Saturday, January 10, 2015

Ya Allah !! Betulkah Ini ? Maha Suci Allah


Kiriman sahabat SSTV

Mohd zuhairy ismail 32 tahun menunjukkan kalimah bismillah yang muncul pada skrin culculator yang rosak teruk selepas surut air banjir di kg kemubu kuala krai kelantan hari ini

Wira PERKASA dakwa digasak Pemuda Umno


10 Jan 2015


Seorang pemimpin sayap Wira PERKASA Perak, Saad Abdul Rahman mendakwa terpaksa merima tiga jahitan di mukanya akibat ditumbuk seorang pemimpin Pemuda Umno negeri itu.

Saad mendakwa dalam kejadian itu, Mohamad Iruan Zulkefli mencekak lehernya dan menumbuknya sehingga beliau cedera di bawah alis mata kirinya.

Dakwanya lagi, Mohamad Iruan turut memberi amaran kepadanya agar tidak mencampuri urusan Pemuda Umno.

Saad mendakwa kejadian itu berlaku di sebuah dewan di Kampung Kelantan, Lenggong semalam.

Dalam laporan polisnya, Saad mendakwa didatangi sepuluh orang lelaki yang diketuai Iruan.

"Lelaki tersebut telah cekak leher saya dan melepaskan tumbukan ke muka saya.

"Kawan-kawannya pula menolak saya ke dinding," laporan itu dipetik.

Isu agihan bantuan banjir

Ketua Wira PERKASA, Irwan Fahmi Idris mengesahkan perkara itu.

Beliau kesal kerana insiden itu berlaku ekoran pertikaian dalam pengagihan bantuan banjir.

“Kami masih menyiasat punca kejadian ini tetapi kami kesal kerana perkara seperti ini boleh berlaku.

“Ini adalah jenis pemimpin dalam Pemuda Umno sekarang, tiada sopan santun mahupun otak,” katanya.

Katanya, pertikaian tidak harus diselesaikan dengan kekerasan kerana Malaysia mempunyai undang-undang.

Sementara itu, Iruan memberitahu Malaysiakini bahawa Saad hanya berpura-pura dan “berlakon” seperti cedera teruk.

Beliau menangkis dakwaan bahawa pemimpin PERKASA itu cedera parah.

“Jangan jadi pelakon. Jangan ambil kesempatan dan jangan fitnah,” katanya.
Malaysiakini

NFCorp: Tiada Pengesahan Dibuat Dengan Bank


Diterbitkan: Rabu, 7 Januari 2015 8:42 PM
Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar pada Rabu memberitahu mahkamah beliau tidak membuat sebarang pengesahan dengan Public Bank berhubung dakwaan Datuk Seri Dr Mohamad Salleh membeli lapan unit hartanah di sini menggunakan dana awam di bawah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

Anggota Parlimen Lembah Pantai itu berkata beliau juga tidak pernah menghubungi pihak bank atau menghantar surat kepada mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu (pembelian lapan unit hartanah).

"Saya hanya melihat dokumen bank yang didedahkan oleh Mohd Rafizi Ramli (ketika itu Pengarah Strategi PKR) pada sidang media 7 Mac 2012 dan dokumen itu juga diedarkan kepada pihak media," kata Naib Presiden PKR itu.

Nurul Izzah berkata demikian di Mahkamah Tinggi di sini ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman difailkan Mohamad Salleh, Pengerusi Eksekutif NFCorp, terhadapnya dan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya beliau juga tidak pernah bertanya kepada Mohamad Salleh berhubung pembelian hartanah itu sebelum mengadakan sidang akhbar berkenaan.

Ketika ditanya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau pernah menghantar surat kepada Mohamad Salleh untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pembelian hartanah itu, Nurul Izzah menjawab: "Saya tidak terfikir untuk berbuat demikian kerana peranan saya ialah sebagai seorang anggota Parlimen dan bukannya sebagai seorang peguam".

Katanya beliau tidak pernah berhubung dengan pihak pemaju hartanah tersebut iaitu SP Setia Berhad untuk mendapat pengesahan berhubung pinjaman yang diambil Mohamad Salleh untuk membeli lapan unit hartanah itu.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa sekiranya Mohamad Salleh menggunakan dana awam untuk membeli lapan unit hartanah, ia adalah satu kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, Nurul Izzah mengakui beliau tidak pernah membuat laporan polis berhubung dakwaan bahawa Mohamad Salleh menggunakan dana awam untuk membeli lapan unit hartanah itu.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Public Bank ada menawarkan pinjaman kepada Mohamad Salleh dan anak lelakinya untuk membiayai pembelian hartanah itu.

Ketika disoal Muhammad Shafee mengenai tidak ada sebarang perjanjian yang ditandatangani Mohamad Salleh berhubung pembelian hartanah itu, Nurul Izzah berkata: "Terdapat surat tawaran yang sama seperti perjanjian, jadi ada perjanjian".

Bagaimanapun, peguam itu menegaskan bahawa ia bukanlah satu perjanjian tetapi satu format daripada pihak bank untuk satu tawaran pinjaman.

Pada 24 Disember 2013, Mohamad Salleh dan syarikatnya, NFCorp memfailkan saman dengan mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan berhubung pendedahan Mohd Rafizi yang mendakwa Mohamad Salleh membeli lapan unit hartanah KL Eco City menggunakan dana yang diperuntukkan kepada NFCorp.

Kenyataan Nurul Izzah itu disiarkan Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh berkata kenyataan Nurul Izzah itu membawa maksud beliau dan keluarganya menyalahgunakan dana NFCorp untuk membeli unit hartanah berkenaan untuk kegunaan sendiri.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng menetapkan 4 Februari bagi mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Altantuya: Mahkamah Persekutuan Tetapkan 13 Januari Keputusan Rayuan Pendakwa


Diterbitkan: Rabu, 7 Januari 2015 10:14 AM
altantuya
Altantuya Shaariibuu.
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Januari bagi keputusan berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis terhadap pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Ketua Bahagian komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa Mahkamah Persekutuan, Mohd Aizuddin Zolkeply mengesahkan tarikh untuk keputusan itu telah ditetapkan pada 13 Januari.
Keputusan itu akan disampaikan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mendengar rayuan itu selama tiga hari bermula 23 Jun tahun lepas.
Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop. 
Apabila dihubungi, peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Ketua Inspektor Azilah Hadri berkata, firma guamannya menerima notis daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Selasa, memaklumkan mengenai tarikh berkenaan.
Peguam Kamarul Hisham Kamarudin yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar dan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Peguam Cara I (Sektor Litigasi) Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah juga mengesahkan tarikh itu. 
Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 membebaskan Azilah, 38, dan Sirul Azhar, 43, atas pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara pukul 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi, hari berikut pada 2006.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan oleh kedua-dua anggota polis itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia itu dan menjatuhi hukuman mati ke atas kedua-dua mereka.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 51, yang dituduh bersuhabat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas (Mahkamah Tinggi) memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadapnya. Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasannya.

Hina Mahkamah: Blogger Dipenjara Tiga Bulan


Diterbitkan: Khamis, 8 Januari 2015 7:29 PM
Amizudin Ahmat.

PUTRAJAYA: Blogger Amizudin Ahmat pada Khamis dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah bersabit dengan penerbitan artikel-artikel yang memfitnah bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Ini kerana dia gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan di sini untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah kerana berterusan menyiarkan artikel memfitnah Rais dan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.

Barisan panel lima hakim diketuai hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop mengeluarkan waran pemenjaraan terhadap Amizudin, 44, selepas menolak permohonannya bagi kebenaran untuk merayu.

Beliau berkata Amizudin tidak boleh mendapatkan kebenaran kerana persoalan undang-undang yang ditimbulkannya tidak memenuhi keperluan minimum mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Perayu dalam kes sivil mesti terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang berupa mahkamah yang lebih tinggi.

Hakim Ahmad memerintahkan Amizudin menjalani hukuman penjara mulai hari ini (Khamis).

Sebaik sahaja mahkamah menyampaikan keputusan, Amizudin digari oleh anggota polis yang ditempatkan di mahkamah.

Suasana sedih menyelubungi Amizudin, keluarganya dan penyokong yang hadir di mahkamah. Amizudin dan anggota keluarganya kelihatan mengesat air mata.

Sebelum Amizudin dihantar ke lokap polis, dia melambaikan tangan sambil berkata kepada anggota keluarga dan penyokongnya "Assalamualaikum, lawan tetap lawan".

Pada 21 November, 2011, Rais, 72, diberi kebenaran untuk memulakan prosiding pemenjaraan terhadap Amizudin berhubung dengan saman sivil yang dikemukakannya.

Rais menang kes saman yang dikemukakannya di Mahkamah Tinggi yang pada 19 Julai, 2011 memerintahkan Amizudin membayar RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos kepada bekas menteri itu.

Rais memfailkan saman pada 31 Jan, 2011, terhadap Amizudin kerana memfitnahnya berhubung dengan artrikel yang diterbitkan dalam laman blog blogger itu, sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Dis, 2010.

Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung dengan ganti rugi RM300,000 kepada Rais tetapi mengurangkan kos daripada RM100,000 kepada RM50,000.

Amizudin juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan hukuman penjara tiga bulan. Rayuannya ditolak pada 23 Julai, 2013. Dia kemudian memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Peguam R. Sivarasa yang mewakili Amizudin berkata anak guamnya akan dihantar ke Penjara Kajang.

Mahkamah yang juga disidangi oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali sebelum itu mendengar penghujahan oleh Sivarasa.

Mahkamah menyampaikan keputusannya selepas memaklumkan kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais bahawa beliau tidak perlu menjawab hujah Sivarasa.

Bapa dakwa diabaikan tujuh anak


  • Bapa yang berusia 80 tahun ini (kiri) ditemani Mohd Adly ketika membuat sidang media di Pejabat Pembela BN Negeri Melaka di Ayer Keroh, semalam.Bapa yang berusia 80 tahun ini (kiri) ditemani Mohd Adly ketika membuat sidang media di Pejabat Pembela BN Negeri Melaka di Ayer Keroh, semalam.

AYER KEROH - Seorang bapa mendakwa kehidupannya diabaikan tujuh anaknya selepas masing-masing berjaya memperoleh kesemua harta yang diusahakan selama ini berbentuk aset dan wang tunai dianggarkan berjumlah melebihi RM4 juta.

Bapa terbabit yang berusia 80 tahun itu berkata, segalanya bermula selepas dia menikahi isteri keduanya yang didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah Alor Gajah.

Menurutnya, semenjak itu, berlakulah perselisihan faham antara dirinya dengan isteri pertama dan ketujuh-tujuh anaknya kerana didakwa sukar menerima hakikat dia mempunyai sebuah keluarga baru.

“Sebelum kejadian ini, saya memang sudah membahagikan sebahagian daripada harta saya kepada anak-anak saya, antaranya, tiga buah stesen minyak, tanah lebih 10 ekar (4.1 hektar) yang penuh dengan tanaman kelapa sawit serta tanah dan sebuah rumah.

“Di samping itu, saya ada mengusahakan ladang ternakan ayam berskala besar dengan dibantu oleh anak bongsu saya yang berperanan sebagai Pengurus Operasi.

“Malangnya, pada Februari 2013, saya telah ditimpa sakit angin ahmar dan dalam keadaan saya tidak sihat, anak bongsu saya telah menukar segala hak milik pegangan saham syarikat meliputi ladang ternakan ayam, sebuah rumah di ibu negara serta akaun simpanan semasa syarikat tanpa saya rela dan sedar,” katanya pada sidang media di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka di sini, semalam.

Warga emas itu juga mendakwa, ekoran daripada peristiwa tersebut, ketujuh-tujuh anaknya telah meminggirkannya tanpa memberikan satu sen pendapatan daripada hasil keuntungan stesen minyak, kepala sawit serta ladang ternakan ayam.

“Saya kini terpaksa menetap dan menumpang kasih di rumah isteri kedua dan anak-anak tiri. Saya terpaksa bekerja di ladang milik orang lain biarpun keadaan serta usia begini hanya semata-mata mahu menampung kos perubatan saya.

“Pada masa yang sama, anak-anak saya hidup dalam keadaan serba mewah sehingga sebahagian daripada mereka mampu pergi menunaikan umrah setiap tahun, memiliki kereta besar serta rumah besar yang lengkap dengan kolam renang, sedangkan saya terpaksa hidup dalam keadaan sukar begini,” katanya yang memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka menerusi syarikat guaman Adly & Co.

Menurutnya, dia tidak menyangka kesemua anaknya memperlakukannya sebegitu yang dianggapnya tidak ubah seperti anak derhaka.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku dan yang paling menyedihkan apabila saya pergi bank untuk mengeluarkan wang syarikat yang saya usahakan sendiri, tiba-tiba pegawai bertugas menjelaskan saya tidak berhak lagi mengeluarkan wang kerana syarikat bukan lagi atas nama saya.

“Kali terakhir saya menerima duit daripada anak pada tiga Ramadan tahun lalu, itu pun seorang anak sahaja yang beri berjumlah RM150 sambil meninggalkan pesan agar saya tidak memintanya duit lagi. Bayangkan betapa hancurnya perasaan saya, apabila tiada seorang anaknya pun yang datang bersalaman dan mencium tangan saya pada Aidilfitri lalu sedangkan mereka bermewah dengan harta yang saya usahakan,” katanya.

Sementara itu, peguam yang dilantik, Mohd Adly Ithnin berkata, kes ini akan disebut di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada 20 Januari jam 9 pagi.

“Sebelum ini pun, pihak mahkamah ada memanggil kesemua anaknya untuk proses runding cara pada 20 Oktober tahun lalu, namun tiada seorang pun yang datang meskipun notis telah dikeluarkan kepada setiap orang.

“Padahal, bapa ini bukan mahu menuntut harta yang telah diberikan, dia cuma mahu menuntut sedikit nafkah sebagai sara hidup dan menampung kos perubatannya” katanya.

Bagi Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz pula mengharapkan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan cara berhemah dengan perundingan membabitkan kesemua anak-anak.

Baju KAFA tak ‘dicuit’ lumpur

Temerloh: "Ini semua kuasa Allah yang ada hikmah tersendiri di sebalik penemuan itu," kata suri rumah Norliyusnita Kamarul Jaeh, 41.
Semalam, dia sekeluarga terkejut apabila mendapati satu bakul baju yang turut mengandungi dua baju Melayu sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) untuk anaknya seperti tidak disentuh air banjir yang menenggelamkan rumahnya di Taman Sri Desa di sini.
Ajaibnya, semua pakaian lain dalam rumahnya habis dibasahi air lumpur berikutan bah besar, namun hanya satu bakul itu yang tidak 'tercuit' langsung dengan kekotoran.
Ibu kepada lima anak itu berkata, kediamannya ditenggelami air setinggi lebih dua meter sejak 23 Disember lalu menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau dekat sini.
Bagaimanapun, Norliyusnita berkata, selepas air surut sejak lima hari lalu dan penduduk kampung mula pulang ke rumah masing-masing untuk melihat keadaan rumah, dia berasa sesuatu yang pelik dan mengejutkan berlaku.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:34 AM


NORLIYUSNITA menunjukkan baju milik anaknya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22052#sthash.OFlnDENu.dpuf

Batal lesen jika larang wanita berhijab


Jakarta: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mendesak kerajaan membatalkan lesen pusat beli-belah yang melarang pekerja wanita memakai tudung.
Gesaan itu dibuat selepas beredar khabar mendakwa Tiara Mall membuat peraturan itu kepada kakitangan wanitanya.
Tiara Mall beroperasi di Mataram, Nusa Tenggara Barat.
Setiausaha Agung MUI, Tengku Zulkarnain berkata, jika ada mana-mana wanita yang dikenakan larangan itu perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Mereka boleh menuntut supaya lesen perniagaan syarikat terbabit ditarik,” katanya.
Tengku Zulkarnain berkata, larangan bertudung untuk Muslimah adalah kesalahan jenayah kerana melanggar perlembagaan negara.
Katanya, perlembagaan menjamin hak seseorang rakyat beramal dengan agama kepercayaannya dengan bebas.
“Larangan begitu tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya.
“Kita berada di Indonesia. Justeru jangan menggunakan peraturan negara lain,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:24 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22851#sthash.5z87Tmmd.dpuf

Mahu gaji amah RM1,620


Riyadh: Kerajaan semalam mengumumkan, larangan untuk warganya yang ingin bekerja di Arab Saudi hanya akan ditarik balik jika bakal majikan memenuhi beberapa tuntutan baru, termasuk gaji minimum SR1,700 (RM1,620), cuti setiap Jumaat dan bayaran kerja lebih masa.
Pegawai Persekutuan Pekerja Indonesia dijangka tiba di Riyadh hari ini untuk memuktamadkan perjanjian dengan jawatankuasa sumber tenaga Arab Saudi.
Persekutuan itu juga mahu majikan di Arab Saudi membayar gaji tambahan SR100 (RM95) jika pembantu rumah mereka perlu bekerja pada Jumaat atau hari cuti lain, atau SR6 (RM5.70) sejam.
Pegawai Arab Saudi berkata, mereka percaya syarat baru dituntut Jakarta itu akan meningkatkan kos pengambilan pekerja asing menjadi SR12,000 (RM11,437) seorang.
Duta Arab Saudi di Jakarta, Mustafa al-Mubarak berkata gaji yang diminta itu tidak menjadi penghalang untuk membatalkan larangan sedia ada.
“Apa yang diperlukan ialah kelulusan kerajaan.
“Kementerian buruh di Indonesia dan Arab Saudi sudah menandatangani perjanjian pengambilan pekerja,” katanya.
Menurut Mustafa, apa yang melengahkan kelulusan penghantaran tenaga kerja dari Indonesia ialah isu politik dalaman.
“Ia tiada kaitan dengan Arab Saudi,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:24 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22852#sthash.aOsuvV8U.dpuf

Dipecat lepas 24 tahun ponteng


New Delhi: Seorang penjawat awam di India akhirnya dipecat selepas 24 tahun tidak datang bekerja.
Kali terakhir Jurutera AK Verma datang bekerja ialah pada Disember 1990.
Dia diberhentikan dua tahun kemudian selepas siasatan mendapati dia mengingkari arahan supaya datang bekerja.
Bagaimanapun, ia mengambil masa 22 tahun lagi untuk memecatnya, itu pun selepas seorang menteri Kabinet campur tangan.
“Dia datang untuk melanjutkan cuti, tetapi tidak dibenarkan malah dia turut mengingkari arahan untuk datang bekerja,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan.
Undang-undang buruh India, yang menurut Bank Dunia paling rumit di dunia, menyukarkan tindakan untuk memecat kakitangan atas sebab lain selain jenayah.
Beberapa negeri, termasuk Rajasthan dan Madhya Pradesh, baru-baru ini meminda undang-undang bagi memudahkan pengambilan serta pemecatan kakitangan, tetapi mendapat tentangan daripada kesatuan pekerja. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:30 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22855#sthash.hg44h4q6.dpuf

Hasut: Hishamuddin Rais bersalah, didenda RM5,000


HISHAMUDDIN MD RAIS hadir ke Mahkamah Seksyen di Jalan Duta, Kuala
HISHAMUDDIN MD RAIS hadir ke Mahkamah Seksyen di Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam, dan dia didapati bersalah serta didenda RM5,000 oleh mahkamah atas tuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah politik pada 13 Mei 2013. – BERNAMA
KUALA LUMPUR 9 Jan. – Aktivis pembangkang, Hishamuddin Md. Rais didenda maksimum RM5,000 setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan bagi mengguling kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah pada 13 Mei 2013.
Hakim Azman Mustapha memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap Hishamuddin, 64.
Beliau juga memerintahkan aktivis pembangkang itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Hishamuddin membayar denda itu setelah selesai prosiding.
Semasa membuat keputusan itu, Azman menegaskan hukuman tersebut dikenakan setelah mengambil kira faktor usia tertuduh yang telah melepasi usia persaraan ketika disabitkan dengan kesalahan itu.
Menurut beliau, ucapan Hishamuddin yang berapi-api hanya berakhir di dewan terlibat dan tidak berjaya mempengaruhi orang ramai yang hadir berdasarkan keterangan saksi yang memberitahu tiada sebarang demonstrasi jalanan berlaku sebaik sahaja tertuduh selesai memberi ucapan.
Tambah Azman, tiada sebarang kekecohan berlaku selepas ucapan tertuduh selain mahkamah berpuas hati dengan hujahan pihak pembelaan yang menegaskan tiada kepentingan awam yang perlu diambil kira melalui pemenjaraan tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan, Hishamuddin didakwa menyebut kata-kata menghasut yang cenderung untuk membangkitkan rakyat negara ini mengubah kerajaan yang tertubuh menurut undang-undang dengan cara yang tidak sah.
Dia didakwa menyatakan demikian ketika berceramah di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di No. 1, Jalan Maharajalela di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam pada 13 Mei 2013.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Pada 19 September tahun lalu, aktivis pembangkang, Adam Adli Abd. Halim dihukum penjara 12 bulan manakala sebelum itu pada 5 September pula, bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang @ Talib dihukum penjara 10 bulan.
Adam Adli dan Muhammad Safwan dijatuhkan hukuman penjara itu setelah kedua-duanya turut didapati bersalah atas pertuduhan sama dengan Hishamuddin dalam kejadian yang berlaku pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Sementara itu, sebanyak empat saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan tersebut manakala pihak pembelaan hanya memanggil Hishamuddin sebagai saksi pembelaan.
Pendakwaan dikendali Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Loon dan Azlina Rasdi manakala tertuduh diwakili peguam, Syahredzan Johan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/hasut-hishamuddin-rais-bersalah-didenda-rm5-000-1.46365#sthash.nO4uVeXF.dpuf

Protes anti-Islam dibantah


Pihak berkuasa Jerman tutup lampu ketika demonstrasi berlangsung

Peserta demonstrasi mengibarkan bendera kebangsaan dalam perarakan
PESERTA demonstrasi mengibarkan bendera kebangsaan dalam perarakan yang memprotes pertumbuhan pengaruh agama Islam di negara ini di Dresden, timur Jerman kelmarin. – AFP
BERLIN 6 Jan. - Pihak berkuasa Jerman semalam memadamkan lampu bangunan di beberapa bandar raya besar termasuk Cologne, Berlin, dan Dresden sebagai tanda membantah demonstrasi anti-Islam yang semakin berkembang di negara ini.
Menurut portal, Mail Online, dataran di Gereja Cologne yang merupakan satu daripada bangunan terkenal di Jerman berada dalam keadaan gelap, manakala lampu Brandenburg Gate dan Menara TV di Berlin turut ditutup bagi membantah demonstrasi yang dianjurkan oleh Pertubuhan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (PEGIDA) itu.
Wakil Gereja Cologne, Norbert Feldhoff berkata, tindakan mematikan lampu adalah satu cubaan untuk membuatkan peserta demonstrasi memikirkan semula tentang protes yang dilancarkan.
“Anda mengambil bahagian dalam demonstrasi yang bersifat perkauman dan melampau,” katanya.
Bangunan kaca milik syarikat kereta, Volkswagen di timur bandar Dresden turut menutup lampu bagi menunjukkan pendirian yang menyokong demokrasi dan kebebasan dalam masyarakat.
Demonstrasi itu dilancarkan beberapa hari selepas Canselor Jerman, Angela Merkel dalam ucapan tahun baharunya mengkritik tunjuk perasaan berbaur perkauman, yang mencetuskan bantahan kira-kira 18,000 penduduk Dresden, Isnin lalu.
Mereka membawa bendera Jerman dan poster yang tertera slogan seperti ‘Ketaksuban terhadap agama dan segala bentuk perubahan radikal ditentang’.
Bulan lalu, sentimen antiimigran mula menular di bandar-bandar utama negara ini, khususnya Duesseldorf berikutan polisi Jerman yang menggalakkan kemasukan pendatang asing serta pelarian dari Iraq dan Syria.
Seramai 17,000 orang terlibat dalam tunjuk perasaan yang diadakan setiap minggu bagi memprotes lambakan pendatang dan menggesa kerajaan supaya merujuk semula polisi tersebut dan mengenakan kawalan ketat kepada pendatang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/protes-anti-islam-dibantah-1.45236#sthash.sRDC0mas.dpuf

Kempen anti-Islam di Eropah merebak


anggota kumpulan PEGIDA menggunakan lampu telefon bimbit ketika
Anggota kumpulan PEGIDA menggunakan lampu telefon bimbit ketika menyertai perarakan anti-imigran di Dresden, Jerman, kelmarin. – REUTERS
BERLIN 7 Jan. - Protes anti-Islam yang semakin meningkat di Jerman dan benua Eropah dipercayai berpunca daripada pengaruh media serta Internet yang memaparkan keganasan kumpulan militan di Asia Barat.
Aktivis berhaluan kiri, Daniel Cohn-Bendit berkata, protes anti-Islam dianjurkan kumpulan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (PEGIDA) dan ia bukan di­sebabkan krisis ekonomi yang dialami Jerman.
“Mereka ditakutkan dengan siaran televisyen global dan Internet. Sebab itu anda boleh tinggal di Saxony dan masih mempunyai perasaan takut terhadap serangan ganas kumpulan militan,” katanya.
PEGIDA yang ditubuhkan pada Oktober lalu mengadakan bantahan bukan sahaja terhadap Islam, malah terhadap media yang digelar sebagai penipu serta ahli politik yang didakwa menggugat budaya Kristian Jerman.
Demonstrasi itu, bagaimanapun dikecam beberapa parti politik Jerman, termasuk Canselor, Angela Merkel yang mengutuk stigma kebencian dalam kalangan kumpulan itu.
Kebanjira pendatang asing turut menjadi kebimbangan banyak negara Eropah.
Sweden yang mengamalkan sikap liberal dilaporkan menapis 100,000 permohonan pencari suaka untuk memasuki negara yang hanya mempunyai 10 juta penduduk.
Kes kebakaran beberapa buah masjid di negara berkenaan juga dikhuatiri berpunca daripada sentimen fobia terhadap Islam yang meningkat.
Sementara itu, Perancis yang didiami oleh penduduk Islam paling ramai di Eropah berhadapan dengan isu pengislaman negara itu yang dibangkitkan oleh Parti Barisan Kebangsaan dan kumpulan intelek. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kempen-anti-islam-di-eropah-merebak-1.45594#sthash.nOi7PPaf.dpuf