Thursday, May 20, 2010

Jangan biarkan anak anda dijaga orang lain


Bayi tiga bulan maut tercekik susu
Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my
2010/05/20

NOOR SARIMA menunjukkan gambar  Aqil Adam yang meninggal dunia akibat tercekik susu di pusat jagaan,  semalam.
NOOR SARIMA menunjukkan gambar Aqil Adam yang meninggal dunia akibat tercekik susu di pusat jagaan, semalam.
Doktor sahkan mangsa alami pendarahan otak

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tidak menyangka perasaan berat hati dan tangisan anak sulung berusia tiga tahun ketika dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak di Taman Impian Emas di sini, petanda beliau kehilangan bayi yang juga anak bongsunya berusia tiga bulan selepas dipercayai mati akibat tersedak susu. 

Lebih menyedihkan Noor Sarima Ruslan, 28, bayinya, Aqil Adam Azrul sempat dua kali bernafas ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran pusat jagaan berkenaan, walaupun sebelum itu dia dimaklumkan sudah tidak bernafas.
Noor Sarima ketika ditemui Berita Harian di rumahnya, berkata Isnin lalu, anak sulungnya, Amirul Adam menangis ketika dihantar ke pusat jagaan itu pada sebelah pagi seperti baru pertama kali berada di situ tetapi beliau membuang segala prasangka buruk dan menganggapnya perkara biasa.
Sangkaan itu menjadi kenyataan apabila menerima panggilan daripada pengasuh kira-kira jam 2 petang sebelum bergegas ke sana. 

“Ketika sampai, saya dapati Aqil Adam dalam keadaan lemah manakala muka dan bibirnya pucat, sebelum saya membawanya ke klinik berhampiran. 

“Doktor kemudian memberikan bantuan pernafasan, selepas lebih 10 minit, beliau menyatakan bayi saya tidak mempunyai harapan untuk hidup berikutan lewat dihantar untuk mendapatkan rawatan,” katanya. 

Katanya, beliau diberitahu seorang penjaga di situ kejadian berpunca akibat anaknya dihempap bayi lain di pusat jagaan berkenaan. 
“Seorang lagi penjaga mendakwa dia meninggal anak saya untuk membuat susu sebelum datang semula dan mendapati bayi saya tidak lagi bernafas. Saya tidak tahu mana yang betul... laporan bedah siasat hospital pula menyatakan anak saya meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak, “ katanya. 

Sementara itu, suami Noor Sarima, Azrul Nuraizam Hamzah, 29, berkata beliau tidak akan lagi menghantar anaknya ke mana-mana pusat jagaan selepas ini, kerana trauma dengan kejadian yang menimpa. 

“Apa yang saya kesalkan ialah tindakan pusat jagaan yang lewat memaklumkan kami berhubung kejadian serta tidak menghantar Aqil untuk mendapatkan rawatan segera selepas tidak sedarkan diri akibat dihempap bayi lain, ” katanya.

Awas! 3 penyamun di Alor Setar


Mangsa samun dihentak pencakar besi


2010/05/20

ALOR SETAR: Seorang lelaki tua cedera di kepala akibat dihentak dengan pencakar ketika bergelut dengan tiga lelaki yang menyamun rumahnya dan melarikan barang kemas serta wang tunai kesemuanya berjumlah RM52,000 di Kampung Titi Haji Idris, di sini, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Kasim Ahmad, 72, dan isteri, Asmah Omar, 66, yang sedang tidur dikejutkan oleh bunyi bising pintu belakang rumahnya sebelum mendapati pintu biliknya ditolak dan dihentak.
Menyedari rumahnya dimasuki penjenayah, mangsa bersama isteri menahan pintu bilik bagi menghalang suspek masuk namun gagal hingga menyebabkan berlaku pergelutan.
Suspek dipercayai memasuki rumah itu dengan memotong pagar menggunakan pemotong besi sebelum menggunakan cara sama pada jeriji besi di pintu dapur rumah mangsa. Mereka kemudian menghentak pintu dengan tong gas sebelum menyerang mangsa dan menggeledah rumah berkenaan. 

Kasim berkata, selepas gagal menahan pintu biliknya dari dipecah tiga lelaki bertopeng itu beliau berjaya menyelinap keluar dan bergelut dengan dua daripada tiga suspek. 

"Ketika bergelut saya diserang bertubi-tubi tetapi sempat menolaknya hingga jatuh. 

"Ketika itu juga tanpa disedari kepala saya dihentak dengan pencakar menyebabkan muka saya berlumuran darah. 
"Kemudian tiga penyamun itu mengikat kaki dan tangan saya dengan wayar kabel di luar bilik manakala isteri yang berada di dalam bilik juga diikat dengan cara sama. Mereka juga mengugut kami menggunakan pisau," katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Selain itu, Asmah berkata, suspek mengugut akan membunuh dia dan suaminya jika terus melawan sambil bertanya tempat kami menyimpan wang. 

"Mereka menggeledah keseluruhan bilik kami dan membawa lari wang tunai yang saya simpan di bawah katil," katanya.

Muka seperti makhluk asing



IGOR (kiri) dan kembarnya, Grichka yang memiliki wajah seperti makhluk asing menghadiri satu parti di Cannes, Perancis kelmarin.


CANNES - Muka satu pasangan kembar yang merupakan pelakon televisyen terkenal di Perancis, Igor Bogdanoff dan Grichka Bogdanoff kini kelihatan seperti wajah makhluk asing
yang kerap disiarkan dalam filem dan televisyen, lapor sebuah akhbar semalam.
Pasangan kembar itu sebelum ini popular semasa berlakon dalam siri fiksyen sainsTemps X pada 1980-an sebelum menjadi peminat pembedahan plastik.
Muka pasangan kembar itu menjadi seperti wajah makhluk asing yang dipaparkan dalam filem dan televisyen akibat kesan terlalu banyak menjalani pembedahan plastik.
Gambar wajah mereka seperti makhluk asing itu dirakamkan oleh jurugambar semasa mereka menghadiri satu parti di Cannes, Perancis kelmarin.
Mereka difahamkan menjalani banyak pembedahan plastik di bahagian pipi dan dagu termasuk menggunakan Botox. - Agensi

Berbogel demi ' keamanan '


Berbogel sampaikan mesej keamanan


SEORANG wanita yang berbogel duduk di atas bumbung sebuah teksi di Westminster Square, London kelmarin.


LONDON - Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an duduk berbogel di bumbung sebuah teksi di sini kelmarin sambil melakukan aksi senaman yoga bagi membantah peperangan di Afghanistan, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita tersebut turut berdiri dan menjerit meminta askar-askar asing keluar dari Afghanistan.
Anggota-anggota polis kemudian menutup tubuh wanita itu dengan kain dan menahannya buat seketika.
Namun aksi wanita itu di Westminster Square telah menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga ada pelancong yang merakamkan gambarnya. - Agensi

Lebih 20 tahun penduduk hidu najis babi



TAN Tee Beng meninjau kawasan kandang babi yang didakwa penduduk mengeluarkan bau busuk dan saliran air najis haiwan itu masuk ke longkang rumah di Kampung Kepala Gajah, Nibong Tebal, Pulau Pinang, baru-baru ini. - utusan/sazali che din


NIBONG TEBAL 19 Mei - Penduduk sekitar Kampung Kepala Gajah di sini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran sisa buangan najis babi dari sebuah ladang ternakan haiwan itu yang beroperasi berhampiran kampung berkenaan.
Penduduk mendakwa, operasi di ladang ternakan itu menyebabkan kawasan sekitar perkampungan yang diduduki majoriti masyarakat Melayu itu mengalami pencemaran bau yang serius terutamanya selepas waktu petang.
Menurut mereka, tindakan segera wajar diambil kerana masalah bau busuk di kawasan itu sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu walaupun penduduk sudah banyak kali mengajukan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Keadaan menjadi lebih buruk pada musim hujan apabila sistem perparitan yang tidak sempurna di kampung itu menyebabkan banjir membawa bersama sisa kumbahan berkenaan melimpah ke rumah penduduk.
Salah seorang penduduk, Osman Darus berkata, masalah itu bukan sahaja menyusahkan penduduk menjalani kehidupan harian tetapi dikhuatiri akan mengancam kesihatan penduduk dalam tempoh jangka masa panjang.
"Pada masa ini pun sudah ada penduduk yang mengadu sering sesak nafas kerana bau dari ladang tersebut terlalu busuk, kadang-kadang kita hendak makan pun hilang selera.
"Penduduk kampung sudah lama bersabar ekoran aduan demi aduan yang diajukan kepada pihak berkuasa umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng di sini baru-baru ini.
Osman berkata, penduduk kampung juga terpaksa mengharungi saat meloyakan apabila banjir yang membawa sisa buangan najis babi melimpah masuk ke rumah mereka.
Seorang peniaga di kampung itu, Mohd. Subakir Remun, 52, pula berkata, masalah bau busuk semakin menjejaskan perniagaan kedai makan miliknya apabila sering menerima rungutan daripada para pelanggan.
"Kami minta agar pemilik ladang sensitif dan memahami masalah ini kerana perkara ini bukan perkara baru malah sudah dibangkitkan sejak lebih 20 tahun. Ia sudah jadi beban sehingga hendak berniaga pun susah," katanya yang sudah menetap di kampung itu sejak 40 tahun lalu.
Pandangan itu disokong seorang lagi penduduk, Ahmad Shaari, 57, yang berpendapat, sistem pengairan sedia ada perlu diubah bagi memastikan sisa-sisa kumbahan najis dari ladang tersebut dialihkan ke tempat lain.
Menurutnya, masalah sistem pengairan dan perparitan yang tidak sempurna di kawasan itu memburukkan lagi keadaan terutamanya pada musim hujan yang menyebabkan banjir kilat.
Sementara itu, Tee Beng berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pemilik ladang itu, Ong Chin Hee yang bersetuju untuk membersih dan mendalamkan sistem perparitan di kawasan tersebut.
Selain itu, Chin Hee juga bersetuju untuk mengalihkan sistem saliran sedia ada bagi membolehkan air sisa kumbahan najis dari ladangnya boleh dialihkan ke tempat lain.
"Tetapi perkara ini perlu dibincangkan dengan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri supaya meluluskan agar sisa kumbahan sedia ada disalurkan ke tempat lain," jelasnya.

Pengawal keselamatan Istana Kelantan meninggal





Maznah Mustafa (kiri) ditenangkan ahli keluarga ketika menunggu jenazah suaminya, Allahyarham Ramli Mohd. di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 19 Mei - Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohd., 50, yang ditembak penyerang misteri ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada 1 Mei lalu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini awal pagi ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.23 pagi di sisi isterinya, Maznah Mustafa dan lima orang anaknya selepas 19 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut.
Jenazah Ramli dibedah siasat pakar forensik yang tiba daripada Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Masjid Muhammadi selepas solat Maghrib untuk disembahyangkan dan dikebumikan di kampung halamannya di Kok Keli, Tumpat.
Allahyarham merupakan bekas tentera dan berkhidmat sebagai pengawal keselamatan secara kontrak dengan Istana Kelantan sejak 17 tahun lalu.
Berikutan itu, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra mahu polis meletakkan keutamaan kepada kes Allahyarham.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad yang memaklumkan titah itu berkata, baginda berharap polis akan dapat menemui petunjuk bagi menyelesaikan segera kes pembunuhan itu.
"Pemangku Raja Kelantan amat berdukacita dengan apa yang berlaku dan baginda berharap polis dapat meletakkan keutamaan kepada kes ini.
"Baginda juga menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Ramli," katanya kepada pemberita di Rumah Mayat HRPZ II.
Pemangku Raja turut merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor-doktor pakar di HRPZ II yang selama ini telah bertungkus lumus memberikan rawatan terbaik kepada Allahyarham.
Semalam, Ramli dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan baginda telah menziarahi Allahyarham malam tadi dan mengurniakan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada keluarga Ramli.
Ramli ditembak pada pukul 12.25 tengah malam 1 Mei lalu oleh individu tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang di Tumpat.
Sehingga kini, motif kejadian tersebut masih menimbulkan tanda tanya walaupun polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori," katanya.

Peguam syarie mesti beragama Islam





JAMIL Khir Baharom (depan, empat, kiri) bergambar bersama Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka selepas Istiadat Penyampaian Pentauliahan di Istana Negara, semalam.


KUALA LUMPUR 19 Mei - Peguam syarie di Mahkamah Syariah di negara ini mestilah seorang yang beragama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, syarat tersebut termaktub dalam peraturan dan enakmen Mahkamah Syariah.
Menurutnya, rasional ditetapkan Islam sebagai asas untuk menjadi peguam syarie bukan sahaja disebabkan penggunaan dalil dan ayat-ayat al-Quran oleh peguam ketika di mahkamah.
Sebaliknya, jelas beliau, banyak lagi sebab lain berkaitan agama yang memerlukan peguam syarie beragama Islam untuk mengendalikan kes-kes di mahkamah.
''Kita tidak menghalang, cuma, ada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan untuk seseorang itu menjadi peguam syarie.
''Mereka ini mesti beragama Islam. Ini bukan boleh buat suka-suka. Kita bercakap soal peraturan,'' katanya ketika ditemui selepas meninjau Masjid Negara yang akan dibaik pulih, di sini hari ini.
Turut sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Jamil Khir mengulas mengenai seorang wanita yang bukan beragama Islam memperoleh kebenaran dari Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur Jumaat lepas dalam usaha awalnya menjadi seorang peguam syarie di Wilayah Persekutuan.
Hakim, Datuk Mohd. Zawawi Salleh membenarkan Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus (untuk memaksa kerajaan mematuhi perintah mahkamah) bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira beliau bukan orang Islam.
Victoria, 48, diberi tempoh 14 hari untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut. Tarikh bagi pendengaran kes itu masih belum ditetapkan.
Victoria yang memperoleh diploma dalam Undang-Undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonannya sebagai peguam syarie ditolak MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, pihaknya tidak mengetahui agenda di sebalik permohonan itu, namun, ia secara jelas tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
''Sama ada kita setuju atau tidak, peraturan (syarat) ini tidak dipatuhi. Kalau tidak dipatuhi, bagaimana kita hendak setuju,'' ujarnya.
Mengenai tindakan Victoria yang akan mencabar keputusan hanya peguam beragama Islam boleh menjadi peguam syarie di mahkamah, Jamil Khir berkata, pihaknya bersedia untuk berdepan dengan tuntutan itu.