Thursday, December 10, 2015

Pertuduhan terhadap Mohamad Salled ditarik balik


Mohamad Salleh Ismail

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta terhadap pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kerana tidak cukup bukti.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, pihaknya juga telah mempertimbangkan representasi oleh peguam mewakili Mohamad Salleh untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya.
"Kami juga mempertimbangkan representasi oleh peguamnya dan selepas meneliti representasi tersebut, ia mempunyai justifikasi," katanya kepada pemberita semasa ditanya berhubung pembebasan Mohamed Salleh daripada pertuduhan itu.
Beliau ditemui pemberita telepas melancarkan buku bertajuk "Criminal Litigation Process" yang ditulis oleh peguam dan pensyarah, Datuk Baljit Singh Sidhu.
Mohamed Apandi turut menegaskan pihak pendakwaan perlu mengemukakan 90 peratus bukti sebagai penanda aras sebelum seseorang tertuduh didakwa di mahkamah.
"Kalau sudah didakwa, kalau sudah semak kes, kurang bukti, pertuduhan akan ditarik balik," kata beliau.
Peguam Negara berkata beliau mematuhi penggunaan bukti 90 peratus seperti diamalkan oleh bekas ketuanya dahulu (Peguam Negara) Tan Sri Abu Talib Othman.
Mohamed Apandi berkhidmat di Jabatan Peguam Negara semasa Abu Talib menjadi Peguam negara dari 1980 hingga 1993.
Pada 24 November, Mohamad Salleh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan pecah amanah dan dua pertuduhan berkaitan menyalahgunakan dana syarikat.
Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Salleh, supaya anak guamnya dibebaskan sepenuhnya dan bukan dilepas tetapi tidak dibebaskan daripada pertuduan. 
Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 66, yang juga pengarah NFCorp mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyalahgunakan RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian daripada pembelian dua unit kondominium di kompleks One Menerung di Kuala Lumpur.
Mohamad Salleh dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Islamic Bank Bhd di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail, antara 1 dan 4 Dis 4, 2009.
Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memindahkan dana RM40 juta melalui satu keping cek NFCorp ke dalam akaun National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, syarikat yang beliau dan seorang daripada anaknya ialah pemilik syarikat, antara 6 Mei dan 16 November 2009.
Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menggunakan dana syarikat tanpa mendapat kelulusan mesyuarat agung tahunan NFCorp, untuk membiayai sebahagian daripada pembelian unit-unit kondominium.
Perbicaraan bermula pada 23 Jun, 2014 dengan pihak pendakwaan memanggil saksi pertamanya. Bagaimanapun, perbicaraan ditangguhkan selepas peguam mengemukakan surat representasi kepada Peguam Negara supaya pertuduhan digugurkan.
Pada 28 Ogos, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mohamad Salleh terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya bagi pertuduhan digugurkan, dan memerintahkan kes dijalankan semula di Mahkamah Sesyen. - Bernam
a

NFCorp: Maklumat perbankan adalah sulit


Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Mohd Rafizi Ramli dari PKR 'menyerang' beliau dan syarikatnya kerana beliau adalah suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Mohamad Salleh, Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd.,(NFCorp), berkata beliau percaya ia dilakukan disebabkan PRU13 dan bahawa Mohd Rafizi berniat jahat dalam pendekatannya untuk mendedahkan maklumat perbankan kepada orang ramai.
"Isu berhubung dengan niat jahatnya jelas terbukti berdasarkan fakta bahawa beliau langsung tidak mengambil inisiatif untuk menyemak dan mengesahkan kesahihan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.
"Saya percaya bahawa Mohd Rafizi bertindak secara tidak bertanggungjawab dalam perkara ini dan saya menyatakan bahawa beliau berniat jahat dan menyimpan dendam dan segala tindakannya adalah bermotifkan politik dan jelas berniat jahat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di kandang saksi pada hari pertama perbicaraan kes terhadap Mohd Rafizi dan Malaysiakini berkaitan pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.
Beliau berkata, secara peribadi, ini menjadi titik paling trauma dalam kehidupan beliau dan keluarganya.
Sementara itu, Mohamad Salleh berkata, beliau dan NFCorp tidak membuat apa-apa pinjaman daripada Public Bank Berhad bagi lapan hartanah KL Eco City dan pihak bank mengesahkannya melalui surat bertarikh 4 Januari 2012, bahawa mereka telah menarik balik tawaran untuk membiayai hartanah tersebut.
Beliau berkata lapan Perjanjian Jual-Beli dengan pemaju ditandatangani pada 5 Disember 2011.
"Justeru, dakwaan Mohd Rafizi bahawa saya gagal membyar balik pinjaman bagi lapan hartanah KL Eco City mengikut jadual dari Mac 2011, adalah bohong sama sekali," kata beliau ketika disoal oleh peguamnya Datuk M. David Morais.
Dalam saman yang difailkan pada 3 Jun, 2013, Mohamad Salleh, 67, dan NFCorp, mendakwa bahawa pada 7 Mac, 2012, Mohd Rafizi, selaku pengarah strategi PKR ketika itu, membuat kenyataan berbaur fitnah pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian hartanah itu dan disiarkan oleh Malaysiakini pada hari yang sama.
Beliau berkata saman difailkan kerana kerugian yang dialami akibat pembohongan, maklumat yang mengelirukan, pendedahan maklumat perbankan yang sulit dan kenyataan fitnah yang dibuat oleh defendan.
Mohamad Salleh memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan memperdayakan orang ramai mengenai isu itu.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan bersambung pada Khamis ini. - Bernam
a