Wednesday, August 18, 2010

Keadaan sudah jauh berbeza - Soi Lek


KUALA LUMPUR 17 Ogos - MCA kesal dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan tragedi 13 Mei dengan tuntutan parti itu dalam Kongres Ekonomi Cina, Sabtu lalu.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengingatkan Timbalan Perdana Menteri bahawa keadaan sosioekonomi negara jauh berbeza dari 1969 dan rakyat Malaysia kini berupaya untuk bersikap rasional dalam membincangkan isu tuntutan sesuatu kaum tanpa mencetuskan konflik perkauman.
Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa MCA tiada rancangan atau berminat untuk menafikan hak kaum lain dalam memperjuangkan kepentingan kaum Cina.
Justeru jelasnya, taat setia MCA terhadap Barisan Nasional (BN) tidak patut dipersoalkan kerana parti itu sebelum ini menyokong UMNO bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum lalu.
"MCA sentiasa sensitif terhadap peranannya sebagai parti komponen BN, namun kami juga harus memainkan peranan untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina bagi memastikan parti ini terus relevan.
"Apa yang kami minta adalah berkongsi dengan adil. MCA tidak berniat untuk merampas hak-hak kaum lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin mengingatkan MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian antara kaum di negara ini.
Katanya, beliau mengakui bahawa setiap kaum berhak memperjuangkan nasib kumpulan yang diwakili, bagaimanapun perbuatan itu jangan sesekali dilihat boleh menjejaskan sensitiviti kaum lain.
Tegasnya, MCA harus menginsafi bahawa ia merupakan sebahagian daripada komponen BN yang sudah tentu mempunyai prinsip yang perlu dihormati secara bersama.
Dalam pada itu Soi Lek berkata, sebagai negara berbilang kaum, pembangunan Malaysia tidak sepatutnya berdasarkan 'pihak menang dapat semua, pihak kalah tidak dapat apa-apa' (zero-sum game).
Jelasnya, ia dikhuatiri akan menyebabkan negara ini terus terbelenggu di peringkat berpendapatan sederhana sekiranya kerajaan tidak meliberalkan ekonomi untuk meningkatkan pelaburan.
Tambahnya, kerajaan seharusnya menarik pelabur domestik dan asing untuk melabur di Malaysia bagi membangunkan ekonomi negara dan mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Model Baru Ekonomi (MBE) ke arah negara berpendapatan tinggi pada 2020.
Soi Lek juga berkata, pelaksanaan pembangunan perlu berdasarkan keperluan, manfaat dan pasaran yang mesra orang ramai.
Oleh itu, beliau menyarankan masyarakat bumiputera perlu diberikan keutamaan harga (price preference) di dalam sektor-sektor ekonomi tertentu ketika meliberalkan ekonomi negara untuk melaksanakan tender secara terbuka.
"Bagaimanapun, bagi membolehkan bumiputera bersaing dengan lebih adil, maka kami mencadangkan supaya mengurangkan 30 peratus ekuiti bumiputera secara berperingkat-peringkat dan memperkenalkan keutamaan harga," katanya.

Kerajaan digesa tolak resolusi MCA


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa kerajaan supaya menolak kesemua 13 resolusi MCA yang dibuat pada Kongres Ekonomi Cina, Sabtu lalu terutama yang mencabar hak bumiputera dan agenda pemuafakatan serta pembangunan negara.
Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad berkata, tuntutan-tuntutan itu didapati berat sebelah dan secara jelas membelakangi agenda pembangunan nasional kerana jika diterima ia akan merugikan masyarakat bumiputera.
Sebagai contoh katanya, tuntutan MCA agar kerajaan menghapuskan ekuiti 30 peratus bumiputera secara berperingkat tidak boleh diterima kerana realiti ekonomi tempatan menunjukkan golongan itu masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain.
"Mengenai tuntutan yang mahukan kerajaan melantik pengarah kanan syarikat milik kerajaan (GLC) di kalangan kaum Cina pula, adakah MCA boleh menjamin perkara sama di syarikat milik pengusaha Cina?
"Sepatutnya sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA perlu bersuara selari dengan agenda nasional dan semestinya mereka faham dengan keadaan ekonomi semasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu Hasan bersama Pengerusi Panel Penasihat Ekonomi MPM, Datuk Salleh Majid dan salah seorang anggotanya, Datuk Halipah Esa bermesyuarat bagi meneliti 13 resolusi MCA seperti disuarakan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada Sabtu lalu.
Hasan menambah, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Biro Ekonomi UMNO sedikit masa lagi bagi mengetahui pendirian parti tunjang BN itu berkenaan permintaan MCA.
"Pendirian UMNO penting kerana parti itu yang lebih berhak untuk menegur kepimpinan MCA yang dilihat ekstrem dan menyentuh sensitiviti kaum lain," tegasnya.
Dalam pada itu, Halipah yang merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) memberitahu, tuntutan MCA agar kerajaan mendirikan lebih banyak sekolah vernakular juga dilihat mempunyai agenda politik kaum.
"Kita semua sedia maklum mengenai status sekolah vernakular, jadi jika mahu didirikan dengan lebih banyak ia perlu dilakukan oleh masyarakat dan kaum terlibat tanpa menggunakan dana kerajaan sepenuhnya," tegasnya.
Sementara itu Salleh memberitahu, MPM sedia menganjurkan sebuah konvensyen ekonomi secara besar-besaran untuk disertai parti-parti politik seperti UMNO, MCA dan MIC.
"Pada konvensyen itu nanti, kita boleh mengingatkan pihak terbabit mengenai situasi sebenar ekonomi tempatan dan kami juga sedia ditegur, tidak ada cakap belakang lagi," jelas bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) itu.

Jangan bersekongkol dengan DAP


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Beberapa pemimpin UMNO menyelar Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berikutan kenyataannya semalam yang menegaskan parti itu tidak takut untuk berkongsi pandangan yang sama dengan DAP demi manfaat komuniti Cina.
Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustafa Kamal Mohd. Yusoff berkata, kenyataan Soi Lek yang menunjukkan yang beliau kini seolah-olah sanggup bersekongkol dengan DAP, boleh juga menjurus ke arah memecahbelahkan keharmonian kaum.
"Kenyataan yang dikeluarkan Soi Lek itu nyata tidak berasas dan boleh menjejaskan semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN) yang dipupuk sejak sekian lama.
"Soi Lek sepatutnya menggunakan saluran yang betul dan berkesan dalam menyuarakan pandangan, cadangan dan masalah yang mereka hadapi dan bukan dengan mencari jalan pintas untuk mencari populariti serta sokongan masyarakat Cina melalui kenyataan tidak berasas itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafa Kamal menyifatkan Soi Lek tidak berlaku adil kepada UMNO dan BN apabila membuat tuntutan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui bersama sewaktu negara mencapai kemerdekaan 53 tahun dahulu.
"Kalau nak menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri, jangan sesekali melukakan perasaan kaum lain terutamanya orang Melayu. Budaya ini amat berbahaya kepada BN," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kenyataan Soi Lek itu jelas menunjukkan beliau tidak menghormati semangat perpaduan antara pemimpin UMNO, MCA dan MIC.
Tegas Rosnah, Soi Lek dan pemimpin MCA yang lain harus sedar bahawa negara ini bukan dibina atas sentimen perkauman sempit tetapi ia terbentuk kerana nilai hormat menghormati.
"Jangan kerana semata-mata hendak menagih sokongan masyarakat Cina, Soi Lek lupa kepada dasar Perlembagaan yang telah dipersetujui yang membolehkan kita hidup dalam keadaan aman sehingga hari ini," jelasnya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar berkata, Soi Lek perlu memohon maaf kepada BN kerana kenyataannya itu tidak mengambil kira kepentingan parti dan kaum lain di negara ini.
"Tindakan itu juga boleh disifatkan sebagai satu percubaan untuk mengembalikan semula kuasa politik MCA yang kini kian terhakis dengan mendampingi DAP.
"Setiap masyarakat ada masalah dan ada perasaan tidak berpuas hati. Kita tidak boleh memperjuangkan nasib kaum sendiri tanpa menjejaskan hak kaum lain," katanya.
Rizalman berkata, oleh itu, Pemuda UMNO akan menyampaikan rasa kesal dengan kenyataan Soi Lek itu kepada Pemuda MCA tidak lama lagi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Henti persoal kuota orang Melayu


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek diminta menghentikan tindakan mempersoalkan kuota untuk usahawan bumiputera kerana ia hanya akan membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican(gambar) berkata, Soi Lek sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan supaya kuota 30 peratus usahawan bumiputera dimansuhkan dalam Model Baru Ekonomi (MBE).
"Kita menyelar tindakan Soi Lek seolah-olah beliau tidak menghormati pendirian kerajaan untuk membantu orang Melayu dan bumiputera yang masih ketinggalan dari segi ekonomi.
"Alasan Soi Lek langkah itu perlu bagi mewujudkan suasana daya saing tinggi dan berdasarkan kepada perubahan ekonomi semasa adalah salah dan mengelirukan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Reezal mengulas kenyataan Soi Lek hari ini yang menyatakan rasa kecewa dengan ingatan Timbalan Perdana Menteri semalam supaya parti itu tidak terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.
Sementara itu, Reezal berkata, Soi Lek yang lahir pada era sebelum kemerdekaan perlu akur dengan dasar pembentukan negara ini.
"Beliau perlu memahami dasar pembentukan negara hasil permuafakatan pemimpin UMNO, MIC dan MCA.
"Tindakan Soi Lek menyentuh hak serta keistimewaan orang Melayu akan menyebabkan 16 juta Melayu dan bumiputera kecewa dengan beliau," katanya.

Dipinda 45 kali, kedudukan Melayu tetap kekal


DALAM apa-apa pertikaian pun, akhirnya kita akan merujuk balik kepada sejarah. Tidak kira apa isu pun, yang penting faktanya.
Katakanlah, apa yang didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria itu benar bahawa terdapat kegiatan pihak tertentu cuba mewujudkan 'perlembagaan baru' bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan, kita mungkin belum lagi terkejut. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan sendiri sudah dipinda banyak kali.
Namun apabila Harussani mengaitkan bahawa 'perlembagaan baru' itu akan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang, kita khususnya orang Melayu pasti berasa terhiris, lagi tersayat.
Sekadar renungan, meskipun Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sebanyak 45 kali, peruntukan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum-kaum lain tetap kekal sehingga kini di bawah perkara yang sama.
Bagi Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) yang arif mengenai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, beliau berpendapat, adalah mujur kaum Melayu masih mempunyai satu aset yang tidak berjaya dihapuskan oleh penjajah Inggeris iaitu hak-hak keistimewaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Tegas beliau, apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu itu ialah kedaulatan dan keistimewaan institusi tradisional tersebut yang sentiasa rapat dengan 'psyche keMelayuan'. Dan secara tradisi, pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lainnya sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu.
''Ini adalah kerana mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata orang Melayu mempunyai hak mereka dalam pewaris kepada tanah ini," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 pula, pegawai-pegawai tinggi Inggeris terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal ketika Bintang Tiga dan penjahat komunis cuba merampas Malaya.
''Perkara pokok seperti hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran raja-raja Melayu, hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu diberi peruntukan di dalam perjanjian tersebut," katanya.
Tambah Rais, perjanjian itu sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum-kaum lain tidak akan disia-siakan dan ia menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid sembilan tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Ini diperkuatkan lagi dengan laporan Suruhanjaya Reid yang terkandung ayat: "Pihak Pakatan dalam memorandum mereka berkata, Perlembagaan seharusnya memperuntukkan bahawa Yang Di Pertuan Besar (Agong) perlu mempunyai tanggungjawab khas bagi mengawal kedudukan istimewa orang Melayu".
Kata Rais, ungkapan rasmi tersebut membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum-kaum lain di Malaya ketika itu.
Maka, hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Dan walaupun ia telah dipinda berpuluh-puluh kali, peruntukan itu tetap kekal sehingga kini.
Setiap perlembagaan sesebuah negara mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan-peruntukan yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa tetapi hanya melalui kelulusan dua pertiga anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat.
Menyelusuri fakta-fakta sejarah itulah, satu rumusan perlu difikirkan bagi pihak orang Melayu dan kaum pribumi supaya masa depan anak cucu tidak diganggu gugat serta mereka tidak tercari-cari tentang haluan dan kedudukan bangsa sendiri.
Di satu sudut, Perlembagaan Persekutuan dengan kontrak sosial juga perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam supaya erti kata sebenarnya tidak lagi dipersoalkan - seolah-olah menolak isi kandungan yang telah sedia dibentuk.

Strategi lenyap kepentingan orang Melayu


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Perkembangan serentak isu 13 tuntutan MCA dan kewujudan perlembagaan versi baru dilihat bertujuan untuk melenyapkan kepentingan Melayu di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Habshee berkata, isu tersebut yang berlaku dalam waktu sama merupakan strategi pihak tertentu bagi menguji sejauh mana kemampuan UMNO untuk menanganinya.
"Sehubungan itu, orang Melayu termasuk UMNO perlu bersatu padu kerana perkembangan tersebut merupakan propaganda yang akan mengancam masa depan bangsa," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek semalam mempertahankan kenyataannya pada Kongres Ekonomi Cina Sabtu lalu yang meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Malah bekas Menteri Kesihatan itu dalam kenyataan akhbarnya semalam menegaskan, yang beliau tidak teragak- agak berkongsi pandangan sama dengan DAP untuk kepentingan masyarakat Cina.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas tindak tanduk Soi Lek itu mengingatkan MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga menjejaskan kestabilan serta keharmonian antara kaum di negara ini.
Sementara itu, Syed Ali turut mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memanggil mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) bagi membincangkan kedua-dua isu tersebut.
"Ini isu serius dan orang Melayu sedang memerhati sejauh mana ketegasan UMNO, jika kita masih berdiam diri, saya khuatir rakyat semakin mencemuh UMNO," tegasnya.
Menurutnya, MCA yang senada dengan DAP telah membelakangkan semangat setia kawan dengan UMNO sebagai sekutu politik terkuat dalam Barisan Nasional (BN).
"Oleh sebab itu Soi Lek tidak malu mengemukakan pelbagai tuntutan demi kepentingan kaum Cina di depan Perdana Menteri.
"Beliau sengaja bangkitkan kemarahan orang Melayu di depan Datuk Seri Najib, ini merupakan perbuatan yang disengajakan untuk menguji keberanian UMNO berdepan isu tersebut," ujarnya.

Dia pun nak menyibuk juga

'Perlembagaan baru' memang wujud

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini mengesahkan bahawa beliau mengetahui tentang kewujudan 'perlembagaan baru' yang dibuat oleh pihak tertentu.
Lebih mengejutkan, beliau juga mendakwa bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), semata-mata untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
"Perkara ini memang benar-benar wujud dan ia merupakan idea PKR. Semuanya kerana PKR sedar bahawa sokongan bukan Melayu terhadap pembangkang semakin bertambah dan demi menjamin kelangsungan sokongan itu, Perkara 153 dan Perkara 11 perlu digugurkan.
"Perkara inilah yang menjadi salah satu sebab mengapa saya meninggalkan perjuangan PKR dan memilih untuk menjadi wakil rakyat Bebas. Inilah permainan bahaya PKR yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zahrain berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau mengetahui atau tidak tentang kewujudan 'perlembagaan baru', seperti mana yang didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria Ahad lalu.
Harussani ketika membuat pendedahan mengejutkan itu berkata, 'perlembagaan baru' itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang.
Mufti Perak itu bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang bertanggungjawab mewujudkan 'perlembagaan baru' berkenaan demi menjaga keselamatan negara.
Mengulas lanjut, Zahrain memberitahu, perancangan untuk mewujudkan 'perlembagaan baru' itu sudah dimulakan selepas pembangkang berjaya mencatat kemenangan besar dalam PRU Ke-12 lalu.
"Mereka sudah mula berangan bahawa langkah untuk menawan Putrajaya semakin hampir dan selepas cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) untuk membeli wakil rakyat Barisan Nasional (BN) gagal, maka perkara ini mula dirancang," katanya.
Dalam pada itu, Zahrain menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya segera mengambil tindakan tegas kerana perbuatan pembangkang mewujudkan 'perlembagaan baru' adalah satu perbuatan menghasut.
Katanya, jika pihak berkuasa lambat bertindak, beliau khuatir tragedi 13 Mei 1969 akan berulang kembali kerana orang Melayu sudah tentu tidak akan membiarkan hak mereka dicabuli.
"Orang Putih dahulu pun sedar tentang bahaya jika Perkara 153 dan Perkara 11 disingkirkan tetapi PKR tidak pernah belajar daripada perkara itu.
''Pada mereka matlamat mengejar kuasa adalah lebih penting berbanding kestabilan negara," katanya.

Berunding selesai tuntutan MCA


BANGI 17 Ogos - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berharap segala isu berkaitan tuntutan terbaru MCA dapat diselesaikan secara baik dengan semangat kekeluargaan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, dalam hal ini MCA tidak perlu hebahkan kepada umum segala tuntutan mereka kerana semua parti komponen BN berada dalam satu gelanggang politik yang sama bermatlamat membantu masyarakat.
Menurutnya, pendekatan itu merupakan kaedah terbaik kerana ia bukan hanya mengukuhkan kekeluargaan dalam BN tetapi mampu menguatkan lagi kerjasama antara satu sama lain.
"Saya amat berharap isu berbangkit MCA dapat dirunding, dibincang secara baik di bawah landasan BN.
"Itu memang perjuangan kita dalam BN sejak dari dahulu hingga sekarang," katanya ditemui selepas majlis berbuka puasa peringkat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini malam ini.
Shafie mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menegaskan parti itu tidak takut berkongsi pandangan sama dengan DAP dalam hal yang memberi keuntungan kepada masyarakat Cina.
Soi Lek yang menjawab peringatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MCA yang kini diterajui kepimpinan baru percaya bahawa pendirian itu mempunyai asas dan wajar.
Sebelum itu, Hishammuddin mengingatkan agar MCA tidak mengambil pendirian menyimpang daripada perjuangan yang sudah disepakati sekian lama dalam BN.
Peringatan Naib Presiden UMNO itu dibuat ekoran kenyataan Soi Lek yang mendesak kerajaan supaya mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian antara kaum di negara ini.
Ditanya adakah tindakan Soi Lek itu bertujuan meraih kembali sokongan kaum Cina yang terjejas terhadap MCA, Shafie berkata, sesiapa sahaja tidak diukur daripada sekadar laungan agresif sebaliknya berdasarkan kepada perkhidmatan terbaik yang diberikan kepada rakyat.
"Jika dibuat secara terbuka, ia tidak akan menguntungkan kita tetapi sebaliknya akan memberi masalah pada akhirnya.
"Kena ada hikmahnya, malah dalam beribadat pun aurat kita dituntut supaya ditutup. Ada cara dan kaedahnya. Tidak perlu didedah atau dibuka hanya untuk menambat hati penyokong masing-masing," katanya.

Bank Islam nafi kenyataan MB Kelantan




2010/08/18

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd, menerusi unitnya, Farihan Corp, hanya menawarkan perkhidmatan penyimpanan mata wang dinar emas/dirham di premis Ar-Rahnu di Kota Bharu dan Pasir Puteh. 

Dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam, bank itu berkata gadaian mata wang dinar/dirham juga diterima daripada pemilik mata wang dinar-dirham, sama ada daripada Kelantan Golden Trade Sdn Bhd atau orang ramai.“Pada masa ini, bank tidak menyediakan perkhidmatan akaun simpanan emas atau mengedar mata wang dinar/dirham dalam apa bentuk transaksi,” katanya sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini bahawa bank itu bersetuju menggunakan dinar emas dan dirham perak dalam urus niaganya.Kerajaan Negeri Kelantan baru-baru ini melancarkan siling dinar emas dan dirham perak bernilai RM2 juta, kepada orang ramai untuk digunakan sebagai mata wang alternatif di 1,000 kedai di negeri itu. 

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan membidas Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang disifatkan sentiasa memperlekehkan segala usaha kerajaan negeri memperkenalkan mata wang Dinar Emas dan Dirham Perak. 

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman, mendakwa UMNO negeri sentiasa memandang rendah terhadap kemajuan yang diusahakan Kerajaan PAS Kelantan tanpa memberi sebarang pandangan positif demi kepentingan rakyat negeri ini. 

Pas kesal layanan buruk pihak berkuasa




KUALA LUMPUR - Pas kesal kerana menerima layanan buruk daripada pihak berkuasa ketika mengadakan ceramah di Markas Pas Sungai Tongkang, Batu Pahat, Johor dan di Felcra Bandar Seberang Perak, Pasir Salak, Perak pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu. 

Yang Dipertua Pas kawasan Lenggong, Perak, Razman Zakaria berkata, lokasi ceramah di Pasir Salak adalah milik persendirian yang telah mendapat kebenaran daripada pemilik tanah dan pihaknya telah memohon kebenaran sebanyak dua kali daripada pihak berkuasa di Balai Polis Kampung Gajah. 

“Malangnya, dalam ceramah diadakan 31 Ogos lalu, seramai 16 orang ditahan termasuk tiga orang ditahan reman sebelum dibawa ke balai polis berkenaan. 

“Seramai 13 individu terdiri daripada petugas dilepaskan malam itu manakala tiga ditahan reman kerana didakwa membuat gangguan dan membawa senjata sedangkan petugas itu membawa pisau kecil untuk memotong tali,” katanya ketika menyerahkan memorandum kepada Suhakam di Pejabat Suhakam, di sini, semalam. 

Beliau berkata, perhimpunan itu seolah-olah cuba menyekat pihaknya daripada menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan kesemua ditahan mendakwa mereka diperlakukan secara kasar oleh beberapa anggota polis. 

Dalam kejadian di Markas Pas Sungai Tongkang, Batu Pahat, Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, tindakan hampir sama berlaku dan alasan yang dikemukakan tidak munasabah dan tidak konsisten. 

:Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, alasan keselamatan negara tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk satu tindakan tidak berasas. 

Beliau berkata, dalam mesyuarat suruhanjaya lepas, pihaknya bercadang mengadakan pertemuan dengan pihak berwajib termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membincangkan perkara itu.

Batu pecah jadi rebutan



RAFAH - Penduduk Palestin yang terdesak dan mengalami kesempitan hidup terpaksa melakukan kerja-kerja memecah batu di landasan dan bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza yang tidak digunakan sejak 2001. 

Sekatan rejim Israel ke atas Gaza sejak 2007 membuatkan kehidupan semakin terhimpit dan ramai yang terpaksa menyeludup barangan keperluan asas dan menjual batu yang dipe-cahkan dari bangunan terbengkalai. 

Sekumpulan 120 lelaki terlibat dalam kerja-kerja memecah batu di bawah kepanasan dengan suhu 37 darjah Celsius di lapangan terbang yang ditinggalkan ini. 

"Batu-batu ini akan dijual untuk dijadikan bahan binaan rumah," kata Izawied, bapa beranak enam, yang sebelum ini menjadi mekanik sebelum zon industri tempatnya bekerja musnah dalam serangan Israel.

Tak sedar diri

Ridhuan Tee didesak tarik balik kenyataan Pas parti 'suka mengkafir' 

SHAH ALAM – Pendakwah bebas, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah diminta menarik balik kenyataannya yang mendakwa Pas parti yang ‘suka mengkafir’. 

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Azman Shapawi Abd Rani berkata, Ridhuan sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar selari dengan tahap pencapaian pendidikan yang beliau miliki. 

“Beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang lebih bersifat tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sekiranya begini kenyataan beliau, Pemuda Pas mencadangkan agar beliau menyertai UMNO dan isytiharkannya secara terbuka. 

:“Beliau seharusnya mempelajari Islam dengan lebih mendalam sebelum menuduh Pas sebegitu. Inilah akibat apabila belajar Islam dengan UMNO yang memisahkan politik dengan agama yang mengakibatkan ramai yang kabur dengan Islam sebenar termasuk Ridhuan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Pemuda Pas merujuk kepada tulisan Ridhuan dalam sebuah artikel bertajuk ‘Jangan Terlalu Berani Mencabar’ yang disiarkan sebuah akhbar Ahad lalu. 

Azman Shapawi berkata, kenyataan pensyarah Universiti Pertahanan Malaysia itu adalah tuduhan yang serius dan boleh mencemarkan nama baik Pas sebagai parti yang berjuang menegakkan Islam. 

“Atas dasar apa kenyataan ini dikeluarkan? Pas satu parti yang sejak dari dulu berjuang bukan sahaja atas nama Islam. Pemuda pas mencabar agar dibuktikan individu mana yang pernah Pas kafirkan,” katanya.

31 kematian dalam penjara 1999-2009


18/08/2010 3:42pm

PUTRAJAYA – Sebanyak 31 kematian membabitkan banduan dilaporkan berlaku di dalam penjara di seluruh negara sepanjang tempoh 10 tahun lepas, kata Timbalan Pengarah Keselamatan Jabatan Penjara, Supri Hashim.
Beliau berkata, kebanyakan kes adalah disebabkan penyakit yang dihidapi seperti HIV selain bunuh diri, namun tidak ada kematian disebabkan pergaduhan atau penggunaan senjata buatan sendiri.
"Pergaduhan membabitkan banduan juga sebenarnya sangat jarang berlaku di dalam penjara,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun mengakui banduan kreatif membuat senjata dan antara peralatan yang biasa diubah suai mereka ialah pen, berus gigi, klip paip, sudu, kayu dan paku.
Untuk mengelakkan insiden tidak diingini, Supri berkata, pihak penjara akan membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan tidak ada peralatan di dalam sel yang hilang.
Supri berkata, pada masa ini, terdapat lebih 34,000 banduan menjalani hukuman di 31 buah penjara di negara ini, dan 12,000 daripada mereka adalah warga asing. – Bernama

Dinar hanya untuk koleksi


Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan Norliza Wasilan
bhnews@bharian.com.my
2010/08/18


ORANG ramai beratur di Kaunter Tukaran Mata Wang Dinar dan Dirham di Pejabat Koperasi Pasar Besar Siti Khatijah untuk membeli mata wang dinar, semalam.
ORANG ramai beratur di Kaunter Tukaran Mata Wang Dinar dan Dirham di Pejabat Koperasi Pasar Besar Siti Khatijah untuk membeli mata wang dinar, semalam.

Mata wang dikeluarkan Kelantan bukan medium jual beli
 

KOTA BHARU: Kebanyakan pembeli dinar emas dan dirham perak yang dilancarkan Kerajaan PAS Kelantan minggu lalu, lebih berminat menyimpannya sebagai simpanan atau koleksi peribadi.Pengurus Kewangan Permodalan Kelantan Berhad (PKB), Azmi Harun, berkata ramai pembeli lebih berminat dengan nilai tinggi dinar emas daripada menggunanya sebagai medium jual beli.Katanya, sejak mata wang syariah itu dilancarkan kerajaan negeri ini minggu lalu, pihaknya sudah menjual dinar emas bernilai RM150,000. 

“Dirham perak mencatat permintaan tinggi kerana nilainya lebih kecil berbanding dinar emas sejak pelancarannya minggu lalu, bagaimanapun, kebelakangan ini, kita lihat permintaan menggalakkan daripada pelanggan untuk membeli 1/2 dinar emas, satu dinar emas dan dua dirham emas,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. 

Mengikut undang-undang, pengeluaran mata wang sama ada alternatif atau tidak, adalah mengikut bidang kuasa mutlak Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia membabitkan urusan dasar serta pengurusan kewangan Malaysia. 

Sementara itu, Penasihat Syariah World Islamic Mint, Abdalhasib Castineira, berkata dari segi undang-undang, hanya Kerajaan Pusat iaitu melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai kuasa eksklusif dalam pengeluaran mata wang sah diperlakukan. 
“Ringgit Malaysia mempunyai konsep perundangan dan fungsi yang berbeza. Ia tidak berasas kepada sebarang komoditi seperti dinar dan dirham, sebaliknya hanyalah nota janji yang diberi nilai oleh Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya. 

Pas pertikai SPRM



KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub membidas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) mendedahkan maklumat sulit berkaitan kerugian Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) bernilai RM8 bilion kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) menyebabkan tiada siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap laporan itu.

Menurutnya, bekas pengerusi MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli mungkin dilindungi pihak tertentu menyebabkan beliau bebas daripada pendakwaan akibat kerugian itu.

“SPRM sepatutnya menyiasat perkara tersebut tetapi telah mendedahkannya kepada JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga menyebabkan rasa cemas kepada individu yang terlibat,” katanya pada sidang media di Pejabat Pas, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, MAS berasa tindakan SPRM bertentangan dengan peruntukan S:29(4) dan S(65) Akta SPRM 2009.

“PDRM adalah salah satu pihak yang diadu dan tidak sepatutnya menerima butiran aduan MAS di mana mereka berasa ragu dengan SPRM kerana jelas gagal melindungi dokumen penting untuk dirahsiakan dalam melakukan siasatan," katanya.

Menurutnya, ini menyebabkan MAS membuat satu lagi laporan kepada SPRM ke atas bekas pengerusinya itu, dan juga terhadap JSJK serta Jabatan Peguam Negara.

“Saya ingin mendedahkan di sini siapa yang melindungi penjenayah ini, siapa yang melindungi kes ini daripada disiasat dan didakwa kerana ia merupakan kes yang cukup besar.

"SPRM perlu menjawab persoalan ini kerana disifatkan sebagai tindakan yang tidak berintegriti dan membahayakan orang yang membuat aduan,” katanya.

Beliau berkata, isu kerugian MAS telah diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid di Parlimen pada 2009 namun masih tiada sebarang jawapan rasmi sehingga kini.

”Saya dapati ada beberapa perkara yang memerlukan penelitian dan penyiasatan yang lebih mendalam terhadap perkara ini tetapi PAC hanya mendiamkan diri.

“Saya berasa Tajuddin tidak berseorangan dalam perkara ini kerana tidak mungkin seorang sahaja yang buat. Mungkin terdapat satu rangkaian atau konspirasi yang wujud dengan satu skandal besar seperti ini, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed ketika dihubungi berkata, beliau akan menyemak perkara itu sebelum membuat sebarang kenyataan.

“ Saya akan ‘check’(semak) dulu, esok (hari ini) saya akan beritahu,” katanya.

60 maut semasa Ramadan di Iraq



GAMBAR rakaman kamera telefon bimbit menunjukkan lokasi serangan bom dekat sebuah ibu pejabat pengambilan askar baru di Baghdad semalam.


BAGHDAD - Seorang pengebom berani mati semalam meletupkan dirinya berhampiran sebuah ibu pejabat pengambilan askar baru di sini menyebabkan 60 orang terbunuh dan 125 yang lain cedera sekali gus merupakan angka korban tertinggi dalam bulan Ramadan setakat ini.
Mangsa yang terbunuh terdiri daripada askar dan anggota baru.
Insiden itu berlaku pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan di luar bekas bangunan Kementerian Pertahanan Iraq.
Kem itu dikatakan menerima kemasukan 250 orang askar baru setiap minggu.
Serpihan tangan dan kaki boleh dilihat di lokasi yang dipenuhi darah manakala orang ramai yang terkejut datang untuk mencari saudara masing-masing yang masih hidup. Sekurang-kurangnya dua orang askar yang menjadi saksi serangan menyatakan kemungkinan sebuah kereta juga meletup di lokasi sama menyebabkan angka korban menjadi tinggi.
Namun, jurucakap tentera menegaskan kejadian itu disebabkan oleh seorang pengebom berani mati.
Seorang pegawai tentera, Qassim al-Moussawi menyalahkan kumpulan Al-Qaeda ekoran serangan itu.
Peningkatan keganasan di Iraq berlaku pada musim panas kali ini. Pada 7 Ogos lalu, dua kejadian letupan bom membunuh 43 orang di sebuah pasar di Basra. - Agensi

Askar Israel hina tahanan Palestin



GAMBAR menunjukkan Eden Aberjil bergambar bersama beberapa tahanan Palestin yang mata mereka ditutup dengan kain dan tangan diikat.


BAITULMUQADDIS - Gambar-gambar seorang askar wanita Israel yang bergambar bersama sekumpulan tahanan Palestin yang bergari dan mata mereka ditutup dengan kain menimbulkan kecaman hebat di Israel kelmarin.
Stesen televisyen Israel menyiarkan gambar-gambar tersebut manakala pihak tentera mengeluarkan satu kenyataan yang menyifatkan ia sebagai tingkah laku yang tidak tahu malu.
Askar wanita yang bergambar itu, Eden Aberjil sudah menamatkan perkhidmatan ketenteraannya sejak setahun lalu.
Aberjil menghantar gambar-gambar yang dirakamkan pada tahun 2008 itu ke laman Facebook.
Gambar itu menunjukkan dia tersenyum di hadapan tiga orang tahanan Palestin yang digari dan mata mereka ditutup.
Bagi mempertahankan tindakannya itu, Aberjil berkata: "Saya tidak memalukan tahanan-tahanan ini. Saya tidak memukul atau bersikap kurang sopan terhadap mereka. Ia sangat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh askar-askar Amerika di dalam penjara Iraq.
"Tidak ada kenyataan pada gambar itu yang menyebut mengenai keganasan, sikap tidak hormat atau apa sahaja yang menyinggung perasaan mereka (tahanan). Saya cuma merakamkan gambar dengan seseorang.
"Apabila saya mendapati ramai orang yang tersinggung, saya kemudian mengeluarkan gambar tersebut," kata Aberjil kepada Radio Israel. Namun, perbuatan askar Israel itu mendapat kecaman Ketua Jawatankuasa Menentang Penderaan Israel, Yishai Menuchim.
"Tindakan ini menggambarkan sikap yang sudah menjadi kebiasaan dan menjadi bukti bahawa tahanan Palestin dilayan seperti objek bukannya manusia," kata Menuchim dalam satu kenyataan. - Agens