
Duta itu turut membangkitkan 'satu hubungan yang mungkin' antara penganjur dengan kumpulan Hizbullah Lebanon dan berkata Israel tidak boleh mengenepikan kemungkinan bahawa pengganas atau senjata mungkin diseludup dalam flotila berkenaan.
"Berdasarkan pandangan ini, Israel menggesa Lebanon mencegah kapal-kapal itu daripada belayar ke Genting Gaza. Israel juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya menggunakan pengaruhnya dalam usaha menghalang konvoi flotila itu daripada belayar dan tidak menggalakkan negara luar daripada terlibat dengan misi sama," ujar Shalez. - AP

Hari lahir dalam tahanan rumah


ANGGOTA NLD menyiapkan kek hari lahir dalam sambutan ulang tahun kelahiran ke-65 Suu Kyi di rumah seorang penyokong di Yangon, semalam. - REUTERS


YANGON 19 Jun - Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi menyambut ulang tahun kelahiran ke-65 di bawah penahanan rumah hari ini ketika aktivis dan pemimpin seluruh dunia terus mendesak junta membebaskan beliau.
Rejim tentera telah menahan pemenang Hadiah Nobel itu selama hampir 15 tahun dan menghalang beliau dari bertanding dalam pilihan raya yang bakal diadakan, yang dikritik sebagai satu tipu daya yang bertujuan mengukuhkan kedudukan jeneral-jeneral.
Dalam satu mesej hari lahir, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memuji Suu Kyi sebagai seorang yang 'mempunyai keazaman, keberanian dan sanggup berkorban bagi menjayakan hak asasi manusia dan perubahan demokratik'.
"Saya sekali lagi menggesa kerajaan Myanmar supaya membebaskan Suu Kyi dan semua tahanan politik dengan segera tanpa sebarang syarat bagi membolehkan mereka membina Myanmar yang lebih stabil, lebih makmur dan menghormati hak semua rakyatnya," tegas beliau lagi.
Kira-kira 400 penyokong ikon demokrasi itu mengadakan satu majlis hari jadi di rumah mereka di utara Yangon tanpa kehadiran Suu Kyi.
"Kami ahli Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan rakan-rakannya mendoakan supaya Suu Kyi akan dibebaskan tidak lama lagi," kata Win Tin, seorang bekas tahanan politik dan pemimpin kanan NLD.
Penyokong Suu Kyi yang sebahagian daripadanya memakai kemeja-T tertera imej wanita tersebut, berdoa di hadapan potretnya dan memotong kek hari jadi.
Ahli-ahli NLD turut menanam lebih 20,000 anak pokok di seluruh Myanmar bagi meraikan hari lahir pemimpin itu, sementara pelbagai majlis turut dirancang di bandar-bandar seluruh dunia daripada berjaga malam sambil memasang lilin di Tokyo dan Auckland hingga kepada perhimpunan perpaduan di Washington.
Di Prague, aktivis kemanusiaan menulis mesej buat ikon demokrasi itu pada satu dinding grafiti yang dihiasi gambar Suu Kyi.
Penyokong beliau turut menyatakan mesej sokongan di Facebook dan laman-laman web rangkaian sosial lain. - AFP

Saman: Perkasa beri penjelasan


KOTA BHARU 19 Jun - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menjelaskan, tindakannya mahu menyaman kerajaan jika terdapat pelajar cemerlang bumiputera tidak mendapat biasiswa adalah semata-mata mahu menunjukkan bahawa tidak semua pelajar Melayu diberikan biasiswa.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah itu diambil kerana terdapat parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikan kerajaan kerana tidak memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang kaum lain.
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan kerana memahami kerajaan memerlukan peruntukan yang besar jika mahu memberikan biasiswa kepada semua pelajar cemerlang.
"Isu tuntutan biasiswa untuk pelajar Cina dan India telah dibincang secara meluas oleh blog dan portal berita terutama ketika berlaku pergaduhan di Parlimen minggu lalu yang juga berpunca daripada perkara yang sama.
"Jadi saya ingin memberitahu bahawa ada pelajar cemerlang bumiputera juga tidak mendapat biasiswa sedangkan mereka berhak mengikut Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas menutup Wacana Kefahaman dan Penghayatan Agenda Ekonomi di sini hari ini.
Dua kertas kerja dibentangkan pada wacana tersebut iaitu oleh Naib Presiden Perkasa, Dr. Zubir Harun dan Anggota Dewan Tertinggi Perkasa, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.
Ibrahim berkata, kaum lain tidak boleh menyaman kerajaan atas isu biasiswa disebabkan mereka tidak berhak mengikut Perlembagaan.
"Disebabkan itu saya cadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan tabung khas dengan mengumpul dana daripada hasil perniagaan yang dimiliki kaum tersebut dan tidak boleh diceburi oleh orang Islam seperti arak dan judi.
"Cukai daripada hasil perniagaan ini digunakan untuk memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang mereka, pada masa sama, semua maklum bahawa ahli perniagaan dari kaum ini mempunyai kuasa wang yang kuat," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Perkasa mengecam tindakan Ketua Pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malick Sow yang membuat kenyataan terburu-buru berhubung pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau turut mempersoalkan apakah motif sebenar kenyataan itu dibuat dan adakah suara Malick mewakili PBB.
"Banyak negara yang mengamalkan undang-undang seperti ini, tahanan tanpa perbicaraan seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.
"Kenapa beliau tidak mempersoalkan apa yang dilakukan di Singapura? Di sana lebih ketat malah sesiapa sahaja yang mengkritik bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuen Yew akan dikenakan tindakan.
"Cuba bayangkan apa akan jadi jika tiada ISA dengan pelbagai isu yang timbul sekarang seperti kalimah Allah, kepala babi dilempar dalam masjid dan kepala lembu dipijak, itu sebabnya akta ini masih diperlukan, lagi pun Menteri Dalam Negeri telah menjelaskan beberapa kali ia akan dipinda pada sidang Parlimen akan datang," katanya.
Tambah beliau, sewajarnya, laporan tersebut dihantar ke PBB terlebih dahulu sebelum diberikan kepada media.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Malick yang dijemput oleh kerajaan negara ini untuk memantau penggunaan akta tersebut selama dua minggu.
Malick dilaporkan berkata, Malaysia perlu menghapuskan ISA kerana ia digunakan sewenang-wenangnya untuk menahan orang tanpa dibicara dan digunakan terhadap ahli politik pembangkang, wartawan dan penulis blog.

Jui Meng serah balik 3 darjah kebesaran


KUALA LUMPUR 19 Jun - Bekas pemimpin MCA, Datuk Chua Jui Meng (gambar) berkata beliau akan mengembalikan bukan sahaja dua tetapi kesemua tiga darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya kepada Istana Johor.
Jui Meng berkata selain darjah kebesaran Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ), yang kedua-duanya membawa gelaran 'Datuk', beliau turut menerima Pingat Ibrahim Sultan (PIS) oleh Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail ketika beliau berkhidmat dengan kerajaan.
Bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini hari ini, beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan dan kini anggota Majlis Tertinggi parti itu berkata, beliau tidak tergesa-gesa untuk memulangkan pingat berkenaan tetapi akan melakukannya "dalam masa terdekat" ini. - BERNAMA.

“Melayu Temberang” dicadangkan jadi slogan baru UMNO

“Melayu Cemerlang” dicadangkan jadi slogan baru UMNO

20/06/2010 5:43pm

BESUT 20 Jun — Slogan Umno ”Hidup Melayu” dicadang diubah kepada ”Melayu Cemerlang” agar relevan dengan suasana dan perkembangan negara masa kini.
Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dalam era inovasi dan kreativiti, slogan Melayu Cemerlang diyakini lebih sesuai untuk menggerakkan orang Melayu supaya mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang kini lebih ke hadapan.
"Slogan Hidup Melayu lebih menjurus kepada membina asas perjuangan dan kekuatan bangsa Melayu di era sebelum dan selepas kemerdekaan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita Dalam Organisasi di Bangunan Umno Bahagian Besut di Jerteh, hari ini.
Slogan baru itu dicadangkan oleh Umno Bahagian Besut. Bagaimanapun menurutnya, suasana kini telah banyak berubah dan usaha berterusan memperkasa dan memartabatkan orang Melayu perlu dibuat menerusi pendekatan yang lebih realistik. — Bernama

2 beranak tinggal di masjid


2010/06/20

 JAMIL   membawa  Rohani menaiki basikal melawat Tapak perniagaan Agrobank di Jalan Tunku Ibrahim, semalam.
JAMIL membawa Rohani menaiki basikal melawat Tapak perniagaan Agrobank di Jalan Tunku Ibrahim, semalam.
Bapa tunggal tetap tabah jaga anak hidap Sindrom Down 

ALOR SETAR: Seorang bapa tunggal tetap tabah memelihara anak perempuan yang menghidap Sindrom Down walaupun dihimpit kemiskinan hidup hingga terpaksa menjadikan sebuah masjid sebagai rumah mereka selepas dihalau berikutan tidak mampu membayar rumah sewa sejak empat bulan lalu.Jamil Jaafar, 50, dari Tandop, dekat sini, berkata walaupun terpaksa tinggal di masjid dan mengharap simpati orang ramai untuk mendapatkan sesuap nasi, beliau tidak sanggup berpisah dengan anak tunggalnya, Rohani yang kini berusia 5 tahun.Katanya, seminggu selepas kelahiran Rohani, isterinya Rokiah Ahmad meninggal akibat jantung berlubang. 

“Arwah isteri saya menghidap penyakit berkenaan ketika mengandungkan Rohani dan keadaannya semakin teruk selepas bersalin hingga menghembuskan nafas terakhir. Sejak itu kehidupan kami tidak terurus. 

“Kini kami terpaksa menumpang teduh di Masjid Al-Ghuffran di Jalan Pegawai, Alor Setar,” katanya ketika di temui, di sini semalam. 

Jamil berkata, keadaan Rohani yang memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa menyebabkan beliau berhenti kerja di kilang baja berdekatan rumah sewanya di Tandop hingga terpaksa mencari rezeki mengutip barang lusuh selain mengharap simpati orang ramai. 
Beliau berkata, hingga kini beliau tidak pernah memohon bantuan untuk anaknya kerana tidak tahu proses berbuat demikian selain tidak berupaya pergi jauh dari kawasan masjid kerana keadaan dirinya yang uzur. 

“Saya bersyukur kerana pengurusan masjid memberi kami perlindungan walaupun tahu ia mengundang pelbagai tohmahan dari masyarakat sekeliling yang menganggap kami sebagai peminta sedekah. Saya berharap ada pihak sudi membantu anak saya kerana dia semakin membesar dan perlu bersekolah bagi menjamin masa depannya apabila saya tiada nanti,” katanya. 

TUDM adakan lebih banyak latihan bersama AS


20/06/2010 3:14pm

KUALA LUMPUR 20 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mahu mengadakan lebih banyak latihan ketenteraan dengan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) pada masa akan datang.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata, usaha tersebut akan dilaksanakan memandangkan Amerika Syarikat (AS) mempunyai banyak doktrin dan strategi ketenteraan yang baru yang boleh dipelajari TUDM.
"Penekanan kita sekarang adalah mungkin kita akan melaksanakan lebih banyak latihan bersama AS. Kita nak pelajari daripada mereka dan akan menyesuaikannya dengan TUDM," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Hari Terbuka Muzium TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hadir sama ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Azizan Ariffin serta bekas-bekas Panglima TUDM.
Mengenai Hari Terbuka Muzium TUDM, Rodzali berkata, ia adalah salah satu daripada acara yang diadakan sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-52 yang disambut pada 1 Jun lalu.
"Hari ini adalah untuk kita mengingati jasa-jasa pejuang kita dan memastikan sejarah TUDM tidak luput begitu saja. Ini amat penting bagi kita," katanya.
Katanya, orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat aset-aset TUDM yang telah digunakan sejak penubuhannya pada 1958.
Kira-kira 5,000 orang mengunjungi Hari Terbuka Muzium TUDM itu.
Antara aktiviti yang diadakan adalah para-gliding jump, belon panas, simulator penerbangan, pameran kerjaya dan pameran pesawat-pesawat lama milik TUDM. - Utusan

Kerajaan kaji naik taraf Jalan Kuantan-Segamat


20/06/2010 4:31pm

ROMPIN 20 Jun - Kementerian Kerja Raya sedang mengkaji untuk menaik taraf Jalan Kuantan-Segamat daripada dua lorong kepada empat lorong berikutan berlaku beberapa kemalangan maut di laluan itu sejak akhir-akhir ini.
Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, langkah tersebut dilihat perlu bagi mengelak lebih banyak kemalangan maut berlaku memandangkan laluan sepanjang 147 kilometer yang dikenali sebagai Lebuhraya Tun Razak itu adalah laluan utama yang menghubungkan antara Kuantan
dan Segamat. - Utusan

Parlimen Batu keliru

KUALA LUMPUR: Satu persoalan timbul sama ada pemimpin pembangkang Tian Chua perlu mengosongkan kerusi Parlimen Batu selepas Mahkamah Tinggi semalam mengurangkan dendanya kepada RM2,000 kerana menggigit seorang anggota polis pada Disember 2007.
Pengerusi DAP Karpal Singh (gambar) berkata, kerusi Parlimen itu perlu diisytiharkan kosong mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Anggota Parlimen hilang kelayakan jika dia disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan.
Karpal berkata, mengikut Perkara 53 perlembagaan itu, seorang Anggota Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika tidak merayu keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari. Tian Chua, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, ialah ketua penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Karpal yang juga peguam memberitahu media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta bahawa pada 1975, Anggota Parlimen DAP Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu selepas dipenjara enam bulan dan didenda RM2,000 selepas didapati bersalah mengikut Akta Hasutan. Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Tian Chua bertegas bahawa anak guamnya kekal sebagai Anggota Parlimen dan hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf.

Hakim Datuk Ghazali Cha, ketika mendengar rayuan Tian Cua, mengenepikan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret pada Oktober tahun lepas dan menggantikannya dengan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara. Dalam penghakimannya, hakim itu berkata Tian Chua mungkin hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen jika hukuman terdahulu dilaksanakan dan pilihan raya kecil perlu diadakan.

Amer Hamzah berkata, dalam kes Leong Yin Ming pada 1993, Mahkamah Agung ketika itu memutuskan bahawa perkataan ‘tidak kurang lima tahun’ bermaksud lima tahun dan sehari, dan ini boleh diguna pakai dalam kes Tian Chua.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, keputusan sama ada kerusi Parlimen Batu kosong atau sebaliknya selepas penyandangnya disabitkan kesalahan dan denda oleh mahkamah akan hanya diputuskan pejabat Speaker Dewan Rakyat. Beliau berkata, perkara itu termaktub dalam Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan bahawa pejabat Speaker Dewan Rakyat yang mempunyai kuasa bagi menentukan status sesebuah kerusi Parlimen. Perkara 53 (1) menyebut ‘jika berbangkit apa-apa persoalan sama ada ahli Majlis Parlimen hilang kelayakan, soal itu hendaklah diputuskan Majlis Parlimen dan keputusan itu adalah muktamad’. “SPR hanya menunggu notifikasi atau pemakluman rasmi daripada Pejabat Speaker Dewan Rakyat,” katanya. - Bernama.

Remaja dua kali hamil anak luar nikah

KUALA TERENGGANU: Keterlanjuran dengan kekasih sehingga mengandungkan anak luar nikah menyebabkan seorang remaja nekad menggugurkan kandungannya berusia dua minggu di dalam tandas rumahnya walaupun tahu perbuatannya itu kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Semuanya itu berlaku, selepas dia hilang arah apabila mendapati dirinya hamil sebelum mengambil jalan pintas mengamalkan memakan sulur sirih secara diam-diam selepas memperoleh ilmu tradisional itu daripada seorang bidan kampung.
Remaja terbabit hanya mahu dikenali sebagai Ida, 19, yang kini insaf dengan perbuatannya itu berkata akibat termakan pujuk rayu kekasihnya seorang lelaki berusia 40-an dia menuruti segala kehendaknya termasuk melakukan hubungan seks di dalam kereta dan ladang kelapa sawit.

Malangnya, selepas tubuhnya diratah teman lelaki yang sudah beristeri itu, dia dibiarkan bersendirian apabila lelaki terbabit enggan bertanggungjawab.

“Dari sehari ke sehari hubungan kami menjadi semakin rapat dan saya tidak menyangka dia sanggup mengambil kesempatan di atas kesulitan dihadapi apabila mengajak saya melakukan hubungan seks,” katanya.

Menurutnya, sejak perawannya diragut, dia menjadi ketagih apabila sering melakukan perbuatan terkutuk terbabit dengan kerelaan kerana terlalu menyayangi kekasihnya itu yang berperwatakan baik selain menjanjikan hubungan mereka akan ke jinjang pelamin.

Katanya, terlalu asyik dengan janji terbabit, dia tidak menyedari hubungan seks itu mendatangkan masalah kepada dirinya apabila mendapati kitaran haid terganggu dan baru dia menyedari dirinya mengandung hasil hubungan terlarang itu.

“Selepas mendapat jalan daripada sepupu yang turut melakukan pengguguran berikutan tidak bersedia menimang cahaya mata, saya nekad memakan sulur sireh yang diminta daripadanya untuk menggugurkan kandungan,” katanya.

Katanya, kejadian itu berlaku Januari lalu dan selepas berpantang dia mula aktif melakukan hubungan seks dengan kekasihnya sehingga mengandung buat kali kedua pada Mac lalu, bagaimanapun teknik serupa dilakukan bagi menutup pekung perlakuannya itu daripada diketahui keluarga.

“Saya sedar perlakuan itu bertentangan ajaran Islam dan berharap wanita di luar sana terutama remaja tidak terpengaruh pujukan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks,” katanya

Pegawai papa kedana kejar cinta GRO lebih tua

KUALA LUMPUR: Akibat penangan cinta seorang pelayan pelanggan (GRO), seorang pegawai syarikat swasta bukan saja sanggup meninggalkan anak isteri tanpa nafkah, malah tergamak menggadaikan semua barang milik keluarganya semata-mata mahu menggembirakan hati wanita yang berusia 11 tahun lebih tua daripadanya.
Lelaki berusia 35 tahun terbabit kini hidup papa kedana dan menjadi ‘pak sanggup’ GRO yang sudah bergelar isterinya selepas dipercayai berkahwin di selatan Thailand.
Bekas isteri lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, 37, berkata disebabkan menderita dengan sikap suaminya hampir setahun, dia terpaksa meminta diceraikan dan mereka berpisah pada 11 Mac lalu.

“Saya tidak tahu sama ada bekas suami saya terkena buatan GRO terbabit kerana perangainya berubah sejak mereka berkenalan di sebuah pusat karaoke dua tahun lalu.

“Saya mengaku kesilapan saya kerana terlalu percayakan dia sebelum ini. Setiap kali dia keluar rumah dengan alasan bermain golf atau bersama rakan, saya tidak kisah tanpa menyedari dia menjalinkan hubungan sulit,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, hubungan sulit bekas suaminya itu terbongkar selepas adik iparnya mendedahkan semua aktiviti lelaki terbabit kerana tidak tahan dengan sikap abangnya.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan suami saya sudah menjadi kaki arak dan sanggup menipu saya untuk mendapatkan wang semata-mata mahu melangsaikan hutang kekasihnya.

“Sejak berkenalan dengan wanita berusia 46 tahun itu, suami saya sanggup buat apa saja demi memenuhi tuntutan GRO terbabit sampai set golf, telefon bimbit, perakam video, wang simpanan anak dan gaji saya dicuri serta dijual demi kekasihnya,” katanya.

Sofia berkata, disebabkan GRO terbabit, dirinya yang ketika itu sarat mengandung anak keempat tidak dipedulikan.

“Selepas melahirkan anak bongsu kami, dia hanya menjenguk beberapa kali saja terutama apabila mahu meminta wang kononnya untuk menjalankan perniagaan. Saya percaya pada kata-katanya sehingga semua wang di bank habis dikeluarkan.

“Sekarang selepas berpisah, saya lega kerana terlepas daripada penyeksaan emosi. Anak kami yang bongsu turut tidak mengenali siapa bapanya,” katanya yang mempunyai empat anak berusia 12 hingga dua tahun hasil perkongsian hidup selama 12 tahun dengan bekas suami.
Menurutnya, dia pernah dua kali terserempak dengan GRO terbabit, tetapi ketika berdepan wanita itu, dia diejek tidak tahu menjaga suami sehingga terlepas ke tangan orang lain. Sementara itu, adik ipar Sofia yang hanya mahu dikenali sebagai Amar, 27, berkata dia terpaksa mendedahkan sikap abangnya selepas melihat terlalu banyak perubahan sehingga tergamak mengherdik ibu bapa mereka yang menegur perbuatan menjalin hubungan dengan GRO.

“Saya terpaksa memberitahu perkara itu selepas saya dipaksa menjadi orang tengah untuk meminta wang daripada kakak ipar demi melayan GRO terbabit.

“Sebelum berkenalan dengan wanita itu dia menghormati ibu bapa dan suami yang bertanggungjawab. Saya berharap dia dapat berubah kerana kehidupannya sekarang sudah tidak terurus umpama merempat,” katanya.

Hishammuddin Isytihar Perang Terhadap Pembangkang


MUAR, 19 Jun (Bernama)-- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengisytiharkan "perang habis-habisan" terhadap pembangkang yang didakwanya memperlekehkan UMNO yang menjadi tunjang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Serentak dengan itu beliau mengajak seluruh ahli parti supaya mengetepikan kepentingan individu sebaliknya menumpukan perjuangan untuk merampas kembali kerusi yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008 lalu pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita kena buktikan UMNO sebagai sebuah parti yang kekal relevan memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan masyarakat," tegasnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri di sebuah hotel di sini.

Beliau mahu supaya mereka tidak bersikap seperti katak bawah tempurung yang hanya memperjuangkan ruang litup mereka sahaja, sebaliknya mengambil kira orang di luar parti.

Menurutnya tiada gunanya mereka jadi jaguh dalam parti tetapi masyarakat luar menolak perjuangan parti.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, kekalahan calon-calon BN dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana UMNO lemah tetapi kerana masalah dalam parti sendiri.

"Pembangkang mengambil kesempatan daripada kelemahan itu hingga kita kehilangan empat buah negeri dalam pilihan raya umum lalu," katanya.

-- BERNAMA

Beri 48 jam


IPOH - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mengemukakan bukti bahawa wakil rakyat yang keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) menerima imbuhan berjumlah RM2 juta dalam masa 48 jam. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau mencabar Anwar membuktikan dakwaan itu dalam tempoh itu yang berakhir Isnin ini. 

Khairy berkata, sekiranya Anawar gagal, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dianggap berbohong kepada rakyat Malaysia dan terbukti dakwaan itu adalah fitnah. 

“Isnin ini adalah hari terakhir untuk Anwar membuktikan dakwaan itu, jika tidak satu Malaysia tahu yang dia berbohong. 

“Jangan salahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana ini adalah masalah serta kelemahan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datoh di :Dewan Wisma UMNO Bagan Datoh, di sini. 

:Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shaarani Mohamad, Ketua Pemuda UMNO Perak, Maslin Sham Razman dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datoh, Zainuluddin Helmi Baharuddin. 

:Menurutnya, pembangkang tidak harus menuduh UMNO dan BN membeli atau mengumpan wakil rakyat mereka dengan tanpa sebarang bukti yang kukuh. 

Beliau berkata, mereka tidak seharus berceramah membuat tuduhan melulu terhadap UMNO dan BN serta berharap pembohongan besar mereka itu dapat dinilai rakyat. 

Sementara itu, mengenai persediaan Pemuda UMNO dan BN sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat, beliau berkata, keputusan pilihan raya terletak kepada Perdana Menteri namun pihaknya sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya itu.

Obama didakwa mengaku Muslim




2010/06/20

WASHINGTON: Dua firma media besar Asia Barat mendakwa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, mengaku beragama Islam kepada seorang menteri kanan Mesir awal tahun ini. 

Stesen televisyen Mesir, Nile TV International dan majalah Israel Today melaporkan, Obama membuat pengakuan itu kepada Menteri Luar Mesir, Ahmed Aboul Gheit.Wartawan Israel, Avi Lipkin, berkata Gheit yang muncul dalam rancangan ‘Round Table Show’ Nile TV International pada Januari lalu, memberitahu bahawa ‘Obama bersumpah kepadanya bahawa beliau beragama Islam dan begitu juga bapa, bapa tiri dan dua adik tirinya di Kenya juga Muslim serta beliau bersimpati dalam isu Muslim.’Pihak berhaluan kanan Amerika segera mengambil kesempatan dengan laporan yang belum disahkan itu dengan menuduh Obama anti-Israel. 
Perkembangan ini disiarkan selepas tinjauan di negara Islam menunjukkan popularitinya menurun ketika Obama berusaha menangani isu tumpahan minyak British Petroleum (BP) di Teluk Mexico. 

Pamela Geller yang mengetuai pertubuhan ‘Stop Islamization of America’ (Henti Islamkan Amerika) mendakwa, laporan mengenai pengakuan Obama itu tidak dihiraukan media perdana Amerika dan perkara itu sepatutnya menjadi kebimbangan rakyat Amerika. 

“Laporan itu menyatakan, Aboul Gheit memberitahu bahawa Obama memberitahunya dia seorang Muslim dan akan menunjukkan beliau dunia Islam bagaimana menguruskan Israel selepas menyelesaikan beberapa isu domestik,” katanya. 
Geller mengakui isu Obama beragama Islam bukanlah sesuatu yang baru tetapi ia menjelaskan sikap pemimpin terbabit yang bersimpati kepada pihak yang mengancam Amerika serta berniat merangka semula dasar agama negara berkenaan. 
Geller menuduh Obama menunjukkan kebencian terhadap Israel dan tidak mahu membantu negara Yahudi itu menghadapi musuh. – Agensi 

Vokalis Peterpan rakam seks bersama 32 artis




2010/06/20

Polis sahkan penyanyi, aktres Indonesia dalam klip asmara

JAKARTA: Kes bekas penyanyi kumpulan Peterpan, Ariel bersama aktres Luna Maya dan Cut Tari bertambah mengejutkan dengan pendedahan sekurang-kurangnya 32 lagi artis didakwa terbabit manakala polis mengesahkan vokalis dan dua pelakon berkenaan adalah pelaku seks membabitkan klip video lucah yang tersebar luas di Indonesia.Ariel kini berhadapan dengan tuduhan merakamkan perbuatan seks bersama dua aktres berkenaan. Sebahagian besar wanita yang ditiduri Ariel itu adalah artis dan selebriti Indonesia, lapor laman web inilah.com yang memetik sumber.“Ada 32 wanita terbabit merakamkan hubungan mereka dengan Ariel dan mirip selebriti terkenal termasuk Ratu Felisha, Aura Kasih, Andhara Early dan vokalis band SHE, Melly Herlina," kata sumber terbabit.

Maklumat kebanyakan media Indonesia juga menyebut, sebanyak 32 fail membabitkan 23 rakaman video lucah dan sembilan gambar foto Ariel didapati bersama dengan sekumpulan wanita.

Daripada 32 rakaman video terbabit serta lima gambar foto menunjukkan gambar Ariel bersama pasangan yang belum diketahui identiti mereka dan selebihnya adalah adegan Ariel dengan beberapa wanita mirip artis Indonesia dengan pangkal nama bermula dengan huruf RF, AK, AE, MH, KD dan BC.

Pihak polis ketika diminta mengesahkan sama ada sedang menyiasat perkara itu berkata: “Kata siapa? Kami masih menyelidik yang sedang beredar sekarang. Dari situ kita akan selidik dulu,” kata Pengarah Mabes Polri di Jakarta, Brigadier Jeneral Saud Usman Nasution. 
Katanya, polis masih meneliti kes terbabit. Hingga kini polis sedang cuba mencari bukti. “Siapa yang menyebarkan itu perkara pertama yang akan kita bertindak terlebih dulu,” katanya.

Polis meminta mereka yang memiliki video atau gambar porno segera menyerahkan kepada pihak berkuasa.

Khabar angin tersebar di internet mengatakan Ariel suka mengabadikan adegan seksnya dan menyimpan dalam komputernya. Malang sekali komputer terbabit hilang dan disebarkan mereka tidak bertanggungjawab.

Malah khabar angin turut tersebar kononnya ada 23 rakaman video seks Ariel bersama beberapa selebriti wanita Indonesia akan disebarkan satu persatu.

Mengulas pengesahan Ariel, Luna Maya dan Cut Tari dalam klip video diedarkan, Ketua Cawangan Hubungan Masyarakat Ibu Pejabat Polis Republik Indonesia, Jeneral Edward Aritonang berkata, polis membuat kesimpulan selepas selesai menyiasat ke atas ketiga-tiganya. – Agensi 

Polis & JPJ rempit pulak dah

Anggota polis, JPJ kena tahan
Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2010/06/20

Memandu secara bahaya, aksi zig-zag 

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis dan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memandu secara melulu dan berbahaya selepas menonton aksi pasukan bola sepak England menentang Algeria pada pusingan Piala Dunia 2010, ditahan dalam operasi polis trafik di ibu negara, awal pagi semalam.Kedua-dua penjawat awam itu bersama tiga lagi rakan mereka ditahan oleh Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur yang berpakaian preman, selepas dilihat memandu laju dan melakukan aksi zig-zag di Jalan Raja Laut, di sini.Ketua U3K Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, sebaik selesai menonton perlawanan bola sepak antara England menentang Algeria, kira-kira jam 4 pagi semalam, penjawat awam yang memandu kereta Honda Civic itu dikatakan memecut laju dan melakukan aksi berbahaya di Jalan Raja Laut, di sini. 

“Aksi mereka memandu secara berbahaya itu dipantau anggota U3K berpakaian preman yang bertindak mengejar kumpulan berkereta itu. 

“Lima lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu kemudian berjaya ditahan oleh anggota U3K terbabit,” katanya di sini, semalam. 

Dalam kejadian berasingan, Azmi berkata, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan kerana melakukan aksi menunggang motosikal secara meniarap ala-Superman dalam sekatan jalan raya di Lebuh Raya Duta Ulu Kelang (DUKE) di sini, semalam. 
Beliau berkata, remaja lelaki itu ditahan kerana menunggang secara melulu serta membuat aksi zig-zag sebelum diekori anggota U3K berpakaian preman. 
Azmi berkata, dalam operasi Cegah Samseng Jalanan bermula jam 10 malam hingga 5 pagi itu, pihaknya menyita lima motosikal. 

“Semua enam lelaki yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pemandu jalan raya lain. 

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000,” katanya.