Tuesday, December 8, 2015

Hakim mahu orang ramai naik bas


AFP - GAMBAR fail pada 16 Oktober lalu menunjukkan kenderaan penuh sesak di sebatang jalan raya di New Delhi.


NEW DELHI – Ketua Hakim India, TS Thakur menyokong pelan untuk mengehadkan bilangan kereta di New Delhi dan menyatakan, beliau sedia menaiki bas ke tempat kerja.
Thakur juga menggesa hakim-hakim lain supaya mengikuti langkahnya ketika kerajaan tempatan di New Delhi berusaha mengurangkan pencemaran udara di bandar raya itu. New Delhi merupakan ibu kota paling tercemar di dunia.
Pada minggu lalu, kerajaan New Delhi mengumumkan bahawa pihaknya akan membenarkan kereta memasuki kota raya itu secara selang sehari bermula 1 Januari depan.
“Tidak sukar melakukan perkara ini. Pada saya, ini perkara paling minimum yang boleh kita lakukan.
“Orang ramai berkata, ini satu pengorbanan. Ini bukan pengorbanan. Hakim juga melakukannya,” kata Thakur berhubung skim itu yang akan membenarkan kereta persendirian memasuki New Delhi secara selang sehari berdasarkan nombor pendaftaran masing-masing.
Hakim-hakim besar di India tinggal di banglo-banglo mewah milik kerajaan di sebuah kawasan elit di pusat bandar New Delhi.
Ditanya sama ada hakim-hakim akan berkongsi kereta ke tempat kerja, Takhur yang mengangkat sumpah sebagai ketua hakim pada awal bulan ini memberitahu:
“Jika seorang hakim boleh berkogsi kereta, ia membawa mesej kepada rakyat bahawa kami tiada masalah dengan kempen ini. Malah, kami boleh berjalan kaki atau menaiki bas,” beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar The Hindu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3tgDFexxf 
Hakcipta terpelihara