Wednesday, December 22, 2010

Buku Jingga: Najib takut, Muhyiddin gentar



KUALA LUMPUR, 22 Dis: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin Umno BN lain berkenaan program 100 hari Kerajaan Pakatan Rakyat yang diumumkan pada Konvensyen Pakatan Rakyat lalu dilihat seolah-olah ‘amat terdesak’ untuk menyembunyikan suatu kebenaran dari pengetahuan rakyat.
“Mengapa perlu PM dan TPM bersungguh-sungguh membidas andai selama ini pentadbiran Umno BN cukup cemerlang seperti yang dicanang?” tanya ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Inilah, katanya bukti bahawa Buku Jingga telah menggugat Umno BN, menakutkan PM dan menggentarkan TPM.
Tambahnya, andai Program 100 Hari Pakatan dikatakan sebagai 'politik janji'semata-mata, bagaimana pula dengan janji-janji kerajaan Umno BN selama 53 tahun mentadbir Malaysia.
“Sejak era Tunku Abdul Rahman, semua tahu 1001 janji telah dibuat tetapi adakah semua dilaksanakan?” soal Ketua Wanita PKR itu lagi.
Baginya, kenyataan Najib itu seolah-olah menampar mukanya sendiri kerana kejadian janjinya di Sibu, Batu Sapi dan Hulu Sealangor pun masih belum tertunai sehingga kini.
Menurutnya lagi, janji sewaktu Bajet 2010 agar tiada kenaikan harga barang, nampaknya didustai Najib sendiri.
“Janji Projek Terminal Puduraya juga sudah menjadi janji Gajah Putih akhirnya. Janji Jambatan Labuan sehingga ke hari ini dilupakan.
“Inilah bukti, konsep 1Malaysia - keuntungan Syabas, Plus dan Uda Mall diutamakan, rakyat dipinggirkan,” ujarnya.
Malahan, katanya untuk rekod tiada satu pun projek Gajah Putih sepanjang hampir 3 tahun pentadbiran Kerajaan Pakatan, berbanding 3 tahun pentadbiran Pusat Kerajaan BN.  
“Andai PM kata Program 100 hari Pakatan tidak berpaksi realiti, inilah realiti apabila semakin banyak janji Umno BN yang tertimbun,” katanya.
Sebaliknya, kata beliau sejak pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di 4 buah negeri, dan Perak buat seketika telah membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat telah melaksanakan agenda merakyatkan ekonomi dengan jayanya.
harakah

100 Hari: PAS bidas Najib

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR, 22 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hairan dengan sikap Perdana Menteri serta Timbalannya yang mendakwa 'janji 100 hari Pakatan Rakyat' tidak berpijak kepada realiti.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Najib itu, Tuan Ibrahim berkata janji Pakatan bukannya kosong malah sudah menilai kemampuan sebenar dari segala aspek termasuk kemampuan ekonomi negara.

"Kita pelik bagaimana Perdana Menteri dan timbalannya mengatakan bahawa janji Pakatan ini diluar kemampuan kerajaan.

"Untuk memberikan imbuhan RM500 kepada guru-guru tidak ada kemampuan, tetapi membina menara warisan berharga RM5 bilion mereka mampu. Malah memberi RM500 juta seorang kroni sebagai komisyen pembelian kapal selam BN mampu lakukan.

"Begitu juga BN mampu berikan subsidi sehingga RM20 bilion untuk IPP (penjana tenaga bebas), tetapi untuk rakyat dikurangkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, Pakatan Rakyat yakin berkemampuan melaksanakan janji 100 hari Pakatan memerintah negara kerana ianya telah dibuat melalui kajian terperinci melibatkan tenaga pakar pelbagai bidang.

Keyakinan itu juga jelasnya berasaskan kepada perubahan pengurusan kewangan negara yang akan dilakukan dengan menghapuskan amalan rasuah, penyelewengan, pembaziran dan salah urus pentadbiran kerajaan BN.

Perkara tersebut tegasnya telah berjaya dibuktikan dalam pemerintahan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak ketika Pakatan memerintah negeri itu.

"Di Kedah, ketelusan pengurusan kewangan negeri menyebabkan hasil balak meningkat daripada RM7 juta zaman BN kepada RM35 juta dibawah pemerintahan Pakatan.

"Di Pulau Pinang, bajet negeri berlebih sebanyak RM77 juta pada tahun 2009 dan RM88 juta pada tahun 2008 dalam keadaan negeri dibawah BN difisit teruk dalam perbelanjaan negeri," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Ujarnya lagi, rakyat perlu mengetahui, bahawa sebahagian besar janji Pakatan ini hanya melibatkan perubahan polisi yang selama ini hanya menguntungkan BN sahaja dan memangsakan rakyat.

"Antaranya usaha kita untuk menghapus Felda Plantation bagi melibatkan peneroka dikalangan generasi kedua Felda memang sesuatu yang mampu dilakukan. Selagi Umno BN memerintah, ianya memang tidak boleh dilaksanakan.

"Rakyat tidak perlu bimbang untuk menukar kerajaan kepada Pakatan, kerana mereka tetap diberi hak untuk mengubah kerajaan dimasa akan datang, sekiranya janji Pakatan tidak ditunaikan," katanya.

27 Januari sebutan semula kes Siti Aishah saman Uncle Seekers





2010/12/22

TEMERLOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes saman bekas Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman terhadap pakar paranormal, Syed Abdullah Hussein Al-Attas kerana bertindak melanggar maklumat sulit beliau. 

Hakim Prasad Abraham menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas pendengaran 'interparte'.
Beliau membuat keputusan itu bagi memberi masa kepada Jabatan Insolvensi melantik peguam untuk defendan pertama iaitu Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers, memandangkan dia telah diisytiharkan muflis.
Selain itu, defendan kedua kes berkenaan iaitu Syed Hussein Al-Attas, bapa kepada Syed Abdullah, juga diarahkan untuk melantik peguam bagi kes berkenaan. 

Siti Aishah diwakili peguam T. Gunaseelan, Anthony M.Sebastian dan Ikmal Hisan Idris. 

Pada 3 Disember lalu, Siti Aishah memfailkan saman terhadap Syed Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini kerana telah bertindak melanggar maklumat sulit beliau selain menamakan Syed Hussein sebagai defendan kedua. 

Dalam saman itu, Siti Aishah selaku plaintif, memohon perintah injuksi bagi melarang Syed Abdullah dan Syed Hussein untuk tidak mendedahkan sama ada secara lisan atau dalam blog, surat khabar atau wakil-wakil mereka sebarang maklumat mengenai beliau. 
Siti Aishah berkata pada Jun lalu, beliau meminta defendan pertama untuk membantu merawat masalah tekanan emosi yang dialaminya selepas defendan pertama mendakwa boleh mengubati masalah itu. 

Beliau berkata antara persetujuan di antara beliau dan Syed Abdullah ialah Syed Abdullah akan dibayar untuk perkhidmatannya dan bersetuju untuk merahsiakan segala maklumat dan komunikasi membabitkan Siti Aishah sepanjang proses rawatan berlangsung dan tidak mengeksplotasi dirinya dalam sebarang bentuk. 

Bagaimanapun pada November lalu, Syed Abdullah dalam blognya mendedahkan apa yang dikatakan sebagai komunikasi di antaranya dengan plaintif. - BERNAMA

Pernikahan Sudin Ajaib dengan budak 11 tahun tak sah: Mahkamah





2010/12/22

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mendapati pernikahan antara pemimpin jemaah Tabligh, Shamsuddin Che Deraman atau Sudin Ajaib dengan budak 11 tahun sebagai tidak sah, menyebabkan perintah mufarakah tidak perlu.

DAP buat laporan polis



BENTONG – DAP Bahagian Bentong meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung penyebaran risalah berbentuk poster yang boleh mengganggu gugat ketenteraman penduduk di daerah ini.

Pengerusinya, Ching See Thai berkata, dia menerima laporan daripada rakan kelmarin berhubung risalah yang tertampal di dinding sebuah bangunan berhampiran stesen minyak di bandar Bentong dan datang melihatnya sendiri.

Menurutnya, risalah bertajuk ‘Kedudukan agama Islam tercabar’ itu turut memaparkan gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Apa yang tertulis pada risalah itu termasuk penjualan arak secara terbuka tidak boleh dihalang, kuil dibina di kawasan majoriti masyarakat Melayu, kalimah Allah boleh diguna bukan Islam dan kepala pemimpin Melayu dipijak.

“Selain itu, ia turut menyentuh mengenai perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang diharamkan DAP dan seakan-akan mempertikaikan suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen dalam Pakatan Rakyat berhubung isu agama Islam semakin terhakis akibat tunduk kepada DAP,” katanya.

See Thai berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung risalah itu dan berharap siasatan dapat dijalankan untuk mengenal pasti pihak terbabit.

Menurutnya, pengedaran risalah seumpama itu boleh menimbulkan suasana tegang dalam masyarakat berbilang kaum yang mempunyai fahaman dan pegangan agama masing-masing.

“Kami (DAP Bentong) tidak pasti adakah risalah ini masih terdapat di lokasi lain dan berharap pihak berkuasa bertindak segera untuk mengelakkan ia berlarutan,” katanya.2. Risalah yang ditemui.

Bapa mertua Raisuddin ada calon lain



Raisuddin Hamzah bersama Siti Fatimah Suberi tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi perbicaraan pengesahan pernikahan mereka, semalam.


SHAH ALAM 21 Dis. - Bapa mertua Raisuddin Hamzah memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini bahawa beliau tidak merestui perkahwinan penyanyi dan pelakon itu dengan anaknya berikutan perbezaan umur yang amat ketara antara pasangan tersebut.
Suberi Abdullah, 50, berkata, beliau juga mempunyai dua pilihan yang lebih sesuai termasuk anak lelaki Raisuddin sendiri iaitu Hamzah sebagai calon suami untuk Siti Fatimah.
''Saya tidak setuju dengan perkahwinan itu sebab perbezaan umur 31 tahun. Anak saya baru berusia 19 tahun (ketika bernikah) dan masih anak dara sedangkan Raisuddin berusia 50 tahun serta sudah ada isteri.
''Saya juga ada dua calon suami untuk Siti Fatimah iaitu anak Raisuddin sendiri dan anak seorang doktor yang dipanggil along,'' katanya semasa disoal oleh peguam syarie Roshdan Sujak Rafie.
Suberi memberi keterangan bagi permohonan untuk membubarkan perkahwinan Raisuddin dan Siti Fatimah secara faraq.
Menurut Suberi, kedua-dua defendan bukan sahaja tidak pernah meminta izin malah langsung tidak memaklumkan hasrat mereka untuk bernikah di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007.
Beliau yang masih sihat serta tidak pernah hilang kelayakan sebagai wali hanya mengetahui tentang pernikahan itu selepas Raisuddin dan Siti Fatimah kembali dari sempadan Thailand itu.
''Saya tidak pernah mewakilkan wali kepada sesiapa untuk menikahkan Siti Fatimah. Saya juga tidak pernah dihubungi melalui telefon bimbit atau telefon rumah untuk dimaklumkan tentang pernikahan itu.
''Saya langsung tidak tahu mereka ke Songkhla. Siti Fatimah sedang menuntut di Unisel (Universiti Industri Selangor) dan dia sepatutnya balik ke rumah pada masa itu,'' jelas beliau.
Pernikahan Raisuddin, 53, yang juga penyanyi era 80-an dengan Siti Fatimah, 22, di Songkhla pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq.
Beliau membuat permohonan tersebut dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.
Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan mereka yang kini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah yang sama.
Pasangan yang telah diperintah tinggal berasingan sehingga perkahwinan mereka disah dan didaftarkan itu diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Zainur Rasyid Hassin bersambung pada 23 Februari ini.
-utusan