Monday, August 16, 2010

Pasir haram: Khir cabar Khalid buktikan BN terlibat


KUALA LUMPUR 15 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar supaya menunjukkan bukti bahawa kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini melakukan perlombongan pasir secara haram.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo ketika melemparkan cabaran itu berkata, dakwaan Abdul Khalid mengenai perkara itu dalam temu bual yang disiarkan olehMalaysiakini disifatkan 'merapu dan merepek.'
Menurut beliau, apa yang pasti Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor itu sendiri 'merompak' wang rakyat dengan menjadi orang tengah dalam industri perlombongan pasir di negeri itu.
"Pasir dilombong atas tanah kerajaan tetapi royalti yang diterima oleh pejabat tanah hanya RM3 satu tan metrik, sama seperti royalti pasir atas tanah persendirian.
"KSSB ambil lagi RM4 tanpa perlu melakukan apa-apa kerja kecuali menyediakan draf perjanjian dan mencari kontraktor.
"Kerajaan sebagai tuan tanah hanya mendapat RM3 bagi setiap tan metrik pasir dikeluarkan, manakala KSSB sebagai broker mendapat RM4. Apakah ini bukan merompak wang rakyat?'' soalnya di dalam blog www.drkhir.com.
Abdul Khalid ketika ditemu bual oleh portal berita berkenaan baru-baru ini mendakwa Mohamad Khir sebagai tidak berbuat apa-apa kebaikan kepada Selangor dan tidak layak menjadi menteri besar.
Mengulas lanjut Mohamad Khir mengakui semasa mentadbir Selangor sebelum ini, pentadbirannya tidak begitu sempurna.
Namun jelasnya, beliau meninggalkan pentadbiran dengan kedudukan kewangan negeri yang jauh lebih tinggi di samping pencapaian anak syarikat kerajaan negeri yang kesemuanya mencatatkan keuntungan termasuk mempertingkatkan kecekapan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Itu semua, katanya, dapat dilaksanakan kerana beliau mewarisi kerajaan yang baik daripada pimpinan sebelumnya dan hanya perlu melakukan pembetulan serta perubahan seiring dengan kehendak semasa.
"Pencapaian-pencapaian itu diakui sendiri oleh fakta-fakta yang didapati melalui Kajian Daya Saing Negeri Selangor oleh Perbadanan Produktiviti Negara dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Mungkin Abdul Khalid perlu bertanya siapa yang mewujudkan Science Park 2 yang telah menghasilkan berbilion ringgit pelaburan.
"Di bawah pentadbiran siapa Selangor mencapai kemajuan pesat? Mungkin beliau perlu ambil sedikit masa melihat fakta-fakta pencapaian negeri sejak 2001-2007 sebelum bercakap merapu.
"Jika Abdul Khalid ada keberanian, beliau juga perlu menggunakan model yang sama untuk membuat kajian semula dan melihat perbandingan antara 2007 dan sekarang, baru kita boleh berhujah adakah kerajaan beliau lebih baik daripada kerajaan BN sebelum ini,'' tegasnya.
Mohamad Khir seterusnya mengajak semua pihak untuk melihat apa yang telah Abdul Khalid lakukan sepanjang menjadi Menteri Besar Selangor, selain memberi air percuma menggunakan wang yang diwarisi dari kerajaan sebelum ini.
"Seingat saya sudah hampir RM70 bilion jumlah projek yang diumumkan beliau sejak menjadi menteri besar. Namun, yang masuk ke Selangor sejak pentadbiran beliau hanya RM6 bilion,'' katanya.

Terserah Presiden UMNO



KUALA TERENGGANU 15 Ogos - Soal sama ada sudah tiba masanya untuk mengembalikan teraju kepimpinan UMNO Terengganu kepada pemimpin tempatan sebenarnya terletak di tangan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang kini menerajui Badan Perhubungan UMNO Terengganu menegaskan, beliau tidak boleh memutuskannya kerana kuasa terletak di tangan Najib.
Beliau diminta mengulas desakan perwakilan UMNO Bahagian Kemaman yang mahu jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Mengulas mengenai pergeseran yang kelihatan masih berlarutan dalam UMNO Terengganu, Hishammuddin berkata, pucuk pimpinan UMNO akan menilai masa depan wakil-wakil rakyat yang terus mencetuskan masalah.
Hishammuddin berkata, mereka yang mengambil tindakan dan melakukan sesuatu yang tidak berkisar pada realiti politik hari ini akan dinilai oleh pucuk pimpinan dari segi kepimpinan peribadi masing-masing.

Jordan hantar 3.5 tan makanan, ubat ke Pakistan



16/08/2010 2:32am

AMMAN 16 Ogos - Sebuah pesawat Jordan yang membawa 3.5 tan makanan dan bekalan ubat-ubatan berlepas ke Pakistan semalam untuk membantu jutaan rakyat di negara itu yang dilanda banjir, kata para pegawai.
“Pesawat berkenaan turut membawa 25 ahli pasukan perubatan termasuk sembilan doktor dengan 21,000 vaksin kepialu dan taun,” kata Brigadier Mohammad Mheisen dari Perkhidmatan Perubatan Diraja kepada agensi berita Petra.
Putera Razhed Hassan, sepupu kepada Raja Abullah II dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Hashemite Rakyat Jordan berkata, negaranya akan menghantar lebih banyak bantuan kepada Pakistan sepanjang Ramadan ini, lapor Petra.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memohon bantuan segera sebanyak AS$460 juta (RM1,472 juta) bagi menangani masalah bencana banjir yang telah meragut 1,600 nyawa dan menjejaskan tidak kurang 14 juta penduduk di negara itu.
Sebahagian besar kawasan di Pakistan masih ditenggelami air dan PBB telah mengesahkan kes pertama penyakit taun akibat air tercemar berlaku di Mongora, barat laut daerah Swat dan sekurang-kurangnya 36,000 orang menderita cirit-birit. - AFP

Ibu tunggal rayu tempat tinggal



Norehan Kamaruddin bersama anak-anaknya berbuka puasa ala kadar ketika ditemui di sebuah bangsal di Kampung Kurung Tengar, Kuala Perlis, semalam.


KANGAR 15 Ogos – Dengan tekad mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak, ibu tunggal ini memberanikan diri merantau ke sini dari Kuala Kurau, Perak sebaik sahaja diceraikan suami setahun lalu.
Membawa bersama tujuh daripada sembilan anaknya, Norehan Kamaruddin, 37, mengharapkan penghijrahan itu membawa tuah kepada mereka lapan beranak.
Namun kehidupan tidak semudah yang diimpikan. Setelah hampir setahun berada di sini, dia masih gagal mendapatkan kerja.
Malah tempat keluarganya berteduh daripada panas dan hujan terpaksa didirikan ala kadar. Itupun atas belas ihsan seorang penduduk di Kampung Kurung Tengar di Kuala Perlis.
Rumah yang boleh diibaratkan seperti bangsal bertiangkan kayu bakau itu didirikan berhampiran kuala sungai.
Setiap kali air pasang, dia dan anak-anaknya terpaksa mengumpulkan pakaian dan meletakkan di pintu sebagai penahan bagi menghalang rumah mereka dimasuki air.
Dinding rumah hanyalah tikar-tikar usang yang disangkut di celah-celah atap zink dan setiap kali hujan, mereka anak-beranak terpaksa mencari ruang yang kering untuk berteduh sementara menunggu hujan reda.
Rumah itu hanya sebesar lebih kurang ruang tamu sebuah rumah kos rendah. Ia dibahagi kepada dua ruang iaitu dapur dan sebuah ruang lain yang dijadikan tempat untuk Norehan dan anak-anaknya tidur, belajar dan bermain.
Tiada bekalan api di rumah tersebut. Hanya cahaya lilin menerangi waktu malam apabila anak-anaknya hendak menyudahkan kerja-kerja sekolah manakala bekalan air diambil dari jiran sebelah atas ihsan mereka.
Kini Ramadan tiba, Norehan dan anak-anak tetap menjalani ibadah berpuasa seperti biasa walaupun dengan penuh kepayahan. Cuma Syawal yang bakal menjelang agak merunsingkan ibu tunggal ini.
Walaupun anak-anaknya yang berusia 14 tahun hingga 10 bulan reda dengan kehidupan yang dilalui, dia masih menaruh harapan dapat menyediakan baju raya dan sedikit juadah untuk mereka pada lebaran nanti.
Ketika diminta untuk ditemu bual, Norehan agak keberatan kerana bimbang dan malu ada pihak yang mencemuh. Malah lebih merisaukan wanita ini jika anak-anaknya berasa malu cerita mengenai keluarga mereka terpampang di akhbar.
Katanya, banyak pihak yang menghulurkan bantuan namun dia tidak mahu bergantung kepada bantuan semata-mata kerana memerlukan kerja tetap dan rumah yang sempurna untuk membesarkan anak- anaknya.
Antara yang tampil membantu termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri cawangan Perlis; Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pernah dilawati oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Mat Hassan.
“Saya bukan sombong tidak mahu menerima bantuan tetapi saya mahu bekerja dan kalau boleh mendapatkan bantuan tempat kediaman yang selamat untuk anak-anak apabila saya keluar bekerja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya, semalam.
Malah katanya, dia tidak berniat untuk menetap di bangsal itu, seolah-olah meraih simpati namun telah berusaha mencari rumah sewa tetapi gagal.
Katanya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, JPM pernah menjanjikan untuk mendapatkan sebuah rumah kos rendah untuk keluarganya dan kini dia sedang menunggu keputusan daripada pihak berkenaan.
Norehan bukannya tidak mahu pulang ke kampung halaman dan meminta bantuan keluarga namun memandangkan mereka juga bukan orang senang, dia melupakan hasrat tersebut.
Ketika ini Norehan bergantung kepada wang bantuan JKM sebanyak RM450 sebulan namun dia tahu selagi tidak mendapat kerja, dia tidak akan mampu keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Bila berada dalam keadaan sekarang, macam-macam tuduhan dilemparkan kepada saya dan anak- anak. Sehingga saya tidak berani keluar rumah namun saya perlu lakukan sesuatu kerana niat saya apabila berhijrah ke sini, ia akan membawa sinar baru kepada kami,” katanya.
Anak-anak Norehan boleh digolongkan dalam kalangan kanak-kanak yang bijak apabila Hani Daniel Affandi, 14, mendapat tempat ke-11 pada peperiksaan pertengahan tahun; Hani Syamimi, 12, pula mendapat tempat kelapan; Hani Ellya Izzatie, 10, mendapat nombor 10; Aina Hidayah, 9, mendapat tempat pertama manakala Hidayat Aiman, 8, mendapat tempat ke-10 dalam peperiksaan baru-baru ini.
Namun begitu, proses pembelajaran mereka sering terganggu kerana tidak dapat hadir ke sekolah setiap hari ekoran masalah pengangkutan.
Minggu lepas mereka tidak hadir sekolah selama tiga hari kerana basikal sering rosak dan hujan menyebabkan baju mereka basah sebelum tiba ke sekolah.
“Guru dan pihak sekolah memahami masalah yang kami hadapi namun kalau boleh kami tidak mahu terlepas pembelajaran di sekolah terutama Hani Syamimi yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi,” kata Hani Daniel.
Seperti kanak-kanak lain, mereka mempunyai cita-cita yang murni untuk berjasa kepada keluarga. Namun ketika ini apa yang mereka perlukan hanya tempat berlindung yang lebih selesa agar dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran.

Tutup kilang arak, bukan pindah ke lokasi baru


KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor seharusnya menutup terus kilang arak milik sebuah syarikat antarabangsa di Shah Alam dan bukannya mencadangkan lokasi baru yang lebih luas.
Timbalan Dekan Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa (Instac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, langkah menutup kilang itu bertepatan dengan cita-cita politik untuk menubuhkan negara Islam.
"Jika tindakan sebaliknya diambil kerajaan negeri, ia tidak selari dengan hasrat yang diperjuangkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mencadangkan kawasan baru lebih luas di Pelabuhan Klang kepada kilang berkenaan ketika Yang Dipertua Pas Shah Alam itu mengadakan lawatan ke kilang tersebut pada 5 Ogos lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai sebahagian pekerja kilang tersebut yang beragama Islam, Mahmood Zuhdi berkata, wajib kepada seorang Islam untuk mendapatkan kerja yang halal memandangkan banyak peluang pekerjaan lain.
"Selain itu, kerajaan negeri juga harus main peranan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang halal kepada pekerja kilang tersebut. Jika gagal, jelas ia tidak memenuhi hak asasi sebagai umat Islam," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, pendakwah bebas, Mohd. Daud Che Ngah berkata, operasi kilang minuman keras di mana-mana lokasi di negara ini harus dihentikan sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.
"Memakmurkan negara dengan benda yang ditegah Islam adalah tidak relevan. Justeru, kilang tersebut harus ditutup.
"Kita boleh import arak untuk kegunaan bukan Islam dan bukan menghasilkannya di negara ini," katanya.
Berhubung pekerja Islam di kilang berkenaan, Mohd. Daud menasihatkan mereka supaya berhenti dan mencari kerja lain yang halal.
"Allah membuka pintu rezeki seluas-luasnya. Pekerja di kilang arak harus sedar rezeki yang diperoleh daripada sumber tidak halal boleh mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada keluarga," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, Khalid harus mengambil peluang untuk mengecilkan operasi kilang arak itu dan bukannya mencadangkan ia dipindahkan ke tempat yang lebih luas.
"Jika mahu berdakwah, tutup terus dan fikirkan cara untuk menghalang penghasilan dan penjualan arak dari akar umbi.
"Sedarkah Khalid, dengan mencadangkan perpindahan itu hanya menguntungkan pihak syarikat arak tersebut," katanya.
Menurut beliau, sepatutnya dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, umat Islam didahulukan dan bukannya memberi peluang kepada syarikat milik bukan Islam menjana keuntungan dalam perniagaan yang tidak sewajarnya.
"Apa pun alasannya, Islam jelas mengatakan orang yang menyedia, membuat, menghidang malah turut mencadangkan untuk memperluaskan lagi tapak kilang arak juga tidak terkecuali daripada menanggung dosa," katanya.
Sementara itu, Dr. Ma'amor turut menasihatkan Kerajaan Selangor supaya memberikan peluang pekerjaan kepada pekerja kilang tersebut yang beragama Islam.
Pendapat yang sama dikongsi oleh Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Feriz Omar yang menyatakan sudah sampai masanya Pas melaksanakan janjinya dahulu untuk menutup kilang arak.
"Kini sudah tepat pada masanya untuk melaksanakan apa yang dilaungkan semasa manifesto dahulu," katanya.
Menurut Feriz, cadangan Khalid untuk memindahkan operasi kilang arak itu ke lokasi baru di Pelabuhan Klang adalah tidak wajar kerana prasarana di situ jauh lebih baik dan hanya menguntungkan pihak syarikat arak itu sahaja.

Pembalakan punca banjir kilat?


SIK 15 Ogos - Lebih 100 mangsa banjir kilat di Sik dan Baling semalam, akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegiatan pembalakan secara tidak terkawal di kawasan pedalaman negeri ini.
Menurut mereka, laporan tersebut bertujuan meminta SPRM menyiasat kerajaan negeri Kedah yang membenarkan kerja-kerja pembalakan secara berleluasa di kawasan tadahan hujan itu sejak memerintah negeri ini pada 2008.
Kata penduduk, kegiatan berkenaan telah menimbulkan kesulitan kepada masyarakat setempat termasuk terpaksa menanggung kerugian setelah beberapa kali dilanda banjir kilat.
Seorang mangsa, Romli Abdullah, 54, berkata, sebelum ini penduduk banyak bersabar dan terpengaruh dengan dakyah pemimpin yang memberikan alasan kononnya kegiatan pembalakan meningkatkan pendapatan kerajaan negeri.
Bagaimanapun katanya, kejadian banjir semalam benar-benar membuatkan mereka marah kerana terpaksa menanggung kesan langsung akibat kerakusan pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan hasil bumi.
"Memang sebelum ini kami tidak berbuat apa-apa kerana terpengaruh dengan kerajaan negeri. Kami cuba bersabar kerana tidak banyak terjejas.
"Namun kejadian semalam bagi kami amat malang. Lebih buruk lagi, ia berlaku ketika umat Islam baru saja masuk bulan puasa," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi semalam, hampir 200 rumah dari 20 kampung di sekitar daerah Sik dan Baling dinaiki air bercampur lumpur.
Kejadian yang disifatkan terburuk dalam tempoh 40 tahun berkenaan dikatakan berpunca daripada kegiatan pembalakan tidak terkawal khususnya di kawasan Hutan Simpan Sungai Semeliang dan Ulu Muda.
Kerja-kerja pembalakan yang dibenarkan oleh kerajaan negeri itu dikesan sejak September tahun lalu dan mengakibatkan kekurangan pokok untuk mencengkam tanah sewaktu hujan lebat sekali gus menyumbang kepada banjir lumpur.
Antara kawasan yang teruk terjejas, Kampung Bendang Man; Kampung Charoh Sireh, Radik, Chepir, Batu 8 dan Kampung Kemelung.
Turut terjejas kawasan Kampung Bukit Sabelah; Kampung Banggol Derun; Kampung Padang Temu dan Kampung Bongor di Baling.
Seorang lagi mangsa, Kasim Lebai Hat, 56, berkata, sudah sampai masanya SPRM bertindak memandangkan penduduk terpaksa menanggung derita akibat kegiatan itu.
"Kita dapati permohonan demi permohonan mengeluarkan balak diluluskan. Kerajaan negeri berbangga kata hasil meningkat.
"Apa gunanya hasil meningkat sedangkan rakyat menderita?
"Mereka sudah melakukan kesalahan kerana menebang balak tanpa kebenaran ketika membuka laluan berkenaan," katanya yang mendakwa kerugian lebih RM30,000 akibat rumah dimasuki banjir lumpur.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan mangsa yang dipindahkan ke penempatan sementara di Dewan Orang Ramai Chepir dan Sekolah Maktab Mahmud dibenarkan pulang hari ini.
Kebanyakan mereka mula membersihkan rumah masing-masing selepas keadaan cuaca yang cerah menyebabkan air semakin surut.
Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, pihaknya telah menyampaikan sumbangan makanan dan keperluan asas kepada mangsa bagi membolehkan mereka berbuka puasa.
"Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju meluluskan bantuan segera bagi membantu mangsa. Wang ini akan diserahkan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini," jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Mohd. Tajudin Abdullah pula berkata, pihaknya membuka bilik gerakan untuk menyelia bantuan makanan dan keperluan asas di Pejabat UMNO Bahagian Sik mulai semalam. Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 04-4695424.

Pasir haram: Khir cabar Khalid buktikan BN terlibat


KUALA LUMPUR 15 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar supaya menunjukkan bukti bahawa kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini melakukan perlombongan pasir secara haram.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo ketika melemparkan cabaran itu berkata, dakwaan Abdul Khalid mengenai perkara itu dalam temu bual yang disiarkan olehMalaysiakini disifatkan 'merapu dan merepek.'
Menurut beliau, apa yang pasti Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor itu sendiri 'merompak' wang rakyat dengan menjadi orang tengah dalam industri perlombongan pasir di negeri itu.
"Pasir dilombong atas tanah kerajaan tetapi royalti yang diterima oleh pejabat tanah hanya RM3 satu tan metrik, sama seperti royalti pasir atas tanah persendirian.
"KSSB ambil lagi RM4 tanpa perlu melakukan apa-apa kerja kecuali menyediakan draf perjanjian dan mencari kontraktor.
"Kerajaan sebagai tuan tanah hanya mendapat RM3 bagi setiap tan metrik pasir dikeluarkan, manakala KSSB sebagai broker mendapat RM4. Apakah ini bukan merompak wang rakyat?'' soalnya di dalam blog www.drkhir.com.
Abdul Khalid ketika ditemu bual oleh portal berita berkenaan baru-baru ini mendakwa Mohamad Khir sebagai tidak berbuat apa-apa kebaikan kepada Selangor dan tidak layak menjadi menteri besar.
Mengulas lanjut Mohamad Khir mengakui semasa mentadbir Selangor sebelum ini, pentadbirannya tidak begitu sempurna.
Namun jelasnya, beliau meninggalkan pentadbiran dengan kedudukan kewangan negeri yang jauh lebih tinggi di samping pencapaian anak syarikat kerajaan negeri yang kesemuanya mencatatkan keuntungan termasuk mempertingkatkan kecekapan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Itu semua, katanya, dapat dilaksanakan kerana beliau mewarisi kerajaan yang baik daripada pimpinan sebelumnya dan hanya perlu melakukan pembetulan serta perubahan seiring dengan kehendak semasa.
"Pencapaian-pencapaian itu diakui sendiri oleh fakta-fakta yang didapati melalui Kajian Daya Saing Negeri Selangor oleh Perbadanan Produktiviti Negara dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Mungkin Abdul Khalid perlu bertanya siapa yang mewujudkan Science Park 2 yang telah menghasilkan berbilion ringgit pelaburan.
"Di bawah pentadbiran siapa Selangor mencapai kemajuan pesat? Mungkin beliau perlu ambil sedikit masa melihat fakta-fakta pencapaian negeri sejak 2001-2007 sebelum bercakap merapu.
"Jika Abdul Khalid ada keberanian, beliau juga perlu menggunakan model yang sama untuk membuat kajian semula dan melihat perbandingan antara 2007 dan sekarang, baru kita boleh berhujah adakah kerajaan beliau lebih baik daripada kerajaan BN sebelum ini,'' tegasnya.
Mohamad Khir seterusnya mengajak semua pihak untuk melihat apa yang telah Abdul Khalid lakukan sepanjang menjadi Menteri Besar Selangor, selain memberi air percuma menggunakan wang yang diwarisi dari kerajaan sebelum ini.
"Seingat saya sudah hampir RM70 bilion jumlah projek yang diumumkan beliau sejak menjadi menteri besar. Namun, yang masuk ke Selangor sejak pentadbiran beliau hanya RM6 bilion,'' katanya.

WikiLeaks akan siar lagi dokumen sulit


STOCKHOLM 15 Ogos – WikiLeaks akan menyiarkan baki 15,000 dokumen mengenai perang di Afghanistan dalam tempoh sebulan ini, tanpa menghiraukan amaran daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Pentagon telah memberi amaran, maklumat rahsia tersebut akan membawa kerosakan lebih besar terhadap keselamatan dan mengancam lebih banyak nyawa berbanding kesan daripada kira-kira 76,000 dokumen perang yang disiarkan oleh WikiLeaks sebelum ini.
“Pertubuhan ini tidak gentar dengan ugutan Pentagon atau mana-mana kumpulan lain.
“Kami akan mengambil langkah berhati-hati dan selamat dengan bahan itu,” kata pengasas WikiLeaks, Julian Assange kepada wartawan di sini semalam.
Katanya, jika pegawai pertahanan AS mahu dilihat sebagai memajukan demokrasi, mereka ‘mesti melindungi apa yang dianggap oleh para pengasas AS sebagai nilai utama mereka, iaitu kebebasan media’.
“Sesuatu yang membimbangkan bukan sahaja bagi media tetapi juga bagi Pentagon sendiri jika Pentagon membuat tuntutan berunsur ugutan supaya tapisan dikenakan ke atas sesebuah pertubuhan media,” ujar warga Australia itu.
Menurutnya, WikiLeaks sudah melakukan ‘semakan baris demi baris’ terhadap 50 peratus daripada 15,000 dokumen dan ‘nama pihak-pihak tidak bersalah yang menghadapi ancaman cukup besar’ akan dipadamkan daripada bahan tersebut.
WikiLeaks akan bekerjasama dengan rakan-rakan media semasa menyiarkan baki dokumen itu, kata Assange tanpa mendedahkan identiti mereka.
Fail-fail pertama dalam Afghan War Diary yang disiarkan oleh WikiLeaks mendedahkan dokumen sulit tentera AS mengenai perang di Afghanistan dari 2004 hingga 2010.
Penyiaran dokumen itu membangkitkan kemarahan pegawai AS, menaikkan semangat pengkritik kempen pimpinan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu, dan menarik perhatian Taliban yang berikrar untuk menggunakan maklumat yang didedahkan bagi menjejaki rakyat Afghan yang dianggapnya pengkhianat.
Pendedahan maklumat sedemikian turut mencetuskan kebimbangan beberapa pertubuhan hak asasi manusia yang beroperasi di Afghanistan, termasuk Wartawan Tanpa Sempadan yang menuduh WikiLeaks bersikap sangat bertanggungjawab kerana menyiarkan dokumen itu dalam talian. – AP