Saturday, May 14, 2016

BNM tamatkan siasatan terhadap 1MDB - Gabenor


KUALA LUMPUR 13 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) menamatkan siasatan di bawah bidang kuasanya terhadap hal ehwal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
muhamamadGabenor Datuk Muhammad Ibrahim (gambar) berkata, 1MDB telah menyatakan komitmen untuk membayar kompaun sebelum tarikh akhir pada 30 Mei 2016, menandakan tamatnya siasatan tersebut.
Syarikat pelaburan strategik negara berkenaan dikenakan kompaun oleh bank pusat susulan kegagalan melaksanakan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Bagaimanapun, Muhammad enggan memberitahu nilai kompaun yang dikenakan ke atas 1MDB, memandangkan ia bertentangan dengan amalan BNM bagi mendedahkan kuantum yang dikenakan terhadap individu khusus atau entiti kepada awam.
1MDB dijangka membayar denda tersebut.
Semasa taklimat media hari ini, Muhammad mengulangi bahawa kesemua siasatan di bawah bidang kuasa bank pusat dari segi peraturan, kawal selia dan undang-undang ditamatkan.
“Dari segi siasatan yang bukan di bawah peraturan, kawal selia dan undang-undang bank pusat, kita akan meneruskan kerjasama dengan badan berkuasa lain,” katanya.
Menurut kenyataan 1MDB pada 28 April lepas, bayaran kompaun tersebut akan dijelaskan pada atau sebelum tarikh akhir. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bnm-tamatkan-siasatan-terhadap-1mdb-gabenor-1.325600#sthash.BJSPp10Z.dpuf

Friday, May 13, 2016

Bank nafi beri maklumat Mohamad Salleh kepada Rafizi


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu pihak bank tidak pernah memberi sebarang maklumat akaun bank Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kepada Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli.
Pengurus Perniagaan Public Bank Berhad Cawangan Jalan Hang Lekiu, Chai Ma Fatt berkata beliau juga tidak mengetahui mengenai dakwaan kononnya Mohd Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR mendapatkan maklumat akaun berkenaan daripada bank itu.  
Ma Fatt,49, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk M. David Morais mewakili Mohamad Salleh selaku plaintif dalam perbicaraan kes samannya terhadap Mohd Rafizi dan portal berita Malaysiakini berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.  
Selain itu, saksi plaintif itu berkata pihak bank pernah menawarkan pinjaman kepada Mohamad Salleh bagaimanapun menarik balik tawaran itu kerana selepas tujuh bulan tempoh tawaran, beliau masih tidak memberi sebarang maklum balas.  
"Pihak bank memberi sokongan terhadap pinjaman itu kerana percaya kepada kedudukan kewangan dan kredibiliti Mohamad Salleh," katanya.
Ma Fatt juga bersetuju dengan cadangan peguam Razlan Hadri Zulkifli, mewakili Mohd Rafizi, bahawa simpanan tetap sebanyak RM71.3 juta yang dibuat Mohamad Salleh ke dalam akaun bank tersebut antara faktor yang menyebabkan pihak bank memberi pinjaman kepadanya.  
Dalam saman difailkan pada 3 Jun, 2013, Mohamad Salleh, 67, dan NFCorp, mendakwa pada 7 Mac 2012, Mohd Rafizi selaku pengarah strategi PKR ketika itu, membuat kenyataan berbaur fitnah pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian hartanah itu dan disiarkan oleh Malaysiakini pada hari yang sama. - Bernama

Public Bank tidak pernah dedah maklumat akaun Mohamad Salleh

mahkamah

KUALA LUMPUR 12 Mei - Public Bank Bhd. tidak pernah memberikan sebarang maklumat perbankan milik Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh seorang saksi ketika perbicaraan kes saman fitnah Mohamad Salleh terhadap Rafizi dan pemilik portal Malaysiakini di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Pengurus Perniagaan Public Bank Cawangan Jalan Hang Lekiu, Chai Mai Fatt berkata, beliau juga tidak mengetahui mengenai dakwaan kononnya Ahli Parlimen Pandan itu memperoleh maklumat akaun tersebut daripada pihak bank.
Menurut Mai Fatt, pihak bank pernah menawarkan pinjaman kepada Mohamad Salleh pada Mei 2011 namun menarik balik tawaran tersebut selepas tidak mendapat maklum balas daripada beliau.
“Bank ada tawarkan pinjaman kepada beliau namun pada Januari iaitu selepas tujuh bulan ia ditarik balik kerana sudah melebihi tempoh had masa tawaran,” katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk M. David Morais yang mewakili Mohamad Salleh selaku pihak plaintif.
Mai Fatt berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes saman Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Rafizi dan Mkini dotcom Sdn. Bhd. yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua atas dakwaan memfitnah beliau dan keluar­ganya.
Menurut Mai Fatt lagi, tawaran pinjaman tersebut disokong oleh pihak bank ekoran percaya terhadap kredibiliti Mohamad Salleh selain faktor kewangan plaintif yang kukuh.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Rafizi bahawa simpanan tetap sebanyak RM71.3 juta yang dibuat Mohamad Salleh menjadi salah satu faktor mendorong pihak bank menawarkan pinjaman terbabit kepadanya.
Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 7 Mac 2012, Mohamad Salleh mendakwa, Rafizi telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR berhubung pembelian hartanah KL Eco City dan berita itu disiarkan dalam portal berita, Malaysiakini pada hari sama.
Suami kepada bekas kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu dalam samannya mendakwa, tuntutan itu difailkan kerana kerugian yang dialami akibat pembohongan, maklumat yang mengelirukan, pendedahan maklumat perbankan yang sulit dan kenyataan fitnah yang dibuat oleh defendan.
Pihak plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk daripada pihak defendan selain injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan memperdayakan orang ramai mengenai isu itu.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan bersambung esok. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/public-bank-tidak-pernah-dedah-maklumat-akaun-mohamad-salleh-1.325273#sthash.BlwGgrCK.dpuf

Wednesday, May 11, 2016

"Vida, Jangan Sekadar Cakap Saja" – Pekerja Rayani Air


Diterbitkan: Rabu, 11 Mei 2016 11:46 AM
Vida (gambar kecil) dilaporkan sedang mengintai peluang untuk membeli saham Rayani Air.

PETALING JAYA: “Vida jangan sekadar sembang saja,” demikian kata seorang pekerja Rayani Air mengenai kenyataan pengasas syarikat produk kecantikan dan kesihatan, Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang dilaporkan sedang mengintai peluang untuk membeli saham syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu.
Pekerja yang enggan dikenali itu berkata, Hazmida yang lebih popular sebagai Dr Vida perlu membuktikan mengenai hasratnya untuk membeli saham Rayani Air.
"Isu Rayani Air ketika ini adalah sesuatu yang serius untuk ditangani. Ia bukan main-main. Vida perlu adakan perbincangan serius dengan Rayani Air sekiranya bercadang membeli saham Rayani Air, bukan mencari populariti,” katanya kepada mStar Online pada pagi Rabu.
Sebuah akhbar harian pada Rabu melaporkan bahawa Vida sedang menilai saham syarikat penerbangan itu kerana menyifatkan terdapat potensi dalam perkhidmatan penerbangan.
Dalam pada itu, Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Zulkalnain Azdan mempersoalkan sejauh mana kebenaran usahawan itu untuk membeli saham berkenaan, tanpa melihat dari segi prospek keuntungan dan populariti semata-mata.
Jika benar, Zulkalnain yang mewakili sejumlah kakitangan Rayani Air berkata, Vida seharusnya meneliti hasrat tersebut secara meluas, bukan sahaja potensi dalam industri penerbangan tetapi juga urusan berkaitan operasi dan kakitangan.
“Rayani Air ketika ini mengalami masalah dana. Vida perlu tahu keuntungan, kerugian, hutang dan aset Rayani Air.
“Ini termasuk tunggakan gaji 400 pekerja selama dua bulan berjumlah kira-kira RM3 juta. Sekarang ini dah nak hampir tiga bulan gaji tertunggak,” tegas Zulkalnain sambil menambah aspek lain yang perlu diteliti adalah mengenai bayaran balik tiket penerbangan kepada penumpang akibat penggantungan operasi.
Pada 11 April lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan arahan penggantungan sementara Sijil Operator Udara Rayani Air selama tiga bulan.
Tambah Zulkalnain, kebajikan pekerja merupakan aspek penting bagi mana-mana pelabur yang mahu mengambil alih atau membeli sebahagian saham Rayani Air.
“Pekerja diperlukan untuk syarikat beroperasi semula. Dan nasib pekerja Rayani Air ketika ini ibarat ‘digantung tidak bertali’ tanpa gaji selama dua bulan.
“Jika Vida benar-benar ikhlas mahu beli saham Rayani Air, fikirkan juga periuk nasi kami.... dengan bulan puasa dan Hari Raya yang semakin hampir,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, hasrat Vida itu dapat membantu memulihkan persepsi masyarakat terhadap imej Rayani Air sebagai syarikat penerbangan patuh syariah yang dilanda dengan pelbagai masalah dan kontroversi.
“Oleh itu, saya menyarankan supaya Vida dapat mengadakan perbincangan bersama pemilik Rayani Air. Adalah lebih baik sekiranya Vida turut dapat mengadakan pertemuan berkenaan dengan kakitangan syarikat penerbangan ini,” ujar Zulkalnain.
MStar Online sebelum ini melaporkan pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran sedia melepaskan pegangan saham kepada pelabur baharu bagi menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Kegagalan Terbit IPO Punca Masalah 1MDB - PM


Diterbitkan: Selasa, 10 Mei 2016 11:32 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menjelaskan, kegagalan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) akibat "diserang" adalah faktor utama syarikat itu berdepan masalah.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ini berikutan pendekatan 1MDB menggunakan kaedah pembiayaan hutang bagi perniagaannya yang memerlukan penerbitan IPO dalam masa singkat.
"Pada masa itu, kita cuba pendekatan yang berbeza sebab kita tidak mahu menggunakan dana kerajaan. (Ini kerana) dana kerajaan boleh digunakan untuk projek atau program lain.
"Bagi 1MDB, kita gunakan 'debt funding' (pembiayaan hutang) tetapi dengan syarat kita boleh buat IPO secara cepat. Namun tidak dijangka bahawa 1MDB akan diserang sebegitu sekali.
"Apabila diserang, IPO tidak dapat dilakukan, maka timbullah masalah aliran tunai," katanya dalam rancangan temubual khas Eksklusif Bersama Perdana Menteri bersempena ulangtahun ke-70 UMNO yang disiarkan di saluran TV1 RTM, di sini, malam Selasa.
Mengulas lanjut, Najib berkata laporan mengenai 1MDB turut dibuat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi membuktikan sebarang kepincangan atau salah laku beliau dalam syarikat pelaburan strategik berkenaan.
"PAC sudah bentangkan hasil laporannya. Malah, Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw yang juga ahli pembangkang, telah membuat kenyataan secara terbuka bahawa mengikut pengamatannya, saya tidak melakukan sebarang kesalahan (dalam 1MDB).
"Saya anggap soal 1MDB ini sebagai satu masalah perniagaan yang modelnya mungkin tak berapa sesuai, terlalu tinggi 'gearing' (tahap kadar hutang)," katanya.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu sebaliknya dijadikan modal politik oleh pihak tertentu yang cuba menjatuhkannya. - BERNAMA