Wednesday, December 7, 2011

Ummi Hafilda terima ganti rugi RM50,000

Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 7, 2011
hafilda
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan kilang cetak Syarikat Prema membayar RM50,000 bagi ganti rugi am kepada usahawan wanita Ummi Hafilda Ali kerana fitnah.

Datuk Sulaiman Daud yang mengetuai panel tiga hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan syarikat itu.

Panel itu yang terdiri daripada Hakim Datuk Ramly Ali dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan syarikat itu bertanggungjawab memfitnah Umi Hafilda.

Namun, mahkamah membenarkan rayuan Syarikat Prema untuk mengurangkan jumlah bayaran ganti rugi daripada RM100,000 yang diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk dibayar kepada Umi Hafilda kepada RM50,000 beserta faedah dan kos.

Hakim Sulaiman berkata mahkamah berpendapat jumlah RM100,000 yang dianugerahkan Mahkamah Tinggi adalah keterlaluan.

Pada 7 Jun 2006, Mahkamah Tinggi memerintahkan PAS, Halim Arshat yang juga bekas setiausaha agung PAS dan pemegang permit penerbitan Harakah ketika itu, bekas ketua pengarang Harakah, Datuk Mustafa Ali untuk membayar sejumlah RM100,000 sebagai ganti rugi am kepada Ummi Hafilda.

Mahkamah Tinggi turut memerintahkan Syarikat Prema untuk membayar RM100,000 kepada Ummi Hafilda, yang dikenali ramai semasa perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan faedah sebanyak 8 peratus ditambah kepada jumlah yang diperintahkan bermula dari tarikh pemfailan writ pada 30 April 1999 sehingga ia direalisasikan dan satu injunksi bagi menghalang responden daripada terus menyiarkan kata-kata fitnah terhadapnya.

PAS, Halim dan Mustafa tidak mengemukakan rayuan.

Ummi Hafilda, 46, menyaman PAS, Halim, Mustafa dan Sabri Zain, penulis akhbar tabloid yang diterbitkan dua kali seminggu berhubung dengan penyiaran artikel bertajuk "Malaysia Sweeps 10 Oscars" (Malaysia Memenangi 10 Oscar) yang disiarkan pada isu 29 Mac 1999 Harakah yang mengandungi beberapa gambaran negatif mengenai dirinya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Umi Hafilda berkata dia mengalami kesan dahsyat akibat penerbitan artikel berunsur fitnah itu, reputasi dan imej dirinya tercemar dan kehilangan pendapatan perniagaannya serta berhadapan dengan skandal awam, kebencian dan hinaan.

Ummi Hafilda turut memperoleh penghakiman ingkar terhadap Sabri pada 22 Nov 1999 tetapi perintah itu tidak dapat dilaksanakan terhadap Sabari yang tidak dapat dikesan. - Bernama
Ummi Hafilda terima ganti rugi RM50,000 - Jenayah - Sinar Harian:

Hudud bukan untuk Soi Lek: Pas


Oleh : SH ONLINE/NADIA ZAMAN
Tarikh : December 7, 2011
soi lek

SHAH ALAM - Ketua Dewan Pemuda Pas hari ini memberi “jaminan” undang-undang hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam.

Kamaruzaman Mohamadberkata, dakwaan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa sistem hudud tidak adil kepada semua pihak tidak releven kerana mereka yang bukan Islam bebas untuk mengguna pakai sistem perundangan sivil sedia ada.

“Saya memberi jaminan jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan, ia tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam, malah ia bakal memelihara keharmonian kita dari sebarang kes jenayah seperti merompak dan wanita juga terpelihara kehormatannya daripada jenayah diperdagangkan atau dera,” kata Kamaruzaman Mohd dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, Datuk Chua perlu mengkaji prinsip dan bentuk pelaksanaan hudud bersama ulama dan pemimpin Pas bagi memahami lebih lanjut undang-undang itu.

“Pas membuka ruang forum dan sesi penerangan dengan mana-mana pihak yang mahu berbincang secara ilmiah, bukannya dengan emosi atau sekadar lontar politik semata-mata.,” katanya

Hudud bukan untuk Soi Lek: Pas - Politik - Sinar Harian:

Dakwat Kekal : Dr. Asri bidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)



Dr. Asri melahirkan kekagumannya terhadap kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyatakan mereka bersedia melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang tetapi mahu menunggu kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.


Kata beliau “ Ianya amat menarik apabila SPR menyatakan kesediaan penggunaan dakwat kekal itu bergantung kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, sedangkan telah ada fatwa mengenai perkara ini.”

Bagaimanapun tambah Dr. Asri “Jangan gunakan Islam sebagai alasan atau halangan untuk melaksanakan sesuatu yang memberikan keadilan, ianya satu perangai yang teruk.”.. sepenuhnya sila baca di bawah..

Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia

Keputusan:

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Indelible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.

Oleh itu penggunaan Indelible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam.

Walaubagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Indelible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja.

Keterangan/Hujah:

1.Indelible Ink bermakna dakwat yang tidak boleh dipadam. Satu calitan dakwat ini pada jari pengundi akan memberi tanda coklat kehitaman yang akan kekal selama beberapa hari. Kaedah ini adalah kaedah yang mudah yang berkesan bagi mengelakkan penipuan undi atau pengundi yang membuang undi lebih sekali. Beberapa negara telah menggunakan kaedah ini termasuk China, Ghana dan Denmark. India sebagai pengeluar dakwat ini telah menggunakan kaedah calitan jari pengundi ketika pilihanraya sejak tahun 1962 lagi. Berdasarkan laporan ujikaji komposisi kimia yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia, dakwat yang diimport daripada India ini mengandungi tiga (3)bahan utama iaitu air, Ethanol (55 peratus) dan Silver nitrate .

2.Penggunaan Indelible Ink tidak akan mendatangkan sebarang mudharat jika digunakan pada kuku dan jari. Ia hanya akan mendatangkan kesan pada kesihatan sekiranya termakan atau terminum.

3.Berdasarkan kajian, penggunaan Indelible Ink pada kuku boleh dihilangkan dalam tempoh tiga (3) hari dan jika digunakan pada kulit, ia akan hilang dalam tempoh tujuh (7) hari. Untuk kegunaan dalam pilihanraya, SPR hanya akan mencalitkan Indelible Ink tersebut dalam kuantiti yang sedikit yang dijangka dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam.

4.Penggunaan alkohol dalam Indelible Ink bukan merupakan isu kerana pada asasnya jika sesebuah bekas mengandungi alkohol dibuka, proses meruapan akan berlaku dan ia akan mengurangkan kandungan alkohol tersebut.

5.Memandangkan Indelible Ink ini boleh telap air dalam keadaan serta merta dan kandungannya juga bebas dari sebarang lemak haiwan, maka penggunaannya tidak akan menimbulkan sebarang keraguan dari aspek hukum syarak.

6.Ketelapan air pada kulit perlu dibezakan dengan ketelapan air yang sampai pada sel di bawah kulit, kerana dari sudut syarak kedua-duanya adalah berbeza dan untuk tujuan ibadah adalah memadai jika air telap sampai ke kulit.

7.Dalam konteks menjaga maslahah ummah, beberapa kaedah fiqhiyyah yang boleh dijadikan sandaran adalah :
تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلح

Maksudnya : Tindakan yang dijalankan oleh ketua negara terhadap urusan rakyat adalah terikat dengan maslahah.

sumber : e-Fatwa
Anak Sungai Derhaka: Dakwat Kekal : Dr. Asri bidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR):

Musa tuntut dua akhbar Cina mohon maaf

Utusan Malaysia Online - Terkini:


07/12/2011 1:35pm

PULAU PINANG 7 Dis. – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menuntut dua akhbar berbahasa Cina menarik balik artikel mereka yang didakwa suatu pembohongan serta palsu.

Selain itu, beliau juga meminta permohonan maaf dibuat dan disiarkan di muka hadapan kedua-dua akhbar itu kerana menyiarkan laporan yang tidak tepat berkenaan ucapannya semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Menurut Musa, laporan yang dikeluarkan oleh akhbar terbabit tidak benar sama sekali dan bercanggah dengan isi ucapannya selaku wakil UMNO Pulau Pinang.

"Kenyataan penarikan balik artikel itu dan permohonan maaf mereka harus dicetak dan disiarkan di muka hadapan kedua-dua akhbar berkenaan.

"Saya juga memberi mereka tujuh hari untuk berbuat demikian dan tidak teragak-agak mengambil tindakan selanjutnya termasuk tindakan undang-undang," katanya pada sidang akhbar di Wisma UMNO, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim dan Ketua Wanita UMNO negeri, Zabariah Wahab.

Kenyataan kedua-dua akhbar tersebut menyebut Musa mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) hanya menghantar UMNO untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan tidak bergantung kepada parti komponen yang kalah pada pilihan raya lalu untuk menakluk Pulau Pinang.

Musa menafikan berucap sedemikian sebaliknya menjelaskan bahawa beliau hanya menyentuh mengenai isu-isu semasa yang dihadapi oleh UMNO di Pulau Pinang. - Utusan

Mahkamah batal saman Mat Sabu terhadap Utusan


Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin (kanan) dan Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. untuk membatalkan saman Mohamad Sabu di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 6 Dis. - Saman Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. berhubung isu serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor, dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk John Louis O’hara membuat keputusan tersebut ketika membenarkan permohonan yang difailkan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan penerbit akhbar tersebut untuk membatalkan saman dan pernyataan tuntutan Mohamad.
Ia ekoran daripada ketiadaan butir-butir yang mencukupi berhubung penerbitan yang didakwa berunsur fitnah bagi menyokong tuntutan saman itu.
Menurut hakim, tuntutan saman tersebut merupakan kes biasa dan jelas untuk ditolak disebabkan tiadanya kenyataan sokongan tersebut.
Mohamad selaku plaintif juga, ujar Hakim O’hara, perlu mengesahkan butiran penerbitan yang mencukupi dalam samannya seperti yang diperlukan di bawah undang-undang.
Katanya, kenyataan sokongan itu merupakan satu keperluan serta membentuk prasyarat yang dikehendaki di bawah Aturan 78 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dalam writ saman fitnah.
Beliau yang menyifatkan tuntutan Mohamad sebagai remeh, menyusahkan, melampau dan menyalah gunakan proses mahkamah, menolak tuntutan itu dengan kos RM5,000.
Utusan Melayu dan Aziz yang diwakili dua peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun pada 27 Oktober lalu telah memfailkan permohonan membatalkan saman Mohamad terhadap mereka yang dinamakan sebagai pihak defendan.
Peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mohamad bagaimanapun tidak hadir ketika keputusan itu dibacakan.
Mohamad, 57, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada 14 September lalu.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, pihak defendan dengan niat jahat telah menerbitkan satu artikel pada 27 Ogos lalu dan dua bahan terbitan pada keesokan harinya yang berbaur fitnah.
Penerbitan ketiga-tiga artikel terbabit adalah berhubung isu serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor.
Mohamad mendakwa, penyiaran bahan-bahan tersebut telah secara tidak langsung menggambarkan bahawa beliau penyokong pengganas komunis, telah terkeluar daripada ajaran Islam kerana menyokong komunis dan mengiktiraf Muhammad Indera.Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

Gesa dedah senarai kontraktor


Fuziah-Salleh

KUANTAN - Pendedahan senarai kontraktor yang terlibat dalam pembinaan tapak kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) akan memberikan peluang kepada rakyat untuk mengetahui bentuk bahaya yang bakal dibawa kilang itu terhadap manusia dan alam sekitar.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, beliau mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob supaya Lynas mendedahkan senarai kontraktor yang terlibat.

Menurutnya, gesaan Adnan itu memberikan maklumat terhadap orang ramai berikutan selama ini rakyat hanya mengetahui Ranhill dan UGL yang menjadi kontraktor utama Lynas.

“Sama ada kontraktor yang dilantik adalah penyokong Pakatan Rakyat (PR) atau penyokong Barisan Nasional (BN), tidak membawa apa-apa perbezaan. LAMP tetap berbahaya, tanpa mengira siapa yang membinanya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, beliau yakin Adnan tidak menerima maklumat tepat mengenai risiko bahaya yang dihadapi.

“Besar kemungkinan segala maklumat yang disampaikan kepada Adnan ialah maklumat dari Lynas sendiri.

“Lynas cukup bijak di dalam mengelirukan orang ramai, termasuk juga mengelirukan agensi kerajaan dengan fakta yang mengelirukan,” dakwanya.

Dakwanya, laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga tidak pernah mengatakan bahawa LAMP adalah selamat.

Fuziah juga memberitahu, selepas laporan IAEA dikeluarkan, ada beberapa pindaan perlu dilakukan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) namun AELB AELB menggunakan seksyen 41 dalam Akta 304 (berkenaan kerahsiaan) untuk tidak mendedahkan tindakan tersebut

kepada orang awam.

“Selama ini Lynas berani bercakap hanya dari aspek radiasi luaran tanpa berani bercakap tentang radiasi dalaman serta tidak berani bercakap tentang sisa buangan berbentuk radioaktif (WLP solid waste) dari LAMP.

“Ini bertujuan mengelirukan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan malang sekali buat rakyat kerana segala fakta yang mengelirukan oleh Lynas di ulang oleh pihak agensi kerajaan sebelum ini tanpa usul periksa,” katanya.

Beliau yakin Menteri Besar berjiwa rakyat dan mahukan yang terbaik buat rakyat selain menggesa Menteri Besar mengarahkan supaya syarat-syarat yang dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar (Jas) Negeri ke atas Lynas sewaktu Jas meluluskan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) pada 15 Februari 2008 didedahkan terhadap orang awam.

Fuziah turut menegaskan isu LAMP ialah isu yang menggugat keselamatan awam dan harus di tangani bersama.

“Sekiranya pihak BN tidak terus mempolitikkan isu ini, ia adalah lebih baik buat rakyat,” katanya.Gesa dedah senarai kontraktor - Pahang - Sinar Harian:

PRU-13 guna dakwat

SPR laksana sepenuhnya dalam proses pengundian selaras keputusan Parlimen

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dakwat kekal akan digunakan sepenuhnya dalam proses pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka diadakan tidak lama lagi, selaras dengan keputusan Parlimen meluluskan 10 cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, barubaru ini.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihaknya sedang mengambil langkah melaksanakan keputusan itu dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara bagi mengelak sebarang pertikaian undang-undang pada masa depan.
“Dakwat kekal akan digunakan pada PRU-13. Itu hasrat dan SPR hormati keputusan Parlimen tetapi banyak perkara perlu diambil tindakan sebab babitkan pindaan Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981. 

“Menerusi undang-undang baru ini, orang yang datang mengundi perlu dicalit dakwat, baru dapat kertas undi. Dulu (PRU-12) tidak boleh laksana sebab tidak ada pindaan, sekarang tidak ada masalah kerana sudah dapat persetujuan semua pihak.

“Bagaimanapun, tindakan pentadbiran akan diambil terlebih dulu termasuk menyemak kandungan dakwat bagi mengelak bahan kimia terlarang serta meminta pandangan Majlis Fatwa sekali lagi,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Selain dakwat kekal, sembilan lagi cadangan yang diluluskan termasuk pengundian awal, pengundi tidak hadir luar negara, pengundi luar kawasan, penukaran kawasan pendaftaran, pembersihan daftar pemilih dan pameran rang daftar pemilih tambahan, ketelusan proses mengundi, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR. 
Isu penggunaan dakwat kekal menimbulkan kontroversi sebelum ini apabila SPR membuat keputusan menggunakan sistem biometrik atau teknik imbasan ibu jari bagi mengenal pasti dan mengesahkan identiti pengundi pada PRU-13. Ia kerana cadangan penggunaan dakwat dibatalkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan pada 2008.

Sehubungan itu, pembangkang membuat tuduhan termasuk mengadakan perhimpunan haram atas alasan kononnya SPR dan kerajaan terbabit dalam penipuan untuk meraih kemenangan ketika pilihan raya. 

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pihaknya menjangka akan membelanjakan kira-kira RM5 juta membeli dakwat baru kerana dakwat kekal yang sepatutnya digunakan pada PRU-12 2008 sudah dilupuskan selepas tamat tempoh.

Mengenai sembilan lagi cadangan dikemukakan, Wan Ahmad berkata tidak semua dapat dilaksana serentak kerana ia mengambil masa dan kajian terperinci, tambahan pula ada yang membabitkan peruntukan undang-undang.

Antaranya urusan pengundian awal yang memerlukan pindaan awal selain kos tinggi yang perlu ditanggung kerajaan bagi pengundi luar negara.

Bagaimanapun, katanya SPR sentiasa berusaha memastikan sistem pilihan raya dilaksanakan secara bersih dan telus seperti diminta pelbagai pihak, khususnya pembangkang.Berita Harian Online | PRU-13 guna dakwat: