Wednesday, March 5, 2014

Keputusan permohonan gereja ditangguh

Keputusan permohonan gereja ditangguh
Kira-kira 100 orang umat Islam menunaikan solat hajat di hadapan Istana Kehakiman sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penggunaan kalimah Allah di sini. - Foto Bernama
5 Mac 2014   PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan keputusan berhubung permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguannya, 'The Herald' daripada menggunakan kalimah Allah.
 
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mempengerusikan panel tujuh hakim, berkata mahkamah menangguhkan keputusannya sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
 
Terdahulu, panel itu mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili gereja itu, enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) di samping penghujahan daripada peguam kanan persekutuan mewakili Menteri Dalam Negeri.
 
Enam negeri itu ialah Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Wilayah Persekutan dan Selangor.
 
Turut bersidang dalam panel itu bersama Arifin ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali serta Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.
 
Gereja itu memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Oktober tahun lepas yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitannya. - Bernama

Perang jalan terakhir: Putin

Perang jalan terakhir: Putin
Tentera Rusia berkawal di luar pangkalan tentera Ukraine di Perevalnaya di Crimea. 
5 Mac 2014
MOSCOW - 'Ukraine dicemari dengan insiden rampasan kuasa bersenjata yang menentang Perlembagaan'.

Menurut laporan Agensi, kenyataan pertama sejak krisis Crimea bermula itu dikeluarkan Presiden Rusia Vladimir Putin selepas beliau mengarahkan 150,000 askar yang menjalani latihan ketenteraan berhampiran sempadan Ukraine sejak 26 Februari lalu supaya kembali semula ke pangkalan masing-masing.

Tindakan tersebut turut mencetuskan persoalan banyak pihak sama ada Moscow mula akur dengan gesaan Barat supaya tidak meningkatkan lagi ketegangan di Ukraine.

Selain itu, Putin turut mengulangi pendirian bahawa Rusia masih mengiktiraf Viktor Yanukovych sebagai Presiden Ukraine yang sah.

Menurutnya, Yanukovcyh telah memenuhi semua syarat yang terkandung di dalam perjanjian bersama pembangkang pada 21 Februari lalu, namun beliau menjadi mangsa permainan politik kotor di Kiev.

"Penduduk Ukraine mahukan perubahan, tetapi mereka tidak seharusnya menyokong tindakan kerajaan pimpinan Presiden sementara Oleksandr Turchynov yang secara terang melanggar undang-undang sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.

"Peperangan adalah jalan terakhir kerana kami hanya akan menggunakan tindakan ketenteraan untuk melindungi penduduk. Bagaimanapun, pintu rundingan masih terbuka," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, tentera Rusia yang menawan pangkalan udara Belbek di wilayah Crimea dilaporkan melepaskan beberapa das tembakan ke udara sebagai tanda amaran kepada kira-kira 300 askar Ukraine.

Tindakan tersebut dibuat selepas ratusan anggota keselamatan tidak bersenjata itu cuba untuk merampas semula pangkalan tentera tersebut.

Media tempatan melaporkan tiada insiden pertempuran tercetus walaupun Moscow memberi kata dua kepada tentera laut di Crimea untuk menyerah kalah atau bakal berhadapan tindakan lebih buruk jika gagal berbuat demikian.

Sementara itu, Rusia turut memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Barack Obama mengancam untuk mengenakan sekatan ke atas mereka.

Pembantu ekonomi Kremlin, Sergei Glazyev berkata, Moscow akan mengurangkan kebergantungan ekonomi dengan Washington jika mereka mengambil tindakan melulu tersebut.

"Sebarang cubaan untuk mengenakan sekatan ke atas kami akan menyebabkan AS hilang kuasa serta-merta dalam sistem kewangan global," tegasnya.

Terdahulu, Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin memaklumkan bahawa Yanukovych ada meminta bantuan tentera Rusia untuk 'menceroboh' Ukraine kerana beliau percaya negara itu kini di ambang perang saudara.

Menurutnya, Yanukovych khuatir dengan keselamatan penduduk di tenggara Crimea yang semakin terancam dan terdedah dengan tindakan keganasan.

Susulan daripada ketegangan semakin memuncak, 28 wakil negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) telah mengadakan mesyuarat tergempar kedua di Brussels selepas Poland yang terletak di sempadan Rusia dan Ukraine mula berasa terancam dengan konflik tersebut.

Presiden Rusia beri amaran kepada Barat

BEBERAPA buah kereta perisai Rusia melalui sebatang jalan raya dari Sevastopol 
ke Simferopol, Crimea, Ukraine semalam.


MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin semalam memberi amaran bahawa ancaman untuk mengenakan sekatan terhadap Moscow sebagai huku- man kerana menceroboh Semenanjung Crimea di Ukraine bakal memberi kesan terhadap negara-negara di Barat.
Putin semalam berkata, sekatan tersebut akan menyebabkan penduduk di Barat mengalami penderitaan.
Beliau juga menuduh Barat terlibat dalam konflik di Ukraine dengan menyokong rampasan kuasa yang melanggar perlembagaan.
Dalam pada itu, Putin memberitahu bahawa bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych tidak mempunyai masa depan dalam politik negara itu.
Menurutnya, Rusia memberi perlin- dungan kepada beliau bagi menyela- matkan nyawa pemimpin itu.
Beliau juga memberitahu bahawa Moscow mempunyai hak untuk menggunakan kekuatannya bagi melindungi rakyat Rusia di Ukraine.
Putin mengeluarkan kenyataan itu selepas mengarahkan berpuluh-puluh ribu askar Rusia yang menyertai latihan ketenteraan di sempadan Ukraine kembali ke pangkalan mereka.
Latihan tentera besar-besaran itu melibatkan 150,000 askar, beratus-ratus kereta kebal dan berpuluh-puluh pesawat.
Kuasa-kuasa di Barat telah berbincang untuk melakukan tindak balas ke atas Rusia yang menceroboh wilayah Ukraine yang mempunyai ramai penduduk Rusia itu.
Ekoran pencerobohan itu, Amerika Syarikat (AS) telah menggantung kerjasama ketenteraan dengan Rusia.
Rusia kemudian memberi reaksi balas dengan menyatakan, sistem kewangan di AS akan mengalami kemus- nahan jika satu sekatan ekonomi dilaksanakan ke atas Moscow.
Konflik di Ukraine dengan Rusia berlaku selepas anggota-anggota Parli- men memilih Oleksandr Turchynov sebagai Presiden sementara bagi menggantikan Viktor Yanukovych yang melarikan diri dari Kiev pada bulan lalu.
Yanukovych melarikan diri selepas beliau menandatangani satu perjanjian damai tajaan Barat bagi mereda- kan situasi politik selepas hampir 100 orang mati akibat pertempuran antara anggota-anggota polis dengan penunjuk perasaan.
Para penunjuk perasaan itu menuntut Yanukovych meletakkan jawatan selepas beliau enggan menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah.
Jika perjanjian itu ditandatangani, barangan Ukraine akan menembusi pasaran di Eropah.
Namun, Rusia kemudian tidak mengiktiraf Turchnov sebagai Presiden sementara.
Sebaliknya, Rusia masih mengiktiraf Yanukovych sebagai Presiden Ukraine kerana beliau mempunyai hubungan amat rapat dengan Moscow. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2v2USPgz8 
Hakcipta terpelihara 

Yanukovych minta bantuan


Sebuah kapal Tentera Laut Rusia, De-Gaussing, ditempatkan di Pelabuhan Sevastopol, di Laut Hitam, Crimea, kelmarin. - AFP
NEW YORK 4 Mac - Wakil Rusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych meminta bantuan Moscow untuk menghantar tentera ke wilayah autonomi Crimea bagi mengembalikan keamanan, kestabilan dan undang-undang.
Vitaly Churkin mendedahkan kepada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, permintaan Yanukovych itu dibuat menerusi sepucuk surat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Sabtu lalu.
"Yanukovych meminta bantuan daripada Putin untuk menggunakan tentera Rusia bagi mengembalikan keamanan dan mempertahankan rakyat Ukraine.
"Tindakan Rusia menghantar tentera juga tidak menyalahi undang-undang bagi mempertahankan hak asasi manusia bagi penduduk minoriti yang berbahasa Rusia di Ukraine," kata Churkin dalam mesyuarat ketiga Majlis Keselamatan PBB yang diadakan di sini, semalam.
Jelas beliau, penduduk Crimea yang berbahasa Rusia sedang dihukum atas sebab perbezaan bahasa dan politik, sekali gus meletakkan Ukraine di ambang perang saudara.
Katanya, keganasan tersebut dilakukan secara terbuka ekoran pengaruh daripada negara-negara Barat.
Churkin memaklumkan kepada Majlis Keselamatan bahawa beliau diberi tanggungjawab untuk membaca kenyataan daripada Yanukovych yang mendedahkan tentang permintaan penghantaran pasukan tentera ke Crimea.
Kenyataan itu didedahkan ketika ramai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan Moscow akan merampas lebih banyak kawasan pro-Rusia di timur Ukraine.
Dalam pada itu, Duta Ukraine ke PBB, Yuriy Sergeyev merayu bantuan dan menyerahkan surat kepada semua wakil 193 anggota PBB yang mendedahkan secara terperinci tindakan Rusia merampas kerajaan dan kemudahan tentera di Crimea.
Sergeyev mendakwa, tentera Rusia menggunakan bom tangan dalam cubaan menawan unit simpanan senjata milik briged Taktikal Udara Ukraine di Sevastopol, kelmarin, menyebabkan seorang anggota mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Selain itu katanya, tentera udara Rusia menceroboh ruang udara Ukraine sebanyak dua kali pada malam semalam.
"Semua laluan utama di Crimea dihalang, begitu juga pangkalan tentera dan kapal perang Ukraine di Pelabuhan Sevastopol dikepung selain cubaan menawan ibu pejabat Tentera Laut Ukraine," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140305/lu_01/Yanukovych-minta-bantuan#ixzz2v2Bi3Kpd
© Utusan Melayu (M) Bhd