Thursday, February 27, 2014

Filipina bebas pemimpin gerila Islam


MANILA - Kerajaan Filipina telah membebaskan seorang pemimpin gerila Islam yang ditangkap baru-baru ini, Wahid Tundok, kata kedua-dua pihak semalam.
Penangkapan Wahid dianggap mengancam rundingan damai antara Manila dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Dia dan beberapa pengawal peribadinya yang lengkap bersenjata ditahan di sebuah pos kawalan kerajaan dekat bandar Cotabato, selatan Filipina pada Ahad lalu.
Perkembangan itu berlaku menjelang satu persetujuan damai dengan MILF yang dijangka dimeterai dalam tempoh beberapa minggu lagi.
"Dia kini berada dalam keadaan baik," kata Ketua Hal Ehwal politik MILF, Ghazali Jaafar semalam tanpa mengulas lanjut.
Kerajaan dan para perunding MILF mengkritik tindakan pihak berkuasa menangkap Wahid itu.
Namun, dia yang amat dikehendaki tentera Filipina kerana berdepan pelbagai dakwaan jenayah termasuk melakukan kebakaran.
MILF yang merupakan kumpulan pemisah terbesar di Pulau Mindanao, selatan Filipina mempunyai seramai 12,000 anggota. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2uTV4tJGS 
Hakcipta terpelihara 

TV3 diarah bayar RM30,000 kepada Nizar


Mohammad Nizar Jamaluddin
PUTRAJAYA 25 Feb. - Mahkamah Rayuan hari ini mendapati Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) telah memfitnah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung laporan berita mengenai isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dua tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mahkamah turut memerintahkan syarikat televisyen itu membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Mohammad Nizar.
Berhubung ganti rugi, Hakim Mohammad Ariff memerintahkan agar taksiran tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang mendengar kes terbabit.
Yang turut bersidang ialah Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.
Pada prosiding hari ini, Mohammad Nizar diwakili peguam Mohd. Fitri Asmuni, manakala TV3 diwakili peguam, Liew Teck Huat.
Terdahulu dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Ariff menyatakan, selepas mengambil kira kesemua keterangan, Mahkamah tidak bersependapat dengan Hakim Mahkamah Tinggi.
Tambah beliauTV3 telah gagal dari segi justifikasi (kewajaran) dan gagal menunjukkan bahawa laporan berita itu benar atau separuh benar.
Selain itu, terdapat niat jahat dalam laporan itu, kata hakim terbabit.
Pada 12 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan saman RM50 juta oleh Mohammad Nizar dengan alasan TV3 dan Penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah selaku pihak defendan berjaya membuktikan pembelaan mereka berdasarkan kewajaran dan ulasan saksama dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam.
Bagaimanapun, berhubung isu yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berlainan telah memutuskan bahawa syarikat penerbitan akhbar, Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) telah memfitnah Mohammad Nizar.
Teck Huat ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihaknya akan meneliti penghakiman penuh panel tersebut sebelum membuat rayuan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140226/ma_03/TV3-diarah-bayar-RM30000-kepada-Nizar#ixzz2uTRHWDh8
© Utusan Melayu (M) Bhd