Setelah menerima lebih 100,000 tandatangan, petisyen bertajuk Halang Donald Trump memasuki United Kingdom (UK), itu perlu dipertimbangkan untuk dibahaskan oleh Parlimen dan memerlukan satu maklum balas daripada kerajaan secara bertulis, lapor portal Al Jazeera.
“UK telah mengharamkan kemasukan mana-mana individu atas ucapan kebencian.
“Sekiranya UK mahu meneruskan penggunaan kriteria ‘tingkah laku yang tidak dapat diterima’ ke atas mereka yang berhasrat memasuki negara ini, kerajaan perlu bersikap adil untuk mengenakan langkah itu ke atas orang kaya dan juga miskin serta golongan lemah dan berkuasa,’’ jelas petisyen itu.
Petisyen itu dibuat sebagai tindak balas terhadap cadangan jutawan selebriti berusia 69 tahun berkenaan pada Isnin lalu untuk melarang umat Islam memasuki AS.
Kenyataan Trump menerima kritikan meluas ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh dunia termasuk Perdana Menteri Britain, David Cameron yang menyifatkan komen jutawan tersebut sebagai ‘memecah belah, tidak membantu dan sama sekali salah’.
Sementara itu, Universiti Robert Gordon di Scotland menarik semula ijazah kehormat yang dianugerahkan kepada Trump susulan kenyataan kontroversinya.
“Dalam proses kempen pilihan raya AS ketika ini, Trump telah membuat beberapa kenyataan yang tidak sesuai dengan nilai-nilai universiti ini,” kata seorang jurucakap universiti itu dalam satu kenyataan.
Universiti di Aderdeen, utara Scotland itu menganugerahkan ijazah doktor kehormat pentadbiran perniagaan kepada Trump pada Oktober 2010.
Sebelum itu, kerajaan Scotland turut memecat taikun hartanah tersebut sebagai duta satu perniagaan dengan menyatakan beliau tidak lagi sesuai memegang jawatan berkenaan. – AFP