PBB gesa bebaskan Mursi
Ribuan penduduk berjemaah menunaikan solat Jumaat di Dataran Rabiatul Adawiyah.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi supaya dibebaskan dengan segara.

Jurucakap PBB Eduardo del Buey berkata, pihaknya juga menuntut supaya pertuduhan terhadap pemimpin tertinggi Ikhwan Muslimin dibuat secara telus.

“Tindakan itu perlu dilakukan segera bagi mengelakkan protes terus berleluasa," katanya.

Menurutnya, setakat ini lebih 60 nyawa melayang disebabkan protes itu sejak penggulingan Presiden itu pada 3 Julai lalu.

“Ramai maut dan cedera dalam rempuhan selepas solat Jumaat. Kami khuatir protes ini boleh merebak hingga ke negara jiran,” katanya.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri Hisham Qandil mencadangkan protes boleh dilakukan tetapi perlu dibuat di lokasi yang dibenarkan secara berperingkat.

“Saya  juga menggesa pihak tentera supaya memastikan kesihatan Mursi baik," katanya.

Minggu lalu, pihak keluarga Mursi merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Tentera Mesir atas tuduhan menculik Presiden itu. 

Sementara itu, Pergerakan Hamas Palestin mengutuk dakwaan mahkamah Mesir menuduh Mursi mempunyai kaitan dalam pergerakan kumpulan itu.

Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, tuduhan itu dianggap merbahaya dan melampau kerana boleh mempengaruhi pihak lain dan menjejaskan hubungan serantau. - Press TV