Wednesday, February 26, 2014

Ukraine tangguh umum kerajaan baharu


Bandar Lviv kerana mengambil bahagian dalam operasi ke atas penunjuk perasaan antikerajaan di Kiev, kelmarin. - REUTERS
KIEV 25 Feb. - Parlimen Ukraine hari ini menangguhkan rancangan pengundian bagi pembentukan kerajaan perpaduan nasional sehingga Khamis ini bagi membenarkan proses perbincangan dilanjutkan.
"Undian terhadap kerajaan perpaduan nasional akan dilakukan Khamis ini,’’ kata pemangku Presiden Ukraine, Oleksandr Turchynov yang juga Speaker Dewan Parlimen kepada Ahli Parlimen.
Ukraine sepatutnya mengumumkan Perdana Menteri dan kerajaan baharu negara ini, hari ini ketika perwakilan negara-negara Barat bergegas ke ibu negara ini bagi cuba mencari penyelesaian jangka panjang terhadap krisis yang menjejaskan ekonominya.
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Catherine Ashton, tiba di Kiev semalam ketika keadaan di ibu negara ini mula kembali seperti sedia kala dengan kedai dan restoran mula dibuka.
Ashton mengadakan pertemuan dengan Turchynov yang memberi amaran bahawa Kiev tidak akan mempunyai alternatif melainkan perlu membayar sejumlah AS$13 bilion (RM42 bilion) dalam bentuk kewajipan asing tahun ini sekiranya negara-negara Barat gagal memberi bantuan negara yang berdepan ketidaktentuan ekonomi ini.
Dalam pada itu, Washington turut menghantar Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), William Burns ke Kiev hari ini manakala, Setiausaha Luar Britain, William Hague dijangka mengadakan lawatan ke negara ini dalam masa terdekat.
AS dilapor menghentikan seketika sokongannya terhadap pemimpin sementara Ukraine dan mahu kerajaan teknokrat supaya mengadakan pilihan raya lebih awal.
Turchynov sementara itu berikrar untuk membentuk sebuah ‘kerajaan rakyat’ dan memberi amaran kepada Rusia bahawa beliau menjangkakan Kremlin akan menghormati keputusan Ukraine menjalinkan kerjasama dengan negara Barat.
Suruhanjaya pilihan raya pada hari ini menyatakan, kempen bagi pilihan raya Presiden ditetapkan pada 25 Mei ini dan secara rasmi telah bermula ketika beberapa nama mula disebut-sebut untuk memegang jawatan itu.
Antara nama-nama disebut adalah pemimpin demonstrasi, Arseniy Yatsenyuk; bekas Menteri Ekonomi dan Luar yang pro-Kesatuan Eropah (EU), Yulia Tymoshenko; wira Revolusi Oren 2004, Petro Poroshenko dan bekas juara tinju dunia, Vitali Klitschko. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140226/lu_07/Ukraine-tangguh-umum-kerajaan-baharu#ixzz2uNUit6k5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Yingluck jalankan tugas di luar Bangkok


Yingluck Shinawatra (tengah) meninggalkan ibu pejabat Tentera Udara Diraja Thai selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Bangkok, semalam. - REUTERS
BANGKOK 25 Feb. - Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra merancang untuk bertugas di wilayah yang berjiran dengan ibu negara bagi mengelak diganggu dan diburu penunjuk perasaan antikerajaan.
Protal berita The Nation yang memetik sumber kerajaan hari ini melaporkan, Yingluck dan barisan Kabinetnya akan bertugas dari luar Bangkok dan pulang ke bandar ini pada setiap hari.
Namun, lokasi yang menjadi pusat pentadbiran sementara itu termasuk aktiviti seharian Yingluck tidak akan didedahkan atas faktor keselamatan, lebih-lebih lagi ugutan penunjuk perasaan yang mahu menangkap pemimpin wanita tersebut.
Semalam, pemimpin berusia 46 tahun itu muncul di khalayak ramai bagi menjalankan tugas rasmi buat kali pertama selepas penunjuk perasaan mengepung pejabatnya di Bangkok sejak Rabu lalu.
Beliau melawat wilayah Saraburi, terletak kira-kira 150 kilometer di utara Bangkok bagi meneliti perancangan pembinaan jalan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan terbabit.
Menteri Pengangkutan, Chadchart Sittipunt; Timbalan Menteri Pendidikan, Sermsak Pongpanich dan Setiausaha Agung Timbalan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Tawat Boonfueng turut bersama Yingluck dalam lawatan kerja itu.
Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan siasatan terhadap tindakan Yingluck mengadakan lawatan rasmi ke wilayah utara dan timur laut negara ini, selepas menerima laporan tentang penyalahgunaan sumber kerajaan.
Pesuruhjayanya, Somchai Srisuthiyakorn berkata, beberapa pegawai kerajaan yang terlibat dalam lawatan itu akan dipanggil untuk membantu siasatan, sekali gus mengekalkan imej suruhanjaya terbabit yang berlaku adil dalam pilihan raya yang masih berlangsung.
Menurut Somchai, pihak yang terlibat perlu berhati-hati dalam penggunaan sumber kerajaan terutamanya dalam mengeluarkan Dekri Diraja berhubung pilihan raya.
"Tindakan meletakkan poster bagi meraih sokongan terhadap parti dalam lawatan tersebut boleh menimbulkan syak tentang penyalahgunaan dana kerajaan dan boleh menjejaskan proses pilihan raya yang masih berlangsung," katanya.
Sementara itu, pegawai tertinggi pihak keselamatan dan tentera memberi amaran tentang risiko krisis politik Thailand yang boleh mengheret negara ini ke kancah perang saudara.
Ketua Jabatan Siasatan Khas, Tarit Pengdith berkata, hampir setiap hari serangan bom dan tembakan kedengaran di Bangkok termasuk kejadian hari ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan konflik yang berlarutan selama empat bulan memasuki fasa baharu selepas kedua-dua pihak terlibat enggan mengalah.
"Kedua-dua pihak yang berlainan fahaman politik perlu bersabar dan bertenang bagi mengelakkan berlakunya perang saudara," katanya ketika menyampaikan ucapan berhubung krisis di negara ini.
Kenyataannya itu turut disokong oleh ketua tentera, Jeneral Prayut Chan-O-Cha yang menegaskan bahawa perang saudara boleh tercetus jika kesemua pihak terlibat tidak menghormati undang-undang.
"Tentera akan melakukan apa saja demi negara dan rakyat, tetapi bukan hanya pada sebelah pihak sahaja," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140226/lu_06/Yingluck-jalankan-tugas-di-luar-Bangkok#ixzz2uNURzRNC
© Utusan Melayu (M) Bhd