Tuesday, January 6, 2015

Siapa perosak sebenar MAS?


2014 pasti tercatat dalam sejarah sebagai tahun paling tragis bagi Malaysia apabila tiga kemalangan berlaku membabitkan pesawat terbang negara, iaitu dua pesawat milik Sistem Penerbangan Malaysia atau MAS, dan satu pesawat milik AirAsia.

Pertama, penerbangan MAS MH370 yang hilang dalam suasana penuh misteri pada Mac 2014 tanpa kesan sehingga kini, dipercayai terhempas di Lautan Hindi. Pesawat MH370 berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal, majoriti dalam kalangan mereka, iaitu 152 warga Republik Rakyat China.

Kemalangan kedua membabitkan satu lagi pesawat MAS, iaitu MH17, yang menjadi mangsa peperangan di Ukraine, terhempas ditembak jatuh pada Julai 2014 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Tragedi MH17 meragut 298 nyawa, 240 daripada mereka warga Eropah, Australia dan New Zealand.

Pesawat AirAsia QZ8501 pula terhempas di Laut Jawa dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada Disember 2014, membabitkan 162 jiwa, 155 daripada mereka warga Indonesia.

Masa depan MAS terancam

Ketiga-tiga tragedi meragut hampir 700 nyawa, majoritinya warga beberapa negara asing; justeru menarik perhatian masyarakat antarabangsa, juga membuktikan betapa globalnya sifat bisnes hari ini.

Ketiga-tiga peristiwa pasti mencabar masa depan syarikat terbabit. Impak terhadap AirAsia memerlukan masa sebelum dapat diperincikan kesannya. Bagi MAS pula, jelas sekali kedua-dua tragedi terkesan mengancam survival masa depannya.

Tambahan pula sebelum tragedi berlaku, prestasi MAS terjejas kos operasi tinggi akibat kenaikan harga minyak bahan bakar (sebelum merudum di akhir 2014). Lagipun, tuju arah MAS sejak beberapa tahun tidak menentu. Tragedi 2014 hanya menambah tenatkan kesengsaraan MAS.

Kedudukan MAS sebelum ini membangkitkan kontroversi apabila kerajaan Malaysia menerusi Khazanah bertindak memiliknegarakan semula MAS. Kontroversi semakin bertambah setelah tragedi 2014, apabila Khazanah mengumumkan 12 langkah pemulihan. Antara strategi pemulihan ialah menyuntik RM6 bilion, menubuhkan syarikat MAS Baharu, dan membatalkan penyenaraian MAS di Bursa Malaysia. Paling kontroversi ialah rancangan memberhentikan 30 peratus atau 6,000 pekerja MAS, di samping melantik seorang warga asing sebagai CEO.

Cadangan MAS melantik Christoph R Mueller, warga Jerman, sebagai CEO MAS Baharu mendapat reaksi paling negatif, terutama dalam kalangan rakyat Melayu. Mereka mempersoalkan dan tidak dapat menerima pelantikan beliau atas alasan ia menjejas maruah bangsa, kerana membayangkan solah-olah tidak ada anak Melayu yang layak atau berupaya memikul tugas CEO MAS, bagaimana berat dan mencabar sekalipun.

Saya pernah ditanya pendirian DPIM mengenai isu pelantikan CEO warga asing di satu seminar bersama usahawan dan ahli bisnes Melayu anjuran DPIM Perak di Ipoh pada 9 Disember 2014. Saya tegaskan rakyat Malaysia harus meyakini kebijaksanaan pemilik dan peneraju MAS, iaitu Khazanah Malaysia dan menghormati keputusan Khazanah yang diberi kuasa melantik CEO MAS baharu dan bertanggungjawab terhadap kelangsungan dan kejayaan depan syarikat terbabit.

Warga Malaysia perlu yakin Khazanah profesional dalam menilai kebolehan, pengalaman dan kewibawaan C R Mueller menyempurnakan tugas berat lagi kompleks memulihkan MAS di waktu paling mencabar membabitkan perhatian seluruh masyarakat global. Saya tonjolkan contoh syarikat Nissan, Jepun, yang melantik warga Brazil keturunan Lebanon, Carlos Ghosn, sekalipun Jepun merupakan antara negara paling cemerlang dalam bisnes dan industri global. Saya juga tegaskan prinsip dan pendirian Islam berkaitan menyerahkan sesuatu amanah, (termasuk amanah CEO); iaitu mestilah kepada orang yang ahli dan bukan hanya mengikut sentimen dan emosi. Jika tidak dipilih yang ahli kita diperingatkan menantikan sahaja kehancuran usaha!


Siapa perosak sebenar MAS?

Pada saya, dalam mencari jalan keluar dan membina semula kekuatan masa depan MAS, wajar sekali bangsa Melayu beri perhatian kepada seruan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (mantan CEO MAS di satu tahap cemerlangnya di masa lampau) yang disiarkan akhbar Sinar Harian pada 22 Disember 2014. Tan Sri Abdul Aziz menyarankan supaya kita “Cari siapa perosak MAS” yang antara lainnya beliau katakan menyebabkan MAS “berhutang RM12 bilion”, selain menghadapi kemungkinan bankrap setelah mencatat kerugian “hampir RM7 juta setiap hari!”

Saya pasti kecemerlangan MAS terbantut dan keupayaan bisnes serta pencapaian korporatnya terencat apabila Kerajaan Malaysia menswastakan MAS, menjual saham utama menjadikannya milik individu pada 1994. Kemerosotan prestasi MAS bermula apabila penswastaan mematahkan semangat juang tinggi warga kerjanya yang dipupuk sewaktu MAS sebuah syarikat milik GLC atau milik kerajaan. Sebelum diswastakan, pasukan warga kerja MAS berkhidmat berdasarkan semangat menjadikan MAS “salah satu syarikat penerbangan terbesar dan termasyhur di dunia” seperti diamanahkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein waktu MAS ditubuhkan.

Bukan tujuan saya menyalahkan individu pemilik dan peneraju MAS terbabit dalam skim penswastaan. Yang saya persoalkan ialah kebijaksanaan keputusan kerajaan menswastakan MAS, iaitu satu tindakan yang jelas bertentangan aspirasi DEB warisan hebat Tun Abdul Razak.


Konflik nilai budaya

Pengalaman 28 tahun selaku CEO membangun GLC (Johor Corporation) meyakinkan saya bahawa “nilai-budaya korporat” yang menjadi teras kejayaan korporat GLC boleh terjejas dan bercanggah dengan gaya pengurusan syarikat milik individu apabila diswastakan. Percanggahan nilai-budaya inilah punca utama kerosakan dan kemerosotan MAS setelah diswastakan secara mendadak.

Sebagai bukti, saya huraikan pandangan seorang pengarah eksekutif MAS yang saya kenali. Beliau menyatakan kerosakan mula berlaku apabila suasana pengurusan dalaman MAS berubah sama sekali ketika MAS diswastakan. Menurut beliau, sebelum penswastaan semua pekerja MAS bekerja atas prinsip berjuang untuk kepentingan besar bangsa dan negara. Setelah diswastakan, semua terpaksa ubah sikap, kali ini bekerja untuk kepentingan individu pemilik saham utama.

Tidak hairan jika semangat berjuang untuk kepentingan negara luput dan langsung terhakis akhirnya. Tambah beliau lagi: Sebelum diswastakan, pengurusan atasan MAS cepat dan mudah mencapai persepakatan membuat keputusan strategik, menerusi kaedah syura (consensus building), kerap setelah diadakan perbincangan mendalam. Sebagai entiti GLC “milik bersama” memudahkan kumpulan pengurusan MAS membina kepercayaan antara satu sama lain. Dalam banyak hal, pasukan pengurusan mudah sepakat dan komited membuat keputusan mengikut kebijaksanaan masing-masing; juga berani memikul bersama risiko tanggungjawab berpasukan.

Sebaliknya, setelah diswastakan, hampir semua keputusan perlu mendapat kata pemutus CEO pemilik syarikat. Hak dan kuasa peribadi CEO mendominasi segala pertimbangan pengurusan, menyebabkan eksekutif kanan keberatan mempersoalkan keputusan CEO, sekali pun bertentangan kepentingan bisnes MAS. Iklim pengurusan baharu ini langsung mematikan syura dan amalan consensus building. Tanpa “check and balance” percanggahan kepentingan mudah dibiarkan berpanjangan.

Keperluan jangka panjang syarikat juga mudah dikompromikan, setelah kepentingan jangka pendek CEO pemilik saham lebih cenderung diutamakan. Juga, apabila kuasa CEO pemilik syarikat menjadi absolute, jika ada konflik etika atau pelanggaran undang-undang kemungkinan besar ditoleransi tanpa soal oleh pengurusan dan eksekutif kerana semua hanya pekerja yang digaji.

Seperti disaksikan, situasi MAS bertambah kompleks apabila penswastaan dibiayai pinjaman bank. Akhirnya, syarikat MAS, GLC pemiliknya, juga kerajaan, terheret ke mahkamah, langsung merosakkan jenama MAS dan imej dan nama baik semua. Lebih buruk, fokus kepimpinan dan pengurusan MAS tidak lagi terhadap menambah kecemerlangan prestasi MAS sebagai bisnes dan organisasi korporat.

Semua ini melemahkan daya saingnya di pasaran yang semakin mengancam.

Kesimpulannya, tragedi terhempasnya pesawat bukan faktor utama mengancam masa depan MAS. Kemalangan MAS yang berlaku hanya seumpama tangga yang menimpa orang yang telah terjatuh.

Sesungguhnya, MAS sebenarnya telah terlebih dahulu dirosakkan penswastaan, iaitu satu kesilapan besar pemimpin politik Melayu dalam menggunakan kuasa politik di tangan. 

Paling memudaratkan ialah kesan dan impak daripada keghairahan Melayu menciplak bisnes dan korporat ikut acuan kapitalis Barat nafsu-nafsi. Nilai budaya individualistik lagi rakus faktor paling mengancam masa depan ekonomi dan politik Melayu, kerana ia membuatkan Melayu sanggup mengenepikan strategi DEB memusnahkan GLC benteng utama memperkasa ekonomi Melayu.

Saran tubuh suruhanjaya diraja siasat banjir


Irmohizam Ibrahim
Irmohizam Ibrahim
TUMPAT – Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim menyarankan suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar banjir besar di Kelantan baru- baru ini.

Beliau berkata, banjir itu memberi kesan dahsyat terhadap semua daerah terlibat termasuk golongan nelayan.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu telus dalam bekerjasama dan menyokong penubuhan suruhanjaya itu, bagi mencari punca sebenar banjir yang menenggelamkan hampir semua daerah kecuali Bachok dan Pasir Puteh.

“Saya lalu di sungai menuju Pulau Suri, lihat banyak balak tersadai. Saya tanya adakah ini kawasan pembalakan, mereka kata tidak. Dari mana banyak balak yang tersadai hingga menyebabkan jambatan penghubung Pulau Suri dan Teluk Renjuna, kini roboh sepenuhnya.

“Ini menyusahkan penduduk pulau yang kebanyakannya adalah nelayan. Jambatan itu hubungkan penduduk untuk ke seberang sana ada klinik, masjid dan sekolah. Sebab itu saya sarankan suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk siasat apa yang berlaku,” katanya selepas melawat dan menyampaikan sumbangan banjir untuk penduduk Pulau Suri dan sekitarnya, semalam.

Irmohizam memberitahu, kedatangannya ke Kelantan adalah untuk meninjau keadaan banjir melibatkan nelayan serta kakitangan LKIM.

Dianggarkan seramai 1,974 nelayan dan 31 kakitangan LKIM Kelantan terjejas akibat banjir baru- baru ini.

Beliau berkata, untuk bantuan segera, bekalan makanan dan pakaian sekolah akan diberikan bagi membantu keluarga nelayan terlibat.

Katanya, bagi rumah nelayan yang mengalami kerosakan, pihaknya akan membawa perkara tersebut kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk baik pulih kediaman mereka.

Mengulas mengenai bekalan ikan, Irmohizam berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kualiti ikan di pasar tani di seluruh negara.

Hal ini kerana, bekalan ikan dari tiga sumber utama iaitu ikan segar dari perairan negara, ikan diimport dari negara jiran termasuk Indonesia dan Vietnam serta ikan segar yang disejukbeku.

Nurul Izzah, PKR Musnahkan Reputasi Saya - Mohamad Salleh


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 10:41 PM
Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa Nurul Izzah Anwar dan PKR telah memusnahkan reputasi dan maruah seluruh keluarganya.

Beliau merujuk kepada kenyataan fitnah yang dibuat Nurul Izzah Anwar dan PKR berhubung pembelian lapan unit harta di KL Eco City, Bangsar.

Pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) itu berkata kenyataan berkenaan juga menyebabkan seluruh perniagaan NFCorp, runtuh.

"Seluruh imej korporat NFCorp dan anak syarikatnya musnah sama sekali dan tidak boleh ditebus lagi akibat tindakan defendan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes samannya terhadap Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan setiausaha agung PKR ketika itu Saifuddin Nasution.

Mohamad Salleh berkata susulan kepada sidang akhbar yang diadakan defendan pada 7 Mac 2012, kira-kira 110 laporan berita dihasilkan portal berita Internet, akhbar arus perdana, blog dan Twitter.

Katanya perbuatan defendan itu juga mencemarkan imej pengarah syraikat lain yang mempunyai kaitan dengan NFCorp dan keluarga mereka.

Menjawab soalan peguam belanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Mohamad Salleh berkata beliau tidak pernah membuat sebarang pinjaman dengan Public Bank Berhad untuk membeli lapan unit harta itu.
Katanya perkara ini disahkan secara bertulis oleh bank itu dalam surat bertarikh 4 Januari 2012, yang menyatakan mereka menarik balik tawaran untuk membiayai pembelian harta berkenaan.
Kata beliau Perjanjian Jual Beli lapan unit harta itu ditandatangani dengan syarikat pemaju pada 15 Disember 2011.

"Dakwaan defendan bahawa saya tidak mampu membayar balik pinjaman bagi membeli lapan unit harta di KL Eco City mengikut jadual mulai Mac 2011 adalah suatu pembohongan semata-mata," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan bersaksinya yang dikemukakan kepada mahkamah, Mohamad Salleh berkata defendan pertama (Nurul Izzah) menguatkan dan menyokong kenyataan rakannya, Mohd Rafizi Ramli, yang mendakwa bahawa beliau (Mohamad Salleh) tidak layak mendapat kredit kerana hanya mempunyai RM421.00 dalam akaun dengan Public Bank.

Beliau berkata hakikatnya ialah akaun itu adalah akaun yang digunakan untuk mendeposit dana bagi arahan tersedia untuk membayar balik satu pinjaman bank dan tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan berhubung lapan unit harta di KL Eco City kerana ia mempunyi kaitan dengan dua unit harta lain di Plaza Damas 3.

"Saya akan mendepositkan dana ke dalam akaun ini setiap bulan untuk membayar balik pinjaman berkaitan pembelian harta di Plaza Damas 3 yang dibuat lebih kurang pada 2005.

"Pembayaran itu dibuat melalui arahan tersedia untuk membayar balik pinjaman yang diambil beberapa tahun sebelumnya dan akaun itu tidak ada kena mengena atau mempunyai kaitan langsung dengan NFCorp," katanya.

Pada 24 Disember 2013, Mohamad Salleh dan NFCorp menyaman Nurul Izzah kerana membuat kenyataan berhubung dakwaan Mohd Rafizi bahawa beliau membeli lapan unit harta di KL Eco City dengan menggunakan wang orang ramai yang diperuntukkan kepada NFCorp.

Kenyataan Nurul Izzah iu disiarkan Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.

Dalam kenyataan tuntutannya, Mohamad Salleh berkata kenyataan itu membawa maksud beliau dan keluarganya menyelewengkan dana NFCorp untuk membeli harta berkenaan untuk kegunaan peribadi mereka, bukan untuk syarikat itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Hue Siew Kheng bersambung pada Selasa.

Bantah Taiwan kibar bendera


Beijing: China mengemukakan bantahan kepada Amerika Syarikat selepas Kedutaan Taiwan di Washington menaikkan bendera Taiwan sempena sambutan tahun baru.
Menggesa Washington menghormati polisi Satu China, Kementerian Luar berkata, kejadian itu adalah yang pertama berlaku sejak dikibarkan di AS 36 tahun lalu.
Pada 1979, AS mengalih pengiktirafan dari Taiwan kepada Beijing.
Memetik Pejabat Perwakilan Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Washington, China Post melaporkan, lebih 100 orang menghadiri majlis di Twin Oaks Estate itu Jumaat lalu.
Antaranya, diplomat tertinggi Taiwan ke AS, Shen Lyushun.
Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata, Beijing membantah keras majlis menaikkan bendera itu dan mengemukakan nota bantahan kepada AS.
Beijing menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayah China dan tidak pernah menolak kemungkinan menggunakan paksaan bagi mendapatkannya semula terutama jika pulau itu bertindak ke arah mendapatkan kemerdekaan.
China dan Taiwan diperintah berasingan sejak 1949. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21804#sthash.RSH7kEvt.dpuf

Bina menara tertinggi dunia di India


Mumbai: Pemaju hartanah India Harihara Mahapatra merancang membina menara tertinggi dunia di Gujarat yang diharapkan lebih tinggi daripada Kingdom Tower yang masih dalam proses pembinaan.
Pencakar langit terbaru Harihara yang dirancang setinggi 1.2 kilometer itu akan dibina di Dream City di Khajod, Surat dan dianggarkan bernilai kira-kira Rs1,200 crore (RM700 juta).
Walaupun butirannya belum didedahkan, Harihara berkata pembinaan menara itu akan menggunakan teknologi baru.
Rekod pencakar langit tertinggi dunia masih dipegang Burj Khalifa di Dubai dengan ketinggian 828 meter.
Burj Khalifa juga mempunyai pelbagai rekod Guiness Dunia lain termasuk struktur buatan manusia tertinggi di darat, apartmen tertinggi dan restoran tertinggi dari permukaan tanah.
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:03 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21788#sthash.WY2AO5yO.dpuf