Thursday, August 11, 2011

5000 warga Myanmar miliki IC di Terengganu!



https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj6J2XiM4zY3_KNuBzjB8t8p6SB0pfm0gQDnr7mjUWSnQ3Hu9P-ywlUlrKE5SZztUGoLEzjdMGuh9HMRZNgy4kNeF-5uKvcxeH8_jdek3GY4lMv-4Jk1rK7qYg5pTU_r-Oa0ywxsrigfg/s320/insidepix1.jpg 

DUNGUN - Pas Terengganu melalui Jabatan Pilihan Raya parti itu berjayamengesan ribuan warga asing yang memiliki kad pengenalan difahamkan dikeluarkan di Kedah mendaftar sebagai pengundi di beberapa kawasan di Terengganu. 


Pesuruhjayanya, Abdul Wahid Endut berkata, pihaknya berjaya mengesan 5,006 bangsa asing kebanyakannya berketurunan Myanmar didapati tersenarai sebagai pengundi di beberapa kawasan utama di negeri ini. 

Beliau berkata, daripada 5006 pengundi terbabit yang berjaya dikesan pihaknya, 1,239 terdapat di kawasan DUN Kijal dan 529 di Air Putih khususnya di Cheneh Baru serta beberapa kawasan lain. 

“Kita mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) siasat secara terperinci kemasukan terancang ini, jumlah pengundi asing yang begitu ramai dimasukkan dalam satu-satu DUN dipercayai bagi memenangkan UMNO dan Barisan Nasional.-SHhttp://demokrasi93.blogspot.com

Mercun dalam bakul buah


KUALA PERLIS - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis berjaya menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api yang ditinggalkan dalam empat bakul buah di pesisir pantai berhampiran belukar di Kurung Tengar, di sini kira-kira jam 3.35 awal pagi semalam.

Komander UPP negeri, Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota risik UPP Kuala Perlis telah membuat serbuan di pesisir pantai Kurung Tengar awal pagi semalam.

Anggota selepas menjumpai satu longgokan yang terdiri dari beberapa bungkus mercun dan bunga api yang diseludup dari negara jiran melalui jalan laut ditinggalkan di pesisir pantai bertindak membuat risikan bagi memerangkap pemilik bahan letupan itu.

Bagaimanapun, selepas seketika menunggu, pemilik mercun itu tidak kelihatan dan UPP membawa kesemua barang rampasan itu ke pengkalan UPP di Kuala Perlis.

“Kita percaya, mercun dan bunga api ini ditinggalkan di situ untuk diambil pihak tertentu untuk dijual di pasaran tempatan menjelang musim perayaan tidak lama lagi,” katanya.

Anggaran rampasan kesemua mercun dan bunga api terbabit ialah RM4,000.

Beliau berkata, rampasan itu merupakan rampasan keempat sepanjang bulan Ogos.-SH

Datuk, nenek cuba larikan cucu



LUNAS - Kerana tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, dua warga emas yang juga datuk serta nenek kepada dua murid berusia 10 dan 12 tahun bertindak nekad melarikan cucu mereka yang sedang belajar dalam kelas di sebuah Sekolah Kebangsaan Cina kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang ramai dan mengarahkan ahli PPKM sedang membuat rondaan pergi ke tempat kejadian.

Menurutnya, warga emas berkenaan datang dengan menaiki kereta Toyota Avanza sebelum memasuki kawasan sekolah.

Katanya, mereka kemudiannya terus menuju ke kelas murid berkenaan dan menarik kedua-dua beradik itu keluar dari kelas serta membawa mereka masuk ke dalam kereta.

“Ahli PPKM yang sampai di tempat kejadian menutup pagar sekolah dan menghalang kenderaan terlibat dari melarikan mangsa. Lebih 100 ahli PPKM sampai di tempat kejadian. Saya dimaklumkan ibu bapa pelajar itu sudah bercerai. Dua warga emas itu adalah waris kepada ibu mangsa. Mereka bertindak demikian bertujuan untuk melarikan mangsa. Ketika ditahan, kedua-dua mangsa masih menangis di dalam kereta dan meminta tolong.

“Saya mengarahkan ahli PPKM menutup pagar sekolah dan mengepung kawasan tempat kejadian supaya suspek tidak melarikan diri sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mahkamah menetapkan hak penjagaan kedua-dua pelajar itu diberi kepada bapa mereka.

“Polis datang ke tempat kejadian hanya untuk meredakan keadaan selain melaksanakan arahan mahkamah.

“Ini adalah masalah keluarga. Kita tidak boleh ingkar pada arahan yang diputuskan oleh mahkamah. Ibu bapa pelajar ini sudah bercerai dan mahkamah menetapkan hak penjagaan mereka diberikan kepada bapa. Polis tidak membuat sebarang tangkapan selain mengarahkan waris terlibat mematuhi arahan yang dikeluarkan,” katanya.-SH

Berpantang maut sebelum ajal



SUBANG JAYA – Berpantang maut sebelum ajal! Begitulah nasib seorang pemandu wanita kerana masih terselamat apabila kenderaan dipandunya merempuh konkrit pembahagi jalan sebelum terbalik di Persiaran Tujuan menuju ke Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dipercayai gagal mengawal pemanduannya di selekoh dari arah Lebuhraya Persekutuan sebelum merempuh penghalang yang memisahkan laluan dengan jalan bersebelahan.

Akibat daripada itu, kereta mangsa dikatakan terbabas sebelum berpusing dan terbalik di tengah laluan bersebelahan menyebabkan kesesakan berlaku lebih satu kilometer selepas itu.

Sumber polis berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku ketika hujan lebat, petang semalam.

“Pemandu kenderaan yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta, Nabila Abdul Wahab, 24, memaklumkan keadaan jalan licin ketika hujan menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas ke laluan bersebelahan.

“Bagaimanapun dia dan rakannya yang berada di tempat duduk penumpang bahagian depan terselamat dengan merangkak keluar daripada kereta selepas ia terbalik,” katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya selepas kejadian.-SH

Denda RM57,000 akibat rasuah



KUANTAN- Seorang penjaga konsesi pasir dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM57,000 atas dua tuduhan apabila mengaku bersalah memberi rasuah kepada Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur di Mahkamah Khas Rasuah di sini, semalam.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Abdullah Sani Cheah Abdullah, 42, berasal dari Ipoh, Perak, didakwa memberi suapan wang RM5,500 dan dua helai baju T kepada Komander Maritim, Syd Mohd Fuzi Syd Hasan, sebagai dorongan kepadanya supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas 11 perjalanan pengeluaran pasir oleh bot tunda dan tongkang.

Bot dan tongkang terbabit membawa muatan pasir sungai dari muara kuala Sungai Pahang ke Singapura mulai 2 hingga 13 Julai 2010 di sebuah hotel di Balok, di sini, jam 7 pagi pada 16 Julai tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memberi rasuah RM5,000 kepada Syd Mohd Fuzi sebagai dorongan kepadanya supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana perjalanan pengeluaran pasir oleh bot tunda dan tongkang yang membawa muatan pasir sungai dari muara kuala Sungai Pahang ke Singapura pada masa akan datang di sebuah hotel di pusat bandar, antara jam 3.40 petang hingga 3.55 petang, 19 Ogos tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi bagi kedua-dua kesalahan tersebut.

Ketika diberikan peluang untuk merayu, Abdullah Sani menyatakan dia sudah tidak bekerja dan menanggung anak-anak yang masih kecil.

Namun Hakim Fathiyah Idris menetapkan hukuman penjara sehari dan denda RM29,000 bagi kesalahan pertama atau 18 bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Manakala bagi kesalahan kedua tertuduh dikenakan penjara sehari dan denda RM28,000 atau penjara 17 bulan jika gagal membayar denda yang ditetapkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Shafinaz Shabudin.-SH

Van terbabas rempuh pokok



BENTONG – Seorang lelaki maut apabila van dipandunya merempuh pokok di Kilometer 74.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini kira-kira jam 4.15 petang kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa, Zulazmi Nuwawi, 40, beralamat di Taman Pulai Idaman, Temerloh memandu van jenis Nissan seorang diri dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, van dipandu mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh pokok yang berada di tepi lebuh raya itu.

“Akibat rempuhan kuat, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada serta kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Anggota bomba dan penyelamat terpaksa memotong pintu van milik mangsa untuk mengeluarkannya,” katanya. Mohamad Mansor berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong bagi dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Menurutnya, kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terhadapnya masih diteruskan.

“Saya mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu dan berhenti rehat sekiranya letih atau mengantuk,” katanya.-SH

Dua maut dalam 24 jam



HULU TERENGGANU - Tidak sampai 24 jam, dua maut dalam kemalangan berasingan di Kuala Berang melibatkan seorang suri rumah dan seorang penuntut yang masih belajar di Syria.

Tragisnya, kronologi kejadian juga hampir sama iaitu membabitkan motosikal dengan lori.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 4.30 petang kelmarin di KM 39 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang (hadapan stesen minyak) membabitkan seorang pembonceng motosikal.

“Mangsa, Junaidah Ismail, 51, dari Kampung Pelandan membonceng motosikal Honda EX5 bersama suaminya, Ali Abdullah, 57, dan anak mereka, Nor Aida Nastasha, 8, dari Kuala Berang ke Ajil.

“Kemalangan berlaku apabila lori dipandu M Nor A Kadir, 25, dalam perjalanan dari Kuala Berang mengikuti laluan di sebelah kanan jalan. Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu terbabit telah mengekori sebuah motosikal yang ketika itu berada di laluan kiri,” katanya.

Menurutnya, ketika hendak memotong, secara tiba-tiba motosikal berkenaan dipercayai masuk ke laluan kanan menyebabkan pemandu lori tersebut tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal itu.

“Mangsa mati di tempat kejadian setelah parah pada kepala, manakala suaminya cedera pada bahagian kiri.

“Anak mereka tidak mengalami kecederaan, begitu juga dengan pemandu lori terbabit,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian kedua yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi semalam di KM 35 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang (hadapan tempat pelupusan sampah), seorang penunggang motosikal maut setelah terseret sejauh 48 meter.

“Mangsa, Mohd Zahid Shafiee, 20, dari Kampung Bukit Diman dari Ajil ke Kuala Berang dan menunggang di laluan kiri jalan.

“Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia dikatakan masuk tiba-tiba di laluan kanan kerana hendak membuat pusingan U tidak jauh dari situ,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, terdapat sebuah lori ais di laluan kanan berkenaan dan tidak sempat mengelak hingga merempuh motosikal mangsa. Akibatnya, mangsa terseret bersama motosikalnya.

“Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala, selain patah tulang paha kiri dan kanan serta tulang punggung. Manakala, pemandu lori ais, Azlan Yahya, 25, beralamat di Batu Rakit tidak cedera, begitu juga kelindannya,” katanya.-SH

Didakwa rogol OKU



KUALA TERENGGANU- Seorang nelayan tidak mengaku bersalah atas dakwaan merogol seorang jurujual yang juga merupakan gadis orang kelainan upaya (OKU) di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Zulfadli Mamat@Jusoh, 20, dari Felda Rasau Kerteh 01, Ketengah Jaya, Dungun, tidak mengaku bersalah merogol mangsa yang berumur 20 tahun 10 bulan di rumahnya pada 29 Julai lalu kira-kira jam empat petang hingga 4.30 petang.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Masriwani Mahmud@ Mamat di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Selepas pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Azman menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua lagi rakannya yang masih bebas telah merogol mangsa di rumah tertuduh pada 29 Julai lalu.

Kejadian bermula apabila mangsa yang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya kira-kira jam 2.30 petang telah didatangi tertuduh dan rakannya dengan menaiki Proton Wira.

Mangsa telah diajak menaiki kereta berkenaan kononnya untuk dibawa ke sebuah kampung berhampiran. Bagaimanapun, mangsa yang hanya mengikut itu telah dibawa ke rumah tertuduh iaitu kira-kira jam empat petang.

Di rumah berkenaan, mangsa telah dirogol tertuduh dan dua lagi rakannya secara bergilir-gilir, pada keesokan harinya, mangsa ditinggalkan di tepi jalan berhampiran selepas satu malam diratah oleh ketiga-tiga mereka.

Mangsa seorang OKU kategori fizikal itu telah menelefon abangnya dan terus membuat laporan polis.

Dengan itu, tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.-SH

Perabot bertaburan atas jalan



MARANG - Beratus-ratus bungkusan perabot pasang siap bertaburan di atas jalan apabila sebuah treler yang sarat membawa muatan barangan itu terbabas, lalu terbalik di satu selekoh di Kampung Bukit Jetit, dekat Gong Beris di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu dipercayai berlaku apabila pemandu treler berumur awal 30-an yang dalam perjalanan dari arah Wakaf Tapai ke Marang, terbabas ke kanan jalan selepas mengambil selekoh dalam keadaan jalan licin akibat hujan lebat.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang, PBK 2 Nik Mat Ali berkata, berikutan itu, lori terbabit terbabas ke kanan jalan lalu terbalik dan mengakibatkan ratusan bungkusan perabot pasang siap yang dibawa kenderaan itu bertaburan di atas jalan.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.15 dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

“Dengan bantuan penduduk, kami berjaya menyekat orang ramai daripada mengambil bungkusan perabot pasang siap itu,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Nik Mat berkata, wakil majikan pemandu terbabit dari Gong Badak, Kuala Terengganu kemudiannya datang dan mengambil masa lebih sejam untuk memindahkan bungkusan perabot ke kenderaan lain.

“Bagaimanapun, kemalangan itu tidak mengakibatkan kesesakan kerana bukan di laluan utama.

“Manakala, pemandu treler terbabit dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas dikeluarkan dari treler,” katanya mengetuai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang.

Difahamkan, pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Merchang untuk berbuka puasa sebelum kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.-SH

Ghairah membawa padah



JOHOR BAHRU – Gara-gara terlalu ghairah untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik melalui peraduan gores dan menang, seorang tukang cuci warganegara Singapura kerugian lebih RM20,000 apabila emas yang disimpan lebih 30 tahun digadai selepas diperdaya dua lelaki.

How Siew Choo, 52, berkata, kejadian berlaku selepas dia didatangi dua lelaki di sebuah jejantas JB Sentral yang kemudian memintanya membuat cabutan percuma menerusi sampul surat.

“Saya diminta membayar SG$6,000 oleh wakil jualan itu untuk melihat hadiah yang saya menangi ketika cabutan dibuat, namun ketika itu saya tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar mengikut jumlah yang diminta.

“Saya kemudiannya ditawarkan oleh wakil jualan terbabit untuk membawa saya pulang ke Singapura dan mengambil wang berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar yang diatur oleh Biro Pengaduan Awam Pemuda MCA Johor Bahru di sini, semalam.

Siew Choo berkata, setelah tiba di Singapura, dalam keadaan ghairah untuk memenangi hadiah pada ketika itu, dia kemudian menggadai lapan barang kemas miliknya berjumlah lebih RM20,000.

Menurutnya, dia kemudian dibawa wakil jualan terbabit ke Taman Molek untuk proses pembayaran namun menyedari ditipu setalah diberitahu dia hanya memenangi empat barang elektrik yang berharga RM1,000.

Berikutan kejadian itu, Siew Choo yang berasal dari Ang Mo Kio Avenue, membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi.

Ketua Biro Pengaduan Awam Pemuda MCA Johor Baharu Kua Song Tuck meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap anggota sindiket gores dan menang berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNKK) negeri, Che Halim Abd. Rahman berkata, pihaknya akan sentiasa memantau kegiatan sindiket gores dan menang.

“Orang ramai juga diminta agar lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan janji manis yang diberikan sindiket terbabit,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai sindiket tersebut supaya menghubungi PPDNKK di talian hotline 1800-88-6800.-SH

Pas kesal SPR dan JPN membisu

KOTA BHARU – Pas menganggap pendaftaran penduduk tetap (PR) sebagai pemilih baru sebagai konspirasi membahayakan negara kerana mereka didaftarkan tanpa mengira latar belakang.

Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Husam Musa berkata, tindakan itu seakan-akan menjual negara untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya.

“Akhir-akhir ini Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengakui hampir 100,000 didaftarkan sebagai warganegara selepas kita mengeluarkan senarai tersebut walaupun sebelum ini mereka menafikannya.

“Kita hairan bagaimana mereka ini begitu cepat pula didaftarkan sebagai pengundi, ini bermakna ada sindiket mengaturnya,” katanya.

Husam berkata, tindakan itu cukup berbahaya kerana warga asing yang didaftarkan tanpa tapisan dan sesetengahnya daripada mereka mungkin mempunyai rekod jenayah dan tidak fasih bahasa Melayu.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini mendesak diadakan sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan isu penduduk tetap yang memegang MyPR merah didaftar sebagai pemilih baru yang didakwa dilakukan secara terdesak oleh pimpinan tertinggi negara dengan kerjasama JPN dan SPR.

JPN katanya, sepatutnya memberi pecahan mengikut negara bagi membolehkan rakyat mengetahui jumlah warga asing yang didaftarkan mengikut negara.

“Sepatutnya perkara ini dibantah seluruh rakyat negara ini kerana ia cukup berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini semalam.

Ketika ditanya mengenai isu gereja katanya, Pas membuat keputusan untuk mendapat maklumat daripada semua pihak termasuk gereja dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Katanya, jika benar ada usaha mengkristiankan orang Islam di gereja terbabit, Pas tetap membantahnya.

“Kita mampu menangani isu ini secara matang, tanpa provokasi dan sentimen, kita jumpa kedua-dua pihak ini kerana kita tidak mahu ada usaha mempolitikkan isu sehingga menyusahkan masyarakat,” katanya.-SH

Rusuhan ancam permulaan Liga Perdana


KEADAAN TIDAK TERKAWAL: Anggota polis Britain cuba mengawal keadaan selepas para perusuh mencetuskan huru-hara di Hackney, di timur London dengan membakar bangunan dan kenderaan dan menjarah. -- Foto AP


LIGA PERDANA ENGLAND
Pemain Spurs gesa perlawanan pembukaan dibatalkan LONDON: Buat julung-julung kali dalam sejarah bola sepak England, tirai pembukaan Liga Perdana yang akan bermula Sabtu ini berada dalam kedudukan bahaya.Ini menyusuli rusuhan yang melanda terutama di London dan ia menjejas keselamatan dan nyawa setiap pihak - pemain, pegawai, peminat, penduduk dan anggota pasukan keselamatan.Selepas perlawanan persahabatan antarabangsa antara England dengan Belanda yang seharusnya berlangsung di Wembley kelmarin dibatalkan, para pegawai kanan Liga Perdana kini sedang memerah otak untuk memutuskan apakah langkah terbaik yang perlu diambil bagi perlawanan yang melibatkan tiga kelab utama.Jelasnya ia pasti terjejas dan perlu ditunda.Pertarungan tiga kelab berkenaan yang akan bermula 3 petang (waktu tempatan), bakal menyeret tugas para pegawai polis London ke tahap yang tidak diketahui selepas mereka terpaksa bertungkus lumus mengatasi suasana rusuhan dan penjarahan yang belum pernah disaksikan di ibu kota tersebut.Namun, pihak pengurus Liga Perdana England mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mempunyai alasan untuk menunda perlawanan di luar London kerana yakin keadaan tidak akan terjejas.Bagaimanapun, sebaik sahaja kenyataan ringkas itu dikeluarkan lewat malam kelmarin, rusuhan merebak di West Bromwich di mana Manchester United akan beraksi Ahad ini.Pada masa yang sama, barisan bintang-bintang Tottenham pula menggesa agar pertemuan mereka dengan Everton dalam perlawanan pembukaan dibatalkan.Younes Kaboul dan Rafael van der Vaart menegaskan bahawa pihak berkuasa bola sepak harus mempertimbangkan dengan wajar selepas tercetusnya huru-hara yang berlaku di kawasan kediaman mereka.Benoit Assou-Ekotto pula menyelar tindakan samseng yang merusuh dan kini mampu menggugat perlawanan bola sepak bagi permulaan musim 2011-2012.Hasrat muka baru Queens Park Rangers itu untuk beraksi buat kali pertama selepas dinaikkan ke Liga Perdana menentang Bolton mungkin tidak menjadi kenyataan.Rusuhan mula meletus di White Hart Lane pada hujung minggu lalu, selepas penduduk setempat, Mark Duggan, ditembak mati oleh polis.Ini disusuli kejadian membakar bangunan dan kenderaan. Beberapa kedai turut dijarah.Kaboul, pemain antarabangsa Perancis, jelas bimbang dan berkata: 'Saya benar-benar terkejut dengan apa yang berlaku di Tottenham.'Kami tidak pasti sama ada akan dapat bermain Sabtu ini kerana rusuhan kini merebak serata London. Ia kelihatan serius. Jika keadaan terlalu berbahaya adalah lebih baik ditunda sahaja perlawanan demi keselamatan setiap peminat.Ia juga cukup membuat para pemain sakit hati lebih-lebih lagi ia perlawanan pertama musim ini. Tetapi anda harus memberikan keutamaan kepada keselamatan orang ramai lebih daripada segala-galanya.' - The Sun.cyberita

Majlis gereja wujud unsur syak




Inilah Gereja Methodist di Damansara Utama, Petaling Jaya, yang diperiksa oleh Jabatan Agama Islam Selangor berdasarkan bukti terdapat unsur untuk memurtadkan orang Islam pada satu majlis kesyukuran anjuran gereja itu, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 10 Ogos - Majlis makan malam yang dianjurkan oleh sebuah gereja di Damansara Utama, dekat sini, pada malam 3 Ogos lalu menimbulkan banyak unsur syak wasangka sehingga mendapat perhatian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis.
Selain dihadiri oleh 12 orang Islam, jemputan ke majlis itu juga dibuat secara tertutup walaupun peserta yang akan hadir adalah dalam kalangan orang bukan Islam sendiri.
Apa yang lebih menghairankan, menurut satu sumber kepada Utusan Malaysia hari ini, terdapat tiga peserta Islam yang hadir cuba dibawa keluar secara senyap menerusi pintu belakang.
"Di samping itu, nyanyian Alhamdulillah dan Allahuakbar juga dibuat di tempat yang tidak sepatutnya iaitu di gereja, manakala soalan kuiz Islam turut diberikan kepada peserta yang hadir," kata sumber tersebut.
Sumber itu mendakwa lagi, penganjuran majlis tersebut juga disyaki bertujuan menarik orang Islam kerana terdapat ciri-ciri tarikan seperti bunga manggar yang diletakkan di pintu masuk dewan.
Pakaian oleh orang bukan Islam pada majlis itu pula katanya, adalah baju kebaya dan baju kurung selain terdapat cebisan soalan kuiz yang dikoyakkan oleh penganjur.
"Malah, majlis itu juga diadakan di premis Kristian dan seorang peserta yang ditanya secara lisan oleh pegawai penguat kuasa berhubung agamanya hanya memberikan jawapan I believe in God (saya percayakan Tuhan)," jelasnya.
Kata sumber itu, pemeriksaan ke atas gereja tersebut bermula hasil maklumat orang awam yang mendakwa adanya jemputan terhadap beberapa orang Islam ke majlis berbuka puasa yang dinamakan Thanksgiving dinner program di gereja berkenaan.
Bertindak daripada maklumat itu, JAIS katanya, melakukan pemeriksaan berdasarkan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1955 iaitu menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.
"Operasi itu disertai oleh 13 pegawai penguat kuasa agama JAIS dengan dibantu oleh sepasukan 20 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Sea Park,'' katanya.
Sumber itu turut menjelaskan dengan terperinci bagaimana operasi pemeriksaan tersebut dijalankan dengan satu taklimat telah dibuat di pejabat JAIS pada pukul 8.40 malam pada hari kejadian.
Pasukan itu kemudiannya, katanya, bergerak ke gereja berkenaan dan tiba pada pukul 9.30 malam sebelum memasuki Dewan 3 yang memuatkan kira-kira 100 orang 15 minit kemudian.
Menurutnya lagi, semasa pemeriksaan, seorang pemuda sedang memberikan ucapan di pentas utama berhadapan dengan tetamu yang hadir.
"Pasukan pegawai penguat kuasa JAIS dan polis didatangi oleh seorang wanita yang memakai tag bernama 'Sofea' dan meminta supaya perbincangan dilakukan di luar dewan.
"Pasukan itu yang telah memasuki dewan juga diminta keluar sambil diberi arahan untuk menghormati majlis tersebut kerana dihadiri oleh beberapa orang kenamaan,'' katanya.
Menurut sumber itu lagi, pegawai pemeriksa turut meminta buku pendaftaran peserta program untuk melihat kehadiran orang Islam pada majlis tersebut yang mana pada awalnya, pihak penganjur memberitahu tiada orang Islam yang hadir.
Maklumat pendaftaran itu bagaimanapun katanya, berjaya diperoleh tanpa kerjasama daripada penganjur termasuk aturcara program yang mengandungi acara nyanyian 'Alhamdulillah dan Allahuakbar'.
Apa yang dinyatakan oleh sumber itu turut didedahkan beberapa blog termasuk Gerakan Anti PKR di http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com menerusi entri bertajuk "Eksklusif: 12 Melayu di Gereja MCDC didedahkan!! Sebarkan" seperti yang tersiar hari ini.
Malah, blog berkenaan turut memuatkan nama kesemua 12 orang Melayu yang hadir ke gereja itu selain aturcara program dan borang kuiz Islam yang disyaki diedarkan kepada peserta yang hadir.

Anak perempuan Schwarzenegger mahu tukar nama



Katherine Schwarzenegger


LOS ANGELES 10 Ogos - Anak perempuan sulung pelakon Arnold Schwarzenegger mempertimbangkan untuk menukar nama keluarganya kerana menganggap ia terlalu gah untuk dikaitkan dengan dirinya.
Katherine, 21, membuat pertimbangan tersebut apabila memasuki kolej kelak.
"Saya terfikir untuk menukar nama keluarga kerana mahu keluar bersama lelaki.
"Menggunakan nama Schwarzenegger setiap hari sebagai nama akhir membuatkan saya terlampau memikirkannya," katanya kepada Harper's Bazaar.
Katanya, setiap lelaki yang berminat dengan sukan bina badan akan menyebut nama bapanya setelah mereka mengetahui nama akhirnya.
"Saya berasa seperti mereka sebenarnya mahu keluar bersama Arnold dan bukannya saya," ujarnya.
Walaupun kini bapa dan ibunya, Maria Shriver berdepan dengan masalah keretakan rumah tangga, Katherine tetap berterima kasih kepada mereka kerana membesarkan dia serta adik beradiknya, Christina, 19; Patrick, 17 dan Christopher, 13.
"Saya percaya semua yang berlaku kini mempunyai sebab yang tersendiri dan akan memahaminya apabila semuanya selesai," katanya. - AGENSI, utusan

Malini Rais, Raja Badrul Hisham sah bercerai talak satu

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Anak perempuan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Malini Rais hari ini sah bercerai dengan suaminya, Dr. Raja Badrul Hisham Raja Zezeman dengan lafaz talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini. Perkahwinan pasangan itu yang telah mendirikan rumahtangga sejak 11 tahun lalu menemui titik penyudah apabila ungkapan cerai tersebut dilafazkan oleh Raja Badrul Hisham, 43, di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Basyir Yakub. Mahkamah dengan itu memerintahkan supaya Malini menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula hari ini. Malini, 33, yang mengenakan baju kurung bercorak bunga dan bertudung warna hijau hadir ke mahkamah dengan ditemani beberapa ahli keluarganya termasuk ibunya, Datin Seri Masnah Rais, kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung. Ibu kepada tiga anak itu selaku plaintif yang diwakili peguam syarie, Zukifli Che Yong memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Raja Badrul Hisham pada 27 Julai lalu. Dalam writ saman permohonan cerai itu, Malini mendakwa, Raja Badrul Hisham yang tidak diwakili peguam syarie, telah enam tahun bernikah dengan wanita lain tanpa pengetahuannya. Plaintif dalam permohonannya juga menyatakan, cuba mempertahankan perkahwinan yang dibina sejak 27 Jun 2000 walaupun telah lama mendengar desas-desus tentang perkahwinan suaminya itu. Malini juga mendakwa hasil pernikahan Badrul dengan wanita itu, pasangan tersebut telah dikurniakan dua cahaya mata.utusan

Sedia guna meriam air



SEORANG perusuh berjalan di hadapan halangan jalan raya yang dibakar di kawasan Toxteth di Liverpool, kelmarin. Kira-kira 200 belia dilaporkan membaling objek ke arah polis di kawasan tersebut. – AP


LONDON 10 Ogos – Perdana Menteri David Cameron berikrar akan mengakhiri keganasan ‘jelik’ yang berlaku di negara itu dan membayangkan kesediaan menggunakan meriam air buat pertama kalinya terhadap perusuh.
“Kita perlu melawan balik dan ia telah bermula,’’ katanya selepas mesyuarat krisis Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan (Cobra) hari ini.
Beliau berkata, pelan kecemasan tersedia untuk menggunakan meriam air dengan notis 24 jam. Penggunaannya akan pertama kali di tanah air British.
‘‘Keganasan yang berlarutan ini harus dihentikan. Kita tidak akan benarkan budaya ketakutan wujud di jalan-jalan kita,’’ katanya. – dpa, utusan

China uji kapal perang pengangkut



GAMBAR bertarikh 5 Ogos lalu menunjukkan kapal perang pengangkut pesawat China, sedang dalam proses penambahbaikan di pelabuhan Dalian, provinsi Liaoning province. Semalam, ia dilaporkan memulakan ujian pelayaran di laut. - AP


BEIJING 10 Ogos - Kapal perang pengangkut pertama China memulakan ujian di laut hari ini, dalam satu langkah yang boleh menimbulkan kebimbangan berhubung cita-cita negara itu berkenaan perselisihan wilayah maritim di Laut China Selatan.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kapal tersebut meninggalkan pelabuhan Dalian di timur laut wilayah Liaoning awal hari ini.
Laporan Xinhua yang memetik sumber ketenteraan itu menyatakan, ujian tersebut dilaksanakan mengikut jadual pembinaan semula kapal tersebut yang dibeli China dari Ukraine lebih 10 tahun lalu.
China dua minggu lalu secara rasmi mengakui ia sedang membina semula kapal pengangkut itu yang akan digunakan untuk penyelidikan dan latihan, satu isyarat kuat yang menekankan rancangan negara komunis ini untuk membina sendiri kapal pengangkutnya.
Hasrat China untuk membina kapal tersebut mencetuskan kebimbangan negara-negara jiran di sebalik ketegangan tuntutan wilayah maritim di sekitar Taiwan dan Laut China Selatan.
China sejak beberapa tahun lalu dilihat sengaja menyemarakkan isu tuntutan wilayah maritim dengan Jepun, Filipina dan Vietnam yang menyaksikan hubungannya tegang dengan Korea Selatan.
Isu itu kemudian dikemukakan China kepada Washington bagi mendapat sokongan.
Xinhua melaporkan, kerja-kerja menguji serta membaik pulih kapal itu akan diteruskan sebaik ia pulang daripada menjalani ujian pendek tersebut.
Kapal pengangkut Varyag, yang masih belum dinamakan secara rasmi ditunda dari Ukraine tanpa enjin, sistem senjata atau kelengkapan penting lain.
Pakar pertahanan berkata, China berhasrat membina empat buah kapal pengangkut, yang mana perancangannya kini sedang giat dilakukan di limbungan Shanghai. - Agensi, utusan

Tukang kebun minta polis bebas anak

IPOH 10 Ogos - Seorang tukang kebun, R. Poonga hari ini meminta polis membebaskan anaknya P. Manivanan, 20, yang ditahan polis tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat (EO), sejak Mei lalu. Poonga, 57, berkata, anaknya ditahan kerana didakwa terbabit dalam kes jenayah. "Malah, anak saya mendakwa dia dipukul dengan wayar semasa dalam tahanan polis walaupun dia tidak melakukan jenayah," katanya pada sidang akhbar di luar bangunan Ibu Pejabat Polis (IPK) Perak di sini, hari ini. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa menghadiri protes bersama-sama Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. D. Jeyakumar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang dan ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai. Kira-kira 30 orang mengadakan protes secara aman mengenai EO di luar bangunan IPK di sini pukul 9.15 pagi hingga pukul 10.30 pagi. Manivanan ditahan pada 7 Mei lalu pukul 4.30 petang di sebuah rumah sewa di Tanjung Malim dan ditahan di Balai Polis Slim River. Pada 6 Julai lalu, Manivanan ditahan tanpa bicara pula di bawah EO. Poonga dari Chemor berkata, walaupun dia tidak melihat kesan kecederaan yang dialami anaknya itu tetapi tindakan polis memukul anaknya dengan wayar adalah tidak wajar.utusan

Kanak-kanak hidap sakit jantung rayu bantuan



PU Cheng Hong menunjukkan parut kesan pembedahan jantung di dada Claire Wong sambil diperhatikan Sebastian Ting di Miri, baru-baru ini.


MIRI 10 Ogos - Sekali pandang, Claire Wong, kanak-kanak berusia 18 bulan kelihatan sihat dan normal, namun tiada siapa yang menduga dia sebenarnya mengalami masalah jantung.
Menurut ibunya, Pu Cheng Hong, Claire disahkan menghadapi masalah kedudukan jantung tidak normal, iaitu mengarah ke kanan bukannya seperti biasa ke arah kiri.
''Pihak hospital memeriksa dan mengesahkan anak saya mengalami jantung yang tidak normal semasa dia berusia empat bulan.
''Ketika itu, dia diserang demam yang teruk sehingga jari telunjuknya bertukar warna hitam dan dirujuk ke hospital pakar di Kuala Lumpur," katanya kepada Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, kelmarin.
Cheng Hong yang tinggal di Taman Tunku memaklumkan masalah yang dihadapi anaknya itu ketika menemui Naib Presiden SUPP cawangan Piasau, Datuk Sebastian Ting dan Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan SUPP, Koh Ek Chong.
Bapa Claire, Wong Seng Chong pula tidak dapat menghadirkan diri pada pertemuan berkenaan kerana bekerja sebagai tukang masak di Teluk Intan, Perak.
Chen Hong berkata, selepas disahkan mengalami masalah jantung, Claire dirujuk ke pakar perubatan di Beijing, China dan kemudiannya menjalani pembedahan dengan kos sebanyak RM50,000 pada 9 Jun lalu.
''Claire dijangka menjalani pembedahan kali kedua di Bejing pada Oktober ini membabitkan kos RM75,000.
''Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak mampu kerana suami saya hanya bekerja sebagai tukang masak dengan gaji yang tidak seberapa manakala saya sendiri tidak bekerja kerana menjaga Claire dan abangnya Eric," ujarnya.
Justeru, Chen Hong merayu orang ramai dan badan korporat supaya menghulurkan bantuan bagi memboleh Claire menjalani pembedahan menerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam SUPP cawangan Piasau atau menghubungi talian 085-423399 untuk maklumat lanjut.-utusan

Anak Muammar Gaddafi `mati hidup kembali’

TRIPOLI 10 Ogos - Anak lelaki pemimpin Libya Muammar Gaddafi, Khamis yang dilaporkan terbunuh sebelum ini dilihat di dalam siaran video televisyen tempatan, hari ini. Stesen televisyen menunjukkan video anak lelaki bongsu Gaddafi yang berusia 28 tahun itu beruniform ketika melawat mangsa pengeboman Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di dalam hospital, semalam. Ia merupakan kali pertama komander yang ditakuti itu dilihat umum sejak serangan NATO di pusat operasi di Zilton yang membunuh 32 orang pada 5 Ogos yang didakwa turut meragut nyawa Khamis. - AFP, utusan

Makan malam mencurigakan

Majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya, pada malam 3 Ogos lalu menimbulkan banyak unsur syak wasangka sehingga menarik perhatian JAIS dan polis. Menurut satu sumber, selain dihadiri 12 orang Islam, jemputan ke majlis itu dibuat secara tertutup walaupun pesertanya di kalangan orang bukan Islam. Lebih menghairankan, tiga peserta Islam cuba dibawa keluar menerusi pintu belakang, menyanyikan lagu Alhamdulillah dan Allahuakbar, serta soalan kuiz Islam turut diberikan kepada peserta. Penganjuran majlis itu juga disyaki untuk menarik minat orang Islam kerana mempamerkan ciri-ciri seperti bunga manggar di pintu masuk dewan, peserta bukan Islam memakai baju kebaya dan kurung. Beberapa blog termasuk Gerakan Anti PKR di http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com menerusi entri bertajuk Eksklusif: 12 Melayu di Gereja MCDC didedahkan!! Sebarkan turut mendedahkan perkara sama.utusan

‘Kami dah puas menangis’

SUNGAI MANIK: “Sudah tiga Aidilfitri berlalu, namun anak kami terus terlantar di atas katil,” kata Noriza Sabar, 37, ibu kepada Syamsul Hazriq Baharudin, 16, yang lumpuh selepas dipanah petir empat tahun lalu. Kejadian ketika mangsa bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku, di sini, kira-kira jam 5 petang, 29 Januari 2008 itu menyebabkan anak ketiga daripada enam beradik dikejarkan ke hospital. Kemalangan ketika mangsa berusia 12 tahun itu menyebabkan mangsa terlantar di atas katil kerana sukar bergerak dan tidak boleh bercakap. “Sejak Syamsul ditimpa musibah itu sambutan Aidilfitri kami sekeluarga disambut ala kadar saja. “Kami tidak boleh berkongsi kegembiraan menyambut lebaran kerana tidak sampai hati melihat dia terus terlantar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lot 1214, Parit 3A, Sungai Manik, di sini, semalam. Noriza yang ditemani suaminya, Baharuddin Baharan, 48, berkata, anaknya perlu disuapkan bubur dan hanya minum susu tepung untuk membolehkannya terus bernafas. Katanya, walaupun doktor pakar termasuk dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan anaknya mengalami lemah saraf otak dan tiada harapan sembuh, namun dia dan suami masih mengharapkan anak mereka pulih. “Sebagai ibu, saya berdoa setiap kali selepas solat lima waktu memohon kepada Tuhan supaya anak kami sekurang-kurangnya boleh bergerak dan makan sendiri,” katanya. Sementara itu, Baharuddin yang mengusahakan bengkel cuci kereta di hadapan rumah dengan pendapatan RM700 sebulan berkata, anaknya dulu seorang pelajar cergas, periang dan dilantik sebagai ketua pasukan bola sepak sekolah. “Cita-citanya memimpin skuad bola sepak sekolahnya ke peringkat negeri berkecai apabila musibah itu berlaku. “Kami suami isteri sudah puas menangis, namun reda menerima ujian Ilahi,” katanya. Baharuddin berkata, anaknya menerima bantuan perlindungan Takaful bernilai RM15,000 sumbangan Jabatan Pelajaran Perak selain menerima bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM600 sebulan dari Baitulmal untuk menguruskan anak mereka termasuk membeli lampin pakai buang. Orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga itu boleh menghubungi Baharuddin menerusi talian 013-5761280.hmetro

Amy jadi pelaris dadah

RIO DE JENEIRO: Satu kumpulan pengedar dadah memasukkan gambar penyanyi British, mendiang Amy Winehouse dalam beg dadah kecil untuk meningkatkan jualan, kata polis Brazil, semalam. Beg plastik kecil itu mengandungi gambar penyanyi bermasalah yang mati di rumahnya di London pada 23 Julai lalu. Digambar itu juga tertera nama “Amy House”. Beg yang berisi kokain itu dijual dengan harga antara 10 dan 25 reals (kira-kira RM18-48), kata Leftenan Kolonel Glaucio Moreira yang mengetuai pasukan polis yang membuat serbuan di bandar Manginhos, satu kawasan setinggan di sini. “Pengedar dadah mengambil kesempatan ke atas cerita Amy, seorang penagih dadah yang banyak dipaparkan di media untuk melariskan jualan dadah mereka,” kata Glaucio. Polis juga menemui beg berisi ganja dan kokain yang dijadikan rokok. Sebahagiannya mempunyai gambar ketua kumpulan Al-Qaedah yang telah dibunuh, Osama bin Laden. - AFPhmetro

Tuduhan ke atas ‘jutawan segera’ New Zealand dikurang

WELLINGTON: Pendakwaraya telah mengurangkan dakwaan ke atas seorang wanita yang dikatakan melarikan diri bersama pasangannya dari New Zealand, setelah bank tersalah memasukkan wang berjuta dollar ke dalam akaunnya. Polis menuduh Kara Hurring dan pasangannya Hui (Leo) Gao melarikan diri ke China apabila bank Wetpac tersalah masukkan wang NZ$10 juta (RM25 juta) ke dalam akaunnya pada April 2009 selepas dia memohon overdraf sebanyak NZ$100,000 (RM251,278). Pihak bank menyedari kesilapan itu selepas beberapa hari tetapi sejumlah NZ$6.78 (RM17 juta) sudah dipindahkan ke akaun lain dan pasangan itu telah melarikan ke negara lain. Kara, 32 tahun ditahan setelah pulang ke New Zealand 25 Febuari. Dia didakwa men curi RM17 juta dan menghadapi lapan tuduhan kegiatan pengubahan wang haram. Menurut polis, dakwaan yang asal telah ditalik balik dan ditukar dengan satu dakwaan mencuri NZ$11,000 (RM 27,598) dan dua dakwaan kegiatan pengubahan wang haram melibatkan HK$1.5 juta (RM 577,248) di Macau. Polis tidak memberitahu kenapa dakwaan itu dikurangkan tetapi menegaskan ia kekal serius. “Kes ini sangat kompleks kerana ia melibatkan siasatan antarabangsa dan kami masih lagi menjalankan siasatan ini,” kata Detektif senior sarjan Mark Loper. Kata Mark, polis masih lagi mencari Hui. Media melaporkan Hui dipercayai masih berada di Guangdong, di selatan China. Kara dikatakan berpisah dengan Hui tahun lepas selepas bergaduh besar fasal judi di Macau. Dia kemudian menelefon polis New Zealand untuk pulang. -AFP hmetro

Perusuh serang balai polis Nottingham dengan bom api

LONDON: Sekumpulan 40 perusuh menyerang balai polis di Nottingham dengan bom api semalam, tetapi tiada kecederaan dilaporkan. Polis berkata, Balai Polis Canning Circus (di tengah Nottingham) diserang sekumpulan 30 hingga 40 lelaki tetapi tiada kecederaan setakat ini. Melalui mesej Twitter kemudian, polis berkata, api dapat dipadamkan dan lapan orang ditahan. Serangan itu berlaku pada malam keempat rusuhan di Britain. Ia tercetus di London pada hujung minggu lalu tetapi kini merebak ke bahagian lain Britain. - AFP
hmetro

Penduduk bekerjasama kawal keselamatan komuniti

LONDON: Beratus-ratus penduduk London turun ke jalan raya semalam bagi melindungi komuniti mereka daripada menjadi mangsa penjarah. Ratusan komuniti Sikh, termasuk sesetengahnya memakai pakaian tradisional, berkumpul di luar gurdwara di Southall, barat London, selepas tersebar khabar angin pusat ibadat itu bakal menjadi sasaran perusuh. Mereka menyusun giliran berkawal dan memantau stesen kereta api bagi mengesan kedatangan pengacau. Di Enfield, utara London, kira-kira 200 penduduk tempatan berkumpul di kawasan mereka bagi “melindungi jalanan” daripada diceroboh. Rakaman video amatur menunjukkan 100 orang berkumpul melaungkan kata-kata “England! England”. Sebelum itu, mereka terbabit dalam pergaduhan dengan sekumpulan pemuda bersenjata kayu hoki tetapi keadaan berjaya ditenangkan kemudian. Ratusan yang lain pula berkumpul di pinggir Eltham yang turut didakwa bakal menjadi sasaran perusuh. Seorang daripada penduduk di situ berkata, Eltham adalah kawasan kediaman penduduk kelas pertengahan. “Kami berkumpul untuk melindungi komuniti di sini dan membantu polis,” katanya. Pekedai di utara London - kebanyakannya keturunan Turki - berkawal di luar premis masing-masing sehingga awal pagi sambil membawa senjata. - AFP
hmetro

Cameron ikrar kembalikan keamanan

LONDON: Perdana Menteri Britain, David Cameron, berkata kerajaan tidak akan membiarkan “budaya ketakutan” menguasai jalanan negara itu dan polis menyediakan pelan sokongan bagi menangani rusuhan, jika perlu. “Kerajaan akan melakukan apa yang termampu bagi mengembalikan keamanan di jalanan kita. Tiada satu kemungkinan pun diketepikan, termasuk menggunakan meriam air yang selama ini tidak pernah digunakan di England,” katanya. Istilah “budaya ketakutan” adalah ungkapan digunakan kebanyakan cendekiawan, ahli politik dan wartawan bagi merujuk kepada tindakan sesetengah pihak mencetuskan kekacauan bagi mencapai objektif politik mereka. - AP-hmetro

Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: Rombongan tinjau lokasi bukti

MOHD ISHAK menunjukkan lokasi bahan bukti kes pembunuhan Sosilawati kepada peguam, Pushpa Ratnam   dan Amer Hamzah(kanan), di Banting, semalam.
MOHD ISHAK menunjukkan lokasi bahan bukti kes pembunuhan Sosilawati kepada peguam, Pushpa Ratnam dan Amer Hamzah(kanan), di Banting, semalam.
18 kenderaan berkonvoi lawat Sungai Arak, tiga tempat di Subang Jaya
 




SHAH ALAM: Pihak yang terbabit dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga rakannya, semalam melawat lokasi penemuan bahan bukti di Sungai Arak di Jalan Sungai Arak, Banting dan tiga lokasi di Subang Jaya, dekat sini.

Rombongan yang disertai Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir, pihak pendakwaan, pihak pembelaan, pegawai penyiasat kes, keempat-empat tertuduh kes itu dan pihak media dengan diiringi anggota dan pegawai polis.
Mereka meninggalkan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 9.20 pagi semalam dan menuju ke Sungai Arak untuk melihat lokasi bahan bukti iaitu kayu yang terbakar ditemui. 

Sebanyak 18 kenderaan termasuk kereta Proton Perdana yang dinaiki Akhtar, kereta peronda polis, kereta peguam dan timbalan pendakwa raya, trak polis yang membawa tertuduh dan petugas media berkonvoi ke lokasi dengan diiringi polis trafik yang membantu melancarkan perjalanan. 

Pada jam 10.05 pagi, rombongan itu tiba di lokasi berkenaan yang terletak dua kilometer dari jalan utama. Malah, lokasi yang dikelilingi kebun kelapa sawit itu agak terpencil kerana rumah penduduk terdekat kira-kira 500 meter dan rombongan berkenaan perlu melalui jalan kampung bertar untuk sampai ke situ. 

Pegawai Penyiasat, Mohd Ishak Yaakob dilihat memberi penerangan dan menunjukkan lokasi penemuan kepada Akhtar, pihak pendakwaan dan pembelaan manakala keempat-empat tertuduh, bekas peguam N Pathmanabhan, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan berdiri berdekatan. 
Sebelum itu, kumpulan berkenaan terpaksa menunggu peguam Manjeet Singh Dhillon, Gurbachan Singh dan Amer Hamzah Arshad yang tersesat ketika mencari lokasi berkenaan. 

Rombongan itu kemudian meninggalkan lokasi pada jam 10.30 pagi menuju ke tempat letak kereta di Flet Angsana di USJ 1, Subang Jaya iaitu lokasi penemuan kereta BMW X5 yang bernombor pendaftaran, WTL11 dan tiba di sana jam 11.20 pagi. 

Mereka meninjau lokasi berkenaan kira-kira 10 minit sebelum ke lokasi berdekatan yang terletak kira-kira 100 meter dari Flet Angsana, iaitu kawasan longkang di mana kunci kereta BMW X5 itu ditemui. 

Selepas berada di kawasan itu beberapa minit, rombongan berkenaan ke lokasi terakhir iaitu di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, Subang Jaya, iaitu lokasi tempat penemuan kereta jenis BMW bernombor pendaftaran AAJ5, milik peguam Ahmad Kamil Abd Karim, di hadapan deretan rumah dan di seberang jalan dengan Hotel Grand Dorsett Subang serta berdekatan Pusat Perubatan Sime Darby. 

Rombongan itu tiba di kawasan berkenaan pada jam 11.45 pagi dan menghabiskan masa lima minit untuk meninjau keadaan di sekitar kawasan berkenaan. bharian

Anwar dibenar hadir ketika temu bual 15 saksi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan hadir sama ketika peguam beliau menemu bual 15 saksi, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi pembelaan kes liwat yang sedang dihadapinya, tetapi tidak boleh turut serta dalam temubual itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang membuat keputusan itu dalam kamar semalam, memutuskan Anwar mempunyai hak untuk hadir sama pada sesi temu bual berkenaan selepas mendengar hujah dikemukakan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hanafiah Zakaria dan peguam Karpal Singh mewakili Anwar.

Karpal ketika ditemui pemberita berkata, dengan keputusan itu semua saksi yang dikehendaki oleh pihak pembelaan untuk ditemu bual perlu hadir ke mahkamah.
Semua saksi yang dikehendaki oleh pihak pembelaan untuk ditemu bual perlu hadir ke mahkamah - Karpal Singh, Peguam
Beliau berkata, anak guamnya akan hadir sama kerana beliau mempunyai hak untuk mendengar temu bual itu dan pegawai penyiasat kes akan membantu pihaknya mengendalikan prosiding berkenaan. 

Katanya, saksi Dr Suresh Naidu, Nik Mahmood Nik Hassan, Datuk Nik Mohd Sidek Nik Abu Bakar, Raymond Yeoh Cheng Seong, Datuk Dr Jayaindran Sinnadorai, Prof Datuk Dr Mohamad Ariff Abdul Kareem dan Omar Malek Ali Marican yang perlu ditemu bual oleh pihaknya sudah berada di mahkamah semalam.

Pihak pendakwaan dan pembelaan memohon perintah sama ada Anwar boleh menghadiri sesi temu bual saksi bagi pihak pembelaan selepas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof membantah kehadiran Anwar ketika temu bual itu kelmarin.

Pihak pendakwaan membantah kehadiran Anwar dalam sesi temu bual dengan alasan beliau berupaya menakut-nakutkan saksi dan boleh menyuruh mereka menyatakan apa yang dikehendakinya ketika saksi berkenaan. 
Selain itu, kejadian lalu dalam mahkamah ketika pihak pendakwaan mengemukakan saksi mereka dalam kes liwat itu menunjukkan peguam Anwar tidak mampu mengawal anak guam mereka.

Pada 16 Mei lalu, Anwar diperintahkan membela diri atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan selepas mahkamah memutuskan Mohd Saiful, iaitu pengadu kes adalah saksi yang bercakap benar dan berwibawa. Anwar dijadualkan membela diri pada Isnin depan.bharian

Tujuh negeri ikut jejak Pusat beri bonus RM500





2011/08/11

Guru al-Quran, Fardu Ain di Melaka dapat manfaat 

KUALA LUMPUR: Tujuh negeri iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Terengganu, Kelantan dan Selangor mengikut langkah Kerajaan Pusat dengan membayar bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri.
Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta untuk membayar bonus kepada 16,000 kakitangan awam dan badan berkanun negeri yang akan diberikan sebelum Aidilfitri.
Di IPOH, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan seramai 7,776 kakitangan awam negeri akan menerima bonus membabitkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta. 

Di AYER KEROH, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata seramai 4,844 pegawai dan kakitangan awam negeri akan menerima bonus mereka pada 18 Ogos ini serentak dengan gaji bulan ini. 

“Pemberian bonus sebanyak RM3.2 juta yang turut meliputi guru kelas al-Quran dan Fardu Ain, adalah bukti sikap prihatin dan pemurah kerajaan negeri dalam menghargai jasa kakitangan awam selain mengiktiraf sumbangan mereka terhadap pembangunan Melaka,” katanya. 

Di SEREMBAN, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata lebih 4,000 kakitangan awam termasuk agensi kerajaan negeri akan menerima bonus membabitkan peruntukan sebanyak RM4.8 juta. 
Di KUANTAN, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kerajaan negeri akan membayar bonus kepada 12,570 kakitangan negerinya pada pertengahan bulan ini. 

Di KOTA BHARU, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata kira-kira 6,000 kakitangan awam akan menikmati bonus yang dijangka membabitkan peruntukan RM5 juta. 

Di SHAH ALAM, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mengumumkan mengikut langkah Kerajaan Pusat membayar bonus setengah bulan gaji dan menarik balik keputusannya pada 3 Ogos lalu untuk memberi bonus RM500 kepada semua kakitangan Gred 54 ke bawah. 

“Ia bukan bermakna kakitangan awam negeri akan dibayar dua kali bonus, tetapi hanya memberi mereka setengah bulan gaji seperti Kerajaan Pusat,” katanya. bharian

Tsu Koon diminta fokus rampas Pulau Pinang

Bekas KM perlu diberi peluang tebus kesilapan 
BUTTERWORTH: Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkannya memfokuskan terhadap usaha merampas semula negeri ini daripada pakatan pembangkang.

Seorang pemimpin Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, berkata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu diberikan peluang bagi menebus kesilapannya pada Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan pakatan pembangkang menawan negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, Tsu Koon perlu meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan tinggal sepenuh masa di Pulau Pinang bagi menumpukan segala usaha untuk menyelesai-kan masalah rakyat serta menjadi wakil pembangkang lebih berkesan. 

“Bila beliau melakukan usaha seumpama itu, barulah rakyat dapat melihat kesungguhannya membantu mereka dan menerimanya kembali, sekali gus memberi sokongan kepada BN. Sekarang mereka tidak melihat apa-apa (usaha) daripada Tsu Koon yang menyebabkan sentimen tidak sukakannya semakin memuncak. 

“Beliau sepatutnya menjadi seorang wira kepada rakyat Pulau Pinang dengan memperjuangkan isu rakyat, sekiranya mahu BN merampas semula pentadbiran negeri. Memanglah pada peringkat awal pelbagai kritikan akan diterima, tetapi lambat laun ia akan berubah kepada sokongan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Semalam, akhbar ini melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, bahawa Tsu Koon dianggap sebagai liabiliti kepada BN untuk merampas semula Pulau Pinang berikutan rasa tidak puas hati terhadapnya semakin memuncak. 
Tee Beng dipetik sebagai berkata, sentimen ‘anti’ terhadap 
Tsu Koon dilihat semakin menebal di kalangan rakyat yang menyebabkan mereka tidak mempunyai alternatif, selain memilih pakatan pembangkang untuk terus memerintah negeri ini. 

Mengulas lanjut, pemimpin pemuda BN itu berkata, keadaan BN Pulau Pinang kini dilihat sama seperti sebelum PRU 2008 iaitu terlalu selesa dan masih menganggap diri mereka sebagai kerajaan, bukan pembangkang. 

“Tiada strategi khusus dirangka BN Pulau Pinang yang diketuai Tsu Koon dan maklumat pula tidak disampaikan kepada akar umbi yang menyebabkan mereka keliru kerana tidak mengetahui apa-apa tindakan,” katanya. bharian

Liong Sik tak tahu urus beli tanah PKFZ

Semua perkara diputuskan Lembaga Pelabuhan Klang 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik tidak mempunyai pengetahuan mengenai urusan pembelian tanah di Pulau Indah, Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), sebaliknya semua perkara termasuk surat menyurat mengenai diputuskan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan), Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata sebagai menteri, Liong Sik akan bertindak mengikut nasihatnya atau pegawai terbabit dalam projek itu serta tidak pernah menolak pandangan dan keputusan mereka.
Menjawab soalan peguam Liong Sik, Wong Kian Keong ketika sesi pemeriksaan balas, terma pembiayaan tanah untuk projek itu adalah berdasarkan kepada penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan tertuduh turut merujuk kepada dokumen disediakan, saksi itu bersetuju. 

Beliau turut memaklumkan sepanjang perkhidmatannya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) di Kementerian Pengangkutan, tiada sebarang nota diberikan berhubung urusan perjanjian jual beli tanah antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan LPK yang tidak mengikut penilaian JPPH. 

Malah, katanya, dalam minit mesyuarat pada 15 November 2002 juga dimaklumkan tiada bantahan dikemukakan daripada wakil Kementerian Kewangan berhubung perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK yang tidak mengikut penilaian JPPH. 

"Wakil Kementerian Kewangan (yang menghadiri mesyuarat) tidak bantah," katanya. 
Beliau berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dalam perbicaraan kes terhadap Liong Sik yang dituduh menipu dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ mengikut terma yang dipersetujui antara KDSB dan LPK. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat Empat, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya dan didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Saksi pendakwaan keempat itu turut memberitahu, beliau tidak pernah memberi apa-apa memo kepada Liong Sik bagi membetulkan terma persetujuan bersama KDSB yang memasukkan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus. 

Katanya, Kementerian Kewangan sedia maklum mengenai kadar faedah 7.5 peratus itu dan tahu mengenai keputusan membeli tanah seluas 400 hektar dan bukannya pengambilan balik tanah seperti diputuskan dalam mesyuarat LPK bertarikh 24 Januari 2002. 

Abdul Rahman berkata, berdasarkan minit mesyuarat LPK itu, keputusan pembelian tanah dibuat sebagai alternatif kerana projek berkenaan mengambil masa lama iaitu hampir tiga tahun sejak keputusan Jemaah Menteri, selain tiada perkembangan pendekatan pengambilan tanah oleh kerajaan. 

Saksi itu berkata, hasil kajian LPK dengan Jebel Ali Free Zone International (JAFZI) juga mendapati masa adalah kritikal untuk menjayakan projek PKFZ. 

Perbicaraan bersambung hari ini. 

Rahang patah ditumbuk perusuh

MUKHRIZ dan Noorzalina melawat Asyraf Haziq di Royal London Hospital, semalam.
MUKHRIZ dan Noorzalina melawat Asyraf Haziq di Royal London Hospital, semalam.

Pelajar Malaysia di London cerita saat cemas jadi mangsa keganasan London

LONDON: "Ini kejadian paling mencemaskan dalam hidup saya dan berlaku pantas. Saya menaiki basikal tiba-tiba dikerumuni 20 lelaki berpisau yang mahu merampas basikal. Mereka kemudian menyeluk poket seluar dan mengambil telefon bimbit.
“Mereka menumbuk di dagu dan rahang hingga berdarah. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu dan apabila tersedar, saya terduduk di kaki lima dengan mulut berdarah,” kata Asyraf Haziq Rosli, 20, yang terlantar di Royal London Hospital di sini, sementara menunggu pembedahan bagi membetulkan rahang bawahnya yang pecah dan tulang pipinya yang patah.
Banyak perkara yang tak kena dengan masyarakat apabila kita lihat orang berpura-pura membantu seorang pemuda yang cedera sedangkan sebenarnya mereka merompaknya. - David Cameron, Perdana Menteri Britain
Asyraf Haziq tidak dapat bercakap banyak kerana rahang bawahnya diikat dawai sebelum pembedahan, walaupun cuba melayani pelawat petang semalam termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK), Datuk Zakaria Sulong; Pengarah MARA, Dr Noorzalina Mohd Noor dan Pengerusi UMNO London, Dzuhair Hanafiah.

Pelajar tahun satu bidang perakaunan di Kolej Kaplan, di sini itu diserang ketika berbasikal bersama rakannya, Sheikh Muhammad Faris Jamil Azhar, 20, di Barking, timur London iaitu satu daripada tempat berlaku kekacauan untuk berbuka puasa Isnin lalu.

Asyraf Haziq berkata, penyerangnya tidak menyedari kejadian dirakamkan individu dari bangunan berdekatan dan klip video satu minit 14 saat dimuatkan dalam YouTube serta diguna stesen penyiaran di sini termasuk BBC dan Sky TV.

Beliau berkata, selepas diserang, beberapa lelaki seolah-olah cuba membantunya tetapi mencuri barangan dalam beg sandang.
Asyraf Haziq berkata, beliau enggan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya bagi mengelak mereka bimbang.

Sementara itu, 11 pelajar dipindahkan dari Barking dan Mile End. Dzuhair juga memindahkan dua pelajar wanita di Peckham ke asrama MARA di Bayswater.

Zakaria berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia, MARA dan Jabatan Pelajar Malaysia sentiasa memantau keadaan dan mengeluarkan arahan apabila perlu, memandangkan rusuhan merebak cepat. bharian

Lorrain meninggal dunia di hospital London

pix_gal0
Lor-rain Esme Osman

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Bumiputra Malaysia Finance (BMF), Lor-rain Esme Osman (atas), meninggal dunia di sebuah hospital di London dipercayai akibat kanser, Isnin lalu.

Difahamkan, Lorrain, 81, menghidap penyakit kanser sejak beberapa tahun lalu.
Mengikut laporan The Sundaily.net, Lorrain akan terus diingati kerana menjadi ‘tahanan reman paling lama di United Kingdom (UK)’ dan cubaannya mencabar perintah ekstradisi ke Hong Kong dari UK bagi menghadapi tuduhan rasuah.
Laporan itu juga berkata, Lorrain juga menjadi antara ahli perniagaan Melayu yang berjaya mendapatkan pelbagai projek hasil usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan.

BMF, subsidiari Bank Bumiputra Malaysia dalam operasinya di Hong Kong mengalami kerugian RM2.5 bilion apabila pasaran hartanah di negara itu lumpuh pada 1983. Lorrain dikaitkan dengan skandal itu yang turut mengakibatkan kejatuhan BMF.

Lorrain menetap di London selepas menjalani hukuman penjara lapan bulan di Hong Kong pada 1993 kerana kesalahan rasuah membabitkan wang BMF.

Beliau dihantar ke Hong Kong dari London selepas tujuh tahun mencabar perintah ekstradisi itu, menjadikannya tahanan reman paling lama dipenjarakan di Britain.
Lorrain dituduh meluluskan pinjaman tanpa jaminan berjumlah berjuta-juta dolar di antara 1979 hingga 1983 kepada Kumpulan Syarikat Car-rian, konglomerat hartanah dan perkapalan yang diketuai George Tan. bharian